Chapter 50 - Bab 50

"Tuan." Seorang anak kecil yang memakai pakaian serba kelabu meluru keluar dari pedati kudanya sambil memegang jubah yang besar. Kemudian dia pun berkata, "Sudah-sudahlah, Tuan. Dia tidak akan tiba. Salji terlalu tebal dan menurut Liu Huzi ribut salji akan melanda sebentar lagi. Kita harus cepatkan perjalanan supaya dapat tiba di Gunung Que Yu sebelum hari gelap."

Wu Daoya tidak berganjak dan kelihatan seperti dia tidak dapat mendengar apa-apa, matanya terus terpahat ke hadapan dengan raut wajah yang tidak beremosi.

"Tuan?" Anak kecil tadi menjadi bingung dan kemudiannya menarik lengan baju Wu Daoya. "Tuan?"

"Ming'er, cuba dengar." Lelaki berjubah hijau itu tiba-tiba bersuara. Suaranya kedengaran serak dan juga lebih dalam setelah bercampur dengan desiran angin. Lantas, dia berkata dengan perlahan.

"Dengar?" Anak kecil tadi bersungut sambil cuba untuk mendengar bunyi yang dikatakan. "Tuan, apa yang saya patut dengar?"

"Bunyi tapak kaki kuda." Jawab Wu Daoya. "Mereka dah tiba."

"Bunyi tapak kaki kuda?" Ming'er cuba untuk mendengarinya tetapi gagal dan hanya mendengar bunyi desiran angin sahaja. Dalam keadaan cuaca seperti ini, perbualan biasa sahaja pun sudah cukup susah, inikan pula bunyi tapak kaki kuda dari jauh. "Tuan, tiada bunyi tapak kaki kuda pun. Tuan pasti tersalah dengarlah! Jomlah kita…"

Sebelum sempat Ming'er menghabiskan kata-katanya, bunyi tapak kaki kuda yang menderap dengan pantas tiba-tiba kedengaran. Anak kecil itu terus mendongak dengan penuh terkejut. Di dataran bersalji yang terbentang luas di hadapan mereka, seekor kuda kelihatan di ufuk dan perlahan-lahan menghampiri mereka bersama dentiti penunggang kuda masih lagi tidak dapat diketahui kerana keadaan salji yang semakin menebal yang menyukarkan lagi penglihatan mereka. Namun, jelas sekali orang yang menunggang kuda itu nampak lemah, seolah-olah pada bila-bila masa sahaja dia boleh ditiup angin.

"Tuan memang seorang peramal!" Ming'er berkata seperti tidak percaya.

"Yu!"

Bunyi yang rapuh dan perlahan mula berkumandang dan penunggang kuda itu kemudiannya turun daripada kudanya sambil memakai jubah hijau yang tebal dan semakin menghampiri mereka. Mukanya habis diselubungi dan hanya rambutnya sahaja yang kelihatan disebalik topi yang dipakai. "Nasib baiklah sempat." Wanita itu lantas menanggalkan topi yang dipakai dan menampakkan wajah dan bibirnya yang pucat, kemudian memberikan segulung kertas kepada Wu Daoya. Jarak jauh yang terpaksa dilalui wanita tersebut di samping cuaca yang sejuk sebegini mula menampakkan kesannya. Dia tercungap-cungap sambil berkata, "Simpan benda ini. Semuanya ada di dalam."

Wu Daoya berkerut lantas menoleh ke arah wanita tersebut dengan raut wajah yang marah. "Kenapa tak hantar orang lain ke sini? Sini sejuk tahu tak? Kamu dah pulih dari penyakit kamukah?"

Gadis tersebut menggelengkan kepala. "Tiada siapa yang boleh ke sini lagi. Muhe Xifeng dah mati dan si bodoh Muhe Xiyun itu dah dilucutkan jawatan. Kita pula dah ramai kehilangan rakan seperjuangan di istana. Anak lelaki ketiga Maharaja itu bukanlah sewenang-wenangnya untuk diuruskan juga. Ini pun nasib baiklah saya seorang perempuan jadi mereka tidak begitu ketat mengawasi gerak-geri saya."

"Zhao Qi sudah lama berdiam diri. Mengejutkan betul apabila melihat tindakannya setelah dia menyandang jawatan itu. Nampaknya Zhao Zhengde mempunyai anak yang berguna juga."

"Tak perlulah kita bersembang lagi dan lebih baik awak cepat. Kita dah kesuntukan waktu. Hanya tinggal kurang daripada sebulan sahaja lagi kerana nama Putera sudah semakin terkenal jadi ada kebaikan dan keburukannya juga. Kalau kita tak menstabilkan keadaan pada waktu ini, terpaksalah kita ubah rancangan nanti."

Wu Daoya mengangguk. "Saya faham dan kamu pun perlu berhati-hati."

"Baik." Wanita tersebut mengangguk faham. Mukanya berubah pucat dan pandangannya mula suram. "Awak juga." Jawabnya.

Wu Daoya mula berasa bimbang apabila melihat wajah pucat dan lemah wanita itu lantas dia pun mengeluh, berpaling lalu mengambil jubah daripada tangan Ming'er untuk membaluti tubuh wanita itu dengan berhati-hati. Sewaktu dia membantunya untuk memakai jubah itu, dia mengujar, "Cuaca akan menjadi semakin sejuk nanti. Awak perlu lebih berhati-hati. Sebulan boleh berlalu dalam sekelip mata saja, situasi di ibu negeri juga berubah-ubah jadi awak mesti berjaga-jaga dan jangan bertindak melulu. Dalam banyak-banyak senior dan junior, hanya kita berdua sahaja yang tinggal jadi saya tak nak apa-apa terjadi kepada awak, Yu."

Yu hanya menundukkan kepalanya tanpa berkata apa-apa. Begitu banyak perkara yang bermain dalam fikirannya sehingga dia tidak tahu apa yang hendak diujarkan.

"Mengenai hal di istana, awak perlu bertindak mengikut bidang kuasa awak saja. Walaupun tiada yang terkorban masa kita pergi menyelamatkan Tuan Zhu, tapi pangkalan rahsia kita telah dibongkarkan dan piihak atasan sudah pasti akan berasa terkilan dengan hal itu. Jadi buat masa sekarang ini, cuba bertahan dan jangan ikut emosi sangat. Biar sjaa suku-suku keluarga dalam ibu negeri maharaja ini berbalah sesama sendiri dan kamu jangan sesekali masuk campur. Motif kita kali ini semata-mata untuk menyelamatkan tuan putera saja dan yang lain itu bukan urusan kita. Jangan terpengaruh dengan sifat tamak dan tergelincir dari landasan."

"Lagi satu," Wu Daoya mendongak perlahan-lahan, ketenangan yang terpahat pada matanya melambangkan tasik yang membeku sewaktu musim sejuk di mana gelombang mahupun kocakan air pun tidak kelihatan. Kemudian suaranya pun berubah menjadi mendatar. "Awak itu tak sihat jadi tumpukan perhatian untuk sembuh dan jangan terlalu memaksa diri saja. Setelah tamat semuanya di sini, saya akan membawa awak ke Empayar Tang. Iklim di sana panas dan begitu juga dengan pemandangannya yang akan membantu proses pemulihan awak." Setelah dia mengetatkan tali yang terakhir pada baju itu, Wu Daoya berundur dua langkah ke belakang dan memandang wanita tersebut. Dia kemudian berpaling dan berjalan pergi sambil melambai tangan ke arahnya, "Baliklah. Hati-hati di jalan."

"Daoya." Cik Yu tiba-tiba mendongak dan memandang Daoya dengan sugul.

"Ada apa?" Wu Daoya menoleh dan bertanya, "Ada yang tak kena?"

Cik Yu hanya mengetap bibirnya sambil berfikir panjang. Kemudian dia hanya menggeleng dan berkata, "Tiada apa-apalah. Kita berbincang perkara lain itu nanti setelah awak pulang saja. Jaga diri."

Wu Daoya hanya memandang wanita tersebut. Dia tidaklah begitu mempesonakan dengan muka cengkung dan lemahnya itu. Walaupun baru berusia 27 atau 28, penderitaan yang dialaminya selama bertahun-tahun telah menyebabkan kedutan muncul di bahagian kelopak matanya selain dari mukanya yang memang kelihatan pucat lesi. Oleh sebab ini jugalah yang membuatkan Daoya berasa risau akan wanita tersebut sehinggakan dia tidak sanggup untuk beredar.

Misalnya seperti hari ini. Walaupun dokumen ini tidaklah begitu penting, tetapi Daoya percaya wanita tersebut pasti akan menghantarnya sendiri kepada Daoya supaya dia boleh melihat pemuda itu buat kali terakhir sungguhpun dia tahu dia akan ditegur kerana tidak tahu menjaga diri.

Sehingga saat ini Daoya masih mengingati pertemuan kali pertama mereka dengan jelas sekali. Pada hari tersebut, dia telah mengikut sifunya ke ibu negeri Zhen Huang. Di jambatan kecil di Jalan Xi Miao, dia ternampak seorang anak gadis kecil yang berusia sembilan tahun sedang dipukul oleh tuannya kerana cuba melarikan diri. Gadis kecil itu hanyalah berbadan kurus kering serta kecil pada waktu itu, dengan kulitnya yang berjaundis akibat pengambilan makanan tidak seimbang dalam tempoh yang panjang jadi dia kelihatan seperti mayat hidup. Namun begitu, mata hitamnya yang besar dan bersinar dengan terang dapat membuktikan rasa geram yang mendalam dan kegigihan untuk tidak membiarkan perkara ini terlepas begitu sahaja. Pada waktu itulah dia mengetahui anak kecil ini pasti dapat bertahan. Tidak kira berapa kali dia menempuh kegagalan, tetapi selagi dia masih bernyawa, dia pasti akan mampu melepaskan diri.

Seperti yang dijangkakan olehnya, mereka terserempak sekali lagi di luar ladang wain yang terletak di Bandar Ru Nan sebulan kemudian. Pada waktu itu, dia sedang kelaparan dan hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja namun dia masih berkeras dan tidak mahu meminta makanan. Mulai dari saat itulah sifu kepada Daoya membawanya pulang dan mengambilnya sebagai anak angkat dan lantas Gunung Tian Ji mempunyai seorang lagi perintis muda wanita tetapi bagi Daoya, itu merupakan permulaan kepada sesuatu yang membimbangkan dalam jangka panjang. Tujuh hari lepas, Xi Hua telah dihapuskan di Dataran Zuoling yang terletak di Yan Bei. Antara 13 perintis yang telah mengembara bersama-sama dari Gunung Tian Ji, hanya dua orang sahaja yang masih hidup.

Wu Daoya menghulurkan tangannya lantas meletakkannya di bahu Cik Puan Yu. Dia ingin mengatakan sesuatu namun tidak mampu meluahkannya. "Kita akan berbincang apabila saya pulang nanti. Saya pergi dulu. Hati-hati."

"Ya," Cik Puan Yu hanya mengangguk. "Awak pun."

Wu Daoya kemudian menaiki pedati kereta kudanya. Liu Huzi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit anjing itu mengusap kedua belah tangannya bersama lantas melibaskan cemeti. Kuda tersebut menghasilkan bunyi ringkik sebelum mula bergerak. Salji bertaburan ketika kereta kuda tersebut melaluinya dan lama-kelamaan, ia hilang dalam keadaan ribut salji yang menebal.

Tidak kira apa yang bermain dalam fikiran, perkara tersebut boleh dibincangkan apabila Daoya pulang. Cik Puan Yu melepaskan keluhan perlahan. Emping salji yang sejuk jatuh ke mukanya dan mengimbaskannya kembali ke Dataran Huo Lei di Yan Bei.

Semuanya hampir berakhir. Dalam masa beberapa bulan lagi setelah dia menyelamatkan tuan putera, maka tamatlah misi Cik Puan Yu, kemudian bolehlah dia mengembara ke tempat panas seperti Bian Tang yang berbeza dari Hong Chuan yang sejuk dan bersalji. Pada waktu itu juga bolehlah dia menikmati pemandangan seperti yang terdapat dalam buku; berkayak di tasik yang jernih bersama bau bunga teratai pada waktu malam.

Yu mendongak sambil menghela nafasnya, isu yang ditekankan kini untuk menyelamatkan tuan putera. Dia kemudiannya duduk dengan tegak lantas pergi meninggalkan tempat tersebut dengan menunggang kudanya.

Mereka sudah menunggu begitu lama jadi tiada salahnya jika mereka menunggu lagi. Walaupun terdapat perkara yang tidak mampu diujarkan buat masa sekarang, tetapi suatu hari nanti pasti akan didedahkan. Apabila waktu itu tiba, dunia ini akan bersatu dan rakyat-rakyatnya akan dapat hidup dengan aman tanpa peperangan mahupun aktiviti penghambaan.

Angin sejuk bertiup dari jauh lantas menghasilkan puting beliung kecil di tanah. Salji putih yang berterbangan di udara bergerak dalam bulatan, sama seperti kehidupan seseorang yang ada kalanya di bawah dan ada kalanya di atas.

Pada waktu ini di istana Sheng Jin, seorang gadis perlahan-lahan meletakkan bukunya di atas meja. Dia berjalan ke arah tingkap dan ternampak kepulan asap di ufuk yang menyebabkan tumpuannya terganggu sejenak.

Si pembantu rumah, Lu Liu mengetuk pintu perlahan-lahan sebelum membukanya dengan rasa takut. "Cik, ada seseorang mencari cik di luar." Ujarnya dengan lembut.

Selain daripada Yan Xun, semua orang di sini takut kepadanya. Setiap orang gaji yang memasuki istana Ying Ge akan melalui pemantauannya yang ketat. Dia merupakan seorang agen yang bijaksana dalam kehidupannya sebelum ini dan sering harus berjuang untuk kehidupannya yang sekarang. Jadi, sudah tentulah dia akan melakukan sesuatu dengan penuh teliti dan berhati-hati.

Gadis tersebut mengangkat keningnya dan membalas, "Siapa?"

"Pengawal-pengawal tidak berkata apa-apa." Jawab Lu Liu dengan lembut. "Leftenan Kolonel Song dari pintu bandar hadapan datang untuk melaporkannya dengan sendiri."

"Song Que?" Chu Qiao mula mengesyaki sesuatu. Orang yang sedang mencarinya ini bukanlah calang-calang orangnya kerana orang ini bukan sahaja mampu untuk memasuki istana Sheng Jin dengan sesuka hati malah dia boleh mengarahkan Song Que untuk menyampaikan pesanan kepadanya. Siapakah orang ini?

"Beritahu Leftenan Kolonel Song yang saya akan ke sana." Lantas Chu Qiao pun memakai kotnya dan mempersiapkan diri dengan pisau belati miliknya. Chu Qiao membuka pintu hadapan istana Ying Ge dan wajah Song Que kelihatan dingin seperti biasa. Gadis itu kemudian berkata dalam diam sambil mengeluh, 'Ketua ini memang tak tahu bagaimana untuk menguruskan hubungan antara manusia.' Patutlah dari mula Chu Qiao menjejakkan kakinya di istana sehingga sekarang dia masih lagi mengawal pintu bandar tanpa ada apa-apa perkembangan.

Mereka berjalan sehingga tiba di astaka taman belakang istana yang merupakan tempat kesukaan Zhao Song. Sewaktu kecil, Chu Qiao sering menyelinap ke sini untuk mendapatkan bantuan daripada Zhao Song tetapi sudah lama gadis kecil itu tidak menjejakkan kakinya ke sini.

Pokok-pokok masih besar seperti biasa dan hanya pokok plum sahaja yang tumbuh sedikit besar jika dibandingkan dengan dahulu. Oleh sebab sekarang merupakan musim bunga dan pokok plum, maka taman tersebut dipenuhi dengan haruman bunga. Leftenan Kolonel Song tidak berkata apa-apa dan beredar. Chu Qiao memberanikan diri untuk memasuki ke dalamnya sendiri. Baru sahaja beberapa langkah ke hadapan, dia sudah ternampak kelibat orang yang mencarinya itu.

"Cik Xing Er." Dalam beberapa tahun sahaja berat Zhu Cheng sudah bertambah dan ia jelas dapat dilihat di perutnya yang membulat. Dia masih lagi mempunyai senyuman yang sama tanpa menghiraukan kenyataan Chu Qiao telah mengkhianati keluarga Zhuge.

Raut wajah Chu Qiao tidak berubah. "Pembantu Zhu, nama keluarga saya adalah Chu." Ujarnya dengan tenang.

Zhu Cheng hanya ketawa, "Cik Chu, saya telah diarahkan oleh tuan muda untuk mencari cik."

"Tuan muda?" Jawab gadis itu dengan dingin tetapi masih kekalkan rasa hormat, "Tuan muda yang mana?"

"Tuan Muda Keempat, Zhuge Yue." Jawab Zhu Cheng.