Takdir telah menolaknya jatuh ke dalam lubang, dia berkata sendiri. Dia harus mendaki keluar.
Kesusahan ini langsung tidak memberikan peluang baginya untuk berasa sedih atau bimbang. Jika dia tidak terus berusaha, dia mungkin tidak akan terselamat pada malam itu.
Dia mengangkat tangannya yang membiru dan mengambil sebatang kayu, lalu mula menulis di atas tanah.
Zhuge, Wei, Mu, Jue, Che. Melihat perkataan ini, keningnya mula mengerut. Langit telahpun menjadi gelap, dan alat muzik kayu mula kedengaran dari dalam kawasan kediaman itu. Bunyi perbualan yang samar-samar juga kedengaran, bersama bunyi ketawa. Dia dengan perlahan menyusun pemikirannya sementara dan akhirnya membentuk perkataan terakhir: Yan.
Di dalam dewan utama kediaman Zhuge, semua orang sedang minum ucap selamat bersama satu sama lain. Mata kanan Yan Xun menggerenyet secara tiba-tiba. Dia merapatkan keningnya yang kemas terbentuk itu dan berpaling perlahan-perlahan, merenung jauh ke dalam kegelapan.
Malam itu gelap gelita. Burung gagak berterbangan tinggi di atas udara, empayar yang kejam dan hodoh ini telahpun busuk daripada dasarnya.
Yang tua semuanya diarahkan untuk berhenti, dengan suatu kuasa baru yang bakal datang, bangkit daripada abu.
Walau dengan kecederaan di tubuh badannya yang parah, Chu Qiao masih lagi memaksa dirinya untuk berdiri dan berlari sekeliling pondok kayu api yang kecil itu, kadangkala berhenti seketika untuk mengurut kulitnya daripada membeku di dalam pondok usang itu.
Gendang jam menandakan bahawa ianya pukul 3 pagi, dan tingkap berketinggian manusia itu dibuka. Kemudian, kepala kecil tiba-tiba muncul keluar. Chu Qiao terkejut besar. Mengangkat kepalanya, dia melihat sepasang mata yang bersinar sedang mengawasi persekitaran bilik itu dengan berhati-hati. Setelah terlihat Chu Qiao, wajahnya terus menyala dek kegembiraan. Dia meletakkan jari telunjuk ke bibirnya, meminta Chu Qiao untuk tidak berbuat sebarang bunyi.
Lelaki itu segera meluru ke arahnya, melapangkan kedua lengannya dan memeluk Chu Qiao dengan erat. Lelaki itu telah mencengkiknya sedikit, tetapi menenangkannya dengan sebuah azam, "Yue Er, jangan takut, abang kelima ada di sini."
Lelaki itu kurus dan masih muda. Dia kelihatan seperti dia berada di dalam lingkungan lapan ke sembilan tahun. Dia memakai baju seragam laman berwarna kelabu yang agak besar untuknya, membuatkan dia kelihatan lebih kurus. Tubuh badannya masih lagi belum membesar dan hanyalah setengah kaki lebih tinggi daripada Chu Qiao. Namun, bentuk muka dan garisan di mukanya menampakkan seolah-olah dia telah mengalami keperitan yang dalam. Dia mendakap anak gadis itu dengan erat sambil menepuk belakangnya lembut, sambil mengulangi tanpa henti, "Jangan takut, abang kelima ada di sini."
Tanpa disedari, mata Chu Qiao mula bergelinang dengan air mata. Beberapa titikan mengalir jatuh ke pipinya tanpa henti, lantas membasahi baju kasar lelaki itu. Chu Qiao tidak mengetahui bahawa ia merupakan tindak balas semula jadi badannya, ataupun itulah emosi sebenarnya, tetapi pada tengah malam yang aneh, asing, dan sejuk ini, pelukan yang lemah tetapi menenangkan ini sangat berharga.
Cahaya bulan yang terang itu menyinari badan kedua kanak-kanak itu melalui tingkap yang dibuka kecil itu. Di dalam bilik yang sejuk itu, satu-satunya kehangatan daripada pelukan mereka. Tubuh badan budak lelaki itu bagaikan gunung yang teguh. Didalam kesejukan malam ini, walapun mereka sedang menggigil ketakutan, dia masih mengetatkan pelukannya bersama adiknya.
"Yue Er, kamu lapar tak?" Lelaki itu melepaskan pelukannya dan lalu dengan lemah-lembut mengelapkan air mata yang jatuh menitis di pipi Chu Qiao dengan jari-jemarinya yang semakin membiru. Dia tersenyum dan berkata gembira, "Cuba teka apa yang abang bawakan untuk kamu?"
Lelaki itu mengeluarkan sebuah beg kecil dari poket belakangnya dan kembali duduk di atas lantai, membuka beg itu dengan berhati-hati. Aroma makanan itu berlari-lari di udara dengan serta-merta. Dia mendongakkan kepalanya untuk melihat Chu Qiao yang masih berdiri tegak dengan mukanya yang kelihatan keliru. Dia berkata sambil mengangkat kedua keningnya, "Duduklah."
Terdapat sebuah mangkuk tembikar bersama ukiran berwarna biru dan putih pada sepanjang sisi mangkuk yang telah mula lusuh akibat air basuhan, dan beberapa lubang kecil dapat dilihat pada permukaan mangkuk itu. Mangkuk tembikar itu dipenuhi nasi, bersama sayur-sayuran yang menggunung di atasnya. Makanan ini tidak mempunyai banyak minyak, tetapi aromanya sangat menggiurkan. Lelaki itu mengambil sepasang penyepit dan menyelitkannya ke dalam tapak tangan Chu Qiao, lantas berkata, "Cepat, makan."
Chu Qiao menundukkan kepalanya dan menyumbat segenggam besar nasi ke dalam mulut. Dia hanya dapat merasakan kemasinan, sisa-sisa air matanya. Tekaknya kering, tetapi dia terus mengunyah tanpa henti bagaikan robot, kadangkala berhenti sejenak akibat tangisan sendu.
Lelaki itu merenung tingkah laku Chu Qiao. Setiap kali dia membuka mulut untuk berkata sesuatu, Chu Qiao juga membuka mulut untuk memberitahunya sesuatu, seolah-olah dia sedang mengajar Chu Qiao cara untuk mengunyah. Apabila Chu Qiao menelan makanannya, abangnya akan lantas tersenyum dari telinga kiri hingga ke telinga kanan, menyebabkan matanya menjadi kecil sehingga kelihatan seperti goresan kecil.
Semasa alat penyepit Chu Qiao dimain-mainkan di dalam mangkuk, dia dapat merasakan sesuatu. Setelah mengangkatnya, mereka dapati bahawa terdapat daging tumis yang masih hangat.
Daging tersebut hanyalah bersaiz ibu jari dan sisinya sedikit kehangusan. Satu bahagian daging itu ialah bahagian berlemak, dan sebelahnya lagi ialah bahagian yang mengandungi isi, tetapi di dalam kegelapan malam ini, ianya terasa sangat menyelerakan.
Suatu bunyi kedengaran secara tiba-tiba. Chu Qiao mengangkat kepalanya dari mangkuk, dan terus memalingkan wajahnya ke arah lelaki itu, dan melihat yang dia sedang menggosok perutnya dengan kekok. Dengan sengaja dia berwajah bersahaja, lalu berkata, "Abang baru je habis makan, tak lapar pun."
Chu Qiao memberikan penyepitnya kepada abangnya dan berkata, "Abang pun makanlah."
Budak lelaki itu menggelengkan kepalanya dengan pantas. "Makan malam kami tadi tersangatlah sedap. Tuan muda keempat memberi kebenaran untuk kami menambah makanan. Ikan ditumis reneh, tulang rusuk dimasak masam manis, daging khinzir digoreng cuka, itik kukus, dan banyak lagi. Abang makan banyak sangat sampai terasa nak termuntah, abang rasa abang dah tak boleh makan lagi."
Chu Qiao dengan degilnya mengangkat penyepitnya ke muka abangnya dan berkeras, "Saya tak suka makan bahagian lemak daging."
Mata budak lelaki itu membuntang seketika, merenung Chu Qiao sebelum mengalihkan pandangannya ke arah daging tumis itu. Tanpa disedari dia telah menelan air liurnya beberapa kali. Setelah beberapa ketika, dia akhirnya mencapai penyepit yang telah ditawarkan oleh Chu Qiao, dan menggigit penuh bahagian berlemak pada daging tersebut. Dia kemudiannya memberikan daging yang selebihnya kepada Chu Qiao. Dia ketawa keriangan, menunjukkan barisan gigi yang putih, dan berkata, "Yue Er, kamu boleh makan sekarang."
Chu Qiao ditampar dengan sebuah emosi yang hiba dan dengan pantas dia menundukkan kepalanya. Air matanya bergelinangan, tetapi dia sempat menahannya daripada menitis.
Setelah seketika, dia mendongakkan kepalanya kembali dan memberikan senyuman manis kepada lelaki itu. Membuka mulutnya, dia melahap laju daging itu, mengunyah dan tersenyum pada masa yang sama.
"Yue Er, sedap tak?" Mata lelaki itu bersinar penuh harapan bagaikan bintang di galaksi.
Chu Qiao mengangguk tanpa henti. Tekaknya kembang, tetapi dia berjaya untuk berkata, "Sedap sangat. Daging ni lah makanan yang paling sedap yang saya pernah makan seumur hidup saya."
"Merepeklah kamu ni." Lelaki itu mencapai kepala Chu Qiao dan mengusapnya. Dengan nada sedih, dia berkata, "Umur kamu berapa nak cakap pasal 'seumur hidup'? Kita tak payah bersembang mengenai masa depan pun, kita boleh bercakap hal dulu-dulu, seperti kita kecil lagi. Kita pernah merasa makanan yang mahal-mahal, cuma kamu je yang terlalu muda untuk ingat semua tu. Tetapi jangan risau. Suatu hari, abang kelima akan pastikan yang kamu makan makanan yang sedap-sedap, dan pakai pakaian cantik-cantik, dan membawa hidangan daripada seluruh dunia untuk kamu. Bukan saja daging tumis, malah ginseng, abalon, sarang burung, sirip yu, dan juga kepah. Apa saja yang kamu nak, kamu akan dapat. Lepas tu, tiada siapa yang akan berani membuli kita. Yue Er, kamu percaya abang tak?"
Chu Qiao mengangguk dan terus melahap nasi itu. Walaupun ianya bukanlah lazat sangat, tetapi kehangatan yang ia berikan sangat membantu Chu Qiao.
"Yue Er, jangan takut," Sambil berkata, budak lelaki itu menanggalkan jaketnya dan meletakkan di atas bahu Chu Qiao. Dengan nada yang tenang, dia mengungkap setiap bait kata dengan jelas, "Abang kelima akan melindungi kamu dan akan sentiasa berada di sini untuk teman kamu. Jangan takut."
Cahaya bulan yang terang dan jelas itu telah menusuki pondok kayu api itu melalui celahan-celahan kayu.
Bagaikan fros yang membeku di bawah cahaya malam, tubuh badan kedua kanak-kanak yang terbaring rapat antara satu sama lain di dalam pondok usang itu, kelihataan sempit dan kecil, tetapi sebenarnya hangat dan menenangkan.
Cahaya api menghidupkan kawasan itu di perjauhan, dengan alat muzik kayu yang dimainkan sehingga larut malam dan aroma daging dan minuman yang telah bercampur dan memenuhi ruang udara. Bandar Zhen Huang yang tidak pernah tidur ini akhirnya telah mencapai titik kemuncak bagi jamuan makan malam. Di bawah sinaran bulan yang cantik, semua orang telah melupakan perihal seorang anak gadis yang telah terselamat daripada pembunuhan kejam di dalam arena petang tadi. Udara sejuk menghembus laju, menyebabkan bendera berlambang api kepunyaan Empayar Xia itu bersiul perlahan.
Apabila Chu Qiao bangun pada keesokan harinya, budak lelaki itu telah beredar dari pondok itu. Dia telah meninggalkan sehelai nota yang ditulis dengan tulisan tangan yang kemas: Abang kelima akan datang lagi pada malam ni. Ada beberapa buku roti di bawah kayu api itu.
Chu Qiao menarik keluar beberapa ranting kering dan ternampak dua buku roti kekuning-kuningan yang telah dibalut di dalam kertas minyak. Dia mengangkatnya dekat dengan dadanya dan kelihatan tenang, tetapi penglihatannya semakin kabur dek air mata.
Kini, tiga hari telah berlalu tanpa ada sebarang persoalan tentang keadaan Chu Qiao. Lelaki itu terus mengunjunginya setiap malam, membawa makanan dan juga menemaninya, dan pada keesokan hari meninggalkannya dengan senyap. Pada hari ketiga, pintu pondok itu telah dibuka dengan dentuman yang kuat. Zhu Shun memeriksa Chu Qiao, yang masih bernafas setelah tiga hari di dalam pondok kayu api itu, mengerutkan dahinya lebih rapat dan lebih rapat. Akhirnya, dia mengarahkan orang-orang suruhannya untuk melepaskan Chu Qiao.
Apabila dia ingin melangkah keluar dari pondok itu, dia berhenti sejenak di pintu pondok. Dia memalingkan badannya ke bahagian dalam pondok yang usang itu, mengambil pandangan terakhir, mengetip bibirnya bersama, dan berpaling kembali dengan wajah yang penuh keazaman.
Pondok itu nampak lebih usang dari jauh. Sekumpulan anak-anak kecil kelihatan sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok itu, menghendap Chu Qiao. Setelah dia sampai ke laman dan lelaki-lelaki itu mula beredar, kumpulan kanak-kanak itu beramai-ramai memeluk Chu Qiao.
"Kakak keenam, kakak dah kembali!"
"Kakak keenam, saya ingatkan kakak takkan balik ke sini."
"Kakak Yue Er, wuuuuuu…"
Kanak-kanak mula berceloteh secara serentak. Ada yang menjerit dengan agak kuat, memeranjatkan Chu Qiao sedikit. Chu Qiao berdiri di situ terpegun sementara kanak-kanak di sekelilingnya bercerita hal masing-masing. Sampai ada yang menangis sehingga berhingus.
"Okay, berhenti menangis."
Semua kanak-kanak berpaling ke arah lelaki empunya suara, lalu mereka berteriak seronok, "Abang kelima!"
Seorang budak lelaki berlari dari luar, memeluk sebuah beg kain. Setelah beberapa langkah, dia mengeluarkan isinya dari dalam beg. Ianya penuh dengan biji tembikai. Setelah melihat biji tembikai tersebut, kanak-kanak bersorak dan melepaskan pelukan mereka terhadap Chu Qiao serta-merta lantas memecut laju ke arah biji-biji tembikai itu.
"Tolong jangan berebut. Biji-biji ini cukup buat semua orang." budak lelaki itu berkata dengan penuh kematangan. Dia menyambung, "Yue Er baru saja terlepas dari ajalnya dan dia sedang mengalami kecederaan parah. Jangan ganggu dia, dan semua orang harus membantu Yue Er menyiapkan tugasannya untuk beberapa hari yang akan datang."
Sekumpulan kanak-kanak itu mengangguk faham. Seorang gadis kecil bertocang dua dan berkulit putih mulus dan lembut itu mengangkat pandangannya. Dia tersenyum manis dan memberitahu, "Jangan risau abang kelima, kami pasti akan membantu kakak keenam."
Anak lelaki itu menyambung, "Xiao Qi, kecederaan kamu macam mana? Kenapa kamu bergerak dari katil kamu?"
"Abang kelima, saya dah sihat." Kanak-kanak itu tersenyum lalu menggulungkan lengan bajunya ke atas, mendedahkan parut berwarna hitam dan biru akibat sebatan bertubi-tubi. Terdapat beberapa bahagian pada tubuhnya yang masih mendedahkan daging, langsung tidak kelihatan seperti sudah sembuh. Xiao Qi berkata riang, "Ubat yang abang beri tu sangat bergunalah. Selepas saya meletakkan ubat itu pada luka saya, saya tak dapat rasa kesakitannya langsung. Pinggang Xiao Ba telah disepak kuda semasa dia tengah memberi makanan kepada kuda itu, saya kena menolongnya."
"Lin Xi, masuk ke dalam. Kakak ada beberapa perkara untuk bercakap dengan kamu." Seorang gadis kecil berjalan ke hadapan serta-merta, memegang tangan lelaki itu.
Dia berpaling dan melihat Chu Qiao berada yang berada di sisinya. Dia lantas berkata, "Yue Er, angin agak kencang di luar sana. Masuk ke dalam juga lah."
Di dalam pondok yang usang itu, terdapat sebuah pemanas tilam besar yang menempatkan lebih daripada sepuluh helai gebar kemas dilipat di atasnya. Seorang budak lelaki bernama Lin Xi mencicit, "Kakak Zhi Xiang, kakak sedang mencari saya ke?"
Zhi Xiang tidak terlalu tua, kelihatan seperti berumur sepuluh tahun. Dia duduk bertinggung untuk membuka pemanas tilam itu dari bawah, menampakkan ruangan dalamannya yang gelip gelita itu, lalu membawa keluar sebuah kotak kecil. Dia berkata, "Ulangtahun kematian ibu bapa dan ahli keluarga kita akan menjelang dalam masa lima hari. Kemenyan dan colok yang kamu suruh kami sorok tu ada dekat sini."
Lin Xi menganggung dan berkata dengan nada waspada, "Berhati-hati, jangan sampai pengurus tahu akan hal ini."
"Ya, jangan bimbang. Tiada sesiapa yang akan datang ke mari. Tapi kamu pun kena berhati-hati, terutamanya bila kamu sedang berkhidmat dengan tuan muda keempat. Sehari sebelum semalam, kakak terdengar daripada Si Tao daripada bilik basuhan yang tuan muda ketiga telahpun membunuh dua orang rakan membacanya di dalam biliknya sendiri. Walaupun tuan muda keempat bukan orang sebegitu, perwatakannya yang pelik itu sangat susah untuk diduga. Apabila tuan besar tiada di sini, Tuan Muda Huai langsung tidak mengambil kisah tentang kejadian yang berlaku di dalam kawasan kediaman itu. Disiplin mereka semakin berkurangan. Tuan besar telah membunuh lebih daripada dua puluh hamba kanak-kanak perempuan. Hamba-hamba yang telah dijual kepada keluarga Du sekali dengan kita semuanya telah meninggal dunia. Kakak takut yang nasib kita akan jadi seperti mereka."