Dia hanya terduduk dan bersandar di atas katil sambil berpakaian bersih. Melihatkan wanita itu, dia mula tersenyum seperti biasa sambil menghulurkan tangannya dan menunjukkan ke arah sebuah kerusi di sisi lalu memberi isyarat, "Duduklah."
Wanita itu duduk dalam kebingungan sambil memandang lelaki itu dengan air mata yang bergelinangan di mata. Namun, dia tidak berani untuk menangis. Dia menggigit bibirnya dan berusaha sebaiknya untuk tidak menangis.
"Yushu, mulai sekarang, ia akan menjadi sukar bagi awak," Dia berkata tenang sambil melihat wanita itu. Dia berkata dengan perlahan namun kata-katanya kedengaran amat jelas. Di atas meja kecil itu terdapat dua keping ginseng yang sudah lama digunakan. Dia mengeluh kecil dan memandang ke arah Yong'er sambil berkata, "Saya bukan seorang bapa yang bertanggungjawab."
Yushu berasa sangat takut. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah rasa begitu takut. Tiba-tiba dia mengumpulkan keberaniannya dan memegang tangan suaminya lalu berkata, "Tuan, tolonglah. Awak tak boleh buat macam ini."
Xuan Mo tersenyum. Kulit mukanya bertukar menjadi semakin pucat dan matanya kelihatan semakin tenggelam. Dia tidak lagi kelihatan sama seperti dahulu.
"Tuan, awak tak boleh macam ini." Wanita naif itu tidak tahu apa lagi yang boleh dikatakannya. Jadi, dia hanya menggelengkan kepalanya sambil memegang lengan suaminya itu, mengulangi ayat yang sama berulang kali.
Bayu malam perlahan-lahan menolak tingkap dan membuatnya terbuka. Lilin tunggal itu hampir terpadam beberapa kali. Udara dari luar terasa sangat sejuk dan sambil membawa bersama aroma manis bunga kekwa dari utara.
Dia masih boleh mengingati lagi akan perbualannya bersama adik beradiknya. Mereka bersama-sama mencuba untuk membayangkan bakal suami mereka. Ada yang mahu berkahwin dengan sarjana pintar, ada yang mahu berkahwin dengan jeneral yang berkuasa dan ada juga yang mahu berkahwin dengan putera daripada keluarga bangsawan. Hanya dia seorang sahaja yang tidak dapat membuat keputusan dan setelah dipaksa oleh saudara-saudaranya, akhirnya dia berkata, "Selagi lelaki itu melayani saya dengan baik, ia sudah mencukupi."
Selagi dia masih melayani saya dengan baik, ia sudah mencukupi.
Dia selalu seperti itu, malah adik beradiknya turut merasakan dia tidak mempunyai cita-cita yang tinggi. Tetapi kenapa? Sekurang-kurangnya, dia tidak akan berasa kecewa kerana perasaan tamaknya, dia tidak akan berasa sunyi kerana bersendirian, dia tidak akan menyalahkan apa-apa yang berada di sekelilingnya. Keinginannya mudah sahaja tetapi ia cukup memuaskan. Kehidupannya mudah tetapi ia aman dan gembira. Namun, dia berputus asa untuk berharap walaupun sekecil-kecil harapan buat masa sekarang.
Dia memegang tangan Xuan Mo dan sambil menggeletar dia berkata, "Tuan, Tuan lama sudah mangkat. Ceraikan saja saya. Saya tahu Tuan tak sukakan saya dan dah mempunyai orang lain dalam hati Tuan. Tetapi sekarang saya tak mahukan apa-apa. Selagi Tuan masih hidup dan walaupun Tuan menceraikan saya, itu tak mengapa."
Ketika itu, semua angin dan hujan seolah-olah terhenti. Jeneral ini yang telah melihat begitu banyak liku-liku kehidupan tiba-tiba berasa terkejut dengan kedegilan wanita ini. Kesakitan tiba-tiba mula menggigit-gigit hatinya apabila kedegilan dan keazaman yang selama ini ditunjukkan olehnya musnah ketika sungai masa tiba-tiba menenggelamkan pemikirannya lalu membentuk sebuah lautan penyesalan. Pada saat-saat akhir hidupnya, ia telah bertukar menjadi satu keluhan.
Setelah berkahwin selama bertahun-tahun, ini kali pertama dia menghulurkan tangannya untuk memeluk wanita itu sebetulnya sambil meminta maaf, "Yushu, saya telah kecewakan awak."
Yushu benar-benar terkejut kerana dia terperangkap dalam pelukan yang terasa asing bagi dirinya. Selama bertahun-tahun dia bertahan, selama bertahun-tahun dia mengawal diri, selama bertahun-tahun dia menghiburkan diri sendiri dan selama bertahun-tahun dia menipu dirinya sendiri. Dia selalu berasakan dia seorang isteri yang baik dan menganggap dia tidak terluka dan tidak berasa sedih. Namun, semua kekuatannya hancur hanya kerana ayat dan pelukan yang mudah itu. Ia seolah-olah kelihatan seperti dia masih lagi tidak bebas daripada kesedihan, kekecewaan, impian dan juga pengharapan. Dia hanya selalu menindas perasaannya sendiri.
Tiba-tiba dia mengeluarkan bunyi tangisan, menangis sekuat hati lantas tidak dapat membentuk ayat yang tersusun. Ini kali pertama dan kali terakhir di dalam hidupnya, Yushu menangis kuat di dalam pelukan suaminya.
Selepas berkata begitu, Xuan Mo meninggal dunia. Dia kelihatan sangat tenang ketika dia pergi meninggalkan dunia ini. Ekspresi wajahnya membuatkan dia kelihatan seperti sebuah lukisan.
Pada hari kedua, Maharaja Yan yang pada mulanya merancang untuk meninggalkan bandar tiba-tiba mengubah perjalanannya dan bergegas menuju ke kediaman Raja Xuan apabila mengetahui Raja Xuan sudah mangkat. Maharaja yang kejam dan dingin itu berpakaian serba hitam seperti biasa dan berdiri di hadapan makam Xuan Mo buat masa yang lama. Semua yang hadir pada acara pengebumian itu terkejut dan meromok ketakutan. Namun, dia kelihatan seperti patung batu.
Selepas itu, mereka mengadakan upacara post-mortem pewarisan yang menganugerahkan gelaran dan ganjaran namun itu semua tiada kaitan dengannya. Hati Yushu telah mati dan keagungan yang sepintas lalu di dunia ini tidak bermakna lagi baginya.
Pedati itu perlahan-lahan bergerak ke arah jalan utama melewati bandar yang makmur, melepasi orang ramai ketika ia keluar dari bandar menuju ke barat daya. Bunyi sumbang orang ramai beransur-ansur hilang. Pemandangan itu telah digantikan dengan gunung-gunung dan dataran salji. Langit kelihatan kelabu dengan awan mendung yang penuh menghiasi langit. Seekor burung yang sedang terbang bersendirian mengeluarkan bunyi yang menyedihkan, jelas sekali ia sudah terpisah daripada kawanannya.
Yong'er bersandar di dalam pelukan Yushu, hampir tertidur kerana kehangatan dan keselesaan yang dirasainya di dalam pedati tersebut. Selimut itu sangat tebal lantas menghalang cuaca sejuk melampau dari luar. Yushu memegang anak kecil itu sambil menepuk lembut bahagian belakangnya dengan berirama lalu dia mengalunkan beberapa lagu yang pernah didengarinya sebelum ini. Masa seolah-olah berlalu dengan sangat lambat dan perjalanan mereka terasa sangat panjang.
"Cik Puan, ada kedai teh di hadapan, perlukah kita berhenti rehat?" Jiang Wu, yang mengetuai pasukan pengiring itu mendekati dan bertanya.
Tirai itu terbuka sedikit apabila angin sejuk bertiup masuk ke dalam pedati. Yushu mengerutkan dahinya sambil memandang ke langit lalu dia menjawab, "Kita perlu cepat. Saya rasa cuaca akan bertambah buruk. Jangan sampai perjalanan kita dihalang oleh salji."
"Faham, Cik Puan." Jiang Wu menyambung, "Hongchuan benar-benar sejuk. Kalau kita masih berada dalam wilayah Song, bunga teratai masih akan mengembang pada ketika ini."
"Ibu?" Yong'er menggosok matanya, wajahnya kelihatan merah. Selepas terdedah kepada angin sejuk, dia kelihatan lebih bertenaga. Dia bertanya sambil mengerutkan dahinya, "Kita dah sampai ke?"
Yushu memandang sekelilingnya dan menjawab sambil mengangguk, "Tak lama lagi."
Yushu tidak pernah melawat banyak tempat selama hidupnya. Kali pertama dia meninggalkan keluarganya adalah ketika dia berhijrah dari Empayar Song ke Bandar Zhen Huang. Pengembaraannya sejauh beribu batu itu telah membuatkan dia datang bersama-sama dengan puluhan ribu bangsawan Song dan tiba di tanah yang sejuk serta tidak dikenali ini.
Ketika itu, cara yang baik untuk menjelaskannya adalah Empayar Song telah mengikuti kehendak para dewa dan digabungkan secara aman bersama Empayar Yan. Namun semua orang mengetahui dalam Keluarga Nalan, selain dari Puteri Nalan Hongye, hanya ada beberapa orang anak perempuan sahaja dan seorang anak lelaki yang sudah meninggal. Ia agak mustahil untuk meneruskan keturunan mereka. Walaupun mereka masih berautonomi, akhirnya mereka pasti akan menjadi sebahagian utama dalam Empayar Yan.
Namun, hasilnya pasti yang paling baik. Pada tahun-tahun itu, Empayar Song telah menawan tiga wilayah terkecil dan tidak sampai sepersepuluh daripada Empayar Xia. Walaupun mereka berada di tepi laut dan aktiviti perdagangan mereka makmur, akhirnya ekonomi mereka terbantut oleh disebabkan kekurangan besi, kuda perang dan sumber-sumber kritikal ketenteraan yang lain. Kemampuan tentera Empayar Song selalu menjadi dasar hierarki dan satu-satunya alasan mengapa mereka tidak dijajah adalah kerana pemeriksaan dan keseimbangan sistem yang diperkenalkan oleh Xia dan Empayar Tang. Sekiranya Empayar Xia ataupun Empayar Tang runtuh, pemenang pastinya akan menyerang Empayar Song terlebih dahulu.
Selama bertahun-tahun mereka berperang, situasi dalaman Empayar Song tidak begitu stabil. Empayar Tang telah dibahagikan kepada dua bahagian apabila empayar tersebut berada dalam keadaan kucar-kacir. Empayar Xia pula dipecahkan oleh peperangan saudara. Dalam kes sedemikian, pertama, mustahil bagi Empayar Song untuk terus bergantung kepada ketegangan yang tidak menentu untuk memastikan dirinya terselamat dari konflik. Kedua, Empayar Song tidak mempunyai kemampuan ketenteraan untuk mengambil kesempatan ini supaya menyerang tanah-tanah lain. Ketiga, Empayar Song sendiri berisiko untuk musnah. Dalam keadaan sedemikian, selain daripada dibentuk secara damai oleh Empayar Tan, mereka mempunyai pilihan yang sedikit. Kebenaran telah membuktikan keputusan Puteri tersebut adalah betul. Walaupun Empayar Song telah diilhakkan, orang awam hampir-hampir tidak disentuh oleh api peperangan malah keluarga diraja dan bangsawan Empayar Song juga tidak kehilangan apa-apa. Para pegawai Song memperoleh jawatan penting di dalam Dewan Persidangan baru dan sama sekali berbeza dengan rakyat Xia yang dipandang sebagai rakyat kelas kedua.
Rakyat tidak peduli siapa yang menjadi maharaja. Selagi mereka tidak kelaparan dan tanah mereka tidak hilang, tidak ada sesiapa yang peduli jika pemerintah mereka berasal dari keluarga Nalan. Namun, ada juga yang tidak dapat menerima keputusan itu. Yushu masih ingat pada hari dia meninggalkan Empayar Song, ramai yang mencuba menghalang keluarga diraja daripada pergi dan selepas dimarahi oleh para tentera, ada sesetengah daripada mereka yang menuangkan minyak ke atas diri mereka sendiri lalu membakarnya.
Sehingga ke hari ini, Yushu masih ingat lagi kejadian itu. Ketika api menjulang tinggi, lelaki itu menjerit nama Raja Xuan semasa sedang dibakar dan yang lain turut mengikutinya sambil bersujud di atas tanah. Mereka mengatakan sekiranya Raja Xuan masih hidup, dia pasti tidak akan membenarkan wilayah itu diberi secara bebas kepada pihak musuh.
Dalam sekelip mata, banyak tahun sudah berlalu. Di bawah kepimpinan Empayar Agung Yan, suara-suara penentangan itu semakin pudar dan lelaki yang dilihat sebagai penyelamat Empayar Song juga telah hilang daripada ingatan orang awam. Kini, pada hari ulang tahun kematiannya, mungkin isteri dan anak lelakinya sahaja yang akan ke luar bandar untuk berdoa buatnya.
Selepas hampir setengah hari perjalanan, akhirnya mereka sampai di Gunung Yanxi. Tempat ini mempunyai permukaan bumi yang berbonggol dan kereta kuda tersebut tidak lagi dapat meneruskan perjalanannya. Yushu yang memakai mantel berwarna putih kosong keluar daripada pedati bersama Yong'er. Para pelayan membawa kereta kuda tersebut dan membolehkannya untuk duduk sebelum memulakan pendakian.
Disebabkan oleh salji yang tebal, para pelayan terpaksa berjalan dengan perlahan. Pada masa ini, Yong'er tiba-tiba menjadi bertenaga. Dia mengangkat tirai pedati itu dan melihat keluar dari tingkap dengan rasa gembira. Terdapat sebuah kuil di tengah-tengah gunung yang kelihatan seperti sudah terbiar lama. Yushu pernah berhenti untuk berehat di sana sekali. Dalam kuil itu, terdapat lebih kurang sedozen sami dan kebanyakan daripada mereka sudah pun tua. Oleh kerana tempat ini sangat lengang dari sebarang pelawat, jadi ia kelihatan seperti berada dalam keadaan kopak-kapik.
Dia memandang dari tingkap dan melihat walaupun di sekelilingnya kelihatan putih, masih terdapat pokok-pokok pain yang berwarna hijau segar namun dia berasa sunyi saja.
Setahun sudah berlalu.
"Cik Puan, kita sudah sampai. Jalan di hadapan kelihatan sempit dan pedati tidak dapat melaluinya lagi."
Yushu mengangguk lalu membawa Yong'er keluar dari pedati. Dia mengarahkan supaya para pengawal lain untuk tinggal di situ dan dia akan pergi bersama Jiang Wu serta setanggi.
Ketika mereka mendaki ke atas, angin bertiup dengan semakin kencang. Dia melindungi Yong'er di belakangnya sambil meneruskan perjalanan. Tiba-tiba, ada satu bayang-bayang yang muncul dari semak di sebelahnya. Jiang Qu bertindak balas dengan segera untuk melindungi Yushu. Namun belum sempat dia mengeluarkan pedangnya, dua bilah pedang telah diletakkan di lehernya.
"Siapa awak?" Penceroboh tersebut menjerit.
Wajah Yushu kelihatan pucat kerana ketakutan lalu dia cepat-cepat menutup mata Yong'er. Namun dia tidak menyangka Yong'er akan menjadi sebegitu berani. Dia menarik tangan ibunya dan berkata, "Saya anak kepada Raja Xuan dan ini adalah ibu saya. Kami berada di sini untuk berdoa kepada ayah saya. Siapa awak semua? Perompak? Awak semua tak takut diburu ke?" Suara anak kecil itu kedengaran jelas seperti kristal, bergema dalam tiupan angin kencang. Yushu dengan segera menarik belakang Yong'er dan memegangnya erat di dalam pelukannya.
'Perompak-perompak' tersebut memandang antara satu sama lain dan segera menyimpan senjata mereka. Ketua mereka berjalan ke hadapan dan dengan penuh hormat dia menyapa, "Selamat pagi, Cik Puan Xuan dan Tuan Muda. Maafkan kami atas kebiadapan kami. Sila tunggu sebentar ya." Selepas itu, lelaki itu segera beredar. Tidak lama kemudian, dia kembali dan menjemput mereka, "Cik Puan, silakan."
Yushu memandang mereka dengan penuh rasa curiga dan hanya Jiang Wu sahaja yang kelihatan seperti memahami situasi itu. Dia tidak berani bercakap banyak dan hanya mengangguk kepada Yushu, memberi isyarat kepadanya supaya mereka tidak perlu berasa takut.
Jubin jed itu kelihatan sangat kemas dan berkilat. Jika dilihat dari jauh, ia kelihatan seperti cermin yang besar. Langit kelihatan begitu dekat seolah-olah dia dapat menyentuh awan jika dia menghulurkan tangannya. Angin yang bertiup di sekelilingnya membuatkan pakaiannya sedikit terselak di sekitar salji. Suasana putih di sekelilingnya membuatkan dia kelihatan seperti dikelilingi oleh kabus susu.
Yushu mengecilkan matanya dan dia dapat melihat satu susuk tubuh orang di dalam ribut salji di hadapannya. Lelaki itu sedang memakai mantel berwarna hitam dan mantel itu turut menutupi wajahnya. Ketika angin bertiup, ia kelihatan seperti salji juga cuba untuk mengasingkan lelaki itu daripada dunianya sendiri. Susuk tubuh yang kelihatan kesunyian itu seperti mitos Yggdrasil; tegas dan kuat seolah-olah membawa syurga dengan dirinya sendiri.
Walaupun Yushu tidak dapat melihat dengan jelas penampilan lelaki itu, Yushu dengan segera berlutut dan menarik Yong'er bersama. Dengan suaranya yang perlahan dia berkata, "Selamat pagi, Tuanku."
Yan Xun berpaling. Pandangan dinginnya itu kelihatan mesra selepas melihat wanita di hadapannya. Dia tersenyum sedikit walaupun ia kelihatan kaku. Dia tidak pasti sama ada kekakuan itu berasal daripada cuaca yang sejuk atau dia sudah lupa cara untuk senyum. Dia mengangguk dengan perlahan, "Awak dah datang."
Yan Xun tidak memberitahunya untuk bangun jadi Yushu tidak berani untuk bergerak malah jantungnya berdegup kencang. Dengan rasa gementar dia menjawab, "Ya, Tuanku."
"Bangunlah. Saya tak mahu dilihat seperti sedang membuli isteri dia sendiri." Kata-katanya agak kasual namun kaki Yushu kelihatan lemah kerana takut. Dia bangun dengan kekok dan berjalan dengan Yong'er. Berdiri di belakang Yan Xun kira-kira sepuluh langkah, dia dapat melihat setanggi di hadapan kubur Xuan Mo sudah dinyalakan serta wang neraka yang berwarna hitam berterbangan seperti sekumpulan rama-rama.
Yan Xun tidak lagi bersuara. Dia dengan santai bergerak ke tepi lalu mengosongkan ruang di hadapan kubur tersebut. Yushu berjalan ke hadapan bersama anaknya dan mula menjalankan upacara ritual mereka sendiri. Mereka menyalakan api setanggi dan mula membakar wang neraka. Kertas putih itu dengan cepat dijilat oleh api dan bertukar menjadi abu berwarna hitam jet. Wajah Yushu yang pucat seolah-olah dinodai dengan warna merah darah di bawah cahaya api dan jari-jemarinya yang membeku didekatkan dengan kehangatan api yang sedang menyala. Namun, jari-jemarinya masih kaku lalu dia dengan perlahan-lahan memarakkan nyalaan api dengan membakar banyak lagi wang neraka.
"Ayah, Yong'er ada di sini untuk melawat ayah." Yong'er dengan patuh berlutut di atas tanah dan mengetukkan kepalanya sebanyak tiga kali ke atas tanah sebelum bercakap dengan serius, "Tahun ini saya telah lakukan yang terbaik untuk buat kerja sekolah saya dan Encik Lu telah memuji saya sebanyak tiga kali. Saya belajar banyak perkataan dan saya juga belajar menunggang kuda. Pakcik Jiang memberikan saya kuda kecil yang berwarna hitam. Ia mempunyai bulu berwarna putih di atas hidungnya dan ia kelihatan sangat kacak." Kanak-kanak itu bercakap banyak dan walaupun dia kelihatan agak kebudak-budakan, kata-katanya dipenuhi dengan kematangan. Dia mengerutkan keningnya lantas membuatkan dia kelihatan sangat comel lalu dia menyambung, "Ayah, cuaca sangat sejuk. Ayah kena pakai pakaian tebal. Saya dan ibu akan membakar beberapa pakaian sejuk untuk ayah. Ayah keseorangan di sini jadi ayah mesti menjaga diri dengan baik dan jangan jatuh sakit. Saya akan menjaga ibu dengan baik bagi pihak ayah jadi ayah jangan risau ya."