Hujan gerimis yang berterusan, ditambah lagi dengan hakikat kini telah masuk di pertengahan musim luruh membuatkan kereta kuda itu dibasahi hujan tatkala ia keluar dari lorong. Hujan renyai itu kelihatan seperti air mata dingin yang mengalir. Pintu gerbang istana pula malah kelihatan megah. Apabila melihatnya dari jauh, ia kelihatan seperti sebuah lukisan yang begitu indah.
Tirai kereta kuda kemudiannya diselak, mendedahkan satu tangan yang kurus. Tangan tersebut tampak putih gebu sementara kukunya telah diwarnai dengan warna merah. Gelang emas-ungu di pergelangan tangan kelihatan jauh berbeza dengan kulitnya yang nampak seperti jed.
"Cik Puan," Seorang gaji tua berlutut di atas jalan sambil berbisik di pintu kereta kuda yang terbuka sedikit, "Doktor Diraja Sun berada di dalam untuk mengambil denyutan nadinya."
Seorang wanita lantas keluar dari kereta kuda itu dan menyebabkan pedati itu bergoyang sedikit. Dengan wajah cantik dan senyuman lembut, wanita itu memang seorang jelitawan. Dua orang pembantu muncul di sebelahnya dan membuka payung untuknya. Wanita berusia 30 tahun itu lantas memegang tangan seorang kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun. Walaupun anak itu masih muda, tetapi dia kelihatan sangat kacak. Setelah melihatnya, dia tersenyum. "Bonda, saya dah tamat sekolah."
Yushu tersenyum kecil sambil membelai dahi anak itu. "Ayuh ikut bonda untuk lawat Maharani."
Anak itu berkerut dan kelihatan seolah-olah teragak-agak. Dia memuncungkan mulutnya dan berkata, "Tak boleh ke Yong'er tunggu bonda di sini saja?"
"Tak boleh." Raut wajah Yushu kelihatan serius dan dia menggelengkan kepalanya sambil berkata, "Yong'er bukan ke seorang anak yang taat. Maharani tak sihat pada saat ini jadi kamu perlu patuh."
Kanak-kanak itu memikirkannya buat seketika sebelum mengangguk tidak berdaya. "Baiklah." Walaupun begitu, dia masih kelihatan teragak-agak.
Empat tahun yang lalu, apabila berhadapan dengan tentera Yan Bei kuat seramai 800,000 orang, Tuan Puteri telah menyerahkan keseluruhan Empayar Song kepada Yan Bei dan mendapat kedudukan seorang bangsawan bagi seluruh Wilayah Song. Dengan itu, dia meninggalkan tanah airnya sendiri dan menuju ke arah utara. Ahli keluarga diraja ini juga menuju ke Zhen Huang bersama Tuan Puteri yang berpindah tetap di sana.
Kejatuhan Empayar Xia telah berlaku bertahun lalu dan dinasti pemerintahan telah berubah menjadi "Yan". Empayar Yan yang baru telah memperluas istana dan menjadikannya lebih megah. Di samping itu, dia juga telah membina sebuah istana yang baharu hanya untuk Puteri Song dan menamakannya Istana Dongnan. Dia membenarkan Maharani untuk mengambil bahagian dalam politik, memerintah pelbagai perkara di Wilayah Song, termasuklah sebarang pelantikan semula pegawai Song yang berpangkat tiga dan ke bawah. Dewan persidangan utama merujuk kepada Istana Dongnan sebagai Dewan Persidangan Song yang kecil.
Tetapi, dengan kesihatan Tuan Puteri yang semakin merosot, istana mula menjadi sunyi. Ayah Yushu merupakan antara pengawal lama Empayar Song. Pada peringkat awal setelah diilhakkan, ayah Yushu masih lagi seorang pegawai penting, namun lama-kelamaan, pegawai-pegawai Song semakin berintegrasi ke dalam dewan persidangan utama. Dengan undang-undang Maharaja yang bijak, penentangan awal pekerjaan telah dihapuskan. Istana Dongnan ini tidak digunakan lagi.
"Cik Puan Xuan dah datang." Mak Cik Yun sudah berusia 60 tahun. Selama beberapa tahun ini, wajahnya kini semakin mencerminkan usianya. Dengan rambutnya yang memutih serta kedutan yang kini kelihatan pada wajahnya, dia berjalan sambil tersenyum. Dia membongkok sedikit untuk mengusik budak lelaki itu, "Tuanku dah semakin kacak. Kamu pasti akan menjadi seorang lelaki kacak seperti Raja Xuan."
Selepas mengikuti Maharani buat masa yang lama, darjat Mak Cik Yun begitu tinggi di istana. Malah Yushu sendiri pun sangat menghormati Mak Cik Yun. Dia tersenyum dan bertanya, "Mak Cik sihat ke?"
"Saya sihat-sihat saja."
"Maharani bagaimana?"
"Dia seperti itulah." Keluh Mak Cik Yun. Apabila meningkat usia, biasalah sekiranya dia banyak berbicara. Dia teruskan percakapannya, "Dia masih makan dengan sedikit dan tak suka makan ubat. Dia dah tua tetapi perangai tak ubah seperti seorang kanak-kanak."
"Yong'er tak takut makan ubat!" Yongwang yang mendengar ceritanya itu tiba-tiba mencelah.
Setelah mendengarnya, Mak Cik Yun kelihatan sangat gembira lalu dia pun berkata, "Tuanku memang seorang yang hebat. Setelah masuk, kamu beritahu Maharani untuk makan ubatnya, okey?"
"Maharani dah bangun dan bertanya siapa yang datang ke sini?" Seorang gaji tiba-tiba berjalan ke arah mereka. Yushu mengangguk pada Mak Cik Yun sebelum memasuki istana dengan Yongwang.
Istana ini masih sama. Sekalipun istana ini cantik, Yushu selalu menganggap ia terlalu kosong. Dia juga dapat mendengar bunyi tapak kakinya bergema apabila berjalan di sini. Maharani amat menyukai ketenangan dan kebiasaan sering dapat melihat hanya beberapa orang sahaja di sisinya. Bahkan di istana kediamannya, hanya terdapat beberapa orang gaji sahaja yang melayannya.
Dua orang gaji menyelak tirai untuk Yushu. Kristal berkilat bersentuhan antara satu sama lain lalu menghasilkan bunyi geseran. Yushu membawa Yongwang masuk dan berlutut di luar bilik tidur utama sambil berkata dengan lembut.
Selepas beberapa ketika, suara yang tenang kedengaran. Setelah menelitinya dengan lebih dekat, mereka dapat mendengar terdapat sedikit kesukaran dalam pernafasannya. "Yushu? Masuklah."
Istana utama terasa agak sejuk. Hiasan ukiran di dinding mempamerkan sebuah gambaran gunung dan sungai, memberikan rasa semulajadi di dalam bilik yang kosong ini. Maharani sedang berpakaian kuning tatkala dia duduk menyerong di atas katil dengan rambutnya yang terikat dengan kemas. Terdapat satu sepit rambut yang berwarna merah yang menghiasi rambutnya.
"Wenyuan, jemput mereka duduk."
Seorang gaji yang berpangkat lebih tinggi berjalan lalu menarik kerusi buat Yushu. Setelah mengucapkan terima kasih kepadanya, Yushu duduk dan mendengar Maharani bertanya kepadanya, "Bagaimana keadaan keluarga awak?"
Yushu dengan hormatnya menjawab, "Semuanya baik, Tuanku."
"Saya dengar awak ambil seorang guru baharu. Bagaimana dengan kerja rumah Yong'er?"
"Yong'er agak muda dan tak begitu bijak seperti putera lain. Tetapi, saya telah mengupah dua orang guru peribadi untuknya supaya dia boleh mengikuti sesi pembelajaran."
Maharani itu terbatuk kecil dan mendedahkan kulitnya yang pucat sebelum menjawab, "Awak telah dididik sejak kecil, jadi awak pasti tahu bagaimana untuk membesarkan anak-anak awak. Tak perlulah terlalu risau. Lagipun, Yong'er masih muda jadi tak perlu terlalu memaksanya."
Dengan itu, mereka mula bersembang. Yushu mempunyai hubungan yang agak aneh dengan Maharani ini. Walaupun Maharani kelihatan sangat menyukai keluarga ini, tetapi pada hakikatnya, mereka tidak mempunyai ikatan sama sekali. Walaupun dia kerap datang melawat maharani, tetapi mereka hanya mempunyai beberapa topik sahaja yang boleh dibincangkan.
Selepas berbual selama 30 minit, terdapat suatu bunyi bising yang datang dari luar. Setelah mendengarnya, Yushu segera menarik anaknya supaya mendekatinya. Hampir dengan serta-merta, tirai itu diselak dan Maharaja berjalan masuk dengan pantas.
"Ampun Tuanku. Sembah patik harap diampun. Daulat Tuanku Maharaja."
"Ampun Tuanku. Sembah Yong'er harap diampun. Daulat Tuanku Maharaja."
Maharaja mengangkat tangannya dan dengan suara yang rendah, dia mengarah, "Sila duduk."
"Terima kasih, Tuanku."
Maharaja dengan selambanya duduk di atas katil. Oleh sebab Maharani sedang gering, dia hanya telah menyambut pemuda itu di atas katil sebelum bertanya dengan santai, "Bagaimanalah Maharaja kita ini boleh ada masa lapang pada hari ini?" Maharaja itu hanya menjawab, "Saya dengar daripada Doktor Diraja Sun yang awak tak sihat, jadi saya datang untuk melawat."
"Tuanku Maharaja, awak menguruskan pelbagai perkara setiap hari. Saya berasa terharu yang awak masih ingat saya sedang sakit."
Yushu menundukkan kepalanya dan berasa sedikit janggal apabila mendengar perbualan formal antara Maharaja dan Maharani. Tidak manis baginya untuk mencelah, jadi dia menarik anaknya di sebelahnya sambil berpura-pura dia sangat tertarik dengan sikap anaknya itu.
Setelah bercakap dengan Maharani untuk seketika, Maharaja berpaling dan bertanya, "Bagaimana keadaan keluarga awak?"
"Semuanya baik-baik saja, Tuanku."
"Awak ada guru baru bukan?Yong'er pula masih muda, jadi bagaimana dengan kerja rumahnya?"
Yushu berasa agak terkejut dan berfikir mereka berdua ini sememangnya satu pasangan. Dia segera menunduk. "Terima kasih kerana mengambil berat, Tuanku. Dia hampir tak dapat mengejarnya."
Maharaja mengangguk dan bertanya mengenai beberapa hal lain. Tiba-tiba, dia bercakap dengan Cao Qiu yang melayaninya, "Bawa busur yang baru saja diberikan kepada kita sebagai tanda penghormatan. Yong'er akan berusia lapan tahun tak lama lagi, jadi dah tiba masanya dia belajar beberapa seni mempertahankan diri. Xuan Mo mahir dalam seni mempertahankan diri, terutamanya dengan busur dan anak panah. Bapak borek, anak rintik. Saya percaya yang Yong'er tak akan mengecewakan saya."
Cao Qiu cepat-cepat membawakan sebuah bekas. Yushu bangun dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Maharaja ke sini untuk melawat Maharani, tetapi mengapa dia membawa busur dan panah pula? Adakah dia tahu Yushu akan membawa Yong'er ke Istana?
Selama ini, Maharaja memang telah memperlakukan keluarga mereka dengan baik. Tidak kira apa manfaatnya, dia tidak pernah melupakan mereka. Maharaja tidak memperlakukan mereka dengan apa-apa kecuaian walaupun hakikatnya keluarga mereka tidak mempunyai orang lelaki sebagai ketua rumah. Hal ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan orang-orang di dewan persidangan bergosip tentang mereka. Di samping itu, Maharaja selalu bercakap tentang Xuan Mo seperti mengenalinya. Namun, berdasarkan pengetahuan Yushu, mereka berdua tidak pernah bertemu pun sebelum ini.
Pada ketika itu, terdapat pelbagai perkara yang sedang bermain dalam fikirannya. Yushu mengambil bekas itu dan Yong'er yang berada di sebelahnya kelihatan sangat gembira tatkala dia membongkok sambil tersenyum, "Maharaja benar-benar melayan Yong'er dengan baik."
Maharaja menunjukkan senyumannya yang jarang benar dilihat itu sebelum berdiri dan berkata, "Saya masih mempunyai beberapa hal yang perlu diuruskan. Kamu patut teman Maharani dengan lebih lama." Setelah itu dia pun beredar.
Setelah Maharaja beredar, Maharani mula batuk dengan lebih teruk dan kelihatan agak penat.
Wenyuan bertanya sesuatu dengan senyap sebelum membantu Maharani menukar pakaiannya kepada pakaian tidur. Setelah melihat bagaimana percakapan Mahani berubah menjadi perlahan dan dia sudah kelihatan begitu letih, Yushu pun berdiri untuk meminta diri. Maharani tidak mencuba untuk menahan mereka dan hanya memaklumkan kepada orang-orang gajinya untuk memberikan hadiah yang telah disediakan buat mereka.
Di lorong sempit itu, Yushu duduk di dalam pedati sambil memeluk Yong'er. Apabila kereta kuda itu bergerak, hujan yang turun menghasilkan bunyi detak. Emosi Yushu bergolak. Selepas memikirkannya dengan berhati-hati, dia menyedari seolah-olah setiap kali dia memasuki istana, dia akan diberi peluang untuk bersemuka dengan Maharaja. Ia seolah-olah setiap kali dia melawat Maharani, Maharaja pun akan berada di sana untuk melawat Maharani. Malah, seseorang dari statusnya biasanya tidak akan dapat melihat Maharaja sewenang-wenangnya.
Dia tiba-tiba berasa tidak selesa setelah memikirkan bagaimana Maharaja bercakap tentang suaminya dan mula berasa curiga.
Dia tiba-tiba membuka pintu pedati itu dan bercakap dengan Jiang Wu, "Jiang Wu, betul ke Tuanku sangat hebat dalam memanah?"
Jiang Wu berasa sedikit terkejut dan tidak menjangkakan dia akan menyebut tentang hal ini. Dia kemudiannya segera menjawab, "Tuanku secara semula jadinya amat cekap dengan semua senjata, tetapi kemahiran pedangnya adalah yang paling terkenal. Bercakap tentang memanah, Maharani juga agak mahir."
Yushu berkerut dan lantas sesuatu bermain dalam fikirannya. Namun, ia hanya sekilas dan dia tidak dapat menangkap pemikiran itu. Dia kemudiannya mengangguk dan menutup kembali pintu pedati tersebut.