Chapter 281 - Bab 281

Ketika Yushu berlalu pergi, Nalan mula batuk. Beberapa orang pakar perubatan yang sedang bertugas bergegas menuju ke Istana Zhaoyang untuk memeriksa bacaan denyutan nadi dan menyediakan campuran ubat. Mereka menjadi sibuk selama lebih empat jam. Bau ramuan ubat-ubatan lantas berlegar-legar di ruang istana. Nalan Hongye terbaring lemah di atas katilnya sambil tercungap-cungap tanpa henti sejak dari pagi tadi. Wajahnya kelihatan pucat sekali.

"Puan Maharani, saya dengar Tuanku bermalam di Istana Qinglu malam ini. Tiada sesiapa di sisinya untuk melayaninya."

Nalan memegang tangannya lalu diletakkan rapat ke dadanya. Dia bertanya dengan lemah, "Bukan ke Cik Puan Cheng berada di Istana Qinglu?"

"Tidak. Cik Puan Cheng berada di sini. Dia sedang memulihkan dirinya di Hongfang."

Nalan mengangguk dan berfikir sejenak sebelum menjawab, "Cuaca semakin sejuk. Pergi arahkan Cao Qiu dan hamba-hamba yang lain untuk lebih berhati-hati. Jangan biarkan Tuanku demam."

"Ya."

Ketika Wen Yuan bersiap sedia untuk pergi, Nalan membuka mulutnya dan berkata, "Lupakan. Tak perlu pergi." Kemudian, dia berpaling untuk menghadap bahagian dalam bilik. Suaranya yang lembut perlahan-lahan hanyut, "Tak perlu kejutkan saya untuk makan malam. Saya nak tidur."

"Baiklah, Puan."

Sudah lima tahun berlalu semenjak Yan Xun mendirikan empayarnya. Sama seperti maharaja-maharaja sebelum ini, istana yang suram itu kini menjadi meriah. Kecantikan dan keindahan yang tidak terhitung menyinari istana itu; ada yang kecil, ada yang kelihatan sejuk, ada yang berpendidikan dan ada juga yang comel. Ia seolah-olah semua kecantikan di dunia berkumpul di dalam istana ini kerana suasananya kekal meriah.

Malangnya, Nalan Hongye tidak boleh mengandung walaupun dia sudah tinggal di dalam istana selama empat tahun. Sebaliknya, gundik lain yang mengandung; adik Cheng Yuan, Cik Puan Cheng telah melahirkan sepasang kembar. Statusnya telah diangkat sehinggakan ia sudah cukup untuk menimbulkan ancaman kepada dirinya.

Bagi dirinya, dia sudah lama tidak masuk ke dalam Istana Zhaoyang. Jika bukan sebab Yushu yang membawa Yong'er ke sini, dia tidak akan datang ke sini lagi.

Selepas matahari terbenam dan bulan muncul di langit malam, sepasang lilin merah dibakar dan menyala dengan terang di dalam bilik. Nalan Hongye yang kelihatan sangat kurus sehingga nampak tulang badannya sedang merekot di dalam selimutnya sambil batuk tanpa henti. Mungkin, dia sudah lama tidak memikirkan hal tersebut.

Enam tahun yang lalu pada hari di mana pelbagai empayar bertemu di bawah sempadan, berita mengenai kelahiran putera kecil Qinghai tersebar di sekitar Meng Barat. Disebabkan kesihatan putera kecil itu yang terjejas semasa dia masih lagi dalam kandungan ibunya, peristiwa itu hampir menjadi kejadian bayi lahir mati. Kehidupan Chu Qiao juga seperti bergantung kepada seurat benang kerana kesihatannya yang kurang baik. Perasaan cinta Raja Qinghai terhadap isterinya sudah diketahui umum sejak dia menyerahkan peluang untuk berlawan dengan Yan Xun untuk menakluki dunia demi wanita itu.

Qinghai mengeluarkan notis untuk memberikan ganjaran besar kepada mana-mana pakar perubatan yang berjaya menyelamatkan mereka. Mereka mendapat tahu Encik Qingzhu dari Maling mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan tetapi dia menolak untuk masuk ke dalam Qinghai dengan alasan ia sebuah wilayah yang kejam. Raja Qinghai yang berada di tengah-tengah persekutuan antara Yan Bei dan Song mengetuai 3000 tentera elit keluar dari Sempadan Cuiwei secara peribadi telah menuju ke Maoling untuk menculik Encik Qingzhu. Pada akhirnya, nyawa Chu Qiao dan anaknya dapat diselamatkan.

Berita ini telah tersebar semasa hari perkahwinan mereka, mengikut hasratnya yang selama ini disimpan di dalam hatinya selama bertahun-tahun. Dia membuka jemputan itu untuk melihat nama yang tertera di atas di mana lelaki itu telah menulisnya sendiri.

Yan Xun, Nalan Hongye.

Nama mereka ditulis bersebelahan dengan setiap coretan ditulis dengan berhati-hati. Hujung jarinya menyentuh surat jemputan itu dan terhenti pada ayat, "Doakan pasangan ini hubungan yang berkekalan dan perpaduan". Ia ucapan tahniah yang ringkas namun telah membuatkan dia menangis.

Pada petang itu, mereka berdua telah mengadakan sebuah jamuan makan di Istana Hehuan. Pokok badam di halaman luar kediaman istana sedang mekar indah; ketika angin bertiup melepasi pepohon tersebut, kelopak bunga berwarna merah dan merah jambu bertaburan di serata tempat. Dia duduk di hadapan wanita itu dengan riak wajahnya yang kelihatan tenang. Banyak perkara yang mahu diucapkan kepada wanita itu namun dia tidak bercakap banyak. Dia tidak kelihatan terlalu biadab tetapi tidak juga kelihatan terlalu baik.

Nalan Hongye mahu mendedahkan masa lalunya yang telah disembunyikannya untuk masa yang lama namun dia teragak-agak untuk berbuat demikian kerana riak wajah dingin lelaki itu. Ketika malam menjelma, lelaki itu bersedia untuk pergi. Dia dengan terdesak cuba membuka mulutnya untuk bercakap namun diganggu oleh pengawal peribadi lelaki itu yang memberitahunya mengenai urusan penting ketenteraan yang harus dihadiri olehnya.

Raja Qinghai sudah menghampiri Maoling.

Wajah dingin Yan Xun berubah serta-merta apabila dia mengarahkan tenteranya untuk berkumpul di sekitar kawasan Maoling. Tujuannya ialah menghalang Raja Qinghai keluar buat masa satu hari. Walau bagaimanapun, sebelum pengawalnya keluar dari dalam bilik, dia telah menghalangnya. Ketika matahari yang terbenam menyinari wajahnya, dia menghulurkan tangannya setengah dengan kiraan mahu bercakap tetapi dia tidak berbuat demikian. Kelopak bunga badam berterbangan di ruang udara sebelum jatuh ke atas tanah.

"Lupakan," Dia meletakkan tangannya ke bawah dan kembali kepada sikapnya yang tenang.

"Lupakan?" pengawal tersebut terkejut dan menjawab secara tidak sedar.

Yan Xun mengangkat keningnya perlahan-lahan tanpa bercakap apa-apa. Lirikan matanya memandang dingin ke arah wajah pengawal tersebut. Pengawal itu berlutut di atas tanah kerana sangat takut akan Yan Xun. Kemudian, dia keluar daripada bilik itu dengan pantas.

Ketika langit mula gelap, Yan Xun berpaling ke arah Nalan Hongye sambil tersenyum. Dia memberikan sepotong pucuk buluh kepada wanita itu dan berkata, "Makan dengan banyak, ia bagus untuk kesihatan tubuh badan awak."

Selepas melalui banyak asam garam kehidupan, dia telah memupuk semangat vitalnya sehingga sempurna. Wanita itu mengangguk lalu menjawab, "Terima kasih, Tuanku." Walaupun pertemuan ini kelihatan remeh dan cepat dilupakan oleh orang lain, dia dapat mengingatinya dengan sangat jelas.

Pada petang itu, di bawah matahari terbenam, dia tersedar akan sesuatu. Walau bagaimanapun, ia perkara yang tidak mahu diakuinya selama bertahun-tahun.

Kedengaran suara seseorang yang sedang batuk bergema dari dalam istana. Wen Yuan yang berada di luar istana sedang meletakkan beberapa jenis herba di dalam periuk setanggi sambil mengerutkan mukanya sedikit.

Cahaya bulan kelihatan sangat indah di luar. Musim sejuk di Zhen Huang bakal menjelang tidak lama lagi.

Yushu terduduk di sebelah katilnya. Angin bertiup senyap; asap dari periuk setanggi itu merebak keluar membentuk lingkaran bulat. Dia menghulurkan tangannya untuk menyentuh wajah anaknya tetapi dia teragak-agak kerana dia tidak mahu anaknya demam. Dia mengelus lembut dahi anaknya menggunakan jarinya sambil tersenyum.

Bunyi pukulan gendang yang menandakan sudah masuk waktu tengah malam membuatkan dia berasa tenang.

Yushu berdiri dan keluar dari bilik itu lalu menutup pintu bilik di belakangnya. Ketika dia berpaling, dia dapat melihat ada cahaya lilin di dalam bilik tersebut.

Pada ketika itu, dia berasa amat terkejut.

Sama seperti beribu-ribu masa sebelum ini, dia hanya berdiri di sana dengan senyap sambil memerhatikannya.

Sudah lima tahun berlalu dan debu-debu telah dicuci. Para pegawai di dewan persidangan mungkin telah melupakan lelaki itu. Malah, orang awam yang tinggal di tepi laut dan yang pernah mendoakan untuknya juga telah menukar tanda peringatan bertulis di atas altar mereka untuk keluarga mereka sendiri.

Semua orang telah melupakan pemuda itu, pencapaiannya, sumbangannya, rupa parasnya dan harga berat yang telah dia bayar untuk negaranya. Hanya dia seorang sahaja yang masih membakar lilin setiap malam di dalam bilik bacaan lelaki tersebut sebagai tanda memperingati dirinya.

Dia tidak berani untuk mendekati lelaki itu sama seperti ketika dia masih hidup. Dia juga pernah menyerahkan sup yang dimasak olehnya sendiri kepada pelayan wanita.

Lelaki tersebut berkata dia mempunyai urusan negara yang perlu diselesaikan dan meminta supaya tidak diganggu. Dia mempercayai lelaki itu.

Lelaki tersebut berkata dia mempunyai urusan ketenteraan yang perlu diselesaikan dan meminta supaya tidak diganggu. Dia mempercayai lelaki itu.

Dia berkata dia akan sibuk hingga lewat malam dan dia akan tidur di dalam bilik bacaannya. Dia memberitahu supaya tidak menunggu dirinya. Dia mempercayai lelaki itu.

Dia seorang perempuan yang bodoh. Tidak kira apa yang dikatakan oleh lelaki itu, dia mempercayainya. Walau bagaimanapun, kadang-kadang dia mahu bersuara dan mengadu mengenai layanannya yang tidak ada bezanya dengan seorang hamba. Dia mahu memberitahu lelaki itu dia adalah isterinya dan bukan orang luar. Dia mahu memberitahu lelaki itu dia tidur lewat pada setiap malam jadi dia tidak perlu risau jika lelaki itu bangunkannya. Walau bagaimanapun, dia tidak berani untuk bercakap. Mungkin, dia malu.

Oleh itu, dia hanya duduk di tepi tingkap dan memandang bilik bacaan lelaki itu sehinggalah lampu-lampu bilik itu terpadam. Selepas itu, barulah dia dapat tidur dengan aman. Kadang-kadang dia terfikir, adakah ini juga dikira sebagai tidur bersama? Bagaimanapun, ketika dia memikirkan mengenai perkara ini, wajahnya bertukar menjadi kemerahan menahan rasa malu.

Setiap kali dia pulang ke rumahnya, kakaknya akan memberitahunya suaminya telah menjalinkan hubungan luar nikah di luar. Dia akan memarahi kakaknya demi mempertahankan suaminya dan tidak membenarkan sesiapa sahaja mencela suaminya. Walau bagaimanapun, disebabkan wanita ini tidak pandai berkata-kata, dia tidak dapat meyakinkan kakaknya. Oleh sebab itu dia semakin jarang pulang ke rumah.

Dia tahu dia mempunyai suami yang terbaik di dunia. Lelaki itu seorang yang jujur, baik, berbakat, dihormati, berpendidikan dan puitis. Dia tidak minum arak di rumah malah dia juga tidak mabuk sekiranya dia bersosial di luar. Dia tidak berkahwin dua dan tidak melakukan perbuatan maksiat. Dia adalah seorang komander yang paling terkenal dalam kalangan tentera. Dia mengabaikannya kerana kadang-kadang dia terlalu sibuk dengan jadual kerjanya, jadi apa salahnya? Jika dibandingkan dengan ibunya, kakaknya dan gundik-gundik yang terlibat dalam politik dalaman mereka, dia jauh lebih baik daripada mereka.

Lelaki itu adalah suaminya, syurganya dan dunianya.

Bukankah Yushu sepatutnya mempercayainya, menjaganya dan menunggunya? Bagaimana dia boleh mengesyaki, memfitnah dan memendam rasa tidak gembira terhadap suaminya?

Tambahan pula, walaupun lelaki tersebut sudah meninggal dunia, dia masih akan terus berasa gembira untuk meneruskan warisan lelaki itu. Yang paling penting, dia telah meninggalkan anak mereka yang merupakan perkara yang paling berharga buat dirinya.

Tidak ada apa-apa perkara yang boleh menyebabkan dia tidak berasa gembira.

Dia tersenyum dengan rasa tidak bersalah. Dia menarik jubahnya lalu berkata kepada dirinya sendiri, "Aku akan membeli beberapa helaian kertas untuk tingkap esok. Cuaca semakin sejuk. Aku perlu menukar kertas di dalam bilik belajar."