Zhuge Yue mengangkat keningnya dan menendang perut kuda dengan perlahan. Tenteranya berpecah kepada dua kumpulan untuk memberi laluan kepada pemuda itu. Lelaki itu menunggang kudanya dengan berpakaian hijau sambil berlatarbelakangkan puncak gunung gergasi yang tersergam indah. Angin bertiup dari jauh menyentuhi beberapa helai rambut di pelipisnya tatkala dia sedang merenung jauh.
Dia menunggang ke hadapan sambil berkerut sedikit. Peperangan baru sahaja bermula. Apakah yang menyebabkan orang Quanrong yang ganas itu panik sehingga ke tahap ini?
"Tuanku! Ada sekumpulan tentera besar dari Yan Bei yang sedang menghampiri dari arah barat Pergunungan Luori," Seorang peninjau berlari ke arah Zhuge Yue dan berlutut di atas lantai yang berais sambil melaporkan dengan kuat.
Zhuge Yue berkerut dan berfikir sejenak sebelum menjawab, "Berapa ramai anggota mereka? Siapa yang memimpin mereka?"
"Kami masih tak tahu."
"Teruskan mencari."
"Baiklah!"
Dua orang peninjau itu menunggang kuda mereka sambil membawa surat-surat yang mempunyai lambang Qinghai bersama mereka. Matahari yang berwarna merah pucat menghiasi langit yang menghala ke barat. Bunyi peperangan dapat didengari di mana-mana. Selepas lapan hari bertempur tanpa henti, hari ini merupakan hari pertempuran mereka yang terakhir.
Orang-orang dari Yan Bei? Siapakah mereka yang sebenarnya? Adakah pertempuran di Shangshen sudah berakhir?
Zhuge Yue berpaling dan berjalan ke arah khemahnya, membentangkan petanya untuk menyusun strategi. Waktu petang kini telah tiba. Oleh sebab pencahayaan yang terlalu malap, dia menyalakan dua batang lilin dan duduk di hadapan meja belajarnya.
Rakyat Quanrong telah mencetuskan rusuhan ganas semenjak mereka memecah masuk sempadan. Namun, nasib orang-orang Yan Bei begitu baik kerana Yan Xun telah bertindak terlebih dahulu dengan memindahkan mereka. Walau bagaimanapun, orang-orang di Sempadan Meilin tidak sempat melarikan diri dari malapetaka itu. Orang-orang yang tinggal di sepanjang tiga wilayah Wuting, Guiyu, dan Dangrong semuanya telah dibunuh termasuklah bayi-bayi yang baru lahir. Peninjau yang telah menyelinap jauh ke dalam wilayah musuh melaporkan tiada jejak manusia di 28 bandar berhampiran Sempadan Meilin. Orang-orang di Bandar Jiaxi semuanya telah digantung sampai mati oleh orang-orang Quanrong di hutan yang terletak dalam jarak sepuluh kilometer dari bandar.
Jeneral-jeneral dari Qinghai hadir apabila mendengar khabar ini. Walaupun digelar veteran perang yang sangat berpengalaman, lidah mereka kelu dan raut wajah mereka berubah pucat. Du Pingan yang sudah lama berada di samping Zhuge Yue menambah, "Mereka semua itu manusia ke?"
Sudah tentulah mereka manusia. Mereka akan muncul di hadapan mereka tidak lama lagi sambil menghunuskan pedang mereka.
Zhuge Yue tiba-tiba memikirkan kata-kata Chu Qiao sebelum dia meninggalkan Qinghai. Isterinya itu mengatakan ini bukan perang biasa antara orang-orang Quanrong dan Yan Bei. Ini merupakan peperangan antara orang gasar dan orang bertamadun iaitu pertempuran antara dua budaya yang berbeza. Tiada manfaat daripada semua ini. Sebaik sahaja dacing kemenangan berpihak pada rakyat Quanrong, mereka akan menerima penangan yang lebih hebat daripada yang dijangkakan, sekalipun mereka dapat memperoleh tanah dan faedah yang lain daripada Yan Bei. Pada masa itu, dia akhirnya memahami apa yang dimaksudkan oleh Chu Qiao.
Apabila malapetaka itu bermula, sebarang konflik dalaman tidak akan dapat membantu keadaan lagi. Menghadapi tentera yang ganas dari Quanrong, tiada sesiapa yang dapat mengambil semua kredit atau menikmati apa-apa manfaat dengan hanya berpeluk tubuh. Mereka memperoleh kemenangan yang tidak diduga sewaktu pertempuran di Beishuo melalui tembakan meriam yang dicipta oleh Chu Qiao ketika dia mempertahankan Bandar Chidu pada tahun itu.
Selepas setengah bulan, orang-orang Quanrong telah menanggung angka korban yang ramai. Pasukan Tentera Heishui merupakan yang pertama yang tewas. Pemimpin mereka, Xiao Da, melarikan diri dengan semua pasukannya lalu mendedahkan seluruh bahagian kiri pembentukan mereka kepada tentera yang bersatu itu. Chu Qiao merebut peluang itu untuk mengacau pembentukan mereka dengan meruntuhkan seluruh garisan pertahanan di sebelah kiri dan memisahkan mereka dari tentera pusat, lantas melumpuhkan mereka. Selepas setengah bulan lagi, orang-orang Quanrong telah ditewaskan sepenuhnya. Baki 700,000 orang tentera telah melarikan diri ke arah yang berbeza di bawah pimpinan komander masing-masing.
Chu Qiao mengeluarkan satu lagi perintah bagi tentera bersatu untuk berpecah kepada tujuh bahagian yang dipimpin oleh Qinghai, Tang, Zhao Che, Zhao Yang, Song, Yan Bei dan tentera wilayah Yan Bei masing-masing. Tugas mereka ialah mengejar dan menghapuskan pasukan Quanrong yang melarikan diri.
Daerah yang ditugaskan untuk Zhuge Yue adalah Pergunungan Luori yang merupakan salah satu kawasan penting milik tanah tinggi Yan Bei.
"Melaporkan!" Seorang peninjau melompat turun dari kudanya sambil memegang sebuah objek di tangan. Dengan kuatnya, dia berkata, "Tuanku, pertempuran di Shangshen belum berakhir lagi. Terdapat hanya 3,000 orang tentera dari Yan Bei. Pemimpin mereka adalah Maharaja Yan Bei."
"Yan Xun?" Zhuge Yue mengangkat keningnya dan melihat ke bawah. Dia ternampak anak panah keemasan Yan Xun di tangan peninjau itu. Dia memandang ke arah anak panah itu dan berkerut sedikit tanpa berkata apa-apa.
"Perintah Jeneral Yue Qi ialah mengerahkan dua pasukan tentera berkuda lagi untuk menyerang khemah utama Quanrong. Kita mesti mencari komander sebenar tentera Quanrong kali ini tak kira apapun."
"Baik!"
Tatkala langit menggelap menandakan kedatangan waktu malam, bulan muncul di langit sana. Sepanjang malam, Zhuge Yue duduk di khemahnya tanpa berehat walaupun seminit. Sebelum subuh menjelang, maklumat perang Yue Qi telah sampai ke telinganya. Komander sebenar yang duduk di khemah utama Quanrong sememangnya Khan yang sekarang.
Zhuge Yue tersenyum dengan licik. Dia berfikir sendirian, 'Khan sendiri ada di sini. Tidak hairanlah kalau Yan Xun mahu menyerangnya secara peribadi.'
"Sediakan baju perisai!" Zhuge Yue berdiri tatkala pembantunya memakaikan baju perisai pada tubuhnya.
Raja Qinghai menunggang kuda perangnya sambil memegang pedang di tangan. Dia berpakaian hijau bersama mantel biru kelabu yang dipakaikan di belakangnya. Apabila siren perang berbunyi, Pingan melulu keluar dari khemahnya untuk menghalang tali kekang kuda Zhuge Yue sambil menjerit, "Tuanku, jangan lakukan perkara yang bukan-bukan! Kakak dah mengarahkan saya supaya menghalang Tuanku dari bertarung di barisan hadapan!"
Zhuge Yue memandangnya dengan tidak berdaya sambil memberikan isyarat kepada orang-orang di sampingnya. Dalam masa yang singkat, mereka telah mengheret Pingan kembali ke khemah besar.
"Tuanku, Tuanku dah memungkiri janji! Kakak akan memarahi saya sampai mati!" Pingan berteriak dengan panik sehingga memeranjatkan para askar yang sedang berjuang di medan perang.
Zhuge Yue berpaling dan memandang ke arah medan perang di hadapannya. Dengan suara yang rendah, dia mengarahkan, "Jom pergi."
Angkatan tentera yang besar itu berangkat di landasan mereka. Pada masa yang sama, tidak jauh dari situ, seseorang berlari ke arah Yan Xun dan berkata dengan suara yang rendah, "Tuanku, raja Qinghai sedang menghampiri dengan tenteranya."
"Oh ya?" Yan Xun mengangkat keningnya dan menjawab dengan selamba. Dengan naluri persaingan yang menyerupai seorang remaja, dia memerintah dengan bersemangat, "Kita mesti tangkap Khan Quanrong sebelum tentera Qinghai lakukannya."
"Baik, Tuan!"
Tentera yang besar berangkat di landasannya, meninggalkan hanya jejak debu yang besar di belakang.
Saya mencintai awak selama-lamanya.
"Raja Qinghai ada di depan ke?" Ah Jing menunggang kudanya sambil menyiasat, tetapi dia tidak mendapat apa-apa respon. Apa yang dapat dilihat ialah seorang lelaki berpakaian hijau yang sedang memecahkan pembentukan orang-orang Quanrong. Oleh sebab jaraknya yang terlalu jauh, dia tidak dapat melihat muka lelaki itu dengan jelas. Namun, dia menyedari kebolehan berlawan pedang lelaki itu sangat mempesonakan, manakala kehebatan seni mempertahankan dirinya juga menonjol dalam kerumunan orang ramai itu tatkala dia meluru ke arah tentera Quanrong tersebut.
"Tuanku, tentera Zhuge Yue mungkin berada bertentangan dengan kita."
Yan Xun mengangkat keningnya sambil memandang ke arah lelaki yang tidak habis berentap dengannya sepanjang hidupnya. Maruahnya mula goyah tatkala dia ketawa dengan kuat. Dia kemudiannya menunggang kudanya ke hadapan sambil berkata dengan kuat, "Kalau begitu, jom jumpa dia."
Medan perang itu mula hiruk-pikuk. Orang-orang Quanrong yang telah menemui jalan buntu berkelakuan seperti orang gila apabila mereka bertempur dengan cara yang tidak teratur. Setelah menyaksikan pemimpin mereka masing-masing meluru ke hadapan, para jeneral dari Qinghai dan Yan Bei berasa terkejut dan tercegat di atas kuda mereka.
'Apa... apa... apa sebenarnya yang berlaku?
Tuanku tidak pernah berlakuan seperti ini sebelum ini! Dia tidak pernah menghiraukan keselamatan mereka mahupun matlamat mereka dengan menyerang dengan sungguh melulu…' Orang-orang ini tidak boleh memikirkan apa-apa lagi dan hanya mengikuti di belakang orang itu, walaupun tidak dapat mengejar mereka.
Kedua-dua mereka ini merupakan pendukung seni bela diri yang sungguh angkuh, menganggap diri mereka tidak dapat dikalahkan. Setelah berentap antara satu sama lain sepanjang hidup mereka, mereka tidak boleh kalah pada pihak lain pada saat ini.
Mayat dan darah terus mencemari medan perang dan menyebabkan padang rumput menjadi warna merah. Zhuge Yue dan Yan Xun terus mengamuk dan mengucar-ngacirkan keadaan ke mana sahaja mereka pergi. Orang-orang Quanrong berasa sangat takut apabila melihat wajah mereka berdua itu. Pada mulanya, mereka tertawa apabila melihat kedua-dua orang ini yang hanya bakal menempa maut buat diri mereka sendiri. Tetapi lama-kelamaan mereka sedar apa yang bakal mereka hadapi. Perlahan-lahan, ribuan tentera Quanrong melarikan diri dari dua orang ini.
Tatkala masa berlalu, pasukan bantuan mengepung tentera Quanrong lalu menyebabkan mereka melarikan diri ke arah utara. Apabila melihat hal ini, Zhuge Yue dan Yan Xun terus menunggang kuda mereka ke hadapan. Mereka berdua tidak mahu melepaskan peluang untuk menangkap Khan Quanrong kali ini.
Pertempuran itu berterusan sepanjang sehari. Kedua-dua lelaki itu terus mengejar pasukan Quanrong tanpa menunjukkan sebarang tanda untuk berundur. Akhirnya, orang-orang Quanrong terperangkap di cerun gunung yang sempit. Terdapat kurang daripada 20 orang dari pihak Yan Xun dan seluruh tenteranya yang lain telah mengikuti Zhuge Yue untuk mengelilingi cerun gunung. Yan Xun yang telah berjuang sepanjang hari mengalami banyak kecederaan pada tangan dan kakinya. Dia juga turut mengalami pendarahan yang agak banyak, jadi dia tidak mempunyai pilihan lain selain berehat.
Zhuge Yue pun apa kurangnya. Walau bagaimanapun, dia sangat degil dan enggan mendapatkan rawatan. Dia malah memilih untuk tetap berada di atas kudanya sambil tercungap-cungap.
Selepas seketika, wajah Yan Xun muncul di hadapannya.
Zhuge Yue memandangnya melalui ekor matanya sahaja. Kemudian, dia mengeluarkan sebotol wain yang tergantung di pinggangnya lalu menyerahkannya kepada Yan Xun.
Yan Xun berkerut sedikit tanpa menerima botol wain itu. Dia hanya memandang ke arah Zhuge Yue tanpa sebarang kata.
Zhuge Yue tertawa dingin dan bertanya, "Kenapa? Kamu takut saya akan beri kamu racun ke?"
Yan Xun mengangguk dengan jujur dan menjawab, "Ya."
"Hmph." Zhuge Yue hanya mendengus dan bersedia untuk meneguk air wain dari botol itu. Walau bagaimanapun, Yan Xun sempat merampas botol itu daripadanya sebelum membuka gabus kayu itu dan meneguk air wain di dalamnya. Dia mengelap mulutnya selepas itu sebelum mencemuh, "Miskin betul pekan Qinghai sampai wain pun boleh rasa seteruk ini."
Zhuge Yue kemudian membalas, "Kamu tahu ke bagaimana nak rasa wain? Bagi kamu, mungkin wain dari Yan Bei juga terasa sedap."
Lantas, dua orang lelaki yang paling berkuasa di dunia ini mula bertikam lidah seperti kanak-kanak kecil. Mereka berdua bertukar pandangan antara satu sama lain dan mendapati setiap ceruk diri satu sama lain begitu menjengkelkan.