Ah Jing berdiri di belakang Yan Xun, jantungnya terasa seperti ingin melompat keluar dari dadanya tatkala dia menggumam sendirian. 'Tuanku, kita berada dalam kawasan mereka, boleh tak Tuanku kurangkan bercakap?'
Peperangan terus berlangsung. Menjelang tengah malam, tentera Quanrong menyerbu dari arah barat laut. Zhuge Yue dan Yan Xun mula mengejar mereka sekali lagi. Setelah mengejar selama empat jam berterusan, bahu kiri Yan Xun kini terkena anak panah lagi, manakala bahu Zhuge Yue juga turut tercedera. Pada masa ini, terdapat bunyi telapuk kuda yang datang dari arah barat daya. Sebelum mereka sempat menghantar peninjau keluar, kumpulan penceroboh itu telah mula bertempur dengan orang-orang Quanrong.
Dengan pengepungan ini, pasukan Quanrong akhirnya dimusnahkan. Tapak perkhemahan utama akhirnya ditangkap oleh kumpulan yang menceroboh itu. Zhuge Yue berasa marah lalu dia meninggalkan Yan Xun untuk mendapat tahu siapa yang telah mencuri mangsanya. Namun, dia langsung tidak menyangka untuk melihat seorang pegawai wanita yang dikenalinya sedang memeriksa rampasan perang sebelum formasinya. Apabila melihat Zhuge Yue, dia kemudiannya berkata, "Ini Khan orang-orang Quanrong. Sewaktu saya tiba di sini, dia dah bunuh diri."
Zhuge Yue berasa sangat terkejut. Dengan pakaian yang berlumuran darah, dia memandang isterinya sambil bertanya, "Kenapa awak datang ke sini?"
Chu Qiao mengangkat keningnya sambil memandang ke arahnya seolah-olah ia suatu fakta. "Pingan datang jumpa saya tengah malam buta untuk beritahu saya yang awak telah pergi berperang. Mestilah saya datang!"
Pada saat ini, bunyi telapuk kaki kuda dapat didengari dari belakang. Susuk tubuh Yan Xun muncul secara beransuran dari kegelapan itu. Terdapat pelbagai kesan kerosakan pada perisainya yang berwarna gelap itu dan dia juga kelihatan begitu pucat sekalipun dia masih berdiri tegak. Dia berdiri di sebelah Zhuge Yue dan diterangi oleh banyak obor sekelilingnya. Namun begitu, semua cahaya itu tidak dapat menerangi kegelapan yang menyelubungi dirinya. Dia hanya memandang ke arah Chu Qiao dengan wajah yang tenang tanpa sebarang emosi. Namun, mata yang kelihatan seperti lautan malam itu penuh dengan arus yang tidak kelihatan.
Jika dibandingkan dengan Zhuge Yue yang mengetuai tentera yang besar, luka Yan Xun lebih serius daripada Zhuge Yue kerana dia hanya memimpin pasukan berkuda elit seramai 3,000 orang. Sehingga kini, terdapat banyak kecederaan sama ada besar atau kecil pada tubuhnya. Di bahunya terdapat panah yang patah dan masih berdarah. Namun, dia seolah-olah tidak dapat merasakannya sama sekali.
Bunyi sumbang yang kedengaran di belakang merupakan suara tentera yang memarahi mayat Quanrong dan juga mereka yang mengerang kesakitan. Terdapat juga bunyi gemeresik obor api yang menyala. Bersama desiran angin, mereka telah dikelilingi oleh pelbagai jenis bunyi tetapi mereka tidak sedar tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka kerana ketiga-tiga orang ini asyik bertukar pandangan antara satu sama lain sahaja. Tatkala pandangan mereka bertemu, percikan api akan tercetus dan akhirnya akan berubah menjadi sebuah neraka.
"Xing'er," Zhuge Yue tiba-tiba berkata ketika dia melompat turun dari kudanya dengan tenang, "Saya akan pergi untuk memeriksa status korban. Maharaja Yan dah tercedera, jadi awak perlu mencari seseorang untuk merawatnya." Dengan itu, dia berpaling dan membenarkan isterinya bersendirian di tundra gelap bersama lelaki yang mempunyai banyak perikatan dengannya itu.
Chu Qiao tidak tahu apa yang hendak dikatakan untuk masa yang sangat lama. Ini merupakan kali pertama dia bertemu dengan Yan Xun selepas pertempuran di Huolei. Kali ini mereka tidak dipisahkan oleh formasi ketenteraan yang besar mahupun bilah pedang. Mereka hanya berhadapan satu sama lain sahaja. Wajah bertemu wajah, mata bertentang mata. Selagi seseorang mengangkat kepalanya, mereka dapat melihat raut wajah masing-masing, bahkan dapat juga mendengar degupan jantung antara satu sama lain.
Pada masa itu, ia terasa seperti dunia dalam fikiran mereka telah terbalik sepenuhnya. Perasaan mereka tidak dapat diungkapkan melalui sebarang kata-kata. Perasaan kesepian melanda jiwa dan raga kerana mereka bukanlah lagi diri mereka yang telah dikenali dengan amat akrab suatu ketika dahulu. Masa sememangnya suatu bentuk perubahan yang kejam.
Yan Xun duduk di atas kudanya sambil memandang ke arahnya dengan renungan yang tidak berperasaan. Ramai orang yang berjalan melewati mereka. Api dari obor yang mereka pegang berkedip-kedip tatkala mereka berjalan.
Ia masih sepasang mata dan kening yang sama. Ia masih muka yang sama. Namun, orang itu bukan lagi orang yang pernah bersumpah untuk berada di sampingnya selama-lamanya.
Adakah orang lain akan memahami kedukaan yang terdetik di dalam hati mereka?
Mungkin boleh dan mungkin juga mustahil. Kata-kata tidak bermakna apa-apa. Samalah seperti daun merah pada musim luruh, tidak kira secantik mana pun ia, mustahil bagi daun tersebut untuk terhindari daripada layu. Langit sudah gelap, manakala tanah berwarna putih. Di tanah yang sama dan langit inilah yang menjadi tempat impian mereka. Tetapi atas sebab tertentu, memang sukar bagi mereka untuk memulakan walaupun sebuah perbualan ringkas.
Yan Xun memandang ke arah Chu Qiao. Terdapat api besar yang sedang membakar di belakangnya. Dia kelihatan seperti dewi di mezbah dengan kesucian yang tidak akan pernah dicapai olehnya. Dia tiba-tiba teringat akan beberapa tahun yang lalu. Pada malam bersalji di dalam penjara gelap itu, mereka memegang erat tangan masing-masing melalui retakan dinding penjara.
Mungkin mereka seperti dua biji benih yang terselamat daripada musim sejuk bersama-sama dengan saling bergantung pada satu sama lain untuk mendapatkan kehangatan sehingga musim bunga tiba. Namun, apabila musim bunga tiba dan mereka saling membantu antara satu sama lain keluar dari tanah itu, akhirnya mereka menyedari tanah itu tidak mampu memelihara mereka berdua. Oleh itu, mereka membawa haluan masing-masing.
Yan Xun tiba-tiba berasa letih. Hatinya membeku seperti permafrost di atas pergunungan Yan Bei. Selama bertahun-tahun, tidak kira apa keadaan yang dihadapi, dia tidak pernah berasa letih. Dia berkata kepada dirinya sendiri bahawa sudah tiba masanya untuk dia pergi. Dengan itu, dia benar-benar menoleh dan mula berjalan.
Namun, pada masa ini, suara lembut itu terdengar dari belakangnya, "Yan Xun!" Sesungguhnya suaranya memberikan kehangatan di samping membawa perasaan yang telah hilang selama bertahun-tahun itu. Seperti air pancut yang mendidih, ketika dia menghulurkan tangannya yang dingin ke dalam air pancut itu, dia merasakan satu kehangatan yang menyebabkannya menggigil.
"Yan Xun?" Dia berseru lagi, "Cheng Yuan berada di belakang saya jadi saya menjangkakan dia akan tiba tak lama lagi."
Yan Xun tidak mengangguk dan tidak bercakap, tetapi dia hanya memegang tali kekang kudanya dan kaku di situ seperti patung.
"Awak cederalah. Jom rawat luka awak dulu ya?" Wanita itu perlahan-lahan berjalan ke arahnya sehingga dia berada di hadapannya, menghulurkan tangannya dan menarik tali kekang kudanya. Dia dengan degilnya bertanya, "Jomlah ya?"
Yan Xun tiba-tiba terasa hati. Sepertinya sejak dahulu lagi, Chu Qiao selalu menjadi orang yang lebih berani. Beberapa orang doktor yang membawa perubatan mereka berlari ke arah mereka lalu berdiri di belakang Chu Qiao dengan kepala mereka yang sudah tertunduk.
Yan Xun tidak berkata apa-apa dan membiarkan saja doktor-doktor itu mengubati lukanya. Apabila anak panah itu ditarik keluar, dia tidak berganjak pun. Selepas kira-kira sejam, doktor-doktor itu akhirnya pergi setelah berhempas-pulas merawatnya. Kemudian, Chu Qiao berjalan ke arahnya dan menyerahkan anak panah berdarah itu.
Pada masa ini, hati Yan Xun terasa sakit apabila dia mengerutkan dahinya. Akhirnya, dia tidak menghulurkan tangannya untuk menerima anak panah itu. Dengan selambanya dia berkata, "Musuh dah mati. Tak perlu menyimpannya lagi."
Seluruh pasukan Quanrong memang telah dimusnahkan. Bahkan Khan mereka sendiri pun sudah mati. Musuh mana yang masih tinggal? Itulah tabiat mereka selama bertahun-tahun. Dia akan menyimpan semua senjata yang berjaya mencederakannya. Hanya setelah dia berjaya membalas dendam, barulah dia akan memusnahkan senjata itu.
Sepertinya hal itu tidak dilupakan. Walaupun seseorang itu cuba untuk tidak memikirkannya, akhirnya masa akan mengukir satu pengalaman tertentu di dalam jiwa seseorang.
Setelah berdiri di sana buat waktu yang tidak dapat ditentukan, angin bertiup dari jauh dan membawa bau yang unik dari tanah tinggi Yan Bei. Yan Xun secara diam-diam mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Chu Qiao yang kini sedang berada di hadapannya. Mereka sangat rapat dahulu, tetapi dia sudah tidak dapat melepasi jarak itu lagi. Dia boleh membuatkan seluruh dunia sujud padanya dan pedangnya dapat menakluki mana-mana tanah di dunia ini. Selagi dia mempunyai keinginan, dia boleh memusnahkan apa sahaja. Hanya apabila berhadapan dengan Chu Qiao, dia tidak dapat berbuat apa-apa.
Sebuah emosi tertentu yang dipanggil menyindir diri sendiri terdetik dalam hatinya. Yan Xun terasa seperti ingin ketawa, tetapi bibirnya hanya dapat menghasilkan senyuman yang dingin. Dia tiba-tiba berpaling. Susuk tubuhnya kelihatan seperti sebatang pokok pain yang menjulang tinggi, megah dan kesunyian, tetapi dia kelihatan seolah-olah mampu membelah langit. Dengan itu, dia berjalan pergi. Langkahnya berat, namun dia berjalan cepat dan lebih cepat lagi.
"Yan Xun! Jaga diri!" Seseorang memanggilnya dari belakang. Siapa yang bercakap? Siapa yang dia panggil?
Yan Xun, Yan Xun, Yan Xun...
Pada ketika itu, dia mengenangkan kembali peristiwa malam sewaktu jari kelingkingnya dipotong oleh Wei Jing dan dia menyeru namanya berulang kali dalam kegelapan malam itu.
Yan Xun, Yan Xun, Yan Xun...
Tiada sesiapa yang memanggilnya seperti itu lagi. Dia telah menjadi 'Tuanku', 'Maharaja', 'Yang Mulia', 'Pembesar' dan telah kehilangan namanya sendiri.
Yan Xun, Yan Xun, awak masih ada ke? Awak memperoleh segala-galanya, tetapi apa yang telah awak hilang? Adakah awak benar-benar gembira sekarang?
Saya tak tahu dan saya tak mahu tahu. Kebahagiaan bukanlah segala-galanya dalam kehidupan. Terdapat beberapa perkara yang sekalipun awak lakukannya, awak mungkin tak akan rasa gembira, tetapi ada beberapa perkara yang jika awak tak lakukan, awak pasti tak akan gembira. Sekurang-kurangnya, saya dapat apa yang saya mahukan, betul tak?
Langkahnya lebih pantas dan lebih bersungguh. Belakangnya lebih tegak berbanding sebelum ini tatkala dia memegang tali kekang dan melompat ke atas kudanya dengan cekap.
Jangan cakap dan tengok apa-apa. Hati besinya sudah mula luluh, jadi dia mesti pergi sekarang! Dengan serta-merta! Harus pergi!
Segala kenangan bermain di dalam fikirannya. Kenangan-kenangan yang telah terukir di dalam kepalanya selama bertahun-tahun kini merebak ke dalam hatinya seperti pokok yang busuk. Dia mahu mengatasinya dan melarikan diri dari semua emosi yang menjengkelkannya ini!
Kelemahan, kesedihan, kekesalan, keraguan...
Terdapat banyak emosi yang tidak sepatutnya berada di dalam hatinya.
Namun, apabila dia meninggalkan segala-galanya di dalam debu, satu perkataan muncul di dalam hatinya, paru-parunya, tekaknya dan mulutnya. Kata-kata itu mengetuk peti suaranya dan dia nyaris-nyaris mengeluarkan bunyi itu berkali-kali. Dia mengerutkan dahinya sambil mengetap giginya seperti seekor serigala bersama matanya yang sudah merah sepenuhnya. Namun, suara batinnya tidak dapat dikawal lagi di dalam dadanya dan semua berubah menjadi perkataan:
Ah Chu, Ah Chu, Ah Chu, Ah Chu, Ah Chu!
Tiada sesiapa yang dapat memahaminya dan tidak ada yang tahu. Hanya dia seorang sahaja yang tahu.
Dia menghela nafas panjang, seolah-olah mengunci kata-kata itu kembali di dalam hatinya.
Betul, semuanya sudah berakhir. Berhenti berfikir, berhenti melihat, berhenti berasa nostalgia.
Pergi. Berambus.
Semuanya telah berakhir. Semuanya telah lenyap dengan keazaman awak. Semua kenangan akhirnya akan hilang menjadi debu. Semua yang dari masa lalu akan dilupakan oleh awak dan akan menjadi abu yang tidak bermakna.
Semuanya baik-baik sahaja. Saya Maharaja Yan yang Agung. Saya pemimpin mereka. Saya pemerintah tanah air ini. Saya dapat apa yang saya inginkan.
Dengan bunyi telapuk kuda yang melangkah di tundra sejuk, bunyi detas-detas kedengaran tatkala emping salji kecil turun. Susuk tubuh kemudiannya perlahan-lahan menghilang dalam kegelapan malam itu. Dengan cahaya yang berkilauan, bendera emas-kuning itu berkibar di langit dengan helang hitam yang melebarkan sayapnya dengan ganas. Itulah tenteranya, orang-orangnya dan dunianya. Seperti rantai emas, dia dirantai pada kedudukan itu di mana dia dilarang mempunyai perasaan teragak-agak dan tidak dapat membuat keputusan.
Apapun, dia merupakan Maharaja Empayar Yan yang Agung. Dia bersemayam di atas takhta yang dibina daripada kata hatinya dan pertumpahan darah, jadi dia tidak boleh berpaling lagi. Oleh itu, dia meluruskan tubuhnya dan meneruskan perjalanan tanpa menoleh. Dia kekal gigih dan tegas dalam setiap langkahnya. Pandangannya tajam seperti bilah pedang dan seluruh keperibadiannya tidak pernah menyerah pada sebarang cabaran.
Pada masa itu, Chu Qiao berdiri di dalam salji dan angin sambil melihat susuk tubuh Yan Xun menghilang dari pandangannya. Dia tiba-tiba memahami sesuatu. Di samping pemuda itu terdapat banyak obor, pengikut dan orang gaji yang ramai, tetapi dia kelihatan sangat kesepian. Mungkin Chu Qiao benar-benar tidak dapat memahaminya.
Kebencian dan penghinaan sedemikian apabila jatuh dari syurga ke neraka merupakan kesakitan yang terdapat dalam hatinya sepanjang lapan tahun. Walaupun Chu Qiao berada di sampingnya, gadis itu masih tidak dapat menyingkirkan kesakitan itu daripadanya. Apabila Chu Qiao memikirkannya kembali, bagi dua orang yang pernah saling membantu antara satu sama lain selama ini, bersumpah untuk tidak pernah berpisah dan mencapai keadaan seperti hari ini, adakah dirinya sendiri tidak bersalah?
Dia pernah berkata supaya jangan menyembunyikan apa-apa antara satu sama lain, jangan pernah berbohong antara satu sama lain, melayan satu sama lain dengan ikhlas dan tidak pernah meragukan satu sama lain. Tetapi adakah dia benar-benar mencapai hal itu?
Tidak, dia tidak mencapainya.
Kesabaran dan penghindarannya daripada isu-isu itu akhirnya telah mengakibatkan Yan Xun untuk lebih terjerumus ke arah itu dengan lebih mendalam. Adakah personaliti yang menentukan segala-galanya? Adakah ini takdirnya?
Itu hanyalah alasan.
Semasa pemuda itu berubah dan hanyut, adakah Chu Qiao mencuba sedaya upaya untuk menghentikannya atau membalikkan keadaan? Adakah dia mengadu kepada Yan Xun secara rasmi dan menyatakan perasaannya?
Tidak, dia tidak berbuat demikian. Dia hanya menunggu sehingga semuanya muktamad sebelum menyalahkan segala-galanya tanpa berusaha untuk mencegahnya. Dia berasal dari dunia yang berbeza dan sebagai akibatnya, dia menggunakan kepercayaannya sewenang-wenangnya. Namun, dia tidak tahu terdapat beberapa perkara di dunia ini yang memerlukan penyelenggaraan yang berterusan.
Lagipun, mereka terlalu muda dan tidak memahami apakah yang dinamakan cinta serta tidak tahu bagaimana untuk meluahkan emosi mereka. Mereka tidak tahu bagaimana untuk melindungi cinta itu. Mereka berdegil dan bulat-bulat mempercayai mereka tahu apa yang terbaik untuk satu sama lain sebelum melakukannya dalam diam. Namun, mereka tidak memahami tidak kira apapun cabaran yang mereka hadapi, pada hakikatnya, yang benar-benar telah menghancurkan cinta mereka adalah kekurangan komunikasi.