Chapter 273 - Bab 273

Api yang bersemarak tinggi segera meresap ke udara bagaikan darah segar sedang mendidihkan tanah. Pintu langit dibuka luas, melepaskan gerimis darah yang bakal melitupi setiap pelusuk landskap dan mengeringkan ombak badai seumpama hatinya telah ditikam oleh sebatang anak panah keemasan. Permukaan bumi itu tidak lama kemudian bertukar menjadi pendiang api yang membaham segala jenis hidupan di atas tanah, seolah-olah neraka sendiri telah mempamerkan diri untuk penglihatan semua orang.

Di dalam kegelapan yang tidak berpenghujung ini, anak matanya telah menggerenyet tanpa henti. Semasa darah segar sedang menyelubungi dirinya, perkara yang boleh dilihat pemuda itu ialah askar-askar yang berperisai lengkap berwarna hitam, pedang-pedang tajam, bulan terang yang berkelipan di dalam keheningan sebegini dan juga kesayuan pemandangan ini yang telah diselimuti dek salji tebal. Mayat-mayat kian merebah ke tanah bagaikan cebisan domino sebelum mereka semua tertimbun di serata kawasan. Ditemani pula dengan burung-burung hering yang sudah berlegar-legar di udara, kuku mereka bersiap-sedia untuk mencengkam si mangsa. Angin yang membelah udara di serata kawasan itu telah menghembus bersama debu tanah dan juga salji, menampar-nampar wajah para tentera bak sebilah pedang yang menghiris-hiris kulit ketika bunyi laungan dan rintihan peperangan bergema kuat memenuhi keheningan landskap.

Bunyi gendang peperangan bertambah kuat gemanya sementara ramai pihak musuh yang memecah masuk bagaikan tsunami memenuhi medan pertempuran dari segala arah. Bumi bergetar apabila kumpulan tentera berkuda yang sungguh ramai itu menderap menggegarkan tanah sementara sang awanan yang berarak di udara pula bercorak seekor naga kemarahan.

"Bunuh!"

"Bunuh! Bunuh!"

"Bunuh! Bunuh! Bunuh!"

Matanya lantas terbuka menandakan tamatnya mimpi yang singkat itu. Dia terbaring keseorangan di atas katil yang bersaiz lebih besar daripada kamar tidur orang biasa. Kain sutera hitam yang dihiasi dengan corak naga keemasan di mana benang-benangnya yang berkilauan mampu memancarkan cahaya di dalam bilik yang sungguh kelam ini. Walaupun peluh sudah pun menitik-nitik dari leher dan dahinya, pemuda itu masih lagi mengekalkan kebisuan dan kegamaman diri.

Kekelaman pada malam itu terasa sungguh membisukan. Tiada satu ucapan pun yang didengari, tiada seekor cengkerik pun yang berbunyi, malah langsung tiada deruan angin yang membelah udara. Apa yang mampu didengari hanyalah bunyi pernafasan pemuda itu yang kedengaran stabil namun agak tercungap-cungap semasa dia masih terbaring di atas katilnya. Namun, subuh pasti akan menjelma juga walaupun malam yang panjang telah menimpa bumi. Kehandalan pemuda itu terletak pada tahap kesabarannya. Perkara tersebut benar pada suatu ketika dahulu, ia benar pada masa kini dan ia akan tetap menjadi benar pada masa hadapan.

Tiba-tiba, cahaya samar berwarna merah terpancar melalui tingkap bilik. Yan Xun berkerut dan menoleh wajahnya hanya untuk mendengar tapak kaki bergegas yang sedang memasuki kawasan istana.

"Apa yang sedang berlaku di luar?" Suaranya kedengaran agak serak namun masih mengekalkan ketenangannya.

"Tuanku, kebakaran sedang berlaku di Istana Changle. Jabatan bomba dah pun memasuki kawasan istana dan sedang cuba untuk memadamkan api itu sekarang." Malam itu bagaikan mampu menjadikan suara lembut namun tegas miliknya itu kedengaran lebih mengerikan.

Yan Xun masih terduduk di atas katilnya sambil merenung kelibat pokok-pokok yang berdiri megah di luar tingkap sebelum tiba-tiba melangkah keluar kamarnya tanpa seutas benang di kaki. Lebih 10 pembantu istana bergegas ke arah pemuda itu dengan cemas sebelum membantunya memakai jubah berwarna kuning terang dan juga kasut butnya. Semasa Yan Xun tergesa-gesa berangkat ke Istana Changle, ketua pelayannya telah memanggil beberapa orang lagi pengawal peribadi Yan Xun untuk mengiringinya. Satu jejak bercahaya terang telah dapat dilihat semasa iringan tersebut bergerak seinci demi seinci mendekati Istana Changle bersama lantera di tangan.

"Belasah mereka! Belasah mereka sehingga mereka mati!" Suara pengawal-pengawal tersebut dapat didengari berbatu-batu sebelum mereka tiba di Istana Changle pun.

Yan Xun yang langsung tidak terkesan dek kata-kata tersebut hanya telah mengikuti sebuah terusan yang menuju ke arah kawasan istana itu. Tidak lama kemudian, mereka mendapati beberapa orang pegawai istana sedang mengerumuni sepasangan anak kecil di bawah cahaya bulan malam. Kanak-kanak tersebut sedang dihenyakkan pada selusur sebelum dibelasah teruk dengan para pengawal sehingga seluar mereka telah dicarik-carikkan dan isi daging peha mereka telah tertonjol. Rintihan dan laungan mereka pada mula tadi kian menghilang semasa darah mula menitik pada lantai konkrit.

"Sayalah yang dah mulakan kebakaran pada tempat ini! Bunuhlah saya kalau kamu berani!" Seorang gadis kecil yang kurus berteriak, anggota badannya telah habis dibelasah dek pengawal-pengawal ini. Namun, walaupun dengan badan yang berlebam di sana-sini, dia masih tenang sebelum menjerit degil, "Satu-satunya kekecewaan saya, saya tak dapat membunuh kamu semua, anjing Yan Bei!"

Kanak-kanak ini berasal daripada dinasti sebelum ini. Setelah Yan Xun menakluki daerah di sekeliling kawasan ini, keluarga-keluarga dan puak-puak Xia yang tidak dapat melarikan diri telah pun dibunuh dengan kejam. Anak-anak inilah sasi-baki keturunan tersebut. Lagipun, mereka ini hanyalah berusia dalam lingkungan lima ke enam tahun sahaja, membuatkan askar terkejam dalam sesebuah pasukan tentera itu pun tidak sanggup untuk membunuh mereka. Akan tetapi, siapalah yang bakal menyangka anak-anak kecil ini akan kembali untuk menuntut dendam kesumat mereka?

Istana Changle merupakan istana kediaman milik jelitawan daripada Xinjiang yang bernama keluarga Yu. Pemuda tersebut telah menundakan rancangannya bersama wanita itu pada saat-saat akhir dengan mengatakan dia terlalu penat.

Kebencian sememangnya antara perasaan yang kekal lama di dalam dunia ini. Objek-objek mampu diubah suai dek si api sementara ais dapat dicairkan oleh sang matahari. Namun, tiada satu cara pun yang ditemui untuk menghakis perasaan benci.

"Tuanku," Ketua pelayan tersebut melutut di atas lantai dengan badan yang sedang menggeletar. Dia tidak pasti akan tahap ketakutan yang sedang dirasainya kini, namun dia sedar perasaan tersebut telah menyelubungi setiap sendinya dan dia tidak mempunyai cara untuk membendungnya. 

"Pulang ke istana," Kata Yan Xun semasa dia menoleh ke arah kehuru-haraan yang sedang berlaku sebelum berpaling. 

Malam tersebut masih terasa gelap bagaikan dakwat berus. Angin lantas menghembus membelah udara semasa bayangan pemuda tersebut semakin menghilang di sebalik kekelaman malam, mempamerkan lagi keheningannya sambil ditemani teriakan dan cemuhan samar-samar daripada anak-anak kecil tadi.

"Saya akan balas dendam untuk ibu saya!"

"Bajingan-bajingan Yan Bei tak guna!"

"Kamu semua akan mati!"

"Raja kami akan kembali! Kamu semua akan menyesali semua ini!"

….

Selapisan kabus segera meliputi seluruh daratan sebaik sahaja malam berlarutan, mengaburi perisai tentera di stor simpanan senjata sementara darah mula menyusup masuk melalui pintu gerbang istana. Anggota-anggota badan budak-budak kecil tadi yang telah terputus tidak lama kemudian dilontarkan ke dalam tapak perkuburan besar, dibiarkan begitu sahaja supaya menjadi makanan anjing-anjing liar.

Dunia ini sememangnya adil. Kepayahan realiti di dunia ini bermaksud ramai manusia yang terjebak dalam kancah kebencian sementara mereka yang boleh melihat dunia dari perspektif yang lebih baik pula selalunya tidak boleh mengecapi kebahagiaan. Namun, kehidupan itu semestinya lebih baik daripada kematian.

Pemuda itu terduduk di hadapan jendela dengan sebuah jari jed di sekeliling jari-jemarinya yang telah terputus. Perbezaan saiz di antara mereka membolehkan angin untuk melewati ruang tersebut. Walaupun setelah dijahit dengan benang emas sekalipun, jari jed patah yang ditambah lagi dengan rupanya yang sudah lusuh itu sememangnya telah menentukan nilainya yang sedikit. Tiada sesiapa yang akan mengambilnya walaupun ia telah dilemparkan ke tepi jalan.

Yan Xun telah menggunakan telapak tangannya untuk menggosok-gosok jed yang telah lusuh itu, permukaannya yang agak bergerigi telah memberikan sebuah bunyi yang seakan-akan dua permukaan sedang bergesel sesama sendiri. Semasa dia menundukkan kepalanya untuk merenung corak ukiran yang terhias pada jed itu, sebuah bayangan samar tiba-tiba muncul pada permukaannya yang berkilauan tersebut.

"Ada apa-apa penyesalan?" Yan Xun tertawa dingin.

Perasaan lemah, takut, atau apa yang sering digambarkan anak-anak kecil seperti penyesalan itu semuanya adalah perasaan yang tidak dibenarkan Yan Xun untuk bertakhta di hatinya. Ia kerana perasaan-perasaan tersebut langsung tidak memberinya apa-apa matlamat selain dari untuk mencemuhnya. Segala impian Yan Xun telahpun tercapai. Jadi kini, segala yang pemuda itu ingin lakukan ialah merahmati rakyat jelatanya dan juga berbaik budi.

Benarkah dia tidak mempunyai sebarang penyesalan?

Semasa pemuda itu memejamkan matanya, matahari subuh memancarkan cahayanya di pohon-pohon hutan di kejauhan sehinggalah ke dalam dewan istana milik pemuda ini. Tidak lama kemudian, cahaya tersebut telah terpancar pada wajah kacaknya. Istana tersebut yang telah dibina menggunakan kayu eboni dan juga kayu obsidian membuatkan ia kelihatan begitu megah dan indah di bawah cahaya mentari pagi.

Darah Yan Bei dan juga keturunannya sedang mengalir dalam darah daging Yan Xun, jadi sudah semestinya dia mempunyai hasrat terpendam untuk memimpin pasukan-pasukan tenteranya untuk menyerang Zhen Huang. Bagaimana mungkin pemuda ini bakal menyesali hakikat ini?

Dia mengangkat wajahnya untuk memerhatikan pemandangan sekeliling sementara sekawanan burung berterbangan di udara, mempamerkan perbezaan yang amat jauh dengan secebis tanah kepunyaannya semasa dia masih kecil.

'Penyesalan?' Dia mengejek.

Pada hari ke-16 bulan ketiga, sebuah laporan penting telah dihantar daripada para pengintip dari wilayah-wilayah Timur. Mereka mengatakan mereka telah bertembung dengan sekumpulan tentera pemberontak di mana salah seorang daripada mereka kelihatan begitu mencurigakan. Tidak lama kemudian, sebuah perintah daripada jabatan jenayah telah dihantar untuk menangkap orang tersebut supaya dihantar ke ibu negara secepat mungkin.

Setelah setengah bulan berlalu, pemuda tersebut akhirnya telah dibawa ke muka pengadilan dengan kedua-dua belah kaki dan tangannya diikat. Namun, walaupun dalam keadaan yang begitu menyedihkan itu, ciri-ciri mukanya seperti hidung mancungnya, bibir nipisnya dan juga keningnya hanya telah mempamerkan lagi keindahan wajahnya. 

Yan Xun bersemayam di atas takhtanya sambil memerhatikan pemuda itu buat masa yang sungguh lama. Sebaliknya, dia telah mengangkat kepalanya yang telah dilumuri dengan darah itu sebelum tersenyum ringan pada Yan Xun seolah-olah mereka sahabat lama yang sudah lama tidak berjumpa. "Putera Yan, dah lama kita tak bertemu."

Putera Yan… Ia sebuah panggilan yang sudah lama tidak didengarinya. Yan Xun dengan tenangnya membalas, "Tuan Muda Mu."

"Dah lama kita tak bertemu. Tuanku Putera Yan dah bina nama Tuanku sendiri."

"Betul ke begitu?" Yan Xun membalas dingin, "Tapi Tuan Muda Mu belum lagi."

Mu Yun membalas dalam tawaannya, "Situasi dah berubah dan saya pun ikut saja dengan haluan hidup saya."

"Tuan Muda ini optimistik betul. Sememangnya seorang perwira hebat."

Mu Yun tiba-tiba terkekeh, menggeleng-geleng kepalanya. "Perwira-perwira negara semuanya dah terkorban. Kita yang terselamat ini hanya mencari sebuah kehidupan yang disaluti penghinaan dan memalukan. Terima kasih sebab Tuanku bakal menamatkan riwayat saya yang menyedihkan dan juga memalukan ini."

"Nampaknya Tuan Muda dah tak sabar-sabar lagi."

Mu Yun bersujud hormat dan menjawab, "Tolonglah perkenankan permintaan saya ini, Putera Yan."

Renungan mata Yan Xun tiba-tiba menjadi lebih tajam. Renungan ini telah diperolehinya daripada menyertai bidang ketenteraan buat masa yang sungguh lama. Namun, dia tidak dapat melihat apa-apa di sebalik renungan mata lelaki di hadapannya itu.

Sementara penaklukan ke atas segala daerah itu bermakna dia telah menguasai kawasan-kawasan tersebut, namun seperkara yang Yan Xun tidak dapat tawani adalah hati rakyat. Hati-hati gigih bersemadi di dalam tanah yang telah dijajahnya ini.

Dia berkata dengan santai, "Jadi, saya tak akan hantar awak pergilah kalau begitu."

Mu Yun tertawa. Walaupun dia telah tercedera di seluruh anggota badannya, aura aristokrat itu masih lagi menyelubungi dirinya.

"Putera Yan ini orang yang sibuk. Tak perlulah Tuanku ikut saya."

Cahaya mentari yang memantul melepasi jendela tingkap telah memaparkan sebuah bayangan di atas lantai. Kedua-dua anak kecil yang telah bersaing sesama sendiri untuk memperbaiki kelemahan diri semenjak kecil lagi itu kini telah bertempur dengan penuh kejam setelah perspektif dunia membawa mereka ke haluan berbeza apabila mereka dewasa. Akhirnya, pemuda itu berdiri tergamam apabila memerhatikan pesaingnya bergerak selangkah demi selangkah ke arah platform penjatuhan hukuman.

Angin menderu lembut melewati telinganya sewaktu pemuda itu meraih dagunya sedikit. Kelesuan lantas membadai jiwa dan raganya, membuatkan dia berdiri tercegat di situ buat masa yang lama. Dari kejauhan, dia boleh mendengar bunyi berbilah-bilah pedang di Platform Jiu You dilibas. Badan sihat yang terbaring di atas platform tersebut sekaligus tidak dapat dibangunkan lagi, matanya pula tertutup selamanya.

'Maruah? Harga diri? Darah diraja? Keturunan? Keazaman? Kepercayaan? Dalam sesebuah rancangan sulit, apa kepentingan perkara-perkara ini semua?'

Mereka yang tidak pernah dianayai atau tidak pernah menerima sebarang kekalahan, mahupun mereka yang tidak pernah bertarung untuk mendapatkan kembali reputasi daripada terus terjerumus dalam kehancuran pasti tidak akan mengerti tentang perkara-perkara terpenting buat diri mereka sendiri. 

Salah satu syarat buat segala kenikmatan di dunia ini adalah seseorang itu haruslah masih bernafas untuk menikmati segalanya.

Jadi, penerusan hidup itu adalah perkara terpenting.

Apabila dia membuka matanya, pemuda itu lantas dijemput oleh lebih dari seratus pegawai yang sedang berlutut di hadapannya, menjadikan suasana di dalam dewan itu melemaskan. Dia boleh nampak sesetengah daripada pegawai di situ sedang menggeletar, ada yang disebabkan oleh perasaan takut dan ada juga disebabkan oleh perasaan benci. Namun, mereka langsung tidak mampu untuk bertindak. Lagipun, pemuda ini merupakan pemimpin agung buat tanah tumpah darah mereka, seseorang yang patut mereka patuhi. Kenyataan itu sahaja sudah mampu untuk memuaskan hatinya.