Angin yang bertiup menggoyangkan rumput-rumput di atas tanah ketika seorang jeneral muda berperisai hijau cerah membuka surat di tangannya sambil terduduk di atas kudanya. Kedengaran bunyi seekor kuda yang datang dari arah belakang. Ia adalah Wei Shuye. Melihatkan ekspresi wajah Zhao Che yang sedang berada di dalam dilema itu telah membuatkan Wei Shuye mengangkat keningnya dan bertanya, "Zhuge Yue hantar surat lagi ke?"
"Ya." Selepas beberapa ketika, Zhao Che mengangkat kepalanya sambil tertawa kecil dan berkata, "Dia dah ada seorang anak perempuan sekarang dan dia mencari saya untuk mengurniakan gelaran kepada anaknya itu."
"Oh?" Wei Shuye ketawa dengan tulus. "Dia agak bernasib baik sebab mempunyai anak lelaki dan perempuan. Kita patut menghantar beberapa hadiah kepadanya."
"Tak payah fikir lagi. Dia secara peribadi telah meminta beberapa jenis hadiah."
Wei Shuye berasa sedikit terkejut apabila mendengarnya sebelum dia kembali ketawa. "Dia sudah menjadi ayah kepada dua orang anak dan dia masih begitu kekok."
Pandangan mata Zhao Che kelihatan lembut ketika dia mengingati beberapa perkara dari masa lalu. Dia tersenyum dan berkata, "Sejak muda lagi dia selalu seperti ini. Kamu ingat tak suatu ketika dahulu semasa kita berada di Dewan Shanghu, semua orang mengadakan jamuan dan membawa hadiah. Tapi, dia seorang sahaja yang berkelakuan aneh sebab dia tidak pernah memberitahu kita apa-apa. Pernah sekali dia belanja adik ke-13 untuk makan dan kebetulan itu ialah hari lahirnya. Selepas itu, adik ke-13 telah menceritakan bagaimana dia dilayan oleh Zhuge Yue. Tetapi, pada hari kedua, lebih daripada 20 buah kedai telah pergi ke butler adik ke-13 untuk mengutip hutang. Ternyata, Zhuge Yue membeli banyak barang dengan menggunakan nama adik ke-13."
Wei Shuye ketawa. "Ya, saya masih mengingati peristiwa itu. Pada masa itu Putera ke-13 memang banyak menghabiskan duit. Dia membelanjakan elaun setengah tahun hanya untuk sekali makan dan terpaksa meminjam duit daripada saya selama tiga bulan berturut-turut. Malah, sekarang dia masih belum membayarnya kembali kepada saya."
"Haha, mereka semua cakap adik ke-13 itu orang yang paling pemurah tetapi sebenarnya dialah yang paling licik. Sejak muda lagi dia tak pernah pulangkan wang yang dipinjamnya."
Mereka terus berbual ketika dalam perjalanan pulang. Istana Zhao Che terletak di Bandar Shuanghan bersebelahan dengan Beiluosi. Kawasan itu sangat luas sehingga boleh dibandingkan dengan Bandar Zhen Huang. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, populasi penduduk di situ semakin meningkat dengan mendadak dan menjadi pusat komersial utama di utara.
Sebelum mereka memasuki bandar, mereka dapat mendengar sekumpulan kuda meligas dengan laju. Seorang wanita yang berada di bahagian hadapan kumpulan tersebut sedang memakai sehelai mantel berwarna merah dan memakai kasut but yang diperbuat daripada bulu rubah. Mukanya kelihatan sedikit merah dan bentuk wajahnya cantik solah-olah para dewa yang telah melukisnya sendiri. Kalau dilihat dengan teliti, perutnya kelihatan sedikit membesar, menunjukkan dia sedang mengandung. Ketika dia melihat Zhao Che, matanya bersinar lalu dia terus mencambuk kudanya dan bergerak ke arah pemuda itu. Lelaki itu mengerutkan dahinya namun Wei Shuye cuba menahan dirinya daripada ketawa.
"Awak tak bagitahu saya apa-apa pun walaupun awak dah balik. Hmph, akhirnya awak dijumpai oleh saya juga, kan?" Wanita itu yang sudah menjadi ibu kepada dua orang anak malah anak ketiga juga bakal dilahirkan tetapi dia langsung tidak menunjukkan kematangan apabila dia melemparkan cambuknya dan mengangkat dagunya sambil melihat ke arah Zhao Che dengan matanya yang mengecil penuh dengan rasa kebanggaan dan kebahagiaan.
"Awak bukan ke sedang mengandung, jadi kenapa masih menunggang kuda? Awak tak ingat pesanan saya ke?"
"Tch!" Wan Yanrou mengklikkan lidahnya dan membalas komen lelaki itu. "Ibu saya telah melahirkan saya di atas kuda. Kami wanita dari Timur Hu ini tidak selemah wanita Xia." Selepas dia berkata begitu, dia melompat turun dari atas kudanya dan berlari ke arah Zhao Che dan cuba untuk memanjat kudanya. Jelas sekali dia mahu menunggang kuda bersama Zhao Che.
"Tarik saya! Tarik saya ke atas!" Wan Yanrou berdiri di atas hujung kakinya dan meraung. Perutnya yang besar itu sudah tentu menghalang pergerakannya.
Melihatkan wajah degil wanita itu, akhirnya Zhao Che mengalah lalu dia menarik wanita itu naik ke atas kudanya dengan keluhan. Dia tidak berani untuk memecutkan kudanya lalu dia mengawal kudanya supaya berjalan dengan pantas sahaja.
Wan Yanrou yang mengatakan wanita Xia lemah dan baik akhirnya patuh apabila berada di dalam pelukan suaminya sambil tersenyum seperti kucing yang baru sahaja memakan ikan.
Sebaik sahaja mereka tiba di istana, para pelayan segera mengerumuni mereka dan melaporkan mengenai perkhabaran terbaru dari kawasan pedalaman. Wan Yanrou berasa sangat marah sebelum kembali ke belakang istana dan kononnya mahu bermain bola dengan puteranya.
Zhao Che memaklumkan kepada para pelayan supaya menjaga isterinya itu dengan baik ketika dia berjalan ke dalam istana utama. Matahari pada petang itu kelihatan cerah menyinari atas tanah, menjadikan sekeliling bertukar menjadi warna keemasan.
Berita yang dihantar ialah daripada Zhao Yang. Isi kandungannya lebih kurang sama dengan maklumat yang diberikan oleh Zhuge Yue tetapi lebih terperinci. Kini, Zhao Yang agak aktif di sempadan utara dan telah memberikan banyak maklumat kepadanya pada hari-hari kebiasaannya. Pada mulanya, surat Zhuge Yue telah dihantar setengah bulan yang lalu tetapi pertempuran pada ketika itu belum lagi teruk. Mampu mengenal pasti situasi semasa terlebih dahulu pun sudah cukup mengagumkan baginya.
Wei Shuye tahu Zhuge Yue tidak akan menulis surat untuk menceritakan mengenai hal keluarganya. Dia baru sahaja kembali dari kempen di Tuyuhun dan Zhao Che pula tidak mahu terlalu bimbangkan dirinya. Oleh itu, Wei Shuye pulang ke rumah dan memberi ucapan salam sebelum kembali ke istana. Ketika dia memasuki istana, dia melihat Zhao Che telah mengumpulkan sekumpulan penasihat tentera dan sedang berbincang mengenai urusan ketenteraan.
Perbincangan tersebut berlangsung selama empat jam sehingga waktu makan malam. Wan Yanrou telah menghantar beberapa orang pelayannya untuk menjemput mereka buat beberapa kali. Sebenarnya, dia mahu saja menerjah masuk secara peribadi ke dalam mesyuarat itu untuk berdebat dengan para menteri. Pada masa itulah para menteri akhirnya berlembut dan menamatkan mesyuarat itu. Zhao Che telah menjemput Wei Shuye untuk makan malam dan pemuda tersebut juga telah menerima jemputan itu. Satu-satunya masalah yang sedang dihadapinya kini ialah tatapan mata tajam oleh Wan Yanrou dengan penuh kemarahan di mana wanita itu berharap untuk berada bersama suaminya bersendirian.
Selepas makan, mereka memasuki bilik belajar. Zhao Che bertanya dengan berterus terang, "Apa pendapat awak mengenai hal ini?"
Wei Shuye tersenyum lembut dan membalas, "Tuanku sepatutnya sudah ada idea sebelum ini, kenapa tanya saya?"
Zhao Che mengerutkan dahinya. "Saya belum membuat keputusan lagi."
"Tuanku, teragak-agak itu maksudnya kamu sudah membuat keputusan."
Zhao Che perlahan-lahan duduk dan menggosok-gosok cawan teh di tangannya sambil termenung.
"Cik Puan Jingan sanggup mengkhianati seluruh dunia dan menyerang Sempadan Meilin lantas membenarkan orang-orang Quanrong itu untuk masuk ke dalam. Dia tidak menghormati dirinya sendiri. Tuanku, walaupun dia darah keturunan Empayar Xia, ini sesuatu yang kita tidak boleh abaikan."
Melihatkan Zhao Che yang tidak bersuara, Wei Shuye menyambung, "Sebelum ini dia pernah mencuba untuk mensabotaj Chu Qiao beberapa kali. Kalau bukan sebab kamu, Zhuge Yue pasti sudah mengambil tindakan lama dahulu. Sejak beberapa tahun lepas, Empayar Tang langsung tidak menyentuhnya sementara Qinghai juga tidak mencari masalah dengannya. Malah, atas sebab-sebab tertentu, Yan Xun juga tidak melakukan apa-apa mengenainya walaupun dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian beberapa kali. Lagipun,, disebabkan oleh perlindungan rahsia kita, dia tidak pernah benar-benar berada dalam bahaya. Tapi, kali ini dia sudah melampaui batas."
Zhao Che tenggelam dalam kesunyian beberapa ketika sebelum menjawab, "Orang-orang Quanrong sudah sampai di Beishuo."
"Empayar Agung Yan hanya telah wujud selama enam tahun. Kuasa dalaman empayar tersebut masih tidak stabil dan masih ada kekuatan kecil pasukan Xia dalam sempadan mereka. Dengan slogan pemulihan keluarga Maharaja Xia, Puteri Chun akan mendapat kelebihan buat seketika. Walau bagaimanapun, apabila rakyat mula menyaksikan kekejaman rakyat Quanrong, mereka akan kembali sedar. Pada masa itu, Puteri Chun akan dilanda kerugian yang besar. Gelaran sebagai pengkhianat kepada seluruh benua akan terukir di dalam sejarah." Wei Shuye meneruskan alasannya. Pertempuran selama bertahun-tahun telah menjadi pembaptisan di dalam darahnya kerana dia bukan lagi seorang putera yang berbudi bahasa tetapi dia telah bertukar menjadi seorang jeneral yang menakutkan.
Zhao Che mengerutkan dahinya dan bertanya dengan perlahan, "Kamu rasa apa yang dikatakan oleh Tuan Zhang itu munasabah?"
Wei Shuye melepaskan ketawa kecil. "Tuanku, kamu tahu kan jawapannya. Kenapa tanya saya?"
Zhao Che memandang ke arahnya lalu turut ketawa. "Betul. Patutlah Ah Rou cakap yang sekarang, saya dah menjadi seorang yang tidak dapat membuat keputusan. Saya cuma fikir berlebihan."
"Semua pemerintah sama sahaja. Sebelum ini kamu hanyalah seorang raja tetapi sekarang kamu sudah menjadi Maharaja Xia. Kamu bertanggungjawab untuk lebih ramai orang dan mustahil jika awak tak berfikir dengan lebih berhati-hati."
"Saya faham. Pemerintahan di Yan Bei baru sahaja stabil dan dengan kekacauan di Utara, kita tak akan dapat melawan perang dua belah pihak dan mustahil untuk mendapat apa-apa keuntungan jika berbuat demikian."
Wei Shuye bertanya, "Bagaimana pula dengan cadangan Zhuge Yue?"
"Kita akan lihat nanti." Zhao Che berkerut. "Kita berada dalam situasi yang berbeza daripadanya. Qinghai selalu diketepikan dalam situasi ini tanpa kebencian yang banyak daripada penduduk pedalaman. Namun, pahlawan kita terutamanya komander atasan amat membenci orang Yan Bei. Ia akan menjadi lebih sukar untuk memotivasikan mereka untuk bertempur demi Yan Bei daripada meyakinkan mereka untuk membunuh diri."
Wei Shuye mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. "Haih, bagaimana kita mahu bertempur untuk orang lain?"
Zhao Che juga tersenyum pahit, "Kata-kata saja tidak mencukupi untuk menembusi orang-orang ini."
"Betul, pegawai istiadat baru sahaja menghantar keluar pasukan kecemasan. Perkara penting apa yang sudah berlaku?"
Bercakap mengenai ini, Zhao Che akhirnya mengukir sebuah senyuman lega dan berkata, "Saya sedang mencari seorang isteri untuk Xian'er. Anak perempuan Zhuge Yue itu ialah suatu rahmat. Saya mesti pastikan saya merebut peluang itu sebelum Empayar Tang."
"Maharaja Tang, Li Xiuyi? Bukankah dia sudah mempunyai maharani?" Wei Shuye bertanya dalam keadaan terkejut.
"Kamu lupa ke Li Ce mempunyai seorang lagi anak lelaki? Anak lelaki kepada Cik Puan Zhan yang selalu tinggal di Qinghai."
"Betul, baru sekarang saya teringat." Wei Shuye mengangguk. "Saya pernah melihat budak itu sekali. Dia mirip seperti ayahnya terutama sekali di bahagian matanya."
Zhao Che bersandar di atas kerusi dan berkata dengan bangga, "Selepas mengambil begitu banyak daripada saya, saya akan pastikan yang dia membayar kembali hutangnya dengan mengahwinkan anak perempuannya dengan anak lelaki saya."
Walaupun rumput-rumput baru sahaja mula bercambah, seluruh Qinghai sudah dipenuhi dengan rumput hijau berserta angin yang bertiup kuat.
Malam sudah semakin larut semasa Chu Qiao perlahan-lahan menutup tingkap sambil memakai baju tidur putih. Bunyi hujan langsung tidak kedengaran dari luar dan bilik itu hanya diterangi oleh sepasang lilin yang menyala dalam kesunyian. Sepasang tangan memeluknya dari belakang dan dia dapat merasakan nafas hangat yang menyentuh belakangnya. Zhuge Yue berasa sangat kepenatan lalu dia bersandar di badan lembut Chu Qiao sambil berbisik, "Awak tak tidur lagi."
"Bagaimana saya nak tidur kalau awak belum balik lagi?" Chu Qiao tersenyum sambil berpaling lalu mencium lembut bibir suaminya itu dan bertanya, "Awak lapar? Nak saya bagitahu pembantu dapur untuk menyiapkan makanan? Saya mengarahkan mereka untuk menunggu awak balik."
Zhuge Yue tersenyum walaupun dia tidak berpuas hati dengan kucupan yang diterimanya sebentar tadi. Dia merendahkan kepalanya dan mencium bibir Chu Qiao lalu lidahnya ditekan ke dalam mulut wanita itu. Lidah mereka terkunci di dalam tarian yang mengghairahkan.
Chu Qiao perlahan-lahan memeluk pinggang suaminya sebagai membalas perbuatan mesra lelaki itu. Tidak lama kemudian, suhu di dalam bilik itu seolah-olah telah dinaikkan beberapa darjah. Suara serak Zhuge Yue kedengaran di telinganya, nadanya dipenuhi dengan nafsu lantas memberikan kata-katanya kedengaran seperti godaan, "Sudah berapa hari? Awak tak rindukan saya?"
Wajah Chu Qiao kelihatan merah apabila dia sedikit tercungap-cungap sebelum menyandarkan kepalanya di dada lelaki itu. Dia mengangkat kepalanya dan matanya yang kelihatan berair sangat menarik dan cantik.
"Saya sangat merindui awak. Kalau awak berterusan melayan saya dengan dingin saya akan mula mencari gundik."