Chapter 272 - Bab 272

Saya hanya ingin menjadi seekor kerang. Dengan masa dan darah daging saya sendiri, saya akan menjaga mutiara saya.

Pada waktu tengah malam, salji tiba-tiba turun. Angin tidak menghembus pada waktu itu jadi, salji yang turun menimpa bumi terasa ibarat kapas yang turun dari langit. Seluruh tanaman pokok plum di taman berkembang pada waktu malam. Bunga merah itu kelihatan seperti darah, mewarnai ranting-rantingnya dengan tompokan merah.

Meixiang masuk pada waktu tengah malam untuk menambah arang batu dan terlihat Chu Qiao duduk di atas katil. Meixiang berasa sedikit terkejut lalu dia melangkah ke hadapan dan berkata dengan lembut, "Cik, apa yang berlaku?"

Chu Qiao sedang memakai baju tidur berwarna putih dengan rambutnya yang ikal mayang, namun dia kelihatan kaku seperti batu. Kulitnya agak pucat apabila dia membalas dengan lembut sambil menggelengkan kepalanya, "Saya hanya berasa sedikit tak selesa."

Setelah mendengarnya, Meixiang tersenyum kecil lalu menyakatnya, "Tuan keempat baru saja pergi selama dua hari, tapi Cik dah rindu dia sampai tidur pun tak lena ke?"

Walaupun Zhuge Yue menduduki Qinghai, dia masih memegang jawatan sebagai orang suruhan Empayar Xia dan menganggap Zhao Che yang kini memerintah tanah utara sebagai tuannya. Oleh itu, dia masih seorang Raja dan Chu Qiao merupakan seorang Cik Puan. Meixiang tidak mengubah gelaran mereka apabila dia memanggil mereka. Chu Qiao tertawa dan Meixiang pun kemudiannya meninggalkan dia bersendirian.

Pada malam yang tenang itu, tanpa Zhuge Yue di sampingnya, bilik itu terasa kosong. Dia terfikirkan mimpi yang baru saja dia alami. Wanita dalam mimpinya mempunyai susuk tubuh yang agak kabur dengan kulitnya yang pucat. Namun, senyuman wanita itu tampak lembut dan tenang. Dia memakai jubah putih tulen dan berdiri di taman yang indah diam-diam sambil memandangnya. Bunga-bunga putih mekar di belakangnya berguguran tatkala angin meniupkannya.

Pada malam yang gelap ini, atas sebab tertentu angin tiba-tiba bertiup. Bunga-bunga plum berguguran tatkala ditiup angin, menghasilkan desiran lembut apabila mengenai jendela. Chu Qiao terpaku melihat ke luar jendela dan tiba-tiba dia berasa sakit. Dia tidak tahu kenapa dan mengapa.

Pada 4 Disember iaitu dua hari yang lalu, Zhuge Yue telah pergi ke Gongyue untuk menyelesaikan beberapa hal berkenaan ketenteraan. Di Istana Qianhua dalam kawasan Istana Xingyue, Chu Qiao bermimpi tentang seorang wanita yang tidak dikenali sedang berdiri di luar tingkapnya. Dia berdiri di situ buat masa yang lama sebelum beredar.

Setengah bulan kemudian, Zhuge Yue akhirnya pulang dari Gong Yue.

Zhuge Yunzhou mengerutkan kening kecilnya dan mula mengadu kepada ibunya sebelum turun dari kereta kuda. "Zhou'er tak akan pergi dengan ayahanda lagi. Dia asyik nak cepat saja. Tak seronok langsung."

Li Qingrong sudah berusia lapan tahun dan lebih mirip seperti ayahnya, terutamanya apabila dia menyukai pakaian yang berwarna-warni sama seperti ayahnya. Dia malah telah memancarkan aura rakannya melalui tingkah lakunya. Dia dengan malasnya bersandar pada tiang batu di hadapan istana sebelum menguap dan menggumam, "Kan saya dah beritahu sebelum ini. Kamu yang tak nak percaya dan berkeras juga nak ikut."

Chu Qiao mengabaikan mereka berdua dan berjalan terus ke arah Zhuge Yue. Dia menyapu debu-debu di pakaiannya sambil bertanya, "Perjalanan itu sukar ke?"

Zhuge Yue memeluk dan mengucup pipinya. "Semua baik-baik saja."

"Ah!" Zhuge Zhouyun mengeluh kerana mendapati tiada sesiapa yang menjawabnya. Dia turun daripada kudanya sendirian. Tatkala dia turun, dia hanya mengeluh sambil menggelengkan kepalanya. "Dalam era ini, sukar betul nak ramal hati seseorang. Walaupun kita semua keluarga, layanan yang diberikan begitu berbeza."

Pada masa yang sama, Li Qingrong berpura-pura tidak sanggup untuk melihatnya lagi maka dia menutup matanya dengan satu tangan dan menggunakan tangannya yang lagi satu untuk merasakan jalan kembali ke istana.

Pada malam itu, Istana Xingyue telah mengadakan sebuah jamuan besar. Segala jenis makanan telah disajikan mengikut urutan sambil diiringi dengan tarian dan muzik yang memenuhi kawasan istana. Istana itu penuh dengan orang ramai dan gelak tawa. Namun, semua kemakmuran ini tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan renungan mata milik wanita di sebelahnya. Dengan salji yang menebal di luar pintu, pokok-pokok plum bergoyang-goyang bersama emping salji yang turun.

Selepas minum alkohol, dia kini berada dalam angin yang sangat baik. Walaupun orang bawahannya telah menyakatnya mengenai kebimbangannya terhadap keluarganya dan bergegas kembali sepanjang malam, dia hanya menjeling kecil dan berpura-pura seperti dia sedang marah.

Pada malam itu, apabila jamuan tersebut tamat, pintu istana pun ditutup. Di sebalik kain sutera yang nipis, tubuh hangat mereka bersatu. Selepas aktiviti malam mereka bersama selesai, Zhuge Yue mencium cuping telinganya dan berbisik, "Xing'er, Maharani Nalan dah pergi."

Pergi? Ke mana? Chu Qiao masih lagi termenung kerana jantungnya masih belum pulih daripada hubungan asmara yang penuh berahi sebentar tadi. Dia yang terus memeluknya hanya terkesima apabila memikirkan tentang Maharani Nalan. Maharani Nalan yang mana pula?

"Khabar angin mengatakan yang dia dah meninggal dunia akibat penyakit yang menyerangnya secara tiba-tiba dua minggu yang lalu. Selepas mendengarnya, saya berasa sangat takut sebab saya teringatkan keadaan awak yang sakit teruk. Sebab itulah saya ingin tergesa-gesa pulang." Zhuge Yue berkata perlahan-lahan sambil memeluk Chu Qiao dari belakang. Dadanya kini bersentuhan dengan belakang badan Chu Qiao yang lembut. Dia memeluknya dengan erat sehingga wanita itu berasa seperti ingin pengsan pula.

Badan Chu Qiao secara beransur-ansuran membeku apabila kedinginan mula muncul dari hujung jarinya seperti tanah tinggi Yan Bei yang dingin sehingga mampu membekukan air mendidih dalam sekelip mata. Apabila angin bertiup melewati tingkap, mereka dapat mendengar sayup-sayup lolongan angin. Dahan-dahan pokok plum bergoyang di hadapan tingkap seperti seorang wanita yang meliang-lentokkan tubuhnya.

Wanita itu kemudiannya segera teringat bagaimana dia terbangun dari tidurnya secara tiba-tiba dan dipenuhi dengan peluh sejuk yang melekat pada tubuhnya. Selepas saban hari berlalu, dia akhirnya sudah melupakan wajah dan pakaian yang dipakai oleh orang itu. Namun, Chu Qiao sentiasa akan mengingati dengan jelas bagaimana sepasang mata tersebut kelihatan begitu tenang dan bergerak cepat seperti awan di langit. Pandangan itu tertumpu pada Chu Qiao dan melewatinya sehingga ke kejauhan.

Angin meniupkan pakaiannya dan kelopak bunga terbang melepasi wajahnya yang pucat. Mereka tidak pernah bertemu sebelum ini dan satu-satunya masa mereka bertembung sepanjang kehidupan mereka hanyalah pada ketika dia sekilas ternampak surat itu pada suatu saat dahulu. Kandungan yang ditulis dalam surat yang harum itu terjejas dek terkena titisan air mata wanita itu apabila dia membukanya untuk membaca surat itu. Dakwat yang digunakan telah meresap lalu membuatkan tulisan itu sukar untuk dibaca. 

Dalam takdir yang aneh ini, hanya Chu Qiao sahaja yang dapat melihat penderitaan yang dialami oleh wanita yang berdiri di kemuncak kuasa itu.

Gunung memelihara pokok, namun pokok-pokok itu menyuburkan dahannya; Hati saya mencari kebahagiaan buat awak, tetapi awak tidak tahu...

Whoosh, satu lembaga hitam melewati tingkap. Chu Qiao tiba-tiba membeku, malah jari-jemarinya juga sudah menjadi sejuk. Zhuge Yue yang menyedari ketegangan wanita itu terus memeluknya sambil mengangkat badannya dan berkata, "Apa itu?"

Bunyi tapak kaki yang bergegas terdengar di luar tatkala orang gaji menjawab, "Tuanku, itu burung gagak yang terbang pada waktu malam."

"Maklumkan kepada unit memanah dan tembak mereka semua yang berada dalam kawasan ini."

"Baik, Tuanku. Saya minta diri dulu."

Angin masih bertiup tatkala Zhuge Yue memeluk dan menenangkan hati wanita itu, "Jangan takut. Itu hanya seekor burung."

Mata Chu Qiao tiba-tiba menitiskan air mata lalu dia pun merangkul pinggangnya dengan erat. Dengan satu tangan di sekeliling Chu Qiao, satu tangan lagi digunakan untuk menepuk belakang badannya. Zhuge Yue seolah-olah dapat merasakan sesuatu jadi dia pun bertanya dengan lembut, "Xing'er, apa yang berlaku?"

Dia terus menyembamkan mukanya ke dalam pelukan Zhuge Yue yang lembut dan menjawab dengan perlahan, "Tak ada apa-apa. Saya hanya merasakan yang dunia ini sangat sukar untuk dijangkakan."

Dia kemudiannya menjawab dengan lembut, "Dunia tak dapat diramalkan, tetapi tak termasuk kita."

Chu Qiao mengangkat kepalanya dan sepasang anak mata yang gelap seolah-olah memancarkan aura kekeliruan dalam kegelapan itu. Dia kemudiannya berkerut dan berkata, "Ada beberapa perkara yang manusia tak dapat kecapi. Salah satunya ialah meramal takdir."

"Saya tak pernah percayakan tuhan atau dewa." Pemuda itu tersenyum kecil, matanya bersinar tatkala dia mendekati wanita itu untuk mengucup bibirnya. Dia kemudiannya menggumam, "Saya tak akan melakukan sesuatu yang saya akan menyesal kelak."

Jantungnya seolah-olah telah jatuh ke dalam kolam air yang mendidih dan anggota badannya pula menjadi lemah. Dia memeluknya dan membalas ciuman itu sepenuh hatinya. Tubuh mereka kini bersatu sekali lagi, merasai setiap inci tubuh badan masing-masing dengan jari-jemari mereka. Apabila Chu Qiao meletakkan tangan dan telinganya di dada Zhuge Yue, dia dapat merasai degupan jantung Zhuge Yue yang kencang. 

Air matanya kini jatuh berjurai-jurai. Dia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menghentikannya kerana dia sendiri tidak mahu menghentikannya. 

Salji berdesir di luar jendela tatkala dia bersandar dalam pelukan suaminya di dalam bilik tidur yang hangat itu. Di dalam bilik tidur yang bertentangan dengan mereka, anak lelaki mereka sedang tidur. Di langit yang luas, dunianya kini berada dalam genggamannya. Sekalipun dunia berubah atau terbalik, dia akan menghadapinya dengan berani.

Musim sejuk di Qinghai pendek dan berakhir dengan cepat. Angin musim bunga amat berharga buat rakyat kerana ia bakal melembapkan tanah. Hari ini hari yang terbaik untuk menyemai. Zhuge Yue membawa kesemua orang-orang bawahannya ke tanah ciptaan tuhan bersama-sama Pingan yang turut mengikutinya. Jingjing yang terasa begitu bosan telah mendesak Chu Qiao untuk keluar dari istana bagi menghirup udara segar. Chu Qiao berasa agak letih semenjak kebelakangan ini, tetapi masih dapat diyakinkan oleh Jingjing untuk membawa Yunzhou dan Rong'er keluar. Walaupun Li Qingrong masih muda, dia suka tidur. Walaupun selepas keluar dari istana, dia masih lagi mamai. Chu Qiao tidak mempunyai pilihan lain selain menyediakan pengangkutan berasingan hanya untuknya, manakala dia pula berkongsi kereta kuda dengan Yunzhou dan Jingjing.

Selepas mendaki gunung, semua orang meninggalkan kereta kuda mereka untuk berjalan. Li Qingrong mengeluh tetapi masih mengikuti mereka dari belakang sambil mengadu dia datang ke Qinghai hanya untuk berehat, tetapi dia masih letih. Jingjing mula bertikam lidah dengannya, tetapi cepat sahaja ditewaskan. Dia hanya boleh memandang ke arah Chu Qiao untuk mendapatkan bantuan. Chu Qiao tersenyum dan bertanya jika Maharaja Tang masih memaksanya mempelajari politik setiap hari.

Dia segera mengangguk dan menjawab dengan tidak berdaya, "Abang saya cakap selepas beberapa tahun, dia akan membenarkan saya mengambil alih selama beberapa tahun dan biarkan dia berehat."

Chu Qiao tahu adik-beradik ini sangat rapat dan tidak terkejut dengan cadangan itu. "Abang kamu memang seorang yang baik hati."

Li Qingrong mencebik dan berkata, "Menjadi seorang maharaja merupakan pekerjaan paling sukar di dunia. Saya tak akan terpedaya dengannya untuk menjadi seorang maharaja."

Apabila orang ramai akhirnya sampai di puncak gunung, kebetulan awan-awan menjadi jelas, justeru cahaya matahari dapat menembus masuk sehingga terhasilnya pelangi besar yang kelihatan seperti tali pinggang sutera yang jatuh dari langit. 

Jingjing berasa sangat gembira sehingga dia menari-nari. Setelah melihatnya, Zhuge Yunzhou menatapnya dan bertanya, "Bonda, bila Mak Cik Jingjing akan berkahwin?"

Kenyataan itu jelas sekali merupakan topik yang sensitif kerana Jingjing segera berpaling dan menempiknya, "Kenapa kamu sibuk nak peduli hal saya?"

Zhuge Yunzhou berkerut. "Siapa kata saya peduli? Saya hanya mahu kurangkan bunyi bising dalam hidup saya."

Apabila mereka berdua berdebat, Chu Qiao mengalihkan pandangannya dan mendapati Li Qingrong memakai baju merahnya bersama perhiasan yang diletakkan dengan kemas di seluruh badannya sambil bersandar pada pokok pain di tepi. Walaupun dia masih muda, matanya sama seperti Li Ce. Matanya mirip seperti seekor musang apabila dia memejamkannya separuh sambil memandang ke arahnya. Dia kemudiannya tiba-tiba tersenyum. "Kalau mak cik berjaya melahirkan seorang anak perempuan, apabila dia dah besar, kahwinkan saja dia dengan saya."

Chu Qiao berasa sedikit terkejut lalu tertawa, "Kamu masih muda lagi, kenapa kamu tiba-tiba terfikir tentang hal ini?"

"Bukannya saya tiba-tiba terfikir tentangnya." Li Qingrong mengangkat keningnya. Walaupun dia masih seorang kanak-kanak, terdapat sesuatu lapisan yang menutup matanya yang menghalang sesiapa daripada membaca dirinya.

"Kalau Rong'er mempunyai pemikiran seperti ini sejak kecil lagi, saya pasti saya dilahirkan untuk hal ini."

Apabila angin lembut bertiup, rambut Li Qingrong berterbangan. Dia berkata dengan senyap tatkala melihat di kejauhan, "Mak Cik, terlalu banyak rumahtangga yang tak bahagia. Samalah seperti Ayahanda dan Bonda saya, Nenda, mereka saling membenci antara satu sama lain sampai mati. Mak Cik dan Tuanku itu hubungan yang jarang berlaku."

Tiba-tiba, angin bertiup semula. Setelah melihat pakaian Chu Qiao yang nipis, Li Qingrong cepat-cepat menanggalkan jubahnya. Walaupun dia kecil, dia berjaya meletakkan jubah itu ke atas bahunya seperti orang yang matan.

Anak muda itu kemudiannya tersenyum. "Mak cik, saya mahu anak perempuan mak cik menjadi isteri saya. Jadi, mak cik dan Raja perlu mencuba yang terbaik." Setelah melihat bagaimana anak kecil itu sendiri pun mula mengusiknya, Chu Qiao berasa terkedu. Dia terus memarahi anak kecil itu, tetapi anak kecil itu masih kekal tersenyum.

Selepas hujan gerimis berhenti, pelangi menjadi lebih cerah daripada sinaran matahari yang menembusi awan bersama cahaya keemasannya yang memancari bumi.

Selepas setengah bulan berlalu, doktor kerajaan diraja telah melaporkan Cik Puan Qinghai hamil lagi. Pada akhir tahun itu, seorang anak perempuan telah ditambah masuk ke dalam Istana Xingyue. Dia telah dinamakan dengan nama Zhuge Yunsheng. Nama manjanya adalah Zhenzhu dan dia dikenali sebagai Puteri Zhenzhu.

Permintaan Empayar Tang untuk merisiknya telah dihantar hanya sebulan selepas kelahirannya, namun Li Qingrong memintas mereka dan menyuruh mereka kembali. Maharaja Tang Li Xiuyi berkata dia seorang yang gila, tetapi dia hanya menolak kenyataan itu dan membalas, "Apa yang perlu kerang risaukan tentang mutiara di dalamnya?"

Seorang kanak-kanak lain memasuki bilik tidur Istana Qianhua. Raja Qinghai itu akhirnya habis pantang selama setengah tahun dan perlu memulakan usahanya untuk bersaing dengan anaknya lagi demi mendapatkan perhatian isterinya.

Apabila angin bertiup dari arah sempadan, terdapat aroma rumput yang ringan. Dengan peredaran masa, di Laut Timur Empayar Song, nelayan berjaya menangkap kerang pada tahun ini. Terdapat beberapa yang membawa mutiara yang berseri bersamanya, namun ada yang telah kehilangan mutiara mereka. Semua itu hanya pasir dari awal dan hanya selepas mereka dicintai oleh seseorang, barulah mereka benar-benar menjadi sesuatu yang berharga. 

Dalam peredaran masa, pasir akhirnya akan berubah menjadi mutiara.