"Jeneral, kita nak bergerak ke mana?"
Chu Qiao memegang tali kekang kuda dan berpaling. "Kita akan menyerang pintu gerbang utara di mana terletaknya Kem Xiaoqi."
He Xiao melopong sebentar jadi dia lantas bertanya, "Bukan ke kita akan ke Dataran Mawar untuk selamatkan Tuan Muda Keempat?"
Chu Qiao tersenyum dan berkata dengan penuh yakin, "Jangan risau, dia akan bertemu kita di sana." Setelah wanita itu menghabiskan kata-katanya, dia lantas menunggang keluar kediaman.
Terdapat lebih kurang 40,000 askar daripada Kem Xiaoqi berperisai lengkap yang telah ditugaskan di pintu gerbang utara. Pasukan tentera yang dahulunya dipimpin oleh Zhao Che ini kini telah jatuh ke tangan Zhao Yang setelah bertempur di bawah pimpinannya. Kesetiannya kepada pemuda itu tidak kurang mantapnya berbanding Pasukan Tentera Xiuli milik Xhu Qiao.
Kini, mereka sedang berhadapan dengan pihak musuh yang berjumlah lebih kurang 1,000 orang. Komander pasukan tersebut, He Qian, sedang berdiri di atas pintu gerbang bandar dan mencemuh mereka, "Bunuh mereka semua."
Pintu gerbang bandar itu tebal dan tinggi, malah telah diperkukuhkan lagi dengan pelbagai alat pertahanan. Untuk menyerang tembok ini dengan berjaya, pihak musuh perlulah menandingi jumlah angka pasukan tentera pertahanan sebanyak tiga perlima. Namun, Chu Qiao hanya memiliki pasukan tentera yang berjumlah 1,000 orang bersamanya, tetapi dia masih berani untuk meletakkan dirinya dalam medan pertempuran bersama puluh ribuan tentera musuh di pintu gerbang bandar itu. Ia seakan-akan misi bunuh diri.
Pasukan tentera Xia telah menghantar seseorang yang bersuara lantang untuk menasihati Chu Qiao supaya menyerah kalah. Setelah seketika, apabila melihat yang wanita itu tidak memberi sebarang reaksi, dia mula mencemuh Zhuge Yue dengan mengatakan yang pemuda itu seorang pemberontak yang bersekongkol dengan Zhao Che untuk membunuh Maharaja Xia. Kini, apabila dia telah dikepung, dia pasti akan menemui ajalnya dalam beberapa ketika lagi.
Chu Qiao terus mendengar segala cemuhan itu dengan senyap. Namun, setelah melihat yang askar itu sudah mula melampaui batas, dia terasa amarahnya tiba-tiba terdetik di dalam diri. Wanita itu lantas mencapai tangannya dan berkata kepada He Xiao, "Busur."
He Xiao terdiam sementara menghulurkan busurnya kepada Chu Qiao.
Chu Qiao lantas meletakkan sebatang anak panah pada tengah-tengah busur itu sebelum melepaskannya dengan kelajuan yang dahsyat. Pemuda itu menyedari akan tindakan wanita itu setelah mempunyai banyak pengalaman dalam menjalankan tugasan seperti itu. Pemuda itu segera melonjak turun daripada kudanya semasa dia ternampak anak panah Chu Qiao yang sedang melayang ke arahnya. Tetapi, sebelum dia mendarat ke atas tanah, sebatang lagi anak panah telah muncul tiba-tiba dan menikam mulutnya. Ia lantas tertusuk keluar ke belakang kepalanya.
He Qian lantas meradang semasa dia mengarahkan supaya pasukannya menyerang. Pada saat itu, langit lantas dihiasi dengan seombakan anak panah sementara pasukan tentera Xia melepaskan laungan perang mereka.
Pasukan tentera Xiuli boleh dikatakan lebih senyap jika dibandingkan dengan Pasukan Tentera Xia kerana mereka tidak berada di dalam radius panahan tersebut. Anak-anak panah yang mampu memasuki radius mereka telah dilepaskan oleh beberapa orang askar yang lebih kuat sahaja. Namun, panahan-panahan yang lebih dekat itu sungguh lemah sehingga Pasukan Tentera Xiuli mampu menepisnya dengan mudah sahaja.
Satu-satunya tugas He Qian ialah mempertahankan pintu gerbang bandar. Namun, pasukan tentera milik Chu Qiao hanya telah mengepung pintu gerbang itu tanpa benar-benar menyerang. Dengan itu, peperangan ini akan berakhir dengan kebuntuan. Adakah pasukan tenteranya menerima arahan untuk menyerang? Dia telah dapat melihat rakan-rakan seperjuangannya bertempur di barisan hadapan serta membantu Zhao Yang meraih kemenangannya. Musuh-musuhnya akhirnya mendekatinya, namun dia hanya mampu berdiri di posisinya kini tanpa mampu menyerang. Dia lantas dihurung kemarahan apabila memikirkan hal ini. Pada saat itu, seorang tentera daripada pasukan lawan meluru ke hadapan dengan perisai di tangan. Dia sedang cuba berlaungkan sesuatu yang tidak dapat didengarinya.
He Qian berasa terperanjat semasa dia mengarahkan pasukan tenteranya untuk berdiam. Semasa lelaki itu bergerak lebih tinggi dalam darjatnya, tahap pendengarannya telah pun merudum. Dia lantas bertanyakan kepada pengawal peribadi di sebelahnya, "Apa yang dia sedang cakapkan?"
Pengawal peribadinya itu lantas membalas dengan lembut setelah seketika, wajahnya kelam. "Jeneral, orang ini bertanya sama ada Jeneral hendak menyerah kalah. Dia kata kalau Jeneral berdegil, mereka akan menghapuskan kita semua."
Hati He Qian lantas meluap-luap dengan kemarahan. Menghapuskan dia? Dia mempunyai 40,000 orang tentera, sementara pasukan lawan hanya mempunyai 1,000 orang. Walaupun dia pernah mendengar tentang kehebatan Raja Xiuli dalam strategi peperangan dan pernah meraih kemenangan walaupun berjumlah lebih sedikit, namun dia hanya telah mencapai kemenangan itu disebabkan tahap pertahanan bandarnya. Kini, dia bakal menyerang sebuah pintu gerbang dengan hanya 1,000 orang tentera, jadi He Qian lantas memperlekehkan kemungkinan wanita itu untuk menang.
Sementara He Qian mengamuk, mercun api berwarna kuning terang lantas dilancarkan ke udara yang berakhir dengan sebuah letupan dan memberikan sebuah pemandangan yang menakjubkan. Chu Qiao lantas meraih pandangannya untuk melihat ke arah timur. Setelah seketika, dia berkata dengan tenang, "Baiklah. Buka pintu gerbang bandar."
Pingan sedang berdiri di sisi wanita itu dengan wajah yang terpana. Apabila dia hendak berkata, He Xiao menyampuk, "Kita akan bunuh mereka semua ke?"
Chu Qiao berkerut dan membalas, "Itu bergantung pada sama ada mereka berani untuk menentang kita."
Pingan berasa sungguh bingung apabila cuba bergelut untuk memikirkan tahap kegilaan rancangan ini. Tiba-tiba, He Xiao lantas menyuarakan laungan perang yang lantang sambil 40 orang tentera berperisai lengkap menunggang kuda mereka ke hadapan. Mereka segera membentuk dua barisan kemas. Setiap seorang daripada mereka sedang memegang busur dan anak-anak panah di tangan. Tentera barisan hadapan mempunyai mata anak panah yang telah disaluti dengan kertas bola berminyak tanah, sementara tentera barisan belakang mempunyai mata anak panah yang terbakar.
"Sasarkan kepada pintu gerbang utara. Pasukan pertama, sasarkan pada bahagian atas kiri. Pasukan kedua, sasarkan pada bahagian bawah kiri. Pasukan ketiga, sasarkan pada bahagian atas kanan. Pasukan keempat, sasarkan pada bahagian bawah kanan. Pasukan lima, sasarkan pada bahagian tengah. Sedia, satu, dua, tiga, tembak!"
Pada saat itu, ombakan anak panah pertama telah melayang ke udara dan ke arah pintu gerbang tersebut yang diikuti segera dengan ombakan anak panah kedua. Sebaik sahaja ombakan anak panah pertama itu mendarat pada tembok bandar, setiap anak panah yang terbakar telah mendarat ke atas anak panah kertas bola berminyak. Dengan bantuan angin, api tersebut mula merebak.
He Qian pada mulanya berasa terperanjat, namun setelah seketika tertawa sebelum berkata, "Betul ke Raja Xiuli ini sedang cuba membakar pintu gerbang aku ini? Haha, kau ingat ini cukup ke?"
Bum! Sebaik sahaja dia menghabiskan kata-katanya, sebuah letupan yang kuat tiba-tiba berdentum daripada pintu gerbang tersebut, membuatkan ia bergetar seperti telah mengalami gempa bumi. Asap hitam segera merebak tinggi ke udara. He Qian hanya mampu melihat dengan penuh terpana apabila pintu gerbang yang telah dilindunginya selama 20 tahun ini berkecai bersama separuh tembok bandar itu.
Pintu-pintu gerbang ini telah digambarkan sebagai salah satu kemegahan Empayar Xia, dicanang-canangkan sebagai benteng yang tidak boleh ditembusi selama lebih 300 tahun. Namun, pada masa ini, rekod bersejarah akhirnya menghilang semasa tembok bandar itu ranap.
"Pasukan keenam sehingga kesepuluh, bersiap sedia! Sasarkan pada tembok bandar di sebelah timur! Pasukan Keenam…" Suara He Xiao berkumandang lantang sekali lagi yang diikuti dengan letupan dahsyat yang memusnahkan bahagian timur tembok kota. Setelah tiga pusingan serangan, kebanyakan daripada pintu gerbang utara itu telahpun diranapkan sehingga berkecai sehingga pasukan tentera Xiuli dapat melihat dataran mendatar yang berada di sebaliknya.
"Oi! Pasukan di sebelah sana! Dengarlah!" Sepuluh orang tentera pengutus menunggang ke hadapan dengan kuda mereka sambil memegang pembesar suara yang berada di tangan sementara mereka terus menjerit, "Letakkan senjata kalian! Letakkan senjata kalian! Letakkan tangan kalian di atas kepala dan bercangkung di atas tanah! Kami terima penyerahkalahan kamu dan kami tak akan membunuh kamu. Pasukan di sebelah sana! Dengarlah! Letakkan senjata kalian…"
He Qian berasa sungguh marah. Dia tidak mampu memahami bagaimana pasukannya yang seramai 40,000 itu mampu dikalahkan dengan usaha yang begitu sedikit dan tanpa bertempur dalam jarak dekat pun. Bagaimanakah pihak musuh dapat melolosi pasukan pertahanan mereka dengan beberapa jenis letupan? Mengapakah letupan menakutkan sebegitu boleh muncul di dalam dunia ini? Kenapa dia tidak pernah mendengar tentangnya?
Chu Qiao lantas menunggang kudanya ke hadapan sebelum memandang He Qian yang baru sahaja terjatuh daripada tembok bandar jagaannya yang tinggi itu. Wanita itu lantas mengangguk bersahaja dan menggumam dengan tenang, "Jeneral He, terima kasih sebab dah beri kemenangan ini kepada saya."
Pada saat itu, He Qian lantas termuntah darah disebabkan keradangannya itu.
Tiba-tiba, sekepulan debu muncul dari kaki langit di sebelah timur. Zhuge Yue bersama 3,000 orang tenteranya sedang menderap laju ke arah mereka dengan penuh lincah. Apabila pemuda itu ternampak pemandangan yang berada di hadapannya ini, dia juga berasa terkejut. Dia hanya mengeluh lega setelah melihat Chu Qiao. Kedua-dua mereka telah dipisahkan oleh disebabkan medan pertempuran, jadi mereka terduduk di atas kuda mereka sambil memandang wajah masing-masing.
Chu Qiao tersenyum. Dia masih lagi mendondonkan pakaian pengantin berwarna merahnya yang telah disulam halus dan rumit, bersamanya juga tiaranya yang masih diikat kemas. Rambutnya telah diikat elegan seperti seorang kerabat diraja di bawah cahaya sang bulan.
Zhuge Yue menunggang ke hadapan dengan kudanya dan bertanya, "Awak baik-baik saja ke?"
Chu Qiao tergelak sebelum membalas, "Saya baik-baik saja."
Ya, saya baik-baik saja. Mujur saya terima mesej tersembunyi awak, jadi saya tahu seseorang akan cuba untuk merosakkan hari ini. Saya cuma tak sangka yang mereka akan bertindak dengan terlalu berani. Mereka langsung tidak berbuat sebarang kesilapan. Saya cuma risaukan tentang awak, tetapi saya terpaksa menahan diri saya daripada bertindak dengan melulu. Saya cuma risau sedikit saja. Saya tidak tercedera ataupun dicabuli. Segala-galanya baik-baik sahaja.
Zhuge Yue berpaling untuk memanggil He Qian dan 40,000 orang askar daripada Pasukan Tenera Hijau, "Tuanku tidak dicederakan oleh disebabkan saya ataupun Putera Ketujuh. Dalang sebenar kepada semua ini ialah tuan kalian. Kini, pasukan musuh sedang menunggu di luar sempadan sementara pengaruh kuasa dalaman kita juga goyah. Kami tak mahu memburukkan keadaan. Pergi balik dan beritahu Zhao Yang yang kami langsung tak mempedulikan tentang bandar ini. Malah, kami akan berikan bandar ini kepada dia." Setelah dia menghabiskan kata-katanya, pemuda itu segera membantu Chu Qiao untuk melonjak naik ke atas kudanya sebelum menderap jauh daripada pintu gerbang bandar yang telah ranap sambil diikuti oleh orang-orang bawahan mereka.
Zhuge Yue bukanlah bercakap besar. Bandar ini sememangnya telah dihadiahkan kepada Zhao Yang oleh Zhao Che dan dirinya.
Sebelum perkahwinan itu berlangsung, mereka telah mengagak Zhao Yang akan cuba untuk melakukan sesuatu yang mencurigakan. Pemuda tersebut telah memberi rasuah kepada pasukan tentera di Sempadan Yanming dan pasukan tenteranya untuk mengacau Yan Xun secara peribadi. Kemudian, dia telah menyebarkan khabar angin yang menyatakan Yan Bei itu memang tidak tahu cara untuk berperang yang sekaligus menaikkan amarah para Ahli-Ahli Terhormat dan juga seisi dewan persidangan. Setelah itu, pemuda itu menggunakan pengaruh kuasa Majlis Ketua-Ketua Terhormat untuk menggerakkan pasukan tentera Zhuge Yue atas alasan konflik yang bakal datang menimpa daripada Yan Bei. Di bawah sokongan Wei, Zhuge dan juga keluarga-keluarga aristokrat yang lain, pasukan-pasukan tentera yang diketuai oleh Zhao Che dan Zhuge Yue telah diagihkan kepada bahagian-bahagian lain untuk tujuan latihan ketenteraan. Segala hal ini telah berlaku pada hari perkahwinan Zhuge Yue, melemahkan kuasa kedua-dua orang pemuda itu.
Zhuge Yue telah pulang ke ibu negara pada hari perkahwinannya. Zhao Che pula terpaksa menetap dengan lebih lama di bandar Ye disebabkan oleh pasukan tenteranya yang belum lagi menghabiskan sesi latihan mereka. Rancangan Zhao Yang ialah mengambil kesempatan ini untuk membunuh Zhuge Yue dan menjadikan Zhao Che sebagai kambing hitamnya. Jadi, apabila Zhao Che sudah tidak berkuasa lagi, dia pasti akan merayu akan belas kasihan Zhao Yang.
Namun, Zhao Yang langsung tidak menyangka yang Zhuge Yue bakal merosakkan rancangannya. Tambahan pula apabila pemuda ini telah mendapat sokongan daripada Pasukan Tentera Hijau, Kem Xiaoqi, pasukan tentera ibu negara dan juga Zhuge Huai yang telah memainkan peranan penting dalam menjadikan Chu Qiao sebagai tebusannya.
Apabila Zhuge Yue dan orang-orang bawahannya tiba di Bandar Dongyu, begitu juga dengan 110,000 ahli tentera Qinghai perkasa yang telah ditugaskan di Zhen Huang. Mereka telah bergabung tenaga dengan ahli tentera Zhuge Yue dan Zhao Che yang taat setia kepada mereka, menjadikan jumlah angka mereka mencecah sehingga 250,000 ahli.
Kini, Zhao Che sedang memimpin Pasukan Tentera Donghu yang seramai 170,000 orang askar yang gagah perkasa dan bertugas di bandar Ye. Dengan sebuah lagi pasukan di bahagian utara dan juga di bahagian barat, Bandar Zhen Huang telah berada di dalam genggaman tangan mereka.
Dalam masa kurang dari tiga hari, para pembesar dari beberapa bandar seperti Xuan, Xuanhua, Dalio dan Qing telah menggerakkan pasukan tentera mereka untuk bergerak ke ibu negara supaya dapat menentang Zhao Yang. Maka, mereka akan dapat membuktikan diri mereka sebagai pembesar yang taat dengan membunuh para pengkhianat ini. Pembesar-pembesar ini bukanlah orang suruhan Zhao Che mahupun Zhuge Yue, namun mereka hanya ingin mendapat secebisan keuntungan daripada seluruh kekacauan tersebut. Kebiasaannya, orang-orang seperti Zhao Yanglah yang akan menjadi mangsa kepada orang-orang ini.
Beberapa orang pembesar feudal yang lebih berotot daripada berakal pula ada juga yang masih mendambakan takhta maharaja empayar. Inilah sebab mengapa Zhuge Yue telah berputus asa dengan Zhen Huang dahulu. Dia sedar yang kekacauan di Zhen Huang pasti akan berlaku walau apa pun yang terjadi, jadi dia telah merancang untuk membiarkan si tamak-tamak haloba itu untuk bersaing dengan sesama sendiri sehingga hanya sebuah parti sahaja yang tinggal.
Seluruh Empayar Xia telah menjunam ke dalam kehuru-haraan.
Zhuge Yue dan Zhao Che telah mengambil peluang tersebut untuk membuka pintu gerbang sempadan yang menuju ke Qinghai dan juga Donghu. Mereka juga telah menghantar pasukan-pasukan tentera yang besar ke daerah-daerah tersebut supaya dapat meningkatkan kawalan keselamatan di sana. Rakyat-rakyat yang terkesan daripada kekecohan di ibu negara empayar segera melarikan diri ke sana sebaik sahaja mereka mendengar tentang berita tersebut. Dalam masa kurang dari tiga hari, lebih kurang 400,000 rakyat telah meminta perlindungan di Sempadan Qinghai sahaja. Walaupun para pegawai di Qinghai telah menghabiskan lebih daripada tiga bulan untuk membuat persiapan buat hari ini, namun mereka masih terkejut dan terlopong apabila apabila melihat kemasukan rakyat yang sebegitu mendadak.
Ramai pembesar feudal yang telah melawat ibu negara dengan tujuan untuk meraih keuntungan daripada kekecohan yang akan berlaku. Namun, mereka lantas tersedar yang perkara tersebut tidak akan berlaku. Jadi, setelah bergaduh sesama sendiri untuk lebih dari sepuluh hari di bandar ibu negara ini, Zhao Yang mengambil peluang untuk menuding jari ke arah Zhao Che. Para pembesar feudal ini lantas mengalihkan pandangan mereka ke arah Zhao Che dengan harapan untuk mengampu ketua baru mereka.