Pada tiga April, Zhao Che secara rasminya telah mengumumkan rancangannya untuk menawan si pengkhianat, Zhao Yang. Pada waktu petang hari yang sama, Zhuge Yue mengikut jejaknya dan dengan tenteranya yang ramai melebihi 200,000 orang, dia menuju ke Bandar Zhen Huang.
Pada hari yang sama, tentera peribadi Zhao Yang iaitu Pasukan Tentera Barat Daya yang kini berada di bawah kepimpinan beberapa orang pegawai tertinggi telah bergegas ke Bandar Zhen Huang melalui Jalan Air Barat Daya. Dia berjaya merampas kuasa daripada Putera ke-17, Zhao Yi. Oleh itu, sekumpulan tentera gagah perkasa yang berjumlah 150,000 kini dikawal oleh Zhao Yang.
Dengan itu, pergelutan di antara dua ekor naga yang telah lama dipendam ini kini akhirnya telah mengaumkan dan membunyikan gendang perang mereka.
Walaupun sewaktu peringkat permulaan, kekejaman perang telah dipamerkan sepenuhnya. Bagi mengelakkan cara yang sama yang digunakan oleh Chu Qiao untuk memusnahkan tembok istana sebelum ini, Zhao Yang berputus asa untuk melindungi istana itu. Sebaliknya, pemuda ini telah menghantar pasukan-pasukan tentera besar untuk bergerak sehingga 15 kilometer jauhnya dari istana. Dia memulakan pertempuran langsung dengan Zhao Che dan Zhuge Yue yang pada masa ini telah mengatasi jumlah angka ahli tenteranya. Pada hakikatnya, Chu Qiao hanya telah mencipta sebilangan kecil bahan peledak selama ini sendirian tanpa memberitahu orang lain. Ini untuk menghalang pengetahuan senjata moden daripada tersebar yang dapat mengorbankan ramai orang.
Dalam peperangan, nyawa bagaikan gugur seperti helaian daun, satu demi satu di atas padang rumput yang meluas. Bunyi begol peperangan yang sedih alunannya akan bergema sehingga ke langit sana sementara bau hamis darah meresap ke udara. Setiap hari selepas pertembungan itu, pasukan perubatan daripada setiap pasukan akan membawa pengusung untuk menyelamatkan ahli-ahli mereka yang tercedera, tetapi akhirnya yang mereka lakukan kebanyakannya bukan untuk menyelamatkan nyawa, malah memberikan mereka satu serangan maut yang terakhir bagi menghentikan kesengsaraan mereka.
Walaupun bagi Chu Qiao yang telah melihat begitu banyak peperangan, ia masih lagi menyayat hatinya. Dia pernah bertanya kepada Zhuge Yue secara peribadi sebelum ini. Perlukah tentera Xia saling berbunuhan antara satu sama lain demi perebutan kuasa ini?
Zhuge Yue memandangnya dengan pandangan yang tegas dan nekad yang sekali gus menarik perhatiannya. Dia mengatakan, mustahil untuk mengelak perang saudara. Lagipun, Zhao Yang telah berkuasa terlalu lama. Dia telah mempersiapkan kuasanya sendiri di mahkamah bahkan dia telah menguasai begitu banyak tentera. Dengan itu, mustahil baginya untuk tunduk kepada Zhao Che. Bukan itu sahaja, tetapi apabila Zhao Che dan Zhuge Yue muncul kembali, ia agak mudah untuk perlahan-lahan merampas kuasa yang ada pada Zhao Yang. Perang saudara ialah suatu perkara yang mustahil untuk dielak. Pada masa ini, disebabkan Zhao Yang yang telah dipersalahkan di atas kemangkatan Maharaja Xia, ramai golongan bangsawan mula berundur daripada memasuki tenteranya. Oleh itu, ini masa yang tepat untuk memulakan perang saudara.
Chu Qiao betul-betul berasa curiga sama ada Maharaja Xia benar-benar telah mangkat atau tidak. Jika ya, siapa yang lakukannya? Adakah Zhao Yang, Zhao Che, ataupun Zhuge Yue sendiri? Akhirnya, dia tidak perlu bertanya lagi dan sebaliknya, dia sendiri yang memberitahu jawapan tersebut.
Ini semua benar-benar takdir. Salah seorang doktor junior di farmasi diraja telah diberi suapan rasuah dan membawa masuk bahan-bahan yang telah tamat tempoh. Secara kebetulan, beberapa hari sewaktu keadaan Maharaja bertambah buruk, dia secara diam-diam mencadangkan kepada para doktor yang dipercayainya untuk mengubah formula ubatnya. Di samping itu, dia takut dewan pentadbiran akan mengetahui tentang keadaannya yang bertambah teruk, jadi dia mengarahkan supaya tidak ada seorang pun yang perlu tahu tentang sakitnya. Lebih kebetulannya, salah satu ramuan yang diperlukan terdapat dalam bahan-bahan yang rosak itu. Insiden ini mula-mula diketahui oleh Zhao Yang kerana dia telah lama memasang beberapa mata-mata di dalam farmasi. Namun, dia tidak tahu terdapat beberapa mata-mata Zhao Che di sekelilingnya, jadi maklumatnya itu juga diketahui oleh Zhao Che.
Oleh itu, Maharaja Xia mula memakan ubat baru ini dan hanya doktor yang dipercayainya itulah satu-satunya yang bertanggungjawab untuk membuat ubat tersebut. Di samping itu, sida-sida yang bertanggungjawab untuk mencuba ubat itu juga tidak terkesan kerana dia sememangnya sihat dari awal lagi. Bagi Maharaja yang sudah gering teruk itu, dia akhirnya mangkat pada hari perkahwinan Zhuge Yue.
Maharaja Xia sentiasa berwaspada sepanjang hidupnya, tetapi dia tidak pernah terfikir yang dia akan mati pada tangan seorang doktor junior yang tamak. Namun, walaupun dua orang anakandanya mengetahui tentang kejadian ini, tiada seorang pun daripada mereka yang ingin menyelamatkannya.
Sebaik sahaja Chu Qiao mendengar seluruh cerita, dia segera tenggelam dalam kesenyapan. Pada masa itu dia tiba-tiba teringatkan Yan Xun dan merasakan kesengsaraan. Sepanjang hayatnya, hasrat Yan Xun ialah membunuh Maharaja Xia demi membalas dendam bonda dan ayahandanya. Walau bagaimanapun, ketika dia akhirnya mendapat pengaruh kuasa yang besar dan dengan pasukan yang besar di bawah pimpinannya, musuh ketatnya telah mati secara diam-diam dalam arus masa. Apakah yang akan difikirkan pemuda itu setelah dia menerima khabar ini? Adakah dia akan tertawa gembira atau menangis kekecewaan? Mungkin kedua-duanya pun tidak akan berlaku dan dia mungkin hanya akan terduduk dengan diam dan memendam sagaha segala emosi dalam hatinya. Pada hari kedua, dia akan terus melakukan apa yang sepatutnya dia dilakukannya.
Bunyi begol perang bergema lagi. Zhao Yang telah mengarahkan tiga rejimen pasukan berkuda untuk menyerang pasukan rusukan. Zhuge Yue bertindak balas dengan mengatur empat rejimen bantuan untuk memintas tenteranya. Pertempuran ini telah berlangsung lebih dari dua hari tanpa sebarang rehat. Semua jenis taktik telah ditunjukkan. Oleh sebab Zhao Yang dan Zhuge Yue merupakan pakar strategi yang handal, dalam konfrontasi langsung seperti ini, kedua-dua pihak tidak mempunyai kelebihan tertentu.
Pasukan Tentera Xiuli juga telah mengambil bahagian dalam pertempuran sebanyak tiga kali dalam serangan yang diselaraskan di sayap kanan pembentukan formasi Zhao Yang. He Xiao telah memusnahkan pembentukan musuh sebanyak dua kali, tetapi kedua-dua lubangnya telah diisi kembali dengan pantas oleh askar pihak musuh. Semua askar tahu ini peperangan untuk kenaikan takhta. Pemenang bagi pertempuran ini akan memerintah dunia manakala yang kalah pasti akan mati tanpa majlis pengebumian yang sempurna. Bagi pengikut pemimpin-pemimpin ini, mereka pasti akan menghadapi akibat yang sama. Oleh itu, tiada sesiapa yang akan berundur. Sekalipun darah mereka kering, mereka akan berjuang mati-matian sehingga titisan darah mereka yang terakhir.
Pada pagi hari ketiga, Zhuge Yue terduduk di atas platform yang menghadap tentera. Dia tidak membuat sebarang ucapan motivasi dan hanya menghunuskan pedangnya. Dengan suara yang lantang, dia menjerit kepada para pengikutnya, "Ini akan menjadi hari terakhir. Selepas hari ini, nama kita akan terpahat dalam sejarah!"
"Lawan! Lawan!" Puluhan ribu suara bergema di seluruh dataran rumput itu. Berdiri di belakang orang ramai, Chu Qiao tersenyum sambil memandang lelaki yang dikelilingi oleh kerumunan orang ramai itu, lantas mendedahkan barisan giginya yang putih.
Bersama-sama dentuman gendang perarakan itu, bayangan cahaya muncul di hujung dataran rumput. Di dataran rumput yang kelihatan tidak berpenghujung itu, pasukan Zhuge Yue akhirnya bertemu dengan pasukan utama Zhao Yang. Selepas dua hari pertempuran, kedua-dua pihak telah menanggung jumlah angka korban yang banyak, tetapi kedua-dua pihak masih berdiri di sana tanpa sebarang tanda untuk berundur.
Bayang-bayang itu menjadi lebih besar seperti awan petir yang mula menumbuh di langit luas itu. Di bawah pencahayaan sinaran cahaya matahari, mereka dapat melihat awan debu yang besar mengikuti di belakang barisan kemas formasi tentera itu sambil memandang ke arah tentera Zhuge Yue.
600 meter, 400 meter, 200 meter... Apabila kedua-dua tentera semakin mendekat antara satu sama lain, mereka hampir dapat merasakan nafas hangat kuda perang masing-masing. Ajal terasa semakin hampir sahaja bersama burung pemangsa yang terbang di langit menunggu mangsanya.
Tatkala dentuman gendang perang kedengaran, bunyi gemuruh dari tanah pula datang dari ribuan kuda yang meluru ke arah satu sama lain. Getaran dapat dirasai dari kaki mereka sehingga membuatkan bulu roma mereka meremang.
Memandangkan pertempuran yang menakutkan akan bermula tidak lama lagi, semua orang menahan nafas sambil memegang erat senjata mereka, seolah-olah mereka cuba mengeringkan senjata mereka.
"Serang." Zhuge Yue mendongak sambil mengeluarkan arahan itu dengan santai. Apabila dia mengeluarkan perintah itu, jelaslah perintah yang sama telah diberikan oleh ketua pihak musuh. Tentera berkuda dari barisan hadapan menghunuskan pedang mereka daripada sarung pedang secara serentak sehingga bunyi lentang-lentung kedengaran di dataran rumput itu. Ia seolah-olah beberapa dewa baru sahaja bersin. Angin seolah-olah dibaluti dengan niat membunuh tatkala ia bertiup sebelum hilang di kejauhan, menunggu pertempuran ini tamat.
Namun, sebelum sempat perkara itu terjadi, bunyi kuda menderap dapat didengari dari jalan utama.
"Maklumat baharu! Jeneral Zhu sedang meminta bantuan dari Barat Daya! Maklumat baharu! Jeneral Zhu sedang meminta bantuan!" Pengutus yang muda itu diliputi dengan debu disebabkan berterusan mengembara. Setelah melihat pandangan terkejut dari semua orang, dia melompat turun dari kudanya lalu segera melutut dan menjerit, "Jeneral! Tuanku! Berhenti bergaduh! Ada maklumat baharu dari Barat Daya!"
Ratusan ribu askar terus senyap. Tiada sesiapa yang berani untuk bertindak balas terhadap perutusan yang berani ini.
"Apa yang kamu cakapkan ini?" Sebuah suara yang rendah berkata. Sebagai komander wilayah Barat Daya, orang-orang Zhao Yang kebanyakannya berasal dari sana juga. Dia sememangnya perlu bertanya tentang perkara ini, jadi dia melangkah ke hadapan dan mempersoalkan perutusan ini.
"Tuanku! Tolong selamatkan kami, Tuanku! " Askar itu gembira kerana akhirnya dapat melihat Zhao Yang sebelum meneruskan kata-katanya lagi, "Yan Xun telah membawa lebih daripada 400,000 orang askar untuk menyerang dan mereka telah memasuki wilayah kita. Dalam masa dua hari, dia telah menakluki 19 wilayah. Seluruh wilayah di Barat Daya telah dimusnahkan!"
"Mengarutlah!" Yue Qi memegang pedangnya sambil memandang ke arah pengutus itu dari atas kudanya. Yue Qi tersenyum sambil berkata, "Ada lebih 300,000 orang tentera yang ditugaskan di Sempadan Yanming. Bagaimana mungkin Yan Xun boleh menyelinap masuk ke wilayah Xia?"
Setelah mendengar hal itu, orang ramai semua bangun dari kejutan dengan persetujuan. Chu Qiao cuba menahan kejutan yang ada dalam hatinya juga. Walaupun Empayar Xia berada di tengah-tengah konflik perang saudara, mereka semua tahu betapa pentingnya Sempadan Yanming dan ancaman dari Yan Bei. Sama ada Zhao Yang atau Zhao Che, mereka tidak berani untuk memindahkan seorang askar pun dari Sempadan Yanming. Dengan benteng pertahanan seperti biasa, bagaimana mungkin Yan Xun dapat memecah masuk dari Sempadan Yanming dan memasuki tanah air Empayar Xia?
"Jeneral! Yang Yan Bei pecah masuk bukan di Sempadan Yanming, tetapi Sempadan Baizhi!" perutusan itu berteriak kesedihan. "Empayar Tang dah kucar-kacir. Cik Puan Jingan telah mengisytiharkan rampasan kuasa dan dia menghubungi pengikut lama Raja Jingan. Dia kemudian secara unilateralnya membuka Sempadan Tang dan membiarkan pasukan Yan Bei masuk ke Empayar Tang. Dengan itu, seluruh garrison Empayar Tang di bahagian Tenggara telah dihapuskan. Malah, hidup Empayar Tang telah dipertaruhkan kerana ibu negeri mereka dibiarkan terdedah. Melalui Empayar Tang, Yan Bei serta pasukan Song menyerang Sempadan Baizhi. Garison Sempadan Baizhi semuanya telah digerakkan dan hanya meninggalkan kurang daripada 10,000 orang askar. Di samping itu, suar telah dimusnahkan oleh para pengintip yang dihantar oleh Pembesar Feng. Oleh sebab itu, dalam masa dua hari, seluruh wilayah Barat Daya telah ditakluki!"
Pada ketika itu, semua bunyi bising di medan perang terus tenggelam dalam kesenyapan. Angin terus bertiup, melewati dataran rumput yang tenang.
Kalender Baicang, Tahun 882, 6 April, mesej yang terdengar seperti jenaka teruk membuatkan mereka terdiam.
"Tiga April, Yan Xun mengetuai 400,000 orang askar Yan Bei ke dalam Empayar Xia melalui Empayar Tang. Seluruh wilayah Barat Daya telah diserbu dan kira-kira empat juta orang awam telah menjadi hamba."
Wei Shuye mendongakkan kepalanya, memandang matahari di atas. Matahari yang terbit berwarna merah dan kelihatan seperti darah segar. Rumput di dataran yang sunyi sepi bergoyang-goyang dengan serentak seolah-olah menyembunyikan dewa maut yang akan turun. Bunyi gendang perang seolah-olah bergemuruh di telinganya tatkala beribu-ribu orang berduyun-duyun ke arahnya. Perisai mereka yang dingin seperti sehelai gebar yang menyelimuti tanah dan perlahan-lahan merangkumi seluruh medan perang.
Dia sudah dipenuhi dengan darah. Wajahnya yang kacak dan lembut telah dipenuhi dengan darah, rambutnya pula kusut masai dan penuh dengan darah kering. Pedangnya sudah mula memulakan tugasnya tatkala kuda perangnya mulai berasa gementar seolah-olah ia akan jatuh pada bila-bila masa disebabkan kecederaan yang dialaminya.
Dengan pencerobohan musuh yang kuat, seluruh wilayah Barat Daya Empayar telah jatuh ke tangan pihak musuh. Musuh ketat Empayar Xia telah berjaya membuka pintu gerbang ke wilayah mereka, tetapi dalam banyak-banyak keluarga bangsawan, hanya dia sahaja yang memanggil pasukannya untuk mempertahankan wilayah mereka.
Sepanjang perjalanannya untuk bertemu dengan pihak musuh, dia telah melihat kebanyakan keluarga bangsawan yang membawa keluarga dan tentera persendirian mereka untuk melarikan diri ke utara. Pelarian yang tidak berkesudahan ini kelihatan seperti seekor naga panjang yang melarikan diri ke utara. Para bangsawan itu memakai pakaian yang ranggi dan membawa sejumlah barang kemas yang banyak, bersama-sama seluruh ahli keluarga mereka yang diiringi oleh tentera persendirian mereka. Sesetengah majistret tempatan melarikan diri ke utara dengan garison tempatan mereka. Dengan melibaskan cemeti pada kuda dan tombak, mereka menepis orang awam yang cuba menghalang jalan mereka. Wajah mereka penuh dengan kegelisahan tanpa sedikit pun rasa bangga.
Wei Shuye telah cuba mengatur pasukan ini untuk menangkis pihak musuh. Sebenarnya, dia juga sudah cuba untuk menutup laluan dan memaksa mereka yang cuba melarikan diri ini untuk membantunya dalam usahanya itu. Namun, orang-orang itu telah memberikan penjelasan yang agak bernas kepadanya: Demi melindungi ibu negeri diraja ataupun sebuah pengunduran strategik atau menuju ke ibu negeri untuk mencegah perang saudara atau bahkan untuk memelihara golongan elit empayar untuk menentukan pertempuran dengan musuh dan sebagainya. Semuanya lebih rela berperang dengan Wei Shuye daripada berpatah balik dan melawan pasukan Yan Bei.
Ada juga yang mengatakan Garrison Barat Daya telah digerakkan oleh dua orang putera untuk melawan perang saudara. Keluarga diraja sendiri pun seolah-olah mahu mengabaikan negara ini, jadi mengapa pula mereka yang perlu berasa khuatir? Setelah menghadapi penentangan ini, Wei Shuye sudah tidak mempunyai hujah balas lagi.