Chapter 259 - Bab 259

Dalam masa kurang dari dua hari, lebih daripada 200,000 orang pelarian telah berkumpul di jalan-jalan sepanjang Songjiang, terlibat dalam kesesakan dengan para askar yang sedang menghalang jalan mereka. Mereka itu termasuklah golongan bangsawan, saudara-mara, tentera dan orang awam yang melarikan diri dari kawasan barat daya yang telah musnah.

Apabila sekatan jalan telah dimusnahkan, tentera seramai 20,000 orang tidak dapat menghentikan orang ramai daripada mara ke hadapan. Seorang naib jeneral berdiri di hadapan pasukan itu, menjerit serak dengan suaranya yang lantang ketika dia memerintahkan rakyat untuk kembali dan bertarung. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang memberi perhatian kepadanya. Wei Shuye menunggang kudanya sambil melihat ke arah orang ramai yang melewatinya.

Selepas semua orang beredar, hanya sekelompok orang yang seramai sepuluh orang lelaki sahaja yang tinggal. Sesetengah daripada mereka kelihatan berusia 14 atau 15 tahun manakala ada juga yang kelihatan seperti 11 atau 12 tahun. Mereka mendekati naib jeneral dengan perasaan takut lalu mengangkat tangan mereka dan menyatakan mereka bersedia untuk menyertai tentera. Naib jeneral itu berasa terkejut apabila dia menyedari kata-katanya itu telah terbukti bukannya tidak berguna. Dia bertanya kepada budak-budak lelaki itu atas alasan mereka untuk menyertai tentera. Adakah mereka tahu bagaimana untuk mempertahankan negara mereka di saat-saat genting seperti ini? Walau bagaimanapun, budak-budak itu menyatakan rangsum milik mereka telah dicuri oleh tentera yang melarikan diri di hadapan mereka. Mereka semua sudah menemui jalan buntu.

Tentera seramai 20,000 orang terus terdiam di hadapan kumpulan kanak-kanak ini.

Wei Shuye mengarahkan tenteranya untuk memberikan mereka rangsum kering dan air bersih. Kemudian, dia menyaksikan mereka berlari dengan gembira.

Keadaan menjadi lebih huru-hara selepas dia memasuki sempadan barat daya. Tidak ada jejak manusia ketika mereka melewati pekan tidak berpenghuni itu dan hanya bunyi tapak kaki mereka sahaja yang kedengaran bergaung kuat. Apabila mereka sampai di dataran kecil di pekan itu, mereka berasa terkejut. Puluhan mayat lelaki telah tergantung di pokok elm besar, bergunung-gunung mayat yang dibakar setinggi dua orang manusia dijumpai. Di samping itu, terdapat mayat wanita yang ditemui juga. Jelas sekali mereka telah diseksa dengan kejam sehingga mati.

Seluruh pasukan tentera terdiam sekali lagi. Mereka merupakan veteran perang yang berpengalaman dan telah membunuh ramai orang dalam hidup mereka. Walau bagaimanapun, pada masa ini, sebahagian daripada mereka mula menangis secara senyap-senyap. Sebagai seorang askar, jika mereka tidak dapat mempertahankan negara dan rakyat mereka sendiri, apakah erti kewujudan mereka?

Rumah mereka telah musnah. Rumah-rumah mereka telah dipecahkan manakala tanah-tanah yang subur telah berubah menjadi tanah gersang. Gambaran kemakmuran negara mereka telah musnah menjadi debu tatkala pekan tidak berpenghuni ini muncul di hadapan mata mereka. Kehidupan yang dahulunya tinggal di bandar ini telah berubah menjadi mayat yang tidak bernyawa dan bau hamisnya telah berjaya menarik perhatian burung hering. Ini merupakan sebuah pemandangan yang menyayat hati dan mimpi ngeri buat mereka.

Wei Shuye tidak dapat memahami mengapa tentera Yan Bei sebegitu kejam. Pada saat itu, amarahnya meluap-luap sambil menggenggam pedangnya dengan erat. Apabila mereka bertemu dengan konflik selanjutnya, dia mula menyelesaikan misteri persoalannya.

Ternyata tentera Yan Bei bukanlah kumpulan tentera yang pertama memasuki wilayah Xia. Yan Xun telah membuka Sempadan Baizhi dengan menghapuskan beberapa kem tentera di sepanjang jalan. Kemudian, dia melangkah keluar dari wilayah Xia dan memenuhi sempadan itu. Dia tidak membiarkan mana-mana pasukan pun ke wilayah Xia. Namun, dia memilih untuk menyiarkan notis kepada penyamun di tanah tinggi Yan Bei di selatan tanah air iaitu Pergunungan Helan dan padang pasir sepanjang barat laut dengan memberitahu mereka untuk menyerang Xia sesuka hati mereka.

Oleh itu, satu demi satu kumpulan penyamun menyusup ke dalam wilayah Xia, melaksanakan serangan kejam mereka. Memandangkan mereka tidak mempunyai apa-apa sentimen terhadap tanah air itu, mereka hanya memenuhi setiap hasrat merompak dan membunuh mereka dan melakukan perbuatan kejam itu tanpa berkerdip. Pertumpahan darah yang tidak berperikemanusiaan itu telah mengejutkan tentera dan keluarga bangsawan di sana jadi mereka bersiap-sedia untuk menyerang. Namun, apabila mereka terdengar khabar angin tentang kehebatan musuh di sepanjang barat daya, mereka terus berputus asa terhadap penentangan mereka dan melarikan diri bersama orang awam. Dalam masa beberapa hari, barat daya telah jatuh ke dalam tangan Yan Bei tanpa mereka mengambil bahagian dalam pertempuran rasmi!

Dia kelihatan seperti orang gila. Wei Shuye berfikir sendiri tatkala bau hamis mayat-mayat itu meresap ke dalam hidungnya. Dia telah membuka pintu-pintu Xia untuk iblis-iblis itu masuk ke dalam dan menjadikan kawasan barat daya sebagai tempat pemburuan manusia. Tujuannya bukanlah untuk menakluki tetapi untuk mengorbankan nyawa di Xia kepada nenek moyangnya di Yan Bei.

Tentera Xia yang marah akhirnya bertembung dengan kumpulan tentera dari Yan Bei di Bandar Yangkang. Ia merupakan pertempuran yang sengit bagi tentera Xia kerana 20,000 orang daripada ahli tentera mereka terpaksa berlawan dengan 30,000 orang tentera berkuda yang berat. Walau bagaimanapun, tentera Wei Shuye muncul sebagai pemenang tatkala mereka mengumpul kekuatan untuk berlawan dari terus terjerumus dalam ambang kematian. Sewaktu tentera Xia membunuh musuh-musuh mereka yang telah ditangkap hidup-hidup, Wei Shuye langsung tidak menghalang mereka. Dia juga telah menantikan saat ini di dalam hatinya.

Dia membenci mereka yang menyusup. Dia membenci Yan Bei, Yan Xun dan penyamun ganas tersebut.

Walau bagaimanapun, dia lebih membenci keluarga maharaja bersama-sama dengan para bangsawan yang hidup dalam kemewahan itu. Dia membenci tentera yang berpangkat tinggi yang melarikan diri dari pertempuran. Dia membenci Zhao Yang yang menggerakkan seluruh angkatan Tentera Barat Daya untuk konflik dalamannya sendiri. Dia membenci semua orang termasuk dirinya dan keluarganya.

Apabila dia mengoyak surat daripada pak ciknya itu, orang-orang tua dalam keluarganya telah memarahinya dan menggelarkan dia sebagai seorang gila. Dengan memimpin tentera dari kediamannya ke barat daya, dia telah menjadi orang yang berdosa dan pemberontak di mata keluarganya. Walau bagaimanapun, kali ini, tiada apa-apa yang dapat menghalangnya, tidak kira betapa teruknya dia ditegur.

Musuh telah mengancam kedaulatan ibu negara maharaja. Negara ini kini telah berada dalam kegawatan akibat konflik dalaman. Para bangsawan melarikan diri manakala orang awam menangis untuk mendapatkan bantuan.

Dia merupakan seorang pahlawan ibu negara. Dia tidak akan berundur walau apapun yang berlaku.

Selepas pertempuran di Bandar Yangkang, tenteranya akhirnya telah menarik perhatian Yan Bei. Dalam masa kurang dari dua hari, hampir 70,000 orang tentera telah mengepung mereka. Selepas berjuang tanpa henti selama satu hari dan satu malam, mereka semua sudah keletihan.

Mereka telah kehabisan anak panah, ubat-ubatan dan rangsum manakala pedang dan tombak mereka juga telah luntur. Pasukan tentera itu tidak tidur malam dengan nyenyak setelah sekian lama. Dalam kebanyakannya, mereka telah berjaya tidur sebentar sewaktu bertempur dan hanya tersedar disebabkan kesakitan yang dialami.

Apabila matahari terbit semula, Wei Shuye memandang ke arah langit dan mengecilkan matanya. Dia berkata kepada dirinya ini mungkin matahari terbit yang terakhir dia akan lihat dalam hidupnya.

Sewaktu naib jeneral yang wajahnya telah luka menghampirinya, dia berteriak dengan suara yang lantang, "Jeneral! Kita tak boleh bertahan lagi! Musuh telah menghantar tiga pasukan bantuan! Mari berundur cepat!"

Wei Shuye terdiam seketika apabila dia memandang lelaki tua di hadapannya itu. Dia merupakan seorang sekutu yang telah berperang bersamanya sepanjang perjalanan dari selatan ke utara. Lelaki itu telah lebih banyak berjuang untuk negara mereka berbanding dirinya malah lebih mahir dalam selok-belok peperangan, lebih ganas di medan perang serta mudah memenangi hati orang dengan mudah. Hal ini kerana dia pernah menjadi rakyat biasa dan tidak dapat dinaikkan pangkat tidak kira sebanyak mana kredit yang diperolehnya. Kalau bukan disebabkan usahanya, lelaki itu mungkin akan kekal sebagai pemimpin kecil.

Mungkin kerana dia terlalu menghargai lelaki itu, lelaki itu tetap setia kepadanya. Dia berperang di barisan hadapan dalam setiap pertempuran, menghalang anak panah dan pedang untuknya. Walau bagaimanapun, lelaki itu tidak tahu dia pernah memandang rendah pada orang-orang berstatus sepertinya dulu. Dia telah mengambil kesempatan terhadap mereka, mengambil kredit bagi setiap usaha keras mereka padahal dia hanya berdiri di belakang dan menunggu setiap pertempuran itu tamat. Apa bezanya dia dengan golongan bangsawan yang melarikan diri dari pertempuran seperti seorang pengecut itu? Mereka telah melarikan diri demi kehidupan mereka sendiri, sementara dia, bagi meningkatkan reputasinya, dia telah merosakkan kehidupan orang lain.

Rasa emosi yang rumit tiba-tiba terdetik dalam hatinya.

Wei Shuye tahu hari ini merupakan pertempuran terakhirnya. Tidak akan ada sebarang bantuan dan tidak ada ruang untuk kemenangan lagi. Zhao Yang masih terlibat dalam pertempuran dengan Zhuge Yue jadi sudah tentu dia tidak akan menyelamatkannya. Wei Shuye juga tahu sekalipun Zhao Yang tidak berperang, dia tidak akan menyelamatkannya juga. Mereka ditakdirkan untuk ditinggalkan dan dibunuh di medan pertempuran yang kacau-bilau ini.

Wei Shuye menghunuskan pedangnya dengan raut wajah yang nekad. Dia melonjak naik ke atas kudanya dan meletakkan dirinya di hadapan askarnya yang cedera. Kemudian dia berkata, "Pahlawan semua, hari ini akan menjadi pertempuran kita yang terakhir." Tatkala suara rendahnya bergema di sekitar medan perang, wajah-wajah yang berlumuran darah memandang ke arah komander mereka.

"Pahlawan semua, musuh telah memusnahkan tanah kita. Walaupun semua orang berundur, hanya segelintir daripada kalian yang berani maju. Dalam masa kurang daripada sepuluh hari, kamu semua telah mengambil bahagian dalam 13 pertempuran pertahanan, 11 pertempuran perang gerila, dua pertempuran berhadapan dan mengembara separuh tanah Xia. Kamu semua telah memenuhi tanggungjawab kalian sebagai seorang askar. Generasi masa depan Xia akan menghormati kamu semua dengan rasa bangga! Mungkin kita semua akan mati di sini hari ini. Mungkin kita semua akan gagal, tetapi kita akan menggunakan pedang di tangan kita ini untuk memberitahu penceroboh itu Xia tak akan patuh kepada mereka. Semangat kita akan terus berkobar-kobar. Mereka yang menginjak maruah kita akan menerima padahnya!" Apabila jeneral itu menyampaikan ucapan dorongannya, dia menuding ke arah pasukan musuh yang mendekati mereka lalu menempik, "Hidup ibu negara! Hidup Xia!"

Beribu-ribu pedang yang patah menuding ke arah langit sambil diiringi dengan sorakan gemuruh daripada pasukan tentera. Wei Shuye menunggang keluar daripada kem itu dengan kudanya dan berteriak sambil meluru ke hadapan bersama pasukan tenteranya.

Tatkala angin bertiup kencang di telinganya, matanya terasa sakit. Dia tidak dapat melihat apa-apa lagi apabila dia menghunuskan pedangnya. Dia tiba-tiba mendapati kehidupan ini cerah. Dia teringatkan pengalaman masa lampaunya yang bermula sewaktu dia masih muda dan dibesarkan oleh pak ciknya sehinggalah di saat-saat dia berperang di medan perang.

"Saya tak mahu menjadi seorang pengecut. Saya tak mahu terikat dengan cara hidup tegar di ibu negara maharaja, membesar, tua dan mati. Suatu hari, saya akan bebas dari sangkar itu. Saya akan tinggalkan segala-galanya dan menggunakan satu-satunya nyawa saya untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Saya tak peduli jika mereka memandangnya sebagai sesuatu yang tak penting. Saya boleh beritahu diri saya sebelum saya mati yang saya akhirnya telah menjadi berani." Dia tersenyum dengan dingin tatkala dia menghunuskan pedangnya untuk menyerang musuh-musuhnya lalu menyebabkan darah terpercik di sekitar medan perang.

Di sepanjang tebing Sungai Hang tidak jauh dari situ, seorang lagi jeneral berpakaian hitam sedang menyaksikan dengan dingin ketika pertarungan itu berlaku di hadapannya. Tiba-tiba, jeneral itu mengarahkan mereka, "Kalian semua, bersiap sedia."

"Tuanku!" Mu Liao berkerut dan berkata, "Itu tentera kediaman Wei Shuye. Mereka begitu setia kepada Tuanku Yang Keempat Belas."

Jeneral itu berkerut lalu berpaling dan menggumam dengan suara yang mendalam, "Saya tak peduli siapa mereka. Saya hanya tahu mereka sekutu kita yang sedang mempertahankan negara kita."

Mu Liao terkejut lalu dia pun membalas, "Saya faham."

Jeneral itu menghunuskan pedangnya lalu melayangkannya di udara. "Kalian semua, dengar perintah saya! Serang!"

"Bunuh musuh!"

Pasukan tentera itu tiba-tiba mengeluarkan teriakan perang yang kuat!

"Sekumpulan pasukan yang besar sedang menghampiri kita dari belah utara!"

"Mereka sedang menuju ke arah kita dengan kelajuan penuh!"

"Kami tak dapat menentukan sama ada mereka kawan atau lawan! Nampaknya mereka mempunyai lebih dari 100,000 orang!"

Dengan segera, perhatian setiap orang berpaling ke arah pemandangan yang aneh dari arah timur laut.

Pemimpin kumpulan itu sedang memakai jubah mantel hijau tatkala kuda yang ditunggangnya pula sedang menderap ke hadapan. Awan debu besar lantas terhasil dan bilangan musuh kini tidak diketahui. Kuda-kuda itu melonjak ke hadapan seperti sebuah gelombang, mewarnai langit dengan warna kuning disebabkan debu yang mereka hasilkan.