Jari-jemari Chu Qiao telah menjadi pucat tatkala bunyi lentang-lentung perisai terngiang-ngiang semula dalam fikirannya, seolah-olah dia selalu mendengar sebuah bunyi simfoni.
"Cik Puan, Cik Puan akan ikut saya ke?"
Chu Qiao menggelengkan kepalanya dan tersenyum kecil. "Saya akan tinggal di sini."
He Xiao mengangguk lalu menunduk hormat. "Hati-hari, Cik Puan."
Ada beberapa titisan embun di luar jendela tatkala bulan bersinar cerah di langit malam. Chu Qiao memandang ke arah bulan putih di langit itu sambil merungut, "Ribut dah nak melanda."
Keluarga Zhuge telah menghantar tiga orang gaji yang berbeza untuk menjaga Chu Qiao sebelum perkahwinannya tetapi semuanya telah dihantar pulang. Keluarga Jing juga telah menghantar beberapa orang, tetapi Chu Qiao tidak mengendahkan tawaran mereka. Di penghujung hari, Meixianglah yang mengiringi Chu Qiao pada waktu malam sebelum pernikahan.
Meixiang yang biasanya kuat dan gigih ini tiba-tiba berasa gementar buat kali pertama sewaktu dia memakaikan Chu Qiao dengan pakaian sutera merah yang ditutup hampir sepenuhnya dengan sulaman. Sulaman itik mandarin yang melambangkan kesetiaan abadi berlatarbelakangkan bunga peony yang mekar. Setelah cahaya menyinarinya, seluruh pemandangan itu kelihatan seolah-olah sekuntum bunga yang sedang berkembang.
Air mata mula mengalir dari mata Meixiang dan mulutnya mula melengkung ke atas. Chu Qiao menghulurkan tangannya untuk mengelapkan air mata pada wajah gadis sebelum memeluk pembantu yang telah mengikutinya selama bertahun-tahun ini. Kini, Chu Qiao kelihatan lebih cantik daripada sebelumnya dengan solekan yang baru dikenakan pada wajahnya.
"Cik Puan." Meixiang membalas pelukannya sambil teresak-esak. "Cik... Cik..." Dia sudah tidak mampu untuk membentuk sebuah ayat yang lengkap dan kekal dalam posisi itu sambil memanggil Chu Qiao secara berterusan bersama air matanya yang berlinangan.
Keesokan harinya, Chu Qiao akhirnya akan menyambut hari perkahwinannya.
Bersama beberapa orang pegawai adat istiadat dari Empayar Tang yang bakal mengiringinya, upacara itu mengikut prosedur yang tepat sebagai perkahwinan para bangsawan. Kereta kuda berlepas dari kediaman Zhuge sebelum sampai di Kedutaan Tang. Pertamanya, perintah dari mendiang Maharaja Tang, Li Ce telah dibacakan dengan kuat sebelum ucapan syukur daripada Maharaja Tang terkini iaitu Li Shuyi. Setelah itu, dia beredar dan segera disambut oleh simfoni instrumen dengan bunyi nafiri yang mengikut ke mana sahaja dia pergi. Pemandangan itu sememangnya mengagumkan.
Orang awam membanjiri kawasan tersebut. 80 orang pengapit pengantin perempuan mengambil tempat mereka dalam satu siri kereta kuda kecil yang mengikuti wanita itu dari belakang. Di penghujung konvoi, terdapat sekelompok Keluarga Zhuge bersama golongan bangsawan yang lain. Tapak tangan Chu Qiao mula berpeluh tatkala kain merah terang menutupi penglihatannya. Dia hanya dapat mendengar bunyi nafiri itu.
Pada saat ini, Chu Qiao mula berasa gugup ketika konvoi itu menghampiri kediaman Marsyal Besar. Chu Qiao sudah mengetahui laluan dan prosedur tersebut di dalam hatinya dan dia faham jika semua ini berjalan lancar, pegawai Tang akan menyerahkan kereta kudanya kepada pegawai adat-istiadat Empayar Xia di Jambatan Merak di hadapan. Zhuge Yue akan berada di sana untuk menyambutnya.
Namun, walaupun mereka masih jauh dari destinasi, kereta kudanya tiba-tiba terhenti. Hati Chu Qiao mula berdegup kencang apabila dia mendengar bunyi daripada Istana Sheng Jin.
14 bunyi yang suram berkumandang. Terdapat lima bunyi yang panjang dengan sembilan lagi bunyi yang pendek. Ia kedengaran sangat berbeza daripada kebiasaan sembilan bunyi yang panjang dan lima bunyi yang pendek. Ini melambangkan kuasa Maharaja. Pada saat ini, bunyi itu kedengaran seolah-olah sayu dan serius tatkala angin membawa bunyi itu bersama dan menyebarkannya di tanah yang makmur tersebut.
Semua orang yang sedang berjalan, berdiri, menonton mahupun bergegas terus menghentikan langkah mereka. Suasana terdiam sepi pada waktu itu. Kawanan burung di langit pun seolah-olah terhenti. Seseorang bertindak balas terlebih dahulu dan diikuti oleh orang lain yang tiba-tiba mengikutnya bersujud ke arah Istana Sheng Jin. Suara rengekan boleh didengari di seluruh bandar terutamanya di Dataran Zi Wei yang mana orang ramai telah berkumpul di situ.
Chu Qiao membuka penutup mukanya dan menyelak tirai kereta kuda itu. Angin membelai wajahnya dan menyebabkan rambutnya menggerbang ditiup angin. Hanya pada waktu inilah dia akhirnya memahami apa yang berlaku.
Maharaja Xia telah mangkat....
Para pegawai adat istiadat Empayar Xia semuanya sujud di tanah sambil menangis teresak-esak. Para pegawai yang mengiringi Empayar Tang semuanya berasa terperanjat dengan mulut ternganga dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti ini.
Zhuge Huai menunggang kudanya. Dengan raut wajahnya yang sangat serius, dia mula memberikan arahan untuk konvoi itu pulang.
Dengan angin yang meniupkan tirai pedati itu, Chu Qiao menatap ke arah Jambatan Merak itu yang sudah kelihatan dari tempatnya. Perasaannya kini sudah berbelit-belit dan pelbagai jenis emosi melandanya pada masa yang sama. Apabila konvoi itu kembali, Jambatan Merak itu kelihatan seperti sebahagian daripada mimpi yang beransur-ansur diliputi lapisan demi lapisan bunga dan daun.
Chu Qiao tiba-tiba berasa cemas seolah-olah dia telah sesat sepenuhnya. Dia seolah-olah telah kembali pada hari salji itu sekali lagi. Takdir asyik memaksa mereka untuk berpisah dan mereka akhirnya dipisahkan oleh kawasan tundra yang luas dan tidak dapat bertemu. Dia mengangkat pakaiannya lalu membuka pintu pedati itu.
"Tuanku!" Sepasang tangan tiba-tiba memegangnya. Yu Xiaohe menatap ke arah Chu Qiao dengan tidak percaya seolah-olah dia ingin melompat keluar dari kereta kuda itu. Yu Xiaohe kemudiannya berseru, "Tuanku nak ke mana?"
Pada masa ini, ada seorang di hadapan rombongannya yang telah berpaling. Matanya panjang dan nipis seakan-akan Zhuge Yue kerana dia abang kepada Zhuge Yue iaitu Zhuge Huai.
Chu Qiao terus membeku apabila dia melihat ribuan askar di hadapannya. Dia kemudiannya menutup pintu pedati itu perlahan-lahan dan kembali ke tempat duduknya kembali, terdiam.
Dia dibawa balik ke Kedutaan Tang. Sepanjang hari, dia duduk di dalam bilik tanpa mengambil satu langkah pun untuk keluar. Menjelang waktu senja, Pingan kembali dengan berita terdapat pihak yang bersiap sedia di sebalik tembok bandar dan Istana Sheng Jin masih belum mendedahkan punca kematian Maharaja. Orang awam menyembunyikan diri di dalam rumah mereka kerana takut.
Menjelang waktu malam, Kedutaan Tang telah dikepung sepenuhnya. Malah Pingan sendiri pun tidak dapat keluar untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut.
Dalam cahaya bulan yang keperakan ini, bunyi gemuruh tapak kaki kini kedengaran. Orang ramai telah mengelilingi seluruh kedutaan dan apabila Pingan ingin melangkah keluar untuk berunding, seorang lelaki tinggi lampai muncul. Zhuge Huai berdiri di hadapan pintu dan masih tersenyum seperti selalu. Satu-satunya perbezaan ialah aura yang dipancar olehnya yang sangat berbeza dari sebelumnya.
"Bandar ini kucar-kacir. Saya mohon Raja Xiuli tunggu di sini dan jangan bergerak."
Chu Qiao mengangguk lalu menjawab dengan lembut, "Saya faham. Abang boleh berehat."
Zhuge Huai tersenyum kecil. Tanpa menjawab, dia terus berjalan keluar.
Bunyi sumbang pertempuran yang berlangsung di arah Istana Sheng Jin kini kedengaran pada waktu tengah malam. Bunyi pertempuran, anak panah terbang, teriakan mangsa bersama-sama bunyi dentuman gendang perang dapat didengari di mana-mana. Ia seakan-akan bercampur-baur menjadi sebuah rekuem yang membingitkan.
Pingan dengan gelisahnya bergegas masuk dan memberitahunya dengan kuat, "Kakak! Kita telah dikepung! "
Chu Qiao masih memakai pakaian pengantinnya sambil duduk memegang secawan teh. Setelah mendengar hal itu, dia tidak berasa terkejut dan hanya berkerut sedikit.
"Kakak, kami akan pastikan yang Kakak akan pergi!"
Jingjing sudah memakai sut perangnya sambil membawa sebuah busur silang yang kecil. Beberapa pegawai Tang yang lebih tua sudah pucat lesi berdiri di sudut apabila mereka menyaksikannya.
Chu Qiao menggelengkan kepalanya apabila dia menatap ke arah pintu sambil menggenggam penumbuknya. Pakaian bertuahnya kelihatan seolah-olah telah dipenuhi dengan darah di bawah cahaya lilin yang berkedip.
"Cik Puan, Zhuge Huai itu pasti bukannya lelaki yang baik. Dia cuba meletakkan kita di bawah perintah berkurung." Meixiang pun menyampuk.
Menjelang jam 1 pagi, bunyi pertempuran itu sudah berkurangan. Zhuge Huai berjalan dan kali ini tanpa berpura-pura lagi, dia terus mengarah, "Mari ikut saya."
"Apa yang berlaku kepada Rong'er?"
"Awak jangan risau. Saya tak ada masalah dengan Li Ce. Selagi awak bekerjasama dengan kami, budak itu akan selamat."
Chu Qiao berdiri dan memaklumkan kepadanya dengan santai, "Baiklah, saya akan ikut awak."
Zhuge Huai memandangnya dengan rasa hormat lalu memujinya, "Nampaknya adik keempat saya pandai memilih orang."
"Awak tak takut ke khianati keluarga awak?"
Zhuge Huai tertawa kecil. Segala penderitaannya akhirnya akan berakhir pada malam ini. Dia terus tertawa. "Khianati keluarga? Mengapa awak begitu pasti yang kami tak mengabaikan dia?"
Chu Qiao menarik kembali pandanganya dan berfikir sejenak tentang kejadian itu sebelum mengangguk dan berkata, "Saya faham."
"Awak memang bijak."
Chu Qiao kemudiannya bertanya, "Apa yang Zhao Yang boleh berikan kepada Keluarga Zhuge sehingga sanggup mengambil risiko yang besar seperti ini?"
"Tiada apa-apa pun." Jawab Zhuge Huai dengan ringkas, "Satu-satunya perkara yang membimbangkan ialah sekiranya Zhao Yang naik takhta, Empayar Xia masih akan menjadi Empayar Xia dengan keluarga-keluarga bangsawan tetapi sekiranya Zhao Che naik takhta, Empayar Xia akan berubah menjadi Qinghai atau Hu Timur. Kalau begitu, entah apa yang akan terjadi kepada keluarga bangsawan."
Seperti yang dijangkakan. Chu Qiao hanya mengangguk tanpa sepatah kata.
"Adik keempat telah dikepung di dataran Zi Wei. Dia hanya mempunyai 3,000 orang saja tentera yang sedia berkhidmat untuknya. Tentera yang lain ada di luar bandar. Tentera Jingji, Tentera Berkuda, dan Pasukan Tentera Hijau semuanya berada di pihak kami. Setakat ini, tentera Hu Timur Zhao Che telah dihalau keluar dari ibu negeri ke Timur, jadi dia tak boleh mempengaruhi keadaan itu lagi. Teruskan berlawan hanya akan melambatkan kekalahan yang tak dapat dielakkan. Kalau awak dapat membantu kami meyakinkan dia untuk menyerah diri, saya masih boleh lepaskan dia hidup-hidup."
Chu Qiao mengangkat keningnya sambil memandang Zhuge Huai dan berkata, "Biar betul awak ini?"
Zhuge Huai tersenyum, "Saya janji."
"Baiklah, pemenang akan tetapkan peraturan, jadi saya tak boleh kata apa-apa lagi. Sila tunjukkan jalan."
Zhuge Huai menambah lagi, "Layan saja dengan kehendak kami buat seketika."
Chu Qiao menghulurkan tangannya dan berkata, "Dah tentu. Cepatlah."
Dua orang pegawai yang bersenjata berjalan sambil memegang tali dan bersiap sedia untuk mengikat Chu Qiao.
Bilik itu terang dan bunyi pembunuhan di luar telah bertambah reda. Chu Qiao memakai pakaian bertuah itu dan dia kelihatan sangat tenang dan yakin tatkala dua orang askar besar berdiri di sampingnya dengan setiap seorang daripada mereka yang memegang salah satu tangannya. Zhuge Huai berdiri di hadapannya dengan empat pengawal lain yang berdiri di belakangnya.
Angin berdesir meniupkan lilin di situ. Pada masa itu, Chu Qiao seolah-olah sedang mengingati segala ajaran daripada pengajarnya sewaktu di dalam tentera: Serang cepat, sasar tetap, kekal tenang dan jadi kuat.
Pada masa itu, tatkala simpulan tali itu hendak diikat pada tangannya, tubuh Chu Qiao bergerak pantas. Dia bertinggung dan melepaskan diri di antara kedua-dua tangan pengawal itu. Dengan pergerakan pantas seperti kilat, dia mampu mengeluarkan senjata daripada kedua orang askar sasa itu lalu dengan pantasnya darah terpancut keluar di dalam bilik itu!
Sebelum teriakan mereka berdua bergema, dua bilah pedang itu telah dilepaskan dari tangannya lalu membenamnya ke dalam dada dua orang pengawal lain yang sedang meluru ke arahnya. Chu Qiao menyerang terus dan meraih pergelangan tangan salah seorang pengawal lalu mencekiknya. Dengan sekilas lemparan ke atas bahunya, mereka dapat mendengar bunyi retakan yang berbeza kerana lelaki itu terbaring kaku di atas tanah dalam posisi yang pelik.
Setelah melihat bagaimana Zhuge Huai hendak berlari ke pengawal yang terakhir, Chu Qiao menarik sepit rambutnya lalu melemparkannya. Sewaktu melakukan gerakan itu, dia melompat dan menarik rambut pengawal itu. Dengan sekilas sahaja, dia berjaya merentap sebahagian besar kulitnya dan dengan sekilas gerakan lagi pada lehernya, lelaki itu rebah dan berhenti bergerak setelah menggigil sebentar.
Semuanya seolah-olah telah berlaku dalam sekelip mata sahaja. Setelah menghapuskan pengawal yang terakhir, Chu Qiao perlahan-lahan berjalan ke arah Zhuge Huai yang mempunyai sepit ramput tertusuk pada lehernya. Setelah menarik pisau yang tersembunyi di dalam kasutnya, Chu Qiao berkata dengan tenang, "Pemenang yang tetapkan peraturan. Awak ada apa-apa nak cakap lagi?"
Mata Zhuge Huai terbuka luas ketika dia cuba untuk bergelut. Dengan serangan yang kuat, darahnya mengalir keluar.
Pintu itu ditendang dan ditemani dengan angin yang meniupkan daun yang berguguran. Tentera di halaman semuanya telah mengangkat kepala mereka dan mendapati seorang wanita yang memakai pakaian merah sedang memegang kepala Zhuge Huai. Dengan ketenangan yang mutlak pada matanya, dia dengan mudahnya melemparkan kepala itu ke tanah.
Dengan bunyi derapan, cahaya obor kini kelihatan. Para pengawal semuanya berasa hairan. Bendera perang dengan awan merah yang dijahit pada latar belakang putih berkibar di langit bersama kata-kata Xiuli yang dijahit di bawah. He Xiao masuk ke pintu gerbang sambil memegang seorang anak kecil yang hanya berusia setahun dan berkata dengan kuat, "Sedia berkhidmat untuk Cik Puan!"
Chu Qiao tanpa gentarnya berjalan masuk ke dalam kerumunan itu. Pada waktu itulah seorang pegawai berpakaian biru menjerit, "Saudara-saudara! Kita perlu membalas dendam terhadap Tuan Huai! Bunuh mereka..." Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, sebatang anak panah telah menusuk tekaknya dengan tepat. Dalam kegelapan itu, sekuntum mawar berdarah kini mekar.
He Xiao berdiri di sana tanpa berperasaan bersama tentera yang berbaju zirah hitam yang tidak terhitung jumlahnya berdiri di belakangnya. Setiap seorang daripada mereka memegang busur silang dan mereka kelihatan seperti sekumpulan pahlawan terracotta yang melihat askar-askar biasa.
Suasana tegang berlarutan dan Chu Qiao terus berjalan dengan pakaian merah bertuahnya itu. Dia dengan penuh santai mengutip sebilah pedang dan lompat ke atas kuda yang dibawa oleh He Xiao. Dengan tatapan yang dingin, dia memerhatikan sekerumunan orang ramai itu. Ke mana pun pandangannya dialihkan, suhu terasa seolah-olah jatuh, seolah-olah matanya dapat mengubah keadaan sekeliling menjadi selautan ais.