Chapter 252 - Bab 252

"Baiklah," Zhao Song berkata dengan suara yang dalam kerana dia tidak mempunyai banyak pilihan melainkan membiarkannya. "Ah Jiang, keluar."

Ah Jiang agak terkejut ketika Xiaoba berjalan dan mengetuk kepalanya sambil menegur, "Cepat keluar! Awak nak tunggu tuan kita tukar fikiran dan menghalau saya ke?"

Ah Jiang tersenyum dengan bersungguh-sungguh sambil mengangkat cambuk lalu memukul kudanya itu. Pedati tersebut mula bergerak dengan perlahan sewaktu matahari pagi menyinari seluruh dunia dengan warna kuning keemasan.

Selepas mereka keluar dari Bandar Zhen Huang, dia bukan lagi seorang bangsawan dan wanita itu juga bukan lagi seorang penari terkenal di ibu negara itu. Mereka bersyukur kerana dunia masih lagi memberikan mereka sebuah peluang untuk memulakan kehidupan baru.

Di dalam hutan tebal itu, muncul seorang wanita yang berpakaian hijau kusam di atas kudanya sambil diperhatikan oleh He Xiao yang berada di belakangnya. Beberapa pasukan pengawal peronda berjalan melepasi mereka tetapi wanita itu seolah-olah tidak dapat melihat mereka. Dia mendiamkan diri ketika melihat ke arah pedati yang semakin jauh hilang daripada pandangannya.

Selamat tinggal, kawan.

Selamat tinggal, adik.

Selamat tinggal kepada dua insan yang dia telah sangat terhutang budi di dalam hidupnya.

Ketika matahari semakin menegak di atas langit, angin di utara bertiup kencang. Chu Qiao mengumpulkan fikirannya dan mengangkat kepalanya sambil mengingatkan dirinya ini adalah Xia. Tanah ini dipenuhi dengan bau Xia, angin Xia, sejarah Xia dan juga kawan-kawannya. Siapa yang sepatutnya pergi sudah pun pergi dan yang masih tinggal harus bersiap sedia untuk menghadapi masa hadapan di sini. Mereka semua mempunyai tanggungjawab masing-masing tidak kira kesusahan dan bencana yang dihadapi dan mereka mempunyai orang yang sedang mereka tunggu atau mereka lindungi.

Dia berpaling untuk memandang ke arah tembok kota agung yang dapat dilihat dari jauh. Terdapat banyak buah istana dan bangunan yang kelihatan penuh dengan rancangan sulit dan perangkap yang tiada kesudahannya. Dia pernah membenci semua yang berada di sini namun sekarang dia telah memasuki penjara ini secara suka relanya. Sepertimana adiknya yang sanggup menjadi seorang hamba, ini semua pilihan yang sudah dibuatnya. Ini pertempuran peribadinya tetapi dia tidak keseorangan kerana di dalam penjara besar agung itu terdapat seseorang yang sedang menunggunya.

Lagipun, perkara sudah menjadi berbeza dan seperti hidup dan mati, mustahil untuk mengundur kembali masa yang lalu.

"Gerak!" Chu Qiao menjerit ketika dia menunggang kembali ke atas kudanya dengan angin dingin yang bertiup melewati telinganya. Ia kelihatan seolah-olah semuanya berubah menjadi debu lantas hilang ke masa lalu.

Dalam sekelip mata sahaja tahun baru bakal tiba. Walaupun tahun ini bukanlah tahun yang menggembirakan, Bandar Zhen Huang masih lagi mempamerkan kemeriahan seperti biasa. Masih ada lagi lebih kurang setengah bulan sebelum perayaan Musim Bunga tetapi istana maharaja telah melonggarkan perintah berkurung pada waktu malam dan dengan sokongan daripada Majlis Ketua-Ketua Terhormat, cukai yang dikenakan terhadap ahli perniagaan telah dikurangkan untuk menggalakkan aktiviti perdagangan. Di samping itu, atas nama Maharaja, mereka mula memanggil semula beberapa orang pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang pada tahun yang sebelum ini untuk kembali ke Ibu negara supaya dapat diberikan penganugerahan dan pengiktirafan.

Hanya dalam masa tiga hari sahaja Bandar Zhen Huang telah kembali pulih aman dan makmur seperti dahulu. Sebahagian pegawai memanipulasikan yang perayaan tahun baru kali ini agak hebat kerana pelbagai keluarga bangsawan mula memasuki ibu negara. Di dalam Bandar Zhen Huang, perhiasan telah disiapkan berserta dengan persembahan yang sering diadakan. Rakyat di negara itu masih terpesona oleh pemandangan di hadapan mata mereka walaupun pada masa itu dunia sedang bergolak dan peperangan sedang berlaku di sempadan.

Angin sejuk yang bertiup melewati tembok kota seolah-olah telah membawa bersama aroma perayaan sebelum menuju ke utara. Namun, peperangan dengan Yan Bei nampaknya semakin cemas. Setiap malam Zhuge Yue akan tidur lewat dan kadang-kadang dia tidak tidur langsung. Batang lilin itu mencair tanpa henti lalu membentuk tompokan keras di atas tempat letak lilin. Cahaya yang malap menyinari wajahnya yang kelihatan sangat pucat namun belakang badannya kelihatan lurus.

Tiga hari yang lalu, akhirnya Chu Qiao telah bertemu dengan Zhao Che.

Pada hari itu, salji turun. Salji yang bertimbun selama empat hari itu mempunyai ketebalan hampir dua kaki dan sesiapa yang berjalan di atasnya pasti akan tenggelam sampai ke peha. Chu Qiao selalu jatuh sakit kebelakangan ini dan membuatkan dia banyak menghabiskan masa di dalam kediaman.

Pada malam itu, tiba-tiba dia dapat mendengar tawaan Zhuge Yue dari kejauhan ketika wanita itu sedang bersandar di atas tilam lembutnya sambil mengerutkan dahi. Tiba-tiba dia membuka matanya kerana merasakan gelombang udara yang sejuk telah datang dari arah pintu. Dia menggigil lalu menarik selimut membaluti tubuhnya sambil meluruskan badannya. Zhuge Yue mengangkat kain langsir dan bercakap dengannya, "Xing'er, lihat siapa di sini?" Selepas berkata demikian, dia membawa orang itu masuk ke dalam bilik.

Zhao Che berjalan dengan belakangnya menghadap cahaya. Baju hitam yang dipakainya itu tidak mempunyai sulaman bunga dan kelihatan agak lusuh tanpa sebarang perhiasan yang gah. Dia kelihatan seperti biasa walaupun dia nampak lebih tinggi dan kurus. Namun wajahnya tidak begitu banyak berubah dari masa lalu. Satu-satunya perbezaan yang ketara ialah matanya tidak lagi kelihatan angkuh seperti dahulu malah dia kelihatan lebih tenang dan matang. Walaupun dia sedang tersenyum, dia kelihatan seperti lebih berawas-awas dan seolah-olah sentiasa berjaga-jaga. Dia menegur Chu Qiao dengan bersahaja sambil mengangguk sedikit sebelum berkata dengan tenang, "Kita bertemu jua akhirnya."

Makanan dibawa masuk dari dapur. Zhao Che telah membawa beberapa botol wain dari Qianghu. Ia kelihatan agak kuat kerana bau alkohol itu segera memenuhi keseluruhan bilik semasa dia membuka botol tersebut. Dia bersembang dengan Zhuge Yue dan membincangkan secara terperinci mengenai perang dan perancangan masa hadapan mereka. Kadang-kadang mereka akan ketawa dan membuat jenaka antara satu sama lain. Zhuge Yue tidak pernah mempunyai ramai kawan. Mungkin selain daripada lelaki ini, tiada sesiapa yang boleh berbual secara santai dengannya.

Chu Qiao dengan tenang duduk di satu tempat sambil mendengar perbualan mereka. Akhirnya, mereka mula mengimbas kembali kenangan waktu dahulu ketika mereka pernah menjadi pesaing di sekolah tentera. Mereka hanya telah menjadi kawan ketika peperangan bermula dan apabila kuasa pemerintahan yang tidak adil mula berleluasa untuk mengambil alih pemerintahan Maharaja.

Kedua-duanya telah dilahirkan dalam keluarga bangsawan dan mempunyai impian yang luar biasa untuk masa hadapan serta mempunyai bakat untuk mencapai impian tersebut. Mereka tidak patuh kepada peraturan dan pandangan dunia mereka juga tidak tersekat oleh negara mereka saja. Mereka sangat nerdegil dan mempunyai pandangan yang ekstrem mengenai dunia ini. Di dalam mata keluarga mereka, mereka telah dilihat sebagai pengkhianat yang terpesong daripada laluan yang betul. Mereka telah menghadapi banyak turun naik kehidupan dan akhirnya mereka menguasai politik utama. Walaupun hati mereka tegas seperti keluli, namun mereka masih menunjukkan semangat yang membara. Kebanyakan masa, persahabatan di antara lelaki tidak memerlukan sebarang penjelasan.

Chu Qiao terduduk di tepi dan memerhatikan bagaimana Zhuge Yue berbincang dengan semangat yang jarang dilihatnya bersama dengan Zhao Che yang kelihatan tidak terkawal. Ketika itu, dia merasakan seolah-olah dua orang lelaki di hadapannya itu ialah pokok-pokok yang tumbuh untuk menguasai seluruh dunia dengan ribut yang telah mereka hadapi bersama.

Satu lagi jelmaan tiba-tiba muncul di dalam fikirannya. Dia teringatkan bagaimana dia pernah bekerjasama dengan seseorang pada zaman kegelapannya dahulu. Ketika Zhuge Yue dan Zhao Che masih menikmati keamanan dunia, dia telah berjuang berhabis-habisan bersama orang itu. Namun, mereka akhirnya hanya menjadi orang asing.

Pada malam itu, Zhuge Yue mabuk. Toleransinya terhadap alkohol tidak pernah terlalu tinggi namun dia masih dapat mengawal dirinya dengan baik. Tetapi, melihatkan kawannya untuk pertama kali dalam tempoh yang lama, dia seolah-olah memutuskan untuk melupakan segala sekatan buat satu malam. Namun Chu Qiao tahu dia hanya terlalu letih.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, ribut salji yang besar telah melanda Barat Laut, menyebabkan hasil penuaian yang kurang baik di Barat Daya. Satu pertiga daripada empayar itu dipenuhi dengan masalah apabila korupsi berleluasa di dalam ibu negara kerajaan maharaja lalu menyebabkan makanan dan keperluan tidak sampai ke tangan rakyat. Zhao Yang mengawal bahagian Empayar Barat tetapi dia membutakan matanya mengenai hal korupsi untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga bangsawan yang lain. Dalam masa setengah tahun, lebih 200,000 orang awam di Barat telah mati dan berjuta-juta rakyat menjadi pelarian. Ada yang menuju ke Selatan, Timur dan ada juga yang menuju ke Barat Laut yang bersalji. Ramai rakyat yang kebuluran berkumpul di Sempadan Yanming, Sempadan Tanghu dan juga Sempadan Yao. Ribuan rakyat mati kelaparan atau membeku sehingga kematian dapat dicatatkan sebagai berita yang dapat didengari setiap hari namun ibu kota maharaja masih meneruskan perbelanjaan yang besar untuk membina istana-istana yang mewah dan menyediakan jamuan yang besar, bukannya untuk membantu rakyat.

Zhuge Yue telah melaporkan keadaan semasa berpuluh kali namun seluruh dewan persidangan tidak mahu membantunya apabila surat-suratnya diabaikan di tengah-tengah keseronokan di dalam dewan itu. Majlis Ketua-Ketua Terhormat itu boleh dianggap sebagai sekumpulan ulat yang mereput, enggan melihat di sebalik topeng kemakmuran yang hanya dipamerkan di dalam ibu kota maharaja. Lantas, ia telah membenarkan ramai pegawai tempatan untuk meneruskan korupsi seperti yang mereka mahukan.

Zhuge Yue telah melaporkan bencana alam yang berlaku telah menyebabkan 200,000 kematian namun mereka masih berdegil. Mereka telah mengatakan tidak ada cuaca seperti itu dan rakyat hanya hidup dengan aman dan damai, berpuas hati dengan kekayaan Empayar. Malah, mereka telah menuduh Zhuge Yue hanya bercakap kosong.

Zhuge Yue juga telah memaklumkan kepada mereka yang hampir sejuta pelarian berkumpul di sekitar Sempadan Yanming, Tanghu dan Sempadan Yao. Sekiranya tiada tindakan yang diambil, mungkin akan tercetus pemberontakan rakyat. Namun, Majlis Ketua-Ketua Terhormat ini masih yakin ketiga-tiga sempadan itu telah dikawal dengan ketat dan tiada seorang pun penjenayah yang dapat kelihatan.

Zhuge Yue memberi amaran Empayar Xia ini kini berada dalam keadaan yang sangat genting di mana tidak lama lagi ia mungkin tidak akan wujud lagi. Namun, mereka hanya menutup mata dengan keadaan yang berlaku sekarang dan terus mentulikan telinga ke atas segala-galanya. Bukan itu sahaja, mereka juga telah menuduh Zhuge Yue yang terlalu mementingkan diri kerana dia mempunyai kawalan yang kuat ke atas tentera Empayar Xia.

Ramai orang awam yang telah mati ketika para ketua ini sedang bertelagah di dalam dewan persidangan. Majlis Ketua-Ketua Terhormat telah menggunakan surat pujian yang kononnya ditulis oleh orang awam sebagai bukti untuk mendakwa Maharaja pemerintah yang bijaksana dan tiada tandingannya. Kemudian, mereka menuduh Zhuge Yue telah mengeluarkan fakta tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Bukti? Chu Qiao terdengar bagaimana Zhuge Yue memarahi beberapa orang Jeneral di dalam biliknya. Dia sangat marah sehinggakan wajahnya bertukar hijau dan matanya kelihatan seperti memuntahkan api.

Majlis Ketua-ketua Terhormat telah mengabaikan pandangan orang awam dan memilih untuk melupakan mayat-mayat yang tidak terhitung jumlahnya di bahagian Selatan. Mereka telah mentulikan telinga mereka daripada mendengar tangisan yang sedang meminta bantuan. Kemudian, mereka berani pula untuk mengutarakan tentang satu kejadian di mana para pegawai korup telah merancang untuk mempermainkannya?

Pada malam itu sebelum pemuda itu tertidur, dia mendiamkan diri buat masa yang lama sebelum berbisik ke telinga Chu Qiao memberitahunya dia benar-benar mahu membunuh semua ulat-ulat yang ada di dalam empayar itu. Dia berkata dengan dingin sehinggakan Chu Qiao berasa seram sejuk di tulang belakangnya. Wanita itu lantas menghulurkan tangannya untuk memeluk pinggang pemuda itu sambil mengusap lembut lengannya. Dia dapat merasakan otot tegang lelaki itu dan kulitnya yang sejuk seolah-olah terdapat selapisan keazaman yang membeku.

Chu Qiao tahu dia hanya mengatakannnya. Walaupun dia memegang kuasa yang besar, walaupun dia mengawal sejumlah bilangan tentera yang besar, walaupun dia telah diusir daripada keluarganya, dia masih ada perkara yang harus dilindunginya dan dia tidak boleh mengabaikannya.

Maharaja Xia yang sebelum ini bagaikan sedang bergantung pada seutas tali kehidupan yang nipis kini tiba-tiba menjadi semakin pulih. Pemikirannya semakin baik dan kadang-kadang beliau akan pergi ke mahkamah.

Tiada sesiapa yang berani memandang rendah terhadap Maharaja. Selama bertahun-tahun dia selalu kelihatan seperti ini. Dia seperti tidak terlalu mempedulikan tentang hal politik namun apabila ada seseorang yang cuba mengatasinya walaupun sedikit, dia akan melakukan serangan yang dahsyat. Kejadian yang melibatkan Yan Bei salah satu contoh yang berdarah.

Namun, semua orang masih memikirkan yang Maharaja ini seorang manusia dan akhirnya akan pergi juga. Zhao Che dan Zhao Yang bersaing untuk membuatkan ayahanda mereka gembira gembira dan sesiapa yang lebih menyenangkannya akan menang. Buat masa sekarang, Maharaja kelihatan lebih berpuas hati terhadap Zhao Yang yang selalu melaporkan bagaimana orang awam berasa gembira dengan pemerintahannya. Dalam keadaannya yang sedemikian, siapa yang berani untuk melaporkan semua bencana yang berlaku untuk merosakkan anginnya? Malah Zhao Che terpaksa berfikir dua kali sekiranya dia mahu melaporkan sebarang maklumat yang berkaitan.

Pada mulanya, Zhao Che tidak berada di Bandar Zhen Huang jadi Zhuge Yue terpaksa bertahan bersendirian dengan memaksa beberapa jumlah sumber yang sedikit daripada jabatan lain untuk dihantarkan kepada ketiga-tiga sempadan sebagai bantuan bencana namun usahanya terhad.

Terdapat sedikit kesilapan yang telah dibuat semasa makanan diedarkan di Sempadan Yao. Oleh kerana kekurangan makanan, bubur yang dibuat untuk catuan telah menjadi cair. Kenyataan seorang askar yang menyinggungkan perasaan seorang rakyat telah mencetuskan sebuah rusuhan. Dalam pergaduhan kecil tersebut, lebih 30 orang askar telah mati dan lebih 50 orang awam yang mati serta lebih seratus orang yang cedera.