Zhuge Yue sedang berada di dalam bilik bacaan bersama Chu Qiao sewaktu Yue Qi tiba dengan berita tersebut. Wanita itu tidak pernah menyibuk tentang perihal peribadi Zhuge Yue, namun pemuda itu tidak pernah berselindung daripada wanita itu ketika dia berada bersamanya. Chu Qiao dapat mendengar cemuhan-cemuhan yang telah dilemparkan oleh para pegawai dan juga rakyat jelata kepada Zhuge Yue di luar Sempadan Yao.
Yue Qi telah melaporkan tentang segala tuduhan yang telah diletakkan kepada Zhuge Yue dengan wajah yang pilu. Mereka telah menuduh yang pemuda itu telah memonopoli seluruh catuan makanan yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat. Mereka juga telah menuduh yang pemuda itu sebagai seorang pegawai kejam yang berhati batu dan suka menindas para rakyat jelata. Mereka telah menghinanya juga sehingga menyumpah supaya pemuda itu tidak akan dikurniakan dengan seorang zuriat pun.
Pemuda itu hanya mendengar segala tuduhan tersebut tanpa sebarang ekspresi di wajahnya sehinggalah Yue Qi tidak sanggup mendengar segala penghinaan itu lagi. Pemuda itu lantas mengisyaratkan supaya dia meneruskan dengan pandangan dinginnya.
Setelah Yue Qi beredar, wanita itu tidak berani untuk melangkah ke arah pemuda tersebut. Tengah hari itu terasa dingin apabila cahaya mentari menyinari wajah pemuda itu yang tampak semakin susut. Dia lantas bersandar pada kerusinya sebelum menghirup teh dengan senyap, seolah-olah tiada apa yang telah berlaku sebentar tadi. Namun, Chu Qiao dapat melihat air yang sedang mengalir melalui retakan daripada cawan jed putih apabila pemuda itu menggenggamnya dengan terlalu kuat.
Benar, mereka sedang kebuluran dan nazak. Segala jenis bencana telah menimpa kawasan ini lantas meragut ramai nyawa mereka, memaksa mereka ke ambang berputus asa. Namun, para pegawai bersenang-lenang menjalankan kegiatan rasuah dan tidak bertamadun mereka. Mereka sememangnya layak untuk mati. Namun, khalayak ramai tidak mengetahui yang pihak istana telah membenarkan perkara ini terjadi. Tiada sesiapa yang benar-benar ambil peduli tentang korupsi yang berlaku dalam kalangan para pegawai kerajaan empayar. Jadi, berita tersebut dengan sengajanya telah diselindung daripada tersebar dengan alasan banyak lagi perkara penting untuk diuruskan.
Setiap makanan yang telah mengisi perut kosong para rakyat jelata adalah disebabkan oleh usaha Zhuge Yue setelah pemuda itu menjual beberapa asetnya untuk meraih wang supaya dapat membeli makanan. Tiada sesiapa yang dapat menyangka pemuda sombong dan bongkak sepertinya ini bakal merendahkan darjatnya. Pemuda itu telah merayu kepada para pedagang di ibu negara untuk membantu rakyat jelatanya supaya mereka dapat terselamat daripada kebuluran pada tahun itu.
Dia telah bekerja dengan terlalu keras disebabkan oleh perasaan terdesaknya itu, jadi pemuda itu akhirnya telah memutuskan untuk meminum alkohol tanpa henti di meja makan. Dia menyatakan yang maharaja tersebut seorang pemimpin bahlul dan mahkamah persidangan di sana sudah benar-benar tidak terkawal. Selain itu, pemuda itu juga telah melaungkan yang Zhao Yang itu seorang bodoh sebelum bersumpah untuk memenggal kepalanya pada malam itu juga. Dia benar-benar telah mabuk sehingga percakapannya juga telah menjadi pelat.
Pada malam itu, Chu Qiao sendiri telah mengiringi Zhao Che yang agak mabuk itu keluar dari rumah agam tersebut. Namun, sebaik sahaja mereka melangkah keluar, putera ketujuh yang tampak mabuk itu terus menegakkan badannya manakala matanya juga tidak kuyu seperti tadi. Dengan nada jelas, dia telah berkata kepada Chu Qiao, "Pergi balik dan jaga dia dengan elok."
Chu Qiao memandang wajah pemuda itu tetapi masih berdiam. Ekspresi wajah Zhao Che dingin semasa dia meneruskan, "Semenjak situasinya sudah menjadi sebegini, saya tak ada apa-apa kuasa untuk memberi sebarang bantuan. Kalau ini berterusan, saya sendiri yang akan masuk ke dalam mulut buaya bangsawan-bangsawan atasan Xia itu. Kita masih tidak mempunyai pengaruh kuasa yang cukup besar untuk berbuat sebegitu." Nada Zhao Che tenang apabila dia berkata.
Chu Qiao segera berpaling, tidak mahu melihat muka pemuda itu lagi. Tiba-tiba, Zhao Che memanggil namanya daripada belakang wanita itu. Dia lantas menoleh untuk mendengar kata-kata Zhao Che yang bernada serius, "Dia lelaki yang baik. Jangan kecewakan dia."
Chu Qiao mengecilkan matanya sebelum membuka mulut untuk membalas, "Awak juga." Kata-katanya agak samar. Awak juga? Apakah yang dimaksudkannya? Awak juga seorang yang baik?
Tidak. Zhao Che benar-benar memahami apa yang dimaksudkan wanita itu. Namun, dia tidak menunggu sebarang jawapan daripada lelaki itu sebelum berpaling dan kelibatnya yang kelihatan kecil itu menghilang pergi di sebalik kejauhan dengan perlahan.
'Dia lelaki yang baik, jangan kecewakan dia.'
Hujan meteor sedang merentasi langit yang menghitam. Pemuda itu mengambil nafas yang panjang semasa angin menghembus dan boleh terhidu bau kebuluran daripada bahagian barat yang semakin menghurung seluruh negara.
Segala juadah yang dihidangkan sebentar tadi telah pun dibawa pergi semasa Chu Qiao kembali ke bilik tersebut. Zhuge Yue yang mabuk itu tidak lagi berada di atas katil. Wanita itu melangkah ke arah bilik bacaan dan membuka pintu untuk melihat pemuda yang telah waras itu sedang meneliti segala kertas-kertas kerja yang berada di hadapannya.
Wanita itu berdiri di muka pintu buat masa yang lama, menunggu saat pemuda itu untuk menulis surat dan menutup kemas surat itu sebelum melangkah ke arahnya. Dia bercangkung di hadapan Zhuge Yue sebelum menggenggam jari-jemarinya dan mengambil tempatnya di atas peha pemuda itu, namun masih berdiam diri. Cahaya lilin yang berkelipan kadangkala akan memancarkan percikan-percikan api kecil sementara bau aroma setanggi daripada periuk setanggi itu memenuhi setiap pelosok bilik dengan asap. Tangan pemuda itu terasa kering semasa dia mengusap-usap rambut Chu Qiao.
"Xing'er," Panggil pemuda itu dengan suara yang rendah dan letih, tetapi tidak menyambung kata-katanya. Wanita itu lantas menyandarkan pipinya pada peha pemuda itu, boleh terhidu bau aroma daripada badannya. Dengan suara yang mesra dan lembut, wanita itu membalas, "Saya faham semuanya." Lutut pemuda itu tersentak sedikit apabila dia mendengar kata-kata kekasihnya itu lalu dia mengeratkan lagi genggaman tangannya.
Ya, wanita itu memahami segalanya. Dia memahami segala usaha yang telah diberikan pemuda itu, sebab di atas segala kelelahannya, sebab di sebalik kekecewaannya dengan negara ini dan juga sebab di sebalik kebenciannya terhadap segala benda yang berada di sekelilingnya itu.
Maharaja kini sangat gering manakala putera-puteranya pula sedang terjebak dalam pergelutan pengaruh kuasa dalaman. Ditambah pula dengan setiap organisasi di dalam ibu negara ini yang sedang mengorak langkah mereka ke sebuah jalan yang dipenuhi dengan korupsi. Bagi pemuda itu sendiri, setelah berhadapan dengan segala perit dan getir sebuah peperangan, setelah menyaksikan segala kesengsaraan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat kelas bawahan dan mampu untuk melawan takdir yang hampir meragut nyawanya, pemuda ini tidak lagi sanggup untuk membiarkan negaranya dimusnahkan sehingga sebegitu sekali. Namun bagaimana pula dia akan berhadapan dengan wajah pegawai-pegawai yang menjijikkan itu?
Dia masih lagi memainkan peranan penting dalam pergelutan pengaruh kuasa ini, namun dia tidak lagi mempunyai tanggapan yang naif dengan memikirkan yang segalanya bakal berubah setelah Zhao Che menaiki takhta. Namun, sebelum dia dapat mengecapi impiannya, pemuda itu terpaksa mengharungi segala ini sekali lagi. Dia tidak tahu apa yang bakal tinggal bersama mereka setelah mereka menghapuskan semua musuh mereka.
Para rakyat jelata akan mati dibunuh, pasukan-pasukan tentera akan dipenggal manakala negara pula akan jatuh merudum sehingga ke cebisan terakhir. Mungkin mereka sahaja yang bakal hidup setelah menumpahkan darah-darah di atas tanah yang pilu ini, di mana banyak nyawa yang telah terkorban disebabkan oleh peperangan ini.
Apakah kuasa sebenarnya? Setelah peperangan ini tamat, segalanya akan dimusnahkan. Bolehkah mereka menerima hakikat tersebut?
"Xing'er, saya ini bukan orang yang baik," Kata pemuda itu sebelum matahari pagi terbit.
Lima hari berikutan merupakan hari-hari yang murung buat seluruh benua Meng Barat. Para rakyat jelata di ketiga-tiga sempadan itu akhirnya memberontak. Mereka telah menyerang berbagai-bagai rumah agam milik keluarga-keluarga bangsawan di bahagian barat, merompak makanan dan juga wang mereka. Rakyat-rakyat yang kelaparan tidak mempunyai pilihan lain daripada untuk mengemis makanan. Apabila tindakan tersebut tidak membuahkan apa-apa hasil, mereka terpaksa mencuri, kemudian merompak dan akhirnya memberontak.
Para rakyat jelata ini tidak mempunyai pilihan lain daripada untuk membuat rusuhan terhadap para pegawai yang korup disebabkan oleh perasaan terdesak yang menghurungi setiap hati rakyat. Ratusan ribu orang ramai telah bersenjatakan kayu-kayu dan juga batu-batu untuk memecah masuk ke dalam rumah-rumah agam ini, menyebabkan kebakaran yang besar di tanah Longxi. Nyawa yang tidak terkira ramainya telah pun terkorban di dalam kehuru-haraan ini, dengan para tentera yang mempertahankan kawasan tugasan mereka seperti orang-orang lidi yang merebah setiap kali berhadapan dengan serangan rakyat yang sedang kemarahan. Walaupun para askar ini tidak henti-henti merintih meminta bantuan dengan mengatakan yang orang awam sudah tidak dapat dikawal lagi dan mereka juga mempunyai seorang dalang yang bijak, namun tiada sesiapa yang mempercayai kata-kata mereka. Para pegawai ini telah menyangkal kata-kata mereka dengan menyatakan yang pegawai-pegawai bawahan mereka ini hanya sedang mencari alasan sahaja.
Para pegawai tempatan dan juga ahli bangsawan mulia terkesima semasa mereka tetap cuba untuk meminta pertolongan, tetapi tiada seorang pegawai di ibu negara yang berani membinasakan reputasi mereka dengan melaporkan hal tersebut kepada pihak istana. Jadi, mereka hanya mampu menggerakkan pasukan tentera peribadi mereka secara senyap-senyap untuk mengawal keadaan yang huru-hara itu.
Namun, segala harapan mereka telah diranapkan oleh Zhuge Yue semasa dia bertanya, "Ibu negara itu damai. Rakyat di Longxi itu baru menghadiahkan rasa bersyukur mereka kepada Tuanku Maharaja. Kenapa mereka ingin memberontak pula sekarang ini? Merepeklah."
Maka, mereka gagal menggerakkan pasukan tentera mereka sewaktu konflik itu telah bertambah darurat. Pada hari ke-24 bulan ke-12, seorang askar telah memasuki bandar dengan maklumat daripada Cao Weichi iaitu seorang pegawai pemeriksa daripada Longxi. Namun, pemuda itu telah rebah ke atas tanah sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya di dalam bandar.
Bandar Zhen Huang telah digegarkan sekali lagi. Maharaja telah menjadi murka sesaat beliau mendengar khabar tersebut, lantas menimbulkan kembali denyutan di kepalanya. Kemurkaannya itu telah ditujukan kepada para cendekiawan dan juga pegawai sebelum melucutkan Zhao Yang daripada gelaran duke yang telah dikurniakan kepadanya dahulu. Akan tetapi, Zhao Che tidak mendapat apa-apa faedah daripada segala kejadian itu. Malah, ia putera ke-17 yang tidak dikenali, Zhao Yi, yang telah memimpin Pasukan Tentera Barat Daya untuk menghalang pemberontakan tersebut daripada tercetus. Buat Zhuge Yue pula, disebabkan ketidakrelaan hatinya untuk menggerakkan pasukan tentera, dia telah diletakkan di bawah perintah berkurung oleh Tuanku Maharaja supaya pemuda itu dapat meneliti kesilapan yang telah dilakukannya. Zhao Che telah memasuki kawasan istana untuk beberapa kali supaya dapat merayu bagi pihak rakannya itu, namun usahanya itu telah ditolak dalam sekelip mata.
Tetapi, Chu Qiao sedar akan punca kepada segala konflik yang telah berlaku ini. Apabila Zhao Che tiba di kediamannya untuk melihat Zhuge Yue yang sedang menunggunya di sana, pemuda itu lantas meradang dan mengamuk dengan mengatakan yang rakannya itu sudah jadi gila. Zhuge Yue hanya mentertawakan segala komen yang dibuat oleh Zhao Ce dan mengatakan yang dia ingin mengurangkan kadar kematian supaya Zhao Che boleh memimpin khalayak yang ramai semasa dia menaiki takhta.
70 ke 80 peratus rakyat kelas atasan yang telah dibunuh dengan kejam disebabkan oleh konflik di Longxi tersebut dan diiringi dengan nyawa 80,000 rakyat jelata. Namun, seperti yang Zhuge Yue jelaskan, jutaan rakyat pasti akan mati kebuluran jika pemberontakan itu tidak berlaku. Jadi, dia menganggap yang penukaran jumlah angka mayat ini berbaloi.
Benar, ia memang berbaloi. Dengan para bangsawan di bahagian barat daya yang telah dihapuskan, maka pengaruh kuasa Tuan Muda Mu daripada Lingnan semakin lemah. Raja daripada Ling juga terkesan daripada segala kejadian ini sementara Zhao Yang pula telah dilucutkan segala jawatan ketenteraannya. Walaupun Zhao Ce tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada konflik ini, namun darjatnya tidak bertambah buruk juga. Hanya Zhuge Yue sahaja yang telah diletakkan di bawah perintah berkurung, jadi dia terpaksa berundur dari arena politik Xia buat seketika.
Semuanya tampak seperti sedang berjalan lancar seperti yang diinginkan. Akan tetapi, dalam masa beberapa hari itu, Chu Qiao telah teringat akan bagaimana pemuda itu berasa sungguh bimbang sehingga dia tidak mampu tidur pada malam hari setiap kali terdapat sekumpulan manusia yang ramai. Tidak kiralah sama ada mereka itu rakyat jelata, keluarga bangsawan yang kaya, para tentera yang sedang mati, atau pun rakyat yang terpaksa merompak demi sesuap nasi. Jika rancangannya pada hari tersebut menyimpang walau pun sedikit, pertumpahan darah yang banyak pasti akan berlaku, menjadikan situasi tersebut bertambah buruk.
Keadaan mereka baik-baik sahaja dan pemuda itu benar-benar seorang gila.
Wanita itu risau jika pemuda tersebut akan bergelumang dalam keputusasaan setelah segala pengaruh kuasanya dibekukan. Bagaimanapun, pemuda itu masih dapat melihat sudut baiknya daripada kejadian ini dengan mengatakan yang akhirnya dia mempunyai masa untuk menyambut tahun baru bersama wanita itu.
Kediaman Marsyal Besar Pasukan Tentera Xia tampak dingin di luar sewaktu jamuan musim bunga tiba, namun di dalam kediaman tersebut terasa meriah dengan banyak aktiviti. Walaupun berita tentang pemberontakan di bahagian barat daya telah pun sampai ke halwa telinga penduduk di ibu negara, namun ia langsung tidak mematahkan suasana bandar itu yang gembira. Jalan-jalan raya sibuk dengan orang ramai setelah sebuah organisasi kerajaan empayar bakal menganjurkan sebuah pertunjukan mercun api di Dataran Ros. Bunyi tawaan anak-anak kecil bergema di belakang pintu-pintu gerbang bandar, dibuai lagi dek angin sehingga tiba di kediaman Zhuge.
Tiga hari lalu, Zhuge Yue telah mengarahkan supaya rumah agam tersebut digubah suai. Jadi kini, terdapat sebuah tanglung besar berwarna merah yang telah digantung di atas siling. Jendela-jendela kediaman pula dihiasi dengan warna merah setelah para pembantu kediaman menyediakan pelbagai corak potongan kertas untuk dilekatkan pada tingkap tersebut. Corak-corak kertas itu termasuklah corak dewa panjang umur, rusa, dewa-dewa abadi, Dewa Guanyin dan juga lukisan-lukisan yang menyerupai kemakmuran. Udara kemegahan dan kemewahan lantas berlegar-legar di udara di dalam rumah agam tersebut semasa beberapa buah pasu yang mengandungi bunga berwarna merah dan ungu telah dikeluarkan untuk digubah. Para orang gaji juga sedang memakai pakaian baru yang berwarna merah, menambahkan lagi suasana yang meriah ini.
Zhuge Yue telah mengembalikan tabiat lamanya sewaktu dia masih menetap di Pekarangan Kediaman Qingshan dahulu. Dia seorang pemuda yang sering mendisiplinkin dirinya sendiri tanpa sedikit pun aura bangsawan yang bongkak. Kini, dia mempunyai banyak masa dalam hari-harinya, maka pemuda itu telah menumpukan sepenuh perhatiannya untuk memulihkan dirinya daripada segala kecederaan. Pada masa lapangnya, pemuda itu akan menimba ilmu dan juga berkebun sementara Chu Qiao pula akan membangunkannya pada awal pagi untuk membuat senaman. Kedua-dua pasangan ini akan bertukar ilmu seni mempertahankan diri dengan menggunakan senjata seperti pedang, lembing dan juga batang kayu sementara diperhatikan oleh semua orang gaji dan pembantu kediaman mereka dalam diam. Lama-kelamaan, setelah mendapat tahu yang Zhuge Yue tidak menghalang tindakan mereka itu, para pembantu rumah dan orang gaji semuanya akan menonton pertempuran sengit itu secara terbuka, malah ada juga yang bersorak ketika melihat saat-saat yang memukau minda mereka.
Kehidupan mereka tenang dan damai, bagaikan kedamaian yang sering dirasa sebelum ribut petir melanda.
Tahun baru berlalu begitu sahaja. Chu Qiao mendondonkan pakaian barunya yang berwarna merah dan terang, membuatkan wajahnya kelihatan anggun dan ceria. Zhuge Yue berdiri di belakang wanita itu sambil memakai sehelai jubah hijau yang panjang, tampak sungguh kacak. Dia lantas mengambil penyepit rambut berwarna keemasan untuk dihiasi pada rambutnya.
Chu Qiao berasa terpana apabila dia melihat pantulan dirinya dalam cermin. Dia langsung tidak terasa seperti dirinya sendiri di bawah cahaya ini. Daripada kecil lagi, dia sering terasa sengkek apabila melihat seorang wanita memakai pakaian yang terang seperti ini. Jadi, wanita itu sememangnya tidak mempunyai semangat untuk berpakaian cantik-cantik apabila dia sudah mengembara selama bertahun-tahun. Namun, kini apabila dia melihat dirinya di dalam cermin, dia dapat merasakan kehangatan dan kemesraan yang tiba-tiba terdetik di dalam hatinya. Wajahnya nampak segar dan jelita. Wanita itu tidak dapat menahan keterujaan dirinya lalu dia pun meraih hujung bibirnya sedikit, membentuk sebuah senyuman.