Chapter 249 - Bab 249

Sejam kemudian, skala konflik ini semakin meningkat di hadapan mata kepalanya sendiri. Pasukan Tentera Raja Ling yang telah terlibat dalam konflik itu sementara para pengawal tempatan hanya memerhatikannya sahaja. Walaupun orang awam di bahagian barat kota menangis meminta pertolongan, namun mereka tetap tidak dipedulikan dan mengatakan mereka sedang menunggu arahan daripada orang atasan. Mereka berdiri di luar sempadan dan enggan untuk masuk campur apabila orang-orang di dalam mula bertelagah.

Pada waktu itu, kumpulan besar dan kecil bersama-sama dengan sekumpulan penjenayah yang sesat mula membuat kekacauan. Selepas berlaku pergaduhan kecil antara satu sama lain, mereka menyedari tiada siapa yang memerhatikan mereka lantas menyebabkan mereka bertindak dengan lebih berani. Bandar Zhen Huang menjadi huru-hara dengan orang awam yang meromok ketakutan di dalam rumah mereka dan tidak mahu terlibat.

Chu Qiao mengarahkan tenteranya untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar kediaman dengan mengunci pintu rumah dan tidak membenarkan sesiapa keluar dari rumah. Pengawal He Xiao dan Zhuge Yue iaitu Yue Liu ditugaskan untuk memastikan keselamatan dalam rumah. Tidak lama kemudian, bahagian luar rumah itu bercahaya dengan terang dan mereka kelihatan seperti dikelilingi oleh sekumpulan besar tentera.

Yue Liu dan seluruh pengawalnya mengetap gigi dan mengeluarkan pedang mereka, bersiap sedia untuk bertempur sehingga mati. Walau bagaimanapun, Chu Qiao kebingungan dan mengarahkan He Xiao untuk mengawal keadaan di luar.

He Xiao kembali dengan cepat dan membawa berita yang inspektor dari pejabat majistret telah menghantar tentera untuk melindungi kediaman Ketua Marsyal dan bertindak atas arahan orang atasan. Dengan pantas, bunyi bising di sekitar rumah itu menjadi tenang. Chu Qiao bertanya kepada Yue Liu tentang apa yang sedang berlaku tetapi lelaki itu hanya menggaru kepalanya dan berkata dia tidak mendengar apa-apa berita daripada inspektor tersebut.

Lebih kurang pada pukul 9 malam hingga 11 malam, beberapa bunyi kedengaran bergema di luar pintu kediaman. Chu Qiao baru sahaja keluar dari biliknya ketika Zhuge Yue yang berpakaian ungu berjalan ke arahnya dengan tergesa-gesa. Ketika melihat Chu Qiao, dia bertanya, "Awak takut ya?"

Chu Qiao ketawa lalu menjawab, "Awak fikir saya ini diperbuat daripada gam ke? Reputasi awak masih lagi tak wujud masa saya dah mula membunuh orang tahu."

Zhuge Yue mengangkat cawan teh dan menghirupnya. Dia tersenyum secara paksa sebelum duduk.

Chu Qiao bertanya, "Apa sebenarnya yang sedang berlaku?" Dia tidak bertanya banyak mengenai masalahnya. Pertama, disebabkan identiti dan statusnya di dalam empayar ini yang membuatkan dia rasa tidak layak untuk mengetahui terlalu banyak. Kedua, dia tidak lagi mempunyai tenaga untuk melibatkan dirinya dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, dia terasa sangat risau mengenai hal pada malam ini.

Zhuge Yue mendongak dan berasa bersalah ketika melihat wajah Chu Qiao yang kerisauan. Dia memegang tangan wanita itu dan berkata, "Mu Yun dan yang lain sedang membuat kekacauan. Pintu pagar selatan telah diambil alih oleh orang Zhao Yang. Saya datang daripada pintu pagar utara sebab itu saya agak lambat."

"Apa yang mereka dapat daripada membuat kekacauan itu? Jika ia melampaui batas, Mahlis Ahli-Ahli Terhormat pasti akan mengusir semua orang kembali ke tempat asal mereka. Tiada siapa yang akan dapat bahagian pai itu."

Zhuge Yue ketawa dingin dan menjawab, "Itulah idea sebenar yang mereka ada."

Chu Qiao mengerutkan keningnya ketika dia mula menghubungkan beberapa urutan peristiwa yang telah berlaku di dalam fikirannya. Dia menghembuskan nafas panjang dan berkata, "Awak nyaris-nyaris terlepas saja. Nasib baik awak keluar cepat."

Zhuge Yue menepuk lembut wajah Chu Qiao dan menambah, "Jangan risau. Saya tak akan terpedaya dengan taktik ini."

Pada masa ini, konflik yang tercetus di antara Zhao Che dan Zhao Yang sama seperti Pasukan Tentera Barat Daya yang sedang menentang Pasukan Tentera Donghu. Zhao Yang mendapat sokongan dari Raja Ling dan Tuan Muda Mu manakala Zhao Che mendapat sokongan dari tentera Zhuge Yue iaitu Pasukan Tentera Qinghai. Memandangkan Maharaja Xia kini amat gering, pelbagai pasukan askar di sempadan sedang mengawal ibu negara bersama pemimpin mereka. Ini sebenarnya bertentangan dengan undang-undang empayar kerana sebaik sahaja sesiapa membuat kacau, askar sempadan akan diusir keluar ke tempat masing-masing. Zhao Che, Zhuge Yue dan orang bawahan Jinghan semuanya milik sempadan dan hanya Zhao Yang sahaja yang memegang kuasa di Kem Xiaoqi di mana ia milik ibu negara. Walaupun bilangan 30,000 orang tentera satu jumlah kecil ketika di medan perang, mereka serta-merta akan menjadi kuasa dominan ibu negara apabila askar sempadan dihalau keluar. Pada masa itu, sekiranya Zhao Che tidak kembali ke utara bersama Pasukan Tentera Donghu, dia pasti akan jatuh ke tangan Zhao Yang. Dengan pemergian Zhao Che, pewaris takhta maharaja akan disahkan.

Ketika Maharaja Xia jatuh gering pada tahun-tahun yang lalu, politik dalaman Xia mula menjadi huru-hara. Oleh kerana Chu Qiao berpengalaman menjadi seorang ketua tentera, sewajarnya dia memahami kebaikan dan keburukan mengenai hal ini. Dia menenangkan Zhuge Yue dengan berkata, "Berhati-hati. Tak perlu risaukan tentang saya. Kita mempunyai tentera yang mencukupi di kediaman ini. Walaupun 10,000 orang menyerang tempat ini, kita boleh mempertahankannya selama empat jam. Tak perlu meletakkan pasukan tentera di sini."

Zhuge Yue terkejut lalu bertanya, "Bila saya buat begitu?"

Chu Qiao menjawab, "Inspektor daripada pejabat majistret datang ke sini tadi. Mereka melindungi kami selama empat jam lebih."

Zhuge Yue mengerutkan dahinya dan berfikir sejenak sebelum menggelengkan kepalanya dan menambah, "Mereka bukan tentera saya."

Chu Qiao memandangnya dengan syak wasangka, ekspresi yang kelam terlukis di wajahnya.

Zhuge Yue ketawa lalu memegang tangannya. "Tak mengapa. Saya tak rasa mereka mempunyai niat yang buruk."

"Mereka orang-orang Wei Shuye ke?"

"Kalau tekaan saya betul, mereka itu orang-orang Zhao Song."

Chu Qiao dapat merasakan hatinya mula menjadi dingin. Zhuge Yue meneruskan dengan suara yang rendah, "Maharaja masih gering. Setiap orang yang berkuasa di Zhen Huang berada di dalam istana. Satu-satunya orang yang tidak berada di dalam istana yang mempunyai kuasa untuk menggerakkan tentera seperti itu mestilah dia." Pandangan mata Zhuge Yue kelihatan berat lalu dia berkata perlahan, "Lama sungguh sudah berlalu. Saya sudah melupakan dia."

Suasana di dalam istana hangat seperti kayu jos yang dibakar. Walau bagaimanapun, Chu Qiao terus berdiri di sana sambil merasakan sensasi sejuk yang merangkak naik ke tubuhnya.

Putera ke-13, Zhao Song yang tangannya dipotong oleh Yan Xun, yang abangnya yang telah dibunuh oleh dirinya sendiri dan yang keluarga ibunya telah dimusnahkan oleh Yan Xun dan juga dirinya itu.

Zhuge Yue yang sedang memegang wanita itu di dalam pelukannya berasa sakit hati apabila melihat ekspresi mukanya yang pucat. Kemudian dia berbisik, "Xing'er, bagaimana kalau saya hantar awak balik ke Qinghai dulu?"

Chu Qiao masih dalam kebingungan kerana dia tidak dapat memahami kata-kata lelaki itu. Zhuge Yue mengulanginya lagi lantas menyebabkan dia menggelengkan kepalanya dengan kuat. Dia menarik lengan baju lelaki itu dengan perasaan gementar sambil berkata, "Saya tak mahu!" Dia mengangkat kepalanya dan memandang ke arah lelaki itu dengan degil seperti seekor anak singa liar. Zhuge Yue mengeluh dengan tidak berdaya lalu memeluknya sambil berkata dalam suara yang rendah, "Ia akan berakhir tak lama lagi."

Ya, ia akan berakhir tak lama lagi. Setiap kali para pegawai dan putera-putera melihat keadaan maharaja sekarang ini, mereka akan mengulangi ayat ini kepada orang bawahan dan keluarga mereka apabila mereka pulang.

Ya, ia akan berakhir tak lama lagi. Hari-hari yang tinggal untuk maharaja dihitung dan hari-hari kehidupan yang hidup dalam ketakutan juga akan berakhir tidak lama lagi…

Ketika hari berlalu, semakin banyak khabar angin yang muncul. Mulut maharaja sudah herot, maharaja tidak sedarkan diri lagi, maharaja sudah tidak mengenali sesiapa, maharaja tidak boleh makan…

Ia kelihatan seperti maharaja bergantung kepada hidupnya dengan nafas terakhirnya dan dia akan mangkat bila-bila masa sahaja. Walau bagaimanapun, musim sejuk dan tahun baru bakal tiba namun maharaja masih hidup. Mereka membuat spekulasi kadang-kadang maharaja boleh menuturkan beberapa ayat yang boleh difahami dan membuka matanya untuk minum sup ginseng.

Tiada siapa yang tahu kenapa dia masih bertahan. Dia nampaknya seperti masih mempunyai beberapa hasrat yang masih belum ditunaikan atau dia sedang menunggu seseorang. Hari demi hari berlalu namun dia masih enggan menutup matanya.

Oleh sebab itu, keadaan di ibu negara kekal tegang. Tiada siapa yang berani untuk melakukan sebarang pemberontakan. Bandar Zhen Huang dilanda dengan sebuah kengerian di mana konflik boleh tercetus bila-bila masa sahaja walaupun disebabkan oleh hal yang remeh. Malah bayi yang baru lahir juga tidak berani untuk menangis kuat pada waktu malam.

Pagi ini, Zhuge Yue telah keluar dari kawasan kediamannya untuk menghadiri sesi dewan persidangan pagi apabila dia didatangi seorang tetamu. Seorang wanita muda berpakaian jubah putih sedang berdiri di atas tanah salji. Dia mempunyai anak mata hitam seperti jed manakala bibirnya merah lembab dan kelihatan seperti sebuah lukisan potret yang sangat cantik.

Sinaran cahaya pada pagi itu terasa sangat sejuk dan dingin pada musim sejuk ini. Chu Qiao yang berpakaian jubah hijau sedang berdiri di pintu sambil menghirup udara. Ketika melihat wanita muda tersebut, dia terkejut. Dia menatap wajah wanita itu dan tidak bergerak untuk masa yang lama.

Wanita muda itu memberikan sedikit senyuman lalu berjalan menuju ke arah Chu Qiao.

"Kakak keenam, kakak tak kenal saya? Saya Xiaoba."

Masa sememangnya berlalu dengan pantas. Dirinya masa muda dahulu sedang berlutut di sebelah tubuh wanita itu suatu ketika dahulu. Dia kelihatan sangat lemah dan tidak berdaya. Dia bersujud hormat di bawah cahaya bulan dan bersumpah untuk membalas dendam terhadap kematian adik-beradiknya. Dalam sekelip mata, 14 tahun sudah berlalu.

Chu Qiao teringat pada hari pelaksanaan hukuman mati dahulu di mana dia sedang bersembunyi di khalayak ramai, tiba-tiba dia terdengar anak kecil itu menangis memanggil namanya dengan kuat untuk meminta pertolongan tetapi dia tidak keluar. Dia hanya boleh menarik badan kanak-kanak itu daripada mulut anjing liar. Tanpa menutupi tubuh badannya, dia hanya boleh membiarkan badannya tenggelam ke dasar tasik begitu sahaja.

Sudah 14 tahun berlalu. Chu Qiao selalu berfikir yang adiknya ini sudah mati. Dia selalu melihat wajah wanita muda itu yang degil dan kelihatan sedih di dalam mimpinya berkali-kali. Dia selalu menyalahkan dirinya selama 14 tahun ini dan telah membenci Zhuge Yue buat masa yang lama kerana hal ini.

Matanya mula berair. Dia berdiri di hadapan pintu sambil merangkul tangannya dan tersenyum pahit.

Xiaoba memegang tangan wanita di hadapannya itu sambil tersenyum lalu berkata, "Saya hebat kan? Saya masih hidup. Mesti kakak tak sangka." Suaranya seperti biasa didengar dan kedengaran ringan serta dingin.

Mereka berjalan masuk ke dalam bilik bersama-sama. Xiaoba mengelilingi bilik itu sebelum duduk di atas sehekai permaidani lembut. Dia mengambil nafas panjang lalu berkata sambil tersenyum, "Zhuge masih mempunyai tabiat yang sama dengan membakar kemenyan di dalam bilik seperti ini." Dia memandang ke sekeliling dengan bahasa tubuh badan seolah-olah dia sudah biasa dengan keadaan itu sambil bercakap mengenai tabiat Zhuge Yue menjalani kehidupannya. Dia mengambil sebiji buah delima dengan tangannya dan mula bermain dengannya.

Chu Qiao memandangya. Dia mahu bertanyakan banyak soalan tetapi dia tidak tahu mahu mula dari mana.

Xiaoba ketawakan dirinya lantas memecahkan kesunyian yang kekok itu, "Kakak keenam, tak perlulah rasa terkejut. Orang yang mati pada hari itu bukan saya. Pada saat-saat akhir itu, suami kakak dah tukarkan saya dengan orang lain dan telah menjaga saya selama bertahun-tahun. Saya terhutang budi dan rasa geram dengan dia tetapi saya di sini bukan untuk memaksa kakak untuk menunaikan janji untuk membalas dendam terhadap kematian keluarga saya. Malah saya sendiri sudah berputus asa untuk membalas dendam."

Angin yang bertiup kencang ke dalam bilik itu secara tiba-tiba telah mengangkat kain langsir. Melalui cahaya matahari, kelihatan beberapa calit habuk berterbangan di ruang udara. Sinar matahari yang menyilaukan mata membuatkan Chu Qiao mengecilkan matanya tetapi dia masih tidak dapat membuat wajah Xiaoba dengan betul.

Chu Qiao memandangnya dan merasakan seperti ada jarak antara mereka. Dia berfikir lama sebelum berkata dengan nada yang lembut, "Xiaoba, kamu baik-baik sahaja ke sebelum ini?"

"Saya baik-baik saja," Xiaoba menjawab dengan santai. "Zhuge Yue melayan saya dengan agak baik. Mungkin sebahagian daripada nasib baik kakak itu ada tertempias pada saya saya. Dia membawa saya kepada Encik Wolong untuk belajar. Saya belajar membaca. Tapi, dia selalu membataskan kebebasan saya dan tak membenarkan saya untuk beredar. Saya cuba melarikan diri beberapa kali tetapi dia selalu dapat tangkap saya. Bertahun-tahun sudah berlalu sehingga…" Dia berhenti lalu melihat ke arah Chu Qiao. Dia ketawa sebelum meneruskan, "Sehingga berita tersebar yang dia telah mati di Yan Bei dan diusir keluar daripada keluarga Zhuge. Orang-orang di Perkarangan Qingshan itu juga dihalau keluar lalu memberikan kebebasan kepada saya. Selepas itu, saya menderita di jalanan. Lagipun, saya hanya seorang gadis yang tak tahu cara untuk menjaga diri sendiri. Akhirnya, saya berada di rumah pelacuran selama setahun sehingga saya berjumpa dengan Tuanku Maharaja ke-13. Saya patut berterima kasih kepada kakak kerana disebabkan rupa saya ini yang mirip seperti kakak, saya dapat menarik perhatian dia. Sekarang, saya pelayan peribadi dia. Haha, walaupun sudah bertahun lamanya, saya masih lagi seorang hamba. Cuma, saya dilayan dengan lebih baik sekarang."

Chu Qiao hanya mendengar ketika dia bercakap mengenai Zhao Song dalam nada bersahaja. Dia teringat ketika waktu dia bertemu dengan Zhao Song di Gunung Xiangzhi bersama dengan seorang gadis yang berpakaian seperti lelaki. Dia mengerutkan dahinya dan bertanya dalam nada yang rendah, "Kamu tahu kakak datang ke Zhen Huang. Kenapa kamu tidak datang mencari kakak?"