"Kenapa saya perlu mencari kakak?" Pandangan sinis Xiaoba terpampang jelas. Dia kemudiannya tersenyum sinis dan kejam sebelum berkata perlahan, "Kakak keenam dah ada darjat yang sungguh tinggi sekarang ini. Bukan saja kakak ini Jeneral Xiuli dari Yan Bei, tapi kakak juga Raja Xiuli dari Empayar Tang. Tak lama lagi, kakak akan menjadi Cik Puan Marsyal Besar Empayar Xia. Manakala saya ini hanyalah seorang hamba daif, kalau saya datang ke sini, bukan ke saya akan jatuhkan air muka kakak?" Pandangan mata Xiaoba terasa sungguh dingin dan kemarahan jelas terpancar dari wajahnya ketika dia menyebut 'Cik Puan Marsyal Besar'. Bau setanggi yang baru dibakar lantas memenuhi setiap ruang udara dengan asapnya yang berlegar-legar di sekeliling mereka. Cahaya keemasan itu ternampak seperti selapisan air yang mewarnai lantai. Bilik itu lantas dihurungi kesepian semasa Chu Qiao merenung wajah Xiaoba sementara hatinya yang teruja tadi kini semakin membeku. Kata-kata yang bakal dikatakannya lantas dipendamkan jauh ke sudut hatinya yang kecewa dan juga kehilangan.
Kemudian, Chu Qiao dapat mendengar sinisan dalam suaranya apabila dia berkata, "Jadi, kenapa kamu datang pada hari ini?"
"Tuanku sudah nak berangkat. Jadi, saya berharap supaya kakak boleh melucutkan darjat saya sebagai seorang hamba supaya saya boleh ikut dia."
Chu Qiao berasa agak terkesima lantas bertanya, "Dia hendak pergi ke mana?"
"Ke mana lagi yang dia boleh pergi? Dia telah ditugaskan ke Yansai untuk mengawal kandang-kandang kuda. Seorang putera maharaja yang berketurunan diraja akan dihantar untuk mengawal kuda," Wajah Xiaoba bertukar suram apabila dia menjawab dingin. Keradangan dalam suaranya itu semakin sukar untuk dikawal.
"Kenapa?"
"Kenapa lagi? Bukan ke disebabkan kakak?" Xiaoba memalingkan kepalanya sebelum berkata dingin, "Semenjak Tuanku hilang lengannya disebabkan Yan Xun, dia bersembunyi daripada arena politik. Tiada siapa yang mempedulikan dia. Tapi, dia tiba-tiba menggerakkan pasukan tentera demi kakak dan secara terang-terangannya dah menunjukkan hubungan kakak dengan dia. Kakak rasa orang macam Putera Ke-14 itu akan biarkan dia tinggal di ibu negara ini ke?"
Jari-jemari Chu Qiao lantas bertukar menjadi beku hanya untuk mendengar suara Xiaoba yang menikam itu lagi, "Saya tak akan merayu kepada kakak supaya biarkan Tuanku tinggal di ibu negara ini, tapi saya cuma berharap yang kakak akan tolong saya dengan segala dokumen pelepasan saya. Tuanku tak benarkan saya mengikuti dia, jadi saya akan cari jalan untuk tetap berada di samping dia. Paling kurang pun, saya boleh melayan dia dengan tugas-tugas harian dia dan juga jadi peneman dia. Saya terhutang budi pada Tuanku dan tak mungkin akan membalas baik budi dia dengan lebih banyak kebencian macam sesetengah orang."
Setelah berfikir buat masa yang lama, Chu Qiao mengangkat wajahnya dan memandang wajah Xiaoba dengan tegas. Dia lantas bertanya dengan nada kejam, "Xiaoba, perlu ke kamu nyatakan perbezaan di antara kita dengan sebegitu jelas lagi?"
"Apa yang kakak cakapkan ini? Kakak keenam, tengoklah perbezaan darjat kita. Bagaimana mungkin saya berani untuk berkata sebegitu? Lagipun…"
"Kalau kamu nak terus bercakap sebegitu, lebih baik kamu pergi sekarang dan jangan datang ke sini lagi. Kakak akan anggap yang kakak tak ada adik perempuan di sini!" Suara Chu Qiao yang dingin itu disalutkan lagi dengan kemarahannya.
Xiaoba berasa sungguh terkejut apabila melihat Chu Qiao meletus sebegitu dan buat seketika, dia tidak dapat mencari kata untuk membalas.
"Apa yang kamu marahkan? Kamu marahkan kakak sebab tak dapat nak lindungi kamu? Sebab kakak tak boleh bawa kamu bersama kakak? Atau kamu marah sebab kakak tak boleh balas dendam demi keluarga kita dan akhirnya berkahwin dengan musuh lama kita?" Tengking Chu Qiao, "Selama bertahun-tahun ini, tak kira sebanyak mana kesengsaraan yang kamu pikul, kakak juga bukanlah hidup dalam kebahagiaan juga. Kakak betul-betul ingatkan yang kamu sudah mati dan rasa bersalah ini menghantui kakak selama 14 tahun. Tapi, bila akhirnya kakak ketahui yang kamu masih hidup, kamu hanya datang kepada kakak dan menyindir kakak dengan penuh kebencian. Ini ke hubungan adik-beradik yang kamu cakapkan dulu itu?"
Matahari yang terik itu masih lagi memancarkan lukisan seni dinamik yang berbentuk bayang-banyak pada lantai kediaman sementara Chu Qiao memandang Xiaoba dengan penuh dingin sebelum menyambung, "Dah 14 tahun berlalu. Berapa banyak perkara yang sudah berlalu? Kamu terlalu pentingkan diri kamu dengan kesengsaraan kamu sendiri tapi letakkan kesalahannya pada orang lain. Kakak betul-betul sangsi yang kamu ini adik yang berani dan juga tekun macam adik yang kakak kenal dulu. Kamu tukar nama kamu kepada 'Wuxin', tapi betul ke kamu dah jarakkan diri kamu daripada segala emosi?" Xiaoba berdiri tercegat di situ dengan wajah yang sudah memucat. Chu Qiao tiba-tiba berasa kepenatan yang tidak terhingga, seolah-olah setiap inci organnya sedang berteriak. Lalu, Chu Qiao berpaling perlahan-lahan sebelum berkata tenang, "Pergilah. Kakak akan selesaikan masalah berkaitan dengan Zhao Song itu." Setelah itu, dia langsung tidak mempedulikan Xiaoba.
Setelah beberapa lama, Xiaoba akhirnya beredar. Chu Qiao hanya melihat sahaja apabila wanita muda itu diiringi keluar oleh Meixiang. Dia tiba-tiba berasa seolah-olah kelibat Xiaoba yang kelihatan lemah dengan pakaian putihnya itu akan segera hilang di sebalik tanah bersalji itu. Chu Qiao tetap memandangnya dan kata-kata Xiaoba lantas terngiang-ngiang di telinganya: "Diletakkan di bawah perintah berkurung dan tinggal di jalanan…"
Chu Qiao mengetap bibirnya manakala hatinya pula diruntut kesedihan yang amat mendalam. Dia terduduk berseorangan tanpa bergerak walaupun seinci sementara cahaya keemasan itu bertukar menjadi warna jingga kemerahan yang menandakan hari senja telah tiba.
Zhuge Yue memeluk wanita itu daripada belakang apabila suaranya bergema, bertanyakan, "Kenapa awak masih belum makan malam?"
Chu Qiao lantas bersandar ke dalam pelukannya. Wanita itu kelihatan sungguh santai seperti seekor ikan yang baru dilepaskan ke dalam sebuah kolam. Dia memegang tangan pemuda itu dengan erat manakala wajahnya kelihatan kelam dan dia juga terdiam seribu bahasa. Wanita itu hanya melaga-lagakan jari-jemarinya dengan jari-jari Zhuge Yue.
"Xiaoba datang tadi?"
"Ya. Kenapa awak tak pernah beritahu saya walaupun awak dah tahu lama mengenai hal ini?" Chu Qiao bertanya kembali.
"Saya bercadang untuk memberitahu awak, tapi tak berkesempatan." Zhuge Yue tersenyum seakan-akan dia tidak berdaya. "Saya tak tahu sama ada awak akan percaya pada saya dan seluruh isu ini masih menghantui saya. Lagipun, saya tak melayan dia dengan baik selama bertahun-tahun itu. Ada beberapa kejadian di mana dia hendak melarikan diri dan saya belasah dia. Saya ada perwatakan yang pelik dulu. Walaupun selepas menyelamatkan dia, saya masih tak mahu melepaskan dia pergi. Bila angin saya baik, saya akan ajar dia. Bila angin saya tak baik, saya akan melayan dia dengan teruk sebab dia mirip seperti awak. Selama bertahun-tahun di pergunungan itu, saya tak ada seorang pun hamba di sisi dan dia dah melayan saya berseorangan. Perwatakan peliknya itu mungkin ada kena mengena dengan saya juga."
"Berapa lama dia sudah menjadi pembantu Zhao Song?"
"Saya rasa dalam dua atau tiga tahun." Jelas Zhuge Yue, "Saya dengar yang Zhao Song betul-betul sukakan dia. Walaupun dia dah menyebabkan kematian salah seorang gundik kegemaran dia, Zhao Song langsung tak kisah."
Chu Qiao terdiam buat beberapa ketika sebelum berkata perlahan, "Mungkin dia sukakan Zhao Song."
Zhuge Yue tersenyum dan berkata, "Saya tak peduli dia suka siapa. Selagi awak tak marahkan saya, semuanya baik-baik saja."
"Bagaimana pula dengan perihal mengenai Zhao Song itu?"
"Jangan risau. Ia memang mustahil buat Zhao Yang untuk memutuskan segala-galanya. Disebabkan itulah saya rasa tiada perkara buruk yang akan berlaku kalau Zhao Song meninggalkan ibu negara. Bandar Zhen Huang ini akan merudum ke dalam sebuah kehuru-haraan yang besar dan ia lebih selamat buat dia untuk tidak berada di ibu negara."
Chu Qiao juga pernah memikirkan perihal ini juga. Dia lantas berkeruh. "Jadi, apa yang patut dia buat?"
"Saya sebenarnya bercadang untuk hantar dia ke Qinanghu. Pertamanya, kawasan itu berdekatan dengan daerah-daerah Utara dan di dalam kawalan Zhao Che. Keduanya, kawasan itu merupakan kawasan perkumpulan rakyat Qiang dan cuaca di sana juga baik."
Chu Qiao mengangguk tanda bersetuju dan berkata, "Baiklah. Kita teruskan dengan rancangan itu."
"Baik. Saya akan urusakannya esok. Awak nak iring dia keluar bandar ke?"
Chu Qiao berfikir sejenak mengenai perkara ini, namun akhirnya dia menggelengkan kepalanya, "Dia mungkin tak nak berjumpa dengan saya. Lebih baik saya jaga tepi kain saya sendiri."
Zhuge Yue berkata, "Tapi saya rasa awak patut berjumpa dengan dia."
Chu Qiao meraih kepalanya dan merenung pemuda itu sambil berkerut. Zhuge Yue tersenyum ringan. "Janganlah pandang saya begitu. Saya tak mempunyai apa-apa maksud tersirat. Saya cuma tak mahu awak ada apa-apa perasaan bersalah saja. Lagipun, semua perkara yang berlaku dulu itu bukannya salah awak."
Dulu? Penglihatan Chu Qiao lantas menjadi kabur. Dalam ingatannya, dia lantas terkenangkan hari di gunung Rixiangzhi itu di mana seorang pemuda sedang berdiri tegak dengan lengan bajunya yang kosong berkibaran bagaikan sehelai bendera apabila ditiup angin.
Segala memori-memori yang telah terkunci jauh di sudut mindanya itu segera terlayar kembali. Kini gam penutup itu telah dilonggarkan, dia akhirnya tersedar akan segala perkara yang telah berubah dan yang masih sama hanyalah musim pertukarannya.
Seluruh Bandar Zhen Huang telah diliputi dengan warna putih setelah salji turun pada seluruh malam semalam. Orang yang membuka pintu mereka pada pagi harinya pasti akan menjumpai salji yang setebal melebihi satu kaki dan mungkin separas lutut juga. Sebelum matahari pertama terbit, para pengawal pintu gerbang istana yang membuka pintu gerbang itu boleh melihat seorang kelibat yang samar-samar. Sebelum mereka dapat memfokuskan mata mereka ke arah pelawat tersebut, serbuan khalayak ramai telah menerjah pintu gerbang tersebut. Kereta kuda berwarna hijau yang tampak ringkas meluncur perlahan di dalam salji tersebut, meninggalkan dua jejak yang lurus di belakang mereka. Kereta kuda itu tampak sungguh ringkas tanpa sebarang niat untuk menunjuk-nunjuk pun. Para pengawal yang bertugas telah memikirkan yang itu merupakan kereta kuda biasa, jadi mereka telah mengenakan cukai yang tinggi buat kereta kuda itu sambil bersorak untuk mempamerkan kekuatan mereka.
Hanya setelah dua jam, barulah kereta kuda itu dapat bergerak keluar dari Bandar Zhen Huang. Matahari telah pun memuncak tinggi, memancarkan cahayanya menerusi kabus pagi tersebut. Burung-burung yang berhijrah telahpun meninggalkan kawasan ini supaya dapat lari daripada cuaca sejuk membeku itu, hanya meninggalkan para burung helang yang boleh menahan cuaca sebegini. Mereka sedang berterbangan di bawah cahaya mentari, mendepakan sayap mereka sambil meringkik megah sementara hujung sayap mereka yang berwarna putih bak salju. Kadangkala mereka akan menghilang di sebalik awanan, namun masih boleh terdengar ringkikan mereka di seluruh dataran bersalji ini.
Seorang wanita muda boleh dilihat sedang berdiri di Jambatan Yangguan ketika kereta kuda mereka tiba di rabung Xiema. Dia sedang memakai sehelai kot yang berwarna putih bersih sementara kakinya mendondonkan sepasang but berwarna hijau. Wajahnya sungguh cantik bak sebuah lukisan. Pipinya kemerahan, menandakan yang dia telah berdiri di dalam kesejukan ini buat masa yang lama, namun pada masa yang sama membuatkan dia kelihatan lemah-lembut dan jelita, menghakis segala perwatakannya yang sering dilihat. Melihat yang kereta kuda itu telah sampai, dia tersenyum dan melangkah sambil diikuti oleh kudanya.
Kereta kuda itu telah dibawa oleh seorang remaja dalam lingkungan 16 ke 17 tahun. Remaja itu lantas berasa terkejut apabila melihat wanita muda itu dan dia lantas menoleh ke belakang untuk bercakap dengan pemuda di dalam kereta tersebut. Sepasang tangan yang kurus tiba-tiba muncul sebelum menarik kain langsir kereta kuda itu, mempamerkan sepasang mata indah milik pemuda itu bersama-sama dengan keningnya yang berkerut.
"Kenapa awak datang ke sini?" Suara Zhao Song telah kehilangan segala kebudak-budakannya dan kini telah menjadi garau dan tegas. Setelah beberapa tahun ini, suaranya telah bertukar menjadi sebuah tasik yang tidak terusik, langsung tidak beremosi. Tetapi, segala itu tidak menjadi masalah buat wanita muda ini. Lagipun, pemuda itu telah menjadi sebegini semenjak mereka begitu. Tenang, lembut dan langsung tidak terusik oleh apa-apa. Begitulah cara dia menjauhkan diri daripada arena politik Empayar Xia. Dia telah bertukar daripada seorang putera maharaja kepada seseorang yang boleh dianggap sebagai dibuang negeri tanpa perlu membuangnya ke mana-mana. Mungkin selain daripada gadis ini, tiada siapa yang mengingati akan kehadiran pemuda itu di Bandar Zhen Huang.
Xiaoba tersenyum dengan kenakalan yang disembunyikan. Dia lantas melangkah dan menghulurkan tali kekangan itu kepada si pemandu dan berkata, "Ah Jiang, pakaikan ini kepada kuda itu."
Zhao Song berkerut lagi sebelum bertanya dengan nada yang keras, "Apa yang awak buat ini?"
Xiaoba tersenyum apabila melihat pemuda ini dengan anak mata yang sejernih air sebelum menjawab santai, "Saya sudah semestinya akan ikut Tuanku."
Zhao Song terus berkerut dengan wajah yang kelam dan juga kejengkelan sebelum menyambung, "Wuxin, jangan main-mainlah."
Xiaoba kini telah menukar namanya kepada Wuxin. Maksud nama itu ialah seseorang yang tidak beremosi. Dia telah mempunyai pelbagai nama dalam kehidupannya. Dia telah melupai namanya sewaktu dia dalam keluarga Jing dahulu. Dalam ingatannya, saudaranya hanyalah Zhixiang, Linxi dan beberapa orang yang lain. Oleh disebabkan dia tidak dilahirkan oleh isteri sah keluarga Jing dan juga umurnya yang kecil, namanya yang sebenar juga telah dilupakan oleh adik-beradiknya. Akhirnya, mereka dinamakan mengikut umur mereka dan akhirnya dipanggil Xiaoqi, Xiaoba, Xiaojiu seakan-akan mereka ini haiwan ternakan. Kehidupan mereka boleh dikatakan lebih teruk daripada kehidupan kuda-kuda pertempuran.
Setelah itu, dia diselamatkan oleh Zhuge Yue dan telah menetap bersamanya dengan tunjuk ajar Encik Wolong selama hampir tujuh tahun. Dalam tahun-tahun tersebut, dia juga mempunyai nama-nama lain. Nama 'Wuxin' itu telah diberikan oleh Zhuge Yue untuk menghalang sesiapa daripada mengenali identitinya. Tujuan utamanya ialah melindungi kakaknya yang pada masa itu berada di Istana Sheng Jin. Setelah mendengar khabar berita tentang kematian Zhuge Yue, wanita itu telah menangis teresak-esak. Dia tidak pernah memafkan dirinya sendiri kerana itu.