Chapter 247 - Bab 247

Chu Qiao berjalan bersamanya ke pintu. Angin terasa sedikit kuat tatkala ia meniupkan jubah putihnya. Apabila dia melihat Zhuge Yue hilang dalam kegelapan, dia bersandar pada pintu sambil tersenyum. Sebenarnya, Zhen Huang tidaklah begitu menakutkan seperti yang sering difikir-fikirkannya.

Dari jauh, suara Jingjing dan Pingan dapat didengari apabila mereka ketawa. Chu Qiao pun tersenyum juga dan menghargai setiap detik ini. Selepas makan malam, dia mandi dengan bantuan pembantu kediaman wanita.

Meixiang dan yang lain kelihatan sudah penat mengembara. Oleh sebab Rong'er memerlukan seseorang untuk berada di sisinya, Meixiang dan dua orang pengasuh lain menguruskannya. Orang gaji lain yang tidak mengetahui identitinya telah menganggap anak itu anak kepada Zhuge Yue dan Chu Qiao. Oleh sebab itulah mereka merawatnya dengan lebih berhati-hati.

Bilik mandi di kediaman Zhuge Yue ini besar dan diperbuat daripada jed putih sepenuhnya dengan ratusan mutiara yang terhias pada dinding. Dengan hanya sebatang lilin, bilik itu dapat diterangi. Airnya berasal dari mata air bawah tanah di Pergunungan Cang dan mengandungi embun dan ubat-ubatan herba yang mengeluarkan aroma yang menyenangkan. Bunga mawar yang besar diletakkan di bahagian bawah kolam untuk mengelakkan sesiapa dari tergelincir. Pemandangan ini sememangnya sesuatu yang sangat mewah.

Huan'er telah memberitahu apabila maharaja menghadiahkan rumah ini kepada Zhuge Yue, Zhuge Yue telah memeriksanya terlebih dahulu secara peribadi. Setelah selesai, dia berkata, "Selepas dia mati, tempat ini boleh memberikan keuntungan."

Chu Qiao tersenyum kecil tatkala dia berfikir sesuatu. 'Nampaknya awak ini benar-benar cekik darah.' Selepas Chu Qiao selesai mandi, dia memakai pakaian putih dan kembali ke biliknya dengan kaki ayam.

Huan'er nampak pemalu pada mulanya. Namun, apabila dia melihat Chu Qiao seorang yang peramah, dia mula bersembang dan memanggil Chu Qiao dengan menggunakan nama Xing'er. Dia telah memberitahunya tentang kehidupan Zhuge Yue sepanjang ini berulang kali dan hanya menyebut perkara yang baik-baik sahaja. Dia seolah-olah menyampaikan mesej ini kepada Chu Qiao: 'Xing'er, nasib baik awak tahu bagaimana untuk kembali kepada Tuan Muda kami. Itu satu keputusan yang bijak. Semua orang akan cemburu terhadap awak.'

Chu Qiao tersenyum apabila mendengar cerita Huan'er iaitu tentang bagaimana Zhuge Yue tidak melibatkan dirinya dengan wanita lain selama ini dan asyik menghampakan harapan wanita sahaja. Chu Qiao turut mendengar cerita tentang bagaimana Zhuge Yue merinduinya setiap hari dan bagaimana gembiranya pemuda itu sewaktu menerima berita tentang Chu Qiao. Apabila dia tidak dapat tidur pada waktu malam, dia akan minum lebih banyak sup. Chu Qiao juga mendengar cerita tentang bagaimana Zhuge Yue telah menghabiskan beberapa tahunnya dalam keadaan menyedihkan, bagaimana dia ditindas oleh orang lain, bagaimana dia boleh terkena penyakit dan bagaimana dia diperlakukan oleh keluarganya sendiri...

Perlahan-lahan, pembantu kediaman wanita itu mula menangis sambil meneruskan lagi perbualan tentang Zhuge Yue. "Xing'er, jangan tinggalkan Tuan Muda lagi. Dia benar-benar mencintai awak."

Bau kemenyan yang harum meresap di dalam bilik. Chu Qiao duduk di atas tikar lembut sambil mendengarkan lebih banyak cerita yang telah berlaku pada masa lalu. Malah pembantu istana wanita itu pun sedar akan cinta Zhuge Yue terhadap Chu Qiao, tetapi tuan punya badan sendiri memerlukan masa bertahun-tahun untuk menyedari hakikat ini.

Seorang gaji mengetuk pintu dan menyatakan isteri Jeneral Yue Qi telah datang untuk melawatnya. Huan'er terus melompat dan berlari keluar dengan segera. Setelah itu, seorang wanita cantik yang memakai pakaian yang berwarna kuning anggun memasuki biliknya sambil memegang tangan seorang anak kecil yang berusia sepuluh tahun. Dia mempunyai dua lesung pipit pada wajahnya tatkala dia tersenyum. Apabila dia melihat Chu Qiao, dia ingin berlutut dan menyambutnya.

Namun, Chu Qiao segera menghalangnya dan berkata sambil tertawa, "Untungnya Yue Qi. Isteri dia sangat cantik."

Xiaofei tersenyum lalu mendedahkan dua batang giginya. Dia kemudiannya berkata kepada kanak-kanak itu, "Mo'er, panggil dia Bonda."

Anak itu memandang ke arah Chu Qiao dan terperanjat seketika. Tiba-tiba, dia mendepakan tangannya lalu memeluk kaki Chu Qiao sambil menjerit, "Kakak dah datang ke sini untuk menjenguk saya!"

Chu Qiao terkedu seketika lantas dia menundukkan kepalanya sedikit untuk melihat rupa anak itu dengan baik. Kanak-kanak itu comel, mempunyai mata yang cerah dan berpakaian hijau tatkala dia memandangnya dengan gembira.

"Kakak tak cam saya ke? Saya Mo'er lah."

Chu Qiao tiba-tiba teringat anak kecil ini Ouyang Mo, anak yang mereka bela bersama sewaktu mengembara ke Ibu Negeri Tang. Enam tahun sudah berlalu dan anak kecil itu kini membesar.

Chu Qiao terus memeluk kanak-kanak itu dan menjawab dengan nada yang terkejut, "Mo'er, kamu dah tinggi! Kakak hampir-hampir tak cam kamu."

Mo'er terus memeluknya erat sebelum berkata lagi, "Kakak pergi mana? Kenapa dah bertahun-tahun kakak tak melawat saya? Kalau Ayah tak sebut tentang kakak, pasti saya dah lupakan kakak."

"Ayah?" Chu Qiao berkerut dan memandang mereka berdua dengan curiga.

Xiaofei membetulkan kanak-kanak itu, "Jangan salah cakap. Panggil dia Bonda."

Mo'er memandang ke arah Chu Qiao dan bertanya, "Kakak dah kahwin dengan ayah saya ke?"

"Siapa ayah kamu?"

"Dia Marsyal Besar Xia. Kakak tak kenal dia ke?"

Huan'er menjelaskannya apabila dia berdiri di sampingnya, "Apabila Tuan Muda kembali, dia ambil Mo'er sebagai anak angkatnya."

Chu Qiao kini mengetahui Xiaofei sudah mempunyai dua orang anak bersama Yue Qi selepas berbual dengan mereka seketika. Wanita itu pemalu tetapi seorang yang disenangi, wajahnya memerah selepas bercakap beberapa ayat.

Oleh sebab Chu Qiao baru saja pulang ke rumah hari ini, Xiaofei dan Mo'er meninggalkannya buat seketika. Sebelum mereka pergi, Mo'er berjanji kepada Chu Qiao untuk melawatnya lagi apabila dia lapang kerana dia takut Chu Qiao akan meninggalkannya lagi.

Zhuge Yue masih belum pulang, jadi Chu Qiao memberitahu orang gajinya untuk beredar supaya dia dapat berehat. Dia tidak begitu sihat sejak beberapa tahun ini. Setelah mengembara selama beberapa hari ini, dia berasa sangat letih.

Tempat tidur itu terasa lembut dan hangat. Chu Qiao berbaring di sana sebelum hanyut dalam alam mimpi. Setelah beberapa ketika berlalu, dia terasa seperti seseorang sedang menciumnya, tetapi dia enggan bangun. Dia hanya berdehem dengan malas sebelum berpaling ke sisi katil.

Tangan yang sejuk tiba-tiba memeluknya dan nafasnya yang hangat kini berhembus di telinganya. Lehernya mula terasa gatal. Dia berkerut lalu membuka matanya dan mendapati Zhuge Yue yang memakai jubah ungu berbaring di sebelahnya. Dia menatap Chu Qiao dengan mata hitamnya yang cerah sambil ketawa ketika berkata, "Awak ini masih Xing'er yang saya kenal ke? Mudah saja membiarkan orang lain mengambil kesempatan terhadap awak."

Chu Qiao tertawa lalu melilit tangannya di lehernya. "Ada seorang ini, dia begitu tangkas dan hilang sesuka hati saja. Saya tak dapat cari orang itu."

Zhuge Yue tersenyum lalu menundukkan kepalanya sedikit untuk menciumnya. "Awak tidur dengan nyenyak tak?"

"Boleh tahan," Chu Qiao bersandar dalam pelukannya sambil mengusiknya lagi, "Kalau awak tak kembali, saya pasti akan tidur dengan lebih nyenyak."

Zhuge Yue tersenyum dan berpura-pura menentangnya, "Awak ini memang minta dihukum." Setelah dia menghabiskan kata-katanya, dia meraih tangannya tinggi, berpura-pura hendak memukul. Chu Qiao memejam matanya terkejut. Namun, setelah sekian lama, dia sedar Zhuge Yue tidak menghukumnya. Dia membuka matanya dan melihat Zhuge Yue hanya memandangnya seperti biasa. Dia pun terus bertanya, "Bukan awak kata awak nak hukum saya ke? Kenapa awak berhenti?"

Zhuge Yue memegangnya sekali lagi lalu menurunkan kepalanya untuk mencium lehernya. Dengan sedikit pergerakan tangannya, jubah Chu Qiao kini telah dilucutkan dan mendedahkan kulitnya yang mulus. Zhuge Yue bersandar ke hadapan dan menggunakan lebih banyak kekuatan di tangannya. Dengan nada yang rendah, dia berkata perlahan-lahan, "Bagaimanalah saya boleh sanggup berbuat sebegitu?"

Api daripada sepasang lilin merah berkelip-kelip dengan senyap. Tanglung merah menutupi api itu sedikit menyebabkan cahaya merah yang redup menyebar ke seluruh bilik. Chu Qiao telah menghabiskan malam pertamanya di Bandar Zhen Huang di sekeliling kehangatan yang menenangkan ini.

Dia terus mengalami hari-hari sedemikian pada musim luruh. Walaupun daun telah gugur dari pokok-pokok, bunga-bunga kekwa emas itu mekar penuh dan menambahkan seri rumah itu. Hari-hari berlalu seperti air musim bunga pada bulan ketiga yang meninggalkan kenangan manis dan kekal selamanya tatkala ia mengalir.

Pada hari perayaan musim luruh, Chu Qiao telah mengikuti Zhuge Yue keluar dari rumah ke Pergunungan Xiangzhi yang terletak 15 kilometer jauhnya. Mereka mengambil kesempatan itu untuk melawat Kuil Anyuan yang terletak di atas gunung.

Walaupun Chu Qiao telah menghabiskan masa selama tujuh hingga lapan tahun di Bandar Zhen Huang ini, namun dia tidak pernah melawat pelbagai tempat tarikan pelancong. Sebelum ini, status sosialnya tidak membenarkannya berbuat demikian dan dia pun tidak berminat. Namun, keadaan kini telah berbeza. Segala-galanya berbeza dari yang sebelumnya, jadi dia mula santai.

Cuaca pada hari itu agak baik kerana angin terasa begitu menyegarkan. Chu Qiao sedang memakai pakaian panjang putih bersama mantel. Dia membawa beberapa orang gaji bersamanya dan memulakan perjalanannya.

Pergunungan Xiangzhi terletak di hujung selatan Zhen Huang di mana terdapat sebuah tanah yang mendatar di atas gunung tersebut. Puncak gunung itu bersalji sepanjang tahun dan membuatkan ia kelihatan sepi. Hutan tebal kelihatan di samping pergunungan. Oleh sebab hari ini hari perayaan musim luruh, keluarga-keluarga kaya di Zhen Huang keluar dari rumah mereka. Jadi, gunung itu sesak dengan orang ramai.

Apabila mereka melangkah ke Pergunungan Xiangzhi, mereka berasa kagum untuk melihat keindahan hutan itu. Jingjing dan Pingan menunjukkan jalan di depan ketika mereka berkejaran antara satu sama lain, diiringi oleh He Xiao dan pengawal Yue di sebelah kiri dan kanan. Yue Qi membawa Xiaofei bersama-sama dan membolehkan wanita bersopan itu untuk berehat.

Zhuge Yue memegang tangan Chu Qiao ketika mereka berjalan ke atas sambil berbual dengan yang lain. Apabila dia gembira, yang lain juga turut gembira. Orang ramai yang berjalan melewati mereka hanya memandang mereka.

Zhuge Yue sentiasa sibuk kerana dia ketua marsyal tentera Xia dan juga pembesar Qinghai. Kini, dia secara tidak langsung telah menjadi ketua keluarga Zhuge. Dengan pelbagai tanggungjawab yang digalas pada bahunya, dia terpaksa bertahan terhadap ancaman dalaman Zhao Yang dan ancaman luaran Yan Bei. Selama beberapa hari ini, walaupun dia kembali ke rumah tepat pada waktunya untuk menghabiskan masa dengan Chu Qiao, dia sering akan menghilang ketika Chu Qiao telah terlena. Apabila wanita itu terbangun, dia akan tersedar yang Zhuge Yue tidak berada di sampingnya, malah di meja belajar.

Dia berpura-pura tidak tahu dan terus tidur. Keesokan harinya, Chu Qiao akan sering bertanya kepadanya jika dia dapat tidur dengan nyenyak atau tidak. Zhuge Yue akan sentiasa menyatakan dia tidur dengan nyenyak dengan senyuman pada wajahnya. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menyembunyikan kesihatannya yang teruk. Pada tahun itu, dia telah mengalami kecederaan parah dan terpaksa menghabiskan masa yang lama di dalam air. Dia beruntung kerana dia masih hidup. Pada masa ini, tatkala cuaca menjadi sejuk, penyakitnya mula muncul kembali.

Setiap kali cuaca buruk, dia mula menjadi pucat dan sakit. Kadang-kadang, apabila Chu Qiao terbangun pada tengah malam, dia dapat terdengar cungapan nafas peluh sejuk mula membasahi belakang dan leher pemuda itu dan mengenai pakaiannya. Walau bagaimanapun, wanita ini tidak dapat menyuarakan pendapatnya. Dia membuka matanya dengan luas dalam kegelapan itu dan memandang ke arah siling mutiara yang samar-samar dinyalakan itu sambil menggenggam erat penumbuknya. Dia memantau masa melalui jam pasir yang terletak di periuk pengiraan masa itu sambil menunggu fajar. Keesokan harinya, dia akan membawa banyak pendiangan ke dalam bilik. Dia juga mengarahkan tukang-tukang untuk membuatkan bilik tidur itu lebih hangat dalam tempoh masa 10 hari.

Apabila mereka bersarapan pada hari sebelumnya, Jingjing dan Pingan telah berbual tentang keseronokan pesta musim luruh. Chu Qiao bersetuju dengan bersahaja, namun pemuda itu mengambil serius dengan ucapannya. Dia tidak berkata apa-apa pada saat itu. Namun, keesokan harinya, Zhuge Yue telah meninggalkan segala tugasnya untuk membawa Chu Qiao keluar dengan alasan mereka ingin menyembah para dewa di puncak gunung.

Selama ini, dia seorang atheis yang degil dan sombong. Selepas Chu Qiao mengetahui hal ini, dia sengaja mengejek pemuda itu terhadap perubahan pandangan agamanya. Walau bagaimanapun, Zhuge Yue hanya menepisnya sambil ketawa dan mengakui terdapat satu tuhan yang mereka harus sembah tidak kira apapun.