Meixiang berkata dengan penuh tanggungjawab, "Saya masih perlu membersihkan bilik Cik Puan."
"Tak perlu. Saya rasa angin saya agak baik hari ini jadi saya akan kemas sendiri." Chu Qiao tidak menunggu Meixiang untuk memberikan apa-apa jawapan sebelum mengambil air tersebut dan terus kembali ke bilik. Selepas itu, dia memasang telinganya di muka pintu. Chu Qiao menghembuskan nafas lega hanya selepas Meixiang dan Jingjing pergi.
Zhuge Yue bersandar di katil dan berkata dengan ringkas, "Tengoklah awak ini. Dah macam pencuri."
Chu Qiao merenung dan berjalan ke arah pemuda itu lalu menarik tangannya. "Sementara tiada orang di sini, pergilah balik ke bilik awak."
"Saya tak mahu," Jawab Zhuge Yue. "Kalau awak basuh muka saya, baru saya pergi."
Chu Qiao mula bingung dan dia pun bertanya, "Mengapa pula?"
"Kalau awak tak lakukannya, saya tak mahu pergi."
"Zhuge Yue... Awak ini betul-betul..." Chu Qiao kini sedang berada dalam dilema buat seketika sebelum dia berjalan ke arah besen dan menyediakan tuala untuk membasuh mukanya. Dia melipat lengan bajunya. Gayanya tidak kelihatan seperti dia ingin membasuh muka seseorang, malah lebih kelihatan seperti ingin memulakan sebuah perang.
Chu Qiao duduk bertinggung di hadapan Zhuge Yue dan mula menggosok muka pemuda itu dengan seluruh kekuatannya. Pemuda itu lantas berkerut sedikit tetapi tidak berkata apa-apa sambil masih mengekalkan senyumannya. Tiba-tiba Chu Qiao berasa kasihan akan pemuda itu dan mula mengelap mukanya perlahan-lahan selepas mengeluh.
Cahaya matahari menerangi kedua orang pasangan ini di sebalik tingkap yang terbuka. Masa seolah-olah telah kembali sepuluh tahun yang lalu, sewaktu dia perlu bangun awal-awal pagi setiap pagi untuk membantunya membersih, memakai pakaian dan makan sarapan pagi.
"Tengoklah. Selepas menghabiskan begitu banyak tenaga, akhirnya, saya masih lakukan perkara yang saya buat awal-awal dulu." Chu Qiao memuncungkan mulutnya sambil dan mengeluh.
Zhuge Yue tersenyum dan membalas, "Itu maknanya keadilan masih ada. Awak dilahirkan untuk menjadi milik saya. Awak tetap tak boleh larikan diri tak kira bagaimana pun awak cuba."
Chu Qiao menjeling ke arahnya sambil berkata, "Analogi sampah apa yang awak gunakan itu?"
Selepas dia memberus gigi dan mandi di samping merapikan penampilannya, Chu Qiao menolaknya keluar dan segera menghalaunya, "Pergilah cepat!"
Zhuge Yue menoleh dan menatapnya. "Wanita macam apa awak ini? Pasangan yang baru berkahwin satu hari pun akan mengingati satu sama lain selama-lamanya, tetapi cepat betul awak berubah sikap."
"Pergi! Pergilah! Kembali ke bilik awak sendiri."
"Tuan muda!" Suara yang nyaring dan gembira kedengaran, menyebabkan Chu Qiao berasa terperanjat. Dia menoleh ke belakang dan mendapati Yue Qi sedang berdiri di luar jendela. Setelah melihat Chu Qiao, Yue Qi menyambutnya dengan gembira, "Saya pergi ke bilik Tuan Muda pagi tadi tapi dia tak ada, jadi saya fikir dia bermalam di bilik Cik Puan."
Pingan berdiri di belakang Yue Qi dan di belakangnya terdapat lebih ramai orang. Oleh sebab mereka berada jauh, dia tidak boleh meneka apa yang mereka bualkan. Tiba-tiba, dia dapat mendengar sorakan sumbang dari kejauhan, "Kakak akhirnya berkahwin. Saya tak perlu dengar dia membebel lagi."
Pada saat itu, pintu dibuka dengan bunyi berkeriang-keriut. Meixiang masuk bersama Jingjing dan beberapa orang gaji yang lain. Setelah melihat Zhuge Yue, mereka menyambutnya dengan penuh hormat sebelum pergi ke katil Chu Qiao untuk membersihkannya.
Chu Qiao tiba-tiba teringat masih terdapat kesan darah di atas katil. Apabila dia ingin menghalang mereka daripada membersihkannya, Jingjing sudah pun berjalan ke arahnya dengan membawa semangkuk sup dan berbisik di telinga Chu Qiao, "Kakak Meixiang beri arahan khas supaya sup ini dibru. Ia baik untuk mengisi semula darah yang hilang. Sila minum, kakak. "
Chu Qiao berasa seperti ingin pitam sahaja dan pipinya kini merona merah.
Zhuge Yue berjalan dan mengambil mangkuk itu dan kemudian memberikannya kepada Chu Qiao sambil tersenyum, "Ini memang baik untuk awak. Xing'er, minumlah."
Pada hari yang sama, bot itu telah berhenti di Wilayah Lanling untuk bekalan makanan sebelum meneruskan perjalanannya. Dua hari kemudian, mereka tiba di Wilayah Hu.
Kumpulan itu kemudiannya mendarat. Walaupun mereka telah tiba di wilayah Xia, namun nampaknya para pengawal peribadi Zhuge Yue kelihatan lebih tegang daripada sebelum ini. Sebaik sahaja mereka tiba di pelabuhan, terdapat sebuah pasukan yang terdiri daripada 500 orang askar yang sedang menunggu ketibaan mereka dan semua wanita yang mengiringi rombongan itu menyamar sebagai lelaki sewaktu mereka berkumpul dengan kumpulan tersebut. Keadaan keseluruhannya agak rahsia.
Setelah melihat yang kebanyakan daripada mereka mempunyai tatu pada wajah, Chu Qiao lantas menyedari mereka semua berasal dari Qinghai dan dia tiba-tiba berasa lega.
Apabila mereka tiba di Wilayah Baolin, terdapat 3,000 tentera Qinghai yang sedang mengawal di sana. Antaranya terdapat 1,000 orang yang memakai perisai kulit yang berwarna hijau. Mereka mengeluarkan aura membunuh yang dahsyat. Sekilas pandang sahaja mereka dapat mengetahui mereka ini handal dalam seni mempertahankan diri.
Yue Qi dengan bangganya memaklumkan mereka semua itu merupakan orang bawahannya dan berasal dari divisi elit ketujuh di Qinghai. Ini hanyalah sebuah pasukan yang kecil kerana yang lain sedang mengawal di Sempadan Cuiwei dan di Bandar Zhen Huang.
Selepas berehat di Wilayah Baolin selama sehari, mereka memulakan perjalanan ke Zhen Huang pada keesokan harinya. Pada waktu senja, barulah boleh terlihat kelibat istana yang berdiri megah itu.
Dalam keluasan ini, segala-galanya kedengaran sangat senyap seperti angin yang menggerakkan rumput di dataran lalu membawa dedaun yang layu bersamanya. Ini benar-benar cuaca dari Empayar Xia, berdasarkan keunikan angin dan dinginnya. Chu Qiao menyelak tirai pedati itu dan ternampak pemandangan pintu gerbang bandar besar sambil bermandikan cahaya matahari yang sedang terbenam. Dia tiba-tiba teringatkan hari itu, di mana dia dan Yan Xun hanya saling bergantung antara satu sama lain untuk bertahan di penjara raksasa ini. Mereka membenci segala-galanya di sekeliling mereka dan berharap bencana besarakan melanda bandar ini dan menghanyutkan segala kemewahan ini bersama. Setelah menghabiskan segala tenaga mereka untuk merancang, mereka akhirnya berjaya menemui jalan keluar dari penjara yang sudah menahan mereka selama lebih lapan tahun. Namun pada hari ini, dia dengan rela hati melangkah masuk ke dalam bandar yang menyeksakan ini sekali lagi.
Enam tahun yang lalu, dia telah meninggalkan tempat ini demi seorang lelaki. Enam tahun kemudian, dia kembali ke tempat ini demi lelaki lain.
Perubahan takdir ialah sesuatu yang sangat menakjubkan. Satu pergerakan pun akan menghasilkan sesuatu yang tidak dapat diketahui dan difahami oleh seseorang. Walaupun demikian, seseorang itu harus meneruskan kehidupannya.
Apabila angin bertiup di telinga seseorang, ia kedengaran seperti satu bisikan. Satu tangan tiba-tiba dihulurkan dari belakang lalu menarik Chu Qiao ke dalam pelukannya. Suara Zhuge Yue bergema dari belakang dan dia kedengaran sangat tenang. "Jangan risau, saya ada di sini."
Chu Qiao tersenyum lembut. Dia sering berkata seperti itu. Chu Qiao kemudiannya bersandar lalu menghela nafasnya dalam-dalam, seolah-olah cuba mengingati bau yang dibawa pemuda itu buat selama-lamanya sebelum memejamkan matanya. Lantas, dia memegang tangan Zhuge Yue dengan erat, seakan-akan dia tidak akan pernah melepaskannya.
Bandar Zhen Huang tidak lagi makmur seperti dulu. Walaupun belum waktu malam lagi, pejalan kaki sudah tidak dapat kelihatan lagi. Setelah melihat kereta kuda Zhuge Yue, ramai rakyat mengelakkan diri daripada rombongan itu seperti ia sejenis wabak. Sudah jelas bandar ini hanyalah sebuah bayang-bayang samar kepada bandar Zheng Huang yang dahulu kerana kemegahan dan kemakmurannya sudah tidak dapat terasa lagi. Tiada orang yang membanjirinya untuk memeriahkan suasana.
Apabila kereta kuda itu membelok ke Jalan Xuanhua dan memasuki Jalan Baiwei untuk menuju ke arah barat bandar, Chu Qiao berasa sedikit terkejut lalu dia pun bertanya, "Kita tak kembali ke Kediaman Zhuge ke?"
Zhuge Yue tersenyum. "Saya Marsyal Besar Empayar Xia. Sepatutnya memang saya tinggal di kediaman rasmi saya sendiri."
Setelah mendengarnya, segala keresahan Chu Qiao mula berkurang. Dia pun kemudiannya tersenyum.
Zhuge Yue menyakatnya, "Bagaimana awak boleh sewenang-wenangnya tunjukkan emosi sebenar awak melalui raut wajah awak? Bagaimana awak boleh layak mendapat gelaran Raja Xiuli?"
"Saya nak sembunyikan apa lagi daripada awak?" Jawab Chu Qiao dengan selamba, lantas memeranjatkan Zhuge Yue. Setelah itu, dia memeluk dan memujinya, "Kata-kata yang bernas."
Orang tidak begitu ramai di jalan raya, jadi kereta kuda itu dapat bergerak dengan lebih pantas. Tidak lama kemudian, mereka telah sampai ke kediaman rasmi yang terletak di sebelah Tasik Biliu di sebelah barat bandar.
Chu Qiao telah melihat kediaman ini sebelum ini kerana ini salah satu istana sampingan istana maharaja yang dibina dengan begitu mewah. Kereta kuda itu tidak berhenti dan berjalan terus ke pintu masuk. Apabila tiba di pintu masuk dan selepas orang gaji-orang gaji memasuki kompleks itu, Zhuge Yue meninggalkan kereta kuda itu bersama Chu Qiao yang mengekorinya dari belakang.
Chu Qiao terus ternampak Huan'er yang berdiri di sebelah dan matanya kelihatan merah sepenuhnya. Setelah melihat Chu Qiao, air mata Huan'er mula mengalir. Walaupun ini bukan lagi kediaman yang sama, mereka merupakan kawan lama. Chu Qiao merasakan rasa nostalgia tatkala dia menghulurkan tangannya. Huan'er segera melompat dari kudanya dan cuba menyembah hormat kepada Chu Qiao. Chu Qiao dengan segera ingin menghentikan Huan'er tetapi Zhuge Yue memegang belakangnya dan berkata, "Mulai dari sekarang, awaklah cik puan dalam kediaman ini. Biasalah kalau mereka menyapa awak sebegitu."
Sejurus selepas dia menghabiskan kata-katanya, semua pembantu istana dan orang gaji terus berlutut dan sujud kepada Chu Qiao sambil berkata, "Selamat datang, Cik Puan."
Chu Qiao membantu Huan'er berdiri. Setelah bertahun-tahun, penampilannya kini sudah berubah sedikit dan dia kelihatan lebih elegan dan anggun. Dia telah menjadi penyelia untuk berpuluh-puluh pembantu istana di Kediaman Zhuge.
Huan'er memberitahu Chu Qiao sambil menangis, "Saya tahu yang Cik Puan pasti akan kembali. Bilik Cik Puan telah pun dikemaskan dan sentiasa tersedia untuk Cik Puan."
Chu Qiao berasa malu apabila dia dipanggil sebagai "Cik Puan" sepanjang masa. Namun, bagi Zhuge Yue pula, dia berasa perkara ini normal. Dia kemudiannya memberitahu mereka, "Biliknya boleh dikosongkan. Bawa semua barangnya ke bilik saya."
Mereka semua segera memahami makna di sebalik arahan itu. Huan'er terus memerintah pembantu istana untuk membantu Chu Qiao mengalihkan bagasiya. Meixiang dan Jingjing turut ikut serta membantu mereka. Kediaman itu tiba-tiba kedengaran riuh-rendah.
"Jom pergi," Kata Zhuge Yue di telinganya dan tanpa menunggu jawapan balasnya, dia menarik tangannya untuk pergi.
Menjelang waktu malam, bulan sabit kini menyinari bumi dengan cahayanya yang samar-samar. Dengan obor yang menyala di tepi, cahaya yang hangat menerangi mereka berdua. Zhuge Yue terus berjalan tanpa berkata apa-apa. Angin malam terasa dingin namun ia masih menyegarkan. Lengan baju Zhuge Yue yang dipenuhi dengan sulaman itu lantas bergemerincing tatkala ia bertembung dengan lengan baju Chu Qiao.
Aroma yang sangat samar dapat dibau. Ia tidaklah begitu kuat, tetapi ia seolah-olah berada di mana-mana. Ia merupakan sejenis baka anggerik khas yang mengeluarkan sebuah aroma unik.
Zhuge Yue sentiasa menjadi seseorang yang tahu bagaimana untuk menikmati kehidupan. Mungkin hal ini disebabkan oleh cara dia telah dididik dan dibesarkan. Dia telah dibesarkan dengan kekayaan keluarga Zhuge sejak berabad-abad jadi dia berbeza dengan bangsawan biasa yang meraih kekayaan dengan serta-merta. Ia terasa seolah-olah setiap tumbuhan di sini memancarkan aura mulia.
Dia menolak pintu gerbang yang diperbuat daripada kayu Phoebe Zhennan lalu sebuah bilik tidur yang sangat elegan dari segi reka bentuknya kini kelihatan. Ia tidaklah semegah mana, tetapi ia memancarkan aura yang tenang yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Setelah melangkah ke atas permaidani tebal dan lembut itu, ia akan terasa seperti mereka sedang berjalan di atas awan. Reka bentuk hiasan dan perabot untuk membuat rumah kelihatan agak elegani. Selain itu, ia juga mempunyai ciri-ciri klasik. Dengan 18 lapisan kain yang terbentang di koridor, ia menuju terus ke dalam bilik tidur.
"Awak dah letih ke?" Zhuge Yue berdiri di hadapannya dan bertanya.
Chu Qiao menggelengkan kepalanya sambil memegang perutnya. "Saya hanya berasa sangat lapar."
Seorang pembantu istana wanita yang berpakaian merah segera berkata, "Makanan akan dihidangkan secepat mungkin. Tuan dan Cik Puan mahu ke ruang makan sekarang?"
Zhuge Yue menggelengkan kepalanya dan memberitahu Chu Qiao, "Saya ada perkara penting nak diuruskan jadi tak boleh makan sekarang."
Chu Qiao mengangguk. "Kalau begitu, awak pergilah selesaikan urusan awak dulu."
"Orang gaji masih mempersiapkan kuda. Saya masih boleh tunggu sebentar." Selepas itu, dia memeluk Chu Qiao. Sulaman yang terdapat di bahagian dadanya membuatkan wajah Chu Qiao terasa geli. Dia dapat mendengar getaran yang datang dari dada pemuda itu tatkala dia berkata, "Xing'er, akhirnya awak kembali."
Chu Qiao tersenyum dan membalas pelukan itu. Di dalam hatinya, terdetik satu perasaan gembira yang luar biasa dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Di dalam bilik itu juga terdapat kemenyan yang dapat menyebabkan seseorang berasa mengantuk.
"Malam ini, tunggu saya di sini."
Wajah Chu Qiao berubah merah tatkala dia mengangkat kepalanya dan tersenyum manis kepada Zhuge Yue, "Kalau begitu, baliklah awal."
Zhuge Yue mengangguk. Pada masa ini, kuda sudah pun dipersiapkan. Zhuge Yue memberitahu Chu Qiao, "Saya nak pergi keluar mencari Tuanku Ketujuh. Awak makanlah dulu dan rehat."
"Baiklah." Chu Qiao menjengket dan mencium bibirnya. Dengan mukanya yang merah, dia berkata kepada Zhuge Yue, "Hati-hati."
Suatu perasaan gembira terus terpancar pada mata Zhuge Yue dan dia terus memeluk Chu Qiao dengan erat sebelum beredar.