Chapter 241 - Bab 241

Akhirnya, dia masih mati di dalam dakapan wanita itu. Pemuda itu telah tersilap makan ubat-ubatan yang sepatutnya diberikan kepada wanita itu dan dia pun diracun mati.

Pada masa itulah baru dia mengetahui wanita itu mempunyai impian untuk mati. Selama beberapa tahun ini, setiap jenis hidangan yang telah dijamahnya pasti mengandungi racun. Wanita itu telah mengambil penawarnya sebelum ini. Namun, setiap inci tubuhnya telah pun dimusnahkan oleh berbagai-bagai jenis racun pelik yang sedang berlegar-legar di dalam darah dagingnya. Jadi, wanita itu menunggu sahaja saat pemuda itu cuai supaya dia dapat membunuhnya.

Maharaja Tang telah mangkat di dalam dakapan wanita yang paling dicintainya. Walaupun pemuda itu telah berwaspada terhadap wanita itu seluruh hidupnya, akan tetapi maharaja Tang tersebut sememangnya tidak boleh menandingi ketabahan dan kesabaran hati wanita tersebut. Walau bagaimanapun, pemuda itu tak akan pernah sanggup untuk membunuhnya, jadi beliau telah bertitah supaya wanita itu dibuang negeri dan tidak akan boleh menjejakkan kakinya ke sini lagi.

Rakyat jelata dan orang luar hanya mengetahui tentang perasaan cinta dan kasih mengenai maharaja dan maharani mereka sahaja. Mereka tidak tahu yang maharaja mereka hanya ingin melindungi satu-satunya puteranya sebelum kemangkatannya. Malangnya, rahsia ini masih lagi dibongkarkan kepada Zhan Ziyu oleh adik perempuannya. Selepas cubaan membunuh ke atas Li Ce yang tidak berjaya oleh Zhan Ziming, pemuda itu telah membawa Maharani Bonda ke luar kuil pusaka empayar dan menyelinapnya masuk ke dalam istana supaya dapat menggunakannya untuk membunuh Li Ce dan juga saat-saat indah Maharaja Tang.

Maharani Bonda Yao juga telah membunuh dirinya setelah mendengar akan kemangkatan Li Ce. Chu Qiao tidak tahu bagaimanakah perasaannya pada ketika itu. Adakah dia berasa gembira kerana telah bertemu dengan penutupan perhubungan itu setelah membalas dendamnya? Atau adakah dia berasa tidak berdaya dan menyesal setelah melakukan kesilapan terbesarnya itu? Dia seorang yang degil dan juga melampau. Oleh kerana peristiwa-peristiwa yang berlaku berapa lama dahulu, wanita ini telah membunuh dua orang yang paling dikasihinya dalam dunia ini. Dalam pengakhiran hayatnya nanti, mungkinkah dia masih lagi akan tertawa kerana telah mengecapi penutupan perhubungan itu?

Mungkin tidak. Lagipun, semasa dia membalas dendam buat suami dan anakandanya, dia telah membunuh seorang lagi suami dan seorang lagi anak. Demi membalas dendam, dia telah memusnahkan kehidupan seorang lagi wanita.

Setelah kemangkatan Maharani Bonda Yao, dia telah dikebumikan bersama Maharaja Xizong di Meishan. Dahulu semasa mereka masih hidup, mereka amat membenci antara satu sama lain. Mereka akan berkelahi, berkomplot terhadap diri masing-masing dan cuba untuk membunuh satu sama lain, terbelit dalam sarang kebencian seluruh kehidupan mereka. Akhirnya, mereka disatukan di dalam makam pusaka empayar yang sejuk dan dingin ini, hanya mempunyai diri masing-masing sebagai teman buat selama-lamanya dan tidak akan berpisah lagi.

Chu Qiao tidak tahu apa yang telah terjadi pada saat itu, mahupun mengerti mengapa perasaan benci terhadap seseorang itu kadangkala boleh menjadi begitu mengerikan. Walaupun begitu, dia sering berfikir yang kadangkala, Maharani Bonda Yao masih menunjukkan perasaan kasih sayang seorang ibunda terhadap anakandanya kepada Li Ce. Dia masih ingat dengan jelas mengenai peristiwa sewaktu tengah hari yang panas terik itu, wanita tua itu telah berkata kepadanya dengan wajah yang berkerut, "Dia suka berfoya-foya dalam istana ini sepanjang hari. Haih, saya… Kalau kamu ada masa lapang, tolonglah nasihat dia supaya tidak sebegitu lagi. Lagipun, dia itu putera mahkota Tang. Dia tak boleh berfoya-foya lagi."

Akhirnya, dengan kemangkatan Raja Luo, sasi-baki kasih sayang dan cinta di dalam istana tersebut akhirnya terpadam. Hati wanita itu bagaikan telah dirasuk syaitan yang kejam sebelum terpaksa membayarnya dengan nyawanya sendiri.

Bunyi desiran mula bergema. Jendela kediaman lantas ditolak sehingga terbuka dek angin yang bertiup, menyebabkan langsir-langsir yang berleretan di atas lantai itu terkepak-kepak. Ia juga telah berjaya menyedarkan Chu Qiao daripada menungannya itu, terus menoleh ke belakang untuk melihat Zhuge Yue yang telah terjaga dan sedang bersandar pada kepala katil. Dia sedang berpakaian serba putih dan juga kelihatan segar sementara raut wajah dingin yang sering didondonkannya itu kini telah bertukar dengan ketenangan dan juga kemesraan.

Apabila pemuda itu melihat Chu Qiao yang sedang menoleh, dia segera menggamit wanita itu supaya mendekatinya. Chu Qiao lantas melangkah sebelum menuangkan secawan teh kepadanya, bertanya, "Awak tidur nyenyak ke?"

"Ya," Jawab Zhuge Yue sebelum menghirup tehnya. "Kalau seseorang tak menyelinap masuk ke dalam bilik saya untuk mengeluh beberapa kali, saya pasti akan dapat tidur dengan lebih nyenyak."

Chu Qiao terus tersipu malu sebelum memandang wajahnya, "Awak lapar ke?"

Pemuda itu mengangguk dan berkata, "Sedikit saja tadi. Sekarang taklah begitu lapar sangat."

Chu Qiao segera berdiri dan menyatakan, "Awak dah tidur sehari semalam. Mestilah awak akan berasa lapar. Saya dah menyuruh tukang masak untuk sediakan hidangan buat awak."

"Tak perlu." Zhuge Yue menghulurkan tangannya untuk mencapai jari-jemari Chu Qiao, mengalu-alukannya untuk mengambil tempat di sisi pemuda itu di atas katilnya. "Teman saya sekejap."

Chu Qiao tersenyum, menurut saja permintaan pemuda itu.

"Awak termenung lama tadi. Apa yang awak fikirkan?" Zhuge Yue mengusap tangan wanita itu dan bertanya selamba.

Chu Qiao menggelengkan kepalanya dan membalas, "Beberapa perkara lama yang dah tak penting."

Zhuge Yue tersenyum semasa dia cuba menyondongkan badannya ke hadapan katil untuk merenung wanita itu dari sisi matanya. "Saya tiada benda untuk dibuat pun. Marilah kita dengar minda awak berkata-kata."

Chu Qiao tersipu sekali lagi dan cuba untuk mengalihkan topik perbualan mereka. "Saya dah beritahu yang ia dah tak penting. Tak ada apa yang boleh dikatakan pun."

"Oh?" Zhuge Yue membalas dengan nada yang dibuat-buat. "Betul ke sudah tak ada apa yang boleh dikatakan?"

Semasa Chu Qiao ingin membuka mulutnya untuk membalas kata pemuda itu, Zhuge Yue tiba-tiba mendekatkan wajahnya kepada wajah wanita itu sebelum menyematkan sebuah kucupan yang lembut pada bibir Chu Qiao. Wanita itu lantas berasa sebuah perasaan yang hangat semasa lilitan tangan pemuda itu pada pinggangnya terasa semakin erat, menariknya mendekati pemuda itu. Bibir Chu Qiao yang dingin lantas dipanaskan apabila lidah pemuda itu meneroka ke dalam mulutnya. Zhuge Yue mengecilkan matanya sebelum merenung ke dalam anak mata wanita itu dengan penuh ghairah sebelum dia mengangkat tubuh kecil molek Chu Qiao dan menghenyakkannya ke atas katil, tubuh pemuda itu yang berada betul-betul di atas tubuh Chu Qiao. Wanita tersebut mendecit akibat terkejut, namun suaranya itu bagaikan tersekat di kerongkongnya.

"Itu hukuman awak sebab tak mendengar kata."

Chu Qiao merenung wajah pemuda itu dan melirikkan jarinya pada bibirnya yang membengkak sedikit. "Itu cara awak menghukum saya?"

"Tak sepenuhnya." Zhuge Yue tergelak dengan nada suara yang berbaur keangkuhan. Pemuda itu mendongak sebelum menyambung, "Ada sesuatu yang lebih dahsyat. Awak nak cuba?"

Chu Qiao mengecilkan matanya dan merenung wajah pemuda yang bongkak di hadapannya ini dengan tajam. Dia lantas mendekatkan dirinya pada pemuda itu dengan pandangan yang memberahikan. Zhuge Yue lantas berasa terkesima. Namun sebelum sempat dia memberi sebarang tindak balas, Chu Qiao telah menggigit dagu pemuda itu dengan kuat.

Zhuge Yue segera melepaskan desahan sebelum menggunakan tangannya untuk mengusap dagunya itu tadi. Walaupun tiada darah yang dapat ditemui, namun dua barisan kesan gigi telah ditinggalkan dengan jelas.

"Hm! Jangan fikir yang saya ini takut dengan awak!" Chu Qiao mengisytiharkan dengan penuh sombong sambil melambai penumbuknya dalam tentangan.

Zhuge Yue melibas pergelangan tangannya dan membalas, "Amboi, awak ini dah jadi semakin nakal dalam masa beberapa tahun ini. Nampaknya saya terpaksa ajar awak."

Semasa pemuda itu hendak menyerang, Chu Qiao telah melonjak melarikan diri daripada genggaman tangannya dan berlari ke arah pintu. "Awak ingat saya ini bodoh?" Kemudian, wanita tersebut terus membuka pintu.

"Alamak!" Jingjing dan yang lain-lain terus berundur ke belakang dari muka pintu bilik tersebut. Mereka semua tersipu malu dan melambai dengan penuh janggal ke arah ke dua pasangan tersebut.

Wanita itu juga turut tersipu malu dan wajahnya berubah kemerahan apabila dia ternampak Pingan dan Jingjing yang mempunyai sebuah kerutan kerat di muka mereka. Yue Qi juga turut mengikuti di belakang mereka. Wanita tersebut menyeru, "Yue Qi, kamu pun turut ikut dengan kerenah tak senonoh mereka ini!"

"Huhu, tak… Saya hanya lalu saja di sini tadi. Saya nak jemput Cik Puan dan Tuan makan, huhu…" Yue Qi berdiri dan cuba untuk menerangkan kesucian hatinya, mengangguk apabila dia melangkah ke arah luar bilik. "Teruskan, teruskan." Lalu, pemuda tersebut bergegas keluar dari kamar setelah menghabiskan ayatnya yang berbunyi, "Tuan! Teruskan!"

Jingjing segera meluru dengan wajah nakalnya sebelum memanggil dengan lembut, "Abang ipar!"

Angin Zhuge Yue lantas bertambah baik. Pemuda itu segera mengeluarkan sebilah pisau belati kecil yang telah diukir dengan penuh halus dan rumit, dihiasi dengan beberapa ketulan rubi. Kemudian, pemuda itu telah menghadiahkannya kepada Jingjing atas segala usahanya.

Pingan yang ternampak akan adegan hadapannya itu terus mengekori adik perempuannya. Semenjak Zhuge Yue tidak mempunyai apa-apa hadiah lagi untuk diberikan kepada pemuda tersebut, dia telah menjanjikan seekor kuda kepada Pingan sesampainya mereka di Zhen Huang.

Kedua-dua daripada mereka terus bersorak sebanyak tiga kali, "Semoga abang ipar panjang umur!"

Anak mata Chu Qiao meluap-luap dengan kemarahan apabila dia tersedar taktik rasuah yang sedang digunakan oleh Zhuge Yue yang amat jarang digunakan oleh pemuda itu.

Jamuan makan malam telah dihidangkan dalam masa yang singkat. Semenjak mereka berada di luar kediaman, mereka telah menyediakan sebuah jamuan santai buat semua yang berada di sana termasuklah anak-anak kecil. Semua orang lantas mengambil tempat mereka di meja tersebut bersama sama. Yue Qi dan yang lain lebih pendiam, manakala Jingjing, Pingan dan Meixiang lebih ceria. He Xiao yang telah berkenalan dengan Yue Qi dan yang lain-lain sepanjang beberapa hari yang lalu juga turut ceria pada malam itu. Suasananya juga meriah. Matahari terbenam sementara mereka menghabiskan juadah yang telah dihidangkan. Yue Qi menerangkan yang mereka kini berada di Cenuram Cang dan bakal tiba di Wilayah Hu dalam masa dua hari. Chu Qiao lantas menyedari yang mereka kini semakin mendekati Zhen Huang. Udara pada petang itu terasa semakin kencang. Wanita itu sedang mengambil tempatnya di hujung kapal sementara memerhatikan sang mentari yang meninggalkan kesan kemerahan pada air sungai yang jernih ini.

Masa telah berlalu dengan begitu pantas. Sedar tidak sedar, wanita itu telah menghabiskan 14 tahun di sini. Kehidupan lamanya terlayar di dalam minda bagaikan sebuah mimpi. Dia lantas terfikir mengenai kenyataan di mana dia telah dihidupkan kembali ke dalam kehidupan ini setelah dia mati dalam kehidupan lamanya. Mungkinkah Li Ce bakal meneruskan kehidupannya dalam dunia yang lain? Bagaimana pula dengan Encik Wu dan juga Cik Puan Yu? Huanhuan dan Xiao He? Mungkinkah mereka akan berjumpa lagi dan mengingati identiti diri masing-masing walaupun setelah mereka mati?

Wanita itu duduk di situ dan termenung buat masa yang lama. Dia lantas meraih pandangannya ke arah sang matahari, bagaikan boleh ternampak Li Ce yang sedang membalas renungannya dengan sepasang anak mata yang dikecilkan dan berkata, "Makan lebih banyak daging. Susuk tubuh awak itu tak menarik."

"Apa yang awak sedang fikirkan itu?" Suara Zhuge Yue tiba-tiba bergema dari belakangnya.

Chu Qiao lantas menoleh ke belakang untuk memandang wajah pemuda itu. Dia sedang memperagakan sehelai pakaian serba ungu yang dihiasi dengan corak dan juga tulisan di atasnya. Pakaian yang ringkas itu nampak lain apabila pemuda itu memakainya, memancarkan sebuah aura unik yang hanya boleh dipantulkan oleh pemuda itu. Chu Qiao memandang pemuda itu dengan mata yang terbeliak.

Zhuge Yue lantas berkerut sebelum berkata dengan hati yang tidak senang, "Apa yang awak tengok itu? Macam orang dungu saja." Pemuda itu lantas melabuhkan pinggulnya di sebelah wanita itu setelah menghabiskan ayatnya.

Burung-burung berterbangan melintasi awanan yang berwarna merah sementara ombak-ombak terbentuk di sekeliling kapal. Angin yang bertiup telah menghembus pada pergelangan baju mereka, mengepak-ngepakkannya bagaikan si rama-rama.

"Xing'er, kenapa awak tukar nama awak kepada Chu Qiao?" Tanya Zhuge Yue.

Chu Qiao segera berpaling untuk membalas, "Sebab saya bukan Jing Yue'er. Nama sebenar saya ialah Chu Qiao. Saya dah mati sebelum ini. Selepas itu... Bagaimana saya nak terangkan… Seperti yang dikata orang ramai, roh saya dah diletakkan ke dalam badan Jing Yue'er. Selepas saya larikan diri, saya tukar nama saya kembali." Zhuge Yue langsung tidak menyangka yang wanita tersebut akan menjawab seperti itu, jadi pemuda tersebut berasa terkasima. Setelah seketika dia menggumam, "Bagaimana pula dengan sewaktu saya jumpa awak buat pertama kalinya dahulu?"

"Saya baru saja memasuki tubuh dia untuk beberapa hari. Saya baru hendak melarikan diri."

Zhuge Yue mengangguk dan menundukkan kepalanya, seakan-akan cuba sedaya upaya untuk mencari kesasihan kata-kata wanita itu.

"Oi, jangan cakap yang awak tak percaya kata-kata saya?" Chu Qiao berasa terpana kerana menganggap yang kata-katanya itu kedengaran terlalu gila buat orang biasa. Wanita itu lantas teringat saat-saat di mana dia memberitahu Yan Xun tentang perkara ini semasa mereka masih muda. Pemuda itu telah beranggapan yang otaknya telah mengalami kecederaan dek arus sungai yang terlalu deras. Kemudian, dia telah memberikan wanita itu ubat-ubatan. Chu Qiao tidak pernah mengungkit tentang hal itu semenjak daripada hari tersebut.

"Saya percaya kata-kata awak."

"Hah?"

Zhuge Yue memandang wajah wanita itu dengan ekpresi muka yang sungguh pelik sebelum dia berkerut. "Kenapa tidak? Saya dah periksa latar belakang awak sebelum ini. Semua orang gaji kata yang tingkah laku awak berubah selepas awak balik daripada sesi perburuan manusia pada hari itu. Saya fikirkan yang awak mengalami trauma yang terlalu teruk saja. Tapi, penjelasan yang awak berikan sekarang ini lebih masuk akal." Zhuge Yue mengangguk dan menerima penjelasan wanita itu sebelum dia meneruskan, "Patutlah saya tak mempunyai kecerdikan ataupun kekejaman awak semasa saya berumur tujuh atau lapan tahun. Ia sebab awak bukan berumur tujuh atau lapan. Jangan cakap yang awak berumur 70 atau 80 tahun semasa awak mati?"

Memang sukar bagi Chu Qiao untuk memahami akal logik pemuda itu semasa dia berkata dengan tidak percaya, "Saya… Saya berumur 27 tahun."

"27?" Zhuge Yue berkerut dan berkata dengan tidak gembira, "Itu dah dikira agak matang. Awak dah berkahwin ke? Awak ada anak?"