"Keluarga Chu pasti amat dirahmati kerana telah dikurniakan dengan seorang waris yang amat berbakat dalam keluarga mereka. Mereka ini budiman, berpendidikan dan juga dihormati ramai. Mereka ini berakhlak mulia dan bertamadun, baik hati dan juga sering mengekalkan keharmonian. Dengan ini, Chu Qiao telah dikurniakan gelaran Gundik Utama Empayar Maharaja. Beliau akan mengendalikan segala hal-ehwal kenegaraan untuk memastikan kemakmurannya."
Sebuah suara yang lantang dan kuat bergema di seluruh landskap yang terang-benderang itu. Sebuah mahkota yang diperbuat daripada emas tulen telah diletakkan di hadapan mazbah kuil pusaka empayar. Objek-objek yang diingini oleh khalayak ramai seperti cap mohor jed kerajaan dan berus-berus telah diletakkan di tepi mahkota kerana objek-objek itulah yang menandakan kekuasaan dan juga kekayaan seseorang. Setelah mengambil selangkah ke hadapan, wanita itu akan memegang objek-objek tersebut di dalam tapak tangannya yang bermaksud tiada sesiapa di dalam dunia ini yang mampu menyakiti wanita ini dengan sebegitu mudah lagi.
Chu Qiao berdiri di atas Tapak Phoenix sambil memperlihatkan kelibat yang tidak terkira ramainya sedang melutut di hadapannya. Dia boleh melihat segala kecemburuan, kebencian, kengerian, ketakutan, kewaspadaan dan juga sekelumit perasaan berharap di dalam pandangan kelibat-kelibat di bawahnya itu. Namun, tiada satu wajah pun yang telah membuatkan dia berasa mesra dan hangat di dalam dirinya. Tangga jed di bawah tapak kakinya itu terasa sejuk, begitu juga dengan sinaran matahari yang memancarkan cahayanya.
Seorang cendekiawan daripada Jabatan Adat Istiadat telah melutut di hadapan Chu Qiao dengan sepucuk surat yang telah dicop berada di dalam genggaman tangannya. Lelaki yang berada dalam lingkungan umur 70 tahun itu menundukkan kepalanya manakala lututnya yang telah uzur itu menggeletar.
Angin bertiup lembut melewati sekumpulan burung helang yang sedang berlegar-legar di udara. Wanita itu segera meraih pandangannya untuk melihat ke arah pintu gerbang bandar ibu negara Tang yang berwarna merah yang telah berhadapan dengan pelbagai jenis onar dan malapetaka sepanjang ratusan tahun ini. Ia seolah-olah sedang membalas renungan mata wanita itu dalam keterujaan saat-saat bersejarah ini. Selagi wanita itu menerima objek tersebut, dia akan meraih kuasa mutlak terhadap pemerintahan seperempat tanah daripada benua ini.
Pada saat itu, Chu Qiao tiba-tiba merasakan yang dia dapat melihat sepasang anak mata yang penuh dengan kedinginan namun berunsur keghairahan itu sekali lagi. Dia masih teringatkan kata-kata pemuda yang kacak itu, "Jangan lupa, tunggu saya! Ingat! Tunggu saya!"
Bunyi semboyan yang menandakan permulaan majlis pertabalan tiba-tiba dilaungkan lantang. Seekor kuda pertempuran berdiri di laluan masuk jambatan yang terletak di luar Ibu Negara Tang sementara rumput musim luruh yang sudah layu dan berwarna kuning itu beralun-alun apabila ditiup angin manakala mentari pula memancarkan cahayanya yang keemasan pada tanah tandus itu.
Pemuda itu sedang memakai pakaian serba ungu sementara rambutnya pula telah disikat kemas, kelihatan amat kacak dengan renungan matanya yang mendalam. Sehembusan angin bertiup melewati pemuda itu dan lantas menyusup masuk ke dalam loceng yang telah diikat di sekeliling lehernya, membuatkan ia berkata-kata.
"Ingat, saya sedang tunggu awak."
Saya sedang tunggu awak… Saya sedang tunggu awak…
Kemegahan seluruh landskap di hadapan matanya itu sekali lagi dipamerkan dengan jelas semasa kepulan awanan itu kian menghilang, membenarkan matahari untuk bersinar kembali.
Bum! Sebuah bunyi dentuman tiba-tiba bergema dari arah pintu gerbang selatan bandar yang telah menyebabkan seluruh kuil pusaka empayar itu bergegar.
Seawanan asap debu mula membentuk dari kaki langit di sebelah selatan. Lebih banyak semboyan dan siren yang telah dibunyikan sementara banyak kuda-kuda yang sedang menderap ke arah kuil pusaka empayar. Para tentera yang berada di atas kuda itu berlaung, "Raja Jingan sedang menyembah duli ke sini dengan pasukan tenteranya! Jeneral Xu Shu telah membelot dan menyebelahi pihak musuh! Raja Jingan sedang menyembah duli ke sini dengan pasukan tenteranya! Jeneral Xu Shu telah membelot dan menyebelahi pihak musuh!"
Bandar tersebut lantas merudum ke dalam kehuru-haraan beberapa saat selepas itu apabila wajah setiap seorang manusia yang berada di situ telah bertukar menjadi kelam. Wajah Sun Di yang sedang berdiri di bawah platform itu juga telah bertukar pucat. Lelaki yang berusia 70 tahun itu tadi tiba-tiba terjatuh di atas lantai sementara surat yang telah dicop maharaja itu terdampar di atas tangga jed, memancarkan sinaran keemasannya.
Chu Qiao melangkah ke bawah perlahan-lahan dan bergerak ke hadapan Sun Di. Pemuda itu lantas meraih pandangannya untuk melihat wajah wanita itu dengan kedinginan dan juga ketakutan yang jelas terpampar pada anak matanya.
"Jeneral Sun," Chu Qiao mengeluarkan kepala surat bersama nama-nama pegawai itu. "Ini senarai nama para pegawai yang dah berkomplot dengan Raja Jingan secara rahsia untuk memberontak. Sila uruskan hal ini secepat mungkin."
Wajah para pegawai yang menghadirkan diri bertambah kelam dan pucat apabila mendengar kata-kata Chu Qiao itu. Sun Di segera mencapai senarai nama tersebut sebelum memandang wanita itu dengan penuh curiga. Barulah sekarang dia memahami wanita yang sedang berdiri di hadapannya ini.
"Saya akan mengetuai sekumpulan tentera untuk menyambut kehadiran Raja Jingan. Saya akan letakkan keselamatan seluruh bandar ini dan juga keselamatan Tuanku Maharaja ke dalam tangan kamu."
"Kita ada kurang dari 150,000 orang ahli tentera di dalam bandar ini. Jumlah angka pasukan musuh…"
Chu Qiao menyampuk kata-kata pemuda itu dengan berkata, "Kita masih ada Jeneral Xu."
"Jeneral Xu tak…"
"Ini bukan kali pertama dia berbuat sebegini."
Sun Di sememangnya berasa terkesima. Dia memandang Chu Qiao yang sedang membuka pakaian dirajanya yang tampak ceria dan mewah itu untuk mempamerkan baju perisai berwarna perak yang sedang didondonkan wanita itu di dalamnya. Wanita itu lantas menanggalkan perhiasan kepalanya sebelum meliputi rambutnya dengan sehelai kain hijau dan melonjak naik ke atas seekor kuda yang telah dibawa oleh He Xiao. Kemudian, dia segera berlepas ke arah luar bandar bersama dengan Pasukan Tentera Xiulinya.
150,000 orang ahli tentera yang telah ditugaskan di luar dan di dalam bandar telah bersiap sedia menunggu Chu Qiao. Dia tidak lagi memperagakan raut wajah dingin dan tidak beremosi, namun kini dia sedang memancarkan aura bersemangat, bagaikan seekor phoenix yang telah dibangunkan kembali daripada debuan. Wanita itu menghunus pedangnya sementara dia bergegas ke hujung pintu gerbang bandar sebelum berlaung lantang, "Buka pintu gerbang ini!" Pada saat itu, wanita tersebut kelihatan seperti sang matahari yang sedang terbenam, kelihatan indah dan megah sehingga mampu mengeluarkan tangisan si pemandang.
Sun Di hanya mampu melihat ketika pintu gerbang bandar dibuka perlahan-lahan. Ribuan ahli tentera empayar tersebut sedang menderap laju ke arah medan perang yang terletak lima kilometer jauhnya daripada bandar tersebut dengan kelajuan yang dahsyat, meninggalkan kesan debu yang besar di belakang mereka.
Para pahlawan selalunya akan dilahirkan di saat-saat yang paling genting. Wanita itulah pedang yang didamba-dambakan semua orang.
Wanita itu bagaikan dapat mendengar kata-kata terakhir Li Ce semasa angin berdesir melepasi telinganya. "Selepas kemangkatan saya, pihak istana pasti akan jadi huru-hara. Adik-beradik Zhan itu bukannya harimau yang tak bertaring. Serigala-serigala sebenar terletak dalam keluarga diraja ini. Sun Di itu seorang yang radikal. Kalau dia melakukan sesuatu yang mencurigakan, awak kena teruskan saja dengan rancangan kita dan berikan objek yang saya berikan itu kepada Hanshui. Selepas Xu Su nampak benda itu, dia pasti akan ikut arahan awak. Pasukan Tentera Serigala di bawah pimpinan Tie You itu pun pasti akan ikut arahan awak. Ia akan dikira sebagai menyelam sambil minum air kalau awak boleh ambil peluang ini juga untuk menghapuskan para pengintip yang telah diletakkan oleh pembesar-pembesar feudal di dalam istana ini. Bagi lelaki Zhuge itu pula, janganlah fikir yang dia itu pandai pada setiap masa. Kalau awak masuk campur, dia akan jadi bodoh juga. Awak tak perlu nak ingatkan dia pula. Biarkan saja dia ketuai pasukan tenteranya untuk menyelamatkan awak. Kalau begitu, jumlah angka terkorban buat Tang pasti akan berkurangan dan saya juga boleh naikkan angin dia. Qiaoqiao, awak dah jalani kehidupan yang susah. Kalau awak jadi lebih susah disebabkan kematian saya, saya tak akan boleh bertenang walaupun kalau saya dah mati."
"Jangan hampakan saya."
...…
Anak mata Chu Qiao mula bergelinangan. Dia segera mengetap bibirnya sebelum melibas kudanya sekali lagi. Kedua-dua pasukan tentera ini telah mula bertempur di dalam medan perang. Xu Su mengetuai pasukan tentera bahagian hadapan semasa para pahlawan tersebut menghunuskan pedang gergasi mereka di dalam genggaman. Sehelai bendera disangkut di belakang pemuda itu yang jelas terpampang sebuah ayat yang tertulis, 'Bunuh sang pemberontak, hapuskan sang pegawai yang korup.'
"Bunuh!" Pasukan Tentera Serigala segera melaungkan sorakan peperangan mereka. Konflik besar pertama semenjak majlis pertabalan Maharaja Yongjun akhirnya tercetus di bawah langit keemasan yang menjadi landskap.
Pada hari kelapan bulan kesepuluh dalam Kalender Yongjun, majlis pertabalan pura-pura itu telah menyebabkan Raja-Raja dari Jingan, Duanqing, Huayang dan Dagong untuk memberontak. Mereka telah menghantar 180,000 orang tentera untuk menuju ke Sempadan Hanshui di mana semua sekutu-sekutu mereka telah berkumpul di sana. Sekutu mereka termasuklah Fang Huaihai yang telah menjadi naib jeneral Kem Pasukan Jinji Shennan, Tian Rujia, admiral Pasukan Tentera Barat Dianxi, Liu Mubai, penolong komander Pasukan Tentera Xizhao, Zhu Jiong, seorang jeneral daripada bandar Huai dan juga Xu Su iaitu jeneral Hanshui. Bersama-sama, mereka telah membentuk sebuah pasukan yang berjumlah 400,000 orang ahli tentera untuk memusnahkan segalanya yang berada di dalam halangan mereka sementara menuju ke ibu negara Tang. Semasa pemimpin ibu negara empayar tersebut telah mendengar tentang khabar berita tersebut, wanita itu telah mengarahkan untuk membuka pintu gerbang selatan supaya dia dapat menyapa pasukan musuh.
Namun, ketika Fang Huaihai, Tian Rujia, Liu Mubai, Zhu Jiong dan juga Xu Su ternampak simbol yang dibawa oleh wanita itu, mereka segera bergegas ke sisinya untuk membantu. Mereka telah berganding bahu bersama Chu Qiao untuk membunuh 30,000 orang musuh dan juga menangkap pemberontak-pemberontak yang lain. Raja Jingan iaitu Zhou Yun telah mangkat di dalam tangan Jeneral Xu semasa umurnya berusia 57 tahun.
Dua hari kemudian, Chu Qiao telah menggantung cap mohor maharaja itu pada pintu gerbang istananya sebelum melutut di bawah kuil pusaka empayar tersebut. Ia bertujuan untuk merayu kepada mendiang maharaja mereka supaya pemuda itu menarik balik perintahnya di atas alasan dia seorang wanita dan dia tidak mungkin dapat meraih kuasa mutlak. Pada keesokan harinya, Maharaja di Yongjun telah memperkenankan permintaan wanita itu dan melucutkan Chu Qiao daripada gelarannya sebagai Gundik Empayar Maharaja. Namun, wanita itu telah dikurniakan dengan gelaran pembesar feudal kehormat Tang dan juga nama samaran yang baru iaitu Xiuli sebelum mempersembahkannya dengan pelbagai jenis hadiah demi hadiah.
Chu Qiao sedang memakai jubah berwarna putih semasa dia berdiri di hadapan pintu gerbang istana tersebut sementara matahari yang terbenam sedang memancarkan cahayanya pada tubuh badan wanita tersebut. Ia telah membuatkan wanita itu dihurung dengan aura ketenangan dan kedamaian yang jauh berbeza dengan aura yang dipancarkannya ketika di medan perang.
Kereta kuda Sun Di baru sahaja berlepas dari kawasan istana. Ketika pemuda itu ternampak Chu Qiao, pemuda itu cepat-cepat mengarahkan supaya gerabak tersebut berhenti. Dia lantas melangkah ke arah wanita tersebut dengan senyap, masih tertanya-tanya cara untuk memulakan perbualan. Setelah seketika, dia merendahkan pandangannya setelah melihat wanita itu sedang berada dalam angin yang baik dan berkata, "Jeneral Chu."
"Pasukan Tentera Xiuli dah mula selesa di Tang ini. Mereka bukan lagi pasukan tentera peribadi saya. Dengan mempertanggungjawabkan mereka kepada kamu, saya bukan lagi jeneral Pasukan Tentera Xiuli. Jangan panggil saya 'jeneral' lagi." Chu Qiao berkata dengan nada lembut.
Sun Di yang telah menyaksikan kehandalan wanita ini dalam medan pertempuran langsung tidak berani untuk memandang rendah terhadap dirinya lagi. Pemuda itu lantas mengangguk dan membalas, "Betul kata Jeneral itu."
Chu Qiao tersenyum semasa dia meneruskan, "Kamu boleh lepaskan mereka-mereka yang membantah akan majlis pertabalan saya pada hari itu. Maharaja kita masih muda. Jadi, kita masih ada banyak masa untuk menawan hati rakyat jelata. Saya tak akan keluarkan perintah tersebut bagi pihak dia. Selepas saya berangkat pergi, jangan lupa tentang para pegawai yang setia di dalam penjara itu."
Sun Di membalas, "Saya akan ingat kata-kata bernas Jeneral itu."
"Jeneral Sun, kata-kata yang kamu dengari itu daripada raja Xiuli di Tang ini. Sekarang, saya, Chu Qiao, ada beberapa perkara yang saya hendak beritahu kamu juga."
Sun Di terkaku semasa dia memandang wajah Chu Qiao yang indah itu. Dia mengangguk dan membalas, "Sila cakap."
"Kamu tahu yang seorang wanita tak akan boleh menaiki takhta, kan? Tak kira walau apa pun yang berlaku, walaupun kalau saya ini Gundik Empayar Maharaja ataupun pemerintah Tang, ia langsung tak akan memberi kesan pada arena politik di Yan Bei ataupun Xia. Bila masa yang tepat telah tiba, peperangan pasti akan berlaku juga. Tiada rancangan berkomplot secara rahsia yang mampu mempengaruhi situasi ini. Sekarang ini, pengaruh kuasa penentangan telah pun dihapuskan, tapi kamu tak boleh terlalu bersenang hati. Tiada sesiapa yang boleh menjangkakan apa yang bakal terjadi dalam permainan ini. Kita hanya boleh cuba sebaik mungkin untuk mengubah nasib supaya menyebelahi kita dan juga untuk melindungi keturunan Li Ce dan juga Empayar Tang."
Sun Di yang sedang berkerut lantas memandang wajah Chu Qiao. Dia pun berkata dengan nada yang mendalam, "Jeneral Chu, kenapa Jeneral letakkan banyak tanggungjawab yang penting kepada saya, walaupun saya dah berkomplot terhadap Jeneral?"
Chu Qiao tersenyum dan membalas dengan acuh tak acuh. "Ada tiga sebab. Pertamanya, Tie You sedang memimpin Pasukan Tentera Serigala dan juga Jingji sementara Jeneral Xu Su sedang memimpin pasukan-pasukan tentera di luar ibu negara. Mereka semua itu para pegawai yang setia. Kamu pula pegawai cendekiawan. Walaupun kalau kamu ada pengaruh kuasa politik, kamu tak boleh mengetuai pasukan tentera. Kamu pun tak ada kena mengena dengan keluarga diraja. Walaupun kamu nak memberontak, kamu tak akan ada pengaruh kuasa yang cukup besar untuk berbuat sebegitu."
Matahari yang terbenam memancarkan cahayanya ke wajah Chu Qiao ketika dia menyambung, "Yang kedua, ibu negara Tang ini baru saja berhadapan dengan beberapa pertempuran. Rakyat jelata perlukan masa untuk berehat dan juga untuk membina semua bangunan-bangunan yang telah musnah. Dengan kejatuhan Raja Luo dan juga Jingan, reputasi keluarga diraja dah melonjak beberapa peringkat. Kamu juga tidak disanjungi oleh rakyat jelata, jadi mereka tak akan dengar kata-kata kamu."
"Ketiga," Chu Qiao tersenyum dan sekaligus mempamerkan wajahnya yang licik, "Saya percaya pada kamu."
Degupan jantung Sun Di berdetup apabila pemuda ini melihat wajah Chu Qiao seakan-akan tidak mempercayai apa yang baru didengarinya.
"Saya percaya pada kamu. Li Ce pun percaya pada kamu juga. Walaupun kadangkala tingkah-laku kamu itu melampau, tapi kamulah antara pegawai yang paling setia di Tang ini. Sebelum kemangkatan Li Ce, dia ada katakan yang kamulah pegawai terbaik buat tugas ini. Saya seratus peratus bersetuju dengan dia."
Wanita itu lantas menyerahkan dua keping surat kepada Sun Di. "Ini surat yang telah ditulis secara peribadinya oleh Putera Ketujuh Xia, Zhao Che dan juga Raja Qinghai, Zhuge Yue. Mereka sanggup membentuk sebuah pakatan dengan Tang. Kedudukan kamu akan diperkuatkan lagi dengan kedua-dua pengaruh kuasa luaran ini. Kamu tak perlu risau tentang penentangan dalaman yang berlaku di sini. Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menyokong kamu. Saya percaya yang kamu akan membesarkan seorang maharaja yang berkebolehan."
Jari-jemari Sun Di menggeletar semasa dia mencapai dua keping surat tersebut bersama tanggungjawab-tanggungjawab besar yang mengiringinya. Dia lantas berlutut di hadapan Chu Qiao sebelum menyatakan, "Jeneral, Jeneral jangan khuatir. Saya, Sun Di, bersumpah yang saya akan setia pada Tang. Jika sesuatu yang buruk berlaku pada Tang, saya akan mati untuk tebus segala dosa saya."
"Jeneral Sun, sudah-sudahlah dengan bersikap formal itu." Chu Qiao segera membantu pemuda itu supaya berdiri sebelum memandang wajahnya dengan penuh keikhlasan. "Semenjak kamu ini kawan Li Ce, jadi kamu pun kawan saya juga. Kalau dia percayakan kamu, maksudnya saya juga percayakan kamu."
Sun Di berdiri di atas tembok kota yang megah tersebut sementara Chu Qiao diiringi ke luar bandar oleh He Xiao, Pingan dan yang lain-lain sambil bertemankan matahari yang sedang terbenam. Sebuah bayangan panjang lantas terbentuk di atas tanah tandus yang berwarna keemasan semasa wanita muda itu menderap kudanya dengan penuh laju, bagaikan seekor burung helang yang baru sahaja dilepaskan daripada cengkaman penjara. Jubahnya yang berwarna putih itu terbentang luas di belakangnya apabila wanita itu ditiup angin semasa dia menunggang kudanya.
Dia seekor helang yang tidak mampu dipatahkan sayapnya. Tiada siapa yang mampu memaksanya untuk terus menetap di sesuatu tempat itu jika bukan atas kehendaknya sendiri.
Pada saat ini, Sun Di segera memahami mengapa rakannya itu telah mendedikasikan tahun demi tahun buat wanita yang baru sahaja berlalu pergi ini. Perkenalannya dengan wanita itu sememangnya sesuatu yang membuka minda, di mana pemuda itu langsung tidak menyedari yang perwatakan sebegitu wujud di dalam dunia ini. Dia lantas meraih pandangannya sebelum menghela nafas yang panjang, seakan-akan dapat melihat wajah ceria rakannya itu sementara dia mengguman dalam kekehan, "Cuba teka sama ada puteri ketiga Jeneral Hu itu pakai alat solek atau tidak?"
Angin musim luruh terus bertiup lembut. Bulan ini merupakan bulan yang agak sejuk, namun hasil tanaman yang diperoleh juga banyak.