Sun Di memandangnya dan berkata dengan tenang, "Kalau kamu mahu melihat seluruh empayar Tang runtuh menjadi debu, kalau kamu mahu menjadi orang berdosa selama-lamanya di Tang, kamu boleh memberitahu orang lain apa yang saya katakan kepada kamu. Lagipun, kita ini rakan seperjuangan, jadi saya tidak akan menyalahkan kamu kerana fikiran sempit kamu. Salah saya kalau pemikiran saya tak dapat difahami oleh semua orang. "
"Tapi, kamu mahu Cik Puan Chu untuk... Bukan ke kamu akan menghancurkan kebahagiaan dia?"
Sun Di menggelengkan kepalanya dan melepaskan ketawa sebelum menepuk-nepuk bahu Tie You. "Walaupun saya percaya yang Cik Puan Chu tak mempunyai cita-cita, saya masih harus mengawasi dia. Sekiranya Zhuge Yue berkahwin dengan dia pada masa akan datang, mestilah saya akan beranggapan yang isteri raja Qinghai akan menguruskan isu-isu negara." Cahaya bulan menerangi langit ketika lelaki itu berpaling untuk pergi. Suaranya yang lemah menghanyut diulit kegelapan, bagaikan sudah mengalah. "Boleh ke sesebuah kerajaan itu diperintah oleh seorang wanita yang mulia? Jurang ini terlalu dalam dan tiada siapa yang ingin terjun ke dalam. Jadi, biar saya seorang saja yangpergi..."
Bulan sabit terapung-apung di langit manakala angin musim luruh di darat pula telah menggugurkan dedaunan apabila ia melintasi tanah, membuatkan pemandangan itu kelihatan sunyi.
Kediaman Mihe masih terasa sejuk seperti biasa. Namun begitu, ia telah menjadi bahagian Istana Jinwu yang paling meriah dengan beberapa orang yang masih berjalan-jalan di sekitar kawasan itu. Ada yang mengatakan bahkan burung-burung juga tidak mahu menghinggap di tempat lain di Istana Jinwu. Istana Jinwu telah menjadi tempat yang sunyi. Tidak ada lagi perayaan, jamuan, penari Donghu bermata biru atau alunan lagu di sepanjang malam. Istana itu lantas ditenggelami dengan perasaan kesayuan sehinggakan burung bulbul juga meninggalkan istana dan bunyi pernafasan seseorang juga jelas dapat didengari ketika seseorang berjalan melintasi istana.
Semua orang meneruskan kehidupan mereka dengan senyap, seolah-olah untuk mengelak daripada mengejutkan roh yang berlegaran dengan pergerakan yang bising. Potongan kain putih melitupi istana menyembunyikan segala kemegahan dan kemewahan yang menjadi ciri-ciri utama tempat ini. Setiap objek yang menghiasi dinding-dinding istana bagaikan melaungkan kenangan dan memori pemuda itu, termasuklah pokok-pokok sycamore, air jernih, setiap bangunan, halaman istana dan juga gunung buatan manusia itu.
Maharaja baru saja tidur di atas katil Chu Qiao. Pada hari itu, dia menyaksikan bondanya, Maharani Bonda Yuan, membunuh diri. Semenjak daripada hari itu, Maharaja kecil tersebut tidak dapat tidur nyenyak. Dia pasti akan berkerut erat apabila dia tidur seolah-olah dia sedang berada dalam ketakutan walaupun ia hanyalah mimpinya. Raja Rong berbaring di sebuah katil lain dan tidur nyenyak dibuai mimpi indah bersama senyuman manis terukir di pinggir bibirnya. Dia menyerupai ayahandanya.
Chu Qiao terduduk di depan tingkap kerana dia tidak lagi berasa letih. Lilin putih dibakar di latar belakang bersinar memancarkan cahayanya yang agak malap. Warna merah dapat dilihat di bawah cahaya lilin. Dia memegang surat-surat tebal yang belum dibuka di tangannya. Dengan itu sahaja, dia duduk di sana selama lebih dari empat jam.
Kata-kata Sun Di bermain-main di dalam fikirannya sekali lagi. Dia berpaling untuk melihat kedua-dua wajah kanak-kanak yang dikenali dengan perasaan terkejut. "Licik betul dia itu," Chu Qiao menggumam pada dirinya sebelum tersenyum. Dia memikirkan ekspresi lelaki itu pada kali terakhir dia mengucapkan kata-kata itu. Pemuda itu memang tidak dapat dinafikan lagi seorang yang pintar dan dapat membaca minda seseorang. Namun, bagaimana pula pemuda itu tidak dapat membaca fikirannya? Zhuge Yue akan berasa marah kepadanya ke? Apa yang tertulis di dalam surat itu? Adakah dia akan memarahinya? Membenci dia? Atau membebel? Mungkin dia akan melakukan semua itu. Tiba-tiba, dia teringat kata-kata yang diberitahu kepadanya pada malam itu. Di bawah cahaya bulan, ketika pokok-pokok sedang bergoyang, pemuda itu telah berpaling dengan wajah kacaknya untuk menatap wanita tiu dan bertanya dengan perlahan, "Perjalanan kita belum berakhir. Mungkin ada perubahan yang akan berlaku di sepanjang jalan. Awak berasa takut?"
Pada masa itu, angin bertiup ringan dalam cuaca yang hangat. Lengannya kelihatan seperti seekor rama-rama yang terbang di udara apabila ditiup oleh angin. Dia mengetepikan semua perasaan bimbangnya sebelum mentertawakan pemuda itu dan mengatakan yang dia tidak berasa takut. Kemudian, pemuda itu telah mengukir sebuah senyuman yang amat lembut. Ia merupakan salah satu ekspresi wajah yang amat jarang dilihat daripadanya, namun ia langsung tidak kelihatan janggal, tiada perasaan dengki dan tiada niat untuk bertengkar. Itu sebuah senyuman tulus. Di bawah cahaya bulan, dia menundukkan kepalanya dan menanam ciuman di sebelah bibir wanita itu sambil meletakkan tangannya di belakangnya, menyerap segala kewangiannya dan menikmati masa ini yang telah diimpikannya selama bertahun-tahun.
Masa telah menjadi musuh ketat kepada hubungan mereka. Walau bagaimanapun, hubungan mereka bertahan dengan ujian ini kerana ia kekal kukuh sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini.
Dia mengulurkan tangannya dan memampatkan surat-surat dan meletakkannya di atas lampu lilin. Api segera menelan surat-surat itu yang akhirnya menjadi abu. Masih ada banyak mata di dalam istana yang kosong ini.
Apabila Sun Di tiba pada hari berikutnya, Chu Qiao telah mencantikkan dirinya sendiri. Dia berpakaian merah dan emas, dihiasi dengan aksesori berwarna sama. Kecantikannya bagaikan mampu menerangi seluruh bilik. Sun Di memandang Chu Qiao dengan perasaan yang sungguh terkejut. Selepas beberapa ketika, dia berjaya tersenyum sambil berkata, "Cik Puan, nampaknya Cik Puan dah buat keputusan."
Wanita itu terduduk di atas kerusi utama di dewan utama. Cahaya matahari terasa amat menyilaukan ketika ia bersinar di tubuhnya. Walaupun berpakaian mewah, pandangan yang serius di matanya tetap tidak berkurangan. Dia memandang Sun Di dengan tegas dan berkata dengan nada dingin, "Baiklah. Saya rasa saya tidak mengecewakan kamu."
Sun Di agak goyah, tetapi dia tetap mengekalkan ketenangannya ketika dia menundukkan kepalanya. "Saya terharu dengan kata-kata Cik Puan itu."
Chu Qiao tidak berkata apa-apa sambil melambai tangannya. "Saya mengagak yang kamu sudah tahu bagaimana caranya untuk menangani keadaan ini. Terserah kepada kamu untuk membuat keputusan."
"Ya, saya tidak akan mengecewakan Cik Puan."
Dalam seketika, reaksinya telah berubah. Dia berpaling dan berasa sukar untuk memberi senyuman yang dingin.
Sun Di teragak-agak untuk seketika sebelum dia berkata, "Upacara itu akan berlangsung dalam tiga hari."
"Tiga hari?" Chu Qiao mengangkat bulu keningnya. "Tak terlalu cepat ke?"
"Tak mengapa. Saya akan kerah Jabatan Adat Istiadat. "
"Bagaimana dengan perutusan diraja dan surat perisytiharan rasmi?"
Sun Di tersenyum dan menjawab secara santai, "Cik Puan sudah terlupa ke? Surat yang diberikan oleh mendiang maharaja yang memberi Cik Puan gelaran puteri belum lagi diisi dengan nama. Dengan beberapa suntingan, semuanya akan diselesaikan. Tarikh masa juga betul. Lagipun, surat itu ditulis secara peribadi oleh maharaja. Para pegawai pasti akan mempercayainya. Selain itu, dengan pengaruh yang Cik Puan ada kini, saya rasa tiada siapa yang akan membantah. "
"Hmm, kamu mempunyai rancangan yang teliti juga," Kata Chu Qiao tanpa emosi.
Meremang bulu roma Sun Di apabila dia berkata dengan nada berat, "Saya akan pergi membuat persiapan yang diperlukan sekarang."
"Baiklah," Chu Qiao mengangguk dengan ekspresi lelah di wajahnya.
Sun Di bergegas beredar. Ketika dia keluar dari pintu, suara wanita itu bergema mengiringi pemergiannya. "Ini kali terakhir."
Sun Di terhenti dan segera berpaling, tetapi Chu Qiao sudah pun melangkah masuk ke dalam istana. Adakah itu halusinasi pemuda itu sahaja? Dia berkerut erat. Sun Di ketawa dengan sepenuh hati dan memandang ke langit biru. Dalam seketika itu, dia seolah-olah dapat melihat mendiang maharajanya yang telah menjadi kawannya sedang memandang pemuda itu dengan senyuman besar di mukanya.
"Dengan melakukan ini semua, saya rasa Cik Puan akan berasa gembira. Walaupun dia tidak nampak sedemikian, tapi saya rasa hati dia mesti meluap-luap dengan perasaan gembira," Sun Di menarik nafas panjang dan menutup matanya dengan senyap.
'Tak mengapa kalau Cik Puan membenci aku. Selagi aku dapat mempertahankan nama baik keturunan keluarga Li dan Empayar Tang, semuanya pasti akan berbaloi.'
Pada hari kelima bulan kesepuluh, menurut titah mantan maharaja, Jeneral Xiuli telah diumumkan sebagai Gundik Utama Maharaja Empayar Tang. Wanita itu telah bersumpah di bawah cap mohor maharaja, jika dia mempunyai anak-anak pada masa akan datang, wanita ini akan menjadi Maharani Tang.
Oleh kerana keputusan itu telah dibuat tiga bulan lalu ketika Li Ce masih hidup, Chu Qiao menjadi satu-satunya wanita yang diberi gelaran gundik utama maharaja walaupun baru dipilih. Seluruh dunia sedar akan jenis perkahwinan ini. Gundik Xiuli ini tidak akan dapat menzahirkan zuriat untuk Li Ce, maka dia hanya akan kekal sebagai gundik utama saja sepanjang hidupnya.
Upacara pertabalan itu telah dijadualkan untuk berlangsung tiga hari kemudian. Langsir hitam melitupi seluruh bandar Tang Jing, sementara Jabatan Adat Istiadat menyediakan jubah diraja berwarna hitam pertama dalam sejarah selama seribu tahun. Pegawai dari pelbagai tempat bergegas untuk menyediakan hadiah mereka dengan pelbagai jenis kuda dapat dilihat menderap laju di sepanjang laluan bandar ke arah ibu kota itu.
Semua orang sedang menunggu untuk pernikahan selepas kematian maharaja yang akan berlaku dalam tiga hari ini. Perhatian berbagai-bagai empayar telah tertumpu pada acara ini sebaik sahaja seluruh dunia telah digoncang oleh wanita ini sekali lagi. Semua orang tahu dia bukan sekadar gundik, tetapi wanita yang akan memerintah Tang selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang. Wanita yang dilahirkan sebagai hamba di Xia ini telah mendaki gunung politik sehingga ke puncaknya dan lantas menjadi terkenal sebagai legenda hidup dengan seluruh pengalamannya.
Apabila Yan Xun mengetahui berita itu, dia sedang menghiburkan beberapa tetamu penting di istananya. Feng Zhi berjalan ke arahnya untuk berbisik beberapa ayat di telinga pemuda itu. Ekspresinya berubah secara mendadak sebelum pemuda itu menumpahkan wain ke atas jubah hitamnya.
Tetamu yang sedang dihiburkan oleh para pelayan itu segera tersenyum dan bertanya, "Tuanku, kenapa ini?"
Yan Xun ketawa dengan senyap sebelum menggelengkan kepalanya dan menjawab, "Helang yang saya telah jaga selama bertahun-tahun baru saja melepaskan diri. Maaf kerana menganggu."
"Oh, burung saja," Tetamu tersebut ketawa dengan terbahak-bahak sebelum menyambung, "Yan Bei ini tempat yang luas. Sekiranya Tuanku akan menawan Xia pada masa akan datang, dunia dan segala penghuninya akan berada dalam genggaman Tuanku. Walau bagaimanapun, oleh disebabkan Tuanku gemar akan helang, patik akan menghantar seseorang untuk menangkapnya untuk Tuanku. Selamat maju jaya dalam penaklukan Tuanku!"
Ketawa demi ketawa terburai dari dalam Istana Shuofang, bergema di dataran luas tanah tinggi Yan Bei. Dunia ini memang besar dan nasib memang seperti anak panah. Sebaik sahaja ia dilepaskan, tidak akan pulang.
Malam itu, Yan Xun mendaki Pergunungan Luori untuk sampai ke Istana Nada bersama beberapa orang bawahan. Istana ini masih mengagumkan seperti biasa. Dia terduduk di sana buat masa yang lama sambil ditemani matahari yang terbenam, mewarnai landskap dengan warna merah terang seperti bunga Huoyun di Dataran Huolei.
Ketika wain menuruni kerongkongnya, visinya beransur-ansur menjadi kabur. Anak matanya tidak lagi memancarkan ketegasannya, malah dia kelihatan seperti seorang yang kehilangan sesuatu. Oleh kerana tiada sesiapa yang sedang berada di sisinya, dia boleh melepaskan segala emosi yang terbuku di dada untuk meneroka setiap pelosok bilik, merehatkan mindanya.
"Ah Chu, berkahwinlah dengan saya."
"Baiklah…"
"Saya akan sentiasa melayan awak dengan baik."
"Saya akan sentiasa percayakan awak."
"Ah Chu, apabila konflik di timur berakhir, mari kita berkahwin."
...
"Ah Chu, semua ribut yang melanda kita telahpun berlalu, tetapi kita masih bersama."
Semuanya akan berubah, tetapi kita akan tetap sama.
Kita tidak akan berubah ...
Tawaan rendah tiba-tiba bergema dari istana dan lantas memeranjatkan Feng Zhi. Dia segera berpaling ketika dia terhidu aroma wain.
'Tuanku dulu tidak minum wain. Semenjak wanita itu pergi, wain bagaikan telah menjadi suatu keperluan buat pemuda itu.'
Ketika Feng Zhi memikirkan tentang wanita itu, kesedihan mula meragut-ragut dadanya. Pada akhirnya, mereka merupakan dua jiwa pilu yang telah terpisah dari satu sama lain. Mereka hidup dalam kesakitan, masing-masing tidak dapat mencari keamanan.
Angin Yan Bei mula terasa sejuk ketika musim sejuk mendekati mereka sekali lagi.