Chapter 238 - Bab 238

Pada masa itu, kebetulan pula terdapat sekumpulan penduduk yang hendak turun dari Pelabuhan Xian Yang. Beberapa orang lelaki yang keletihan mengetuai beberapa ekor kuda dan melaporkan, "Pesanan dari rumah. Tiada siapa yang mengetahui Tuan Muda tak hadir. Tuan Ketujuh memberitahu Tuan Muda boleh meneruskan dengan urusan Tuan sendiri dan selagi Tuan kembali dalam masa sepuluh hari, semuanya akan menjadi baik."

Lelaki berpakaian ungu tersebut mengerutkan dahinya sedikit. Bibirnya yang merah serta matanya yang berbentuk seperti sebuah telaga tidak berpenghujung yang tidak mampu diungkapkan oleh sesiapa yang memandang. Dia memanjat ke atas kudanya dengan pergerakan yang pantas dan penampilannya itu menunjukkan tanda-tanda perasaan terganggunya akibat unsur-unsur tersebut.

"Perjalanan ke Tang Jing hanya memakan masa selama tiga hari jika melalui jalan pintas. Masalah kita sekarang ini adalah ketiadaan bandar besar di sepanjang perjalanan ini. Sekiranya kita bertemu dengan masalah, nahaslah kita."

"Kita kesuntukan masa. Biar kita gunakan jalan pintas sahaja."

Seorang hamba berpaling dan memandang lelaki yang berpakaian ungu tersebut lalu mencadangkan, "Tuan, perlu ke kita sediakan kereta? Sudah banyak hari Tuan tak cukup tidur."

"Tak perlu." Lelaki tersebut menggelengkan kepalanya sebelum bertanya dengan bersungguh-sungguh, "Ada apa-apa berita dari Tang Jing tak?"

"Selepas Cik Puan Chu mengalahkan Zhan Ziyu, seluruh pihak istana menjadi aman. Hanya ada beberapa perselisihan kecil mengenai siapa yang sepatutnya menjaga maharaja. Hamba rasa akhirnya Cik Puan Chu mungkin akan mengikuti rancangan salah seorang daripada mereka."

"Berani dia buat begitu?!" Lelaki itu mendengus dengan ekspresi wajahnya yang kelihatan agak muram. "Saya mahu tengok siapa yang berani berbuat demikian!"

Orang ramai mula mengikuti lelaki itu dengan memanjat ke atas kuda masing-masing. Mereka terus hilang dari jalan lama Xian Yang dengan pergerakan kuda yang berlari laju. Tidak lama kemudian, mereka keluar dari kawasan bandar dan mengambil jalan kecil melalui pintu pagar Barat. Setelah lama berpisah, semuanya sudah berubah dan penduduk di situ juga tidak lagi kelihatan.

Dalam sekelip mata sahaja puluhan tahun sudah berlalu. Tiba-tiba, dia bukan lagi gadis muda yang berperwatakan kebudak-budakan dan lelaki itu juga bukan lagi seorang anak muda yang degil. Masa sekali lagi telah melakarkan pelbagai jenis sempadan dan penghalang di antara mereka yang bermula dari keluarga, negara, cinta, perang dan perpisahan. Tetapi akhirnya, perhubungan mereka seperti benang yang tidak berkesudahan. Tidak kira bagaimana takdir dengan sedaya upayanya cuba untuk memisahkan mereka, mereka tetap diikat bersama oleh tali merah itu.

Angin kuat yang bertiup jauh dari Yan Bei membelai lembut wilayah besar Empayar Xia melalui Empayar Tang yang masih hangat. Deruan angin tersebut lantas akan bertukar menjadi bunga mekar apabila tiba di Empayar Song dan akhirnya sampai ke gelombang ombak yang tidak berpenghujung di laut timur lalu lenyap ditelan ombak.

"Perjalanan kita masih panjang dan mungkin kita akan berhadapan dengan lebih banyak perubahan. Awak tak takut ke?"

"Saya tak takut."

"Ingat, saya sedang menunggu awak."

Malam itu terasa sangat sejuk dengan cahaya bulan sahaja yang menjadi lampu malap yang menerangi jalan panjang purba yang kotor itu. Serpihan kenangan masa lalu yang sering dipenuhi dengan darah dan peperangan itu sekaligus menghilangkan rasa kebahagiaan dan harapan seseorang. Hanya ketenangan yang masih kekal logik untuk memisahkan emosi pada masa lalu dan tindakan yang terbaik untuk keadaan sekarang.

"Sayang sekali kerana akhirnya saya masih tak percayakan takdir!"

Malam itu terasa seperti tidak berpenghujung ketika tapak kaki kuda kedengaran tergesa-gesa. Ibu kota Tang yang sudah lama tidak dilihatnya kini berada di hadapan matanya. Berita mengenai Jeneral Xiuli yang akan dikurniakan dengan gelaran permaisuri sudah tersebar ke seluruh Empayar Tang hanya dalam masa satu malam. Shennan, Dianxi, Yuelin, Yunmo dan kawasan lain bersatu untuk melancarkan rusuhan dan yang paling kuat membantah adalah wilayah Selatan. Raja Jingan, Raja Duanqing dan Duke Huayang telah menaikkan bendera pemberontakan mereka secara berturut-turut.

Kesemua kuasa-kuasa ini telah menyembunyikan diri semasa pemberontakan Raja Luo dan juga tidak hadir semasa pemerintahan adik-beradik Zhan tetapi memunculkan diri secara tiba-tiba dengan slogan "hapuskan ahli sihir itu". Mereka membawa seramai 180,000 orang askar untuk menuju ke Ibu Negara Tang. Sepanjang perjalanan, para pegawai diberi akses segera kepada pasukan mereka.

Sun Di seolah-olah telah meramalkan kejadian ini lama dahulu dan telah meletakkan sejumlah 200,000 orang askar dari wilayah Timur untuk mengawal Sungai Hanshui yang dipimpin oleh Xu Su. Sejumlah 100,000 orang askar dari tentera Serigala mengawal ketat ibu negara dan pengawalan dipertingkatkan lagi di setiap pusat pemeriksaan. Kini, ibu kota sudah dikawal dengan ketat dengan barisan bilah dan tombak yang rapi lalu membentuk sebuah lautan yang seolah-olah kelihatan seperti mereka telah bersiap sedia untuk memburu musuh-musuh yang datang dari arah Selatan.

Semuanya sudah lengkap dipersiapkan dan hanya tinggal upacara yang akan berlangsung dalam masa tiga hari itu sahaja lagi.

Pada musim luruh itu, seluruh bandar telah dikawal di bawah undang-undang tentera disebabkan oleh persiapan upacara pertabalan yang akan diadakan di pentas Phoenix lantas membuatkan jalan yang kebiasaannya sibuk kini menjadi sunyi sepi. Satu-satunya perkara yang masih hidup adalah daun musim luruh yang berguguran jatuh dari pokok sycamore seperti rama-rama yang bermain dengan bunga.

Di kediaman Sun Di, seorang sida yang berpakaian seperti seorang pembantu sedang berlutut di atas lantai sambil melaporkan dengan suara tajam yang dikira unik untuk sida-sida, "Cik Puan Chu telah bertengkar dengan Meixiang dan hal ini telah mengejutkan Maharaja dan Puteri Xiao. Pada akhirnya, hamba mendengar Cik Puan Chu telah memutuskan untuk tidak meninggalkan Empayar Tang."

Sun Di menyentuh lembut keningnya dan bertanya, "Kamu pasti ke?"

"Saya sangat pasti. Meixiang menangis dengan kuat dan maharaja muda pula menghunus pedangnya. Cik Puan Chu juga telah membakar surat daripada Marsyal Xia."

"Bila Meixiang pergi?"

"Dia sudah pergi sebelum langit cerah dan pemuda yang dipanggil Pingan itu menemani dia keluar. Cik Puan Chu kata dia akan kembali ke Bandar Xuefu."

Sun Di mengangguk. Selepas beberapa lama, dia berkata, "Pemergiannya itu suatu perkara yang bagus. Dia hanya akan menjadi penghalang sekiranya dia tinggal di sini." Reaksi wajah lelaki tersebut kekal tidak beremosi. Dia mengeluarkan dua jongkong emas dan memberitahu, "Pergi dan teruskan, saya akan pastikan yang kamu diberi balasan yang setimpal."

"Saya berbesar hati, Tuan Sun."

Selepas hamba itu berlalu pergi, Sun Di memanggil salah seorang pengawalnya. Selepas berfikir sejenak, dia berkata dengan perlahan-lahan, "Cari pembantu Cik Puan Chu iaitu Mei Xiang dengan segera. Kalau dia kembali ke Bandar Xuefu, tolong iringinya dan sekiranya dia mahu ke tempat lain, kamu tahu apa yang perlu dilakukan."

Lelaki itu segera berkata, "Orang bawahan Tuan ini faham." Kemudian, dia terus berpaling dan berjalan keluar. Tidak lama kemudian, kedengaran suara kuda yang meringkik sebelum ia melangkah pergi.

Sun Di membuka tingkap dan hanya dapat melihat sudut bulan sabit. Sekali pandang, ia kelihatan seperti kening seorang wanita.

"Semoga semuanya… Akan menjadi baik."

Suasana aman berterusan selama dua hari selepasnya. Seluruh sesi dewan persidangan telah ditenggelami dengan kesunyian, tiada sesiapa yang mempunyai sebarang komen kecuali beberapa orang arkivis. Para pegawai itu sama ada diberi tekanan oleh Sun Di atau takut akan Chu Qiao yang masih memimpin di barisan hadapan yang besar. Pada awalnya, Sun Di berniat untuk menguruskan sendiri beberapa orang yang menentang dengan kuat tetapi sebelum dia sempat bertindak, Tentera Xiuli sudah menghumban setiap seorang daripada mereka ke dalam penjara.

Selepas mengetahuinya, Sun Di berasa sangat bimbang. Walaupun para pegawai ini degil, tetapi mereka masih tetap setia kepada Empayar Tang sehingga ke akhirnya. Tiada sesiapa yang benar-benar tahu sekiranya mereka dilayan dengan teruk oleh Tentera Xiuli memandangkan kesetiaan pasukan tersebut terhadap Chu Qiao yang tidak berbelah bahagi.

Dia secara peribadinya telah menuju ke istana untuk berbincang dengan wanita yang sepatutnya memimpin keseluruhan empayar ini. Dia sedar helahnya sudah dapat dikesan oleh Chu Qiao dan sebab itu dia tidak berani membuat wanita itu terlalu marah. Oleh itu, dia hanya mampu memberitahu para pengawal penjara dengan berhati-hati supaya menjaga pegawai-pegawai lama tersebut.

Malam ini telah ditakdirkan untuk menjadi malam tanpa lena kerana keesokan harinya Chu Qiao dikurniakan gelaran ini secara rasminya. Ini juga merupakan kali pertama sejak awal pemerintahan Empayar Tang di mana mereka perlu mengahwinkan seorang dengan Maharaja yang sudah mangkat. Jabatan Adat Istiadat telah bertungkus lumus siang malam untuk memastikan semua perhiasan bersesuaian dan pentas Phoenix dapat disiapkan. Pada masa ini, ramai pegawai yang sedang berkumpul sambil merancang sesuatu di antara mereka. Tiada siapa yang tahu akan arah tuju yang bakal diterajui oleh Empayar Tang dan semua keluarga bangsawan memfokuskan tumpuan mereka kepada wanita yang mempunyai hubungan rapat dengan kebanyakan orang berkuasa ini. Adakah wanita itu akan menjadi orang bawahan yang setia ataupun seorang autokrat yang zalim? Adakah dia akan membiarkan masyarakat seperti sediakala atau adakah dia akan menubuhkan sebuah diktator seperti Yan Bei? Tiada seorang pun yang dapat menentukannya. Selepas keesokan hari, adakah Empayar Tang masih akan dipimpin oleh Keluarga Liu? Sebenarnya, itulah persoalan tepat yang dipersoalkan oleh orang ramai pada malam itu.

Seluruh tentera Xiuli berada dalam keadaan tenang. Mereka sedikit pun tidak berasa gentar dengan khabar angin itu. Cahaya bulan yang dingin dan berwarna keperakan menyinari seluruh tapak perkhemahan dan juga tapak latihan ketenteraan yang langsung tidak berpenghuni.

Kain di hadapan khemah utama He Xiao terselak lalu seseorang yang berpakaian jubah hitam dan menutupi seluruh mukanya berjalan masuk. Kebetulan He Xiao sedang minum di mejanya sambil berpakaian biasa berwarna coklat. Dengan rambutnya yang tidak disisir rapi dan kolar bajunya yang tidak berbutang, seseorang dapat melihat otot dada lelaki itu yang berwarna kuning langsat yang agak keemasan. Terdapat aura kekasaran dan ketegasan yang terpancar dari pemuda tersebut. Dia mengerutkan keningnya sedikit apabila melihat tetamunya itu tetapi mendiamkan diri.

Tetamu tersebut membuka topi yang dipakainya lantas mendedahkan wajahnya yang cantik dan sambil tersenyum dia berkata, "Setahu saya, minum alkohol pada tengah malam ini adalah satu perkara yang melanggar undang-undang ketenteraan."

He Xiao memandang ke arah wanita itu tetapi dia tidak bersuara dan hanya terus minum.

Chu Qiao berjalan lalu duduk di hadapan lelaki itu. Dia mengangkat kepalanya sedikit dan bertanya, "Awak tak mahu jemput saya minum?"

He Xiao melempar secawan wain yang menghasilkan bunyi logam ke arahnya dengan bersahaja. Namun, pemuda itu tidak berniat pun untuk menuangkan wain tersebut kepada Chu Qiao. Wanita itu langsung tidak terusik dengan tindakan itu lalu dia menuangkan wain ke dalam cawannya sendiri dan menghabiskannya dalam satu tegukan. Lantas, dia merasakan perutnya penuh dengan alkohol seolah-olah dia baru sahaja menelan seketul batu arang merah yang panas. Sambil berkerut dia berkata, "Kuat betul rasa arak ini."

He Xiao yang memandang ke arahnya masih mendiamkan diri lalu dia menjadi serius dan bertanya, "Kalau saya tak datang mencari awak, awak tak akan datang mencari saya ke?"

He Xiao mengangkat keningnya sedikit dan menatap wajahnya sebelum bertanya, "Saya rasa agak pelik. Bagaimana awak masih boleh tersenyum dan ketawa?"

"Kenapa tidak? Situasi ini lebih baik daripada sewaktu kita terpaksa mempertahankan Beishuo."

Tiba-tiba He Xiao berpaling untuk mengekeh. "Betul juga, situasi ini lebih baik. Dengan kuasa yang banyak, ia akan menjadi lebih baik."

Chu Qiao bersandar ke hadapan dengan anak matanya yang bersinar seperti bintang pada tengah malam sambil bertanya dengan dingin, "He Xiao, awak rasa saya orang yang macam itu ke?"

Walaupun lelaki tersebut mengetahui tentang hal itu, masih terdapat kemarahan dan kekecewaan tertentu yang telah terdetik di dalam hatinya, membuatkan dia tidak dapat menahannya walau apa pun yang berlaku. He Xiao menatap tepat ke dalam mata Chu Qiao. Di dalam ekspresi wajahnya yang dingin itu ada kemarahan tetapi ada juga rasa simpati.

Chu Qiao hampir berlutut ketika dia bersandar ke hadapan untuk berbisik sesuatu ke telinga lelaki tersebut. He Xiao tidak berapa ambil peduli pada mulanya tetapi tiba-tiba ekspresi wajahnya bertukar secara drastik. Dia mengangkat kepalanya dengan rasa terkejut lalu menatap ke arah wanita yang berani itu.

"He Xiao." Chu Qiao tersenyum ke arahnya dalam ketenangan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini lalu bertanya, "Sudi tak awak nak tolong saya?"

Jeneral muda tersebut berfikir lama sebelum mengukirkan senyuman. Dia menghulurkan tangannya lalu mereka menjabat tangan seperti waktu dulu-dulu.

Terdapat sebuah kumpulan yang bergegas di atas jalan ketika malam menjelma lagi. Tiba-tiba ada satu lagi kumpulan lain muncul di hadapan mereka. Lelaki yang mengetuai kumpulan itu menarik tali kudanya. Ketika kuda yang muncul itu tergesa-gesa melepasi mereka, orang-orang di atas kuda tersebut tiba-tiba terhenti dan turun dari kuda sambil menjerit dengan kuat, "Tuan Muda Keempat!"

Malam itu sememangnya telah ditakdirkan untuk menjadi malam yang tidak berpenghujung. Banyak pasukan bertembung antara satu sama lain di dalam penyamaran kegelapan dan senyap-senyap menunggu upacara tersebut.

Malam itu terasa seperti tidak berpenghujung.

Ketika ayam jantan berkokok untuk menyambut hari baru pada keesokan harinya, matahari yang terbit menyinari seluruh dunia dengan sinaran berwarna emas kemuliaan. Di dalam istana, Raja Runan yang rambutnya hampir bertukar putih sepenuhnya itu sedang membaca wasiat mendiang maharaja. Dia yang berasa gementar terus melutut ke atas lantai.

Memakai pakaian bertuah yang bersulamkan naga dan awan, Chu Qiao memakai perhiasan di kepalanya yang diperbuat daripada 18 biji jed delima. Di pingganggnya, terdapat tali pinggang emas yang dihiasi dengan warna ungu diraja. Memandangkan ini merupakan perkahwinan mendiang maharaja, pakaian bertuah tersebut berwarna hitam dan naga yang berwarna-warni juga telah disulamkan dengan warna gelap manakala awan pula disulamkan dengan benang emas dan kebanyakan perhiasan yang dipilih juga berwarna gelap. Chu Qiao kelihatan sangat kemas dan sopan dalam pakaian tersebut namun sebuah kesuraman masih lagi bermain-main di dalam hati setiap orang yang membuatkan orang ramai mengalih pandangan mata mereka.

Ketika kereta kuda phoenix tersebut memulakan perjalanannya dari istana utama, ia melalui Dataran Zhangyu, Jalan Ros, Pintu Gerbang Anhua, Pintu Gerbang Taiqing, Pintu Gerbang Tai'an bahkan keluar dari Istana Jinwu dan memasuki Jalan Qingyun di mana hanya orang-orang kaya yang tinggal di situ sebelum berpatah balik ke Jalan Tianqi dan menuju ke pentas naga di Kuil Pusaka.

Di sepanjang laluan itu, semua orang awam duduk berlutut sambil memberi kata-kata penghormatan dengan kepala mereka yang dirapatkan ke atas tanah. Ketika rombongan tersebut melepasi kawasan itu, ia telah menghasilkan awan debu di mana sekali pandang ia kelihatan seperti ribut pasir.

Pada musim luruh di mana daun-daun berguguran, banyak pakaian hitam yang menutupi seluruh Ibu Kota Tang. Langit kelihatan sangat biru dan tinggi sementara matahari pula kelihatan sangat jauh. Segala-galanya tampak sangat indah seolah-olah seperti sebuah karya seorang pakar seni. Keagungan empayar tersebut seolah-olah mampu menutup dan menyembunyikan lapisan darah yang mengalir di laluan menuju ke garisan atas.

Ketika kereta tersebut berhenti, seseorang dapat melihat pentas phoenix itu dengan 366 anak tangga jed dan hampir 100 kaki tinggi. Boleh dilihat pemandangan seluruh Tang Jing apabila seseorang berdiri di atas tangga itu. Malah Istana Jinwu yang megah itu kelihatan pucat jika dibandingkan dengan seluruh pemandangan ini.