Chapter 236 - Bab 236

Hari-hari telah menjadi semakin sejuk apabila musim luruh tiba dan angin yang bertiup membawa bau bunga kekwa. Bunga teratai dan daun sycamore di dalam Kolam Tai Qing sudah lama layu dan terapung memenuhi ruang kolam. Seluruh dewan itu sunyi sepi seperti tasik yang tidak terusik. Suara Sun Di memecah kesunyian dan seperti bau kemenyan, berlegaran di telinga semua orang.

"Puteri Yunkang, Cik Puan Huayang Pangkat Satu, Cik Puan Runan, Cik Puan Duanqing dan Cik Puan Jingan telah menyatakan kerelaan hati mereka untuk menjaga Maharaja. Tambahan pula, Raja Runan, Raja Duanqing, Raja Jingan, Tuan An dan Tuan Yun juga telah menunjukkan kesetiaan mereka. Kini, dewan persdangan dibahagikan kepada dua dengan majoriti jeneral-jeneral berpihak kepada Raja Jingan sementara pegawai pentadbiran kebanyakannya memihak kepada rancangan supaya ketiga-tiga wanita itu ditugaskan untuk menjaga Maharaja bersama-sama dan ketiga-tiga Raja ditugaskan untuk mengawasi pemerintahan bersama."

Bayu yang bertiup menggoyangkan tanaman di luar tingkap. Chu Qiao yang sedang duduk di atas tikar lembut memakai jubah putih untuk pakaian di dalam rumah. Semasa dia bersandar di tingkap dengan sebelah tangannya, dia mendongak untuk melihat ke arah langit malam yang dihiasi dengan Sycamore. Lengan bajunya yang besar terselak lalu mendedahkan sebahagian lengannya yang putih seperti salji. Tiada sesiapa yang dapat memberitahu apa yang sedang difikirkannya melalui mata hitamnya itu.

"Jeneral tentera berkuda, Xie Xu telah mengetuai 70,000 orang tentera Selatan dan sudah sampai di Pergunungan Matahari Terbenam. Mereka akan tiba di ibu kota tak lama lagi. Xie Xu merupakan orang gaji kepada Raja Jingan dan dia mesti diawasi kerana telah membawa tenteranya bersama. Saya dah memerintahkan supaya Jeneral Xu Su untuk mengawal di Hanshui. Walaupun Xie Xu mengenali Maharaja yang baru, dia akan menyeberangi Sungai Hanshui seorang diri tanpa askarnya."

"Xie Xu?" Chu Qiao yang bersandar di tingkap langsung tidak memusingkan kepalanya sambil menyambung dengan tegas, "Semasa Raja Luo memberontak, kita langsung tidak mendengar apa-apa khabar daripada dia. Kenapa baru sekarang dia tiba-tiba menjadi begitu patriotik?"

Suara Sun Di tidak goyah ketika dia menjawab dengan tegas, "Jika kita tidak mempunyai alasan yang benar, mereka tak akan setia sepenuhnya di mana itulah logiknya."

Akhirnya mata Chu Qiao beralih untuk melihat ke arah Sun Di melalui ekor matanya. Dia sudah dapat meneka apa yang lelaki itu mahu katakan namun dia tidak memberikan jawapan yang pasti dan hanya berpaling semula sambil memerhatikan ombak di luar. Dia tidak bercakap buat masa yang lama.

"Tambahan pula, anak lelaki Ahli Terhormat Liu iaitu Liu Yuanzong dah menghubungi saya. Dia memberitahu apabila tiba masa yang tepat, dia akan menghubungi beberapa sekutu lama Keluarga Liu untuk membantu Cik Puan. Buat masa sekarang apa yang mereka perlukan ialah alasan yang bagus dan juga peluang."

Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kaki yang tergesa-gesa dari arah luar istana. Kedua-dua mereka berpaling dan melihat Maharaja yang memakai baju bercorak naga emas sedang berlari tanpa memakai kasut sambil berlinangan air mata. Dia menerkam ke dalam pelukan Chu Qiao dan mula menangis. Dua orang pengasuh yang mengikutinya di belakang terus melutut di atas lantai apabila mereka melihat Chu Qiao dan Sun Di.

Kanak-kanak itu masih kecil dan ketinggiannya hanya mencapai paras pinggang Chu Qiao. Dia menangis sambil menjerit, "Mak Cik! Bonda dah datang untuk mencari saya! Bonda dah datang."

Chu Qiao menarik maharaja muda itu untuk menyapu air matanya dengan sapu tangan miliknya sebelum bertanya dengan lembut, "Maharaja bermimpi lagi ya?"

Kanak-kanak tersebut mencebik lalu terus menangis, "Kepala bonda saya penuh dengan darah dan dia menggosok kesan darah itu kepada saya."

Chu Qiao menenangkannya, "Maharaja, jangan takut ya, kamu hanya bermimpi dan ia tidak benar. Bonda kamu sangat sayangkan kamu. Kenapa dia mahu cuba menakutkan kamu pula?"

"Mak Cik-" Li Xiuyi berterusan memeluk Chu Qiao dengan erat dan enggan melepaskannya.

Sun Di menunjukkan rasa belas kasihan apabila melihat Maharaja kecil itu. "Maharaja masih muda. Kalau dia jatuh ke dalam genggaman tangan orang yang mahu memanipulasi dia, siapa yang tahu berapa banyak kesedihan yang dia akan lalui."

Tiba-tiba Chu Qiao mula berasa jengkel dengan pemuda itu. Dia mengarahkan, "Malam sudah semakin lewat ini. Tuan, tidak sesuai untuk Tuan berada di sini dengan lebih lama. Meixiang, tolong hantar dia pulang."

Sun Di tidak kelihatan begitu kecewa dan selepas dia mengucapkan salam penghormatan, dia berpaling dan terus pergi.

Meixiang kelihatan agak marah ketika dia menjeling ke arah kelibat Sun Di. Selepas melihat dia pergi, wanita itu berkata, "Cik Puan, jangan dengar cakap kosong lelaki itu! Apabila Tuan Muda Keempat datang, kita akan bawa Maharaja kecil bersama."

Belum sempat Chu Qiao menjawab, Li Xiuyi mengangkat kepalanya lalu bertanya, "Mak Cik nak pergi ke?"

Chu Qiao menundukkan kepalanya dan melihat ke dalam anak mata hitam kanak-kanak tersebut dan dia seolah-olah dapat melihat bayangan seseorang di matanya. Dia seperti dapat melihat kembali adegan di mana salji telah memenuhi keseluruhan pemandangan sambil angin sejuk sedang bertiup kencang. Ketika itu pemuda tersebut telah mengabaikan persoalan yang meragukan dari seluruh negara dan menghantar tenteranya ke Sempadan Longyin lalu menyelamatkan dirinya. Dia masih dapat merasakan kesejukan baju perisai yang disandarnya ketika mereka melarikan diri meninggalkan tempat itu dan lelaki tersebut melindunginya daripada pertarungan dan peperangan seperti dinding yang tidak sempurna tetapi tidak akan pernah roboh.

Chu Qiao mendepakan tangannya lantas memeluk erat kanak-kanak tersebut.

Ketika lilin terus membakar, waktu malam di istana terasa begitu panjang. Sun Di berjalan dengan santai dari pintu tepi Pintu Gerbang Tai'an sambil jubahnya yang longgar itu berkibar lembut ditiup angin. Di suatu sudut, Tie You sedang duduk mencangkung sambil menunggu Sun Di keluar dan lantas melangkah ke arah rakannya itu sewaktu dia melihat Sun Di keluar. Sun Di memandang Tie You dengan tenang sambil mengukir senyuman kecil di mulutnya lalu bertanya dengan santai, "Jeneral Tie nak ajak saya minum ke?"

"Kamu ke yang bunuh bonda Maharaja?" Suara Tie You kedengaran tegas dan mendalam. Pandangan matanya tidak terganggu walaupun dia bertanya dengan tiba-tiba.

Ketenangan Sun Di sedikit pun tidak terganggu dengan soalan itu malah dia tersenyum dan menjawab dengan yakin, "Apa maksud kamu, Jeneral Tie? Maharani Yuan membunuh diri dengan menghentakkan kepalanya di dinding. Kejadian itu telah disaksikan oleh orang ramai dan kamu pun ada di situ pada masa itu. Bagaimana pula ia boleh ada kaitan dengan saya?"

Tie You tidak terperanjat ketika mendengar penjelasan lelaki itu malah dia bertanya sambil mengerutkan keningnya, "Saya diberitahu pada malam sebelum kejadian, kamu dah menghantar sepucuk surat kepada Cik Puan Yuan semasa kamu masih berada dalam penjara. Selepas dia membaca surat kamu, dia pergi ke kediaman Maharaja sehingga kejadian tersebut berlaku. Para pembantu kediaman yang melayannya berkata dia telah menangis sepanjang malam dan langsung tidak menjamah makanannya. Apa sebenarnya yang kamu tulis dalam surat itu?"

"Apa yang saya boleh cakap? Yang pastinya saya hanya mengingatkan dia supaya berhati-hati dengan adik-beradik Zhan."

Tiba-tiba Tie You melangkah ke arah Sun Di dan menjegilnya sambil menjerit, "Kalau seringkas itu, kenapa kamu membunuh dua orang sida-sida yang telah menyampaikan surat itu kepada Maharani dan menyelongkar seluruh Istana Yixin malam tadi?"

Wajah Sun Di akhirnya membeku. Dia berpaling dan berkata dengan dingin, "Saya tak tahu apa yang kamu cakapkan ini." Selepas dia berkata demikian, dia mengangkat kakinya untuk pergi.

"Sun Di!" Tiba-tiba Tie You menjerit lalu menyedarkan beberapa orang pengawal walaupun mereka berada agak jauh. Tie You menyambung dalam keadaan dadanya yang berombak turun dan naik, "Kalau kamu tak nak orang tahu, kenapa kamu masih lakukannya? Ada beribu-ribu pasang mata yang sedang memerhatikan kamu. Kamu fikir rancangan itu akan berlangsung dengan sempurna?"

Cahaya bulan yang sejuk tertumpah ke atas belakang Sun Di. Pakaian hijaunya yang sedang berkibaran itu memancarkan sejenis aura dari pemuda tersebut.

Dia berpaling dengan perlahan-lahan sambil melihat jauh ke dalam jiwa Tie You lalu menjawab tanpa melangkau satu rentak pun, "Tie You, kamu tak ingat ke asal usul status kelahiran kamu yang rendah itu?"

Tie You berasa sedikit terkejut dan perasaan yang tidak menyenangkan tiba-tiba terlintas di matanya sambil berkata dengan dingin, "Tie You dilahirkan sebagai orang biasa dan tidak dapat dibandingkan dengan kelahiran mulia Tuan Sun Di."

"Saya tak membandingkan keturunan saya dengan kamu." Sun Di menolak kata-kata itu dengan santai. Dalam cahaya bulan yang pucat, wajahnya yang kacak kelihatan sedikit licik. Bajunya berkibaran ditiup angin sambil menyambung kata-katanya, "Saya hanya ingin bertanya, kamu sudah lupa ke apa yang Tuanku telah lakukan supaya kita berdua dapat bangkit dengan pengaruh kuasa yang banyak sebegini?"

Sekali lagi Tie You terkejut tetapi dia cepat-cepat bertenang. "Jadi, cara kamu untuk membalas jasa Tuanku dengan membunuh bonda Maharaja muda kita sebelum mencetuskan pemberontakan?"

"Apa lagi yang saya boleh buat? Biarkan Maharaja muda itu digulingkan dengan bantuan bondanya? Hmph, kalau begitu tak sampai tiga tahun seluruh Empayar Tang akan dikawal oleh Raja Jingan, Zhou Yun."

Hujung mulut Sun Di melengkung ke atas dan matanya bercahaya dengan penuh kelicikan seperti seekor musang. Buat seketika dia kelihatan seperti tidak berasal dari dunia ini.

"Sebenarnya, Tuanku telah meramalkan perkara sebegitu mungkin berlaku dan adik-beradik Zhan mungkin akan mengambil alih kuasa serta melancarkan penentangan. Saya risau yang saya tak akan dapat memenuhi perintah itu dan saya mesti melakukan kekacauan di Empayar Tang. Dengan kematian Zhan Ziyu di tangan Jeneral Xiuli, walaupun Maharani Yuan tidak membunuh diri pada hari itu, saya akan pastikan dia mati juga selepas itu. Dia agak bijak dan telah membuat pilihan yang tepat lalu menyelamatkan saya daripada banyak masalah. Apabila seluruh perkara menjadi kacau-bilau, barulah Cik Puan Chu akan mendengar rancangan saya dan tidak ikut Zhuge Yue untuk meninggalkan Empayar Tang."

Tie You benar-benar berasa terkejut dengan rancangannya itu. Pada masa itu, tembok-tembok tinggi istana kelihatan sangat menyesakkan. Ketika burung-burung malam terbang melintasi istana, mereka mengeluarkan bunyi jeritan yang mengejutkan semua orang supaya kembali ke alam nyata. Kening Tie You berkerut rapat dan mulutnya ternganga sedikit dan selepas beberapa ketika barulah dia menjawab, "Kamu ini sudah gila."

"Tidak, saya tak gila." Sun Di mengangkat kepalanya dan tubuh badannya kelihatan menegak ketika dia menunjuk ke arah langit di Utara. Dengan pandangan yang tajam dia berkata kepada Tie You, "Kamu belum dengar lagi ke? Seruan peperangan bermula di Utara dan terdapat jutaan mayat yang ditinggalkan untuk mereput di pintu pagar Sempadan Yanming. Empayar Xia akan hancur manakala Yan Xun yang berbakat dan kejam itu akan menguasai Yan Bei. Satu-satunya alasan kenapa Empayar Xia masih tidak jatuh kerana Zhuge Yue selaku Raja Qinghai telah membuka bahagian depan. Selepas sahaja Zhuge Yue pergi, bagaimana pula Zhao Che mampu berhadapan dengan serangan Yan Bei berseorangan? Pada awalnya, Xia telah mengalami konflik mengenai perebutan kuasa dalaman dan setiap kuasa cuba merebut kuasa yang paling besar untuk diri mereka sendiri. Zhao Yang bukanlah seorang yang berpuas hati dengan arahan orang lain. Apabila Empayar Xia ditakluki, kita akan kehilangan perantara Utara. Pada masa itu, kita akan berhadapan dengan Yan Bei dari barat melalui jalan air di Sempadan Selatan dan pasukan darat Yan Bei dari Utara. Di Timur kita pula, ada Nalan Hongye yang merupakan sekutu lama Yan Bei. Bukan itu sahaja, dengan kuasa dalaman seperti Raja Jingan, Zhou Yun yang cuba mengambil alih kuasa, bagaimana Empayar Tang dapat bertahan?"

Tie You benar-benar terkejut lalu Sun Di menyambung lagi, "Emapayar Tang telah mengalami banyak kehilangan dan kerugian di dalam pertempuran dengan Raja Luo. Selepas Tuanku mangkat, ada banyak kuasa dalam negara ini yang ingin mengambil alih takhta. Kalau benua Barat Meng masih kekal dalam keadaan yang terpisah, kita akan selamat. Walau bagaimanapun, apabila Yan Bei berjaya mengalahkan Empayar Xia, itulah hari kiamat untuk Tang. Kita sangat terhutang budi dengan Tuanku dan disebabkan sekarang dia sudah tiada, kamu fikir saya boleh duduk dan lihat saja semasa seluruh Empayar Tang dimusnahkan?"

"Walaupun… Walaupun begitu, kamu tak sepatutnya membunuh Maharani Yuan. Dia hanyalah gundik Tuanku dan ibu kepada Maharaja muda!" Muka Tie You berubah merah ketika dia menjerit.

"Dia seorang wanita yang tidak berguna." Sun Di mendengus tidak berpuas hati sambil menjerit, "Buat masa sekarang ini, satu-satunya jalan untuk kita bertahan dengan memastikan Empayar Xia juga boleh bertahan. Kalau kita gagal memusnahkan Empayar Song sebelum Yan Bei mengalahkan Empayar Xia, kita pasti akan jatuh dalam perangkap maut." Semasa dia berkata begitu, kesan semangat dan keazaman dapat dilihat di matanya.

Sun Di berpaling lalu merenung ke dalam anak mata Tie You sambil berteriak dengan suara yang rendah, "Selagi Cik Puan Chu tinggal satu hari lagi di Empayar Tang, Zhuge Yue akan menangguhkan kepulangannya ke Qinghai. Selagi dia tidak pergi, Yan Xun tak mampu untuk menghantar semua pasukannya untuk menyerang Sempadan Yanming kerana dia takut akan penyusupan dari Sempadan Cuiwei. Selagi Empayar Xia kekal, Empayar Tang masih mempunyai masa untuk pulih. Memandangkan hubungan antara Cik Puan Chu dengan Zhuge Yue dan juga Yan Xun agak rumit, kita akan dapat beberapa bentuk sokongan dari kedua-dua kuasa tersebut. Pada masa akan datang, jika ada mana-mana kuasa dalaman yang ingin merampas kuasa maharaja, mereka harus mempertimbangkan bagaimana Zhuge Yue dan Yan Xun akan memberi tindak balas. Dengan itu, kuasa Maharaja muda boleh disatukan dan walaupun Raja Jingan mahu membuat sesuatu mengikut kehendaknya, dia perlu mempertimbangkan akibat-akibat yang bakal ditanggungnya. Lagipun, Pasukan Tentera Xiuli memiliki kehebatan bertempur dan kesetiaan yang luar biasa, memang boleh ditarafkan Pasukan Tentera Serigala elit Tuanku dan akan menjadi pilihan utama pengawal peribadi Maharaja. Tambahan pula, Cik Puan Chu seorang yang handal dalam bidang ketenteraan dan politik. Apatah lagi sebagai seorang wanita, dia tidak mempunyai semangat atau keinginan untuk kuasa. Kita boleh dapatkan orang yang sesuai seperti dia untuk membantu Maharaja. Boleh ke kamu cari orang kedua seperti dia?"

Tie You benar-benar terkejut dengan rakannya itu, melihatnya seperti dia sedang melihat orang asing yang langsung tidak dikenalinya.