Chapter 235 - Bab 235

Sekeping kertas berwarna kuning melayang-layang di atas lantai semasa angin menghembus ke dalam bilik tersebut. Ia merupakan kertas mandat maharaja. Chu Qiao berjalan ke dalam istana itu dan lantas memijak helaian kertas tersebut. Dia menoleh untuk melihat sebuah kelibat yang sedang berselindung di sebalik tirai dan berkata dengan nada yang tenang namun mendalam, "Saya datang ke sini untuk membunuh kamu."

Zhan Ziyu tergelak dan membalas dengan suara yang tenang juga, "Saya tak sangka yang kamu akan menjadi orangnya."

"Saya tak sangka yang pertempuran kita seterusnya akan jadi seperti ini. Kamu askar yang tersungkur tak lama dulu. Mesti sukar untuk meraih pencapaian yang kamu dah capai ini dalam masa lima tahun saja." Chu Qiao meneruskan dengan suara yang tenang dan wajah yang tidak beremosi.

Zhan Ziyu tergelak sekali lagi sebelum mencemuh, "Kamu sedang cuba nak pujuk saya ke? Taklah sesusah mana. Bukannya senang nak dapat pujian daripada Jeneral Pasukan Tentera Xiuli juga."

Chu Qiao mengekalkan gerak-geri tenangnya dan bertanya, "Kamu ada permintaan terakhir?"

Sebuah kesedihan lantas terlayar di sebalik anak mata Zhan Ziyu sebelum dia berkerut dan berkata dengan marah, "Saya tak akan rasa puas hati selagi saya tak bunuh semua bangsawan-bangsawan hipokrit yang tinggal di Tang ini." Dia menyambung, "Jeneral Chu, kenapa Keluarga Li boleh memerintah negara ini tapi bukan saya? Bukan ke Keluarga Li mendapatkan empayar ini daripada keluarga pemerintah yang lama juga? Kenapa mereka pemerintah yang budiman tapi saya ini seorang pemberontak?" Rasa bangga lantas terdetik di dalam hati pemuda itu. Dia mendongakkan kepalanya untuk melihat ke arah atap bumbung dengan kesungguhan yang jelas terpampar di wajahnya. "Lagipun, saya hanya nak ambil balik apa yang Keluarga Li dah curi daripada saya. Apa salahnya kalau saya buat begitu?"

Chu Qiao langsung tidak terusik dengan kata-kata pemuda itu jadi dia membalas tenang, "Itu masalah peribadi kamu dan langsung bukan masalah saya." Dia mengambil selangkah ke hadapan. Bunyi tapak kakinya terdengar seperti bunyi gendang pada malam hari yang bergema apabila dilantunkan ke dalam dewan-dewan besar istana.

"Kamu dah bunuh seseorang yang saya sayang. Saya akan bunuh kamu untuk balas dendam demi dia." Besi pedang yang dihunuskan daripada pinggang Chu Qiao itu lantas memantulkan cahaya keperakan yang membutakan, menyilau ke wajah Zhan Ziyu dan memancarkan sebuah cahaya putih ke atas mukanya.

"Ada apa-apa lagi yang kamu nak cakap?"

"Lepaskan adik perempuan saya. Dia itu hanyalah seorang wanita. Dia buat segalanya atas arahan saya."

Chu Qiao memandang wajah pemuda itu, namun masih berdiam buat masa yang lama sebelum dia mula terasa kesedihan yang tiba-tiba terdetik di dalam hatinya. Angin yang bertiup ke arah mereka menarik-narik pergelangan baju wanita itu.

"Maaf, saya tak boleh berbuat begitu."

Sepercikan darah yang berwarna merah terang tiba-tiba tersimbah pada baju hitam milik Chu Qiao. Beberapa saat kemudian, warna merah tersebut menghilang apabila ia sudah menyerap ke dalam kainnya.

Chu Qiao membongkok untuk mengangkat kepala pemuda itu yang sudah tergolek-golek di atas tanah. Rambutnya yang hitam pekat telah disikat kemas manakala kulit wajahnya tampak putih mulus. Raut wajah pemuda itu kelihatan lembut, seolah-olah dia baru sahaja terlena dibuai mimpi indah. Darah terus mengalir di bahagian tengkuknya yang telah dipenggal kemas. Ia sememangnya sebuah adegan yang mengerikan.

Swoosh! Chu Qiao lantas melontarkan kepala tersebut ke dalam tapak tangan salah seorang pengawal peribadi sebelum mengatakan dengan nada berat, "Gantungkan kepala itu di atas pintu gerbang istana supaya tentera-tentera daripada Pasukan Tentera Utama dapat melihatnya." Setelah itu, wanita tersebut melangkah keluar daripada Istana Lingxiao sebelum melonjak naik ke atas kudanya dan mengarahkan orang-orang bawahannya yang setia berada di sisinya, "Bergerak ke Istana Roufu."

Bulan purnama telah berarak ke belakang sekepulan awan yang tebal, membuatkan pemandangan pada malam tersebut kelihatan lebih sayu. Para tentera yang sedang lengkap berperisai terus meninggalkan Istana Lingxiao, memulangkan kembali ketenangan dan kesepian yang menghurungi kawasan itu dengan setimbunan mayat. Sekumpulan burung gagak di udara meringkik mengalunkan tangisan mereka, bersama kepak hitam mereka yang seakan-akan melambangkan dewa kematian. Di dalam istana yang kosong itu, mayat tidak berkepala tersebut sedang terduduk tegak di atas kerusi keemasan, lantas menambahkan lagi keseraman kawasan itu.

Pertempuran di Istana Roufu telah tamat pada masa itu. Tie Yu dan Sun Di tiba bersama-sama dengan pakaian yang telah dilumuri darah, mempamerkan lagi kedahsyatan pertempuran yang telah berlaku. Chu Qiao menuruni kudanya sebelum berkata kepada Sun Di, "Mesti susah buat kamu."

Sun Di berpura-pura seperti dia tidak mengendahkannya dengan sebuah gelakan sebelum membalas, "Tak mengapa. Cuma makanan di dalam istana itu saja yang tak sedap langsung. Jadi, berat badan saya pun dah susut."

"Cik Puan, kami dah tangkap Permaisuri Bangsawan Zhan," Tie You menyampaikan dengan nada yang berat.

Chu Qiao meraih keningnya sebelum menyoalkan, "Maharaja bagaimana?"

Tie You meniru raut wajah wanita itu sebelum membalas, "Tuanku terkejut sikit."

"Baguslah kalau begitu." Chu Qiao melepaskan keluhan lega dan meneruskan, "Jadi, kenapa kamu nampak macam murung sangat?"

"Maharani Yuan dah bunuh diri. Semasa kita merempuh masuk ke dalam kediamannya, Maharani ingatkan yang kami ini orang-orang suruhan Permaisuri Bangsawan Zhan. Jadi sebelum kami sempat berkata apa-apa, Maharani dah hentakkan kepala dia ke dinding dan mati."

Chu Qiao berkerut ketat, langsung tidak menyangka yang keluarga Yuan itu mampu menunjukkan tahap pengecut mereka yang sebegitu sekali. Dia telah bersusah-payah mencari jalan keluar buat anakanda dan ibundanya itu, namun ibunda tersebut telah mati tanpa berbuat sebarang bunyi begitu saja.

"Cik Puan," Sun Di melangkah ke hadapan sebelum mengisytiharkan dengan nada yang berat, "Adik-beradik Zhan dah membunuh mendiang maharaja kita dan juga telah bersindiket untuk melancarkan rancangan sulit terhadap Tuanku sebab mereka mendambakan takhta. Bukti-buktinya ada di sini. Kita boleh dedahkan semua kesalahan-kesalahan mereka kepada khalayak ramai pada esok hari."

Chu Qiao lantas mencapai beberapa helaian kertas itu daripada pemuda tersebut, namun ia terasa berat di dalam genggaman tangan wanita itu.

"Lepaskan aku! Hamba tak kenang budi! Lepaskan aku!" Tangisan-tangisan yang mampu meluluhkan jiwa tiba-tiba bergema daripada dalam istana yang terletak tidak begitu jauh. Istana Roufu yang megah ini kini telah musnah sehingga menjadi reruntuhan apabila api yang marak habis menjilat setiap ruangan istana, hanya meninggalkan debu dan puing-puing di serata tempat. Zhan Ziming sedang memakai pakaian serba merah terang semasa dia sedang bergelut cuba untuk melepaskan diri daripada istana tersebut. Namun, dua orang gaji telah menghalang jalannya. Matanya kemerahan manakala aura dirajanya juga telah menyusup keluar dari setiap rongga badannya.

Apabila wanita itu ternampak wajah Chu Qiao, Sun Di dan lain-lain, dia terus terkaku. Dia lantas bertanya kepada Chu Qiao, "Mana abang saya?"

Chu Qiao membalas tanpa sebarang emosi, "Mati."

Setelah terdiam buat masa yang lama, Zhan Ziming tergelak kelat seakan-akan wanita tersebut telah menjangkakan yang hari ini bakal tiba. Suaranya meluluh sementara anak matanya yang kelihatan bersinar itu kian memudar. Dia merenung wajah Chu Qiao sebelum bertanya tenang, "Kamu yang bunuh dia?"

"Ya."

"Bagus, bagus. Orang yang dia suka sememangnya berkebolehan. Patutlah dia hanya setia kepada kamu."

Chu Qiao memandang wanita cantik yang telah dirasuk ini dengan pandangan yang sepi. Dia bagaikan mampu membaca fikiran yang terbuku di dalam hatinya melalui wajah indahnya itu.

"Bagaimana awak nak uruskan Rong'er?"

"Dia bukan saja anak kamu, tapi dia juga anak Li Ce. Saya akan jaga dia dengan baik."

Zhan Ziming mengangguk sebelum melepaskan ketawa kelat. "Baguslah. Tangan saya ini dah dicemarkan dengan darah. Saya yang bunuh dia. Kalau bukan sebab Abang, saya pasti tak akan dapat hidup. Jadi, bunuh saja saya."

Pada saat itu, Chu Qiao seolah-olah boleh melihat hati wanita itu yang telah berkecai melalui senyumannya yang semakin memudar. Wanita tersebut amat mengagumi kakandanya semenjak dia masih kecil lagi, mendengar kata Zhan Ziyu dan mengikuti segala rancangannya. Namun, dia tidak mampu menahan dirinya daripada terjatuh cinta dengan Li Ce semasa pertama kali wanita itu memasuki perkarangan istana. Mungkin sahaja wanita itu langsung tidak menyedarinya sehinggalah dia harus menjalankan rancangan untuk membunuh pemuda itu. Hanya pada masa itulah wanita itu mengerti akan perasaannya terhadap lelaki itu. Semasa mereka berada di luar Istana Yixin pada hari itu, kesedihan dan kesayuan yang wanita itu rasakan nampak ikhlas dan tidak dibuat-buat. Tetapi, buat kedua-dua pemuda yang dicintainya, seorang pemuda tidak mencintainya kembali manakala seorang lagi tidak mampu mencintainya. Akhirnya, dia telah dipermainkan oleh takdir sekali lagi.

"Beri Permaisuri Bangsawan Zhan minum wain beracun itu." Chu Qiao berpatah balik dengan penuh yakin sebelum mengambil dua langkah besar untuk menuju ke luar istana. Angin yang bertiup membenarkan kegelapan untuk menyelubungi seluruh kawasan tersebut. Berbeza sungguh dengan pintu gerbang Istana Jinwu yang terang-benderang sementara bunyi pekikan juga telah menjadi semakin halus dan semakin halus. Bunyi gendang peperangan memecah kesunyian pada malam itu dan bau hamis habuk, darah dan juga mayat-mayat yang telah lama meninggalkan mereka lantas menjemput wanita ini, menghurunginya dari setiap arah.

Dia menggenggam pedang yang tersemat di tangan semasa dia sedang memakai pakaian yang berlumuran darah. Wanita itu berdiri tegak bersama para tentera yang mendondonkan pakaian hitam yang berada di sebelah kiri dan kanannya sambil istana yang berada di belakangnya lama-kelamaan menjadi hangus. Renungan mata wanita itu tampak dingin semasa dia termenung jauh di kaki langit utara, di mana terletaknya kawasan-kawasan sepi yang bagaikan melambai-lambai memanggilnya. Dia langsung tidak berkelip seolah-olah dia sedang memandang seseorang, namun renungannya itu kosong.

"Kematian Permaisuri Bangsawan Zhan…" Sida-sida itu mengisytiharkan lantang.

Tidak lama kemudian, matahari pagi terbit menandakan tamatnya malam yang sungguh panjang. Namun, apakah yang diperlukan untuk menghalau kegelapan yang sedang menghurung jiwanya ini? Takdir itu bagaikan sebuah kebakaran liar yang mampu membakar setiap rongga jiwanya sehingga dia langsung tidak dapat dikenali lagi. Segala harapan dan jangkaan buat masa hadapan bagaikan hancur musnah bersama-sama dengan api ini, diikuti dengan segala emosi kelemahan, kesyahduan, kemurnian hati, kebaikan dan juga tanggapannya terhadap idealisme. Wanita ini kini boleh berdiri dengan kedua-dua belah kaki untuk melindungi segala yang dihargainya. Jika ada sesiapa yang berani melampaui batasan yang telah ditetapkan, wanita ini pasti akan memastikan yang mereka mendapat balasan yang setimpal.

"Mak Cik!" Suara seorang anak kecil lantas bergema apabila kanak-kanak itu melompat ke dalam dakapan Chu Qiao. Maharaja tersebut lantas menangis tanpa henti sehinggakan pipinya menjadi merah.

"Bonda dah mati! Mak Cik, bonda Yi'er dah mati!" Anak kecil itu masih muda lagi, namun sudah terang lagi bersuluh yang dia akan mewarisi wajah kacak ayahandanya, Li Ce.

Wanita itu lantas bercangkung sebelum memeluk anak kecil itu dengan erat. Badan Chu Qiao terasa sejuk, namun hatinya terasa hangat dan mesra. Ini anakanda Li Ce, empayarnya, kediamannya. Pemuda itu telah menjaga Chu Qiao selama bertahun-tahun, sudah tiba masanya dia membalas jasa pemuda itu.

"Yi'er, jangan takut. Yi'er masih ada Mak Cik."

"Cik Puan." Meixiang berdiri di sisi wanita itu sambil mengendong seorang lagi anak kecil di dalam dakapannya.

Chu Qiao berdiri dan melangkah ke sisi Meixiang, sekaligus menyedari yang anak kecil itu adalah putera Zhan Ziming, Li Qingrong. Anak ini yang telah dilahirkan untuk menjadi Raja Rong sedang tertidur dengan sungguh nyenyaknya, sememangnya tidak menyedari segala permasalahan dan pergelutan yang telah hadir disebabkan kelahirannya. Bonda dan ayahandanya telah mangkat lepas seorang demi seorang, lantas meninggalkan tanah suci dan empayar yang tidak stabil ini di dalam tapak tangannya.

"Cik Puan, tengoklah betapa nyenyaknya Putera Ketiga ini sedang tidur." Meixiang telah mula mengasihi anak kecil itu semasa dia menghulurkan tubuh bayi yang kecil itu kepada Chu Qiao sambil tergelak.

Chu Qiao lantas mengendong bayi kecil itu di dalam dakapannya yang lantas mengejutkannya daripada tidur. Anak kecil itu menguap penuh mengantuk sambil mengecilkan matanya untuk memandang wajah Chu Qiao. Anak kecil itu sememangnya seiras dengan Li Ce.

Air mata segera berlinangan pada mata Chu Qiao yang terus memeluk anak kecil itu dengan erat, melagakan pipinya dengan pipi bayi itu. Sebuah kesayuan lantas bermain-main di dalam hatinya.

"Jeneral, putera Ahli Terhormat Liu, Liu Yuanzong, sedang menunggu di luar Pintu Gerbang Qinan dengan sekumpulan cendekiawan dan juga para pegawai. Mereka bertanyakan tentang perkara yang telah berlaku. Tuanku Maharaja bagaimana? Baik-baik saja ke?"

Chu Qiao meraih pandangannya sebelum kembali mengekalkan raut wajah dinginnya itu. Dia berkata kepada He Xiao, "Laporkan kepada semua ahli-ahli terhormat yang Raja Shezheng, Zhan Ziyu, telah berkomplot dengan Permaisuri Bangsawan Zhan untuk merampas takhka mendiang Maharaja kita. Maharani Yuan telah mati di dalam kehuru-haraan itu, manakala Tuanku Maharaja pula baik-baik saja. Orang-orang jahat itu telah pun dihapuskan. Beritahu mereka supaya mereka tak perlu berasa risau."

He Xia segera melakukan tugasnya dengan lincah. Dalam beberapa ketika, laungan "Hidup Tuanku!" mula berkumandang dari luar pintu gerbang istana.

Seorang pengawal peribadi kembali dengan sebuah berita, "Liu Yuanzong bersumpah setia pada Jeneral Chu, bersama seluruh pihak istana Tang. Segala konflik di bahagian selatan, utara dan juga di Pintu Gerbang Ganguang telah pun berhenti. Para pemberontak dari Pasukan Tentera Utama telah pun ditangkap. Kami sedang menunggu arahan Jeneral Chu yang seterusnya untuk uruskan mereka."

Seluruh pihak istana Tang berdiri di bawah tangga jed istana itu semasa pintu gerbang istana dibuka luas. Chu Qiao perlahan-lahan mengangkat tangan maharaja kecil itu semasa mereka berdua melangkah di atas tangga jed itu sambil bertemankan matahari yang terik, menandakan masa depan cerah yang bakal menaungi kawasan Tang.

"Hidup Tuanku Maharaja!"

Cahaya keemasan dari sang matahari itu lantas terpancar pada pakaian serba hitam milik wanita itu dan segera perkataan "Xiuli" terpampang samar-samar di atas bendera berwarna putih kemerahan itu. Landskap di seluruh kawasan itu sekaligus menjadi sayu lagi apabila angin berhembus lembut.

"Mak Cik," Maharaja tersebut memanggil dengan lantang sebelum dia menuding jarinya ke atas takhta berwarna keemasan itu, meromok ketakutan. Dia berkerut sebelum meneruskan, "Saya tak nak duduk di situ."

Chu Qiao bercangkung dan mengusap lembut wajahnya. "Yi'er, takhta itu diperbuat daripada peluh ribuan rakyat. Kamu patut duduk di sana. Bonda dan Ayahanda kamu mati disebabkan takhta itu. Empayar Tang sekarang berada di dalam tangan kamu. Semua orang di sini, termasuklah nenek-moyang kamu yang sedang berada di awanan itu pun sedang melihat kamu. Kamu tak boleh tolak tanggungjawab ini."

Maharaja muda itu lantas menggeletar setelah mendengar kata-kata Chu Qiao. Dia menarik lengan baju wanita itu dan bertanya, "Mak Cik pula bagaimana? Mak Cik dah tak mahukan Yi'er ke?"

Chu Qiao membantunya menaiki takhta tersebut sebelum berkata perlahan, "Mestilah Mak Cik akan tolong Yi'er, tapi akhirnya kamu masih kena pikul sesetengah tanggungjawab itu sendiri."

Chu Qiao memalingkan tubuhnya dan segera melihat semua orang yang berada di hadapannya kini sedang bersujud hormat, memeranjatkan para burung yang sedang berkeliaran di udara. Mereka bingung kepada siapakah para manusia ini sedang bersujud hormat? Adakah kepada si putera muda yang sedang bersemayam di atas takhta, ataupun kepada si wanita muda yang memimpin Pasukan Tentera Xiuli dan juga Serigala ini? Seperti kebiasaannya, tiada sekelumit ketenangan mahupun ketenteraman yang dapat dirasai mereka walaupun buat sesaat semasa mereka sedang berada di tengah-tengah permainan minda yang sedang berlangsung sewaktu majlis yang meriah ini.

Langkah seterusnya dalam permainan catur kehidupan ini telah pun dibuat semasa debuan angin kepada segala malapetaka ini tamat. Sudah tiada ruang lagi untuk berundur.

'Li Ce, bertenanglah.'