Apabila wanita itu kembali ke kereta kudanya, Meixiang sedang menunggu dengan perasaan gembira. Chu Qiao terduduk diam dengan hatinya yang masih berdebar-debar disebabkan kejadian tadi. Adakah dia terlalu terburu-buru?
"Cik Puan," Meixiang terketawa ketika bercakap, "Sesetengah perkara itu tak boleh ditangani secara rasional di dunia ini. Saya rasa Cik Puan terlalu tenang sebelum ini. Menjadi seorang yang sesekali bertindak terburu-buru itu tak adalah seteruk mana."
Chu Qiao berpaling dan memandang Meixiang dengan kagum. Dia jelas sekali terkejut dengan kemahiran pemerhatiannya yang kompleks itu.
Meixiang terus tergelak lagi sambil berkata, "Cik Puan tahu tak yang Cik Puan dah berikan segala emosi Cik Puan melalui raut wajah Cik Puan sekarang. Kalau dibandingkan dengan diri Cik Puan yang lalu, saya rasa Cik Puan yang sekarang lebih disenangi."
Ketika kereta kuda itu mula bergerak, Pingan datang untuk bertanya, "Kakak, kita akan ikut orang-orang itu ke?"
"Sudah tentulah kita akan pergi bersama mereka!" Jingjing menyelak tirai itu dan menyampuk. "Kita bukan hanya akan mengikuti mereka, malah kita akan tinggal bersama mereka pada masa akan datang! Haha!"
Meixiang menuangkan secawan teh ginseng untuk Chu Qiao tatkala dia menghela nafas lembut. "Cik Puan, tak semua orang yang akan setia menunggu orang lain selepas bertahun-tahun. Bagi sesetengah perkara, kalau Cik Puan tak rebut peluang ini sekarang, Cik Puan pasti akan menyesal kalau keadaan berubah pada masa akan datang."
Angin hangat meniup ke dalam kereta kuda itu lalu menyelak sedikit tirai tersebut , tidak ubah dari sentuhan ibu. Sekumpulan helang berlegar-legar di atas langit membiru yang jauh daripada kejadian dunia manusia.
Chu Qiao terduduk di atas tangga batu sambil memandang ke arah langit di ufuk. Bunga-bunga yang mekar di halaman itu kelihatan begitu menenangkan dengan warna merah dan kuning cerah.
Pelayan di rumah penginapan miliknya itu iaitu seorang budak lelaki yang berusia kira-kira 13 hingga 14 tahun terduduk di atas sebuah bangku kecil sambil menyediakan teh dengan tekun. Jingjing dan Pingan terduduk di sebelah budak itu sambil bersembang dengannya. Chu Qiao kadangkala mencuri dengar perbualan mereka yang mengenai pelbagai topik, bermula dari pemandangan dataran yang rata ke jalan-jalan purba Qiuling di sepanjang sempadan selatan, kedai pedang Xia, Pergunungan Wuya yang terletak di Tang dan akhirnya ke Pergunungan Huihui di Yan Bei. Apabila perbualan mereka semakin rancak, Jingjing mengeluarkan sepaket gula-gula buah dan mula mengunyahnya sambil bercakap.
Meixiang duduk di bawah pokok kapur di sisi sambil cuba untuk membuat karangan bunga. Tangannya menari-nari dengan penuh kepakaran dan ketangkasan yang mampu menawan perhatian sesiapa saja yang memandang ke arahnya.
Halaman itu lantas diselimuti dengan cahaya lampu apabila langit bertukar gelap dan kepanasan pada waktu siang beransur-ansur hilang. Jingjing meminta beberapa mangkuk buah sejuk dari dapur yang kelihatan enak.
Hujan lebat awal tadi telah menjejaskan jambatan di hadapan Bandar Qiufeng. Jadual Chu Qiao dan rombongannya tertangguh dan telah memaksa mereka semua untuk tinggal di Bandar Qiufeng selama dua hari lagi sebelum boleh meneruskan perjalanan mereka ke utara. Pada masa ini, mereka ditempatkan di sebuah rumah penginapan kecil di atas sebuah bukit yang berdekatan dengan tasik. Oleh sebab bentuk muka bumi bukit tersebut tinggi dan rendah, ia kelihatan seperti kawasan berhutan kerana banyak pokok.
Bilik Chu Qiao berada di atas tebing batu yang tinggi dan menghadap ke arah barat. Pemilik rumah penginapan itu mungkin seorang lelaki yang suka mengamati pemandangan. Tempat ini terletak bersebelahan dengan Pergunungan Matahari Terbenam, jadi ia dinamakan "Halaman Matahari Terbenam". Setiap petang, pemandangan matahari terbenam di sini indah nian.
Zhuge Yue tinggal di Rumah Penginapan Guicang yang terletak bersebelahan dengan rumah penginapannya. Pada waktu petang hari sebelumnya, pemda itu telah menghantar beberapa orang bawahannya untuk membantu dalam kerja-kerja pembinaan semula jambatan dan penyeberangan bersama-sama dengan pegawai-pegawai. Dia mempunyai perkara mustahak untuk dihadiri, jadi dia memulakan perutusan muhibah.
Hujan turun dari pagi hingga ke petang. Pokok-pokok kelihatan subur dengan kelopak-kelopak bunga yang berterbangan di udara sebelum jatuh ke tanah. Pemandangan di situ begitu menawan hati.
Chu Qiao sedang memakai baju berwarna putih bersama sepit rambut kayu yang diletakkan sebagai perhiasan kepalanya. Rambut panjangnya dipintal dengan longgar dan menampakkan wajahnya lebih menyegarkan. Bulan penuh mengambang pada malam itu. Chu Qiao memandangnya dengan senyap dan menyedari Pesta Pertengahan Musim Luruh sudah dekat. Walau bagaimanapun, festival ini tidak wujud dalam era ini lagi. Tempoh sekitar Pesta Pertengahan Musim Luruh dipanggil "Pesta Bulan Putih". Nama itu dicipta daripada lagu yang pernah didengari oleh Chu Qiao sebelum dia berada di dalam tentera. Lagu itu menggambarkan seorang lelaki yang telah pergi berperang selama bertahun-tahun, dinaikkan pangkat dari askar biasa menjadi seorang jeneral. Akhirnya, apabila dia pulang ke rumah selepas perang, dia menyedari rumahnya telah runtuh dan isterinya telah kahwin lari dengan lelaki lain, ibu bapa dan anak-anaknya telah mati kelaparan dan sisa-sisa mayat mereka tersebar di lokasi yang tidak diketahui tidak berkubur. Dia teringat barisan terakhir lagu itu dengan jelas: Cahaya bulan menyinari jiwaku, memintamu untuk kembali ke kampung halaman lebih awal... Sejak itu, pesta ini memberikan idea tentang kepentingan sesebuah keluarga. Ia menasihati orang ramai untuk menghargai keluarga mereka dan tidak mengabaikan tali persaudaraan apabila menghadapi kejayaan mereka supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari kelak.
Cahaya bulan menyinari jiwaku, memintamu untuk kembali ke kampung halaman lebih awal...
"Ia lagu yang bagus." Meixiang meletakkan karangan bunga yang dipegangnya, lantas dia berpaling dan memandang Chu Qiao sambil ketawa dan berkata, "Saya tak pernah dengar Cik Puan menyanyi sebelum ini."
Chu Qiao terkejut kerana ternyata dia telah menyanyikan lagu itu secara tidak sedar.
"Itu lagu yang sangat bagus. Cik Puan faham makna di sebalik lagu itu ke?"
Chu Qiao menyengetkan kepalanya sedikit dan berkata, "Meixiang, nampaknya kamu telah mendidik orang ramai tentang prinsip kehidupan sejak akhir-akhir ini."
"Saya ini tak berpendidikan. Saya hanya tahu prinsip kehidupan yang paling mudah. Manalah saya mampu bandingkan diri saya dengan Cik Puan?" Meixiang terkekeh dan meneruskan kata-katanya, "Tapi kadang-kadang, semakin banyak yang awak ketahui, semakin awak keliru dengan prinsip-prinsip yang nampak mudah itu."
"Hari demi hari, tahun demi tahun, aku terduduk di atas bumbung untuk melihat jalanan kampung untuk mencari suamiku.
Sewaktu dia mempertahankan sempadan, mereka meragut kami dan meninggalkan anak-anak tanpa seutas pakaian untuk dipakai serta ibu bapa tanpa makanan untuk dimakan.
Maharaja nun jauh di sana dan para pahlawan bukan di sini. Sang ketua kampung yang bak syaitan memerintah tempat itu.
Apabila ribut dan salji membadai rumahku, cahaya purnama bersinar terang menerangi jiwaku, untuk memintamu supaya kembali ke kampung halaman lebih awal..."
Ekspresi Meixiang tenang ketika dia bersandar pada sebatang pokok tatkala mengujarkan lirik lagu itu bersama kelopak bunga yang mendarat di atas karangan bunga di tangannya itu. Sinaran putih cahaya bulan bersinar pada jari-jemarinya, menjadikannya kelihatan seperti sayap rama-rama. Tiba-tiba, bunyi seruling mula bergema dari jauh. Ia hampir tidak boleh didengari kerana terlalu jauh, tetapi ia tetap terdengar di udara buat seketika, langsung tidak terhilang daya tarikannya. Ia terdengar riang dengan rasa kasih sayang yang dapat dirasai dalam melodi seruling tersebut. Pingan dan yang lain masih lagi berbual. Walau bagaimanapun, apabila mereka mendengar bunyi seruling tersebut, semuanya berhenti bercakap. Malah Jingjing yang tidak mahir dalam muzik pun mendengar dengan tekun.
Meixiang berdiri dan kembali ke biliknya untuk mengambil sehelai mantel putih. Kemudian, dia meletakkannya di atas bahu Chu Qiao. Dia tertawa sambil berkata, "Cik Puan, Cik Puan ini sangat sibuk menjalani kehidupan Cik Puan dalam beberapa hari ini. Sudah tiba waktunya untuk Cik Puan berehat. Halaman belakang tempat ini mempunyai pemandangan yang baik. Cahaya bulan pada malam ini pun baik. Apa kata Cik Puan bersiar-siar ke sana?"
Chu Qiao berpaling dan melihat Meixiang yang sedang menatapnya dengan sebuah senyuman yang menawan, menggalakkan wanita itu untuk melakukan apa yang dikatakan olehnya tadi.
"Meixiang..." Chu Qiao mahu mengatakan sesuatu, tetapi tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya.
Meixiang terus bercakap, "Cik Puan, saya tak faham apa-apa mengenai prinsip kesetiaan. Kepercayaan itu... Saya tak faham apa-apa. Saya hanya ingin Cik Puan hidup bahagia. Cik Puan ini seorang yang baik. Lagu itu bukanlah lagu untuk Cik Puan dengar."
Cahaya bulan bersinar pada wajah Chu Qiao yang kebingungan. Lirik lagu di bahagian kedua lagu itu bermain dalam fikirannya:
"Masa bersilih ganti namun salju tetap menghentam bumi. Suamiku tidak tahu jalan pulang; masa depan yang suram yang akan mendatang.
Apabila anak-anak tewas pada wabak dan ibu bapa mati kelaparan, aku terpaksa menjual tubuhku untuk membekalkan makanan untuk kita kekal hidup.
Dia bercita-cita tinggi dan menghina kehidupan yang miskin. Rambutku telah memutih selepas menunggunya selama sepuluh tahun untuk kembali.
Kehidupan ini sukar. Apabila masa berlalu, aku tidak lagi mengharapkan kekayaan, sebaliknya tempat yang tepat untuk melelapkan mata..."
"Meixiang, beri jubah hijau saya." Meixiang memandangnya dengan curiga kerana dia agak terkejut. Walau bagaimanapun, Chu Qiao mula tertawa ketika dia berdiri dan berkata, "Kamu hanya memakai putih dan hitam saja sepanjang hari. Kamu nampak macam nak pergi ke majlis pengebumian."
Apabila cahaya bulan terus bersinar, dia berjalan di sepanjang jalan dengan perlahan, fikirannya melayang membangkitkan memori-memori silam juga. Kenangan-kenangannya terasa seperti sekumpulan helang yang terbang melintasi latar belakang pemikirannya seperti sebuah potret tasik yang indah sebagai suasana. Semua emosinya bercampur-baur bersama dan tenggelam sendiri ke lubuk hatinya dan bertukar menjadi selopak air yang perlahan-lahan membeku menjadi ais.
Permusuhan, perhalangan, kebencian, kekalutan, kebaikan, perpaduan, kehidupan dan kematian, perjumpaan, perjuangan, kegembiraan, perpisahan, dan kedukaan...
Dengan setiap langkah yang diambilnya, satu babak baharu bermain dalam fikirannya yang terasa terlalu berat untuk ditanggung wanita itu. Ia telah mengingatkannya tentang keluarga dan perselisihan domestiknya, perselisihan peribadi, penganiayaan, kekecewaan, kepercayaan degilnya, tidak lupa juga penindasan yang telah dilalui wanita itu selama bertahun-tahun. Berulang-ulang kali perasaan itu semua telah membuatkan dia berasa sedih.
Dia telah menguburkan segala emosi ini jauh di dalam hatinya buat sekian lama. Walau bagaimanapun, lagu kontroversi ini telah mengingatkannya kembali dan memancing keluar perasaannya melalui hujung jari dengan liriknya. Dia merupakan tasik dalam gambar itu, menggunakan rasional dan ketenangannya untuk membekukan dirinya dan menguburkan segala perasaannya.
Satu tahun, dua tahun, bertahun-tahun pada suatu masa.
Berhampiran bahagian belakang pergunungan, sebuah astaka kecil dibina di atas sebuah kolam kecil. Kayu yang digunakan dalam pembinaannya telah rosak sedikit, tetapi bos itu telah menanam beberapa bunga pollia japonica dan wisteria di bawah astaka untuk memelihara pemandangan estetiknya. Bunga-bunga itu berpintal pada tiang-tiang kayu dan berkembang dengan perlahan-lahan lalu menambahkan unsur ketenangan pada pemandangan itu.
Cahaya bulan bersinar di kolam hijau. Bulan sabit menyematkan pantulannya ke permukaan air yang kelihatan putih pucat. Zhuge Yue mengenakan pakaian ungu ketika dia terduduk di atas tangga untuk menuju ke astaka. Dia membengkok sebelah kaki dan meluruskan kakinya yang lagi satu sambil bersandar pada tiang-tiang usang itu. Beberapa helai anak rambut terkeluar dari garisan rambutnya, mengenai dahinya. Dia masih kelihatan kacak seperti biasa sambil memegang seruling hijau di tangannya dan memainkan sebuah lagu yang kedengaran amat merdu. Tanpa sebarang kebencian, pengabdian dan cita-cita yang dinyatakan melalui alunan muziknya, ia kedengaran seperti seorang pemuda biasa yang sedang memainkan lagu rakyat dalam koleksinya, santai dan menenangkan. Aroma bunga di situ berlegar-legar di udara.
Chu Qiao berdiri di sana dengan senyap tanpa mengujar sepatah perkataan pun. Angin bertiup dan mengibarkan mantelnya di udara, menampakkan seperti pokok willow pada awal pagi. Dia tidak pernah melihat pemuda itu seperti ini sebelum ini. Wanita yang telah melalui kehidupan yang penuh beronar ini sering mengesali nasibnya berulang kali. Namun, apabila dia berdiri di sini pada masa ini, dia mula menghargai kenyataan dia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan jeneral di dalam lagu yang merdu itu. Rumahnya tidak runtuh, keluarganya tidak mati. Bagi orang yang dia sayangi pula, dia sedang berdiri di sana di hadapan pemuda itu, menunggu saat untuk menggenggam jari-jemarinya setiap kali dia memutuskan untuk kembali.
Walaupun terpaksa dipisahkan secara geografi dan keadaan, pemuda itu terpaksa terhuyung-huyung di sepanjang jalan yang sukar ini dan mengatur langkah demi langkah untuk tiba ke hari ini. Dengan rasa ketabahan dan juga kedegilan yang jarang ditemui di dunia ini, pemuda itu telah berjaya menentang segala jangkaan ketika dia mengawasi dan membantu wanita itu mengharungi kerumitan hidup.
Lapisan ais di tasik dalam fikirannya telah mencair dalam sekelip mata. Chu Qiao seolah-olah dapat mendengar keruntuhan Empayar Xia yang rasional dengan bunyi dentuman yang bergema sambil berkata kepada dirinya sendiri: 'Mungkin, aku pun boleh mengikut cara aku sendiri untuk kali ini.' Lagipun, sudah bertahun-tahun dia tidak mengikut caranya sendiri.
Apabila bunyi seruling itu terhenti, lelaki itu memiringkan kepalanya ke tepi untuk melihat wanita yang berpakaian hijau itu sedang berdiri di bawah pokok itu. Pada masa itu, dia berasa terperanjat buat seketika.
"Kenapa awak ke sini?"
"Awak seorang saja yang dibenarkan ke sini ke?" Chu Qiao tertawa sambil menendang kaki Zhuge Yue. "Ke tepilah." Dia kemudiannya mengambil tempatnya selepas lelaki itu menarik balik kakinya. Cahaya bulan putih bersinar pada wajahnya yang membuatkan ia kelihatan seperti sekeping jed yang patah tetapi masih dalam keadaan yang agak baik.
"Zhuge Yue, awak akan kembali ke Xia ke sebaik saja jambatan dibaiki esok?"
Zhuge Yue mengangguk dan memandangnya dengan wajah yang aneh. "Kenapa?"
"Bila awak nak jumpa saya?"
Raut wajah lelaki itu berubah terkejut. Dia memandang wanita itu dengan bingung, seolah-olah cuba untuk mengesan apa-apa motif yang tersembunyi di sebaliknya.
"Awak nak tunggu sampai Maharaja Xia mati ke? Ataupun sampai Zhao Che naik takhta? Pada masa itu, barulah awak dapat melarikan diri sepenuhnya ke?" Chu Qiao bertanya sambil membongkokkan lututnya lalu terduduk di atas tangga. Dia memakai topi di atas jubahnya, menutupi lehernya yang mulus itu. Dia menongkat dagunya pada lutut sambil memandang ke arah kolam di hadapan. Dia berpaling dengan tiba-tiba lalu berkata, "Zhuge Yue, biar saya nyanyikan satu lagu untuk awak."
Raut wajah wanita itu kelihatan ceria dan sungguh bertentangan dengan dirinya yang lalu dan mudah tertekan itu. Chu Qiao memandang pemuda itu dengan senyap sambil tersenyum. Babak yang berulang kali ditayangkan di dalam fikiran wanita itu akhirnya menjadi kenyataan. Matanya menapis gangguan dan bayang-bayang latar belakang yang lain dan kini pandangannya hanya tertumpu pada si pemuda, Zhuge Yue, di hadapannya.