Chapter 226 - Bab 226

Dia sudah terlupa bagaimana dia telah mengangguk dan hanya mampu teringat bagaimana wanita itu telah menyentuh pipinya dengan kedua belah tangannya dengan gembira. Cahaya bulan menyinari segarisan indah yang mengelilingi mukanya. Suaranya terdengar sangat lembut seperti ombak yang membadai pasir di pantai lalu menembusi ketenangan pada waktu malam dan memasuki ruang hatinya.

Suatu ketika dahulu, saya milik awak dan awak milik saya.

Suatu ketika dahulu, awak meninggalkan saya untuk terbang ke langit.

Dunia di luar berwarna-warni dan kejam.

Di saat awak merasakan dunia luar menarik, saya akan berada di sini dan mendoakan kesejahteraan untuk awak.

Setiap kali matahari terbenam, saya akan berada di sini mengharapkan awak kembali.

Walaupun hujan menimpa bumi, saya tetap akan menunggu awak di sini.

Nyanyian yang diiringi hembusan angin itu memenuhi halaman yang berbau wangian bunga. Chu Qiao berpaling dengan pandangan matanya yang sangat jelas. Dia menghulurkan tangannya untuk mendekati Zhuge Yue dengan berhati-hati. Ia langsung tidak sama seperti masa-masa sebelum ini dan dia kelihatan seperti seorang gadis yang pertama kali jatuh cinta. Dia berasa sangat gementar sehinggakan jari-jemarinya menggigil. Sedikit demi sedikit dia menyentuh bahagian belakang telapak tangan pemuda itu sebelum menggenggam jarinya. Jari-jemari Chu Qiao terasa sangat sejuk seperti air berais dari tasik.

Zhuge Yue memandangnya dengan sebuah ekspresi yang terkejut. Angin malam yang bertiup di sekeliling mereka membawa bersama aroma tunas bunga. Buat seketika, mereka kelihatan seperti dua orang kanak-kanak yang sedang berdiri di atas anak tangga yang sama sambil berpegangan tangan, tanpa berkata-kata. Mereka selalu berada dalam pihak yang bertentangan namun tiba-tiba kini mereka bersekutu. Pada ketika itu, semuanya kelihatan sungguh mengelirukan.

Zhuge Yue berasa seperti mahu ketawa kerana ironi situasi ini tetapi dia merasakan masanya tidak bersesuaian untuk dia berbuat demikian pada ketika ini. Dia mengerutkan keningnya dengan serius namun ekspresinya agak kelakar. Selepas bebanan fikirannya lesap dari tubuh, Chu Qiao kelihatan lebih normal sekarang. Dia lantas menarik tangan Zhuge Yue dan dengan matanya yang besar itu dia bertanya, "Zhuge Yue, Qinghai itu sebuah tempat yang baik ke?"

"Hmm?" Pemuda tersebut teragak-agak sebelum menjawab, "Tidaklah teruk sangat."

"Di sana cantik tak?"

Pemuda yang tidak begitu romantik itu menjawab dengan jujur, "Ada beberapa tempat yang tidaklah begitu buruk."

"Qinghai sejuk tak?"

"Tak sejuk pada musim panas tapi akan sejuk pada musim sejuk."

Chu Qiao kelihatan seperti penuh dengan pengharapan. "Rakyat di sana mesti jujur dan bersederhana."

"Awak ini mesti bodoh. Bagaimana mungkin tak ada orang jahat di sana? Siapa saja yang tak mempunyai kepentingan diri sendiri?"

"Hah?" Chu Qiao berkerut. "Tapi, bukan ke Qinghai itu tak teruk sangat?"

"Sejak bila saya cakap ia syurga?"

Chu Qiao terkedu. Dia cukup yakin yang si lelaki tidak sepatutnya berkata-kata sebegini kepada wanita yang bakal dikahwininya tidak lama lagi.

"Ada satu perkara yang bagus di sana."

Chu Qiao bertanya, "Apa?"

Zhuge Yue tersenyum dengan bangga. "Di sana, sayalah undang-undang." Zhuge Yue ketawa sedikit tetapi apabila dia melihatkan tiada siapa yang terhibur, dia berhenti ketawa sebelum bertanya, "Xing'er, bila ia bermula?"

Chu Qiao kelihatan terkejut lalu dia bertanya, "Apa yang awak cakap?"

Zhuge Yue terhenti sejenak kerana dia berasa agak malu. Dengan keningnya yang dikerutkan, dia mengambil masa untuk menyambung, "Bila awak mula berhenti membenci saya?"

"Siapa cakap saya sudah tak membenci awak lagi?" Chu Qiao berpura-pura marah sambil melambaikan penumbuknya ke arah kepalanya. "Saya akan sentiasa ingat semuanya di sini."

Zhuge Yue memandangnya dengan rasa tidak puas hati. "Tipu."

Cahaya bulan yang menenangkan menyinari semua adegan ini. Sebenarnya, isu tertentu hanya memerlukan beberapa ayat ataupun beberapa tindakan saja untuk dipulihkan. Namun, ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum sesuatu boleh berlaku.

Berlatarbelakangkan pokok-pokok yang sedang bergoyang ditiup angin, jari lelaki itu secara spontan menyentuh dan menarik jari-jemari wanita itu ke dalam tapak tangannya. Selepas bertahun-tahun bekerja keras memendam emosi sebegitu, Chu Qiao seperti sedang tertunggu-tunggu tindakan lelaki itu. Zhuge Yue lantas berpaling ke arah di mana tiada siapa yang dapat melihatnya sebelum pemuda itu tersenyum bahagia.

Keesokan harinya, jambatan itu sudah siap dibaiki. Mereka keluar dari Bandar Qiufeng dan menyeberangi Sungai Muling. Apabila mereka tiba di Wilayah Qiusha, mereka terpaksa berpisah. Hari itu kelihatan cerah apabila langit yang neluas itu berwarna biru. Kedua-dua kumpulan itu terhenti dalam langkah mereka apabila Zhuge Yue dan Chu Qiao berdiri di hadapan mereka.

Zhuge Yue yang berpura-pura tenang memandang ke arah utara. Dia berkata, "Saya pergi dulu."

"Oh." Chu Qiao mengangguk, "Jumpa lagi."

"Jangan selalu bermain dengan Li Ce. Balik ke rumah penginapan awak saja kalau awak rasa bosan."

"Siapa yang main-main?" Chu Qiao mengerutkan dahinya.

"Hmph!"

"Zhuge Yue, kita dah nak berpisah, boleh tak awak tinggalkan kenangan yang lebih baik?"

Zhuge Yue mendengus kuat. "Saya tak pernah ada kenangan yang baik dengan awak."

Chu Qiao mendongak ke atas lalu mencubit pemuda itu. "Awak ini seorang manusia ke? Siapa yang menangis pada saya supaya pergi bersama awak pada hari itu?"

Zhuge Yue menjawab dengan agak marah, mungkin kerana kesan sakit dicubit oleh Chu Qiao, "Chu Qiao! Sejak bila saya datang menangis pada awak untuk menyuruh awak mengikut saya?"

Bukankah dia berbuat sebegitu? Selepas memikirkannya, ia benar-benar kelihatan seperti tidak pernah berlaku. Tetapi bukankah apa yang dilakukannya lebih kurang sama juga? Kenapa dia selalu bertindak seperti dia tidak peduli selepas mencapai matlamatnya? Pada mulanya, dia tidak mendapat sepenuhnya apa yang dia inginkan.

Chu Qiao melihatnya sekilas pandang lalu berkata, "Teruskanlah berlakon."

Mereka terus berpandangan antara satu sama lain dan rasa sedih untuk berpisah tiba-tiba hilang. Lagipun mereka telah menjadi lebih rapat daripada sebelum ini, kan? Sekurang-kurangnya mereka sudah boleh bergurau antara satu sama lain.

"Saya sangat serius." Zhuge Yue berkata bersungguh-sungguh, "Jangan banyak bermain dengan Li Ce. Jangan masuk campur dalam urusan Empayar Tang. Saya sedar yang awak ini seorang penyibuk."

"Penyibuk?" Chu Qiao menatapnya dan membalas dengan tidak gembira, "Saya hanya mahu mengingatkannya."

"Bagaimana pula dengan sekarang ini? Kenapa awak nak pergi ke sana lagi?"

Chu Qiao menjerit, "Saya tak boleh pergi ke? Saya nak mencari dia untuk mengucapkan salam perpisahan."

Pergi? Ke mana? Tiba-tiba perasaan Zhuge Yue menjadi tidak tenang. Dengan kekok dia membersihkan tekaknya dan berkata, "Dalam apa jua keadaan, awak mesti berhati-hati. Si bajingan Li Ce itu bukan pengaruh yang baik."

Chu Qiao menggelengkan kepalanya dan berkata, "Saya rasa semasa mereka bercakap mengenai memutuskan tali persahabatan itu, mereka mengungkit mengenai orang-orang seperti awak."

"Apa yang awak cakap?" Kemarahan Zhuge Yue hampir meletus. Chu Qiao mengangkat tangannya untuk memberi isyarat dia tidak mahu marah seperti lelaki itu dan tanpa bersalah dia bertanya, "Awak tak nak bertolak lagi ke? Langit akan menjadi gelap tak lama lagi. Kalau awak tak nak pergi, saya akan pergi."

Selepas bergerak beberapa ketika, Zhuge Yue mengeluarkan loceng jed dari pakaiannya. Jed itu tampak normal, namun dia mengangkat loceng itu di tepi bibir wanita tersebut lalu mengarahkan, "Nyanyi lagu yang awak nyanyi malam tadi."

Chu Qiao yang sedikit terkejut bertanya, "Kenapa?"

Wajah Zhuge Yue berubah menjadi merah menahan malu dan dia kelihatan comel. Sambil berkerut dia berkata, "Kenapa awak banyak tanya? Nyanyi sajalah."

"Menyanyi perlu mengikut kesesuaian perasaan saya. Angin saya sekarang tak baik, jadi saya tak mahu menyanyi."

Zhuge Yue menggunakan pandangan mautnya untuk memandang Chu Qiao tanpa berkelip. Chu Qiao yang berasa sedikit takut terus berbisik, "Ramai orang di sini. Apabila saya menyanyi nanti mereka pasti akan dengar. Macam mana saya boleh hidup dengan rasa malu macam itu?"

Zhuge Yue menerima kata-katanya itu sebagai alasan yang munasabah lalu mengarahkan, "Kalau macam itu, cakaplah sesuatu."

"Apa yang patut saya cakap?"

Kemarahan lelaki itu bila-bila sahaja boleh meletus. "Apa-apa sahaja!"

Chu Qiao dengan serta-merta menjerit dengan kuat, "Zhuge Yue ini anak haram!" Ramai pengawal yang berpaling dan memandang ke arah mereka.

Zhuge Yue benar-benar berasa marah dan terasa mahu pergi. Chu Qiao yang menyedari jenakanya itu sedikit keterlaluan segera mengejar pemuda itu dan menarik tangannya. Dia bercakap kepada loceng kecil itu, "Ingat ya, saya akan tunggu awak." Dengan hanya satu ayat sahaja, kemarahan pemuda itu terus hilang. Hakikatnya, dia sangat senang dipujuk.

"Apa sebenarnya ini?" Chu Qiao kelihatan bingung dan mendapati ia kelihatan seperti batu tetapi bukan batu. Ia seperti jed tetapi bukan jed. Dengan kepakaran ketukangan yang halus dan rumit, ia kelihatan seperti loceng tetapi bahagian dalamnya dipenuhi dengan lingkaran dan pusingan seperti telinga manusia.

Zhuge Yue terasa malas untuk menjawab soalan itu dan hanya berkata, "Pergi. Jangan lambat sangat."

Dia masih kelihatan seperti seorang yang bongkak?

Mereka berjalan menuju ke arah dua kumpulan tersebut. Ketika kedua pasangan ini mahu berpisah, Chu Qiao memberikan salam penghormatan yang serius kepada pemuda itu, "Jaga diri."

Zhuge Yue berpura-pura menjadi tegas lalu melambaikan tangannya sebelum menunggang kudanya dengan tenang. Dia kelihatan begitu sombong dan dingin seolah-olah dialah jejaka yang terbaik. Dia menjawab, "Ingat pesanan saya." Selepas mengucapkan kata-kata itu, dia berlalu pergi seperti seorang pemimpin yang dikelilingi oleh pengawalnya.

Ketika orang ramai mula beransur beredar, Chu Qiao masih lagi terkaku di situ. Jingjing yang agak bingung mendekati Chu Qiao sambil menggumam, "Kakak, abang ipar itu kelihatan kejam sangat."

Muka Chu Qiao bertukar merah lalu dia berpaling untuk bertanya kepada Meixiang, "Meixiang, kamu tahu tak benda itu apa?" Kemudian dia menjelaskan bentuk loceng tersebut.

Belum sempat Meixiang mahu menjawab, Pingan sudah mengambil peluang untuk bercakap, "Kakak, kalau kakak tak tersalah tengok, itulah Loceng Xiangzhi dari legenda yang kita dengar itu. Saya dengar ia salah satu daripada tiga khazanah rakyat Pengawal Angin. Rakyat Pengawal Angin ini memang mahir dalam penghasilan kraf dan pakar dalam seni rahsia mekanik. Loceng Xiangzhi ini dibuat oleh ketua kelapan suku kaum mereka. Kalau seseorang berkata pada loceng itu dengan lantang, bunyi suaranya akan disimpan di dalam loceng itu. Apabila angin bertiup ke dalamnya, suara itu akan keluar dari loceng itu dengan nada yang sama. Satu-satunya masalah, para Pengawal Angin itu sangat susah untuk dikesan dan hanya beberapa orang saja yang pernah mendengar mengenai kewujudan mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Loceng Xiangzhi juga dikhabarkan telah hilang. Di mana kakak ternampak loceng itu? Kakak ada dengar loceng itu bercakap tak?"

Chu Qiao berasa sedikit terkejut. Bunyi kuda yang menderap telah hilang dan hanya meninggalkan kesan debu di atas jalan.

"Loceng Xiangzhi?"

Zhuge Yue telah meninggalkan kereta kudanya dan memilih untuk menunggang kuda. Kini, dia sudah berdekatan dengan Sempadan Xia dan orang-orang bawahannya yang seharusnya berjumpa dengannya juga sudah dekat. Oleh itu, rombongannya tidak perlu terlalu berhati-hati untuk menutup jejak langkah mereka lagi. Cuaca pada hari itu agak panas tanpa tiupan angin. Namun, ketika berada di atas kuda, masih ada lagi kepala angin yang bertiup mengenai loceng yang digantung pada lehernya.

"Ingat ya, saya akan tunggu awak," Suara seorang wanita jelas kedengaran lembut di telinganya seperti sebuah tasik yang tidak terganggu dan tenang. Bibirnya tidak dapat menahan dari tersenyum. Namun, sebelum sempat dia menghabiskan senyumannya, suara yang lain kedengaran, "Zhuge Yue ini anak haram!" Bunyi itu sangat lantang sehinggakan semua pengawalnya terkejut. Mereka berhenti dan memandangnya. Pada masa itu wajah Zhuge Yue bertukar menjadi kelam sepenuhnya.

Dalam perjalanan menuju ke timur, Chu Qiao yang berada di dalam kereta kuda masih berusaha untuk berfikir sambil berkata kepada dirinya sendiri, "Kalau begitu, bukan ke ia akan sama seperti sebuah perakam? Loceng Xiangzhi? Bagaimana cara ia diperbuat?"

"Kakak? Perakam itu apa?" Jingjing menghampirinya dan bertanya.

Mendengarkan itu, Chu Qiao membantu menjelaskan, "Perakam itu…" Meixiang yang terduduk di tepi kereta kuda itu hanya tersenyum apabila dia melihat ke arah Chu Qiao yang sedang menjelaskan konsep perakam kepada Jingjing.

Begitulah keadaan kehidupan yang berlaku berulang-ulang kali. Apabila seseorang itu berhadapan dengan sesebuah situasi bersendirian, dia seringkali akan berasa keliru. Namun, ia tidak kelihatan rumit pada mata si pemerhati malah mereka lebih menolak dengan degil daripada melihat situasi tersebut itu dengan lebih jelas kerana sesuatu yang terbuku di dalam hati. Malah orang yang cerdik pun mungkin akan tersesat apabila sesuatu terjadi kepada mereka. Kadang-kadang, seseorang itu perlu melangkah keluar sekali dan segala insiden yang berikutannya akan berubah secara drastik.

"Masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan. Mungkin terdapat insiden lain yang akan berlaku. Awak tak takut ke?"

Angin yang bertiup menyebabkan air beriak di permukaan air yang tidak diganggu itu. Dia menyandarkan kepalanya pada bahu pemuda itu yang berbau lembut. Suaranya hampir tidak dapat didengari namun ia mampu menembusi semua keraguan yang tersisa di dalam hatinya ketika dia mendengar ayat pendek ini, "Saya tak takut."

Sambil tersenyum pemuda itu menghulurkan tangannya dan memeluk pinggang wanita tersebut. Mereka terduduk seperti itu menunggu sehingga waktu subuh tiba.