Chapter 221 - Bab 221

Chu Qiao tidak dapat menahan ketawanya sambil berkata, "Tengoklah awak ini. Bagaimanalah awak ini boleh jadi seorang maharaja?"

"Siapa cakap maharaja tak boleh berkelakuan seperti ini? Awak tak tahu betapa banyaknya penderitaan saya. Saya mahu menggunakan duit lebih sedikit tetapi orang-orang tua itu terus mengeluh mengenai kemarau di wilayah timur dan kebuluran di wilayah barat. Mereka mahu saya makan sayur sahaja setiap hari. Mereka tidak melayan saya dengan baik. Saya berjimat untuk diri saya sendiri. Sepatutnya awak berterima kasih dengan saya tetapi awak mempermainkan saya sekarang?"

Langit di Tang kelihatan cerah tanpa sekepulan awan. Cahaya matahari yang menyinari mata Li Ce membuatkan ia kelihatan lebih licik. Chu Qiao mengeluh bagi pihak pegawai dan cendekiawan Tang sambil menggugam, "Nasib mereka tak baik kerana mempunyai maharaja seperti awak."

Li Ce menggelengkan kepalanya dan mengeluh sambil menjawab, "Qiaoqiao, awak kejam kerana beredar begitu sahaja. He Xiao dan yang lain pasti akan menentang saya sampai mati."

Ketika nama He Xiao disebut, Chu Qiao berasa terkesima. Wanita itu berfikir panjang sebelum menjawab, "Li Ce, saya serahkan kepercayaan pahlawan Pasukan Tentera Xiuli kepada awak."

"Mereka semua lelaki. Kenapa awak berikan kepercayaan mereka kepada saya?"

Chu Qiao mengabaikan kata-katanya yang tidak masuk akal itu sambil menyambung, "Saya dah fikirkan hal ini beberapa bulan yang lalu. Memang itu semua salah saya ke? Saya terlalu naif kerana berfikir yang saya akan dapat memperbaharui masyarakat ini menjadi lebih berbudaya dan teratur. Ia bukanlah seperti gambaran Da Tong. Saya cuma mahukan golongan miskin mampu untuk mendapatkan makanan, saya nak menghapuskan perhambaan. Saya nak pastikan orang yang berkuasa dapat membuat peraturan bagi orang bawahan mereka dan memastikan tiada pembunuhan sia-sia yang berlaku. Saya tahu pembentukan ini tak akan berlaku dalam satu malam tetapi seseorang perlu mengambil langkah kecil untuk menuju ke hadapan. Hasilnya akan nampak dengan semulajadi. Apabila pertama kali saya memulakannya, saya tidak mempunyai aspirasi yang baik. Saya hanya mahu melarikan diri dan hidup dengan baik. Walau bagaimanapun, saya bertemu dengan Yan Xun dan mendengar ceritanya mengenai Yan Bei. Pada masa itulah hati saya kembali segar. Saya fikir kewujudan saya dalam dunia ini mungkin akan bernilai dan ia semuanya sudah ditakdirkan. Tapi impian saya musnah kerana saya terlalu yakin. Saya fikir saya cukup berkuasa untuk mengubah banyak benda dan melindungi ramai orang. Akhirnya, saya sedar yang kuasa saya terbatas. Keluarga saya, kawan-kawan… Semuanya dah pergi meninggalkan saya. Saya tak boleh melindungi mereka. Saya telah menyebabkan ramai orang mati dalam proses itu."

Li Ce mengerutkan keningnya dan mahu bercakap namun dipotong oleh Chu Qiao. Chu Qiao melihat ke arah Li Ce sambil bercakap dalam nada yang berat, "Li Ce, saya bukan seorang ketua yang baik. Para pejuang Pasukan Tentera Xiuli itu tak mempunyai kepercayaan. Mereka hanya percayakan saya. Tapi, kewujudan saya telah membuatkan mereka terjebak dalam krisis dan peperangan yang menyebabkan mereka terbunuh. Saya tak dapat memberikan mereka kehidupan yang teratur seperti yang telah saya janjikan. Saya hanya menyelamatkan mereka sekali dan saya tak patut mementingkan diri untuk membiarkan mereka berlawan bersama saya serta mencederakan diri mereka dengan teruk. Bila difikirkan semula, jika saya mendengar cakap Yan Xun dan membubarkan Pasukan Tentera Xiuli, pasti ramai daripada mereka yang tak akan mati. Mereka boleh berkahwin dan hidup bahagia buat selamanya." Suara Chu Qiao mula kedengaran sebak. Wajahnya kelihatan sedih apabila matanya menjadi sedikit kemerahan tetapi dia masih mampu tersenyum sambil menyambung, "Seseorang tak perlu mencapai kejayaan yang besar dalam hidupnya. Berkahwin, dapat anak dan hidup bahagia ialah salah satu cara lain untuk menjalani kehidupan. Malangnya, semuanya sudah terlambat ketika saya menyedarinya. Mereka sudah mati dan tidak lagi boleh dihidupkan kembali. Saya tak boleh mencuci tangan dari semua kesan darah ini."

"Qiaoqiao?" Li Ce mengerutkan keningnya sambil mencelah dengan nada yang berat, "Semua ini bukan salah awak."

"Saya ada tanggungjawab yang tak boleh diabaikan." Chu Qiao berkata dalam suara perlahan, "Mereka mempercayai dan mengikuti saya tapi saya tak dapat melindungi mereka. Seorang demi seorang daripada mereka yang mati tapi saya tak dapat menyediakan upacara pengebumian dengan sempurna. Awak tahu? Setiap malam saya mendengar tangisan mereka diiringi hembusan angin. Mereka teringin kembali ke kampung halaman mereka untuk berjumpa dengan ibu bapa mereka yang sudah tua. Mereka masih muda dan sebahagian daripada mereka masih berusia 15 atau 16 tahun. Pada umur sebegitu sepatutnya mereka melemparkan kemarahan di hadapan ibu bapa mereka. Sebaliknya, mereka mati di atas dataran yang sejuk sebab saya."

Perasaan gembira Li Ce terus hilang. Dia melihat wanita muda itu dengan kerisauan kerana hatinya berasa sakit.

"Li Ce, tolong saya jaga mereka semua. Kalau awak risaukan mereka, awak boleh bubarkan mereka dan berikan mereka tugasan untuk dijalankan. Mereka boleh menjalani kehidupan dengan bahagia, berkahwin dan mempunyai anak di negara awak. Saya harap mereka tak akan berlawan di medan perang lagi. Tiada kemenangan seperti itu buat seorang askar. Kemenangan milik para jeneral manakala para tentera hanya membunuh dan dibunuh."

Li Ce mengangguk dengan kepayahan sambil melihat wajah wanita muda itu yang pucat dan lemah. Dengan suara yang lembut dia bertanya, "Bagaimana dengan awak? Awak masih bencikan Yan Xun? Awak akan kembali ke sisinya ke?"

"Saya tak membenci dia lagi," Chu Qiao menggelengkan kepalanya sedikit dan menjawab dengan nada yang lembut seperti angin yang bertiup di tasik pada musim bunga. "Sebenarnya awak semua tak tahu mengenai hal ini. Yan Xunlah orang yang paling menderita. Saya pernah menyaksikan semua kebencian, kesakitan dan kehinaan yang telah dia lalui. Orang luar tak akan faham semua ini. Kebencian di dalam hatinya tidak dapat diukur oleh saya. Sekarang dia berada di negeri ini. Walaupun dia salah, dia telah dipaksa oleh takdir. Setiap orang mempunyai hak untuk memilih haluan mereka sendiri. Itulah jalan yang dia pilih. Walaupun saya tak bersetuju, saya hormati pilihan dia. Dalam dunia ini, siapalah yang benar-benar betul dan salah? Kita semua mempunyai perkara yang kita sendiri ingin perjuangkan dan juga halangan kita. Walaupun kita tak dapat berada di landasan yang sama, kita tak sepatutnya menjadi musuh."

"Bagaimana pula dengan Zhuge Yue? Kenapa awak tak bersama dengan dia? Dia dah melakukan banyak perkara untuk awak. Awak tak cintakan dia?"

"Cinta? Mungkin," Chu Qiao tersenyum sambil menyambung, "Sebenarnya saya tak begitu tahu apa itu cinta sejati tetapi cinta tak bermakna kedua-dua pihak perlu bersama sepanjang masa. Kadang-kadang, melepaskan seseorang itu juga tanda cinta." Chu Qiao mendongak sedikit apabila angin meniup dahinya. Ketika itu Li Ce seolah-olah melihat satu cahaya yang berkarisma muncul di sebalik anak mata wanita itu yang kelihatan sangat menawan dan memukau.

"Lagipun, dia Marsyal Besar Empayar Xia yang sama dengan Menteri Pertahanan Negara. Bagaimanalah dia boleh bersama dengan orang macam saya?" Dia menggumam perlahan lalu menyambung, "Saya tahu selagi saya bersedia, dia akan melepaskan semuanya demi saya. Tetapi Li Ce, semua perkara itu betul-betul baik ke? Dia telah melalui banyak onar kehidupan. Akhirnya dia telah membuang segala penghinaan yang dia bawa sebelum ini dan berjaya sampai ke tahap sekarang. Kami berbeza. Walaupun negara dia jatuh dan keluarga dia mengabaikannya, dia masih ada tempat miliknya sendiri. Saya memahami rasa tanggungjawabnya untuk memilih antara cinta dan kebebasan. Tapi, dia akan melepaskan segalanya demi cintanya terhadap saya, mengikuti saya hingga ke hujung dunia. Awak rasa dia akan berasa gembira ke? Tidak. Dia seorang lelaki yang seharusnya memiliki keinginan sendiri. Apabila dia sudah matang dan berusia, dia akan faham semua ini. Akan tiba masanya bila dia bergembira dengan pilihan yang telah dibuatnya."

"Lagipun, saya sudah penat," Chu Qiao menundukkan kepalanya sambil memandang Li Ce dengan sebuah senyuman. "Saya telah bekerja lebih sepuluh tahun. Saya tidak lagi berani untuk mengembara ke jalan yang tak pasti. Saya juga seorang wanita. Saya mahukan sedikit masa untuk diri saya jadi saya boleh berehat."

"Qiaoqiao," Li Ce mengeluh dan berkata dengan tidak bermaya, "Saya memang tak dapat nak menghentikan awak ke? Awak benar-benar dah merancang untuk pergi?"

"Ya," Chu Qiao menjawab dengan serius. "Awak tak perlu risau tentang saya, saya boleh menguruskannya sendiri. Dalam dunia ini, kenyataan tentang hanya para bangsawan sahaja yang boleh hidup bahagia itu tidak benar. Saya akan menjadi seorang rakyat biasa tanpa sebarang beban atau tanggungjawab. Saya akan hidup dengan bebas dan membuat perkara yang saya mahu serta pergi ke mana sahaja. Saya sudah mengimpikan kehidupan seperti ini selama bertahun-tahun."

"Awak akan pulang untuk melawat saya tak?"

"Sudah tentulah," Chu Qiao ketawa dan menambah, "Awaklah kawan saya yang paling penting."

Li Ce mengusap rambut wanita muda itu dengan tangannya sambil berkata pahit, "Awak dah melukakan perasaan saya."

Chu Qiao berdiri dan berjalan ke sisi Li Ce ketika pemuda itu juga berdiri. Dia menghulurkan tangannya dan memeluk pemuda itu sambil berkata dengan lembut, "Li Ce, saya pergi dulu. Situasi di Barat Meng ini semakin bertambah huru-hara. Awak mesti jaga diri. Jangan buat saya risaukan awak."

Hati Li Ce dihurung kekecewaan tetapi dia cuba untuk menyelindunginya dengan perasaan gembira sambil berkata, "Apa yang akan jadi kepada saya? Saya Maharaja Tang. Siapa yang boleh mengapa-apakan saya? Tambahan pula, saya seorang yang kacak dan berbakat. Satu-satunya orang yang berani membuli saya ialah awak."

Chu Qiao ketawa tanpa sedar. "Baiklah, awak kacak dan berbakat. Malah Leonardo juga akan terjun bangunan kerana malu apabila berjumpa dengan awak."

"Siapa Leonardo? Peliknya nama itu. Dia orang asing ke?" Li Ce mengerutkan keningnya dan bertanya.

Chu Qiao ketawa lalu menjawab, "Ya dia orang asing. Dia sangat kacak."

"Sampai hati awak bandingkan saya dengan orang asing."

Chu Qiao sekali lagi ketawa besar. "Hari dah gelap ini. Saya pergi dulu." Chu Qiao tidak menunggang kudanya tetapi memilih untuk menyewa kereta kuda bersama dengan Mei Xiang.

Li Ce berdiri di bawah pokok sycamore sambil tersenyum. Dia memakai jubah berwarna merah. Dari jauh, dia kelihatan seperti yang digambarkan dirinya sendiri, iaitu kacak dan berbakat.

"Qiaoqiao, jaga diri. Kalau awak masih belum kahwin sebelum umur 30 tahun, awak boleh kembali mencari saya."

Chu Qiao memasuki kereta kudanya lalu membuka tirai dan melambai ke arah pemuda itu sambil berkata, "Terima kasih. Saya akan pastikan saya sudah berkahwin sebelum umur 30 tahun." Ketika kereta kuda sudah berjalan jauh, akhirnya tirai hijau itu dilepaskan. Perlahan-lahan bayangannya menghilang di hujung jalan.

"Tuanku, perlu ke kita hantar orang untuk melindungi Cik Puan Chu?" Sun Di berfikir lama sebelum bertanya.

"Tak perlu," Li Ce menggelengkan kepalanya dan berpaling menuju ke arah pintu gerbang kota.

'Setiap orang mempunyai hak untuk memilih kehidupannya. Qiaoqiao, pergilah ikut naluri awak.'

Tirai khemah yang terbuka menyebabkan cahaya matahari dan bau daging meresap ke dalam. Jingjing mengerutkan dahinya sambil berguling dan berpaling kemudian membuka matanya perlahan-lahan. Jelas sekali dia belum bangun sepenuhnya lagi. Angin yang bertiup pada waktu subuh membawa bersama bau yang menyegarkan dan menyebarkan bau ubatan herba di dalam khemah.

Chu Qiao langsung tidak meraih wajahnya ketika dia meletakkan satu tangan di dahi manakala tangan yang lagi satu memegang sekeping catur hitam di antara jari telunjuk dan hantunya. Dia mengetuknya berulang kali di atas papan catur jed lantas mengeluarkan sebuah bunyi yang berirama yang menunjukkan kekecewaannya. Dia bertindak seperti tiada apa yang berlaku. Kemenangan ada di sana apabila lawannya telah membuat banyak kesalahan dan pergerakan maut namun dia terhenti di sana, tidak dapat meneruskan langkah seterusnya.

"Cik Puan, semua orang sudah bersedia," Meixiang berdiri di pintu masuk sambil berkata dan ketawa.

Chu Qiao mengerutkan keningnya apabila suara Meixiang bergema di udara. Dia tidak memberi respons untuk masa yang lama. Ketika Meixiang mahu mengulangi kata-katanya, Chu Qiao menterbalikkan papan catur tersebut lalu berpaling dan bercakap dalam suara yang perlahan, "Beritahu semua orang yang mulai hari ini kita akan mengembara siang dan malam tanpa henti. Siapkan diri kamu semua." Chu Qiao dan rombongannya telah meninggalkan Bandar Xuefu semalam. Sekarang mereka dalam perjalanan ke Tang Jing.

Dalam sekelip mata, dua tahun sudah berlalu. Pada hari mereka meninggalkan Tang Jing, Du Pingan dan kakaknya, Du Jingjing telah mengikuti mereka. Dia membenarkan mereka berdua mengikutinya kerana dia tiada pilihan lain dan juga ia telah menyebabkan dia terpaksa melupakan harapannya untuk hidup seperti seorang nomad. Jadi, dia menetap di sebuah bandar kecil dan tenang di kawasan selatan Tang. Cuaca di sana yang panas mengembalikan semula kehidupan yang tenang. Tempat itu terletak berhampiran Meishan di mana terletaknya makam maharaja Empayar Tang dan terdapat sedikit jenayah.

Tempat ini ialah rumah kepada cendekiawan terkenal Tang iaitu Shen Mobai. Nenek moyangnya juga tinggal di sini. Para cendekiawan muda yang bakal mengambil peperiksaan sering berjalan di tempat itu untuk melawat Tuan Shen dan bersiar-siar di bandar kecil itu semasa dalam perjalanan mereka. Ketika masa berlalu, bandar ini dikenali sebagai Bandar Xuefu.