Chapter 222 - Bab 222

Setelah Chu Qiao membawa beberapa orang daripada mereka bersama, mereka telah membeli sebuah rumah penginapan yang berdekatan dengan sebuah tasik untuk mengendalikannya. Pertama sekali, ia bertujuan untuk dijadikan sebagai samaran mereka. Lagipun, ia agak pelik bagi seorang wanita untuk mengembara berseorangan bersama seorang gaji dan dua orang anak kecil. Keduanya, wanita ini ingin mencari sesuatu untuk dilakukan buat dirinya sendiri. Berfoya-foya bukanlah jalan penyelesaiannya.

Pada mulanya, mereka tidaklah melakukan semua hal ini untuk menjana wang. Namun, oleh disebabkan teknik kepimpinan Chu Qiao yang agak unik, iaitu dengan cara wanita ini menjaga kebersihan rumah penginapan dan juga lokasi geografi rumah penginapan tersebut telah menjadikan ia sebagai rumah penginapan yang paling berprestij di dalam bandar itu. Para cendekiawan yang datang untuk menghadiri peperiksaan yang dianjurkan pada musim bunga dan musim luruh sering menjadikan rumah ini sebagai rumah penginapan pilihan pertama mereka. Jadi, ia telah digelarkan sebagai 'Rumah Penginapan Sang Cendekiawan". Semasa waktu-waktu kemuncak, bisnes wanita ini pasti akan meletup sehingga dia tidak menang tangan dalam mengendalikan semua bilik-bilik yang telah diduduki orang.

Hari mengalir dari celahan masa dengan lancar dan pantas. Dia menetap di sebuah bandar terpencil dan jauh daripada segala perihal duniawi, sekaligus merahsiakan segala pencapaiannya dahulu dan juga meninggalkan segala memori lama daripada pengetahuan khalayak ramai. Dia hidup seperti seorang wanita biasa yang menjalani kehidupan mereka dengan tenang. Tiada apa yang berubah selain dari kesihatannya yang semakin merudum. Walaupun dia hanya berusia 21 tahun, akan tetapi segala pemaksaan dirinya sehingga ketenatan, menyertai pertempuran dan juga segala kesusahan hidup yang telah diharungi wanita muda ini sejak dari kecil lagi telah menyebabkan dirinya terpaksa menanggung sisa baki daripada segala kecederaan tersebut. Kecederaan-kecederaan itu akan menyebabkan dia berasa perit setiap kali cuaca bertukar buruk, di mana sendi-sendinya akan menjadi sengal. Hujung matanya sudah menjemput kedutan-kedutan halus manakala kekuatan dan daya tenaganya juga sudah terkesan. Setiap kali wanita ini berasa penat sedikit, dia seringkali akan mengikut hasrat hatinya dan melelapkan mata.

Penyakit bagaikan telah menjadi rakan karibnya. Hampir setiap inci tubuhnya telah diserang masalah demi masalah, manakala virus selesema menjangkitinya hampir setiap bulan. Semasa dia sedang terlantar di atas katil memerangi penyakit yang menyerangnya, dia akan sering terkenangkan jika tubuh tersebut sememangnya miliknya ataupun tidak. Dia berasa seperti sebuah boneka yang berkemungkinan akan dicarik-carik sehingga kapas di dalamnya terburai pada bila-bila masa saja.

Di sudut baiknya, ketenteraman akhirnya bertandang di dalam hidupnya. Tiada lagi pertumpahan darah, kematian yang kejam dan rancangan sulit untuk pihak musuh. Hatinya telah memasuki ruang ketenangan bagaikan air permukaan tasik.

Dalam dua tahun ini, dia telah jarang menerima berita tentang keadaan di dunia luar. Namun, ramai pejalan kaki yang berlalu-lalang di luar rumah penginapan yang diurusinya itu telah berkongsi maklumat-maklumat tersebut kepadanya dan anak-anaknya yang juga tertarik untuk mendengar. Contohnya, dia telah diberitahu tentang perkahwinan Zhuge Yue dengan Puteri Nalan. Daripada apa yang didengari Chu Qiao, Zhuge Yue telah menerima lamaran itu dengan hati yang terbuka apabila dia kembali ke Empayar Xia. Namun, pemuda itu juga telah melaporkan kepada seluruh pegawai dewan persidangan yang dia sudah mempunyai seorang isteri yang sah di Qinghai. Dia juga telah menyatakan yang Puteri Nalan hanya boleh menjadi gundiknya sahaja jika mereka berkahwin kerana pemuda itu tidak mahu meninggalkan wanita itu yang telah membantunya. Jika Puteri Nalan melahirkan seorang anak pun, dia hanyalah isteri kedua Zhuge Yue.

Namun, perihal ini tidak diterima dengan baik oleh majlis perutusan Song. Isu yang diramalkan akan mencetuskan sebuah pergolakan besar di Meng Barat ini serta-merta telah ditenangkan oleh gerak-geri Zhuge Yue yang santai terhadap perihal ini. Ia lama-kelamaan dilupakan kerana tiada kesan buruk yang terjadi kepada mana-mana pihak.

Setelah itu, Puteri Ketujuh Zhao Che pulang ke ibu negara daripada sempadan utara dengan lebih daripada 500,000 pasukan tentera elit miliknya bersama sokongan Marsyal Besar Zhuge. Mereka bersama-sama telah menghapuskan pemberontakan dan juga memerdekakan berbidang-bidang kawasan yang besar di sempadan. Mereka berganding bahu memusnahkan kuasa monopoli Zhao Yang di dalam bidang politik Xia.

Situasi di Yan Bei juga tidaklah sebaik dahulu lagi setelah Empayar Tang menutup laluan perairan di sepanjang sempadan selatan sementara hubungan ekonomi bersama Empayar Song juga telah diputuskan. Setelah berhadapan dengan serangan dua hala daripada Xia dan Qinghai, Yan Bei sudah tidak mampu lagi untuk memulakan sebuah peperangan lagi bersama Tang.

Nasib telah menyebelahi Yan Bei kerana Zhao Yang yang sedang bergelut dengan Zhao Che mengenai kuasa itu langsung tidak mempedulikan tanggungjawabnya untuk mengukuhkan kembali Sempadan Yanming. Apatah lagi, semenjak setahun setengah yang lalu, hanya sebuah serangan berskala besar yang dijangkakan untuk berlaku di Sempadan Yanming. Namun, pertempuran tersebut langsung tidak berlaku. Para tentera berlengah-lengah daripada menyerang pihak lawan sepanjang dua hari sebelum berundur kembali ke lokasi yang telah ditetapkan.

Situasi tersebut sememangnya tidak dijangkakan bersama pelbagai pemutaran plot di setiap liku jalan ceritanya.

Ternyata, Zhao Yang memahami yang Pasukan Tentera Qinghai milik Zhuge Yue pasti telah memusnahkan pasukan tenteranya semasa mereka mengembara ke ibu negara Xia jika bukan disebabkan Yan Bei. Dia juga sedar yang Pasukan Tentera Barat Daya miliknya pasti tidak akan dapat menentang Zhao Che dan Zhuge Yue. Jadi, pemuda itu secara tidak langsung telah berpihak pada Yan Xun.

Dunia yang tidak terduga ini sememangnya menakjubkan.

Namun, berita yang telah menerima reaksi terbaik daripada para pengunjung ialah berita mengenai perkahwinan mewah Yan Xun. Semasa tahun baru tahun lalu, Yan Xun telah menganjurkan sebuah siri majlis persandingan yang sangat meriah dan agung di luar Istana Shuofang semasa pemuda itu mengambil 18 anak dara para pegawai atasan Yan Bei sebagai gundiknya. Dia telah menempatkan mereka di dalam haremnya yang telah dibina di belakang Istana Shuofang. Jamuan tersebut berlangsung selama 18 hari berterusan sambil rakyat Yan Bei berkumpul di luar istana untuk meminta rahmat dan menunjukkan rasa hormat mereka kepada maharaja Yan Bei. Ia sememangnya sebuah babak yang mengagumkan.

Pembinaan Istana Nada di atas Pergunungan Louri telah disiapkan pada hari kedua majlis persandingan tersebut. Mulut para rakyat yang bernasib baik kerana dapat melihat pemandangan yang gemilang ini tidak henti-henti menerangkan keindahan babak yang telah disaksikan mereka. Beberapa orang cendekiawan dan juga mereka yang berpengetahuan malah telah menggubah sebuah sajak dan lirik untuk menandakan penghormatan mereka buat istana yang indah ini.

Khabar angin juga ada mengatakan yang sebahagian daripada Istana Nada itu terapung udara sambil bahagian yang lain utuh berpegang pada cenuram gunung. Aliran air mengalir ke atas gunung sambil bertemankan taman bunga yang berwarna-warni yang juga terapung di udara dan aroma daripada sungai-sungai wain itu yang merebak ke semesta alam. Malah, terdapat juga arca keemasan, terletak di atas tembok perak yang bersinar terang bagaikan si matahari. Ia sememangnya sebuah keajaiban yang memukau sehinggakan Istana Tang Jinwu yang dibina beribu-ribu tahun dulu itu pun tidak mampu menandingi keindahan Istana Nada ini.

Ramai yang mengetahui istana itu telah dibina buat maharaja Yan Bei dan juga kekasihnya iaitu Jeneral Pasukan Tentera Xiuli. Namun, semenjak pertelingkahan keramat yang berlaku di Dataran Huolei dua tahun lalu, wanita ini yang telah dilahirkan dalam keluarga hamba, yang telah mencetuskan pergolakan di antara maharaja Yan Bei, Tang dan Marsyal Besar Xia, serta-merta telah menghilangkan diri daripada arena politik dan tidak pernah didengari beritanya lagi.

Ada yang mengatakan wanita itu telah berkahwin dengan keluarga maharaja Tang sebelum menukar nama keluarganya untuk kekal di samping maharaja tersebut. Ada juga yang mengatakan dia kini telah menjadi isteri Zhuge Yue dan menetap di Qinghai untuk memimpin pasukan tentera mereka di sana. Malah, ada yang mengatakan yang dia telah kembali ke Yan Bei dan telah menjadikan Istana Nada itu sebagai tempat kediamannya. Namun, itu semua hanyalah khabar angin semata-mata. Tiada sesiapa mengetahui si wanita legenda ini kini sedang menetap di sebuah bandar kecil yang terletak di kawasan selatan Tang dan menguruskan sebuah rumah penginapan kecil. Dia menjalani sebuah kehidupan yang biasa, mengambil angin di Tasik Jialing pada setiap hari dan bermain catur dengan warga-warga emas hanya untuk menghabiskan masanya.

Penyertaan ketenangan dan perdamaian di dalam hidupnya secara tiba-tiba ini telah membuatkan wanita ini terlupa akan banyak perkara dalam kehidupan lamanya. Akan tetapi dari semasa ke semasa, dia masih lagi terkenangkan cerita yang telah diceritakan kepada pemuda itu sewaktu mereka menetap di perkarangan istana yang usang itu bertahun-tahun yang lalu.

"Raja itu bina sebuah syurga untuk wanita yang dicintainya. Ada banyak perkara yang menakjubkan di sana. Beberapa aliran air mengalir ke atas bersama taman-taman bunga yang menghiasi udara sambil ditemankan dengan sungai-sungai yang diperbuat daripada wain, aromanya semerbak dan merebak jauh ke hujung dunia. Patung-patung keemasan berdiri megah di atas tembok kelabu yang bersinar terang apabila dipancarkan dek cahaya matahari, menambahkan lagi aura kemewahan istana tersebut. Syurga itu akhirnya dijadikan sebagai salah satu keajaiban dunia dan amat terkenal di serata dunia kerana ia bukti cinta abadi di antara raja dan kekasihnya."

Separuh daripada hidupnya telah berlalu. Ada yang masih berada di sisinya dan ada juga yang telah pergi meninggalkannya. Ada yang tersesat jalan dan ada juga yang tidak mampu menemui pangkal jalannya. Walaupun wanita ini mengingati setiap bait memori masa lampau, mana mungkin dia mampu memulihkan kembali hubungan yang telah dihancurkan pada masa lalu? Lagipun, semuanya telah berlalu.

Kumpulannya tiba di Rabung Xiu pada keesokan hari. Air yang deras mengalir daripada atas manakala pokok-pokok berdedaunan menghijau dan bunga-bunga lebat memekar. Jika mereka tidak terburu-buru, kawasan itu pasti boleh dijadikan sebagai tempat berehat yang baik. Namun, pada petang hari ketiga, hujan lebat yang menimpa bumi lalu menyekat perjalanan mereka oleh disebabkan jalan-jalan gunung yang berliku itu amatlah berlumpur dan berbahaya. Pada tengah hari hari keempat, mereka tiba di Sungai Qingheng setelah bersusah-payah mengembara ke sana hanya untuk mendapati yang satu-satunya jambatan untuk menyeberangi sungai tersebut telahpun dimusnahkan dek hujan lebat itu. Sekumpulan manusia lain yang nampaknya ingin menyeberangi sungai itu juga sedang mencuba sedaya upaya mereka untuk memperbaiki jambatan itu namun usaha mereka terpaksa diberhentikan setelah kekurangan kerahan tenaga.

Hanya terdapat dua pilihan sahaja untuk dipilih. Mereka boleh berpatah balik dan mengembara ke arah Song yang bermaksud ia akan memanjangkan pengembaraan mereka selama lebih dari 10 hari. Pilihan keduanya ialah menunggu sehingga jambatan itu siap diperbaiki supaya mereka boleh menyeberanginya.

Jadi, Chu Qiao telah membayar para pengawal upahan dan pengawal berkudanya sebanyak 10 tahil perak seorang, membuatkan mereka semua bersorak ceria dan terus menyertai pembinaan semula jambatan itu. Setelah seketika, Pingan melangkah ke sisi gerabak kuda untuk berkata, "Kakak, seseorang daripada seberang sana telah dihantar ke sini untuk mengucapkan terima kasih kepada kita."

Setelah Chu Qiao mendapat tahu pihak yang berterima kasih itu langsung tidak akan bersemuka dengannya secara peribadi, dia lantas membalas, "Pergi beritahu mereka yang semenjak kita dalam perjalanan yang sama, mereka tak perlu berterima kasih kepada kita."

Tidak lama kemudian, langit bertambah gelap dan semakin gelap sementara guruh berdentum di kaki langit. Cuaca pada saat itu terasa sangat melengas. Chu Qiao yang meraih ringan langsir gerabak itu serta-merta dapat melihat kepulan-kepulan awan hitam yang berarak di sebelah barat, mengagak yang hujan lebat bakal menimpa bumi sekali lagi.

Mei Xiang bersama beberapa lagi orang gaji sedang menyediakan bubur bersama beberapa cebisan daging sementara Chu Qiao dapat melihat setiap gerak-geri sayu yang diberikan oleh pembina-pembina semula jambatan tersebut. Para orang gaji sedang sibuk memperbaiki jambatan sungai manakala sebuah gerabak kuda yang diliputi sehelai kain hijau pula sedang diparkir kemas di bawah sebuah pokok. Gerabak kuda itu tampak seperti berwarna merah apabila dilihat di bawah cahaya malam ini. Sementara angin berdesir di sisi gerabak itu, sepasang kasut but berwarna putih keemasan dapat dilihat dengan jelas semasa langsir gerabak itu ditinggikan perlahan. Sememangnya orang yang berada di dalam gerabak kuda itu bukanlah calang orangnya dan pastinya seorang bangsawan yang berstatus tinggi.

Mei Xing membawa sekali beberapa orang pengawal setelah memanggil mereka untuk menjamah selera. Chu Qiao yang melihat babak tersebut terus mengarahkan pembantunya itu untuk menghidangkan bubur berlebihan kepada pihak di sebelah sana. Namun, apabila Mei Xing kembali ke gerabak kuda Chu Qiao, dia sedang membawa bersama sebuah bungkusan kertas. Segala jenis makanan-makanan ringan mewah dan bahkan juga dua keping jerki daging lembu terpampang jelas ketika mereka membuka bungkusan tersebut.

"Orang itu tahu cara untuk membalas budi," Mei Xiang tersenyum apabila dia mengeluarkan sejenis pastri. Dia berkata selepas menghidunya, "Ia berbau seperti millefeuille daripada Kawasan Yufu di Sempadan Baishui. Cik Puan, cuba bau ini. Ia mengingatkan Cik Puan pada barang yang kita bawa masuk dari Baishui itu tak?"

Chu Qiao berkerut apabila dia menggenggam pastri tersebut dan merenungnya buat masa yang lama sebelum membalas perlahan, "Ia tak sama. Pastri yang kita beli itu gred pertengahan saja dan tak begitu rangup. Pastri-pastri ini pasti tak akan dapat bertahan buat perjalanan jauh. Saya rasa yang pihak sebelah sana itu beli pastri ini untuk dimakan dalam perjalanan mereka."

Mei Xiang lantas berasa kagum. Walaupun dia tidak perlu mengkhuatiri tentang keperluan kehidupannya buat beberapa tahun ini, namun dia telah dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang miskin. Dia pun berkata, "Ini semua makanan ringan yang mahal. Baiknya hati mereka."

Jingjing telah diserang penyakit beberapa hari lalu jadi gadis itu kerapkali tidur. Akan tetapi, semasa dia terhidu bau aroma semerbak yang dikeluarkan oleh pastri tersebut, dia terus memanggil Mei Xiang dan merengek, "Kakak Mei, saya nak makan."

"Lebih baik kalau kita berhati-hati. Kita tak kenal mereka itu siapa. Mei Xing, cari sesuatu tempat untuk buangkan semua benda ini. Sesiapa pun tak dibenarkan untuk makan."

Mei Xing mengangguk bersetuju dan membalas, "Cik Puan, saya rasa Cik Puan betullah."

Malam kembali tenang tanpa sebarang bunyi setelah guruh habis berdentum dan angin juga habis berdesir. Jambatan tersebut akhirnya siap diperbaiki semasa langit benar-benar telah menghitam. Kumpulan itu nampaknya sedang tergesa-gesa untuk beredar, jadi mereka menghantar seseorang untuk menyapa Pingan sebelum beredar. Chu Qiao juga tidak mahu membazir masa lagi jadi dia mengekori belakang kumpulan itu semasa mereka sedang menyeberangi jambatan. Namun, wanita itu lantas ternampak periuk porselin besar yang telah digunakan Mei Xing untuk menyediakan bubur yang sedang didirikan di tengah-tengah sebelukar lalang. Bubur di dalamnya langsung tidak disentuh dan boleh dilihat juga beberapa ekor tikus yang sedang mengaut keuntungan hari.

Chu Qiao lantas menurunkan langsir gerabak sebelum bersandar pada kusyen lembut itu dan berkerut ketat.

'Siapa mereka ini? Mereka bersangkut-paut dengan kejadian itu ke?'

Chu Qiao yang segera memikirkan tentang pergerakan aneh di sepanjang makam maharaja di Gunung Mei itu terus berasa risau terhadap Li Ce.

'Harap-haraplah yang ini semua hanyalah tanggapan buruk aku saja.'