Chapter 220 - Bab 220

Seseorang sedang mengetuk pintu bilik dengan berhati-hati. Yue Qi pun berkata, "Tuan, Tuan Besar tahu yang Tuan dah kembali. Pihak istana pun dah perintah pengawal tentera untuk melaporkan kepada Tuan supaya masuk."

Zhao Che lantas mengangkat kotnya sebelum memakai jubah yang besar itu bersama-sama sebuah topi gergasi berwarna hitam. Sukar benar untuk melihat wajah pemuda itu. Dia berkata dengan nada yang rendah, "Dah tiba masanya untuk saya pergi. Kamu patut jaga diri."

"Kamu juga. Keluarlah daripada sini dengan menggunakan laluan rahsia. Berhati-hati."

Kedua-dua pemuda itu mengangguk. Zhao Che seterusnya membuka pintu dan bergerak keluar ke dalam ketebalan salji yang dahsyat. Pemuda itu sedang diekori oleh Huan'er dan beberapa orang yang lain.

"Tuan." Yue Qi melangkah dan mendapati yang Zhuge Yue sedang berdiri di dalam biliknya bersama kelibatnya yang kurus melampai itu terpampang jelas, manakala wajahnya pula kelihatan sangat sepi. Tiada siapa yang dapat meneka apa yang sedang terbuku di dalam hati lelaki itu.

Perasaan mempunyai seorang kawan sejati itu terasa begitu enak apabila ditelan pemuda itu.

Zhuge Yue bukanlah seorang yang terlalu peramah. Dalam kalangan ahli keluarganya dan adik-beradiknya juga, dia tidak pernah mempunyai sebarang hubungan yang baik dengan mereka. Namun, Zhao Che masih lagi mengambil risiko untuk bertemu dengan pemuda itu walaupun dengan kawalan yang ketat di Bandar Zhen Huang ini. Itulah jasa yang benar-benar menyentuh perasaannya.

"Tuan? Dah tiba masanya," Yue Qi mengingati Zhuge Yue.

Zhuge Yue lantas melayangkan sebuah senyuman yang riang sebelum memerintahkan, "Sediakan gerabak kuda."

Yue Qi berasa terkesima. "Tuan bercadang nak bergerak ke mana?"

"Ke dewan persidangan."

"Dewan persidangan?" Yue Qi masih lagi terpana. "Bukan ke Tuan kena mandi dan tukar pakaian dulu? Lagipun, Tuan ini Marsyal Besar. Seorang jeneral mesti kena tiba di dewan persidangan dalam sebuah gerabak kuda dan juga kena menunggang kuda."

Zhuge Yue menundukkan kepalanya sebelum sebuah pandangan yang dingin dan tajam tiba-tiba terlayar di dalam anak matanya. Tanpa berfikir panjang, dia menjelaskan dingin, "Bukan saja saya Masryal Besar di Empayar Xia itu, tetapi saya juga Raja Qinghai yang memimpin seramai lebih 500,000 orang askar. Bagi kenyataan awak yang lagi satu itu, saya rasa mereka dah pun lupakan hal itu."

Cahaya mentari menikam lapisan-lapisan awan yang terapung megah di langit. Zhuge Yue melangkah keluar dari biliknya sementara Fang Chu berlari ke arah tuannya untuk meletakkan sehelai kot keemasan di atas bahu pemuda itu. 18 pintu yang terdapat di Kediaman Zhuge itu terbuka luas secara serentak dan cahaya bagaikan terpancar daripada belakang pemuda itu sambil memaparkan wajahnya yang indah. Bibirnya merah semula jadi manakala dadanya pula bidang dan tegap. Dia mengambil langkah yang besar untuk beredar daripada bilik tersebut dan serta-merta sekumpulan pegawai meluru ke arahnya. Namun, mereka sekaligus telah dihalang oleh para Pengawal Yue yang berdiri satu meter daripadanya. Kemudian, Zhuge Yue menaiki gerabak kuda yang mewah dan megah, ditarik oleh lapan ekor kuda sebelum memerintahkan, "Bergerak."

"Tuan bercadang nak bergerak ke mana?" Si pemandu bertanya.

Wajah Fang Chu benar-benar kaku apabila dia membalas bagi pihak Zhuge Yue

dengan tenang, "Istana Sheng Jin."

Walaupun angin sejuk menyusup masuk ke dalam gerabak, wajah Zhuge Yue masih tampak tenang semasa dia perlahan-lahan menyelesakan dirinya di atas kerusi lembut di dalam gerabak itu. Bakatnya dalam memulakan persengketaan belum lagi memudar. Semenjak dari kes tersebut, dia akan memastikan untuk memulakan pelbagai rancangan dan situasi untuk membuatkan keadaan bertambah rumit sehingga tiada sesiapa yang mampu mengubah walau pun satu butiran mengenai situasi itu dan tiada sesiapa yang mampu melarikan diri daripadanya.

Dengan kegelapan yang semakin menghurung seluruh kawasan, sebuah jamuan yang diadakan di luar kediaman masih lagi tidak tamat, namun sebuah jamuan baru telah dianjurkan di dalam kediaman. Walaupun jika Empayar Tang terasa lebih hangat daripada negara-negara lain, akan tetapi apabila tiba kemuncak musim sejuk, ia akan terasa lebih sejuk daripada biasa. Angin malam yang berdesir menyusup ke dalam setiap fabrik dan meneroka daripada tapak kasut ke setiap anggota badan yang lain walaupun kain yang dipakai mereka tebal dan nyah-angin.

Pada tengah hari itu, hujan renyai telah menimpa bumi sehinggalah senja, membuatkan malam terasa lebih sejuk dari kebiasaannya. Namun, para cik adik yang sedang berpakaian cantik mewah langsung tidak berasa risau mahupun malu dalam mendedahkan dada mereka yang putih mulus. Anak mata mereka diselubungi nafsu manakala tangan mereka yang putih bak kaca itu bergerak dalam pergerakan memukau. Kadangkala, salah seorang cik adik yang berani akan bergerak untuk menuangkan secawan wain buat pemuda itu dan mendedahkan pehanya yang suci mulus "tanpa sengaja".

Li Ce minum alkohol dengan banyak sehingga dia harus mengecilkan matanya untuk berfokus sambil bersandar pada kerusi lembut itu. Kemegahan Istana Roufu terpampang jelas buat pemandangan khalayak ramai apabila pintu gerbang yang mewah itu terbuka. Para pemuzik sedang mengalunkan melodi mereka di tengah-tengah tasik dengan bunyinya yang bergema terus menyusup ke dalam ruangan dewan istana gergasi tersebut.

Para penari meliang-lentokkan pinggang mereka bagaikan ular di hadapan pemuda itu sementara kaki mereka pula bergerak seriring mengikut koreografi yang telah ditetapkan. Seorang penari bersama peluh yang menitik-nitik pada kulitnya yang putih mulus tiba-tiba berasa berani lantas melentokkan badannya pada dada bidang Li Ce dalam satu pergerakan lancar. Kening wanita itu terangkat sedikit semasa melihatkan sekepulan debu yang diperbuat daripada debuan keemasan. Bibirnya penuh manakala lehernya pula panjang dan tirus. Dadanya yang montok itu telah dilitupi oleh sehelai kain nipis dan menampakkan kulitnya yang putih gebu itu.

Wanita tadi mengangkat secawan wain merah sambil melentokkan badannya dengan penuh memikat, menonjolkan pinggulnya yang menawan. Dia meraih tinggi lengannya dan membalikkan tangannya dengan pantas, membuatkan wain tadi tertumpah ke atas lehernya yang seakan-akan milik sang angsa. Ia mengalir terus ke lurah dadanya yang bagaikan dua bukit bersalji.

"Tuanku, Tuanku mabuk ke?" Dia sememangnya seorang jelitawan. Bukan sahaja dia seorang yang amat cantik, bahkan suaranya juga lunak dan merdu. Badan wanita itu yang fleksibel menjalar sebelum dia meraba-rabakan bahunya pada dada bidang milik Li Ce. Dengan itu, tangannya menyelinap masuk ke dalam baju pemuda itu dan bergerak ke bawah dan ke bawah lagi, hanya berhenti sebelum benar-benar berada di hujung abdomen Li Ce.

Wanita ini adalah Cik Puan Zi Ming, seorang wanita yang telah meraih perhatian Li Ce setahun yang lalu. Li Ce seorang buaya darat dan tidak akan pernah menumpukan perhatiannya pada seorang gadis buat masa yang terlalu lama. Namun, Cik Puan Zi Ming yang dilahirkan dalam sebuah keluarga bangsawan yang telah musnah ini mampu menarik perhatian Maharaja Tang tersebut buat masa yang sungguh lama. Inilah penangan daya tarikan wanita itu.

Li Ce dengan matanya yang kuyu, menampakkan kemabukannya itu lantas tertunduk. Dia sedang memakai sehelai jubah yang berwarna biru dan ungu sambil juga mempunyai sehelai skarf yang diperbuat daripada bulu musang. Obor api lantas memancarkan cahayanya pada sebahagian daripada dada Li Ce yang tegap dan bidang, terpampang jelas akibat leher bajunya yang terselak sedikit. Pemuda itu mengecilkan matanya disebabkan tabiat lama sebelum keningnya itu diketatkan menggoda. Cahaya berkelipan di dalam anak matanya yang membawa seribu maksud, membuatkan dia kelihatan seperti seekor musang licik yang sedang berfikir panjang.

Para penari di dalam istana itu terus menari sambil berlatarbelakangkan alunan lagu rakyat Donghu. Wanita-wanita tersebut semuanya kelihatan berani dan memberahikan, hanya memperagakan sehelai pakaian yang nipis yang melitupi bahagian-bahagian sulit mereka sahaja. Badan-badan mereka meliang-lentok dengan penuh gemalai sambil titisan-titisan peluh mereka bergemerlapan bagaikan mutiara yang menghiasi wajah mereka.

"Tuanku, Tuanku dah tak menyembah duli ke Istana Roufu dalam setengah bulan. Cepat benar Tuanku lupakan saya ini?" Cik Puan Zi Ming menyandarkan badannya ringan pada pemuda itu. Matanya bergelinangan apabila dia memandang Li Ce seperti seorang dewi godaan.

Mata dan seluruh anggota badan Li Ce sudah jelas menampakkan kemabukan pemuda itu. Namun, di sebalik pandangan matanya yang mabuk, terdampar kabut kewarasan yang jelas. Kuku merah wanita itu melirik dari abdomennya sehinggalah ke keningnya. Wanita itu kemudiannya berbisik di telinga pemuda itu, bertanya ringan, "Salah siapa yang membuatkan Tuanku tak gembira ini?"

Hujung bibir Li Ce diraih sedikit, mempamerkan senyuman ringan milik pemuda itu. Dia lantas merentap pinggang wanita itu dengan tegas sebelum tapak tangannya mengusap-usap kulit gebu wanita itu. Pemuda itu terkekeh dan berkata, "Nakalnya awak ini."

"Tuanku akan berlaku kejam pada Ming'er lagi dengan membiarkan Ming'er tidur bersendirian ke?"

Li Ce lantas berasa terkesima apabila sebuah bayangan tiba-tiba terlintas di fikirannya. Dia lantas berkerut dalam kesayuan manakala hatinya berasa gundah gulana. Dia sudah berasa murung buat setengah bulan. Adakah dia masih akan terus begitu?

Dia berpaling untuk merenung wajah Cik Puan Zi Ming dengan hati yang bergelora, cuba untuk memendam segala kesayuan dan keinginannya. Sudah tiada kemarahan mahupun kegembiraan di dalam hatinya lagi, namun pemuda itu sudah tidak seceria seperti selalu. Dia hanya tersenyum ringan sebelum kembali bertenang dan mengekeh, "Semenjak bila pula saya menjadi seorang lelaki yang tak hiraukan tentang jelitawan seperti awak ini?"

"Tuanku," Sebuah suara tenang tiba-tiba kedengaran dari dalam istana.

Li Ce mengangkat pandangannya untuk melihat Tie You yang sedang berdiri di luar bilik. Dia lantas meraih tangannya dan menghayunkan tangannya sekali. Dengan itu, komander yang bersenjata lengkap ini terus melangkah memasuki istana tanpa sekali pun menghiraukan raut wajah para jelitawan yang berada di sekitar bilik itu dan terus berlutut di atas lantai untuk melaporkan, "Tuanku, Cik Chu dah kembali."

Li Ce terpana. Walaupun raut wajahnya tampak tenang, namun cawan wain yang berada di dalam genggaman tangannya hampir tertumpah. Sebuah alunan suara penyanyi yang sedang mengalunkan irama lagu bagaikan bergema di kejauhan. Iramanya kedengaran perlahan bagaikan mampu menenteramkan perasaan gundah gulana si pendengar. Angin di tengah-tengah tasik itu sejuk dan juga mengangkut bersama aroma wangian sambil bertemankan kelibat Li Ce yang kelihatan sungguh kacak dengan tubuh badannya yang tegap dan rambutnya yang hitam pekat.

"Bila?"

"Baru tadi?"

"Dia di mana sekarang?"

"Dia dah pulang ke Kediaman Mihe."

"Jom." Li Ce sekaligus berdiri dan beredar.

Tie You berasa terkesima dan bertanya dengan segera, "Tuanku, Tuanku nak pergi mana?"

"Kediaman Mihe." Daripada jauh, suara Li Ce kedengaran seolah-olah terapung-apung ke angkasa sebelum menghilang di sebalik kemeriahan malam. Tie You lantas mengekorinya bersama beberapa lagi orang pengawal.

Cik Puan Ming Zi berdiri perlahan-lahan, pakaian suteranya beralun-alun perlahan apabila ditiup angin yang menghembus berlalu. Namun, tiada seinci pun daya tarikannya yang menghilang setelah Li Ce beredar. Wanita itu hanya merenung dengan pandangan yang tenang ketika pemuda itu berlalu pergi tanpa mempamerkan sebait pun emosinya.

"Cik Puan." Seorang pembantu kediaman mendekatinya. Cik Puan Zi Ming segera mengangkit kot luaran itu daripada orang gaji itu sebelum melambai tangannya. "Hentikan jamuan ini." Para wanita itu lantas bersurai bagaikan angin yang menghembus laju. Hanya suara penyanyi yang mengalunkan irama lagu itu sahaja yang kedengaran kini sambil bertemankan aroma wain yang menusuk. Bunga-bunga di atas permukaan kolam teratai itu semuanya telah layu, malah pokok sycamore yang terletak di hadapan pintu gerbang istana itu pun langsung tidak berbuah. Bulan sabit di angkasa memancarkan cahayanya yang samar-samar ke atas tangga batu putih yang kelihatan kemas.

Qiu Sui yang mengawal di sekitar luaran kediaman lantas terjaga apabila dia terdengar bunyi lantang manik-manik yang disulamkan pada vel itu berlanggar antara satu sama lain. Li Ce segera membuat isyarat tangan supaya gadis itu berdiam diri yang membuatkan pembantu kediaman tersebut menundukkan kepalanya dan berlutut di atas tanah, langsung tidak berani untuk berbuat sebarang bunyi. Cermin tingkap bilik ditutup rapat akibat cuaca yang sangat sejuk, namun cahaya bulan masih dapat menyusup masuk melalui jendela yang lutsinar itu. Chu Qiao sedang terlena dibuai mimpi semasa selimut gebunya yang berwarna putih bak sang purnama itu melitupi tubuhnya, hanya menonjolkan kepalanya sahaja. Dirinya kelihatan kemas dan bersih manakala wajahnya pula terpampang jelas keamanan yang menyelubungi diri wanita itu. Li Ce bersandar pada pintu sambil menelengkan kepalanya sedikit, berdiri di situ buat masa yang lama tanpa sekali pun berganjak.

Sememangnya itulah keputusan yang terbaik buat wanita itu. Tanpa sebarang tanggungjawab mahupun beban, tanpa sebarang perasaan yang dahsyat atau kebencian yang melampau, dia mampu berangkat pada bila-bila masa yang dia ingini.

Pemuda itu merenung wanita itu dengan penuh mendalam dan lembut. Cahaya bulan menyinari tubuh Chu Qiao dengan ringan, menyerlahkan keberadaan wanita itu yang membuatkan dia kelihatan lebih sayu. Angin berdesir di luar kediaman sambil bertemankan bayangan pohon-pohon yang bergoncang bak seorang cik adik yang cuba untuk mencapai ke arah mereka, mengusap-usap istana yang megah dan sepi ini dengan lemah-gemalai.

"Cik Puan terus terlena selepas pulang. Dia nampaknya letih sangat," Qiu Sui berbisik pada Tie You. Walaupun bisikannya yang sangat perlahan dan kedengaran samar-samar, namun Li Ce masih lagi dapat menangkap setiap bait katanya.

Li Ce yang sedang berdiri di pintu kamar tidur Chu Qiao bagaikan telah memahami sesuatu. Arang yang terletak di penjuru bilik masih lagi memancarkan kehangatan cahayanya. Sang burung yang tinggal di pokok-pokok itu lantas mengeluarkan sebuah melodi cicipan yang amat merdu didengar.

"Walau apa pun yang berlaku, kalau dia penat, dia patut berehat." Dengan itu, pemuda itu lantas berpaling dan melangkah keluar daripada kamar utama. Langkah kakinya bergema di dalam istana yang sunyi sepi ini dan lantas memancarkan kekosongan setiap ruangan istana.

Chu Qiao terjaga apabila cuaca malam bertambah sejuk. Anak matanya kelihatan bagaikan sepasang obisidian di dalam kegelapan tersebut. Sebaliknya, jari-jemarinya yang putih mulus menggenggam hujung selimut kapas tebal yang melitupinya itu dengan sedaya upayanya. Tidak lama kemudian, bunyi alunan muzik daripada Istana Roufu kian bergema sekali lagi, kedengaran lebih meriah daripada sebelum ini. Wanita itu kembali memejamkan matanya. Dia benar-benar berasa penat.

Tiga hari kemudian, dia telah memutuskan untuk meninggalkan Ibu Negara Tang tanpa memberitahu sesiapa dan sekadar membawa Mei Xiang bersamanya. Kali ini, dia telah bertemu dengan Li Ce sebelum dia beredar. Li Ce tidak menyebut apa-apa tentang mengiringi wanita itu sehingga ke sempadan, hanya semasa wanita itu telah beredar daripada pintu gerbang Ibu Negara Tang, Li Ce bersama-sama Tie You, Sun Di dan beberapa orang lain telah menunggu kehadiran wanita itu di bawah pohon Sycamore di kejauhan, menyapa wanita itu ketika mereka bertemu. Orang-orang bawahan Li Ce segera beredar meninggalkan tuan mereka dan Chu Qiao berseorangan. Akhirnya mereka akan berbual buat kali pertamanya semenjak kepulangan wanita itu.

"Awak nak pergi mana?"

"Saya tak tahu." Chu Qiao lantas tersenyum apabila melihat Li Ce memandangnya dengan penuh curiga. "Janganlah pandang saya sebegitu. Saya tak main-main. Saya betul-betul tak tahu ke mana saya akan pergi."

"Jadi, kenapa awak nak pergi?"

"Saya hanya nak mengembara untuk lihat dunia." Chu Qiao menghela nafas panjang. Dia tersenyum semasa menghirup pemandangan sekelilingnya. Dengan suara yang lantang dia menerangkan, "Lihatlah, cuaca semakin hangat. Benua Meng Barat ini sungguh besar, tapi saya tak pernah dapat peluang untuk bersantai dan amati pemandangan sekeliling. Kali ini, saya akan menganggap yang saya sedang bercuti."

Li Ce membancuh teh dengan cekap apabila dia terus bertanya, "Berapa lama awak bercadang untuk berehat?"

"Saya pun tak tahu. Ia akan bergantung pada angin saya. Mungkin suatu hari nanti saya dah pokai, saya akan kembali untuk minta makanan daripada awak. Sebab itulah awak kena pastikan yang awak jaga takhta awak itu dengan elok. Jangan habiskan duit sebelum saya pulang pula."

Setelah mendengar kata-kata wanita itu, Li Ce meraih sepucuk sampul daripada meja dengan pantas dan lantas mengeluarkan wang kertas berwarna perak yang tebal daripada dalam sampul tersebut. Dia seterusnya mengetepikan setengah daripada timbunan wang kertas itu ke dalam poket bajunya sambil berkata, "Awak hanya akan kembali selepas awak pokai? Jadi, saya tak boleh beri awak banyak sangat duit. Kalau tidak, masa awak balik nanti, awak mungkin dah jadi nenek tua yang tak ada gigi."

Related Books

Popular novel hashtag