Chapter 218 - Bab 218

Suara tersebut seolah-olah semakin memudar di kejauhan tatkala tubuhnya kehilangan suhu. Dia terasa bagaikan semua darahnya telah kering dan tenaga badannya telah habis diserap keluar. Tiba-tiba, terdapat sebuah bunyi dentuman dan pemuda itu terus mendongakkan kepalanya untuk melihat Yue Jiu sedang menggunakan seluruh tenaganya untuk mengangkat selapisan ais di atas kepalanya.

Bum! Bum! Bum! Bunyi dentuman itu kedengaran seperti guruh yang sedang berdentum menyerang hati Zhuge Yue. Darah mengalir keluar dari pengawal muda itu dan dengan pantas lalu meresap ke dalam air.

Kini, wajah Yue Jiu lebih pucat daripada salji tanpa sedikit pun warna yang tersisa di bibirnya. Dia kelihatan seperti hantu yang baru saja merangkak keluar dari kubur. Dengan saki-baki kekuatannya, Yue Jiu teruskan berenang. Walaupun anggota badannya mula berasa kebas, dia terus mengulangi gerak-gerinya itu. Sekali, dua kali, sekali lagi... Tiba-tiba, sebuah sinaran cahaya di sebalik awan menembusi hati Zhuge Yue. Orang di hadapannya ini merupakan orang bawahannya dan telah mengikutinya semenjak dia berusia empat tahun. Selama ini Zhuge Yue menyangka sudah semestinya mereka akan mengikutinya. Namun, pada masa ini, dia tiba-tiba mengingatkan kata-kata gadis itu kepadanya. Dia yang cantik dan dingin berkata dengan tegas tanpa teragak-agak, "Tiada seorang pun dilahirkan sebagai seorang hamba."

Tiada seorang pun dilahirkan sebagai seorang hamba...

Dengan satu lagi dentuman, darah tersembur ke dalam air sekali lagi Malah di dalam air yang sejuk itu pun, dia dapat merasakan darah yang hangat itu. Tubuhnya tiba-tiba kembali bertenaga tatkala dia berenang. Dia mengetepikan tubuh berdarah Yue Jiu dan mula menggali lapisan ais dengan pisau belati milik Chu Qiao.

"Saya tak boleh mati!" Dia memberitahu dirinya sendiri. "Saya tak boleh mati lagi! Saya masih ada banyak hasrat yang ingin saya capai." Walaupun paru-parunya terasa seolah-olah ia ingin meletup disebabkan kekurangan oksigen dan tubuhnya terkaku bersama luka-luka kesakitan, dia teruskan berjuang seperti robot untuk hidup.

'Saya tak boleh mati! Saya tak boleh mati! Saya tak boleh mati!'

Bum! Lapisan ais pecah dan dia terapung ke atas. Sinaran matahari lantas menusuk matanya bersama udara segar yang menyambutnya. Dia tercungap-cungap bernafas, memenuhi paru-parunya dengan oksigen.

"Yue Jiu! Kita selamat!" Dia menjerit. Dia memandang sekeliling dan tidak dapat menemukan susuk tubuh Yue Jiu lalu dia menyelam kembali. Akhirnya dia menjumpai tubuh Yue Jiu di dalam tasik. Pemain pedang yang muda itu dipenuhi dengan luka. Wajahnya sangat pucat, matanya terbuka luas dan rambutnya berserabut dengan darah.

Dengan menggunakan segala kekuatannya, Zhuge Yue menarik Yue Jiu dan menekan dada orang bawahannya itu dengan kuat. Dia mengusap tangan dan wajah Yue Jiu dan berharap supaya itu dapat memanaskan badannya. Kemudian, Zhuge Yue menjerit dengan kuat, "Bangun! Saya perintahkan kamu untuk bangun! Bangunlah!" Sepanjang hidupnya, Zhuge Yue tidak pernah menangis dengan sebegitu teruk. Pada hari itu, dia telah menangis oleh kerana seorang hamba. Di dataran yang luas ini, Zhuge Yue menangis seperti seekor serigala yang sedang meraung ke bulan.

Tiga hari kemudian, dia menemui Yue Qi yang telah bernasib baik dan terlepas dari cengkaman kematian. Yue Qi telah mengumpul saki-baki Pengawal Yue dan mencari Zhuge Yue selama tiga hari suntuk. Terdapat lebih dari dua puluh orang pengawal yang telah mati beku kerana mereka telah berulang kali menyelam ke dalam air yang sungguh sejuk dan dingin untuk mencarinya. Selepas itu, mereka telah membawanya ke Gunung Wolong. Hanya selepas setengah tahun kemudian barulah dia pulih sepenuhnya. Namun begitu, masa depannya kini sudah musnah. Pada hari itu, dia memandang seorang perisik yang telah dibawa oleh Yue Qi dan para Pengawal Yue lain dari matahari terbit sehinggalah matahari terbenam.

Gurunya berjalan masuk dan melihat peta Benua Meng Barat yang tergantung di hadapan Zhuge Yue sebelum bertanya dengan tenang, "Kamu berhasrat hendak ke mana?"

Zhuge Yue berasa suatu perasaan kehilangan yang tidak pernah dirasai selama bertahun-tahun. Dia mendongakkan kepalanya lalu menjawab, "Cikgu, saya tiada hala tuju."

Lelaki tua yang telah beruban dengan warna rambutnya keperakan indah hanya tersenyum lembut sebelum menghulurkan telapak tangannya. Dengan satu serangan pantas, dia telah menghancurkan Benua Meng Barat yang berada di dalam peta itu dan menghasilkan lubang yang besar pada bahagian tersebut. Dia hanya meninggalkan wilayah Quan Rong, lautan Tenggara dan tanah yang tandus ke arah Barat.

"Anakku, pasti akan ada seseorang yang lebih baik daripada kamu dan pasti akan ada dunia lain yang terletak di luar dunia kita. Siapa kata dunia ini hanya sebesar peta ini saja?"

Keesokan harinya, dia menerima lebih banyak berita. Meng Feng telah dihukum oleh pihak istana dan telah dibuang negeri ke Qinghai. Kini, dia mungkin telah tiba di Sempadan Cuiwei.

Kabus masa depan seolah-olah telah menjadi semakin terang mengikuti sekilas masa yang berlalu. Pada hari-hari yang dihurung kegelapan itu, pedang di tangannya diayun berulang kali, memberikan pantulan kilauan yang membelah urat sesuatu entiti yang dinamakan takdir semasa dia terus berjuang. Dengan darah yang mendidih menutup matanya, dia merasakan makna kehidupan yang sebenar di dalam cecair panas dan tebal itu.

Keesokan hari, ada seorang pengutus dari Zhen Huang yang memasuki kediaman Zhuge Yue di Xian Yang. Kulit wajah tentera itu kelihatan kering disebabkan habuk yang terus-menerus mengotori kulitnya selama beberapa hari ini manakala bibirnya juga turut merekah. Setelah menyapu mantelnya itu, mereka dapat melihat ia telah dipenuhi debu.

Wajah semua orang tidak kelihatan gembira dan Chu Qiao tiba-tiba memahami sesuatu, jadi dia secara senyap-senyap pergi dari tempat kejadian.

Selepas satu jam, Zhuge Yue kelihatan seperti ingin beredar. Chu Qiao mengikutinya sepanjang perjalanan sehingga ke jalan utama yang menuju ke Pintu Gerbang Utara. Cuaca pada hari itu terasa agak sejuk jadi Chu Qiao telah memakai sehelai mantel tebal berwarna biru. Wajahnya yang tidak bersolekan itu dilitupi dengan bulu putih yang dibalut dengan kemas, jelas memancarkan kejelitaannya dalam kesederhanaan. Apabila mereka tiba di astaka yang menunjukkan mereka sudah berada lima kilometer jauhnya dari bandar itu, Yue Qi dan para pengawal lain lantas beredar ke tempat lain untuk memberikan sedikit masa dan ruang kepada kedua pasangan ini. Zhuge Yue turun dari kudanya dengan lincah manakala Chu Qiao pula mengikuti belakangnya dengan patuh. Di sekeliling astaka itu terdapat beberapa belukar lalang yang banyak serta cat yang sudah luntur dari tiang. Keseluruhan tempat itu kelihatan begitu terpencil.

"Saya dah nak pergi." Zhuge Yue berpaling dan memandangnya.

"Oh, berhati-hati dalam perjalanan." Chu Qiao mengangguk.

Zhuge Yue mengerutkan dahinya sedikit. Hal ini seolah-olah satu pengulangan, di mana perjumpaan mereka selalu dipenuhi keterujaan, tetapi mereka menjauhkan diri mereka lebih lama mereka bersama-sama. Mereka kelihatan seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi antara satu sama lain dan hanya boleh bertukar beberapa ucapan remeh sahaja.

"Selepas saya pergi, ke mana awak nak pergi?"

"Saya? Mungkin saya akan pergi ke Empayar Tang dulu."

"Selepas itu?"

"Selepas itu?" Chu Qiao berkerut dan berfikir panjang. Setelah itu dia tertawa kecil. "Saya juga tak tahu. Mungkin saya akan berjalan-jalan dan mengembara. Nikmati makanan di seluruh dunia, mengagumi pemandangan, merayap-rayap. Entahlah."

Terdapat suatu bunyi lantang yang berbunyi tatkala angin bertiup melewati mereka. Mereka berdua mendongak pada masa yang sama dan mendapati terdapat sebuah loceng yang tergantung di astaka usang ini. Walaupun warnanya telah pudar disebabkan cuaca, bunyi itu masih lantang dan jelas setiap kali angin menghembuskannya.

"Awak akan pergi ke Yan Bei ke?"

Dengan senyuman kecil, Chu Qiao menjawab, "Saya tinggal di sana bertahun-tahun. Sudah cukup saya melihat pemandangan di sana. Lagipun, kesihatan saya tak begitu baik dan saya tak dapat menahan kesejukan di Utara. Mungkin saya tak akan kembali ke Bandar Zhen Huang kalau begini."

Zhuge Yue mengangguk seolah-olah dia memahami sesuatu. Dengan emosinya yang sedikit terganggu, kata-kata yang tidak dapat diungkapkan itu masih terpendam di dalam hatinya. Hari-hari bahagia itu hanyalah suatu khayalan. Selepas masa berlalu, khayalan itu akan ditakdirkan untuk musnah. Sesetengah perkara harus berlaku dengan orang yang betul dan pada masa yang tepat. Walaupun demikian, mereka masih berdiri di sini dan cuba untuk mengubah takdir mereka. Banyak perkara dalam kehidupan mereka yang sudah ditentukan dan ia bagaikan mereka sedang memegang pasir halus di pantai, semakin kuat mereka menggenggam impian mereka, semakin cepat impian itu terlepas dari jari-jemari.

Apabila dia mengangkat kakinya dan bersiap sedia untuk keluar, wajahnya dingin dan kelihatan angkuh seperti biasa. Dengan gayanya yang sama seperti dulu, dia kelihatan seolah-olah dia tidak mahu bercakap walau satu perkataan tambahan lagi pun.

"Zhuge Yue!" Suara Chu Qiao terdengar dari belakangnya. Tangannya terasa sangat kecil dan begitu sejuk, tetapi dia menarik pakaian pemuda itu dengan segala kekuatannya lalu mendedahkan kedegilannya itu.

"Terima kasih," Wanita itu berbisik perlahan. Melalui suaranya, seseorang dapat menyatakan dia sedang menahan sebak sebelum meneruskan kembali kata-katanya, "Saya ingatkan yang saya tak akan dapat memberitahu awak perkara itu secara peribadinya dalam kehidupan ini lagi. Namun, dengan kuasa para dewa, awak masih hidup." Senyuman kecil yang terpancar pada wajahnya ketika wanita itu meneruskan kata-katanya, "Zhuge Yue, saya telah terikat dengan semua jenis ikatan dalam hidup saya dan saya tak melalui kehidupan yang mudah. Saya telah melakukan banyak perkara dan dah merasai segala pasang surut kehidupan. Ada setengah perkara yang saya lakukan betul dan ada yang salah, tetapi saya tak pernah menyesal langsung. Saya sedar akan fikiran dan emosi saya dan tak akan pernah terhutang budi kepada sesiapa. Tapi, kepada awak sajalah saya terhutang budi dengan terlalu banyak sehingga saya tak boleh membayarnya kembali. Dengan kepulangan awak, normallah jika saya mengikuti awak dan membayar balik segalanya kepada awak sepanjang hidup saya. Tapi, saya bukannya yang dulu lagi. Selepas melalui pelbagai cabaran, saya tak mempunyai keberanian lagi untuk melangkah masuk ke dalam kehuru-haraan ini. Selepas pertempuran di Yan Bei itu, Jeneral Pasukan Tentera Xiuli dah mati. Tersisa hanyalah seorang wanita biasa yang telah kehilangan cita-cita dan impiannya. Saya tak lagi mempunyai keupayaan untuk berdiri di sebelah awak."

Loceng itu terus berbunyi namun masa seolah-olah terhenti pada saat ini. Karma seolah-olah sedang mengejek mereka.

Chu Qiao mendepakan tangannya dan mendekati Zhuge Yue dari belakang. Dengan tangannya yang membaluti lengan dan pinggang pemuda itu, kulit putih dan mulusnya menyentuh sutera lembut yang melapik tubuh Zhuge Yue tatkala sulaman emas menggosok-gosok pergelangan tangannya. Chu Qiao memeluk tubuh Zhuge Yue dengan erat. Air matanya menitis mengenai baju hijau milik Zhuge Yue.

"Zhuge Yue, saya minta maaf." Suaranya kedengaran sangat sayu seperti seorang kanak-kanak yang telah ditinggalkan bersendirian dalam ribut salji.

Salji mula turun. Ia tidak lebat kerana sebelum ia mendarat di atas tanah, empingannya sudah pun mencair. Namun, salji-salji itu berkumpul dan membentuk lapisan kecil di atas bahu mereka. Kini, dengan kulit mereka yang saling bersentuhan, mereka juga dapat merasakan nafas masing-masing. Inilah kali pertama Chu Qiao secara sukarelanya memeluk Zhuge Yue. Waktu seolah-olah sedang mengalir di dalam fikiran mereka tatkala kenangan masa lalu melintasi fikiran mereka sebelum ia semuanya hilang dengan begitu pantas. Nampaknya takdir telah memperbodohkan mereka sejak dari awal lagi. Selepas begitu banyak pergelutan, mereka akhirnya telah tiba di peringkat ini. Sekalipun debu itu sudah diselesaikan dan mereka menjauhkan diri dari medan perang, mereka masih dibebani oleh sesuatu yang dinamakan takdir.

Sekawanan burung terbang melewati mereka di atas langit, berada dalam satu garisan lurus untuk menuju ke arah Selatan dan perlahan-lahan menjauh dan menghilang dari pandangan. Chu Qiao akhirnya melepaskan pelukan tersebut dan menarik tangan pemuda itu. Baju Zhuge Yue terasa sangat sejuk sehingga jari-jemari Chu Qiao terasa kebas. Tubuh pemuda itu masih tegak seolah-olah tiada apa pun di dunia ini yang dapat mengalahkannya. Dia kelihatan sangat tampan dengan aura dingin yang terpancar dari susuk tubuhnya yang membuatkan dia kelihatan seolah-olah dia mahu membekukan persekitarannya.

Dengan tiada apa-apa kecuali udara kosong antara lengannya, Chu Qiao mengetap bibirnya sebelum memaksa dirinya untuk tersenyum. "Jaga diri."

Sekilas sahaja, terdapat satu gelombang angin dari jauh. Loceng yang berdering dengan tiba-tiba seolah-olah mengundang suasana dengan kehidupan.

Zhuge Yue beredar dari astaka. Dia melangkah ke atas belukar-belukar lalang yang sudah layu itu dengan kasut mahalnya. Apabila ia ditiup angin, ia terus melayang.

Zhuge Yue menunggang kudanya bersama-sama dengan para Pengawal Yue yang lain. Mereka kemudiannya melibas kuda mereka yang diikuti dengan bunyi telapuk kuda menderap boleh didengari di kejauhan. Bunyi derapan yang kuat telah memecah kesunyian bersama bunyi pakaian mereka yang mengepak-ngepak di udara dan bendera perang yang menghala ke arah utara. Zhuge Yue langsung tidak berpaling untuk memandang wajah Chu Qiao. Pemuda itu masih lagi seorang lelaki kacak dan angkuh yang sama, terduduk tegak di atas kudanya bersama mantel berkelas tinggi dan rambut hitamnya, menembusi angin dingin dan perlahan-lahan hilang di kejauhan.

Kabus pagi masih tidak hilang dan jalan raya kelihatan seperti telah dilapisi dengan sehelai kain. Lalang bergolek-golek tanpa hala tuju tatkala ia ditiup angin. Chu Qiao tiba-tiba teringatkan Tanah Tinggi Yan Bei sewaktu dia disabotaj oleh Cheng Yuan dan telah termasuk ke dalam perangkap Pasukan Tentera Xia. Malam itu, wanita itu dalam diam telah merenung susuk tubuh pemuda itu dengan cara yang sama apabila dia melangkah ke dataran salji yang luas. Pada masa itu, pemuda itu juga tidak berpaling, namun dia sangat cepat ketika dia berjalan sambil menuntun kuda bersama kot tebalnya itu. Hari itu, salji tebal yang turun dari langit dan ketika emping salji mendarat pada bulu mata wanita itu, dia terasa sangat sejuk sehingga dia ingin menangis. Namun, dalam sekelip mata sahaja, bertahun-tahun sudah pun berlalu.

Related Books

Popular novel hashtag