Chapter 215 - Bab 215

"Yue Qi, walaupun keluarga kita ini berada dalam kedudukan yang tidak menguntungkan, tapi merekalah yang sediakan keperluan untuk sejak kita kecil lagi. Walau seteruk mana pun Xia itu, kita pernah tinggal di sana. Sekarang apabila mereka berada dalam kesusahan, macam mana kita nak mencetuskan lagi konflik di tanah yang sudah binasa itu?" Yue Qi sangat terkejut apabila mendengar kata-kata Zhuge Yue lalu dia menyambung, "Lagipun, saya terhutang budi pada Zhao Che."

Zhuge Yue terus berpaling untuk beredar selepas dia selesai bercakap dan meninggalkan Yue Qi yang sedang berdiri dan memikirkan apa yang telah tuannya katakan sebentar tadi. Dia tidak tahu apa yang perlu dirasakan. Dia sedar apa yang Tuannya cakap itu semuanya benar. Walau bagaimanapun, ketika dia memikirkan mengenai penderitaannya dua tahun lepas, dia berasa sangat marah sehingga dia rasa tidak mampu lagi untuk bertahan. 'Tuan benar-benar tidak peduli tentang perkara ini?'

Sudah tentu, ia penting bagi Zhuge Yue.

Dia tertawa pendek di dalam bilik yang gelap itu. Bagaimana pula dia tidak peduli? Bagaimana dia tidak peduli pada zaman kanak-kanaknya di mana dia telah berjuang dengan susah-payah untuk teruskan hidup? Bagaimana dia tidak peduli ketika dia telah merantau jauh hanya untuk dihalang? Bagaimana dia tidak peduli pada masa dia bersusah payah keluar dari neraka itu hanya untuk diludah, dimalukan dan dihina?

Dia tidak akan pernah lupa walaupun dia mati.

Dia tidak mahu lagi memikirkan mengenai apa yang dia rasakan dan tidak akan goyah dengan kata-kata Yue Qi. Hatinya diperbuat dari besi keluli. Setelah mengembara sepanjang hidupnya, apa sebenarnya yang dia mahukan? Untuk meraih perhatian dan pujian? Untuk menjadi seseorang yang berkuasa yang boleh memerintah orang-orang bawahan dengan hanya satu perkataan? Itu semua cubaan yang boleh membawa maut, seperti dadah yang akan membuat mereka ketagihan.

Pemuda itu tidak disambut mesra walaupun dia berjaya bertahan semampu boleh. Namanya dibenci seluruh dunia. Dia telah ditinggalkan oleh keluarga dan negaranya serta menjadi musuh utama Xia. Dia bukanlah seorang malaikat. Bagaimana mungkin dia tidak boleh berasa marah? Mungkin apa yang telah Chu Qiao katakan adalah benar. Dia mungkin berasa gembira apabila Xia musnah di tangan Yan Bei. Dia mahu menekankan keadaan politik Xia yang tidak stabil dan huru-haralah yang telah membuka peluangnya untuk menyerang dan menakluki kawasan itu. Dia pasti dapat membuat ancaman di seluruh tempat dan membalas dendam kepada orang-orang yang telah menghinanya. Walau bagaimanapun, dia berundur pada saat akhir sebelum dia sempat merealisasikan angan-angannya itu.

Orang-orang awam yang miskin di dataran Qinghai sedang memerhatikannya dengan penuh kemesraan. Merekalah insan-insan baik hati yang telah menjaganya ketika dia tidak mempunyai tempat lain untuk berteduh. Mereka semua sedang menantikannya dengan harapan kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih baik dan berharap tiada siapa yang akan mati ketika musim sejuk yang teruk nanti.

Ya, dia tidak dapat memberitahu hal ini kepada Yue Qi dan orang bawahannya yang setia mengikutinya. Dia mengharapkan mereka semua akan memandangnya dengan mata yang besar dan bertanyakan soalan yang penting, "Tuan, Tuan benar-benar akan lepaskan peluang untuk menakluki Barat Meng demi rakyat biasa Qinghai?"

Ya, mereka hanyalah dari keturunan tahanan yang telah dibuang ke tempat itu. Mereka hanyalah orang biasa yang tidak berpendidikan dan tidak tahu akan makna kehidupan. Pada suatu masa lalu, dia juga mempunyai pemikiran yang sama seperti orang bawahannya itu dan memilih untuk mengabaikan rakyat-rakyat ini dengan sebegitu angkuh. Sebagai seorang bangsawan yang dihormati, dia perlu mempunyai tujuan yang tinggi, bukannya teragak-agak dan penakut. Walau bagaimanapun, cara pemikirannya telah berubah sepanjang perjalanan hidupnya. Ketika dia berada di bawah roda kehidupan dan dijauhi oleh satu dunia, seseorang telah membuka pintu kepadanya dan membenarkan pemuda ini masuk. Walaupun pintu itu sudah rosak dan pondok itu sudah usang, dia mengambil tempatnya di dalam dan minum semangkuk bubur yang dirasakan paling hangat dia pernah makan.

Pada masa itu barulah dia faham apabila Chu Qiao, wanita muda itu selalu berpesan kepadanya supaya dia tunggu dan lihat dengan wajahnya yang tegas.

Dia berterima kasih yang tidak terhingga kepada para dewa kerana telah memberikan dia peluang ini. Kalau bukan disebabkan hal ini, dia mungkin tidak akan pernah memahami apa yang dimaksudkan wanita muda itu. Dia mungkin tidak akan pernah memahami erti kesusahan untuk mewujudkan dan mempertahankan kepercayaan seseorang. Lebih mengejutkan apabila dia mula tersedar yang pencapaian perjuangan kepercayaannya itu terasa sama dengan perasaan selepas dia menaklukkan atau memusnahkan sesuatu.

Demi Xia, demi balasan dan demi penaklukan Barat Meng… Dia memejamkan matanya dan berkata kepada dirinya dengan perlahan: Aku tahu apa yang lebih penting.

Ya, dia perlu terus berjuang dan berhadapan dengan semua situasi, dia perlu bertahan dan berebut dengan kebolehan dirinya sendiri. Dia masih perlu menentang pesaing politik yang bercita-cita tinggi dan berlawan dengan musuh yang berlainan ideologi di medan perang. Pada akhirnya, cita-citanya tidak terletak di tanah Xia tetapi dia tidak sanggup untuk melihat ia jatuh ke tangan orang lain. Tambahan pula, dia tidak bercadang untuk berpatah balik. Apabila dia telah mengetuai pasukannya keluar dari Sempadan Cuiwei, apabila dia telah mengambil alih kedudukan Marshal Besar sluruh Pasukan Tentera Xia, apabila dia telah menghentikan peperangan antara Xia dan Tang, pentas telah siap tersedia.

Pemuda itu lantas terkenangkan suatu ketika dahulu apabila dia terpaksa membuat perjanjian dengan Zhao Che di tanah Donghu yang dingin. Matanya serta-merta memancarkan sebuah pandangan yang dingin dan tajam.

Tiba-tiba, dia merasakan seperti ada sepasang mata yang tenang sedang memerhatikannya dalam kegelapan. Pandangan itu kelihatan lembut tetapi jelas kelihatan kesayuan yang terpancar daripadanya. Dia menutup matanya dengan perlahan sambil jarinya menyentuh dinding. Dia tersenyum tawar dan dingin seperti ais salji.

Ini hanyalah permulaan buat kali terakhir. Mereka selalu terserempak dengan satu sama lain dan berpisah pada masa yang tidak sesuai. Takdir telah memberikan mereka jalan yang gelap dan penuh halangan yang membuatkan mereka tersadung dan berdiri kembali dengan kaki mereka berulang-ulang kaki.

Rumah itu gelap-gelita dan hanya cahaya bulan yang bersinar ke dalam bilik melalui tingkap dan ke tubuhnya. Dia masih seorang anak muda di usia dua puluhan. Walaupun dia telah mengalami banyak halangan dan kesusahan, dia masih bermimpi untuk membawa kejayaan sebagai seorang pahlawan yang telah mengumpulkan banyak keuntungan. Dia mempersembahkan segala harta miliknya kepada kekasih hatinya dengan rasa bangga, "Nah, ini semua untuk awak!"

Malangnya, itu semua hanyalah mimpi.

Dia bersandar di kerusinya dengan hujung bibir yang terangkat dan senyumannya lembut seperti anak kecil.

Cuaca selepas ribut salji kebiasaannya terasa paling sejuk dan tidak tertanggung. Angin bertiup melintasi helaian rumput lalu mendedahkan tanah yang berwarna merah keperangan. Langit kelihatan mendung apabila angin menerbangkan salji ke ruang udara sehingga mereka terpaksa berlindung di Istana Shuofang yang baru sahaja dibina. Peperangan di wilayah timur telah memasuki fasa gencatan senjata sementara rakyat Quanrong di wilayah utara pula telah dikalahkan. Para pahlawan negara akhirnya berundur dan kembali ke dalam kawasan sempadan kerana mereka telah menyediakan persiapan untuk menyambut tahun baru yang merupakan peristiwa yang jarang berlaku bagi mereka.

Menjelang waktu senja, banyak rumah kedai di kedua-dua belah Jalan Wuxuan ditutup sempena tahun baru. Butiran nipis pasir berwarna kuning dilemparkan ke tengah jalan untuk mengelakkan kereta kuda yang membawa barang tergelincir. Dari kejauhan, jalan itu tampak seperti berwarna kuning cerah yang berkilat seperti tanah yang penuh dengan harta karun. Langsir yang tinggi dan berwarna keemasan memenuhi sisi jalan ketika orang awam telah pulang ke rumah mereka. Para pegawai melutut di kedua-dua belah jalan ketika pelbagai pengawal kehormatan menuju ke hadapan dengan pergerakan yang kemas dan seragam. Dalam masa yang singkat sahaja jalan itu telah dipenuhi dengan muatan yang membawa barang kerana pakaian yang meriah kelihatan di mana saja.

Hari ini merupakan hari di mana Yan Bei telab menjalankan upacara tahunan pemburuan musim sejuk. Orang tua yang memiliki daya ingatan yang masih baik lantas mengimbau kembali kenangan pada musim sejuk yang berlaku 12 tahun yang lalu. Tempat perburuan tradisional itu terletak di Tembok Barat di atas Bukit Tengah berdekatan dengan jantung Gunung Luori. Belakang bahagian gunung yang menghadap ke arah selatan puncak Gunung Huihui merupakan sebuah dataran luas yang bersalji dan berwarna kemerahan. Mereka tidak mengetahui mengapa warnanya sebegitu mungkin disebabkan oleh fenomena alam semulajadi ataupun kesan daripada darah manusia.

Yan Xun terduduk di atas takhtanya yang tinggi dengan jubah yang berat yang disangkut di atas bahunya. Ramai orang berdiri di hadapan pemuda itu. Dari jauh, segerombolan manusia itu kelihatan seperti dua sayap hitam. Para pegawai berlutut di hadapan pemerintah mereka dengan keadaan berpeluh. Lutut mereka berasa sakit kerana kesejukan tetapi mereka tidak berani untuk memandang pemuda itu kecuali Ah Jing sahaja.

"Jeneral Zhuang." Suara yang dingin kedengaran dari atas. Seorang lelaki yang berusia dalam lima puluhan kelihatan gementar dan takut apabila otot-otot di wajahnya berkerut. Dia berdiri perlahan-lahan dan menuju ke tengah lalu berlutut. Dengan suara yang penuh hormat dia menjawab, "Apa yang boleh saya lakukan untuk Tuanku?"

"Tak banyak. Saya cuma mahu berkongsi sesuatu yang lawak dengan kamu yang saya baru dapat baru-baru ini." Suara Yan Xun kedengaran gembira seperti kanak-kanak yang suka bergurau.

Jeneral Zhuang berlutut di atas tanah dan mengerutkan dahinya sambil hujung jarinya bertukar pucat, menundukkan kepalanya dan membalas, "Terima kasih kerana memikirkan saya, Tuanku."

Yan Xun tersenyum menunjukkan matanya yang ceria. Dia melambaikan tangannya dengan malas dan berkata, "Bawa ia ke sini." Bunyi gegaran mula kedengaran apabila kereta kuda yang membawa barang masuk ke tempat itu. Sehelai kain tebal berwarna hitam diletakkan di atasnya. Bunyi dari dalam kedengaran seperti perbualan yang tidak begitu jelas. Semua orang berpaling dan melihat ke arah muatan barang itu dengan rasa tertarik. Keadaan menjadi sunyi sepi.

Smack! Semua orang terkejut ketika melihat Yan Xun yang bersemayam di atas takhtanya itu telah menggunakan sebatang kayu untuk memukul tempat duduk emasnya.

Smack! Smack! Smack!

Tiada siapa yang berani bercakap. Seorang pengawal diraja berusia dalam tiga puluhan berjalan ke arah muatan yang pertama dan menyelak kain yang menutupi muatan barang tersebut.

Bunyi tercungap-cungap kedengaran dari arah penonton apabila mereka terkejut melihatkan muatan tersebut. Walaupun begitu, tiada siapa yang berani untuk bertanyakan soalan.

Kereta kuda itu dipenuhi oleh sekumpulan wanita muda cantik yang berusia sekitar 16 atau 17 tahun. Oleh kerana cuaca yang sejuk, mereka berpelukan sesama sendiri dengan wajah yang kelihatan pucat. Tangan dan kaki mereka juga telah diikat.

Jeneral Zhuang melihat dengan sekali pandang dan dia pun terus berasa sangat terkejut. Manik peluh mengalir di dahinya walaupun cuaca sejuk.

Ketawa Yan Xun bergema dari belakangnya. Dengan nada yang bersahaja dia berkata, "Jeneral Zhuang, kamu ini salah satu tiang Yan Bei. Kamu dah banyak melakukan kebaikan untuk saya selama ini. Kamu patut diberi penghormatan dengan menembak anak panah pertama hari ini."

Ketika sangkar di dalam kereta kuda itu dibuka, beberapa orang askar berjalan dengan angkuh dan mengasari wanita-wanita tersebut sambil memaksa mereka turun dari kereta kuda. Mereka semua berkaki ayam dan kaki mereka bertukar menjadi kemerahan ketika memijak tanah.

"Lari! Cepat!" Para askar lantas menghayunkan cambuk mereka untuk mengusir wanita-wanita itu dengan memukul belakang badan mereka yang terdedah sehingga berdarah. Suara tangisan kesakitan kedengaran mengisi udara.

Ikatan tangan mereka telah pun dibuka. Mereka mula terhuyung-hayang kesan daripada percubaan untuk melepaskan diri sambil menutup luka di badan mereka.

Selepas pengawal peribadi diraja menyerahkan busur dan anak panah kepada Jeneral Zhuang, Yan Xun berdiri di belakangnya sambil memujuk, "Jeneral Zhuang, cepat."

Muka Jeneral Zhuang bertukar pucat dan bibirnya mula kehilangan warna. Dia bersedia dalam posisi untuk menembak lalu menyandarkan busur di sisinya sambil jarinya menggigil.

Ketika wanita-wanita muda itu berlari merentasi tanah bersalji, satu cahaya telah dihalakan ke arah tubuh mereka. Mereka seolah-olah dapat merasakan mereka akan ditimpa bahaya lalu mereka berpaling dalam keadaan cemas. Ketika mereka melihat Jeneral Zhuang sedang memegang busurnya, mereka tidak mampu untuk bergerak kerana terkejut.

Swoosh! Anak panah yang tajam itu telah ditembak keluar tetapi kelihatan lemah, terbang mengikut trajektori pendek di utara sebelum mendarat dengan perlahan ke atas tanah.

"Jeneral Zhuang, ini tak seperti kamu," Yan Xun berkata perlahan sambil keningnya terangkat dan melihat dengan dingin ke arah Jeneral Zhuang seolah-olah mahu melihat dalamannya.

Jeneral Zhuang berdiri di tempat asalnya. Dia mahu bercakap tetapi tidak mampu. Ketika badannya menggigil tanpa henti, beberapa orang pegawai bawahannya mula berbincang sesama mereka, "Saya dengar sekumpulan pelayan wanita istana mencuba untuk membunuh Tuanku beberapa hari yang lalu. Orang yang dimaksudkan itu mereka ke?"

"Cheng Yuan, disebabkan Jeneral Zhuang mengambil masa terlalu lama, awak diberikan penghormatan seterusnya."

"Terima kasih atas kasih sayang Tuanku." Seorang jeneral yang berpakaian jubah hijau berjalan dengan tegas dan bersedia dalam posisi menembak. Swoosh! Satu lagi anak panah seperti peluru berpandu telah terkena belakang badan wanita muda yang telah berlari jauh ke hadapan. Satu teriakan pendek bergema dari seluruh dataran ketika dia memuntahkan darah ke atas tanah. Ketika darah memercik keluar, penglihatannya mula kabur.

Wanita yang lain lantas menjadi cemas apabila melihatkan kejadian itu. Salah seorang dari mereka yang duduk di atas tanah sambil menangis mula merangkak ke arah takhta dan merayu, "Tuan, selamatkan saya! Selamatkan saya! Tuan Zhuang, saya… Ah!"

Satu jeritan yang membingitkan telinga bergema di dataran itu. Seorang lagi wanita muda yang tidak jauh dari situ tiba-tiba menerkam ke arahnya, memegang lehernya dan mematahkannya dengan satu gerakan yang pantas dan tegas.