Chapter 212 - Bab 212

Chu Qiao benar-benar berasa terkejut. Fikirannya lantas terkenangkan semula tubuh lelaki itu dalam sekelip mata. Lengan bajunya yang berkibaran tatkala ditiup angin, sementara emosinya masih tidak diketahui apabila pemuda itu mengambil keputusan untuk melemparkan separuh lagi loket jed itu sebelum dia beredar meninggalkan pokok yang dikatakan suci ini?

Kelenjar air matanya mula terasa sakit lagi, namun tiada air mata yang berjujuran. Wanita itu berdiri di sana dengan senyap buat masa yang lama sehinggakan sebarisan lampu perayaan yang sudah mula menyala pun langsung tidak disedarinya. Apabila seorang pekedai tanglung berwarna-warni itu berjalan melepasinya barulah wanita itu tersedar.

Lantera-lantera yang terhias indah di sekitar kawasan itu masih mempunyai reka bentuk yang sama seperti dahulu kerana ia kelihatan serupa dengan lantera miliknya dahulu. Jadi, wanita itu hanya melihat dan tidak mampu untuk beralih pandangannya. Pekedai itu sudah tidak sabar dan berkerut sambil bertanya, "Cik ini dah selesai pilih ke?" Chu Qiao segera membayar lantera tersebut sebelum meraihnya dan berdiri. Dia kelihatan seperti seorang anak kecil yang sesat dengan bayangannya yang sepi itu.

Orang ramai perlahan-lahan bersesak dan Chu Qiao turut terhanyut bersama kumpulan orang awam itu. Dia dikelilingi dengan gelak tawa dan pertengkaran mesra, diiringi dengan bunyi gendang dan simbal di belakang yang menyerikan lagi suasana. Terdapat beberapa orang tuan tanah kaya yang sedang melancarkan mercun api ke langit berserta aroma daging panggang, wain dan minyak wangi wanita yang kini meresap di udara. Ada sesetengah daripada mereka yang sedang bermain dengan lantera, ada yang sedang meneka teka-teki lantera, minum alkohol, makan dan juga menonton pelbagai jenis persembahan yang sedang ditayangkan. Pada malam ini, semuanya kelihatan lebih meriah daripada kebiasaannya. Kebahagiaan dapat dirasakan di seluruh pelosok ruang kawasan. Chu Qiao berjalan dalam garisan lurus sendirian sambil memandang luruh ke hadapan dan memegang lantera itu dengan berhati-hati, seolah-olah bimbang seseorang akan melanggar lalu merosakkannya.

Cahaya lampu bersinar terang pada wajahnya dan menampakkan lagi kesepiannya. Begitulah perasaan wanita itu yang terasa terlalu bertentangan dengan suasana riuh-rendah di kawasan sekitarnya. Ada orang yang ternampak wanita itu tetapi mereka langsung tidak mengendahkannya. Jadi, dia hanya terus berjalan dengan senyap dan melewati renungan mata orang ramai, berjalan tanpa arah tuju sambil bertemankan bayang-bayangnya itu.

Akhirnya, hanya api yang lemah sahaja yang kelihatan tatkala lilin mencair. Wanita itu lantas berjalan ke pinggir tasik dengan berhati-hati lalu mengangkat lanteranya itu apabila air tasik membasahi bahagian bawah kainnya. Namun, dia langsung tidak mempedulikannya. Apabila dedaunan yang berguguran melayang mengenai wajahnya dan membelai bahunya, dia terasa gatal seolah-olah ranting kayu itu sedang menggeletek hatinya bak lapisan nasib yang menghubungkan dirinya dengan yang lain.

'Zhuge Yue, nampaknya dalam kehidupan ini, saya akan berhutang budi dengan awak. Saya harap kita dapat berjumpa semula nanti dalam masa dan lokasi yang lebih baik.'

Wanita itu lantas menghanyutkan lanteranya dengan jari-jemarinya yang pucat itu di atas permukaan tasik yang tidak bergelora itu, kelihatan seperti sebuah bot kecil yang menghasilkan riakan air kecil. Ia terus hanyut di atas permukaan tasik yang dipenuhi dengan pantulan cahaya dari lampu perayaan.

Chu Qiao berdiri lalu mendongak. Dengan angin malam yang bertiup pada mukanya, kedinginan yang dirasainya itu ibarat sebatang anak panah yang telah menusuk ke hatinya. Pelbagai warna telah menerangi langit malam dan hatinya kini terasa seperti lantera yang telah dihanyutkan tadi dengan cahaya lilin di dalamnya yang berkerlipan, kelihatan seolah-olah ia boleh terpadam pada bila-bila masa sahaja. Pada waktu itulah dia membuat keputusan untuk memusnahkan saki-baki harapannya dengan tangannya sendiri. Dunianya telah musnah dengan tangannya sendiri sementara tiang-tiang kepercayaannya hancur menjadi debu serta tirai sutera yang kian memudar. Dunianya sudah tidak mempunyai makna lagi kerana ia telah lama hilang dan hanya meninggalkan debu-debu yang tidak berpenghujung.

Tiba-tiba, gelombang kecil telah merosakkan lantera kecil itu. Sebuah bot kecil telah melewati tasik itu dan dayungnya telah mencipta tsunami kecil buat lantera kecil itu. Dengan cahaya yang berkelip-kelip, ia sepertinya hampir terpadam. Lantera itu kini miring dan kelihatan seolah-olah hampir tenggelam. Atas sebab-sebab tertentu, hati Chu Qiao yang bergelora tiba-tiba menjadi tegang. Secara tidak sedar, dia melangkah dan berkerut, seolah-olah bimbang akan cahaya kecil itu.

Pada waktu itulah sebuah tanglung yang lebih besar terapung-apung mendekati lantera kecil itu. Seutas tali yang terletak di atas tanglung itu sudah terpaut bersama dengan lantera milik Chu Qiao, membuatkan ia berputar di satu tempat itu untuk satu pusingan. Ia juga telah ditempatkan betul-betul di hadapan lantera Chu Qiao yang membenarkan ia untuk menepis segala gelombang yang datang dari kapal yang lebih besar. Lantera kecil milik Chu Qiao dan sebuah tanglung itu terapung bersama-sama di atas tasik itu. Mereka mempunyai reka bentuk arnab yang sama tetapi tanglung itu besar manakala lantera Chu Qiao kecil sahaja. Tatkala mereka bersandar pada satu sama lain, ia kelihatan sangat mengharukan. Apabila tanglung yang lebih besar melindungi lantera kecil itu daripada gelombang yang datang, cahayanya berhenti berkelip dan kini menjadi lebih cerah. Kehangatan kedua-dua cahaya itu bersinar di sekitar air tasik tersebut.

Chu Qiao menghela nafas lega. Walaupun dia tahu lambat-laun cahaya itu akan terpadam juga, tetapi lebih baik sekiranya ia dapat bertahan dengan lebih lama. Dia berhenti berkerut dan meraih pandangan matanya. Tiba-tiba, seseorang muncul di tebing tasik di sebelah sana! Chu Qiao merasakan seolah-olah dirinya telah disambar petir apabila dia berdiri dengan penuh terkesima di situ. Wanita itu seolah-olah telah melihatnya sekali lagi. Pemuda itu berdiri tegak dengan jubah putihnya di dalam tiupan angin itu sambil rambut hitamnya menutupi sepasang mata yang kelihatan seperti tasik beku yang tidak terusik.

Bot naga melintasi tasik itu dan lantas menyekat penglihatan Chu Qiao dengan bayang-bayang mereka yang dihiasi dengan langsir merah terang dan juga khalayak ramai yang sedang berseronokan. Lelaki itu masih menatap Chu Qiao sambil memegang sebatang kayu yang telah digunakan untuk mengawal tanglungnya. Pandangannya bagaikan mampu menembusi ruang angkasa dan pemuda itu juga kelihatan terkesima. Dengan perasaan yang kompleks mengisi wajahnya, dia akhirnya menghentikan langkahnya.

Tiba-tiba, banyak bunga api yang meletup di belakang mereka. Cahaya yang berkilauan menerangi pandangan silang mereka. Pemuda itu terasa seperti ini kali pertamanya menerima pandangan sebegitu daripada Chu Qiao apabila mata mereka bertemu. Malah, dia hampir terkaku untuk menggambarkannya. Pandangan wanita itu kelihatan seperti seorang anak kecil yang telah ditinggalkan dan dia seolah-olah sedang melihat ke arah tempat bergantungnya dalam mimpi dan tidak dapat mengalihkan pandangannya. Dalam pandangannya itu terdapat segala harapan dan impian yang telah dipendam selama 600 malam, tetapi pada setiap subuh, dia akan dikhianati lagi oleh impiannya.

Wanita itu membuka mulutnya seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, tetapi tiada kata-kata yang terkeluar dari mulutnya itu. Bibirnya menggeletar sehingga dia tidak sempat tersenyum sebelum air matanya mengalir keluar. Apabila bot naga itu beredar, Chu Qiao terus berlari. Sepanjang hidupnya, dia telah dihindari dan diketepikan sehingga dia terpaksa menjauhkan diri dan mencari alasan untuk menjauhkan diri daripadanya. Namun, selepas bertarung demi ajal dan maut, rintangan terakhir dalam fikirannya kini terjejas. Adakah dia hanya melihat sebuah ilusi yang akan hilang tatkala dia menyentuhnya?

Chu Qiao terus bergegas sehingga khalayak ramai di situ memandangnya dengan aneh. Namun, dia langsung tidak mengendahkannya sementara pakaiannya berkibar-kibar apabila dia berlari seperti kelopak bunga teratai yang memudar dalam kabus yang tebal. Walaupun kakinya sudah terasa longlai dan telinganya dihurung dengan bunyi degupan jantung yang sungguh kencang, namun dia terus berlari melewati jambatan itu, melewati taman dan melewati pohon-pohon di situ. Dia tercungap-cungap dan merasakan seolah-olah semuanya akan hilang dalam sekelip mata.

Zhuge Yue memandangnya dengan pandangan yang tenang. Namun, apabila mata mereka bertentangan sekali lagi, rasa bimbang jelas kelihatan pada matanya.

Orang ramai berasak ke arah mereka.

Chu Qiao tiba-tiba berasa sangat takut. Ia berbeza dari ketakutan kematian dan ketakutan seperti ditinggalkan. Sepanjang hidupnya, dia begitu kuat dalam ketabahan mentalnya. Hanya terdapat dua kali sahaja dalam hidupnya dia berasa sangat takut. Kali pertamanya ketika Zhuge Yue tenggelam di dalam tasik yang beku itu dan kali keduanya sekarang ini.

Tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya, dia terus menghulurkan tangannya dan merentap pakaian lelaki itu dengan kuat. Tidak kira sesesak mana orang berasak, dia enggan melepaskan lelaki itu. Tiba-tiba, dia berasa kehangatan di belakang tangannya. Satu tangan perlahan-lahan meraih tangannya kembali.

Chu Qiao mendekatinya dalam cahaya yang terang itu. Dengan kedua-dua tangannya, dia membuat ruang antara mereka berdua. Bersama bayang-bayang orang yang melewati mereka serta riakan air yang menghiasi pemandangan, Chu Qiao kelihatan begitu dekat dengannya sehingga dia dapat menghidu nafas lelaki itu. Chu Qiao seolah-olah ingin memandang kedua belah mata lelaki itu dengan matanya.

Air mata mula bertakung di matanya, tetapi dia cuba untuk kekal tenang. Namun dia tidak dapat menahan tangannya daripada menyentuh tubuh pemuda itu. Dia menyentuh keningnya kemas dan melentik ke atas mempamerkan aura keangkuhan, matanya yang tenang dan tidak berperasaan yang tidak pernah meninggalkan dirinya bersendirian ketika Chu Qiao memerlukan bantuan, tidak lupa juga bibirnya yang jarang bicara dan sunyi itu.

Jawapan yang dicari-carinya sedang berdiri di hadapan mata kepalanya sekarang, tetapi dia tiba-tiba berasa lututnya sudah longlai. Dia sebak, lantas terasa lemah dan rebah ke sisi. Dengan tindak balas yang tangkas, Zhuge Yue cepat-cepat meraih pinggang wanita itu. Apabila tubuh mereka bersentuhan, masa yang terhenti seolah-olah berjalan semula. Chu Qiao akhirnya menangis tatkala emosinya meluap-luap menguasai diri. Zhuge Yue memeluknya dan air mata Chu Qiao pun menitik pada dada lelaki itu, membasahi pakaiannya lalu meresap terus ke dalam hatinya.

"Kenapa awak berbohong pada saya? Kenapa awak tak datang berjumpa saya? Saya ingatkan awak dah mati." Tubuh Chu Qiao menggeletar apabila dia menangis dan mengulangi kata-katanya itu, "Saya ingatkan awak dah mati ..."

Zhuge Yue hanya mengetap bibirnya. Setelah sampai sejauh ini, dia sebenarnya tidak berniat untuk mencari Chu Qiao. Pemuda itu hanya berharap yang dia boleh mendekati Chu Qiao tanpa mengganggu wanita itu. Bandar purba Xian Yang merupakan bandar dalam Empayar Xia yang paling dekat dengan Empayar Tang.

Dia lantas membuka mulutnya beberapa kali tetapi lidah pemuda itu terkelu. Selepas menenangkan hatinya yang sungguh bergelora pada ketika itu, dia membelai belakang Chu Qiao dan berkata dengan nada tenang seperti biasa seolah-olah tidak sabar, "Jangan menangislah. Saya belum mati lagi."

"Kenapa awak tak mencari saya kalau awak belum mati?" Chu Qiao menolaknya ke tepi dengan mata yang merah sebelum terus merengek, "Awak tak tahu bagaimana nak hantar surat ke?"

Chu Qiao tidak pernah menangis sebegitu teruk di hadapannya sehingga dia terpaksa berusaha keras untuk berdiri tegak. Tiba-tiba, segala keperitan untuk mengharungi hidup atau mati terasa begitu kecil, manakala perasaan terdesak yang dialaminya apabila dikejar serta semua keletihannya dalam dua tahun yang lalu seakan-akan telah pudar jika dibandingkan dengan emosi yang dirasakannya pada saat ini.

Zhuge Yue menghulurkan tangannya sambil mengarah, "Mari sini."

Wanita itu segera mengesat air matanya, inilah kali pertama dalam hidup Chu Qiao di mana dia tidak terasa seperti mahu menentang pemuda itu. Sebaliknya, dia melompat ke dalam dakapan Zhuge Yue dan menangis sambil memarahinya, "Gila betullah awak ini!"

Selepas melewati pelbagai gunung-ganang, menyeberangi sungai dan melalui kebencian dan perebutan kuasa antara negara-negara lain, berhadapan dengan banyak kematian, Chu Qiao hanya berpaling untuk mencari orang yang menunggu di belakangnya. Pada malam itu, dia dapat tidur dengan sangat nyenyak seolah-olah wanita itu telah direndam dalam mandian hangat yang selesa.

Dia seolah-olah telah kembali ke zamannya di Jabatan Perisikan Ketenteraan ketika dia bersama Xiao Shi, Mao'er dan adik perempuannya yang lain. Apabila salji turun, dia akan berasa malas dan mahu tidur sahaja. Xiao Shi akan menghulurkan tangannya yang sejuk untuk menepuk pipi Chu Qiao dan memberitahunya untuk bangun. Chu Qiao akan memuncungkan mulutnya seperti seekor itik semasa masih dibaluti selimut. Mao'er yang nakal kemudiannya akan menarik selimut Chu Qiao dan ketawa terbahak-bahak di satu sudut. Ming Rui pula akan berada berhampiran meja persalinan dan menyeru untuk membuat penghantaran sarapan sambil bersolek.

Langit pada masa itu begitu biru dan mereka masih tersangatlah muda pada ketika itu. Keremajaan mereka seolah-olah ikan-ikan yang baru ditangkap dari laut, penuh dengan kehidupan. Apabila keletihan wanita itu akhirnya memudar, wajahnya terasa sejuk. Apabila dia membuka matanya, lelaki itu hanya berdiri di hadapannya dengan wajah yang muram sambil mengerutkan keningnya. "Awak tahu tak sekarang pukul berapa?"

Pada saat itu, Chu Qiao berhalusinasi seolah-olah dia rabun jauh kerana kepalanya tidak lagi berfungsi. Dia menatap pemuda itu sambil mengerutkan keningnya dan kelihatan sangat serius, membuatkan Zhuge Yue menelan kata-katanya. Apabila dia hendak berpaling dan beredar, pemuda itu dapat merasakan yang pakaiannya telah diheret oleh sesuatu. Dia melihat ke bawah dan mendapati sebuah tangan kecil yang seakan-akan porselin sedang menarik pakaiannya dengan begitu kuat sehingga uratnya kelihatan.

Kenangan malam tadi terlayar semula di dalam ingatan Chu Qiao dan mukanya berubah menjadi merah. Dia lantas melepaskan tangannya dan melihat ke luar tingkap. Setelah itu, dia berasa terkejut. "Kenapa langit gelap?"

Zhuge Yue hanya menjeling ke arahnya sebelum berpaling dan menyalakan lilin yang lain. 'Dia masih lagi berani untuk bertanya?'

Selepas mereka berpisah pada hari sebelumnya, Zhuge Yue telah kembali ke rumah penginapannya. Pemuda itu tidak tinggal di rumah penginapan rasmi miliknya oleh disebabkan tahap kesulitan lawatan ini. Sebaliknya, dia memilih untuk tinggal di penginapan persendirian. Selepas dia pulang, dia tidak dapat tidur sepanjang malam sehinggalah keesokan harinya. Namun, selepas menunggu begitu lama, tiada seorang pun datang mencari dia. Dia berasa agak kecewa dan berfikir, "Saya tak akan pergi mencarinya. Saya akan tunggu dan lihat sama ada dia akan datang ke sini atau tak." Namun, walaupun selepas matahari terbenam, pemuda itu masih tidak mendapat sebarang pelawat. Dia akhirnya hilang sabar dan dia menuju ke rumah penginapan Chu Qiao sendiri. Setelah masuk tanpa diundang, dia telah disambut dengan pemandangan Chu Qiao yang sedang tidur nyenyak. Bagaimana mungkin pemuda ini yang telah bersusah-payah cuba untuk tidur selama sehari semalaman ini tidak berasa geram?