Chapter 213 - Bab 213

Chu Qiao yang jelas sekali tidak menyedari niat pemuda itu terus terduduk sambil menggosok matanya dan menyisir rambut ke belakang telinga. Walaupun dia berasa sedikit malu, dia berkata dengan suara yang tegas, "Apa yang awak buat di sini?" Semasa dia bercakap, rumah itu tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Chu Qiao tahu dia telah mengatakan sesuatu yang salah jadi dia tidak menambah apa-apa lagi. Kedua-dua mereka seolah-olah tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam hubungan mereka ini. Mereka tidak tahu bagaimana untuk bercakap dengan satu sama lain.

Cahaya bulan kelihatan terang di luar jendela tatkala ia menyinari bumi, kelihatan seperti selapisan fros.

"Apa yang awak sedang buat di Xian Yang?" Tiba-tiba Zhuge Yue bertanyakan soalan itu. Chu Qiao terkejut dan mula berasa panik. Dia jarang benar berasa panik sebelum ini. Walaupun ketika menghadapi tentera Xia yang menakutkan, dia masih dapat bertenang. Hanya dengan Zhuge Yue sahaja dia berasa ketenangannya memudar bersama hatinya yang sentiasa berasa tidak tenteram.

"Saya..." Chu Qiao terbatuk dan berpura-pura tenang. "Saya di sini sebab hendak menjalankan beberapa tugasan."

"Dah selesai ke?"

"H-hampir."

"Bila awak nak pergi?"

Chu Qiao tidak mempunyai pilihan selain meneruskan perbualan ini, "Dalam sehari dua lagi."

"Dalam sehari dua lagi? Esok ke lusa?"

Chu Qiao berasa sedikit marah dan menjawab dengan suara acuh tidak acuh, "Esok."

"Oh," Zhuge Yue mengangguk sambil mengambil tempat di meja dan menuangkan secawan teh untuk dirinya sendiri. Dia tidak meminumnya dan sekadar menggoncangkan cawan itu perlahan.

Chu Qiao mengangkat keningnya dan bertanya, "Awak pula?"

"Saya? Ada apa dengan saya?"

"Apa yang awak sedang buat di Xian Yang ini? Bila awak nak pergi?"

Zhuge Yue tersenyum luas. Dalam masa dua tahun mereka tidak berjumpa, dia merasakan Chu Qiao telah menjadi seorang yang lebih fasih berkata-kata dan licik. Zhuge Yue kekal tidak beremosi dan mengangguk sambil berkata, "Saya ke sini untuk bercuti. Mungkin tinggal lebih lama di sini."

Selepas menghabiskan kata-katanya, dia berdiri untuk beredar. Sewaktu berjalan keluar, dia menambah, "Oleh sebab awak nak balik esok, saya tak nak ganggu awak lagi. Rehatlah secukupnya."

"Hei!" Chu Qiao berdiri dan secara tidak sedar dia menjerit memanggilnya, "Berhenti."

Zhuge Yue berpaling dan menjawab dengan tenang, "Ada apa-apa lagi ke?"

'Hish, dia ini pasti dah merancang semua ini!' Fikir Chu Qiao sendirian sambil menatap wajah pemuda itu. Selepas beberapa ketika, dia menundukkan kepalanya dan berbisik, "Sebenarnya, saya tak tergesa-gesa untuk pergi pun."

Seolah-olah berasa takut yang Zhuge Yue akan tersalah anggap, wanita itu terus menambah ayatnya dengan segera, "Saya tak ada apa-apa nak buat pun kalau saya pulang awal."

"Oh," Zhuge Yue mengangguk. Dia kemudiannya menyerahkan beg yang berada di sampingnya itu kepada Chu Qiao. Dengan senyuman yang terukir di wajahnya, dia berkata, "Cepat bersiap. Hari ini Pesta Hantu. Jadi, jalan mesti akan jadi lebih sesak dari semalam."

Entah mengapa keterujaan Chu Qiao hari ini berbeza daripada semalam.

Pelbagai jenis kelopak bunga bertebangan di udara bersama angin. Tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang tumbuh memenuhi persekitaran, manakala angin sejuk di kedua-dua belah tasik membawa aroma yang menyegarkan bersamanya, menyebabkan penghidunya kembali segar semula. Pertunjukan akrobatik jalanan kelihatan lebih gah berbanding semalam. Apabila mereka berjalan di jalan raya itu, mereka terlihat seorang anak kecil yang sedang mengemis makanan. Chu Qiao yang bermurah hati lantas memberikan anak kecil itu sepuluh tael emas. Apabila kanak-kanak itu memegang wang tersebut di tangannya, dia berasa terkejut. Sejumlah wang ini sudah memadai untuk menyediakan keperluan sebuah kediaman selama sepuluh tahun.

Zhuge Yue berdiri di tepi dan berkata dengan selamba, "Murah hatinya."

Chu Qiao berpaling dan menatap matanya lalu mencemuh, "Lebih kaya orang itu, maka lebih kedekutlah dia. Angin saya sedang baik hari ini."

Walaupun dia tahu Chu Qiao sedang mengejeknya, tetapi dia berasa gembira apabila mendengar kata-kata itu. Angin yang baik? Mengapa pula wanita itu berasa seperti itu? Zhuge Yue dengan gembiranya berjalan ke arah kanak-kanak itu lalu menyeluk wang kertas dari poketnya. Wang kertas itu dicetak dengan warna hitam putih, "200 tael emas."

"Jangan jadi pengemis lagi. Dapatkan rumah dan jadi ahli majlis kementerian." Selepas menghabiskan kata-katanya, dia berjalan pergi dan meninggalkan Chu Qiao dan kanak-kanak itu terkedu di situ.

Chu Qiao terus mengejarnya dari belakang sambil melemparkan pandangan syak wasangka kepadanya.

Zhuge Yue memandangnya sambil berkata, "Apa tengok-tengok?"

"Saya tak tahu pula awak ada hati nurani. Kenapa? Awak terlampau kaya sangat ke?"

Zhuge Yue mengejek sambil menjawab, "Ada banyak perkara lain lagi yang awak tak tahu."

Apabila mereka berjalan beberapa langkah ke hadapan, perut Chu Qiao mula berkeroncong kerana dia belum menjamah sepanjang hari. Zhuge Yue seolah-olah begitu mengenali bandar ini tatkala dia menyenaraikan beberapa nama tempat makan dengan begitu mudah. Walau bagaimanapun, Chu Qiao hanya tercegat di situ apabila aroma makanan dari gerai-gerai tepi jalan mula meresap ke dalam hidungnya.

Zhuge Yue secara jujurnya enggan mengikuti wanita itu, tetapi sebelum sempat dia menentang, Chu Qiao sudah pun mengambil tempatnya dan pelayan di situ pun terus berlari ke arahnya dengan penuh semangat. Wanita itu lantas memesan dua mangkuk mi daun bawang bersama setengah kati daging lembu, sepiring kacang dan sebotol wain seperti yang disyorkan oleh pelayan tersebut. Wain itu juga mempunyai nama yang mewah dan indah: "Fros Barat Bulan Keenam."

Zhuge Yue melemparkan pandangan yang musykil lalu mempersoalkannya, "Saya ingatkan awak tak minum wain?"

Tangan Chu Qiao yang sedang memegang penyepit itu terus tersentak sedikit apabila dia menjawab dengan senyuman yang tenang, "Sebelum ini saya tak minum kerana saya fikir ia akan mengganggu saya. Sekarang ini saya seorang penganggur, jadi saya dah tak peduli lagi."

Zhuge Yue berkerut sambil menghulurkan tangannya untuk merampas cawan Chu Qiao itu. Dengan nada yang dalam dia berkata, "Jangan minum lagi."

Chu Qiao tidak membantah lagi dan mengangkat bahunya. Dengan lembut, dia kemudian berkata, "Tak perlu berpura-pura yang awak itu berakhlak."

Pelayan tadi segera kembali dengan makanan mereka. Seperti yang dijangkakan, wain itu tidaklah semewah mana. Ia hanya wain kuning yang telah dicampurkan dengan air. Ini aalah satu cara untuk menipu orang asing yang mudah terpedaya. Makanannya pun biasa-biasa sahaja, tetapi kuantiti mi yang disajikan ialah banyak. Sekalipun Chu Qiao kelaparan, dia hanya boleh makan kira-kira setengah mangkuk mi sahaja sebelum perutnya kenyang.

Apabila mereka berdiri untuk pergi, mereka melihat sekumpulan pengemis kanak-kanak yang sedang menelan liur apabila melihat sisa-sisa makanan mereka, termasuklah mangkuk mi yang sudah dimakan tadi. Zhuge Yue melemparkan satu tael perak kepada pekedai itu lalu berkata, "Beri mereka semangkuk mi setiap seorang."

Pekedai itu menurut perintah dengan gembira. Chu Qiao memandangnya dengan curiga lalu berkata, "Awak ketagih untuk berpura-pura baik ke?"

Setelah melihat Zhuge Yue dan Chu Qiao yang kelihatan baik dan senang untuk berbual, seorang kanak-kanak kecil yang berusia dalam 12 hingga 13 tahun berjalan ke arah mereka dan berkata kepada Zhuge Yue, "Tuan Besar, tolong berikan saya sedikit wain."

Zhuge Yue memandang kanak-kanak itu, berasa tertarik. Dia lantas berpaling untuk menyerahkan wang kepada pekedai itu dengan lebih banyak sambil berkata, "Beri dia sebotol wain tanpa campuran air. Kalau dia tak dapat habiskannya, mereka perlu membayar makanan itu sendiri. Awak boleh pukul dia sebelum menyerahkan dia kepada pihak berkuasa."

Kanak-kanak itu hanya tersengih ceria lalu dia pun kembali menikmati hidangannya.

Chu Qiao menyiasat, "Mana boleh budak kecil itu habiskan sebotol wain?"

"Kalau dia tak cuba, dia tak akan kenal minuman itu sebenar-benarnya," Kata Zhuge Yue sebelum menambah lagi, "Sekali dia merasa penderitaan itu, barulah dia akan mengambil iktibar."

Chu Qiao terpegun lalu dia pun berjalan perlahan-lahan, meninggalkan Zhuge Yue yang berjalan beberapa langkah ke hadapan sebelum menyedari yang Chu Qiao tidak mengikutinya. Dia berkerut lalu dia pun memanggilnya, "Jom pergi. Apa yang awak fikirkan lagi?"

Chu Qiao tersedar semula dan berjalan ke arahnya untuk mengejarnya.

Sekali dia merasa penderitaan, barulah dia akan mengambil iktibar. 'Zhuge Yue, berapa kali awak menderita? Kenapa awak masih belum mengambil iktibar?' Dia berfikir dalam hati.

Apabila dia memikirkan hal itu, tiba-tiba dia berasa sakit pada wajahnya. Selepas itu, bunyi-bunyi mercun mula bergema tepat di atas kepala Chu Qiao. Wanita itu berasa terperanjat dan segera berpaling, tetapi tiba-tiba dia merasakan dirinya telah direntap kuat. Zhuge Yue menarik tangannya yang menyebabkan dia terjatuh ke dalam dakapan pemuda itu. Dia mengambil beberapa langkah ke belakang sambil mengangkat keningnya, menggambarkan kemarahan di wajahnya.

"Awak tak apa-apa? Awak cedera tak?"

Chu Qiao mendongak dan melihat seseorang berdiri di tingkat dua sebuah restoran. Orang itu baru saja membaling beberapa mercun tanpa mempedulikan pejalan kaki di bawah. Selain Chu Qiao, ada beberapa orang lagi yang telah menderita kerana kecuaian si pembaling mercun itu. Pada saat ini, ramai orang yang berada di bawah sedang melemparkan cacian kepada orang di atas itu, tetapi maki hamun mereka itu ditenggelami dengan bunyi mercun sekali lagi.

Zhuge Yue menarik tangan Chu Qiao yang sedang menutupi wajahnya. Wajahnya sudah berubah menjadi merah dan terdapat dua bintik yang lebih menyerlah daripada yang lain.

"Tak ada apa-apalah. Tak sakit pun," Jawab Chu Qiao. Dia tidak terbiasa dengan perhatian yang diberikan oleh Zhuge Yue jadi dia cuba menolak tangannya ke tepi. Namun, semuanya hanya sia-sia sahaja. Tangannya terasa hangat apabila disentuh dan Chu Qiao boleh merasakan kekasarannya dan kematu tangannya itu. "Saya betul-betul tak mengapa," Katanya lagi dengan agak malu. "Saya tak cacat pun lah."

"Wajah seseorang wanita itu sangat penting. Kenapa awak macam tak peduli saja? " Zhuge Yue berkata tanpa berperasaan tetapi dengan niat baik. Chu Qiao tidak menyimpannya di dalam hati, tetapi semuanya berubah apabila dia menambah ayat yang seterusnya, "Tapi dengan penampilan awak, cacat ke tak pun sama saja."

Chu Qiao terkejut kerana lelaki ini telah kembali kepada dirinya yang lama dengan hanya kurang dari tiga ayat. Wanita ini kemudiannya menjawab, "Jaga mulut awak itu."

Raut wajah Zhuge Yue seperti acuh tidak acuh sahaja ketika dia berpaling ke arah restoran itu. Chu Qiao takut yang dia akan mencari gaduh dengan orang lain disebabkan hal yang tidak begitu penting ini. Tatkala Chu Qiao begitu bimbang tentang hal itu, Zhuge Yue tiba-tiba berpaling dan berjalan ke arahnya. Dia bertemu dengannya separuh jalan dan bertanya, "Kenapa awak pergi ke sana?"

"Saya nak ingat nama restoran itu."

Chu Qiao memuncungkan mulutnya. "Busuk hati betullah awak ini!"

Zhuge Yue menaikkan keningnya sambil menjawab, "Apa yang awak fikirkan? Saya terhidu aroma wain di sana tadi dan bercadang untuk makan di restoran itu esok."

Chu Qiao berasa sedikit murung. Dia tidak seperti ini sebelum ini. Kenapa kini dia berasa lemah sahaja apabila bercakap dengan pemuda itu? Dia berkerut dan membuntutinya kerana lelaki itu sedang menunjukkan wajah bangganya yang belum pernah dilihat oleh Chu Qiao sebelum ini.

Angin malam terasa dingin. Para peniaga di kedua-dua belah jalan datang ke arah mereka sekali-sekala untuk mempromosikan produk mereka. Beberapa gadis bunga telah mendekati Chu Qiao dan mengagumi kecantikannya sambil meminta Zhuge Yue untuk membelikan beberapa kuntum bunga buat isterinya. Zhuge Yue lantas menerima dan mengalu-alukan idea itu sehingga orang ramai telah tersalah faham. Pemuda itu telah membeli tiga bakul bunga dan menyuruh Chu Qiao membawanya sementara dia berjalan di hadapan dengan selamba. Chu Qiao kelihatan seperti pelayan wanitanya ketika dia mengikuti di belakang Zhuge Yue dengan membawa semua barangannya itu. Hal ini telah menarik perhatian ramai orang yang melewati mereka. Lama-kelamaan, gadis-gadis bunga tidak lagi mendekati mereka kerana menganggap statusnya tidaklah setinggi seperti yang mereka harapkan. Bunyi perbincangan mereka terdengar di telinga Chu Qiao:

"Tengoklah tuan muda yang tampan itu! Pelayan wanitanya pun cantik! "

Chu Qiao berkerut dan berasa sedikit tertekan. Dia kelihatan seperti orang gaji ke? Lebih sepuluh tahun telah berlalu tetapi kenapa dia masih orang gajinya lagi?

Angin di tepi tasik itu bertiup kencang. Mereka berjalan di tebing tasik yang tenang dan terpinggir. Tapak kaki mereka mula perlahan tetapi tiada seorang pun di antara mereka yang membuka mulut untuk bercakap kerana tidak mahu memecahkan ketenangan yang jarang berlaku antara mereka itu. Dari malam tadi hinggalah sekarang, tiada seorang pun yang bercakap tentang kehidupan mereka selama dua tahun ini. Takdir telah menemukan mereka di tempat ini yang terletak jauh dari Xia, Yan Bei dan segala perebutan kuasa serta muslihat. Kehidupan rakyat jelata amat tenang di sini. Dengan pemandangan yang indah dan udara yang menyegarkan, suasana di antara mereka kelihatan ceria. Sudah tentulah mereka tidak bersedia untuk membincangkan hal-hal yang akan merosakkan saat indah yang sedang mereka alami ini.

Angin berhembus di permukaan tasik sambil bertemankan cahaya bulan menenangkan yang menyinari bumi dan membuatkan babak itu kelihatan seperti waktu subuh. Sedar tidak sedar, mereka telah berjalan ke pokok elm besar itu sekali lagi. Zhuge Yue menghentikan langkahnya sambil memandang ke arah pokok yang tinggi itu. Kenangannya beberapa tahun ini terlintas dalam fikirannya lagi. Dia akhirnya tiba di tempat ini.

Chu Qiao memandang lelaki yang sedang berdiri tegak itu. Dia masih kacak, tetapi dia sudah tidak mempunyai pandangan dingin itu lagi. Sebaliknya, ia telah digantikan dengan ketenangan dan tatapan yang lembut. Melalui matanya, jelas kelihatan dia telah banyak mengharungi baik buruknya kehidupan lalu menerbitkan rasa kesayuan tatkala seseorang menatap pandangan matanya itu. Dia terpaksa meneruskan kehidupan walaupun dengan apa yang telah berlaku. Dia telah dipandang hina dan diabaikan oleh keluarga dan negaranya, tetapi dia masih dapat berdiri dengan kedua belah kakinya dalam masa dua tahun ini. Bagaimanakah hal sebegitu boleh kelihatan santai seperti kata-kata yang telah diungkapkan olehnya sebelum ini, iaitu, "Saya tak mati lagilah"?

Selama ini, Chu Qiao perlahan-lahan mendengar tentang apa yang berlaku pada saat itu.

Selepas Chu Qiao mengikuti Li Ce kembali ke Tang, Xia telah menulis tujuh pucuk surat kepada Tang, meminta supaya Li Ce menyerahkan Chu Qiao kepada mereka. Yan Xun juga telah mengerahkan pasukan tenteranya ke Tang lalu terlibat dalam beberapa pertempuran dengan musuh mereka itu di sempadan barat. Selepas itu, Wei Guang, ketua keluarga Wei, mencampur tangan secara peribadi dan mengetuai Pasukan Tentera Barat Daya yang baru ditubuhkan ke Tang untuk memberikan tekanan tambahan kepada Li Ce. Walaupun seluruh dunia tahu Xia tidak berani untuk terlibat dalam konflik penuh dengan Tang pada masa ini, sesetengah orang dalam Tang sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Li Ce, bahkan sehingga pergi memecah masuk istana semata-mata ingin menyerahkan Chu Qiao yang dianggap sebagai pembawa sial kepada mereka.