Chapter 208 - Bab 208

"Apa yang dah berlaku? Kenapa kita tak terima apa-apa berita sehingga sekarang ini walaupun Sempadan Tangshui telah diserang pada 16 September?" Cheng Yuan berdiri dan menempik.

Tentera pengutus itu menjawab dengan panik, "Seluruh pasukan tentera kita dah terperangkap dalam sempadan sebab musuh datang tanpa diduga. Bukan itu saja, tetapi pihak musuh dah mengambil alih semua wilayah sekitar sempadan itu. Kami tak berpeluang untuk melaporkannya."

"Kalau begitu, kenapa wilayah-wilayah berhampiran kawasan itu tak sedar apa-apa yang berlaku? Kenapa mereka biarkan perang berlanjutan?"

Pengutus itu mengangkat kepalanya dengan berhati-hati sebelum mencuri pandang ke arah Yan Xun. Selepas sekian lama teragak-agak, dia menjelaskannya secara perlahan-lahan, "Kawasan itu kawasan Tanah Tinggi Shangshen. Bukan saja kebanyakan pegawai dah pergi bersama Cik Puan Chu, malah mereka yang masih kekal itu pernah mendengar ura-ura yang mengatakan musuh-musuh kita yang berada di sana itu semuanya datang untuk menyelamatkan Cik Puan Chu. Kalau mereka tak cuba menyembunyikan musuh-musuh itu, pasti mereka akan dipuji. Tapi, tiada sesiapa yang datang melaporkannya. Pegawai tempatan sendiri pun telah diikat oleh orang awam."

"Apa?" Amarah Cheng Yuan meletus. "Apa yang mereka nak lakukan? Memberontak? Di mana tentera itu? Mereka semua dah mati ke? Bagaimana mereka boleh duduk saja dan melihat pegawai-pegawai itu diikat?"

"Tentang itu, saya ada terdengar beberapa khabar angin. Pasukan tempatan sekarang dah membantu musuh untuk menyerang. Bukan itu saja, malah mereka juga telah memberikan susun atur pertahanan Sempadan Tangshui dengan terperinci kepada pihak musuh. Kalau bukan sebab itu, bandar berkubu itu pasti tak akan dikepung sewenang-wenangnya."

"Mengarut betullah!"

"Jadi apa yang berlaku sekarang?" Sebuah suara yang dalam tiba-tiba berbisik.

Cheng Yuan menoleh dan mendapati Yan Xun sedang bertanya dengan raut wajah yang tidak berperasaan, "Sempadan Tangshui telah ditawan. Jadi, apa yang berlaku sekarang?"

Pengutus itu mula berpeluh. Dia menggeletar sambil menyampaikan sebuah lagi berita yang mengejutkan, "Sewaktu saya diperintahkan untuk menyampaikan mesej ini, entah bagaimana Pasukan Tentera Laut Tang juga menerima berita mengenai pengepungan itu dan kini dah menunggu di luar Sempadan. Selepas pintu gerbang dibuka, pasukan Tang mendarat dan terus menuju ke Sempadan Longyin."

"Siapa komander mereka?"

"Dia... Maharaja Tang."

"Seramai mana askar mereka?"

"Sekurang-kurangnya 100,000 orang."

Yan Xun dapat mendengar Cheng Yuan menghela nafas terkejut. Kemudian, pemuda itu mengecilkan matanya dan dengan serta-merta mengembalikan aura seorang maharaja, seolah-olah dia sedang melihat semua kehidupan dari atas.

Li Ce? Dia datang sendiri ke? "Kumpulkan Pasukan Tentera Pertama dan Pasukan Tentera Kedua sekali gus! Kita akan bergerak ke Sempadan Longyin!" Perintah Yan Xun.

Selepas enam jam, keseluruhan tentera itu berkumpul di kaki Pergunungan Huihui yang terletak di sempadan Tanah Tinggi Shangshen yang berada tidak jauh dari Sempadan Tangshui dan Sempadan Longyin. Jubah hitam Yan Xun berkibar-kibar tatkala dia menunggang kuda perangnya. Cheng Yuan yang mengikuti di belakangnya bertanya secara perlahan-lahan, "Tuanku, Empayar Tang juga ke yang dah menyerang kita pada 16 September tempoh hari?"

"Taklah. Itu tak mungkin." Yan Xun menggeleng kepalanya. Dia yang merenung di kejauhan itu berkata perlahan-lahan, "Empayar Tang jauh dari Yan Bei. Kalau khabar tentang Ah Chu dan saya berkelahi dah sampai ke telinga Li Ce pada hari itu juga, dia tak mungkin boleh sampai ke Sempadan Tangshui pada 16 haribulan itu. Saya percaya ada seorang berkuasa lain yang telah menerima maklumat itu terlebih dahulu sebelum menyampaikannya kepada Li Ce. Kemudian, mereka menyerang Sempadan Tangshui untuk membuka laluan kepada Empayar Tang."

Cheng Yuan berkerut dan bertanya, "Kalau begitu siapa pula? Empayar Xia ke? Tetapi, itu mustahil."

"Siapa?" Dengan renungan yang dingin, Yan Xun perlahan-lahan menjawab, "Siapa lagi yang boleh keluar masuk dengan mudah dari wilayah Yan Bei?"

Cheng Yuan terkejut dengan hipotesis yang telah diberikan oleh Yan Xun lalu dia pun menjerit, "Raja Qinghai ke?"

"Raja Qinghai." Yan Xun perlahan-lahan mengujarkannya. "Akhirnya, kita akan bertemu juga."

Bintang-bintang di langit tidak lama kemudian memberi laluan kepada cahaya matahari pagi untuk bersinar menandakan hari baharu menjelang tiba.

"Tuanku Maharaja!" Seorang peninjau menjerit dari jauh dan melaporkan dengan lantang, "Kami ternampak pasukan yang tak diketahui sekitar lima kilometer!"

"Berapa ramai?"

"Musuh tersusun dari selatan ke utara melalui pembentukan lebih dari lima kilometer dan telah menyekat kemaraan pasukan kita. Kami menganggarkan mereka mempunyai 13 divisyen tentera infantri, lapan divisyen tentera berkuda dan sekurang-kurangnya 17 lagi formasi tentera infantri jarak jauh, termasuklah pemanah, pembawa perisai dan pasukan pembantu yang lain. Mereka sekurang-kurangnya 150,000 lebih kuat."

Pada saat itu, semua orang menghela nafas seperti tidak percaya sahaja. Kuasa kuat seperti itu telah muncul di sempadan Yan Bei. Jika mereka tidak menghadapi musuh itu hari ini, entah malapetaka apa pula yang akan datang tidak lama lagi.

Yan Xun tidak berasa bimbang seperti orang-orang bawahannya yang lain kerana pemuda ini tahu satu-satunya alasan seluruh tentera ini hadir untuk memintas tentera Yan Bei supaya maharaja mereka, Li Ce, dapat berundur.

Entah bagaimana, Yan Xun sudah dapat meneka identiti musuhnya dari awal lagi. Walaupun dia agak terkejut, tetapi dia juga berasa gembira. Yan Xun mengakui dia agak terkesima, tetapi sebagai seorang musuh, dia masih menjangkakan yang pihak musuh akan mara ke hadapan dan bertarung secara bersemuka. Lagipun, pemuda ini boleh melepaskan kekasihnya itu pergi, tetapi dia tidak akan membenarkan orang lain menyelamatkan wanita itu dari dilema yang telah pemuda ini cipta untuknya!

Kabus pagi lantas meliputi seluruh kawasan. Dalam kabut itu, sekumpulan tentera yang besar akhirnya muncul perlahan-lahan seperti sebuah lautan. Yan Xun yang memakai jubah hitamnya kelihatan tidak beremosi dan tegas sahaja tatkala dia keluar dari formasi tenteranya. Pada masa yang sama, seseorang dari pihak lawan turut mara ke hadapan. Walaupun mereka berada di dalam jarak yang jauh antara satu sama lain, tetapi Yan Xun dapat meneka siapa yang sedang berdiri di sebelah sana. Pandangan mereka bertemu dan Yan Xun tertawa kecil. Dia kemudiannya berkata, "Lama kita tak bertemu."

Chu Qiao terjaga dalam keadaan huru-hara itu. Bunyi kuda menderap kedengaran seperti guruh yang berdentum, menyambar tubuhnya sebelum sempat dia bertindak. Selepas tiga hari kelaparan dan menahan kesejukan, Chu Qiao kini sudah berada di garisan penamatnya. Dalam keadaan tergesa-gesa dia meraih pedangnya dan berlari keluar dari khemah. Dia yang berasa pening dan panas hanya dapat melihat cahaya obor yang samar-samar. Bunyi dentuman telapuk kaki kuda kedengaran semakin kuat seolah-olah musuh sudah menghampiri mereka.

Dia lantas mendengar jeritan seseorang kepadanya jadi dia berpaling untuk melihat He Xiao dengan matanya yang merah. Mulut pemuda itu terkumat-kamit tatkala dia sedang bertarung dengan seseorang. Dia dilumuri darah dan Chu Qiao berharap yang lelaki itu tidak tercedera. Kepala Chu Qiao terasa berdengung dan dia tidak tahu apa yang dia fikirkan. Dia mahu mendengar kata-kata He Xiao dengan teliti, tetapi dia tidak dapat mendengarnya dengan jelas.

Ini merupakan kali keempat Zhao Yang telah menyerbu kem mereka. Pasukan Tentera Xia telah hilang sabar secara perlahan-lahan. Di sekitarnya, Chu Qiao hanya dapat mendengar suara kematian tatkala para tenteranya tumbang seorang demi seorang. Musuh semakin ramai menghampiri mereka dan tatkala mereka berpecah, setiap seorang daripada mereka mula berjuang bersendirian. Tentera Xiao kelihatan seperti sebuah banjir yang memburaikan pertahanan mereka yang goyah itu. Apabila sebatang anak panah melayang ke arah Chu Qiao, seorang pengawal telah melompat untuk melindunginya. Anak panah itu kemudiannya menembusi tengkorak lelaki itu yang serta-merta tertembus ke sisi yang lagi satu. Mata anak panah itu menunjuk terus pada hidung Chu Qiao bersama darahnya yang meleleh keluar.

"Lindungi Cik Puan!" Seseorang menjerit. Namun, para askar dari kejauhan itu sudah tidak dapat mendekatinya lagi. Chu Qiao telah dikelilingi oleh selonggokan mayat dan pandangannya kini dipenuhi dengan warna merah terang sahaja. Angin yang bertiup membawa ribut salji bersama. Chu Qiao yang sedang berhadapan dengan keadaan terdesak ini lantas berfikir, 'Nampaknya inilah pengakhirannya. Tak mengapa.' Dia mengangguk perlahan dan dengan suara yang serak, dia berkata, "Tak mengapa. Tak mengapa."

Anak panah telah dilepaskan bertalu-talu membelah udara. Chu Qiao mengangkat kepalanya dan memandang ke arah sehujanan batang besi yang sedang menuju ke arahnya itu. Banyak perkara yang terlintas dalam kepalanya. Dia berfikir mungkin dia akan mati kerana masa seakan-akan terhenti. Seluruh kehidupannya terlintas dalam fikirannya. Semasa di rumah anak yatim dahulu, dia telah dipilih oleh negaranya untuk pergi ke akademi tentera yang berprestij selepas menjalani latihan selama sedekad. Selepas tamat pengajian, dia telah dihantar ke Jabatan Perisikan Ketenteraan dan selepas menjalankan misi pembunuhan dan penyusupan yang tidak terhitung banyaknya, dia telah mengorbankan dirinya untuk negara itu. Setelah itu, dia muncul ke zaman huru-hara ini dan sekali lagi, dia menjalani kehidupan yang sangat mirip dengan kehidupannya yang sebelum ini. Tiba-tiba, kelesuan yang teramat sangat menyerangnya. Tatkala angin bertiup ke arah wanita ini, dia berharap yang dia dapat berputus asa dan menghentikan kesungguhan dan kesengsaraannya ini. Selama ini, tidak kira terdesak mana pun dia, dia tidak pernah berputus asa. Namun, kini tiba-tiba dia berasa seperti dia tidak mahu meneruskan perjuangannya. Dia terasa sangat letih. Segala usahanya selama ini sudah memadai dan akhirnya dia dapat berehat.

"Cik Puan!" He Xiao berteriak pilu tatkala melihat Chu Qiao hanya berdiri di situ sambil memandang serangan anak panah yang melayang ke arahnya seperti sebuah patung. Pemuda itu lantas merasakan seolah-olah hatinya bagai dirobek-robek, membuatkan dia naik berang dan terus mengayunkan pedangnya lagi. Dengan sekilas, dua buah kepala melayang ke udara bersama darah yang terpancut keluar mengenai tubuh He Xiao. Namun, pihak musuh yang ramai cepat- cepat mengambil kedudukan rakan-rakan seperjuangan mereka yang baru sahaja tumpas. He Xiao sekaligus terperangkap dalam pertempuran tatkala dia melihat anak panah melayang ke arah Chu Qiao.

Tentera Yan Bei di atas Sempadan Longyin juga telah menyaksikan kejadian ini dengan mata mereka. Wajah seorang askar muda benar-benar pucat dan lututnya lemah longlai. Dia memandang wajah pucat wanita itu sambil berteriak sedih, "Cik Puan Chu!" Dia seorang askar yang telah dibesarkan di Shangshen. Seluruh keluarganya telah dibebaskan dari perhambaan oleh Chu Qiao dan bukan itu sahaja, keluarganya juga telah diberikan sebidang tanah. Namun, dia seorang pengecut. Ketika Pasukan Tentera Xiuli berjuang di luar sempadan, dia langsung tidak berani untuk menyuarakan pendapatnya. Apabila Tentera Xia berulang kali menyerbu Pasukan Tentera Xiuli, dia tidak berani bersuara. Apabila ribut salji melanda khemah-khemah Pasukan Tentera Xiuli, dia tidak berani bersuara. Walaupun orang awam menangis di bawah tembok, dia tidak berani bersuara. Namun, pada masa ini, kata-kata ibunya tiba-tiba terngiang-ngiang di rongga telinganya. Pada waktu itu, dia telah menyaksikan ibunya yang penuh beruban itu berlutut di atas tanah yang telah diberikan kepada keluarganya dan berkata, "Kita tak boleh lupakan jasa Cik Puan Chu."

Segelombang bunyi teriakan yang disertai dengan bunyi desiran rumput di dataran tinggi masih dapat didengari dengan jelas walaupun mereka berada di tembok bandar dan ribut salji tebal telah melanda. Setengah bulan yang lalu, Yan Bei menyaksikan kesetiaan sepasukan tentera dan pada masa ini, seluruh dunia menyaksikan kesedihan seorang wanita.

Anak panah yang berterbangan mencapai titik tertinggi dalam trajektori parabola di udara sebelum ia melengkung ke bawah dan melayang jatuh dengan momentum yang sangat pantas. Sebelum mata mereka semua membeliak, pakaian Chu Qiao berkibar-kibar bersama-sama udara dan wanita itu mengecilkan matanya. Rambutnya kini telah kusut akibat dihembus angin dingin yang kencang. Fikirannya kosong, namun ia kelihatan seperti dia dapat melihat sepasang mata itu lagi yang memberitahunya untuk: Teruskan hidup, teruskan hidup.

Wanita itu tersenyum lembut dan bibirnya melengkung sedikit.

'Akhirnya saya tak dapat bertahan lagi. Boleh tak saya pergi cari awak?'

Secara tiba-tiba, bunyi sebuah objek yang membelah udara dapat didengari. Kemudian mereka melihat bayang-bayang hitam yang lantas melompat dari gunung yang terletak di sebelah barat Sempadan Longyin. Dengan bergayut pada tali, mereka mengayunkan pedang mereka bersama ketepatan yang sempurna, mengenai anak panah yang melayang. Pada waktu itu, seluruh medan pertempuran itu terdiam dan terkejut. Para penceroboh itu sedang memakai baju zirah berwarna hijau gelap dan tersangatlah pantas dan tangkas seperti sekumpulan binatang buas di dalam hutan. Dengan wajah mereka yang diterangi api, masing-masing mempunyai tatu berwarna merah gelap pada wajah mereka. Dengan pandangan yang tajam, mereka terus menewaskan Pasukan Tentera Xia yang masih belum pulih daripada serangan mengejut mereka sebentar tadi.

Sebelum Pasukan Tentera Xia sempat bertindak balas, bunyi sumbang semboyan kedengaran dari arah Barat Daya. Ribuan kuda memijak kawasan tundra yang bercampur dengan debu dan salji itu. Bunyi telapuk kuda mereka kedengaran seperti dentuman gendang perang sebelum pasukan berkuda elit itu menyerang Pasukan Tentera Xia. Tahap semangat juang dan organisasi seperti itu hanya dapat dilihat dalam tentera yang terlatih sahaja. Setelah diperhatikan dengan teliti, rupa-rupanya mereka semua merupakan tentera Empayar Tang.

Maharaja muda yang memakai perisai perak lantas memasuki kem utama dan mengendong Chu Qiao. Dia menggunakan kekuatan yang begitu banyak seolah-olah dia mahu menghancurkan wanita itu. Baju zirahnya menyerupai pisau apabila disentuh dan nafasnya menghasilkan kepulan asap di udara. Pembunuhan secara beransur-ansuran kini memudar dan keadaan menjadi sunyi. Dengan beribu-ribu obor di sekelilingnya, Chu Qiao merasakan seolah-olah dia sedang berjemur dalam kehangatan matahari musim panas.

Apabila mereka berada jauh dari pertempuran, suara Li Ce yang dalam dan tenang dapat didengari. Dia kedengaran sedikit panik apabila mengujarkan kata-katanya berkali-kali, "Semuanya baik-baik saja, semuanya baik-baik saja, semuanya baik-baik saja..."

Chu Qiao tidak mahu menangis kerana dia masih berasa agak keliru seolah-olah segala yang sedang berlaku ini a hanyalah imaginasinya sahaja. Namun, dia tidak dapat mengawal air matanya daripada menitis dan lantas mengenai baju zirah Li Ce, mengalir menerusi garis-garis logam itu. Dia memejam matanya, seolah-olah dia melihat adegan hari kiamat telah tiba di mana tanah telah mencair disebabkan magma, bintang-bintang berjatuhan dari angkasa yang luas dan lautan pula diliputi dengan api yang mencurah-curah tiada berpenghujung sementara ia mengalir ke dalam sebuah jurang yang sangat dalam.