Chapter 209 - Bab 209

Chu Qiao ingin berkata sesuatu. Terlalu banyak perkara yang dia ingin katakan, tetapi dia hanya terkumat-kamit seolah-olah dia bisu.

'Li Ce, awak tahu tak? Encik Wu dah mati, Cik Puan Yu pun dah mati. Ramai lagi yang dah mati. Yan Xun membunuh ramai orang. Awak rasa dia akan bunuh saya juga ke?

Li Ce, Zhuge Yue pun dah mati dan saya penyebab kematiannya. Awak tahu tak dia mati disebabkan salah saya?

Li Ce, betul kata awak. Yan Xun benar-benar berhati dingin. Hatinya, bahkan janji-janjinya pun turut membeku bersamanya.'

Dunianya terasa luas dan kosong tatkala Chu Qiao bersandar di dalam pelukan Li Ce lalu tertidur. Keletihannya jelas terpancar dari wajahnya. Li Ce hanya menatap Chu Qiao yang tampak sangat pucat dan kurus kering itu. bagaikan dia masih lagi seorang gadis. Dia berfikir seperti orang gila apabila mengenangkan perkara yang akan berlaku sekiranya dia terlewat walaupun sedikit. Walaupun sedikit...

Angin bertiup ke arah mereka lalu Li Ce pun menanggalkan kotnya untuk membaluti gadis itu ke dalam dakapannya. Chu Qiao kelihatan sangat kurus dan mengerekot seperti sebuah bola kecil, seolah-olah dia masih lagi seorang kanak-kanak. Li Ce mendongakkan kepalanya dan melihat langit yang dipenuhi dengan emping salji. Dia memandang ke arah musuh yang mempunyai nafsu membunuh itu. Kemudian, dia beralih ke arah Sempadan Longyin yang menjulang tinggi. Sewaktu dia memandang sekelilingnya, hatinya dihurung kemarahan yang tidak dapat diukur.

'Yan Xun, sampai hati awak lakukan semua ini? Kenapa awak begitu keras hati?

"Tuanku Maharaja, Xia telah menghantar perutusan untuk bertanya jika Tang berhasrat untuk mengganggu urusan domestik mereka. Apa patut kita balas?" Pengawal maharaja itu turun dari kudanya dan bergegas ke hadapan.

Li Ce mendukung Chu Qiao dan berkata dengan suara yang dingin, "Beritahu Zhao Yang yang saya telah mengambil Chu Qiao. Kalau dia nak, saya tunggu dia di Tang Jing."

"Tuanku Maharaja, saya telah bawa orang itu ke sini." Kata Tie You tatkala dia menghampiri Li Ce. Seorang lelaki pertengahan usia yang dipenuhi dengan tatu mengekori di belakangnya. Lelaki ini merupakan ketua bagi sekumpulan lelaki yang telah terjun dari puncak gunung bersalji untuk menyelamatkan Chu Qiao sebentar tadi.

Wajah Li Ce terus berubah lembut tatkala dia mengangguk ke arah lelaki itu dan berkata, "Saya ucapkan terima kasih kepada awak."

Lelaki bertatu itu menundukkan kepalanya dan menjawab, "Bilangan anggota kami terhad. Kalau bukan untuk Tuanku Maharaja, Jeneral Chu pasti berada dalam bahaya."

"Apapun, awaklah yang tiba tepat pada masanya. Saya terhutang budi dengan awak dan saya berjanji akan membalas budi awak pada masa akan datang sekiranya berkesempatan."

"Saya tak berani. Saya hanya bertindak atas arahan."

Kening Li Ce berkerut sambil bertanya seolah-olah ingin menyiasat, "Siapa tuan awak?"

"Tuan saya dah hentikan pasukan tentera Yan Bei dan kini dah sediakan pasukan-pasukan bantuan di setiap sempadan laluan keluar. Tuanku, sila bergerak dengan pantas. Kami akan menjadi pengawal Tuanku di belakang."

Li Ce mengangguk perlahan. Dia kemudiannya berkata dengan nada yang dalam, "Saya tak dapat nyatakan terima kasih saya dengan kata-kata atas apa yang awak dah lakukan. Hati-hati." Setelah dia menghabiskan kata-katanya, dia terus beredar bersama tentera Tang dan Pasukan Tentera Xiuli.

Mereka yang berada di Sempadan Longyin terdiri daripada 60,000 orang. Setelah melihat Li Ce dan tenteranya yang seramai 200,000 orang itu, mereka tidak tahu sama ada ingin mengejar mereka atau tidak. Jeneral garison itu mengambil masa untuk berfikir sebelum berkata, "Cepat tanyakan kepada Tuanku tentang arahan selanjutnya."

Tentera-tentera itu menghembuskan nafas yang panjang tatkala mereka berfikir: Ini petanda yang baik. Sebaik sahaja arahan dari Tuanku tiba, tiada khabar buruk yang tinggal lagi.

Kontinjen tersebut telah bergerak ke Simpang Shichuan dalam masa kurang daripada sejam dan sebuah kumpulan yang kira-kira seramai 2,000 orang sedang menunggu mereka secara senyap-senyap. Orang-orang bawahan Li Ce lantas menderap dengan kuda mereka untuk berunding dengan pasukan tersebut lalu mereka meninggalkan kereta kuda dan beredar.

Tie You kembali dan berkata, "Itu masih kumpulan yang sama. Sepuluh kilometer di hadapan, mereka telah menyediakan kuda dan rangsum untuk kita. Mereka juga meninggalkan sebuah gerabak kuda dan menasihati Tuanku untuk menggunakannya kerana Yan Bei ini sangat sejuk."

Li Ce menyelak tirai gerabak itu dan memeriksa persekitaran di dalamnya di mana ia agak besar dan telah dilengkapi dengan tilam lembut yang diperbuat daripada kain broked. Terdapat plat logam di atas tilam besar itu bersama dua buah penakung arang yang terletak di atasnya. Bahagian dalam gerabak itu terasa sangat hangat seperti musim bunga. Selain itu, terdapat juga sebuah dapur kecil di tengah-tengahnya, mengeluarkan wap yang berbau herba perubatan. Apabila dia membukanya, periuk sup ayam ginseng yang berkhasiat telah diletakkan di dalamnya.

"Tuanku, sebenarnya Raja Qinghai ini datang dari mana? Semangat betul dia membantu kita kali ini. Betul ke dia hanya ingin membantu Tang?"

Li Ce hanya menatap periuk sup ayam untuk buat masa yang lama tanpa berkata apa-apa.

Chu Qiao telah dibaringkan di dalam pedati. Kulitnya pucat dan lesu. Setelah dia merasakan kehangatan penakung arang itu, wanita itu lantas menghembuskan nafasnya sebelum kembali tidur nyenyak di atas tilam seakan-akan seekor arnab.

"Tie You, kalau awak berada di tempat dia, siapa yang sanggup lakukan hal ini kepada awak?"

Tie You terpegun dan berfikir sejenak sebelum menjawab, "Saya rasa hanya ibu saya yang sanggup melakukannya. Isteri saya sendiri pun tak sanggup melakukannya."

Li Ce tertawa kecil, "Betul itu. Tak ramai orang yang sanggup lakukan semua ini."

"Tuanku tahu identiti orang itu ke?"

"Sekarang saya tahu." Li Ce mengangguk kepalanya dan berpaling ke arah banjaran gunung yang jauh tersembunyi di sebalik salji tebal. Dengan suara yang tidak begitu yakin, dia berkata, "Sebelum ini saya hanya mengesyaki perkara itu saja tapi sekarang saya yakin."

Lagipun, setiap seorang manusia itu masih lagi merupakan boneka yang bergerak di haluan yang telah ditetapkan takdir sekalipun ia bercanggah dan terus bercanggah. Semenjak tiada sesiapa yang mampu mengubah atau lari daripada takdir, jadi mengapa dia perlu merosakkan segala persembahan yang bakal disaksikan akan datang?

Li Ce tersenyum kecil. Raut wajahnya yang lembut kelihatan tenang sahaja.

'Zhuge Yue, saya tidaklah sebaik budi seperti awak.'

Ribut salji akhirnya berhenti sebelum subuh menjemput. Sebelum matahari terbit, bumi masih lagi diselubungi kegelapan. Seorang lelaki yang berjubah hijau berdiri di puncak gunung itu. Burung hantu salju mengepakkan sayapnya tatkala ia berterbangan di kejauhan sebelum pemangsa ganas di puncak gunung itu mendarat di tangannya yang terulur. Tubuhnya berwarna putih tulen dengan hanya tiga bulu merah pada ekornya yang berkilauan seperti warna merah darah. Setelah membuka peti surat yang diikat pada burung hantu itu, tulisan tangan yang tertera pada surat itu menarik perhatiannya: Maharaja Tang telah membawa tenteranya dan kembali ke sempadan Tang. Saya sihat. Tak perlu merindui saya.

Wajah lelaki itu kelihatan tenang dan anak matanya masih mengekalkan sifat ketenangan itu. Seperti kebiasaannya, pemuda itu dapat melihat beberapa orang bawahannya yang sedang mengusiknya. 'Siapa sebenarnya yang baik-baik sahaja dan siapa yang benar-benar merindukan siapa?' Oleh itu, pemuda itu menjawab: Tak perlu susah-susah nak hilangkan diri, mati sahaja di sana.

Jeneral muda itu ketawa terbahak-bahak apabila dia menerima jawapannya dan menyerlahkan barisan giginya yang putih. Dia melambai tangannya dan berkata kepada orang-orang bawahannya, "Mari pergi semua. Dah tiba masanya untuk kita pulang."

"Jeneral Ketujuh, Jeneral mesti rindukan isteri Jeneral sekarang." Seorang lelaki yang berusia sekitar 40an berkata sambil ketawa terburai-burai. Bahunya sudah ditembusi anak panah dan baru sahaja dibalut, tetapi dia ketawa seolah-olah dia baik-baik saja. Tatu di wajahnya bergerak-bergerak seperti ular kecil tatkala dia ketawa.

"Pergilah! Bujang terlajak! Saya harap kamu tak akan kahwin selamanya."

"Anak-anak anjing Yan Bei ini terlalu ganaslah!" Seorang jeneral dalam usia 30an berseru sambil berjalan setengah telanjang walaupun cuaca sejuk. Selain itu, terdapat sebalutan kain pada dadanya dan ia kelihatan seperti dia baru sahaja mengalami kecederaan itu.

"Bukannya saya nak mencuri isteri-isteri mereka pun, tetapi mereka masih nak bunuh saya."

Jeneral ketujuh tertawa dan menjawab, "Kamu tak curi isteri dia, tetapi Tuan kita yang curi. Jomlah, kita datang ke sini bukannya untuk berperang. Berikan arahan kepada Qi Lang untuk menyediakan laluan pulang. Mari bersiap sedia untuk keluar dari tempat ini."

Seorang komander yang telah digelar "Bujang Terlajak" oleh Jeneral Ketujuh itu merungut tatkala dia berdiri, lalu dia pun berkata sambil berjalan pergi, "Saya rasa Tuan tak patut masuk campur dalam pertempuran ini. Dia langsung tak dapat bertemu isterinya itu sebelum wanita itu dibawa lari oleh orang lain. Bukannya kita boleh menang pun kalau menentang mereka. Kita memang kalah teruk kali ini."

Bilangan pegawai tentera yang berada di dalam khemah itu semakin berkurangan sebaik sahaja mereka beredar. Jeneral ketujuh itu berdiri di kedudukan asalnya dan berasa terkejut setelah mendengar kata-kata pemuda itu tadi. Setelah merenung wajahnya, dia kemudiannya berkata sendirian, "Tuan benar-benar tak mampu mengambil risiko sebesar itu!"

Sesungguhnya kemenangan mereka langsung tidak akan membawa apa-apa erti apabila pertempuran mencapai titik kebuntuan dan berlanjutan sehingga sesuatu yang tidak diingini berlaku di sebelah sana.

Jeneral ketujuh lantas terbayangkan seseorang yang dia ternampak sewaktu di medan pertempuran tadi dan matanya mengecil dengan penuh kebencian. Dua tahun lalu, kalau bukan disebabkan pasukan bantuan yang telah dikumpul oleh Yue Da, dia pasti akan terbunuh dalam pertumpahan darah itu. Lambat-laun dia pasti akan menuntut balasannya.

Tiga hari kemudian, Li Ce telah mengendong Chu Qiao ke dalam sebuah bot di Sempadan Tangshui sambil ditemani matahari yang telah terbit dari bawah ufuk, meliputi tanah di bawah dengan cahaya keemasannya. Langit kelihatan cerah dan tiada awan yang dapat dilihat berbatu-batu jauhnya. Sempadan Tangshui terletak berhampiran dengan barat daya yang mempunyai iklim hangat, sungai-sungai yang mengalir deras dan juga kaya dengan hidupan laut. Bot besar itu telah mengetuai ribuan bot lain tatkala ia berangkat dengan bunyi yang gemuruh. Ombak mencurah-curah di sekeliling mereka di semua arah bersama kaki langit bercahaya dengan warna hijau terang. Tiang bot itu menunjuk ke arah langit, mengembangkan layar besarnya satu demi satu.

"Ayuh berlayar!" Tie You berteriak dengan suaranya yang terdengar riang.

Li Ce berdiri di buritan kapal dan sedang memakai sehelai jubah hijau yang longgar. Matanya yang kelihatan licik itu membuatkannya kelihatan sangat tampan. Dia mendongak sikit untuk merenung ke arah Gunung Cuiwei yang terletak jauh dan samar-samar ternampak seseorang yang berdiri di puncak gunung itu.

Iklim yang berubah berulang kali sementara para manusia dan ombak bersatu sambil bertemankan angin yang bertiup ke arah mereka dari arah puncak gunung. Ia membawa wangian ringan bersamanya dan mengebaskan lengan sehinggalah ke tulang sumsum mereka. Pada saat itu, pemikiran mereka terus cerah.

Li Ce tiba-tiba tertawa yang kedengaran licik seperti seekor musang. Pemuda itu asyik tersengih-sengih sahaja. Setelah itu, dia lantas memeranjatkan para pembantu dan orang bawahannya apabila dia melayangkan ciuman ghairahnya ke arah puncak gunung itu. Semua orang yang melihat hal itu tiba-tiba berasa malu dengan tindakan maharaja mereka itu. Tie You bertanya dengan sugul, "Tuanku, Tuanku ternampak seorang gadis kampung yang sedang mengumpul kayu api ke?"

Li Ce menoleh ke belakang dengan raut wajah yang terkejut sambil menjawab, "Ah! Macam mana awak tahu?"

Para penonton pun mengeluh tidak berdaya sambil berfikir sendirian: Tuanku, siapa saja yang tidak tahu?

Permukaan sungai itu kelihatan licin bak sehelai sutera yang sungguh lembut. Kapal-kapal mengharungi sungai yang berliku-liku itu menuju ke arah matahari terbit. Semuanya kelihatan memuaskan. Pemuda itu berdiri senyap di atas puncak gunung, jelas sekali dia telah menyaksikan tindakan provokasi Li Ce itu tadi, lantas membuatkan dia berkerut tetapi masih kekal berdiri di situ.

Kapal-kapal itu beransur-ansur hilang di kejauhan, namun lelaki itu tetap berdiri di sana buat waktu yang lama. Hatinya tenang tanpa sebarang rasa kesedihan atau keletihan. Angin bertiup di belakangnya dan bayangannya mula memudar. Gunung itu dipenuhi dengan bau debu yang telah bercampur dengan kabus. Wajahnya kekal lembut tatkala angin bertiup ke mukanya seolah-olah tiada apa yang sedang berlaku. Dia tiba-tiba terbayangkan pandangan wanita itu dan merasakan seolah-olah dia telah diangkut kembali ke padang rumput yang lapang dalam kenangannya. Tiba-tiba, dia melihat sebatang pokok tunggal yang berdiri tinggi, kelihatan lemah gemalai dan berserah sahaja, menyebabkan dia kehilangan kedinginannya.

Hari itu merupakan hari ke-29 dalam bulan kesembilan pada tahun 778. Ia merupakan musim bunga kekwa untuk berkembang mekar di tanah Tang Jing. Angin berdesir tatkala ia melewati ibu negara sementara matahari pula sedang memancarkan cahaya keemasannya ke muka bumi. Kapal-kapal itu berlayar ke arah selatan dan perlahan-lahan kembali ke arah kawasan yang megah dan makmur itu. Musim luruh telah berlalu dan musim sejuk kini tiba, namun perbezaan antara musim luruh dan musim sejuk di tanah hangat Tang tidaklah begitu ketara. Bunga kekwa telah berguguran dan kelopaknya telah layu sehingga ke batangnya, membuatkan tanah negara itu dilitupi dengan kelopak-kelopak bunga kuning yang menari-nari di udara apabila angin malam bertiup dengan kencang,

Chu Qiao telah bermimpi sekali lagi. Pada masa itu, kedua kakinya sekali lagi berpijak di atas seladang tanah gurun yang tandus, bertemankan matahari yang berwarna merah manakala angin kencang berhembus ke arahnya sambil merangkul lalang-lalang yang menutupi tanah. Ia kelihatan seperti gelombang kuning tatkala angin meniupkannya. Lelaki muda itu sedang menderap kudanya dengan gembira sambil tertawa seperti kebiasaannya, seperti dirinya yang asal. Bunga-bunga Huoyun mekar dengan terang di tanah yang berdarah itu dan melayang-layang apabila dipijak telapuk kaki kuda putih itu. Tiba-tiba, dia terdengar gelak tawa lelaki muda tersebut yang berkata, "Ah Chu, cepatlah kejar!"

Wanita itu lantas berlepas dan mengejar di belakangnya. Cahaya matahari terbenam menyuluh ke arah tubuhnya manakala angin berdesir ketika melewati telinganya. Pemandangan kuning terang di hadapannya itu merupakan harapannya, sama seperti sebuah fantasi yang dia sering impikan sepanjang lapan tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, sewaktu dia hendak mencapai tangan lelaki itu, langit dan bumi tiba-tiba berubah menjadi putih dan ribut salji menguburkan segala harapan dan impiannya. Pemuda yang gembira itu tadi kini telah membesar dalam sekelip mata dan wajahnya kini kelihatan dingin dan tidak berperasaan ketika dia berdiri di hadapannya. Tentera Yan Bei yang tidak terhitung ramainya sedang memakai baju zirah mereka yang berwarna hitam dan berdiri di belakangnya. Para askar itu memegang sebatang ais yang berbentuk anak panah sambil menyasarkan matanya pada belakang wanita itu. Chu Qiao segera berpaling tetapi hanya melihat darah yang memekar keluar dari tubuh pemuda di belakangnya itu. Apabila dataran berais itu merekah, air sejuk mula mencurah-curah keluar daripada retakan-retakannya. Wanita itu lantas mengikuti pemuda itu dan melompat ke dalam tasik itu dan akhirnya dia ternampak sepasang mata yang kesepian itu. Pemuda itu kemudian mengucup sebelah bibirnya perlahan-lahan sebelum bibir sejuk pemuda itu menyentuh pelipis kepalanya. Tangannya terasa begitu besar dan kuat tatkala dia mengheretnya sedikit demi sedikit, menyalurkan segala harapannya kepada wanita itu supaya meneruskan kehidupan.

Related Books

Popular novel hashtag