Chapter 207 - Bab 207

Ya, dia tidak mabuk, malah dia telah berada dalam keadaan sedar sepanjang masa ketika dia sedang berfikir. Masa berlalu dengan begitu pantas seperti sepasang tangan yang kejam telah menenggelamkan semua memori dan janji yang telah dibuat mereka bersama. Dia mendongak dan melihat pakaian yang pernah dipakai oleh ahli keluarganya telah digantung tinggi di dalam makam di bahagian hadapan. Makam itu kelihatan megah dan terletak di kawasan yang luas. Tetapi yang ditanam di dalamnya hanya lah beberapa pasang pakaian dan harta benda yang mereka miliki ketika masih hidup dahulu. Kepala mereka masih dipamerkan di dalam kuil buat mereka yang dianggap sebagai pendosa Xia sementara badan mereka pula mungkin telah dimakan oleh serigala liar di tengah-tengah kekacauan itu.

Dia meneguk secawan wain yang menyakitkan anak tekaknya seperti arang yang dibakar. Angin yang bertiup ke dalam ruang istana yang besar itu telah menyebabkan tirai membelai ke kiri dan ke kanan seperti lengan baju seorang penari. Penglihatan Yan Xun masih jelas. Mukanya yang kurus dan tampan itu menjadi sedikit kemerahan, pandangan di matanya kelabu kerana pemuda itu telah melalui pelbagai perubahan dalam kehidupannya. Hanya dalam masa dua tahun, dia telah mengalami keletihan yang melampau. Seluruh kehidupannya kelihatan seperti dipenuhi pelbagai halangan dan rintangan. Seorang demi seorang insan dalam hidupnya pergi meninggalkannya untuk memilih haluan yang berbeza walaupun mereka telah memulakan pengembaran tersebut bersama-sama. 

"Ayahanda," Tuturnya memecahkan kesunyian. Ketika dia berasa sedikit tenang dia menyambung, "Ayahanda dah berbohong pada saya." Yan Xun mendongak untuk memandang potret di atas meja itu di mana gambar ayahandanya jelas kelihatan. Dia merenung wajah lelaki yang dianggap sebagai idola semasa zaman kanak-kanaknya dahulu dan berkata dengan perlahan, "Ayahanda pernah katakan yang Yan Bei ini sebuah syurga, tempat yang paling bebas dan aman di dunia. Ayahanda cakap semua yang ayahanda buat ialah demi kesinambungan generasi masa depan, tapi ayahanda salah. Ayahanda dah musnahkan Yan Bei bersama seluruh keluarga Yan dengan tangan ayahanda sendiri. Selama lapan tahun saya di Zhen Huang, saya berjuang untuk hidup kerana saya percaya pada ayahanda dan juga semua impian yang saya simpan. Tapi, bila saya pulang ke Yan Bei selepas mengharungi banyak kesusahan, ayahanda tak tahu betapa kecewanya saya."

Yan Xun tidak beremosi manakala istana tersebut pula telah dibungkus dek kesunyian. Dia memandang potret ayahnya lalu menyambung, "Dinding di istana ini semuanya sejuk. Tapi, ayahanda dah mengasingkan diri dan bina syurga ayahanda sendiri di celah-celah retakan itu. Ayahanda tahu tak betapa naifnya tindakan itu? Sebab itulah maharaja dan seluruh dunia tak boleh bertolak ansur dengan ayahanda lagi. Bahkan orang bawahan ayahanda juga mengkhianati ayahanda kerana ayahanda itu tak cukup berkuasa untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang maharaja tak dapat lakukan."

"Ayahanda, saya dah membunuh Encik Wu dan juga Cik Puan Yu kerana mereka masih lagi terus menyokong teguh hasrat terakhir ayahanda dan dah jadi penghalang untuk kemajuan negara saya. Saya dah berikan mereka peluang, tapi mereka langsung tidak menghargainya. Saya membunuh Huanhuan sebab Da Tong mahu melantik dia sebagai ketua kesatuan yang baru. Selagi dia masih hidup, Da Tong pasti tak akan dapat dihapuskan. Saya bunuh orang bawahan lama ayahanda kerana mereka sudah rabun, tapi mereka masih memegang jawatan yang tinggi. Saya dah bunuh ramai orang, tapi saya juga semakin dekat dengan cita-cita dan impian saya sekarang ini." Yan Xun merenung potret ayahandanya sambil meneguk secawan lagi wain. Dia lantas mengisi penuh cawannya lalu menuangkan lebihan wain itu ke atas lantai sambil berkata, "Ayahanda, saya tak akan menjadi seperti ayahanda."

Yan Xun berdiri tegak ketika dia berpaling untuk beredar, bawah pakaiannya menyapu lantai lalu menerbangkan debu di udara. Dengan tenang dia menyusun langkah yang kecil, setiap satunya berisi keazamannya yang tinggi. Cahaya lilin yang menyinari badannya serta-merta membentuk sebuah bayangan panjang sementara makam-makam pejuang Yan Bei berdiri di belakangnya, termasuklah makam ayahanda dan bondanya, kakandanya, nenek-moyangnya, bangsanya yang setia, Encik Wu, Cik Puan Yu, Xiaohe, Huanhuan, Biancang, Xirui, Ah Du, ketua-ketua tentera Xiuli yang telah mengorbankan diri mereka semasa mempertahankan Beishuo iaitu Wu Danyu dan Feng Ting… Beberapa pasang mata tersebut bagaikan sedang memerhatikan Yan Xun ketika dia berjalan keluar dari istana itu, semasa dia meninggalkan tempat di mana semua jiwa yang telah mati itu disemadikan.

Langkahnya kemas seperti dia langsung tidak membawa sebarang penyesalan dan keraguan bersamanya ketika dia melangkah keluar. Matanya yang hitam pekat disambut angin yang sejuk. Dia lantas teringat akan malam itu ketika dia meninggalkan Zhen Huang. Ah Chu dengan sukarelanya telah berpatah balik ke ibu kota untuk menyelamatkan para tentera Garison Utusan Barat Daya yang terperangkap di sana. Mungkin sejak dari itu, pemuda ini telah meramalkan yang semua ini akan berlaku suatu hari nanti. Cita-cita dan kepercayaan kedua-dua insan ini terlalu berbeza dan bercanggah dengan satu sama lain, secara tidak langsung akan menyebabkan mereka hanyut dan semakin menjauh akibat haluan hidup yang terlalu bertentangan. Kesudahannya, bayaran haruslah dibayar terlebih dahulu untuk mencapai sesebuah impian itu.

Namun, bayaran yang harus dibayar Yan Xun adalah pemuda ini tidak lagi boleh berlakon untuk menjadi seseorang yang didambakan wanita itu.

Dia mula berasa lemah tetapi dia cuba menahan perasaannya sebaik mungkin tanpa berfikir panjang.

'Ah Chu, ketika awak berpaling untuk pergi, saya tahu yang awak tidak ditakdirkan untuk bersama saya. Awak ditakdirkan untuk memilih haluan yang lurus dan benar sedangkan saya tidak mampu menjauhkan diri dari kehidupan yang penuh dengan pertumpahan darah. Saya tidak dapat terbang bersama awak, jadi saya mahu patahkan sayap awak supaya awak boleh berada di sisi saya. Namun, saya masih gagal untuk melakukannya.'

"Ah Chu…" Suaranya yang rendah bergema di ruang istana yang besar itu. Pemuda itu berdiri di hadapan pintu masuk ketika angin sejuk bertiup lembut manakala cahaya bulan yang pucat pula menyinari wajahnya, menampakkan sebuah bayangan putih. Dengan tenang dia menutup matanya perlahan-lahan lalu mengerutkan dahinya sambil meratap sayu.

"Ah Chu…Awak masih akan kembali ke sini ke?"

Setengah daripada bulan di langit telah dilindungi dek selapisan awan yang menyukarkan burung-burung untuk terbang. Pemuda itu berdiri di atas puncak bukit sambil memerhatikan seluruh dataran Yan Bei dan berfikir, 'Mungkin Ah Chu tak akan kembali lagi.'

"Tuanku!" Ah Jing menolak para pengawal yang cuba menghalangnya. Dia lalu tersungkur di tepi Yan Xun lalu melutut di atas tanah sebelum berkata dengan penuh gelisah, "Tuanku, tolong selamatkan Cik Puan. Salji sangat tebal di Longyin dan pintu-pintu gerbang di sana semuanya telah ditutup. Tentera Xia dah mengepung mereka selama beberapa hari. Cik Puan tak boleh bertahan lagi."

Yan Xun mendiamkan diri sambil memandang bukit yang tersergam megah di hadapannya. Dia termenung jauh memikirkan sesuatu.

"Tuanku, Cik Puan dah mengikuti Tuanku selama bertahun-tahun dan mempertaruhkan nyawa dia demi Tuanku. Kita semua tahu mengenai sumbangan yang telah dia lakukan. Tuanku, Tuanku sanggup ke untuk membunuh dia? Tuanku dah lupa ke apa yang Tuanku cakap sebelum ini?" Ah Jing bersujud berkali-kali dengan matanya yang kemerahan. "Tuanku, tolonglah kasihankan kami. Saya merayu pada Tuanku…"

"Ah Jing…" Yan Xun mula bersuara seolah-olah pemuda itu baru tersedar akan kewujudannya. Sambil berkerut dia bertanya, "Macam mana saya hendak selamatkan dia?"

Ah Jing membalas dengan gembira, "Buka pintu gerbang Longyin dan hantar pasukan bantuan untuk selamatkan mereka…"

Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Yan Xun memotong, "Kamu fikir dia akan kembali ke kalau saya membuka pintu gerbang Sempadan Longyin?"

Ah Jing terkaku buat beberapa ketika sebelum menggumam, "Kemudian…kita boleh buka laluan perairan di sepanjang sempadan selatan sehingga menuju ke Tang. Kita boleh biarkan dia pergi melalui laluan itu menerusi Sempadan Tangshui."

"Di sebelah selatan?" Yan Xun menjawab dengan tenang sambil terus bertanya, "Maksudnya dia tak akan kembali ke sini semula?"

Ah Jing terdiam seribu bahasa.

Yan Xun tersenyum lalu bertanya, "Ini bermaksud yang saya akan kehilangan dia buat selamanya?"

Ah Jing merasakan peluh sejuk membasahi seluruh badannya walaupun malam itu sangat sejuk. Selepas beberapa ketika, dia melompat dan berpaling untuk berlari sambil menjerit, "Saya akan memujuk Cik Puan untuk kembali!"

Yan Xun tidak cuba untuk menghentikannya ataupun melihatnya malah dia memilih terus berdiri dengan senyap di posisi asalnya. Awan yang gelap itu menutupi seluruh bulan. Salji akan turun lagi. 'Ah Chu tidak dapat bertahan lagi? Perempuan bodoh, kenapa awak tidak kembali sahaja?' Dia mengerutkan dahinya dan berfikir seperti budak-budak yang tidak bersalah, menipu dirinya sendiri dengan menolak semua alasan politik yang membawa kepada peristiwa hari ini. Ia kelihatan seperti waktu mereka berkelahi semasa kecil dahulu. Apabila salah seorang daripada mereka keluar bersiar-siar, seorang lagi akan berfikir kenapa dia masih belum balik? Cuaca di luar sangat sejuk.

'Sekiranya masa boleh berkata-kata, Ah Chu, awak masih mahu bersama dengan saya? Awak telah meramalkan yang awak akan berada dalam situasi ini ke? Sejauh manakah kebencian awak terhadap saya?'

"Tuanku," Suara yang perlahan dan penuh hormat kedengaran dari belakang Yan Xun, "Tolong buka pintu gerbang sempadan dan biarkan Jeneral Chu pergi."

Yan Xun terkejut lalu berpaling melihat ke arah Cheng Yuan. "Apa halnya? Kamu pun berpihak pada dia juga?"

"Saya bukan berpihak pada Jeneral Chu," Cheng Yuan menjawab dengan tenang dan menyambung, "Saya berpihak pada Tuanku." Cheng Yuan bersujud hormat di atas lantai sambil menyambung dengan suara yang perlahan, "Tuanku, berikan diri Tuanku satu panduan hidup."

Pada masa itu,Yan Xun merasakan hatinya seperti hatinya telah ditikam-tikam apabila keperitan mula melonjak dari dalam.

"Jika Jeneral Chu mati di tangan Tuanku, pasti Tuanku tak akan bahagia. Tuanku juga pernah cakap begini sebelum ini. Walau apapun impian Tuanku, Tuanku harus hidup untuk terus berharap. Jika Tuanku mati, segalanya sudah terlambat."

Yan Xun berdiam diri untuk beberapa ketika sementara angin melambai-lambaikan jubahnya. Dia yang sedang berdiri di atas puncak bukit kelihatan seperti seekor helang yang melebarkan sayapnya.

"Cheng Yuan, kenapa kamu cakap semua ini? Bukan ke kamu berdendam dengan Ah Chu?"

"Saya tidak berdendam dengan Jeneral Chu. Sebelum ini saya dah menyinggung perasaan dia, tapi itu semua tidak disengajakan. Saya nak dia mati semata-mata sebab saya nak pastikan yang saya akan terus hidup. Sekarang ini dia tidak lagi menjadi ancaman kepada Tuanku, jadi saya pun tak mahu melihat dia mati. Yang paling penting," Cheng Yuan mengangkat kepalanya dan memandang Yan Xun dengan pandangan yang bertenaga sambil menyambung, "Saya tak mahu hati Tuanku menjadi batu. Dalam dunia ini, hanya Tuanku sahaja yang boleh buatkan impian saya menjadi kenyataan dan hanya Tuanku sahaja yang layak untuk saya ikut. Kesetiaan saya terhadap Tuanku tak akan pernah mati, walaupun Tuanku berubah menjadi jahat dan dihina oleh dunia, saya tetap akan ikut Tuanku sampai saya mati. Jika Tuanku mahu membunuh semua orang dalam dunia ini, saya akan menjadi orang pertama yang mengangkat pedang. Jika Tuanku mahu menggunakan selonggokan mayat manusia untuk mengisi Lautan Timur, saya akan menjadi orang pertama untuk memenggal kepala saya sendiri. Saya dah mengembara selama separuh daripada hidup saya dan telah dibenci oleh ramai orang kerana saya tak bertemu dengan sesuatu yang layak untuk saya percaya. Sekarang, saya telah bertemu dengannya. Harapan Tuanku adalah kepercayaan saya. Oleh itu, saya tak mahu Tuanku hidup dalam penyesalan dan juga rasa bersalah. Tuanku, lepaskan dia pergi."

Emosi Yan Xun tiba-tiba menyelubungi setiap darah dagingnya. Dia teringatkan segala perkara yang telah berlaku dalam masa sepuluh tahun ini, terbayangkan setiap peristiwa di depan matanya. Kanak-kanak kecil itu muncul dari dalam kolam yang dipenuhi darah dan menatapnya dengan penuh kebencian. Hatinya meluluh dan dia membelai leher kanak-kanak itu dengan jarinya. Angin yang meniupkan rambut di dahi kanak-kanak itu membuatkan dia sentiasa akan mengingati pandangan sepasang mata yang penuh dengan semangat yang tegas.

Akhirnya…

Dia menutup matanya dan cuba untuk menjauhkan diri dari kenangan itu. Semua perasaan cintanya terhadap wanita itu terlah terhenti di situ lalu menyebabkan dia berasa kesakitan yang amat mendalam di dalam hatinya. "Sampaikan arahan saya kepada Jeneral Qiu supaya membuka laluan air di sempadan selatan. Biarkan mereka…"

"Tuanku!" Teriakan yang kuat bergema dari arah bawah bukit. Tentera pengutus itu terkial-kial berjalan di atas bukit yang berbatu. Dia berlari sambil menjerit, "Berita kecemasan dari sempadan! Berita kecemasan dari sempadan!"

Yan Xun dan Cheng Yuan berpaling serentak untuk melihat wajah pemuda yang kelihatan ketakutan itu. Dia melutut di atas tanah sambil membuka surat lalu membacanya dengan kuat,

"Daripada naib jeneral Sempadan Tangshui di sempadan selatan, Qi Shaoqian:

Pada hari ke 16 bulan kesembilan, musuh yang tidak diketahui telah menyerang Sempadan Tangshui di sempadan selatan. Secara tiba-tiba mereka telah muncul di wilayah Yan Bei dan telah memotong segala saluran komunikasi kita dan telah menakluki 13 daerah. Ketua marshal Sempadan Tangshui iaitu Jeneral Qiu telah meninggal dunia. Semua pegawai yang berpangkat Mejar Panglima dan keatas turut mati dalam pertempuran tersebut. Kami telah kehilangan kira-kira 30,000 orang tentera kesemuanya. Tengah hari semalam, Sempadan Tangshui telah diceroboh. Tentera kita telah dihantar untuk bertempur dengan pihak musuh. Ini utusan terakhir saya dan orang kepercayaan saya. Saya harap berita ini akan sampai ke pengetahuan Tuanku. Saya akan pertahankan posisi saya sampai mati dan tak akan membiarkan reputasi Tentera Yan Bei jatuh. Seramai 50,000 orang pahlawan di Sempadan Tangshui telah mengecewakan Tuanku dan saya mengakui kesilapan saya dalam surat ini."

Related Books

Popular novel hashtag