Chapter 205 - Bab 205

Tangisan tajam bergema dari arah kem yang bertentangan. Beberapa barisan tentera lantas bergegas menuju ke hadapan tentera berkuda dan mereka bersedia untuk menyerang dalam keadaan separa melutut.

"Serang!"

Swoosh! Lembing-lembing panjang dilemparkan ke atas langit dan lantas menyebabkan sekumpulan burung yang sedang berterbangan jatuh ke bawah dengan darah mereka memercik di ruang udara serta bulu-bulu berterbangan di serata arah. Namun, sebelum sempat para rakyat jelata ingin membuka mulut mereka untuk menjerit, lembing-lembing itu telah mengejar mereka. Jeritan yang sangat bingit bergema di ruang udara seperti mereka sedang menyanyikan sebuah lagu tragik mengenai kesengsaraan manakala kuda-kuda pertempuran juga turut berteriak kuat seperti telah dirasuk.

"Bentukkan formasi! Serang!" Chu Qiao yang sedang duduk di atas kudanya berdiri di tengah-tengah medan perang sambil memberikan arahan. Dia mengangkat pedang perak di tangannya sebelum mara ke hadapan dan lantas 5000 orang tentera Xiuli mengikutinya di belakang. Tiada seorang pun yang teragak-agak atau mahu berundur walaupun ada di antara mereka yang berasa takut.

He Xiao yang sedang berdiri di samping Chu Qiao bergerak untuk melindunginya. Dengan kuat, dia menjerit, "Rakan-rakan seperjuangan, jangan biarkan mereka mendekati rakyat jelata!"

"Serang!" Seruan untuk membunuh kedengaran kuat lalu mencetuskan semangat yang membara dalam kalangan tentera.

Arah bertentangan mereka kelihatan seperti sebuah lautan yang luas. Pasukan tentera pihak musuh kelihatan seperti sebuah gelombang ombak yang kecil apabila seangkatan tentera yang berjumlah 5000 orang itu berlari menuju ke arah dewa kematian.

Rakyat Yan Bei yang merayu untuk menyelamatkan diri mereka sendiri, tentera Yan Bei yang sedang melihat dari puncak Sempadan Longyin dan tentera elit Xia termasuklah Zhao Yang sendiri berasa terkejut apabila melihat babak tersebut. Tiada siapa yang menjangkakan Chu Qiao yang kekurangan jumlah angka pasukan tenteranya akan bertempur dengan angkatan tentera Zhao Yang yang berjumlah 100,000 orang itu. Pihak di sebelah sana bagaikan sebuah neraka hidup dengan senjata-senjata dahsyat yang didondonkan pada setiap anggota tentera Xia. Pada masa itu, semua orang mula menyedari niat Chu Qiao. Tanah ini merupakan sekeping tanah yang rata dan tidak dilindungi jadi wanita itu tidak mempunyai sebarang senjata untuk mempertahankannya. Sekiranya tentera Xia berjaya melepasi sempadan ini, rakyat jelata pasti akan diheret ke dalam medan pedang. Dengan cara ini, dia mahu melindungi orang-orang yang tidak bersalah di belakangnya.

Zhao Yang terkejut dan pada masa yang sama dia juga turut berasa bingung. Namun, sebelum sempat dia memberi sebarang reaksi, darahnya mula mendidih apabila dia melihat Chu Qiao dan Pasukan Tentera Xiuli yang sedang menghampiri mereka dengan pantas bersama pedang yang telah dihunuskan.

"Para tentera semua! Kamu semua takut dengan seorang wanita ke?" Pemimpin Pasukan Tentera Xia itu menjerit kuat yang kemudiannya mencetuskan bunyi laungan perang serentak yang kuat dari pasukan tentera hitam tersebut.

"Semua pasukan tentera! Bersedia untuk menyerang!"

"Bunuh setiap seorang daripada musuh kita!" Satu lagi teriakan kedengaran dalam kalangan tentera Xia. Segerombolan askar yang memakai perisai berwarna kelabu mula bergegas sementara pasukan berkuda menyiapkan diri mereka untuk berperang. Mereka lantas meluru ke arah pasukan Chu Qiao seperti sebuah banjir kilat yang langsung tidak dapat dihentikan.

"Berpecah! Bersedia untuk membentuk formasi!" Chu Qiao memberi arahan. Keseluruhan tentera Xiuli dengan pantas membentuk satu garisan panjang untuk menyambut tentera Xia. 5000 orang askar Xiuli berdiri sebelah-menyebelah untuk mempertahankan Sempadan Longyin yang berada di belakang mereka, berpakaian baju besi berwarna hitam dan bendera merah mereka berkibaran dengan megah di atas kepala di bawah cahaya matahari. Mereka mengangkat pedang dengan kedua-dua tangan dan menghunuskannya di hadapan mereka sambil menggunakan kedua-dua kaki untuk mengawal kuda mereka. Ketika mereka melihat sekumpulan besar tentera musuh menghampiri, ekspresi mereka tidak ubah seperti batu, kelihatan tenang. Inilah cara yang paling gila untuk membunuh diri!

Pasukan Tentera Xia semakin menghampiri pasukan tentera ini ketika debu berterbangan di udara sehingga nafas kuda perang yang ditunggang mereka juga dapat didengari oleh pihak musuh. Boom! Akhirnya kedua-dua pihak bertempur seperti sebuah ribut yang melanda dataran tersebut. Ketika perang bermula, pedang-pedang dihunuskan mengenai daging manusia dan juga pedang di sekelilingnya. Pertumpahan darah akhirnya telah bermula.

Setiap seorang yang berada di dalam medan pertempuran itu terasa seperti mereka sedang mengalami mimpi buruk apabila peperangan menjadi semakin sengit. Mata mereka bertukar kemerahan apabila terlihat selonggokan mayat di atas tanah. Suasana ketika itu memekakkan setiap telinga yang mendengar. Bunyi hentakan kaki kuda, jeritan, tangisan kesakitan, cemuhan, teriakan untuk membunuh semuanya bersatu untuk menghasilkan sebuah melodi yang baru. Manakala, percikan api pula kelihatan di ruangan udara apabila pedang saling bertembung. Para mangsa yang tercedera tidak mampu untuk menjerit kerana pertempuran itu telah membuatkan deria sakit mereka menjadi lemah.

Dataran itu kelihatan sungguh porak-peranda. Sungai yang berwarna merah darah lama-kelamaan terbentuk apabila salji yang berarak turun pada malam tadi mula mencair. Pedang-pedang dan lembing-lembing semuanya sudah patah. Mata si pahlawan pula sudah terpejam rapat kerana dipenuhi kesan darah lalu menyebabkan mereka kehilangan segala deria mereka. Walaupun begitu, mereka tetap berfikir untuk membunuh! Mereka tetap berfikir untuk membunuh sesiapa sahaja serta merosakkan semua benda dengan menggunakan kekuatan terakhir yang tersisa!

Kata-kata wanita muda itu sebelum peperangan bermula masih terngiang-ngiang di telinga para askar, "Tentera yang melanggar formasi akan dihukum sebagai pesalah dalam Tentera Xiuli!" Oleh itu, walaupun mereka tidak bersenjata, mereka tetap menyerang pihak musuh, mengoyakkan leher mereka dengan menggunakan mulut mereka. Walaupun tidak berkuda, mereka masih memegang kuda musuh dengan kaki mereka untuk mengheret pihak musuh supaya jatuh ke tanah.

Pertempuran itu sungguh sengit sehingga telah menyebabkan tulang belakang mereka menjadi sejuk. He Xiao membuka baju besi yang dipakainya yang terasa seperti sebuah beban baginya untuk bergerak. Matanya kemerahan sambil memerhatikan sasaran seterusnya. Tentera Xia berasa takut ketika memandang wajah pemuda yang menakutkan itu lalu mereka berundur dan melarikan diri dari pandangannya.

Kemampuan Tentera Xiuli untuk berlawan secara berseorangan memang tidak dapat ditandingi. Para askar berdiri tegak seperti sebuah mesin yang langsung tidak mengenal erti kepenatan. Walaupun tangan dan kaki mereka tercedera, mereka masih mampu meneruskan pertempuran dan membunuh pihak musuh yang datang menyerang. Tentera Xia serta-merta berasa sangat terkejut apabila melihat para Tentera Xiuli yang langsung tidak kelihatan seperti manusia biasa. Ya, benar, mereka bukan lagi manusia. Mereka sekumpulan orang gila yang berkelakuan seperti syaitan.

Zhao Yang mengetap giginya dalam kemarahan. Dia tidak mengerti bagaimana wanita muda itu kelihatan seperti dia mempunyai sebuah kuasa luar biasa sehinggakan semua askarnya berjanji untuk setia kepadanya sehingga begitu sekali. Memiliki tentera yang berkaliber seperti ini ialah impian setiap jeneral kerana tiada wang, kuasa atau pun ancaman yang boleh ditukar ganti untuk memiliki semangat juang sebegini. Bagaimanapun, wanita muda itu seolah-olah telah mencapai segala itu dengan usaha yang sangat minimum.

Bunyi gendang perang bergema ketika para tentera bergegas menuju ke medan perang yang berdarah itu. Pegawai-pegawai Xia kelihatan keliru. Walaupun dinding pertahanan pihak musuh diperbuat dari besi keluli, mereka pasti akan tetap dapat membuat lubang di dalamnya. Tetapi kenapa barisan pertahanan mereka masih utuh berdiri walaupun para tentera pihak musuh kelihatan seperti mereka tidak mampu bertahan lagi?

Tiga barisan hadapan pasukan berkuda berat telah dihapuskan bersama lima batalion. Mayat yang bertimbun disusun setinggi tiga kaki di hadapan barisan pertahanan lantas membentuk sebuah tembok yang rendah di hadapan mereka. Sejak dari subuh hingga tengah hari, pertempuran itu tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Barisan pertahanan yang kelihatan lemah pada awalnya kini perlahan-lahan menjadi semakin kuat. Zhao Yang tahu pasukannya sudah berasa takut dan pemuda itu lantas merasakan ubun-ubun kepalanya mula berdenyut.

Langit pula bertukar menjadi mendung apabila matahari perlahan-lahan ditenggelamkan dek awan yang gelap, kelihatan seperti ia tidak mahu menyaksikan lagi pembunuhan besar-besaran seperti ini.

Zhao Yang segera berfikir kepada dirinya sendiri, 'Semua ini rancangan Yan Bei ke? Hantar pasukan elit untuk mengalihkan perhatian aku dari sempadan dan kemudian memusnahkan tentera berkuda berat aku? Kalau betul inilah yang telah berlaku, kenapa mereka tidak menghantar pasukan bantuan dari dalam sempadan lagi?'

Zhao Yang masih tidak dapat memahami situasi yang sedang berlaku ketika pasukannya perlahan-lahan mula kehilangan kekuatan untuk bertempur. Berhadapan dengan Tentera Xiuli yang sangat luar biasa semangat mereka, Zhao Yang mula berasa takut jika sesuatu yang lebih buruk bakal berlaku. Sekiranya dia memenangi pertempuran ini, apa yang akan dia dapat? 5000 mayat Tentera Xiuli? Pertempuran ini tak akan menjadi sebegitu mudah. Perasaan untuk membunuh Chu Qiao, ancaman utama pasukan Yan Bei tidak lagi begitu menarik baginya.

Ketika sisa-sisa cahaya matahari mula memudar, tentera Xia telah memberi isyarat untuk berundur. Tentera Xia bersorak lalu meninggalkan medan perang itu seperti air pasang yang tiba-tiba surut. Tentera Xiuli sudah tidak mempunyai kekuatan lagi untuk mengejar musuh mereka. Sebaik sahaja tentera Xia berundur, mereka rebah ke atas tanah apabila semua kekuatan dalam badan telah habis digunakan.

Apabila Zhao Yang melihat keadaan itu, dia lantas berpaling dengan tegas sebelum memberi arahan untuk mengeluarkan isyarat supaya kembali menyerang. Belakang badannya menghadap tentera Xia sambil menjerit dengan kuat, "Askar, serang!"

Tentera Xia segera berpaling dalam keadaan panik untuk melihat barisan pertahanan yang gah sebentar tadi sudah lopong. Beberapa orang askar mula memahami situasi pada masa itu. Tentera Xiuli yang bernisbah 20 orang bersamaan seorang telah mencapai had batas mereka. Ketika tentera Xia berundur sebentar tadi, mereka terus jatuh kepenatan. Pada masa ini, tentera Xia telah berpatah balik lalu bergegas menyerang ke depan yang diketuai oleh Zhao Yang di barisan hadapan.

"Semua pasukan berkumpul!" Suara yang dingin dan tenang kedengaran menembusi angin utara yang sejuk itu. Ia tidak kuat tetapi dapat didengari dengan jelas oleh semua orang.

Selepas itu, sebuah pemandangan yang menakjubkan tiba-tiba berlaku. Ketika tentera Xia menggosok mata mereka dengan rasa tidak percaya, bayang-bayang tentera Xiuli di belakang timbunan mayat mula bangkit satu demi satu. Pakaian mereka telah koyak rabak dan wajah mereka juga sudah pucat lesi. Organisasi mereka kelihatan sungguh serabut manakala pedang mereka telah pun patah. Mereka mengheret badan mereka dan bergerak perlahan ke hadapan lalu membentuk semula posisi asal mereka. Mereka berdiri bahu ke bahu. Satu, dua, tiga, sepuluh, seratus, seribu…

Adegan awal pagi tadi seakan-akan dimainkan semula. Pahlawan-pahlawan yang dipenuhi kesan darah lantas bangkit semula untuk membentuk formasi mereka walaupun mereka kelihatan seperti mereka bakal tumbang pada bila-bila masa. Walau bagaimanapun, apabila mereka berdiri bersama-sama berganding bahu, postur mereka menjadi tegak seperti sebuah hutan yang diperbuat daripada batu. Barisan pertahanan sekali lagi kelihatan lebih kuat daripada sebelumnya. He Xiao berdiri di hadapan sambil memegang pedangnya lalu kedengaran beribu suara bergema seragam menjeritkan, "Demi kebebasan!" Jeritan mereka bergemuruh seperti kilat yang menyabung, sekaligus mengejutkan semua orang. Tidak perlu lagi arahan ataupun bunyi gendang perang untuk mengiringi mereka. Tentera Xia yang sedang bergerak ketika itu telah berhenti dengan serta-merta kerana mereka mula merasakan mereka tidak akan dapat memenangi pertempuran ini.

Mereka tidak tahu bagaimana perasaan ini mula terjadi apabila ia secara perlahan-lahan telah merebak ke dalam seluruh jiwa tentera melalui pandangan mata mereka. Ketika mereka melihat musuh-musuh yang sedang berdiri tegak di hadapan mereka, tentera Xia mula berasa takut dan pada masa yang sama berasa hormat terhadap musuh-musuh mereka itu.

Zhao Yang berdiri di barisan hadapan tenteranya dengan wajah yang serius. Ketika dia memandang ke arah wanita muda yang dibasahi oleh kesan darah dan masih utuh berdiri, perasaan hormat mula terbit di dalam hatinya untuk wanita itu. Akhirnya, dia melompat turun dari kudanya dan menanggalkan topi yang dipakainya. Dia menghadap 100,000 orang tenteranya, 5000 orang tentera Xiuli, yang masih hidup dan sudah mati, rakyat Yan Bei yang ramai dan banyak pasang mata yang sedang memerhatikan mereka dari Sempadan Longyin sebelum membuat keputusan untuk menunduk hormat.

Tentera Xia mengikuti perlakuannya dengan membongkokkan badan mereka ke arah musuh yang mereka pernah memandang rendah terhadap mereka. Kemudian, mereka mengulangi slogan pihak musuh, "Demi kebebasan!" Selepas itu,mereka terus berundur meninggalkan kawasan yang menjadi sunyi sepi. Ia kelihatan seperti apa yang telah berlaku seolah-olah mimpi apabila angin musim luruh bertiup melewati dataran berumput yang dipenuhi kesan darah itu.

Para pahlawan masih kekal di kedudukan mereka. Tiada di antara mereka yang jatuh kerana mereka takut yang Pasukan Tentera Xia akan berpatah balik untuk membunuh mereka.

Chu Qiao mengheret pedangnya dan bergerak ke hadapan pasukan tentera milik wanita itu sambil berdiri tegak. Langkah kakinya terasa berat dan wajahnya pula kelihatan pucat. Terdapat kesan darah milik orang yang tidak diketahui melekat di jubah hijaunya. Para askar tersebut hanya menatap wanita itu dengan rasa tidak percaya apabila mereka cuba menerima hakikat tentera Xia baru sahaja berundur. Wanita muda tersebut hanya terus berdiri di sana apabila angin yang bertiup menerbangkan rambut hadapannya yang menyentuh kening serta wajahnya. Suaranya berubah menjadi serak apabila air mata mula bergenang di matanya. Seperti Zhao Yang, dia juga menunduk hormat ke arah pasukannya dan berkata sepatah demi sepatah, "Para pahlawan sekalian, kita dah menang."

Bunyi teriakan yang semakin kuat bergema dari arah belakang. Suara-suara itu datang dari rakyat yang telah mereka lindungi dengan sepenuh hati mereka ketika berperang sebentar tadi berlari menuju ke arah askar.

Pasukan Tentera Xiuli yang diketuai oleh He Xiao memberi tabik hormat dan membongkokkan badannya sedikit ke arah Chu Qiao sambil berkata, "Jeneral, mesti sukar buat Cik Puan."

"Mesti sukar buat kamu semua juga." Langit mendung. Chu Qiao berdiri sambil air matanya mula mengalir perlahan dari matanya.