Pasukan Tentera Xia telah memberhentikan segala serangan namun mereka langsung tidak memberi sebarang tindak-tanduk yang menyatakan mereka bakal melepaskan pasukan gadis itu untuk beredar. Pengepungan bandar yang tidak berperikemanusiaan ini akhirnya telah bermula. Pada masa ini, Zhao Yang benar-benar memahami ketepatan maklumat yang baru sahaja didapatinya di mana Chu Qiao sememangnya telah berbalah dengan Yan Xun dan telah berniat untuk meninggalkan tanah Yan Bei tersebut. Selain daripada pintu gerbang Longyin yang tidak lagi akan terbuka buat pasukan ini, Yan Xun juga telah menyekat sebarang penggunaan Laluan Perairan di Sempadan Selatan yang membuatkan pasukan tentera Chu Qiao tidak mempunyai cara lain selain dari merempuh barisan pertahanan Xia. Semakin lama pemuda itu tercegat di situ, semakin kuat firasatnya yang menyatakan wanita itu bakal melepaskan diri tidak lama lagi.
Walaupun salji yang meliputi permukaan bumi semenjak 20 September yang lalu tidaklah terlalu tebal di persimpangan ini, tetapi ia masih turun dengan tegar. Rangsum Pasukan Tentera Xiuli hampir ketandusan dan mereka mungkin telah mati kebuluran lama dahulu jika rakyat jelata tidak menghulurkan segala juadah yang mereka jamah bersama dengan para askar di sana. Kesemua khemah yang telah didirikan untuk kegunaan para rakyat jelata, namun mereka masih lagi mendapat berita tentang warga emas dan juga anak-anak kecil yang baru sahaja mati beku. Kesemua ubat-ubatan yang disediakan sebelum ini sudah kehabisan juga sehingga para tentera yang mengalami kecederaan teruk tidak dapat menghirup air panas pun. Chu Qiao hanya mampu memerhatikan bagaimana kecederaan dan juga udara yang membeku ini mampu meragut nyawa ramai tentera yang gagah dalam menghalang kemegahan Pasukan Tentera Xia.
Setiap kali Chu Qiao ternampak seorang askar yang baru sahaja menghembuskan nafas mereka yang terakhir, ataupun melihat seorang anak kecil yang menggigil kesejukan, wanita ini berasa seperti dia ingin bergegas kembali ke Sempadan Longyin untuk memohon keampunan daripada Yan Xun, untuk merayu supaya pemuda itu dapat membantu rakyat-rakyat yang tidak bersalah ini. Wanita itu lantas tersenyum tanpa daya sambil menyaksikan segala kekuatan dan kecekalan hatinya pudar dan semakin memudar daripada tubuh badannya. Yan Xun benar-benar merupakan orang yang paling memahami isi hatinya. Mungkin, pemuda itu telah menyedari lama dahulu yang segala perkara ini bakal berlaku. Wanita ini tidak pernah berasa gentar akan peperangan, pembunuhan, mahupun kematian. Namun satu-satunya kelemahan Chu Qiao, wanita itu tidak akan mengorbankan orang yang dikasihinya dan orang yang telah menyokongnya daripada dulu lagi begitu sahaja. Dalam masa dua hari yang lalu, wanita ini telah cuba untuk merempuh keluar daripada pengepungan tersebut sebanyak empat kali, namun keempat-empat percubaan itu telah gagal sementara Zhao Yang pula telah melancarkan formasi pertahanan lengkap. Bukan sahaja pemuda itu tidak menyambut seruan mereka untuk bertempur dalam jarak dekat, malah pemuda itu langsung tidak mengendahkan serangan Chu Qiao. Setiap kali Pasukan Tentera Xiuli cuba untuk menyerang, mereka bakal dijemput dengan mata anak panah yang melayang ke arah mereka secara bertubi-tubi yang membuatkan banyak mayat yang bergelimpangan di atas tanah.
Ribut salji telah melanda kawasan tersebut pada malam 22 September di mana suhu cuacanya telah jatuh merudum. Dalam masa setengah malam sahaja, ia telah mampu menyebabkan lebih dari 50 kematian dalam kalangan para tentera yang tercedera dan juga lebih dari 80 kematian dalam kalangan rakyat jelata. Para rakyat sudah tidak mampu bertahan lagi dengan pertempuran dan cuaca buruk sebegini, jadi salah seorang wanita pertengahan umur telah beredar dari tapak perkhemahan mereka untuk bergegas ke Sempadan Longyin. Ia supaya wanita itu dapat memohon kebenaran untuk memasuki kawasan bandar. Setelah melihat kejadian itu, lebih ramai rakyat jelata yang beredar pergi meninggalkan tapak perkhemahan, mengembara merentasi angin kencang dan membeku untuk menuju ke arah kubu kota.
Dalam situasi ajal dan maut sebegini, perasaan takut akan kematian pasti akan menghurung jiwa raga setiap rakyat jelata apabila mereka membuat keputusan untuk mengabaikan pasukan tentera yang telah berjuang sehabis-habisan untuk menyelamatkan tanah air mereka. Para tentera Pasukan Xiuli hanya merenung setiap kejadian yang berlaku di hadapan mata mereka tanpa mampu menguturkan sebarang kata dan tanpa sekali pun menghalang rakyat jelata. Para tentera ini hanya mampu memerhati rakyat jelata yang sedang merintih kesedihan tanpa sebarang emosi.
Seorang tua yang sedang menangis telah bergegas ke arah Chu Qiao sambil mengendong seorang anak kecil di dalam dakapannya. Pernafasan anak kecil itu sangat lemah sehingga ia tidak mampu didengari oleh sesiapa. Orang tua itu ingin melafazkan sesuatu dengan wajah yang penuh dengan kekecewaan, namun tangisan sahaja yang mampu terkeluar dari tekaknya. Anak kecil itu telah bertukar sepucat-pucatnya. Chu Qiao menyedari jika dia tidak membawa anak kecil itu ke tempat yang hangat dalam beberapa minit, budak itu pasti akan mati tidak lama lagi. Wanita itu lantas terasa bagaikan tekaknya sedang tercekik akibat sesuatu. Dia tidak berasa marah mahupun berasa sedih. Sudah semestinya dia tidak menghukum rakyat jelata kerana telah memutuskan untuk meninggalkannya. Sebagai seorang tentera, wanita ini tidak mempunyai sebarang alasan lain apabila dia tidak mampu membantu mahupun melindungi rakyat-rakyat negaranya daripada kematian. Wanita ini tidak lagi mampu membalas renungan mata yang berbaur rasa bersalah yang telah dilemparkan orang tua itu kepadanya kerana dia berasa lebih bersalah pada waktu itu. Jadi, Chu Qiao hanya menundukkan wajahnya dalam kesepian sebelum menyatakan emosi sebenarnya.
'Maafkan saya.'
Seluruh landskap di situ telah bertukar putih di dalam kekencangan ribut salji. Pegawai yang sedang berada di atas tembok bandar berlaung, "Jangan datang dekat! Berundur! Berundur!" Namun, tiada sesiapa yang mengendahkan pemuda itu apabila suaranya ditenggelami kehuru-haraan rakyat jelata. Mereka telah menyerbu pintu gerbang bandar sambil merintih dan mengetuk pintu bandar dengan seluruh tenaga mereka, bersorak, "Buka pintu gerbang! Kami rakyat Yan Bei, kenapa kamu semua tak mahu buka pintu gerbang ini?" Suara itu bagaikan mampu menikam angkasa, membuatkan para tentera Sempadan Longyin terpana. Mereka sendiri telah menyaksikan pertempuran yang berlaku dua hari lepas. Pada saat ini, tiada seorang pun di antara mereka yang berharap agar mereka bakal menghunus pedang mereka ke arah rakan-rakan seperjuangan mereka dahulu, apatah lagi ke arah si mereka yang sedang mengetuk pintu bandar ini yang hanyalah rakyat jelata sahaja. Jadi, mereka berdiri tercegat di atas tembok bandar itu sambil pemikiran mereka bercanggah di antara prinsip moral dan tugas.
"Buka pintu gerbang!" Para rakyat menghentakkan diri mereka ke pintu gerbang bandar. Ada sesetengah daripada mereka yang kehilangan kestabilan diri dan terjatuh, namun mereka terus dipijak-pijak sehingga patah-riuk tulang mereka oleh si mereka yang tidak sabar untuk menyerang pintu gerbang itu sekali lagi. Bunyi rintihan dan tangisan bergema di seluruh dataran sementara salji lebat terus berarak turun tanpa henti.
"Berundur! Kalau tidak, kami akan panah kamu!"
"Jangan panah kami! Kami hanya rakyat biasa saja!"
"Tolong! Tolong selamatkan anak saya!" Seorang wanita berlari ke hadapan dan melutut di atas tanah sambil memegang anaknya yang sudah tidak bertenaga untuk merintih. Wanita itu merayu, "Awak boleh memilih untuk tak selamatkan saya, tapi tolonglah selamatkan anak saya!"
"Buka pintu gerbang! Buka pintu gerbang! Bagi kami masuk!"
…
"Cik Puan Chu!" Pegawai yang memimpin garison itu berteriak, "Kembali ke sini! Kalau Cik Puan tak kembali, kami tak boleh buka pintu gerbang! Itu perintah Tuanku! Selagi Cik Puan kembali, kesalahan lama Cik Puan akan diampunkan!"
"Kesalahan lama Cik Puan akan diampunkan!" Suara beratus-ratus pengawal yang berada di atas tembok bandar itu bergema serentak, membuatkan ia kedengaran seperti guruh yang berdentum di hujung dataran. Orang ramai merenung wanita itu bagaikan mereka telah bertemu dengan penyelamat mereka. Tiba-tiba, semua orang berpaling ke arah Pasukan Tentera Xiuli dan mula berteriak.
"Cik Puan! Mari kita balik!"
"Cik Puan! Selamatkan kami! Baliklah dengan kami!"
"Cik Puan! Kembali dan pohon keampunan daripada Tuanku!"
"Cik Puan!" Wanita yang memegang anaknya tadi terus meluru daripada belakang khalayak ramai itu sehingga dia tersadung dan terjatuh. Anak kecil yang berada di dalam kandungannya itu tercedera, jadi dia pun lantas meraung sekuat hatinya. Nadanya kedengaran lebih lantang dan tajam daripada bilah pedang Pasukan Tentera Xia. Wanita tersebut merintih, "Cik Puan! Saya merayu pada Cik Puan! Selamatkan anak saya! Cik Puan, tolonglah! Selamatkan anak saya!"
Pada malam yang dingin itu, Pasukan Tentera Xiuli berdiri membeku tanpa bergerak walaupun seinci sambil merenung ketua mereka tersebut. Hati Chu Qiao bagaikan telah dirobek-robek sehingga jutaan kepingan kecil sementara wanita itu menggigit bibirnya kuat, lantas mulutnya diselubungi dengan rasa besi. Tangannya sejuk membeku sehingga jari-jemarinya juga menggigil.
'Yan Xun, Yan Xun, awak dah menjangkakan yang semua ini akan berlaku, kan? Awak dah menjangkakan semua ini. Sekarang ini, awak sedang menunggu di dataran di luar Beishou dengan senyap dan berharap untuk saya balik dan meminta maaf kepada awak ke?'
Ribuan rakyat Yan Bei berlutut di hadapan Chu Qiao bersama bunyi teriakan dan rintihan yang bergema di latarbelakang kawasan tersebut sebelum seorang demi seorang bersujud di atas tanah bersalji dan menangis. Mereka telah bersumpah setia kepada wanita ini beberapa hari yang lalu dan telah berlaungkan "Demi kebebasan" bersama-samanya. Namun, kini mereka bersujud dan merayu kepadanya untuk memohon keampunan daripada Yan Xun.
Realiti yang sedang dihadapinya kini begitu kejam, namun tiada apa yang mampu dilakukan Chu Qiao.
Wanita ini tidak lagi mampu menangis kerana matanya sudah lekok dengan air mata. Kekalahan yang ditanggungnya kini terasa tawar di dalam mulutnya. Takdir telah menolak dia ke dalam jurang kekecewaan di mana setiap langkah yang diambil wanita ini bakal berakhir dengan jalan mati.
"Cik Puan." He Xiao melangkah dan berdiri di belakang Chu Qiao dengan tegas sambil merenung wanita tersebut dengan kebimbangan dan juga simpati yang jelas terpampar dalam anak matanya. "Cik Puan…" Pemuda itu ingin memujuknya, namun dia tidak tahu apa yang harus diuturkan. Seluruh kejadian yang telah berlaku beberapa hari yang lalu terasa begitu aneh dan gila buat dirinya sendiri. Dunia yang sedang diharunginya ini begitu luas, namun mengapakah mereka tidak mempunyai sebarang tempat untuk dituju?
"He Xiao." Chu Qiao mengeluh. Pada saat ini, wanita itu terasa seperti setiap butir darahnya telah pun membeku dan kini dia sedang dihurung dengan kepiluan yang begitu dahsyat sehingga dia terasa seperti ingin mati saja. Namun, dia menggagahkan dirinya dan mengarahkan, "Arahan untuk seluruh pasukan tentera kita. Kita akan…" Pada saat itu, bunyi telapuk kuda menderap laju tiba-tiba bergema daripada belakang mereka. Para Tentera Xiuli lantas menoleh ke arah bunyi telapuk tersebut untuk melihat Bendera Xia yang sedang megah berkibar mendekati mereka. Zhao Yang telah menyerang mereka sekali lagi!
"Arahan untuk seluruh pasukan tentera kita! Serang Pasukan Tentera Xia!" Buat pertama kalinya dalam hidup Chu Qiao, dia merasakan yang Pasukan Tentera Xia itu begitu menakutkan sehingga dia berasa terdesak untuk meninggalkan dilema ini. Namun, wanita ini tidak mengetahui jika ia akan dianggap berakhlak jika dia terus berfikiran sebegitu. Lagipun, Pasukan Tentera Xia sedang menyerang dan prioriti utamanya untuk berlawan! Wanita ini lantas berasa bersyukur kerana dia tidak perlu membuat keputusan sebegitu pada saat ini walaupun dia perlu menerima padah yang besar tidak lama lagi.
"Tuanku! Pihak musuh dah bersedia untuk menyerang!"
"Batalkan serangan!" Arah Zhao Yang, "Kita akan beredar selepas mendekati mereka."
"Hah?" Pegawai bawahannya terpana apabila mendengar kata-kata pemuda itu. Dia tidak boleh menghentikan dirinya daripada bertanya, "Kenapa?"
Zhao Yang tidak membalas buat masa yang lama sementara pemuda itu merenung ke kejauhan sebelum berkata rendah, "Kita tak boleh biarkan perempuan itu kembali ke Yan Bei."
Sesi kejar-mengejar itu berlangsung buat semalaman. Pasukan Tentera Xia bagaikan telah menganggap medan pertempuran di Sempadan Longyin ini seperti sebuah taman permainan. Setelah beberapa lama, mereka akan berlagak seperti mereka akan menyerang Pasukan Tentera Xiuli. Hanya apabila matahari pagi menikam kabus pagi yang tebal itu sahaja barulah mereka membunyikan hon perunduran dan kembali ke tapak perkhemahan mereka.
Chu Qiao memimpin pasukan tenteranya yang kepenatan itu lantas dapat melihat renungan khalayak ramai dengan senyap bersama deretan mayat yang telah tersusun kemas di hadapan pasukan tentera tersebut. Mereka yang masih hidup dan bernafas pada hari sebelum itu kini tidak lagi bernyawa, terkulai layu di atas tanah di hadapan mereka. Salji telah pun mula menimbun di atas wajah mereka, sekaligus menenggelamkan ciri-ciri wajah seorang manusia.
Khalayak ramai mula beredar setelah melihat pertempuran tersebut sudahpun menemui pengakhirannya. Sealiran manusia itu semakin meningkat sehingga menjadi sebuah sungai dan akhirnya bertukar menjadi selautan. Namun, mereka tidak bergerak ke arah Sempadan Longyin, malah sedang menuju ke Sempadan Yanming, tapak perkhemahan Pasukan Tentera Xia.
"Patah balik!" Pingan yang berdiri di sisi Chu Qiao itu menjerit. Dia telah membuat keputusan untuk menghalang orang ramai itu supaya kembali, namun pemuda itu telah ditolak ke tepi sehingga dia terjatuh di atas salji. Dia masih berteriak di atas tanah, "Patah balik! Jangan pergi!"
Akan tetapi, tiada sesiapa yang mengendahkannya. Khalayak ramai kian menghilang di sebalik ribut kencang itu dan menghala ke arah pasukan tentera Zhao Yang. Mereka meraih tangan mereka tinggi sebagai tanda menyerah kalah sebelum berkali-kali mengulangi kenyataan yang mereka hanyalah rakyat jelata biasa.
Sekumpulan tentera bergerak ke hadapan daripada formasi pasukan Zhao Yang. Ribuan rakyat tersebut lantas melutut di atas tanah sambil tangan mereka masih lagi diraih tinggi sebelum bersujud di hadapan mereka. Suara tangisan rakyat jelata dan juga ketawa para askar Xia bergema kuat di kejauhan. Para pahlawan Xiuli masih lagi membenamkan kaki mereka dengan kukuh di atas tanah, namun ada juga yang menangis dalam diam. Tetapi, tiada sesiapa yang mampu berkata apa-apa. Apa lagi yang mampu mereka katakan? Bolehkah mereka menggalakkan niat rakyat jelata yang tidak bersenjata ini untuk menentang pihak musuh? Bolehkah mereka janjikan yang rakyat jelata ini bakal diselamatkan? Salji masih turun dengan kencang sementara hati Chu Qiao bagaikan telah bertukar menjadi ibun abadi yang tidak pernah mendapat sinaran mentari buat berkurun lamanya apabila dia merenung segala yang berlaku di hadapannya itu dengan mata yang lopong. Para dewa juga bagaikan sedang terkaku sementara musim sejuk Tahun 778 akhirnya bermula sambil berlatarbelakangkan bendera peperangan yang sedang berkibar megah.
Angin kencang bertiup di seluruh kawasan pada September Ke-25 manakala salji pula berarak turun bagaikan gula-gula kapas yang sedang terapung bersama derusan angin. Pintu keluar kurungan bawah tanah telahpun diliputi dek salji yang tebal sementara makam pusaka pula telah dihiaskan dengan lantera putih. Para pembantu kediaman yang sedang berjalan di sekeliling kawasan semuanya sedang memakai pakaian serba putih, dengan sutera putih dan juga debi-debuan yang berterbangan di udara. Hanya sebatang lilin kesunyian saja yang sedang menyinari seluruh ruang bilik dewan di dalam istana tersebut, bersinar bersendirian di dalam kegelapan dan lantas membentuk sebuah bayangan pemandangan yang panjang.
Sebuah kelibat yang sepi berdiri di dalam dewan pusaka tersebut. Cahaya lilin yang menyinari dewan bagaikan tidak mampu menerangkan wajah pemuda itu yang kelihatan amat suram semasa dia berdiri membelakangi lilin. Wajahnya terlindung dek kegelapan, namun botol-botol wain jelas kelihatan di atas meja di hadapan pemuda itu. Sesetengah daripadanya yang telah pun habis diminum dan dibaringkan sementara bau alkohol menyelubungi setiap ruangan udara di dalam dewan tersebut. Pemuda itu tidak pernah menggemari alkohol, namun dia kerapkali mabuk bersendirian di dalam dewan tersebut sepanjang tiga hari ini.
Walaupun bau alkohol telah merebak di setiap pelosok dewan semenjak tiga hari yang lepas, tetapi mengapakah pemuda ini masih lagi tidak berasa penangannya?
Kediaman istana itu masih lagi sunyi sepi dan gelap dengan hanya sebatang lilin yang sunyi sahaja yang berkelip menerangi seluruh kawasan itu. Manakala di luar, angin kencang pula yang bertiup menghentam pintu kediaman dan seombakan demi seombakan empingan salji menumbuk dinding. Semasa pemuda itu sedang terduduk sendirian, dia seolah-olah dapat mendengar dentuman gendang peperangan, bunyi gemersik persabungan bilah pedang semasa para pahlawan meraih pedang mereka dan menyerang pihak musuh dan juga teriakan keperitan rakyat jelata yang merayu demi tanah air mereka sendiri. Darah yang mengalir menjadi sebuah sungai telah menghakis rumput menghijau Yan Bei dan juga tembok bandar Sempadan Longyin yang megah sementara juga membasuh segala perasaan pemuda itu buat wanita itu.