Memang benarlah, He Xiao akan sentiasa berada di sampingnya. Pasukan Tentera Xiuli juga masih setia bersamanya. Jadi, wanita ini bukanlah tidak mempunyai sebarang bantuan dalam pengembarannya. Namun, tidak lama kemudian, selapisan debu tebal yang berwarna putih tiba-tiba melewati bandar itu melalui arah Sempadan Yanming. Para pengintip lalu bergegas kembali untuk melaporkan. "Cik Puan, dalam 10 kilometer daripada lokasi kita sekarang ini, Zhao Yang sedang memimpin pasukan tenteranya yang seramai 100,000 orang itu untuk menghala ke arah kita! Kalau kita tak tinggalkan Sempadan Longyin, mereka pasti akan menyerang kita."
Pada ketika itu, Chu Qiao hampir terasa seperti dia ingin ketawa terbahak-bahak.
'Yan Xun, Yan Xun, hebat betul rancangan awak untuk saya!'
Pemuda itu langsung tidak melengah-lengahkan masa daripada memerintahkan para tentera di sana untuk membuka pintu gerbang sempadan dan lantas membenarkan wanita itu keluar. Yan Xun juga telah memusnahkan segala kelebihan Chu Qiao dalam kepantasan kumpulannya yang dahsyat dengan menggunakan rakyat jelata untuk melengahkannya. Manakala pemuda itu telah menggunakan pasukan tentera Xia sebagai pion untuk menghalang laluan wanita itu. Walaupun jika Empayar Xia mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah berlaku, namun mereka juga tidak mampu merisikokan seorang pemimpin ketenteraan Yan Bei untuk memasuki sempadan mereka. Walaupun jika mereka mengetahui yang Yan Xun mungkin sedang berkomplot tentang sebuah rancangan sulit, namun pertempuran ini bakal meletus juga.
Mungkin dalam pertempuran-pertempuran kecil sebegini, Chu Qiao dapat menggunakan salah satu taktik ataupun strateginya untuk mengalahkan Yan Xun. Tetapi dari segi mengesyak tindak-tanduk pihak musuh dan juga untuk menyabung kedua-dua belah pasukan tentera ke arah satu sama lain, wanita ini tidak mungkin akan menandingi kepakaran Yan Xun.
Perasaan takut mula merebak dalam diri setiap rakyat yang juga telah tersedar akan debu yang berterbangan dari kejauhan. Walaupun ramai daripada mereka yang berkeyakinan tinggi kerana Cik Puan Chu bakal berentap bersama mereka, namun mereka tidak dapat menahan diri mereka daripada menggigil ketakutan setelah berfikir secara logik tentang pasukan tentera gergasi Xia yang bakal dirempuhi Pasukan Tentera Xiuli yang hanyalah seramai 5,000 orang tentera.
He Xiao kembali ke kaki Sempadan Longying, lantas beberapa orang bawahannya berteriak, "Garison, tolong buka pintu gerbang ini supaya rakyat jelata boleh masuk ke dalam!"
Sebuah suara yang acuh tak acuh membalas setelah para tentera itu berteriak sebanyak tiga kali, "Perintah daripada Maharaja menyatakan yang kalau mereka ingin masuk ke dalam bandar ini, Pasukan Tentera Xiuli kena masuk dulu."
"Pasukan Tentera Xia akan datang sekejap saja lagi! Tolonglah beri rakyat jelata masuk!"
"Perintah daripada Maharaja, Pasukan Tentera Xiuli kena masuk dulu." Perintah itu bergema sekali lagi semasa ia telah dikendong angin di luar Sempadan Longyin. Chu Qiao segera mengepalkan penumbuknya semasa dia meraih wajahnya untuk merenung Bendera Helang Hitam yang menghiasi tembok bandar.
"Cik Puan?" Ada beberapa orang askar yang sedang bertanyakan arahan seterusnya daripada wanita itu.
"Cik Puan!" Suara para askar semakin lantang dan jelas semasa lebih ramai daripada mereka yang mengerumuni Chu Qiao untuk menunggu arahannya.
"Cik Puan, apa yang patut kita buat?" Beberapa orang awam telah mula diragut perasaan panik. Anak-anak kecil bagaikan mengerti dengan apa yang bakal dihadapi mereka dengan perasaan gementar dan mereka mula menangis sambil situasi tersebut terjebak ke dalam kehuru-haraan yang tidak dapat tertanggung.
"Cik Puan, apa yang patut kita buat?"
"Cik Puan, pihak musuh semakin dekat."
"Cik Puan, pergi ke bandar. Lebih baik kalau kita mengelak daripada sebarang konflik."
"Cik Puan, balik dan pohonlah keampunan daripada Tuanku. Saya pasti yang dia akan maafkan Cik Puan."
"Cik Puan, kita akan bertempur hingga ke akhirnya! Cik Puan hanya perlu berikan arahan kepada kami!"
"Cik Puan, Cik Puan, Cik Puan…"
'Yan Xun, ini ke yang awak idamkan?' Chu Qiao mendongak untuk merenung langit yang terbentang luas di atas kepalanya sambil segala harapan dan impian Chu Qiao yang telah disematkan wanita itu ke dalam diri pemuda itu hancur berderai.
'Apa yang awak harapkan? Awak nak tengok saya keseorangan tanpa sebarang bantuan ke? Awak nak tengok saya dikepung oleh pihak musuh? Awak nak tengok yang saya melarikan diri dengan penuh tak berdaya dan bergegas ke sisi awak untuk meminta pertolongan ke?
Yan Xun, awak dah tersalah anggap.'
"Pahlawan semua! Kamu semua dah nampak apa yang terjadi beberapa hari lalu." Chu Qiao yang terduduk tegak di atas kuda lantas memulakan ucapannya sementara tangannya dihulurkan untuk menenteramkan bunyi bising. Dengan nada suara yang serius dan mendalam, dia meneruskan, "Raja kita, Maharaja Yan Bei, dah lupakan semua janji-janji lamanya. Dia juga dah mengkhianati kata-kata yang kami telah janjikan sambil bersaksikan tanah Yan Bei dan juga Gunung Hui Hui. Rakyat jelata di Changqing itu sekarang sudah bertukar menjadi tengkorak dan makanan untuk burung-burung hering saja, manakala Da Tong pula dibunuh dengan kejam oleh pasukan tentera yang hanya setia pada Tuanku. Encik Wu dah mati. Cik Puan Yu dah mati. Puteri Huanhuan dah mati. Jeneral Xiaohe dah mati. Jeneral Biancang dah mati, Jeneral Xirui dah mati. Jeneral Ah Du dah mati. Mereka semua dah dibunuh oleh lelaki yang terlalu bercita-cita tinggi, lelaki yang hanya mengidamkan untuk meluaskan empayarnya ini demi mengukuhkan pengaruh kuasanya. Sekarang ini, kita sedang berada di tempat pancungan kepala. Pahlawan semua, di depan kamu ini berdirinya Pasukan Tentera Xia yang seramai 100,000 orang tentera kuatnya yang sedang menunggu saat untuk menghapuskan kita. Di belakang kita terletaknya Pasukan Tentera Yan Bei, sebuah tentera yang dah mula reput jiwa mereka. Mereka itu bersedia untuk menolak kita ke dalam api kebakaran, membunuh kita di saat kita berpatah balik ke sana untuk mencanang-canangkan kepada orang ramai yang kita ini penakut. Di sebelah kita ada sekumpulan rakyat jelata yang telah meninggalkan kampung halaman mereka. Pahlawan semua, apa yang patut kita buat?" Suaranya yang dingin dan tidak beremosi itu satu-satunya bunyi yang boleh didengari di tengah-tengah dataran yang luas itu. Tiada sesiapa yang membalas kata-katanya, hanya merenung sahaja wanita itu dengan perasaan semangat fanatik.
Chu Qiao segera melonjak turun daripada kudanya. Dia berteriak sambil menuding jarinya ke arah para tentera tersebut, "Kita akan berpatah balik dan menjadi hamba kepada seorang diktator ke? Kita akan dijadikan sebagai bahan lekehan pembelot-pembelot yang telah berpaling tadah terhadap janji-janji mereka ke? Atau kita akan abaikan rakyat jelata dan cuba melarikan diri ke? Ataupun kita akan berhadapan dengan pihak musuh yang berjumlah 20 kali ganda besarnya daripada saiz pasukan kita, sekaligus mempamerkan perasaan bangga dan maruah yang sepatutnya dirasai oleh setiap orang askar?" Chu Qiao bersorak, "Pahlawan semua, kamu nak terus hidup tak?"
"Ya!" Suara para tentera dan juga rakyat jelata bercampur apabila membalas laungan Chu Qiao, lantas menikam udara sehinggalah ke kepulan awan dan membuatkan para burung untuk terbang pergi.
"Kamu semua nak jadi pembelot ke?"
"Tak!"
"Ajal maut ataupun pemberontakan, apa pilihan kamu?"
Khalayak ramai itu terus berlaung kembali untuk membalas persoalan Chu Qiao, "Kesetiaan kepada Da Tong, walaupun dalam kematian!"
Chu Qiao berlaung sekali lagi apabila dia berhadapan dengan angin kencang, "Pahlawan dan rakan seperjuangan semua. Ikutlah saya, dengarlah arahan saya. Walaupun kalau kita mati pada hari ini, kita akan gunakan darah kita untuk memberi percikan kemenangan terakhir buat Da Tong! Kepala kita boleh dipenggal dan bergolek di atas medan pertempuran, darah kita boleh mengalir mewarnai seluruh pemandangan, tapi kepercayaan kita tak akan boleh diganggu-gugat! Hidup Yan Bei! Hidup Da Tong! Hidup kebebasan!
Sorakan yang sungguh lantang lantas bergema kuat sehingga ia mampu membelah permukaan bumi sambil beribu-ribu pasang tangan diraih ke udara dalam sorakan, "Hidup Cik Puan!"
Musim sejuk bagaikan telah datang menjenguk mereka tanpa sebarang khabar berita. Bulan itu masih lagi bulan September, namun lapisan salji yang nipis telah pun mula meliputi permukaan bumi sekaligus menyaluti pokok-pokok bunga yang baru sahaja mekar pada musim bunga. Pasukan Tentera Xia telah berundur sekali lagi. Serangan berskala besar oleh empayar itu yang digeruni rakyat Yan Bei tidak pernah dlancarkan walaupun mereka telah memasuki hari ketiga pengepungan. Zhao Yang telah mengepung sempadan tersebut dengan penuh waspada untuk menghalang Chu Qiao daripada melarikan diri. Namun, segala perkara yang sedang bermain-main di dalam fikiran pemuda itu kini telah menjadi terlalu rumit. Dia berasa risau jika segala maklumat yang telah didapati mengenai Chu Qiao itu hanyalah perangkap yang telah dipasang oleh Yan Bei, namun pemuda itu juga berasa risau jika dia terlepas peluang keemasan ini di mana Yan Bei dan Chu Qiao benar-benar telah berpaling tadah terhadap satu sama lain. Dia benar-benar berharap yang dia dapat menghapuskan empayar Chu Qiao iaitu salah seorang jeneral pihak musuh yang terhebat yang penah dikenalinya. Lagipun, segala berita mengenai perbalahan Yan Xun dengan Chu Qiao telah sampai ke rongga telinganya sepanjang dua tahun yang lalu, jadi ia sememangnya agak mustahil untuk mengatakan Zhao Yang tidak mempedulikan segala hal yang sedang berlaku.
Pada malam hari tersebut, Chu Qiao berdiri di atas puncak sebuah bukit yang agak tinggi sambil memerhatikan seluruh medan pertempuran yang berada di hadapannya, bertemankan angin yang bertiup kencang. Angin malam tersebut telah menerbangkan rambut-rambutnya dengan lemah-lembut, membuatkan ia kelihatan seperti sekumpulan burung layang-layang berwarna hitam. Pertempuran itu telah berlangsung selama tiga tahun. Sempadan Longyin kini telah dibina beberapa kaki lebih tinggi daripada Sempadan Yanming, menjulang tinggi sambil memerhatikan dua kumpulan tentera yang sedang menunggu sambil mengapit beberapa ladang berumput yang berparas pinggang. Angin musim luruh bertiup menderu ketika ia melintasi kawasan tersebut bagaikan seombak lautan berwarna putih, menyilaukan cahaya keperakan sang bulan yang indah. Salah seekor daripada sekumpulan burung gagak yang juga berterbangan melintasi seluruh medan peperangan sekaligus telah mengheret empingan salji bersama apabila ia menoleh ringan ke arah rumput yang panjang itu sebelum mengangkat sesuatu yang berwarna putih dan terbang pergi.
Dengan sekilas pandangan sahaja Chu Qiao boleh mengenal pasti objek yang telah dicuri oleh burung gagak tersebut daripada tanah. Diri wanita ini lantas dihurung kesedihan dan kengerian apabila dia melihat seombakan yang berwarna putih di hadapannya. Berapa ramaikah yang telah mengorbankan nyawa mereka di sebalik rumput panjang yang melambai tenang ini?
Pertempuran ini bagaikan sang raksasa yang gemar menghadam daging manusia. Manakala, angin di dalam era mengerikan ini mampu menerbangkan pondok-pondok usang yang telah kehilangan tuannya. Bunyinya menderu tanpa henti seperti ia sedang bersenandungkan sebuah lagu yang merentasi ruang dan masa, namun mungkinkah Chu Qiao dianggap sebagai dalang kepada segala kematian dan kehancuran ini?
"Ah Chu…" Sebuah suara masih lagi bergema di sebalik kegelapan, seolah-olah sedang memanggil jiwa dan raganya, "Ah Chu…"
Ia suara yang telah didengarinya sehari-harian buat 2,000 malam yang lalu. Pemuda itu meromok di sisi wanita ini sebelum menarik selimut Chu Qiao dan bertanya dengan penuh waspada, "Ah Chu, awak masih sejuk lagi ke?"
Malam itu merupakan antara malam yang terdingin yang penah diharungi Chu Qiao kerana angin kencang begitu kerap menarik angin dingin menyusupi tingkat bilik mereka yang nipis, lantas membekukan seluruh bilik itu. Namun, tidak lama kemudian ia bertukar menjadi sekumpulan burung yang telah hilang di sebalik warna putih yang merebak sehingga ke kaki langit.
Kehidupan ini mungkin bagaikan sebuah permainan catur yang tidak boleh dimahiri sesiapa pun. Seseorang itu pasti tidak akan sedar akan masa yang sempurna untuk melancarkan serangan mereka, apatah lagi apabila masa depan terasa gelap sahaja. Mereka juga sudah kehabisan strategi yang bernas. Namun, pertempuran ini masih perlu diteruskan jadi mereka hanya mampu memberikan sedaya upaya mereka untuk meneruskan kehidupan. Walaupun semakin ramai yang menyedari pemuda itu hanya sedang menjauhkan dirinya daripada kemenangan yang didamba-dambakannya tidak kiralah strategi yang mereka lancarkan.
Wanita itu memejamkan matanya perlahan-lahan sebelum memori demi memori bersama wajah-wajah yang penting baginya tiba-tiba terlayar di minda. Chu Qiao dapat melihat wajah si budiman Encik Wu, si tenang dan cerdik pandai Cik Puan Yu, si comel dan bertenaga Huanhuan, si baik hati dan merendah diri Xiaohe. Wanita ini lantas terkenangkan Xue Zhiyan yang telah terkorban akibat ingin memberi amaran kepadanya, Wen Yang yang telah mati kerana ingin melindungi panji pasukan tentera mereka dan tidak lupa juga Feng Ting, Mu Rong dan Wu Danyu yang telah menyerang para musuh secara berseorangan, sekaligus mengorbankan diri mereka disebabkan panahan daripada pihak musuh tanpa henti. Wajah para tentera Xiuli dan rakyat jelata dari Shangshen, Pergunungan Hui Hui, dan Beishou juga tiba-tiba terlintas di ingatan Chu Qiao sebelum dia mengingati wajah Cao Mengtong yang membunuh dirinya sendiri sebelum meminta keampunan atas segala kesilapannya dan juga wajah para ahli-ahli terhormat Da Tong.
Pasukan Tentera Xiuli setia berdiri untuk mengawal dan melindungi ribuan rakyat jelata yang langsung tidak bersenjata walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pasukan bantuan mahupun makanan di dalam cuaca membeku ini. Akan tetapi, pihak musuh menjadi semakin tidak senang duduk dan cemas apabila menyaksikan yang musim sejuk bakal menjemput negara itu tidak lama lagi dan membuatkan salji tebal untuk meliputi seluruh tanah Yan Bei.
Chu Qiao mendongak ke atas apabila dia merasakan seolah-olah sepasang mata sedang membalas renungan matanya. Mata tersebut telah lama tenggelam ke dalam sebuah jurang gelap dan membeku sambil merenung wanita ini dengan senyap, tanpa sebarang perasaan marah mahupun sinis. Hanya ketenangan sahaja yang mengurung jiwa pemuda itu semasa dia kerapkali mengulangi ayat tersebut, 'Teruskan kehidupan…'
'Saya tahu.' Chu Qiao tersenyum kembali kepada langit yang kosong itu sebelum berkata dengan nada rendah, "Saya pasti akan teruskan kehidupan."
Wanita ini lantas ternampak sederetan khemah yang telah didirikan dengan kemas semasa Chu Qiao berpatah balik dan dia pun menyatakan dengan senyap, "Saya pasti akan melindungi awak."
Pasukan Tentera Xia yang seramai 130,000 tentera itu akhirnya berjaya melancarkan pengepungan di Sempadan Longyin yang lengkap pada musim luruh Tahun 778 menurut Kalender Baicang. Ia sekaligus membuatkan para tentera dan rakyat jelata di bandar tersebut tidak mempunyai sebarang jalan keluar untuk menyelamatkan diri mereka sendiri. Apatah lagi apabila segala jenis senjata berjarak jauh telah dipindahkan ke sana, maka ia telah mempamerkan lagi ketidakadilan pertempuran yang bakal tercetus ini.
Zhao Yang langsung tidak berasa cemas atau bimbang apabila berdepan dengan Chu Qiao walaupun wanita itu telah mengalahkannya sebanyak dua kali apabila mereka bertempur di Chidu dan Beishou dahulu. Pertama sekali, Sempadan Longyin dan Sempadan Yanming berada di dalam jarak yang dekat. Pemuda itu juga mempunyai pasukan bantuan yang mencukupi untuk menolong mereka, jadi dia dengan mudahnya boleh kembali ke kubunya walaupun jika dia mendapat tahu segalanya merupakan sebuah perangkap buat dirinya. Keduanya, Chu Qiao tidak boleh bergerak ke mana-mana bandar mahupun mempunyai sebarang senjata yang berkuasa. Wanita itu pasti tidak akan dapat menentang pasukan Zhao Yang yang seramai 100,000 orang tentera bersenjata lengkap itu dengan pasukannya yang seramai 5,000 tentera berkuda ringan dan ramai rakyat jelata itu. Ketiga, para pengintip yang telah dihantar pemuda itu ke Yan Bei akhirnya telah kembali dengan beberapa maklumat. Kira-kira seminggu yang lalu, Yan Xun telah mengalami perbalahan yang besar dengan Chu Qiao di luar Beishou yang menyebabkan kematian puluh ribuan nyawa tentera. Bukan itu sahaja, malah semua pegawai Da Tong juga telah sama ada ditangkap ataupun dibunuh dan Chu Qiao sahaja yang tinggal. Walaupun jika ini semuanya hanya sebuah perangkap sahaja, Zhao Yang masih merasakan Yan Xun itu seorang yang sungguh kejam dan dia juga tidak mahu berada sebumbung dengan pemuda itu.
Pada subuh hari ke-18 bulan September, bunyi dentuman gendang dan semboyan tentera berbunyi megah memecah kesunyian ketika matahari terbit, membuatkan setiap anggota tentera Xiuli dan setiap rakyat jelata terasa bagaikan jantung mereka telah dipanah petir.
Pasukan Tentera Xia yang berwarna kelabu itu ternampak seperti sebuah lautan yang dipenuhi dengan besi dan logam yang merebak sehingga ke kaki langit dataran berumput itu apabila mereka dipancarkan dek cahaya mentari subuh yang menikam kabus pagi. Bunyi dentuman tapak kaki mereka yang menghentak tanah untuk mara ke hadapan bergema kuat, membuatkan bulu roma setiap anggota tentera meremang tinggi apabila mereka dapat merasakan bumi bergegar. Para rakyat jelata merintih dan merayu sementara memeluk diri masing-masing, meromok ketakutan apabila berhadapan dengan sekumpulan tentera musuh yang tidak dapat dikalahkan, membuatkan wajah mereka bertambah pucat bagaikan mereka ini sekumpulan debu yang bakal ditenggelami air terjun.
"Oh tidak!" Seseorang berlaung, "Apa itu? Ada runtuhan salji ke?"
"Bersedia!"