Chu Qiao sebenarnya terjaga sepanjang masa. Namun, dia hanya tidak sanggup untuk membuka matanya sahaja. Dia tahu ramai orang yang sedang bergerak di sekelilingnya, malah ada juga sesetengah daripada mereka yang sedang memanggilnya sambil menangis. Ada yang menyuapnya ubat, manakala yang lain hanya memandangnya diam-diam dan tidak berani untuk menghampirinya.
Dia sedar akan segala perkara yang sedang berlaku di sekelilingnya, tetapi dia tidak sanggup untuk bangun. Dia terlena dan terjaga daripada tidurnya dengan hati yang dingin tanpa sebarang perasaan. Dia mengalami mimpi buruk yang sama berulang kali dan dalam mimpinya itu dia terasa dingin sahaja sambil terapung-apung di dalam tasik berais yang gelap gelita itu, dia terasa ais menyentuh kulitnya. Zhuge Yue menghadapnya tatkala dia tenggelam ke dalam tasik dengan lebih dalam. Satu kilauan cahaya bersinar di belakangnya, menggambarkan raut wajahnya yang pucat. Matanya berkilau bak bintang di langit dan raut wajahnya juga kelihatan tenang sahaja. Dia memandang Chu Qiao dengan sayu tatkala dia tenggelam lebih dalam...
Ini merupakan kali pertama dalam hidup Chu Qiao di mana dia berasa begitu lemah. Dia berasa letih yang tidak terhingga sehingga dia mahu tidur buat selama-lamanya sahaja. Hidupnya tidak bermakna lagi. Impian dan kepercayaan teguh yang dipegangnya kini musnah. Dia tidak mahu memikirkan tentang pemuda itu lagi dan dia sendiri sudah tidak bertenaga untuk memikirkan tentangnya. Kini, dia sudah tidak berdaya untuk membuka matanya dan menghadapi realiti di hadapannya. Dia hanya mahu melarikan diri kerana dia telah menjadi begitu lemah sehingga berfikir dengan menutup matanya dia akan dapat berpura-pura seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pada saat ini, dia akhirnya menyedari hakikatnya, dia hanyalah seorang wanita. Dia dapat merasakan kesakitan, kesedihan, kedukaan dan perasaan terdesak. Dia enggan makan, minum dan menepis semua orang yang cuba untuk memberikannya makan ubat.
Bunyi bising yang teramat sangat bergema di luar bilik Chu Qiao kekal sehingga pada suatu hari tertentu di mana seseorang telah menghamunnya dengan kuat. Kata-kata cacian yang keluar dari mulut lelaki itu menusuk-nusuk hati Chu Qiao. Suara itu seperti biasa didengar lalu Chu Qiao pun membuka luas matanya. Dia turun dari katilnya dan mendapati tubuh Zhu Cheng sudah dipanah.
Butler muda yang tidak mahir dalam seni mempertahankan diri kelihatan cedera parah. Pakaiannya terkoyak dan dipenuhi dengan darah sementara pemuda itu pula kelihatan seperti orang gila. Walaupun sebelah tangannya telah dipotong, tetapi dia masih lagi gigih mencuba untuk memasuki bilik Chu Qiao. Kesan darah yang baharu terpercik di tangga batu halaman. Matanya memerah tatkala dia menghamun dan dia menggunakan tangannya yang lagi satu untuk menyerang orang gaji di tepinya. Orang gaji-orang gaji di situ tidak menyerangnya dan mereka hanya cuba untuk menyekatnya daripada menghampiri kediaman terbabit. Mereka merebahkannya ke tanah dan memandangnya dengan dingin tatkala dia cuba untuk berdiri semula berkali-kali.
"Dasar wanita tak kenal diuntung!" Tempik Zhu Cheng. Tubuhnya cedera parah bersama luka beku dan nanah yang terkumpul pada tubuhnya. Jelas sekali, kulitnya telah terdedah kepada salji sejuk untuk tempoh masa yang lama sehingga menyebabkannya terluka sebegitu sekali.
Lü Liu memegang Chu Qiao tatkala dia cuba menutup matanya dengan tangannya yang menggeletar. Walau bagaimanapun, Chu Qiao masih berdiri tegak seperti lembing yang tajam. Dia tidak berganjak di saat dia melihat Zhu Cheng dihentam dan cuba berkali-kali untuk bangun dan meluru ke arahnya.
"Hentikannya," Kata Chu Qiao dengan suara yang rendah. "Berhenti!" Dia tiba-tiba menempik lalu menolak Lü Liu ke tepi dan berlari keluar. Angin di luar terasa begitu dingin, tetapi dia terus berlari ke arah Zhu Cheng seperti orang gila sambil menolak orang gaji-orang gaji yang cuba untuk menghentikannya. Lantas, dia pun menjerit, "Saya cakap hentikannya!"
"Aku akan bunuh kau!" Zhu Cheng berseru lalu mara ke arah Chu Qiao dengan pedangnya. Chu Qiao kekal berdiri di situ. Pada saat itu, dia bukan lagi seorang agen tangkas pada zaman moden. Dia tidak mengelak tatkala melihat pedang tersebut melayang ke arah kepalanya.
Walau bagaimanapun, tatkala pedang itu menyentuh bajunya, sebatang anak panah melayang di udara lalu mengenai jantung Zhu Cheng dengan tepat sekali. Darah terpancut keluar dari mulut butler muda itu, mengenai muka Chu Qiao. Tubuh lelaki itu tersentak dan matanya mula membeliak. Lututnya menjadi lemah, lantas dia pun rebah ke tanah. Chu Qiao menyambut lelaki itu dan sempat menyaksikan tatapan kebencian yang terpancar pada mata lelaki itu. Dengan nafasnya yang terakhir, dia meludahkan kahak yang bercampur darah itu ke muka Chu Qiao lalu menghamun, "Perempuan sundal!"
Berdebap! Zhu Cheng rebah ke tanah, menyebabkan debu-debu bertebangan di udara seperti serangga kecil bersayap yang hinggap di muka Chu Qiao. Dia mendongak perlahan-lahan, melihat muka dingin Yan Xun di hadapannya. Setelah Yan Xun meletakkan busur dan anak panahnya, dia berjalan ke arah Chu Qiao dengan serius. Tatkala dia memandang gadis itu, dia berkata dengan suara yang rendah, "Saya dah beritahu seluruh dunia yang awak pasang perangkap ini untuk Zhuge Yue dan bunuh dia. Lelaki ini mengiringi Zhuge Yue ke Yan Bei, jadi dia tiba di sini dengan pantas. Saya menjangkakan dalam beberapa hari lagi, pembunuh upahan dari keluarga Zhuge akan membanjiri kawasan ini. Walau bagaimanapun, saya dah tugaskan ramai orang untuk melindungi awak, jadi awak tak perlu risau."
Chu Qiao memandang Yan Xun. Pada saat itu, dia merasakan seolah-olah dia tidak kenal lelaki di hadapannya ini. Dia cuba untuk mengingatinya dan membuka matanya seluas mungkin untuk melihat Yan Xun. Namun, kepalanya hanya terasa berdenyut kesakitan. Cahaya matahari menyinari tubuhnya dan cahaya yang terpancar menyukarkannya untuk membuka mata.
Orang gaji-orang gaji itu mengangkut mayat Zhu Cheng pergi dan hanya meninggalkan kesan darah di tanah. Kebencian masih terpahat pada matanya yang terbeliak dan seakan-akan ingin menelan Chu Qiao hidup-hidup.
Yan Xun kemudian beredar bersama orang-orang bawahannya, membuatkan halaman itu kembali tenang. Orang gaji cuba menyimbah air berbaldi-baldi ke tanah untuk menghapuskan kesan darah terbabit sementara Chu Qiao masih kekal berdiri di situ. Tiada sesiapa yang berani mengganggunya. Lü Liu mendekatinya dengan berhati-hati lalu menarik lengan bajunya untuk meraih perhatian gadis itu, "Cik Puan? Cik Puan?" Angin dingin bertiup mengenai tubuh Chu Qiao. Lu Liu menggoncangnya perlahan-lahan dan hanya bunyi esakan yang kedengaran daripadanya.
Tiba-tiba, bunyi seorang lelaki yang sedang marah datang dari luar pintu. Ah Jing menghamun orang gaji-orang gaji yang cuba menghalangnya daripada masuk ke dalam. Pemuda itu lantas berasa sebaik sebaik sahaja dia melihat keadaan Chu Qiao. Tanpa mempedulikan para pengawal yang berada di sekelilingnya, dia terus mengendong Chu Qiao untuk membawanya masuk ke dalam kediaman. Cuaca sejuk di luar langsung tidak dihiraukan Chu Qiao yang hanya memakai selapis pakaian sahaja. Pembantu rumah lantas bergegas ke arahnya dalam keadaan panik sebelum cuba untuk menghangatkan badan Chu Qiao yang hanya membenarkan sahaja dirinya diperlakukan apa sahaja, seolah-olah dia merupakan mayat hidup.
"Cik, janganlah macam ini," Ah Jing berkata kepadanya dengan mata yang merah. "Ini bukan salah Tuanku. Semua ini angkara Cheng Yuan, si durjana itu, yang cuba memecah belahkan kita. Cik kena kuat."
Suara Ah Jing terdengar jauh sahaja. Chu Qiao berpaling dan memandangnya dengan rasa curiga. Setelah sekian lama, dia berkata dengan perlahan, "He Xiao macam mana?"
Suaranya serak seperti kotak angin yang pecah. Ah Jing tergamam kerana dia tidak memahami maksud wanita itu, lalu dia terpinga-pinga menjawab, "Hah? Apa dia?"
"He Xiao bagaimana? Tentera Xiuli pula? Mereka okey tak? Ada sesuatu yang berlaku kepada mereka ke?"
"Tiada apa-apa yang berlaku," Jawab AhJing dengan segera. "Tiada apa-apa yang berlaku kepada mereka dan kini mereka berada dalam dewan seni mempertahankan diri. Mereka mahu melawat Cik, tetapi Tuanku menghalang mana-mana pelawat daripada berbuat demikian kerana Cik masih belum pulih lagi."
"Oh," Chu Qiao mengangguk senyap. Dengan tenangnya dia bertanya, "Semua orang Zhuge Yue dah mati ke?"
"Mereka semua dah mati. Kebanyakan mayat mereka telah dikeluarkan dari air. Tetapi, ada yang tenggelam terlalu dalam, jadi kami tak dapat mengambil kesemua daripada mereka. Setelah memikirkannya, saya tak rasa yang mereka masih hidup."
"Bagaimana dengan Zhuge Yue? Mayatnya dikeluarkan tak?"
Ah Jing membasahkan bibirnya tatkala dia melihat raut wajah Chu Qiao yang tenang. Dengan suara yang rendah dia menjawab, "Ya. Jeneral Yue telah ditugaskan untuk mengembalikan badannya kepada Xia. Zhao Che akan mengambilnya secara peribadi. Di samping itu, keluarga Zhuge juga telah memberikan kita sejuta tael emas bagi memelihara tubuhnya."
Raut wajah Chu Qiao tetap tidak berubah dan dia hanya mengangguk berkali-kali. Ah Jing terus berkata dengan gugup, "Cik jangan risau. Tiada sesiapa yang memusnahkan tubuh dia. Ia berada dalam keadaan baik ketika kami menghantarnya kembali. Malah, Tuanku dah sediakan keranda bergred tinggi..."
"Dia dah mati. Apa gunanya keranda itu?" Chu Qiao menjawab dengan jelas tatkala dia berdiri. Dia tidak makan apa-apa selama enam hingga tujuh hari yang lalu kecuali sedikit ubat pada awal-awalnya, jadi dia berasa pening apabila berjalan dan hampir terjatuh. Lu Liu menghampirinya untuk membantu wanita itu tetapi Chu Qiao hanya menolaknya ke tepi, lantas bergerak ke meja belajar dan mengambil sebatang berus untuk menulis sesuatu.
"Saya akan sediakan dakwat untuk Cik," Lu Liu berlari ke arahnya dan berkata.
Pintu bilik itu masih terbuka sedikit. Apabila angin berhembus masuk ke dalam, ia telah menerbangkan kertas-kertas di atas meja tersebut. Lü Liu memerintahkan pembantu rumah di sebelahnya dengan segera, "Tutup pintu itu!"
Apabila dia menundukkan kepalanya lagi, Chu Qiao sudah selesai menulis suratnya. Dia kemudiannya memasukkan surat itu ke dalam sampul surat dan menyerahkannya kepada Ah Jing sambil berkata dengan tenang, "Tolong serahkan surat ini kepada He Xiao dan beritahu dia untuk ikut arahan yang tertera pada surat ini. Beritahu dia untuk menghalang pembunuh dari keluarga Zhuge daripada memasuki Yan Bei."
Ah Jing berasa terperanjat apabila dia menerima surat itu daripada Chu Qiao. Namun, wanita itu segera menulis sepucuk surat lagi dan menyerahkannya kepada Ah Jing sambil berkata, "Tolong serahkan surat ini kepada Encik Wu dan beritahu dia hanya sedikit saja yang dapat saya lakukan, tetapi ada banyak cara lain untuk mencapai matlamatnya. Saya dah ada beberapa orang pion di Shangshen jadi saya akan serahkan kawasan itu kepadanya sekarang."
Seterusnya, Chu Qiao mula menulis surat ketiga. "Serahkan surat ini kepada Huanhuan dan beritahu dia yang saya letakkan harapan saya pada dia."
Firasat yang kurang menyenangkan mula terdetik di dalam hati Ah Jing. Lelaki itu kemudian bertanya dengan jujur, "Cik, Cik nak bunuh diri ke?"
Chu Qiao memandangnya dengan renungan mata yang masih bercahaya seperti biasa tetapi Ah jing dapat merasakan yang renungan itu tidak sama.
Ya, ia sudah tidak sama lagi. Dahulunya Cik seorang yang tenang, tetapi apabila dia memandang mata seseorang, mereka akan merasakan perasaannya yang ikhlas itu. Sekarang, walaupun dia memandang seseorang, pandangan wanita itu terasa kosong sahaja bagaikan mereka langsung tidak berada dalam pandangannya. Ia seolah-olah dapat menembusi diri mereka, rumah mereka, tembok halaman, awan bahkan langit itu sendiri...
"Taklah," Jawab Chu Qiao dengan tenang sebelum berpaling dan memberikan isyarat kepada Lu Liu, "Saya lapar, bawakan saya makanan."
Lü Liu berasa terperanjat. Setelah sekian lama, dia akhirnya menurut perintah dengan gembira dan berlari keluar dari bilik.
Hidangan telah disediakan terlebih dahulu dan masih hangat. Lü Liu dan para pembantu yang lain segera menghidangkannya di atas meja besar di sebelah Chu Qiao sambil berkata dengan teruja, "Tuanku memerintahkan seseorang untuk menyediakan hidangan ini. Cik masih belum pulih jadi sebaiknya Cik makan ini. Ini ubat yang disediakan oleh Doktor Yu jadi ia baik untuk perut Cik. Cik tak makan apa-apa untuk beberapa hari ini jadi Cik tak boleh makan daging terlalu banyak. Sup ayam ini saya buat khas untuk Cik. Saya letakkannya di atas api selama 22 jam. Rasalah sikit..." Suara Lü Liu perlahan-lahan memudar. Dia melihat dengan tidak berdaya tatkala Chu Qiao mengambil mangkuk dan mula makan dengan pergerakan seperti robot. Dia menyumbat nasi ke dalam mulutnya dengan banyak dan dalam sekelip mata sahaja dia telah menghabiskan semangkuk nasi. Kemudian, wanita itu berdiri semula untuk mengisi mangkuknya lagi dan setelah itu dia kembali terduduk, meneruskan jamahannya.
Adegan makan ini kelihatan begitu menggerunkan apabila wanita itu berkelakuan seperti seorang pengemis yang kebuluran. Dia terus-menerus menyumbat makanan ke dalam mulutnya tanpa henti dan hal itu menakutkan Lu Liu. Dia mahu menahan Chu Qiao, tetapi Chu Qiao mengabaikannya, jadi pembantu kediaman itu hanya mengetap bibirnya tatkala air matanya mengalir. Dia menarik lengan Chu Qiao dan berseru, "Cik, kalau Cik rasa sedih, luahkan saja segalanya. Jangan pendam perasaan Cik itu. Ia tak baik untuk kesihatan Cik. Kalau Cik bersedih, menangis saja!"
Chu Qiao kekal diam dan terus menelan makannya seperti robot. Dia kelihatan seolah-olah cuba untuk menelan segala kesakitannya bersama nasi.
Kediaman itu senyap sepi dan hanya bunyi esakan Lu Liu sahaja yang kedengaran. Ah Jing memegang tiga pucuk surat di tangannya dan berasa yang jari-jemarinya kini sudah menjadi sejuk. Dia ingin mengatakan sesuatu tatkala matanya bertemu dengan pandangan dingin Chu Qiao. Gadis itu kemudian mendongak dan berkata, "Tolong pergi."