Chapter 198 - Bab 198

Chu Qiao sudah pun menelan ubatnya sewaktu Ah Jing beredar. Para doktor lantas berjalan masuk kumpulan demi kumpulan dengan membawa kotak ubat dan peralatan perubatan yang besar. Laman itu kini riuh-rendah dengan pelbagai kegiatan manusia. Namun, AhJing merasakan tempat itu malah telah bertukar menjadi lebih sejuk. Apabila dia beredar dari kediaman itu, dia ternampak Yan Xun sedang berdiri di bawah pokok poplar. Yunbi merupakan nama yang indah tetapi sebenarnya ia merupakan sebuah bandar yang sangat miskin. Setiap tahun, rakyat di sini akan mati kebuluran pada musim sejuk disebabkan salji yang sungguh lebat dan lama-kelamaan golongan muda berhijrah keluar dari bandar ini, pergi meninggalkan orang-orang tua dan pokok poplar.

Yan Xun langsung tidak berpaling walaupun Ah Jing sedang berjalan ke arahnya. Lalu sebagai penghormatan, Ah Jing memberikan surat-surat tersebut kepada Yan Xun. Setelah membuka surat itu satu demi satu, Yan Xun mengecilkan matanya. Walaupun kandungan ketiga-tiga surat itu pendek sahaja, tetapi Yan Xun telah menghabiskan masa yang panjang untuk membaca semua surat-surat tersebut. Akhirnya, dia memasukkan surat-surat itu kembali ke dalam lalu menyerahkannya kepada Ah Jing sambil berkata, "Ikut saja arahannya."

Dengan wajahnya yang merah seolah-olah dia tertangkap melakukan sesuatu, Ah Jing teragak-agak buat seketika sebelum membalas, "Tuanku, mungkin ke Cik itu akan berasa terlalu sedih sehingga dia nak bunuh diri? Dia seolah-olah menulis wasiatnya."

Tanpa mengubah raut wajahnya, Yan Xun dengan tegasnya memberikan jawapan yang sama dengan Chu Qiao kepada Ah Jing, "Taklah, dia tak akan."

"Habis itu, kenapa dia biarkan saja kita tuduh dia sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Zhuge Yue? Bukan saja pembunuh upahan akan datang untuk membalas dendam, tapi pasti Cik pun akan membenci Tuanku." Tanya Ah Jing.

"Benci saya?" Yan Xun menaikkan nada suara sewaktu mengujarkannya. Dia kemudiannya tertawa sebelum menerangkannya dengan tenang, "Itu lebih bagus daripada dia mati."

Ah Jing berasa tergamam setelah mendengar kata-kata tuannya itu tetapi dia seolah-olah memahami sesuatu. Namun, dia tidak pasti sama ada tekaannya itu benar atau tidak. Jadi, dia pun bertanya, "Tuanku, nanti masalah akan timbul ke kalau kita guna mayat orang lain untuk menipu Empayar Xia dan Keluarga Zhuge? Lagipun, kita dah terima wang mereka."

Yan Xun tidak menjawab soalan itu tetapi hanya menghulurkan tangannya sambil menuding jari ke arah dataran salji di hadapan. Dengan perlahan-lahan dia bertanya, "Ah Jing, kamu tahu tak kenapa dalam peta Yan Bei ini tiada bandar Yunbi?"

Ah Jing berasa bingung ke atas soalan Yan Xun yang tiba-tiba itu, tetapi dia masih menjawab dengan baik sambil menggelengkan kepalanya dan berkata, "Saya tak tahu."

"Sebab tempat ini tak berguna." Yan Xun berkata dengan nada yang dalam, "Lokasi ini terlalu kecil, terpencil, tandus dan tak mempunyai apa-apa sumber. Ia tak boleh digunakan sebagai ladang atau sebagai tempat penternakan. Chi Shui tak lalu di sini dan Tasik Qianzhang terlalu jauh dari sini. Bukan itu sahaja, tetapi setiap tahun, salji yang turun di sini begitu lebat sehingga menyebabkan bencana. Sekalipun orang Quan Rong menyerang Yan Bei, mereka tak akan menyerang kawasan ini. Tak kira sama ada secara ketenteraan atau ekonomi, tanah ini telah menjadi beban kepada Yan Bei dan sebab itulah dalam peta tiada tempat ini." Yan Xun ketawa seketika sebelum meneruskan penjelasannya lagi, "Bagi Keluarga Zhuge, kewujudan Zhuge Yue itu sama seperti kewujudan Yunbi kepada Yan Bei. Kewujudan dia itu dikira sebagai satu penghinaan. Kamu rasa apa yang akan berlaku kepada seorang jeneral yang bersikap terburu-buru dan angkuh, mati bukan dalam medan perang tapi disebabkan rasa cintanya terhadap seorang wanita? Keluarga Zhuge pasti tak sabar nak menunggu saat untuk memutuskan segala hubungan yang mereka ada dengan dia. Mereka peduli ke untuk memeriksa badannya?"

Ah Jing tiba-tiba memahaminya. "Oh, baru saya faham. Tak hairanlah kalau Tuanku gunakan Cik sebagai penyamaran. Ia kelihatan seolah-olah Tuanku ingin melemah-lemahkan Keluarga Zhuge."

Yan Xun merenung di kejauhan tanpa perasaan dan menjawab dengan perlahan-lahan, "Kematian Zhuge Yue itu hanya satu permulaan saja. Keluarga Zhuge, Zhao Che, Jeneral Le Xing dan Meng Tian yang mula-mula menaikkan nama dia itu pasti akan terkesan juga. Empayar Xia berada dalam keadaan kucar-kacir sekarang ini. Zhao Qi dah mati dan Zhao Song pula tak berguna. Keluarga Wei dan kuasa yang Zhao Yang ada juga terlalu lemah. Apa kata kita bantu mereka dan melemahkan lagi konflik yang berlaku? Hanya sewaktu Empayar Xia dalam kekacauanlah saya boleh lindungi tanah saya."

Ah Jing berdiri di sana dengan mulut yang ternganga kerana berasa sangat terkejut.

"Ah Jing, jangan selalu bergaduh sangat dengan Chen Yuan." Yan Xun memandang Ah Jing sambil berkerut dan berkata, "Kamu itu bukan lagi seorang pembunuh upahan untuk pertubuhan yang tak dikenali. Serangan Yan Bei di timur yang akan datang ini, kamulah yang akan jadi senjata saya. Kalau kamu nak melibatkan diri dalam politik, pertama sekali kamu perlu mampu untuk melakukannya. Ada ramai orang yang perlu dikorbankan untuk tujuan yang lebih besar. Kalau kamu tak dapat memahaminya, kamu hanya akan menjadi seorang idealis seperti mereka dari Kesatuan Da Tong yang selamanya hidup dalam angan-angan tanpa merasai kuasa sebenar saja."

Yan Xun berpaling dan tidak mengendahkan raut wajah terperanjat Ah Jing itu. Ada sebuah ayat yang tidak disebutkan pemuda itu iaitu, 'Walaupun seekor singa itu garang dan kuat, tetapi ia sukar untuk dikawal. Kadang-kadang dia lebih suka menggunakan sekumpulan anjing,'

Bagi Ah Chu pula, wanita itu lama-kelamaan pasti akan memahami kematian Zhuge Yue sangat penting dan dengan menggunakan namanya untuk kejadian itu pilihan terbaik untuk Yan Bei. Ini kerana pertama, Zhuge Yue pasti tidak akan dapat termasuk ke dalam perangkap yang telah dipasang Yan Bei melainkan dengan mengambil langkah-langkah drastik sebegitu. Keduanya pula, Yan Xun perlu memberikan impak yang besar kepada Empayar Xia dan dengan kematian Zhuge Yue barulah pemuda itu dapat meraih matlamatnya. Wanita itu pasti akan memahami segalanya sewaktu Empayar Xia mula musnah disebabkan konflik dalaman. Mengenai perasaan wanita itu terhadap Zhuge Yue, Yan Xun tidak terlalu memikirkannya. Walaupun ketika Zhuge Yue masih hidup, Yan Xun tidak begitu bimbang. Apatah lagi apabila Zhuge Yue sudah mati? Chu Qiao masih sama seperti dulu dan hanya sengaja membuat perangai. Masa akan menyembuhkan segala luka yang dirasai wanita itu dan dia pasti akan kembali normal selepas beberapa hari. Yan Xun mampu menunggunya.

Ah Jing terdiam buat seketika sebelum bertanya tiba-tiba, "Tuanku, Cik betul-betul tengah bersedih. Tuanku tak nak masuk dan jenguk dia ke?"

"Saya tiada masa kerana malam ini saya perlu pulang ke sempadan. Zhao Che dah bersiap sedia untuk menyerang, jadi saya perlu kembali untuk mengawal keadaan."

Selepas Yan Xun menghabiskan kata-katanya, Ah Jing hanya kekal berdiri di situ sambil melihat Yan Xun yang sedang menunggang kudanya pergi meninggalkannya bersama pengawal-pengawalnya yang lain. Pada saat itu, Ah Jing tiba-tiba teringatkan di saat Yan Xun telah memberitahunya sewaktu di Istana Sheng Jin dulu. Pada masa itu, Ah Jing telah memberikan amaran kepada Yan Xun untuk memikirkan situasi yang sedang mereka hadapi ketika itu secara menyeluruh, namun Yan Xun mencelah, "Kalau Ah Chu tiada di sini, apa gunanya saya dapatkan Yan Bei?"

Kata-kata itu telah terpahat sedalam yang mungkin dalam fikiran Ah Jing sehingga kini. Namun, Tuanku sudah lupakan kata-katanya itu ke? Atau mungkin dia tidak terlupa tetapi Yan Bei ini terlalu kecil dan cita-citanya terlalu tinggi kerana apa yang diinginkan pemuda itu ialah seluruh dunia ini.

Ah Jing menundukkan kepalanya, tidak tahu mana betul dan salah. Mungkin dari saat dia mula mengikuti Yan Xun, situasi itu sudah ditakdirkan untuk berlaku. Ah Jing berpaling dan berjalan pergi dengan sedikit rasa kecewa, seolah-olah terdapat satu beban di belakangnya. Ia telah menyebabkan pemuda itu tidak mampu berjalan tegak.

Chu Qiao berehat selama lima hari sebelum dia kembali normal. Dalam beberapa hari ini, dia sudah stabil kerana telah menjamah makanan serta mengambil ubatnya tepat pada waktunya. Apabila dia tidak tidur, dia akan meregangkan diri di halaman. Wajahnya yang tidak sihat disebabkan penyakit sebelum kejadian itu telah kembali normal, tetapi kulitnya masih lagi pucat. Lü Liu yang berasa aneh apabila melihat Chu Qiao masih nampak sakit itu mencuri-curi lihat Chu Qiao pada waktu malam. Pembantu kediaman itu lantas mendapatimata Chu Qiao masih terbuka luas kerana wanita itu tidak boleh tidur.

Hari tersebut merupakan Hari Tahun Baru. Pertempuran di sempadan itu telah berakhir tiga hari lalu. Selepas lapan pusingan perintah segera dari Istana Sheng Jin, Zhao Che tidak mempunyai pilihan lain selain kembali ke ibu negara. Pada masa itu, Yan Xun telah mengambil kesempatan untuk menyerang Sempadan Yanming. Walaupun pengepungan itu tidak berjaya, dia telah berjaya menyebabkan 50,000 orang tentera Xia terkorban. Itu sudah dianggap sebagai sebuah hadiah yang bermakna buat Yan Bei.

Yan Xun pulang sehari sebelum Tahun Baru. Jadi, bandar Yunbi tiba-tiba berubah menjadi lokasi semayam Maharaja Yan Bei sewaktu Tahun Baru ini. Para pegawai tempatan semuanya berasa teruja, sekaligus menghiasi seluruh bandar tersebut untuk menjadikannya sebagai sebuah lokasi yang sesuai untuk meraikan majlis tersebut. Pagi itu, Lu Liu telah membawa pakaian baharu untuk Chu Qiao. Pakaiannya berwarna merah terang yang bersulamkan bunga teratai. Ia kelihatan begitu megah dan cantik tetapi Chu Qiao berasa tidak selesa apabila melihatnya, merasakan warna merah itu terlalu menyerupai warna darah. Pakaian itu telah membuatkan Chu Qiao berasa tidak keruan sehingga dia enggan menyentuhnya.

Semuanya telah diatur dengan baik. Surat-surat tersebut sepatutnya telah dihantar ke tuannya yang tersendiri. Jadi, Shangshen kini telah berada dalam tangan Encik Wu yang cekap. Bagi Pasukan Tentera Xiuli pula, mereka pasti tidak akan mempunyai masa depan sekiranya mereka terus mengikuti Chu Qiao. Jadi, kerana wanita ini mengetahui yang Yan Xun akan berasa sangsi jika sebarang kuasa diletakkan kepada Encik Wu dan Cik Puan Yu, Chu Qiao telah menyerahkan pemerintahan tentera tersebut kepada Huanhuan. Bukan sahaja dia seorang puteri Yan Bei, tetapi dia juga sudah memimpin Pasukan Tentera Huoyun. Sudah semestinya wanita itu dapat memberikan masa depan yang cerah kepada Pasukan Tentera Xiuli. Nampaknya dia tidak perlu tinggal di sini lagi.

Bilik itu sudah kosong sewaktu Yan Xun masuk ke dalam. Semuanya kelihatan seperti biasa, kemas dan rapi. Tiba-tiba, dia teringatkan malam apabila dia meminang Zhao Chun'er dan hatinya terasa sakit. Yan Xun bukannya tidak pernah terfikir yang wanita itu akan pergi meninggalkannya, tetapi dia masih berharap walaupun sedikit yang gadis itu tidak berbuat sedemikian. Mungkin Ah Chu sudah memahami segalanya dan telah memaafkannya? Lagipun, selama mereka berkenalan, Chu Qiao memang seorang yang pemaaf. Jadi, tidak kira apa yang telah dilakukannya, dia pasti akan memaafkannya. Dia pernah mengabaikan Garison Utusan Barat Daya sekali dan begitu juga dengan Yan Bei. Dia juga pernah membunuh orang bawahan wanita itu sekali dan pernah meraguinya, memulaukannya, tetapi Chu Qiao masih tidak meninggalkannya. Hanya Zhuge Yue seorang sahaja... Tidak kiralah setebal mana kesyukuran Ah Chu kepada lelaki itu, tetapi bagaimana mungkin perasaan itu setanding dengan tempoh masa sepuluh tahun mereka bersama?

Mungkin mereka patut berbual. Selagi pemuda itu berlaku jujur dengan pemikiran dan rancangannya, Chu Qiao pasti dapat memahaminya. Walaupun dia masih marah, tetapi lambat laun kemarahannya itu pasti akan reda. Kalau tidak pun, pemuda itu sanggup memberikan kawalan ketenteraan kembali kepada gadis itu. Dengan momentum kekalahan Empayar Xia, tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.

Yan Xun tidak tahu mengapa dia begitu yakin mengenai segala perihal ini. Ia mungkin kerana pemuda itu telah memujuk dirinya sendiri sebanyak ratusan kali dalam beberapa hari ini, namun ketika dia melihat bilik yang kemas dan rapi ini, dia berasa panik. Lalu, dia bergegas keluar dan tiba-tiba lengan bajunya itu terlanggar sesuatu di atas meja. Lantas, bunyi dentuman yang kuat bergema. Setelah menundukkan kepalanya, Yan Xun ternampak sebentuk cincin jed putih jatuh berderai di atas lantai. Ia berkilau sedikit dan memantulkan cahaya lilin yang terpancar serta menyilaukan.

Apabila ternampak cincin itu, Yan Xun terus tercegat di situ. Tiba-tiba, dia teringat akan kata-kata tegas Ah Chu, "Kalau dia mati di Yan Bei, saya tak akan maafkan awak seumur hidup."

Saya tak akan maafkan awak...

Seumur hidup...

"Cik?" Lü Liu berkata dengan gembira, "Jomlah kita keluar dan lihat tanglung! Tanglung-tanglung di sana sangat cantik!" Tiba-tiba, dia ternampak Yan Xun yang masih tercegat di situ. Dalam keadaan panik, Lu Liu terus melutut di tanah. Namun, Yan Xun tidak berkata apa-apa. Perlahan-lahan pembantu kediaman itu mendongakkan kepalanya lalu ternampak yang lelaki itu masih berdiri di situ dengan raut wajah yang penuh kesunyian. Kesunyian yang terpancar pada wajahnya kelihatan mustahil untuk dihapuskan, ibarat selapisan kabus tebal yang menutupi wajahnya.

Chu Qiao berjalan di jalan raya sambil menuntun kudanya. Dia sedang memakai sehelai mantel hijau dan telah dikelilingi oleh khalayak ramai yang memakai baju ranggi mereka sambil menyambut festival itu dengan gembira. Kanak-kanak berlari sambil membawa tanglung mereka dalam pelbagai bentuk dan saiz. Tanglung-tanglung itu telah diukir dengan begitu halus dan rumit, menjadi bentuk naga, burung phoenix, harimau, ikan koi, pokok, bintang, anjing, burung, kucing, arnab...

Bunga api yang meletus di langit mewarnai pemandangan bersama dengan aroma wain. Para pekedai terjerit-jerit di tepi jalan dengan harapan rakyat jelata dapat membeli barang-barang mereka. Jalan raya itu dipenuhi dengan tanglung berwarna-warni yang tertulis teka-teki padanya. Terdapat orang yang menari tarian perayaan dalam set perahu yang diiringi dengan bunyi muzik di atas tompok salji di kejauhan.

Ramai yang berjalan melepasi Chu Qiao, namun tiada yang berhenti untuk melihatnya. Mereka memegang tangan masing-masing, si suami memegang tangan si isteri, manakala isteri memegang tangan anak sambil anaknya melambai-lambai ke arah neneknya yang sedang memegang tangan datuk cucu tersebut. Semua orang mempunyai keluarga mereka sendiri. Ramai rakyat jelata yang berjalan keluar dari rumah usang mereka ke jalan raya yang riuh-rendah itu untuk menyambut festival yang meriah dan jarang berlaku ini.

"Ah Chu, saya tak pernah beritahu awak sebelum ini. Saya hanya akan beritahunya sekali sahaja jadi dengar baik-baik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menemani saya selama ini di dalam neraka ini. Terima kasih kerana tak meninggalkan saya sewaktu saya susah dan terima kasih kerana berada di samping saya. Kalau bukan disebabkan awak, Yan Xun bukanlah sesiapa dan sudah tentu mati dalam malam bersalji lapan tahun lalu. Ah Chu, saya akan katakannya sekali sahaja. Kata-kata saya ditunjukkan melalui tindakan dan akan tebus balik kesalahan saya kepada awak seumur hidup saya. Terdapat sesuatu antara kita yang kita tak perlu katakan untuk difahami. Ah Chu, awak milik saya seorang dan saya akan lindungi awak. Saya akan tinggal bersama awak. Dari saat saya genggam tangan awak lapan tahun lalu, saya tak pernah merancang untuk melepaskannya."

"Yan Xun, saya tak ada kampung halaman. Sebab awak di sini bersama sayalah, saya anggap kampung halaman awak macam kampung halaman saya."

"Ah Chu, percayalah."

'Percayalah yang saya akan lindungi awak, jaga awak. Saya akan pastikan yang awak tak terluka dan tak diperlekehkan lagi. Percayalah yang saya akan buat awak bahagia, percayalah...;'

Air mata mengalir dari mata Chu Qiao sehingga ke dagunya. Angin dingin yang bertiup kencang terasa seperti bilah yang beku tatkala ia menyentuh kulitnya. Dia kemudiannya menuntun kudanya lalu berjalan seorang diri, perlahan-lahan.

Related Books

Popular novel hashtag