Setiap memori dari masa lampau Chu Qiao lantas terlintas di hadapan matanya. Akhirnya, jiwa raganya yang telah hancur di bawah segala bebanan yang dirasakan itu terus pecah berderai sehingga kepingan-kepingan kecil yang berterbangan di udara, serpihan demi serpihan seperti bulu angsa.
Tiba-tiba, jam loceng berbunyi menandakan waktu tengah malam. Sekumpulan anak-anak berlari ke arahnya sebelum tiba-tiba berlanggar dengannya. Seorang gadis muda jatuh ke tanah dengan tanglung yang berbentuk ikan di tangannya telah kemek akibat perlanggaran itu. Tanglung tersebut berwarna putih dan mempunyai mata merah, kelihatan lebih seperti seekor arnab. Tanglong itu mempunyai simbol syiling emas yang diukir pada perutnya. Gadis muda itu mengambil tanglungnya yang rosak dan mula menangis dengan kuat, membuatkan Chu Qiao serta-merta terhenti dalam langkahnya. Dia bercangkung sebelum mengelap air mata anak gadis itu dan mengeluarkan sekeping perak untuk diberikan kepadanya.
Pada ketika itu, bunyi bunga api yang memekakkan tiba-tiba bergema. Ketika negara tersebut sedang menyambut tahun baru, pelbagai kediaman telah menyalakan bunga api mereka tersendiri yang terbang tinggi ke langit sebagai tanda perayaan. Anak kecil itu berasa terpegun dan lantas berhenti menangis sambil menutup telinganya, berteriak dengan kegembiraan. Walau bagaimanapun, Chu Qiao tiba-tiba kelihatan seperti dia telah dihentam kuat oleh sebuah raksasa gergasi ghaib kerana warna di wajahnya semakin memucat.
"Kalau awak mati, saya akan nyalakan 100 barisan bunga api untuk meraikan yang saya tak perlu lagi balas budi awak," Kata Chu Qiao sebelum ini kepada lelaki itu. Lelaki itu tersenyum tanpa menyembunyikan kesombongannya dan menjawab, "Saya tak rasa yang awak berpeluang untuk berbuat sebegitu."
Chu Qiao mula menangis teresak-esak apabila bunyi bunga api menjadi lebih nyaring dan lebih serentak. Kenangan-kenangan yang telah dia cuba usirkan daripada ingatannya terus terlayar kembali, menyebabkan rasa sakit yang tidak dapat dijelaskan itu menyelubungi jiwa dan raganya. Raut wajahnya tidak lagi memaparkan sikap tenang dan terkawalnya.
"Ke... Kenapa?" Kanak-kanak itu terperanjat. Dia berkata seketika bunga api terus meletus nyaring, "Jangan menangis, kakak tak perlu membayar untuk tanglung ini..."
Bunyi bunga api menjadi lebih nyaring dan Chu Qiao tidak lagi dapat menyembunyikan perasaan yang terbuku di dalam hatinya. Dia terduduk di tengah-tengah jalan yang sibuk lalu menangis teresak-esak sambil menutup mukanya.
Percikan air tiba-tiba kedengaran bersama riakan air yang tiba-tiba terbentuk daripada sesuatu yang jatuh ke dalam kolam di luar. Tingkap rumah Chu Qiao lantas terbuka akibat angin yang meniup kencang. Semasa wanita ini berdiri untuk menutup tingkap, dia ternampak pokok plum yang berdiri megah di bawah kediamannya telah tumbuh setinggi bangunan itu sendiri. Dia terhenti dan membiarkan tangannya tergantung di udara. Sinaran bulan serta-merta menyinari tangannya untuk membentuk sebuah bayangan yang berbintik-bintik.
Dua tahun telah berlalu begitu sahaja. Beberapa biji pokok plum yang telah ditanam wanita ini suatu ketika dulu telah tumbuh menjadi pokok plum yang setinggi bumbungnya. Masa itu sesuatu yang sangat kejam di dalam dunia ini. Ia tidak pernah berhenti untuk sebarang kegembiraan atau kesedihan, jadi mana-mana emosi yang kuat bakal terpadam setelah kian lama..
Malam itu, Chu Qiao telah meninggalkan Bandar Yunbi. Selepas pengembaraannya yang memakan masa selama setengah bulan, akhirnya wanita ini tiba di Bandar Beishuo. Pada suatu pagi yang keramat, dia telah berjalan di sepanjang jalan yang sepi di bandar itu sebelum tiba pintu gerbang bandar. Apabila dia melangkah keluar dari pintu bandar, dia melihat ramai rakyat jelata Yan Bei.
Seluruh pasukan itu terdiri daripada penduduk bandar Beishou tersebut, serta orang awam lain yang telah menghabiskan perjalanan panjang dari tanah besar pedalaman yang termasuklah penduduk dari bandar Shangshen, Pergunungan Luori, Lan, Chidu, Huihui dan Meilin. Ketika rakyat mendapat berita mengenai pemergian wanita ini, mereka telah berkumpul di Bandar Beishuo tanpa berkata apa-apa. Dalam perjalanan Chu Qiao ke sini juga, dia telah bertemu dengan banyak pihak dan juga pasukan tentera. Dia langsung tidak mengenali mereka ini dan mereka juga langsung tidak mengganggunya, hanya mengikutinya sepanjang jalan sehingga ke pintu gerbang bandar Beishuo. Mereka merenungnya dengan senyap dan bersiap sedia untuk berpisah dengannya untuk perjalanan terakhir wanita itu.
Rakyat jelata dari semua lapisan masyarakat turut hadir, dari orang tua ke kanak-kanak, orang asing di luar sempadan ke pedagang dari kawasan timur. Para tentera kerahan Chidu yang telah berjuang bersama Chu Qiao dalam pertempuran melawan tentera Xia, orang awam Beishuo yang telah diselamatkan oleh wanita ini, warganegara Shangshen yang telah mengambil bahagian dalam proses pembinaan semula bandar; para pengembala di bawah Pergunungan Huihui... Semuanya telah hadir. Mereka berkumpul di luar pintu gerbang bandar dari awal pagi lagi untuk membentuk sebuah laluan di supaya dilaluinya. Semua mata sedang menatap wanita ini ketika dia berjalan keluar bandar.
Chu Qiao tidak dapat melupakan pandangan mata mereka. Ekspresi sesetengah daripada mereka jelas tidak setuju dengan rancangan wanita itu dan ada juga yang sedang berada dalam kesedihan, kebimbangan dan ketakutan. Walau bagaimanapun, emosi ini telah digabungkan bersama untuk membentuk sebuah perasaan janggal yang kesepian, terus berlarutan di udara, malah anak-anak kecil di sana juga langsung tidak bersuara. Pada ketika itu, dia berasa amat sedih.
Dia sedar akan tanggungjawab yang harus dipikulnya. Dia telah mengembara ke tanah Yan Bei sepanjang tahun lalu untuk menyebarkan kepercayaannya terhadap keamanan ke setiap sudut negara. Wanita ini telah memimpin mereka dalam membina semula tanah air mereka dan memulihkan produktiviti ekonomi mereka selepas peperangan. Ramai rakyat jelata yang telah memberikan sokongan dengan sepenuh hati mereka. Penduduk negara ini yang telah ditindas selama beratus-ratus tahun telah meletakkan segala harapan mereka untuk mencapai kebebasan dan kehidupan yang indah ke atas diri Chu Qiao sepenuhnya. Walau bagaimanapun, hari ini wanita ini akan pergi, sekaligus memungkiri janjinya kepada mereka. Dia akan meninggalkan mereka dan meninggalkan segala impian dan segala usaha yang telah diletakkan untuk merealisasikan impian itu selama ini.
He Xiao mengetuai jalan bersama dengan 9,000 tentera dari Tentera Xiuli. Mereka memakai pakaian seragam pertempuran lengkap dan telah mengemas barang-barang mereka, seolah-olah mereka bakal mengikutinya dalam perjalanan yang panjang ini. Tiada apa lagi yang boleh dikatakan. Chu Qiao berdiri tercegat dengan perasaan yang kosong seperti sebuah patung batu.
Tiba-tiba, sepasang tangan kecil dan lembut memegang pinggangnya. Dia melihat ke bawah dan melihat seorang gadis muda, yang berumur kira-kira sepuluh tahun. Gadis itu senyap semasa dia merenungnya, melihat ke arahnya dengan penuh kedegilan di matanya sebelum air matanya bergelinangan di mata, tetapi tidak jatuh. Pingan segera berlari ke arah mereka dari belakang dan cuba memisahkan adik perempuannya daripada Chu Qiao, tetapi tidak berjaya.
Pingan merupakan seorang tentera dulu. Apabila dia dihantar ke tanah besar dalaman oleh Yan Xun buat kali pertama, adiknya, Jingjing, telah mengikutinya selama lebih setahun.
"Kakak," Jingjing akhirnya menangis dengan air mata yang mengalir di wajahnya. "Kakak dah tak sukakan saya lagi ke? Kakak dah tak nakkan saya lagi ke? "
Budak itu mula menangis. Khalayak ramai berdiri dalam satu barisan yang kemas sebelum seseorang di kalangan khalayak itu berlutut di atas tanah. Dengan perlahan, orang ramai mula mengikuti wanita ini dengan orang-orang tua yang mula berlaung dan bertanya, "Jeneral dah tak mahukan kita lagi ke?"
"Jeneral, kalau Jeneral tiada di sini, saya pasti akan ditangkap semula dan akan dijadikan sebagai hamba lagi."
"Jeneral nak pergi ke mana? Boleh tak kalau saya ikut Jeneral?"
....
Angin sejuk bertiup lembut salji di tanah. Chu Qiao melepaskan tali kekang kudanya sebelum memandang ke arah matahari. Air matanya lantas mengalir ke pipinya, segera menitis ke rambutnya di bawah bahu. Berat sungguh tanggungjawab yang dipikulnya ini, membuatkan dia tercungap-cungap untuk udara. Dia amat mengenali dalang di sebalik rancangan ini, tetapi dia langsung tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya. Pemuda itu sungguh mengenali Chu Qiao. Jadi, dengan helah kecil sebegini, Chu Qiao pasti akan terperangkap dalam cengkamannya.
Kini, air mata Chu Qiao sudah kering. Semasa dia berdiri di atas tanah bersalji ini, dia terasa bagaikan layang-layang tanpa seutas benang yang akan menahannya. Namun walaupun dia mahu melarikan diri, wanita ini tidak tahu tujuannya. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk menetap di Yan Bei dan tinggal di kawasan Pergunungan Huihui selama dua tahun. Selama dua tahun ini, dia hanya mampu melihat pemuda itu memperkuat kedudukannya sebagai raja Yan Bei dengan merekrut para askar ke dalam tentera, mengenakan cukai di kota-kota, menyerang berbagai-bagai wilayah lain, menghapuskan rakyat jelatanya dan meneruskan pemerintahan kuku besi ke atas pasukan tenteranya. Dari masa ke semasa, Chu Qiao merasakan kehidupan ini sesuatu yang sungguh pelik. Semasa keadaan terdesak, sebuah cahaya di hujung terowong itu akan muncul dalam fikiran kita yang bakal membuatkan kita terus cekal dalam menghadapi kepayahan hidup. Pada ketika seseorang itu hampir bertemu dengan ajak mereka, segala harapan mereka akan ditenggelamkan ke dalam sebuah baldi yang berisi ais.
Akhirnya, Yan Xun berjaya mencapai hasrat hatinya. Di bawah penguasaannya, Empayar Xia telah ditindas. Selepas kematian Zhuge Yue, keluarga Zhuge cuba untuk membersihkan nama mereka di mata empayar dengan mengatakan pemuda itu telah dibuang dari keluarga tersebut, jadi mereka tidak mengebumikan jasadnya di makam keluarga. Namun begitu, mereka masih terkesan dek kemurkaan empayar. Pengaruh kuasa mereka di Majlis Ahli-Ahli Terhormat semakin berkurangan akibat Zhuge Huai yang kerapkali diperlekehkan dek ahli-ahli terhormat. Usaha Zhuge Muqing untuk menyelamatkan situasi keluarga dengan menyokong keluarga-keluarga yang lain juga tidak membuahkan hasil.
Sebagai ketua secara langsung Zhuge Yue, Zhao Che juga tidak terlepas. Putera yang nasibnya kerapkali berubah itu sekali lagi dibuang negeri ke pedalaman sempadan timur laut untuk menyelia sebuah projek pembinaan semula ketenteraan yang tidak diperlukan, mengakhiri penglibatannya dalam politik Empayar Xia.
Apa yang paling tidak dijangkakan ialah putera ke-14, Zhao Yang, telah membentuk perikatan dengan keluarga Wei. Di bawah sokongan Wei Guang, Zhao Yang menjadi pewaris takhta maharaja, memperolehi gelaran sebagai Raja Zhou. Wei Shuye dinaikkan pangkat juga kerana dia telah berkuasa penuh di Sempadan Yanming.
Walaupun Empayar Xia menjalani perombakan politik secara menyeluruh, namun ia tampak amat ketara yang mereka tidak lagi mempunyai watak dominan yang pernah mereka miliki tidak lama dahulu. Mereka tidak yakin apabila menghadapi tentera Yan Bei yang kuat. Walaupun Wei Shuye berpengalaman dalam seni peperangan, namun pemuda itu tidaklah searif Yan Xun. Ditambah pula dengan gangguan politik dalaman di Xia, dia terpaksa mengambil pendirian yang lebih defensif terhadap peperangan yang sedang mereka hadapi ini. Sejak setahun lalu, mereka mula menunjukkan tanda-tanda keletihan.
Pada masa ini, benua Barat Meng telah dibahagikan kepada empat bahagian. Di Tang, Li Ce telah mengambil alih kedudukan maharaja. Di Song, puteri sulung, Nalan Hongye, mengambil alih urusan negara. Di Yan Bei, Yan Xun berkuasa penuh. Tiada seorang yang lebih berkuasa dominan di Meng Barat.
Namun demikian, Yan Xun tidak berani menyerang Xia secara melulu. Sebuah kuasa politik baru tiba-tiba muncul tanpa disedari dari arah barat daya Pergunungan Helan. Tiada siapa yang tahu asal-usul kuasa politik ini ataupun bilangan tentera yang dimiliki pemimpin politik itu. Satu-satunya perkara yang diketahui ramai ialah pemimpin pasukan ini menggelarkan dirinya sebagai "Raja Qinghai" yang telah diketahui daripada peniaga-peniaga yang berlalu dan para askar yang dihantar untuk memancing maklumat.
Qinghai merupakan sebidang tanah yang terletak di selatan Pegunungan Helan dan di sebelah barat Pergunungan Cuiwei. Ia dikhabarkan tanah ini tidak subur dan tidak berpenghuni dengan iklim yang ekstrem. Binatang liar berkeliaran di tanah tandus tidak berumput itu. Lebih 2,000 tahun yang lalu, tahanan dari pelbagai empayar telah dibuang negeri ke tanah ini dan ramai yang mengetahui tiada orang yang akan terselamat jika dibuang di sana. Mereka sama ada akan dimakan oleh binatang buas atau mati kerana penyakit misteri. Frasa, "dibuang ke Qinghai", secara tidak langsung bermaksud kematian yang pasti. Keadaan di sini terlalu ekstrem, menyebabkan orang lebih suka mati di Meng Barat daripada melangkah kaki di Qinghai. Selama bertahun-tahun, banyak tahanan banduan di Sempadan Cuiwei yang membunuh diri.
Walau bagaimanapun, sebuah kuasa politik baru dilahirkan di tanah ini yang dipenuhi oleh serangga berbisa dan binatang liar, tanpa jejak kehidupan manusia.
Ia merupakan hari ke-17 bulan ketujuh pada tahun 778. 70,000 tentera Yan Bei yang diketuai oleh Yan Xun sendiri menyerang pintu-pintu gerbang selatan Sempadan Yanming. Apabila mereka nyaris berjaya, musuh tiba-tiba muncul di bahagian barat daya di belakang pasukan mereka. Mereka sememangnya tangkas dan berpengalaman dalam pertempuran jadi segala pergerakan mereka amat pantas dan kejam. Mereka merusuk ke arah kiri pasukan Yan Bei dengan mudah dan lantas mengganggu pembentukan formasi pasukan tentera Yan Bei. Walau bagaimanapun, mereka telah hilang sebaik sahaja Yan Xun berundur ke belakang untuk membalas serangan mereka. Tidak lama kemudian, para peninjau mereka mendapati mereka berada di Sempadan Cuiwei dan pemuda yang dikenali sebagai Raja Qinghai itu telah menawan kawasan itu.
Ini sememangnya mimpi ngeri buat Yan Bei. Oleh sebab Sempadan Cuiwei terletak berhampiran dengan Pergunungan Helan di sebelah barat sungai, bermakna Yan Bei mempunyai musuh lain untuk ditentang selain daripada rakyat Quanrong di luar Sempadan Meilin. Apa yang lebih teruk adalah kini Sempadan Meilin berada di tangan Yan Bei, manakala Laluan Cuiwei milik raja Qinghai.