Pasukan tentera itu bergerak dengan penuh lincah semasa mereka menghilang di sebalik dataran bersalji yang meluas dengan sepantas kilat dan sebuah pasukan tentera yang lain lantas mengekori mereka dalam sekelip mata. Malam ini bukanlah seperti malam-malam biasa di mana orang boleh melelapkan mata mereka dengan nyenyak.
Malam sudah pun lewat semasa Huo An bertemu Zhuge Yue di mana hanya 200 daripada 300 tentera yang masih tinggal di Lembah Mingxi itu, namun mereka masih mengekalkan tahap kewaspadaan dan juga tahap berjuang yang sama. Pintu hadapan Lembah Minxi itu kecil yang bermakna ia akan menjadi senang buat pasukan tentera untuk mempertahankannya dan sukar bagi pihak lawan untuk menyerangnya. Haiwan-haiwan ternakan di lembah ini mencukupi dan tiada sesiapa yang perlu merisaukan tentang rangsum makanan yang tidak mencukupi. Selagi mereka mampu bertahan selama tiga hari, Zhao Che akan sedar yang jumlah pasukan tentera Yan Bei yang ditugaskan di Sempadan Yanming itu telahpun berkurangan, jadi pemuda itu pasti akan mengambil kesempatan tersebut untuk menyerang sekaligus memaksa Yan Xun untuk berpatah balik dan pada masa itulah Zhuge Yue telah menjangkakan dia akan mendapat peluang keemasan untuk melarikan diri.
Huo An memahami kerumitan perancangan Yan Xun hanya dengan sekilas pandangan sahaja dan berpendapat mereka masih perlu menanggung kehilangan yang besar jika mereka menyerang kawasan ini dengan sepenuh tenaga mereka oleh disebabkankan bentuk muka bumi dan juga formasi pasukan tentera Zhuge Yue.
"Jeneral Zhuge, saya orang bawahan Jeneral Chu, komander Pasukan Tentera Xiuli, Huo An. Saya ada hal mustahak untuk dilaporkan kepada Jeneral."
Zhuge Yue sedang mendondonkan pakaian seragam yang kemas dan mengekalkan wajah dinginnya, masih memancarkan aura berkuasa walaupun dia kini sedang dianggap sebagai penjahat yang telah melarikan diri. Pemuda itu merenung ke dalam anak mata Huo An dengan bersahaja sebelum bertanya perlahan, "Kalau tak salah saya, komander Pasukan Tentera Xiuli itu He Xiao."
"Jeneral He Xiao dah terkorban dalam pertempuran. Sekarang ini, saya dah ditugaskan untuk menggantikan tempat dia," Huo An membalas tanpa sebarang perasaan bersama wajahnya yang tenang.
Zhuge Yue meraih keningnya semasa mendengar kata-kata pemuda itu namun tidak melanjutkan persoalannya, hanya merenung pemuda itu dengan bersahaja sehingga dirasakan yang renungan tajamnya itu mampu menikam melepasi komander baru itu. Huo An lantas mengumpul segala emosinya sebelum membalas tenang, "Cik Puan Jeneral Chu kata yang keberadaan Jeneral dah terbongkar. Sila beredar segera, tak kira walau apa pun yang sedang Jeneral lakukan. Cik Puan Chu juga dah sediakan laluan rahsia untuk Jeneral di Pergunungan Helan. Kalau Jeneral percayakan Cik Puan, Jeneral boleh mengembara ke arah Tang dan larikan diri daripada Yan Bei. Kalau Jeneral ada laluan lain yang Jeneral boleh gunakan, sila beredar sekarang. Tuanku akan mengerah sekumpulan tentera besar untuk mengepung Jeneral. Kalau Jeneral tak beredar sekarang, Jeneral pasti tak akan boleh beredar selepas ini."
"Apa yang terjadi pada Jeneral Chu? Kenapa Komander He Xiao terkorban dalam medan pertempuran?"
Raut wajah Huo An terus berubah, berfikir sejenak sebelum membalas, "Cik Puan Jeneral Chu hanya memerintahkan saya untuk melaporkan hal itu kepada Jeneral Zhuge. Bagi hal yang lain itu, maafkan saya kerana saya tak dapat nak bercakap apa-apa lagi." Selepas tamat percakapannya, pemuda itu lantas berpusing dan bersedia untuk beredar.
Zhuge Yue memanggilnya, "Berhenti sekejap."
Namun, Huo An langsung tidak berhenti. Swoosh! Seorang tentera muda serta-merta menghunus pedangnya sebelum menempatkannya pada leher Huo An dan mencemuh dingin, "Kamu tak dengar ke Tuan Muda panggil kamu?"
Huo An berpaling untuk melihat seorang pemuda dalam lingkungan berumur 18 ke 19 tahun. Renungan matanya itu jelas memperlihatkan dia seorang pemain pedang.
"Yue Jiu, jangan biadap." Zhuge Yue mengarah dengan suara yang rendah, membuatkan si pemain pedang itu berundur dengan kepala yang tertunduk. Huo An berpaling untuk melihat Zhuge Yue yang hanya tenang sahaja sebelum berkata perlahan, "Jeneral, ramai pengkhianat yang dah muncul di dalam jabatan saya dan mereka nak menghapuskan Jeneral Zhuge dan juga Cik Puan Chu. Tuanku dah memerintahkan supaya Cik Puan Chu membunuh Jeneral, tapi Cik Puan tak mahu dan malah menghantar pasukan tentera dia untuk menghalang pasukan tentera Tuanku. Sekarang ini, saya berasa malu untuk kembali dan berhadap dengan Cik Puan, ataupun untuk meminta keampunan daripada dia. Saya hanya harap yang Jeneral Zhuge dapat mendengar kata-kata Cik Puan Chu dan beredar dengan cepat. Kalau tidak, 9,000 orang tentera dari Garison Utusan Barat Daya bersama-sama dengan Cik Puan akan mengorbankan diri mereka untuk sia-sia sahaja."
Setelah itu, Huo An mengeluarkan pedangnya daripada karung untuk menghiris lehernya tegas. Zhuge Yue pantas dalam memberi reaksinya dengan menolak pedang pemuda itu ke tepi namun dia setengah saat terlalu terlambat apabila segarisan darah kemas mengalir dari leher pemuda itu tanpa henti.
Meng Feng bercangkuk untuk meneliti keadaan Huo An yang sedang terkulai di atas tanah dengan lebih dekat sebelum meraih wajahnya dan berkata, "Jangan risau, dia tak akan mati."
Raut wajah Zhuge Yue menjadi telus apabila dia merenung dataran bersalji yang tandus itu buat masa yang lama sambil direnung oleh para orang bawahannya. Salah seorang daripada mereka berkata, "Jeneral, kita tak boleh percaya kata orang ini bulat-bulat."
Zhuge Yue mengangguk dan berkata, "Mari kita cari maklumatnya."
"Ya!"
Seorang peninjau bergegas kembali ke sisi Zhuge Yue apabila subuh menjelma dan berkata, "Jeneral, kami dah pergi periksa. Beberapa orang rakyat kata yang pasukan tentera Jeneral Chu sedang dalam perjalanan ke Bandar Yuegong dalam kelajuan yang sungguh dahsyat. Mereka dah melepasi kawasan ini dua jam lalu. Saya juga dah periksa kesan telapuk kaki kuda yang nampak berselerak, bermakna yang mereka sedang dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi, tiada perintah rasmi daripada Yan Bei untuk menangkap Jeneral Chu pun."
Zhuge Yue mengangguk dan masih berdiam diri, mindanya sedang sibuk bekerja.
Dalam masa yang singkat, seorang lagi pengintip kembali dan melaporkan, "Jeneral, kami dah periksa. Pasukan Tentera Helang Hitam itu dah dipimpin oleh Cheng Yuan. Mereka dah pecahkan kumpulan mereka ke lima arah dan sedang mengekori belakang Cik Chu untuk menangkap dia. Mereka ada lebih daripada 100,000 orang tentera."
"Tuan, daerah-daerah di Yuegong semuanya sedang menyiapkan pasukan tentera bantuan mereka dan juga mendirikan halangan-halangan jalan. Pasukan tentera kerahan itu sekarang sedang bertugas sebagai pasukan tentera peronda yang sentiasa berwaspada. Bandar Yuegong nampaknya sedang bersiap sedia untuk mengerahkan pasukan tentera yang besar. Nampak macam tak elok saja buat kita."
"Jeneral, Yan Xun pun dalam perjalanannya ke Yuegong juga."
Angin kencang masih lagi bertiup mengiiringi pemandangan yang kelihatan sungguh sunyi itu. Zhuge Yue yang sedang memakai jubah kelabu melangkah ke arah kuda pertempurannya dan berkata dalam suara yang rendah namun sungguh tegas, "Jom kita pergi ke Yuegong."
"Jeneral!" Meng Feng lantas merentap tali kekang kuda Zhuge Yue, berdiri di hadapan pemuda itu dan membalas dalam suara rendah, "Tuan tak boleh pergi."
Zhuge Yue meraih pandangannya sedikit namun terdiam, tetapi Meng Feng masih memahami mesej yang tersirat di sebalik anak mata pemuda itu. Gadis itu lantas menasihati dengan tegas, "Ada banyak kelemahan dalam cerita dia itu. Walaupun ia benar, tapi kita tak boleh bertindak melulu disebabkan keupayaan kita sekarang ini."
"Betul itu, Jeneral." Suara penolong jeneral Zhuge Yue yang bernama Chen Ru itu bergema. Pemuda itu sebelum ini hanyalah seorang hamba yang bertugas untuk memberi makanan kepada para kuda di kediaman Zhuge namun disebabkan keupayaan dan bakat pemuda itu yang amat menakjubkan, dia telah dilucutkan dari statusnya sebagai seorang hamba dan telah dididik sebagai penolong komander untuk pasukan Zhuge Yue.
Chen Ru menambah dalam suara lemahnya, "Saya pun rasa yang ada sesuatu yang tak kena. Kalau betullah ini sebuah operasi rahsia, macam mana kita boleh dapatkan berita dengan semudah itu dan pada masa yang sungguh tepat pula?"
Yue Jiu berkerut dan berkata, "Tuan, saya pun rasa ada sesuatu yang tak kena."
"Jeneral, semua kebetulan ini terjadi pada masa yang sangat mencurigakan. Kalau apa yang Huo An katakan itu benar, bagaimana dia dapat jumpa kita? Bukan ke ini bermaksud yang Chu Qiao dah mengekori kita sepanjang jalan ini? Kita kena lebih berhati-hati. Saya rasa kita patut teruskan dengan rancangan asal kita. Perunduran secepat mungkin itu jalan terbaik buat kita."
"Kamu semua betul," Zhuge Yue mengangguk dan berkata perlahan. Orang-orang suruhannya yang lain berasa lega setelah mendapati tuan mereka akhirnya telah mendengar cadangan mereka, namun dalam sekelip mata sahaja pemuda itu berkerut dan merenung mereka sambil berkata, "Tapi, kalau apa yang dikatakan Huo An itu betul bagaimana pula? Apa yang patut kita buat?" Semua orang tergamam dan berfikir sendirian, 'Ya, kalau betul apa yang lelaki itu katakan, bukan ke ia bermaksud yang Chu Qiao akan mati kalau dilihat dari tindakan Yan Xun itu? Apa lagi yang patut kita lakukan kalau itu terjadi?'
Zhuge Yue tidak menunggu sesiapa untuk membalas kata-katanya sebelum pemuda itu melonjak naik ke atas kudanya yang lantas dihalang oleh khalayak ramai yang terkejut apabila melihat pemuda itu. Meng Feng menasihatinya sekali lagi, "Jeneral, saya rasa maklumat ini 80 ke 90 peratus salah. Yan Xun sengaja memasang perangkap untuk Tuan…"
"Kalau 80 ke 90 peratus maklumat itu salah, tapi apa akan jadi pada 10 ke 20 peratus itu?"
Meng Feng tergamam. "Berbaloi ke kalau kita merisikokan nyawa kita untuk 10 ke 20 peratus itu?" Tanya dia.
Zhuge Yue masih terdiam dan menggeleng kepalanya perlahan sebelum berbisik, "Kita tak boleh nak pastikan sama ada maklumat ini benar atau salah…" Namun, dia tidak meneruskan kata-katanya apabila perasaannya dihurung kecurigaan, raut wajahnya juga tiba-tiba bertukar menjadi bimbang. Zhuge Yue mendongak untuk melihat salji yang meliputi seluruh kawasan sehingga di kejauhan, lantas tersenyum dan melepaskan ketawa dingin sebelum berkata, "Lagipun, bukannya senang untuk Yan Xun nak bunuh saya."
"Yue Jiu," Zhuge Yue mengarah dingin, kekejaman yang menebal tiba-tiba menyelubungi setiap inci anak matanya, "Laporkan kepada Yue Da yang kita boleh mula gunakan pion-pion kita di Yan Bei itu sekarang." Pion? Kebimbangan mula terpancar daripada anak mata Yue Jie namun dalam sekelip mata sahaja pemuda itu dapat tersedar daripada khayalannya. Pemuda itu menuruti perintah tuannya dan beredar menggunakan kudanya, membawa bersama bunyi telapuk kaki kuda yang kian menghilang di sebalik kejauhan.
Zhuge Yue terduduk di atas kudanya dan cuba untuk memfokuskan matanya dengan mengecilkannya, raut wajah pemuda itu kelihatan tenang namun anak matanya penuh bergelora. Dia menilai pilihannya dan juga situasi terburuk yang boleh dihadapinya. Tiba-tiba, Zhuge Yue seakan-akan ternampak sekelibat manusia yang sedang berdiri di tengah-tengah dataran bersalji yang meluas itu sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah pemuda itu. Jika benarlah apa yang dinampaknya, adakah ia bermaksud.... Adakah itu suatu cahaya harapan yang mula bersinar? Wanita itu sanggup berkelahi dengan Yan Xun kerana dirinya. Adakah ini bukti tempat Zhuge Yue di dalam hati gadis itu? Zhuge Yue berfikir sendirian dan menggeleng kepalanya sambil melepaskan ketawa, ternyata kelemahannya sedang dieksploitasikan oleh orang lain sekali lagi.
Para kuda tersebut menderap laju ke arah Bandar Yuegong sambil ditemani cahaya mentari yang mula terbit namun ia telah dihalang oleh awanan yang menghitam yang lantas membuatkan bumi dikaburi kegelapan. Yuegong, bandar rangsum Yan Bei bakal mencatit sebuah lagi rekod di dalam buku sejarah mereka.
Seluruh Yan Bei telah diselimuti salji yang setebal tiga kaki bersama angin yang bertiup bagaikan orang gila sambil menderam melintasi seluruh dataran. Perut dan mata para kuda pertempuran telah dilindungi perisai kulit namun mereka masih lagi berlari tidak tentu arah dengan penuh cemas sementara para pahlawan memakai jubah dan topi mereka apabila angin yang berhembus telah membuatkan mata mereka tertutup rapat, hanya bergelut di seluruh dataran bersalji itu.
Apabila Chu Qiao tiba di Sungai Moli, wanita muda itu telah memerintahkan supaya seluruh pasukan tenteranya berhenti dalam langkah mereka dan Sun Cai lantas mara ke hadapan untuk meninjau keadaan sekeliling hanya untuk melihat sebuah kelibat hitam yang dingin. Jeneral wanita muda itu berdiri di atas cenuram bersalji sambil membelakangi angin beku, merenung lautan yang jauh terbentang sambil ditemani sekumpulan burung yang berterbangan tinggi yang juga menjadi cemas apabila melihat salji dan angin yang bertambah kencang.
Sun Cai menolak beberapa orang tentera ke tepi semasa pemuda itu melangkah ke bawah dengan perasaan amarahnya sambil menempik kepada Chu Qiao, "Jeneral Chu, apa yang Jeneral buat ini? Tuanku sedang berada dalam bahaya, tapi awak masih ada masa nak berhenti dan menghirup udara dan pemandangan ini?"
Chu Qiao membalas renungan pemuda itu dengan pandangan yang tajam dan dingin. Dia masih muda, akan tetapi semua orang yang mengenalinya dan berhadapan dengannya bagaikan sudah terlupa umur sebenar gadis ini apabila mereka menggeletar dan menggigil dalam ketakutan, lantas menitik peluh-peluh sejuk di dahi Sun Cai walaupun cuaca yang membeku ini. Chu Qiao lantas memberi arahan semasa pemuda itu mengesan sesuatu yang tak kena, "Ikat dia."
Dalam sekelip mata sahaja para tentera Xiuli melangkah ke hadapan untuk mengikat tangan dan kaki Sun Cai yang membuatkan pegawai muda ini berteriak semasa dia cuba untuk bergelut, "Apa yang awak buat ini? Jeneral Chu, awak berniat untuk mengkhianat ke?"
Renungan dingin yang diberikan Chu Qiao kepada pemuda itu bagaikan mampu menikam ke dalam jiwa raganya, dapat mengesan perasaan ketakutan dan kepanikannya dengan mudah di sebalik raut wajah terkejut dan amarahnya yang didondonkan. Hati wanita muda ini telah pun bertukar menjadi batu.
"He Xiao, ambil semua bahan letupan yang kamu ada dan letupkannya untuk membuat sebuah lubang di dalam sungai. Selepas itu, tinggalkan 300 orang tentera untuk mempertahankan tempat ini. Kalau ada sesiapa yang meluru masuk daripada arah satu lagi sebelum esok pagi, kamu tak perlu kembali dan berjumpa dengan saya lagi."
"Ya!" Patuh He Xiao.
Chu Qiao segera melonjak naik ke atas belakang kudanya sebelum memerintahkan orang-orang bawahannya, "Jom kita pergi."
"Jeneral Chu! Awak tahu ke apa yang awak sedang lakukan ini?"
Chu Qiao berpaling perlahan-lahan sebelum merenung Sun Cai dengan dingin dan mendengus dengan tenang, "Mestilah saya tahu."
"Awak sedang menghalang rakyat-rakyat kita daripada menyelamatkan Tuanku! Ini dikira sebagai pembelotan!"
Chu Qiao melepaskan ketawa sinisnya. "Jeneral Sun, awak ini terlalu naif ke ataupun saya ini terlalu bodoh di mata awak? Awak kata awak seorang sahaja yang berjaya melarikan diri daripada Bandar Yuegong. Tapi kenapa ada lima pasukan tentera yang sedang mengejar kita dari arah yang berbeza sekarang ini? Saya dah ambil jalan utama untuk pulang ke Shangshen, malah dah beredar sehari lebih awal dari yang sepatutnya. Ia mengambil saya selama ini untuk berada di sini. Jadi, macam mana Pasukan Tentera Helang Hitam boleh tiba di sini dengan sebegitu cepat? Awak kata yang Zhuge Yue sedang memimpin 50,000 orang tentera untuk menyekat bekalan rangsum di Yuegong tanpa dikesan, sekaligus mengepung Tuanku. Jadi beritahu saya, memandangkan tahun baru yang dah nak dekat ini, kenapa pula dia keluar daripada khemah utamanya?"