Sun Cai tergamam, lantas membuka matanya luas tanpa boleh menguturkan sebarang kata.
Chu Qiao tersengih sementara matanya pula berubah menjadi dingin. Segera wanita itu memberi amaran dengan nada tegas, "Tuan Sun, kalau saya dah faham tentang apa yang awak cakapkan tadi, saya akan bersujud di hadapan Tuan untuk memohon segala keampunan daripada awak. Tapi, kalau awak sengaja menipu saya, awak patut berhati-hati dalam menjaga kepala awak."
"Jom!" Chu Qiao memerintahkan.
Telapuk kaki kuda menderap laju di dataran bersalji tersebut semasa pasukan tentera melepasi kawasan itu bagaikan deruan bunyi gendang pertempuran dan tidak lama kemudian, sebuah dentuman yang sungguh kuat bergema daripada belakang wanita ini. Walaupun bahan-bahan letupan itu masih lagi mentah dan tidak dibina dengan sebegitu teliti, namun ia masih boleh memecahkan beberapa lapisan ais yang tebal.
Sungai Moli itu merupakan anak sungai Chi Shui dan airnya mengalir dengan sungguh deras yang membuatkan ia hampir mustahil untuk membeku semula selepas aisnya dipecahkan. Jadi, ia sememangnya mustahil buat Pasukan Tentera Helang Hitam Yan Bei untuk melintasi sungai tersebut dengan pantas, apatah lagi dengan 300 orang pemanah yang mengawal persisiran sungai. Pasukan itu harus sering mendongak ke atas untuk menjaga keselamatan diri mereka walaupun marabahaya juga berada di hadapan mereka.
Chu Qiao membuat keputusan akhir semasa dia mengecilkan matanya untuk merenung dengan lebih tajam dan kejam, bagaikan seekor harimau kumbang yang telah bertemu dengan mangsanya.
"Cik Puan!" He Xiao kini tiba di sisi Chu Qiao dengan kudanya. Setelah bertahun-tahun bertempur dan bekerjasama di sisi masing-masing, hubungan mereka yang dahulunya hanyalah di antara ketua dan orang bawahannya kini telah bertukar menjadi kawan rapat. Jeneral yang kacak itu bertanya, "Apa yang berlaku di depan itu?" Pipi mereka terasa perit apabila empingan salji mencucuk-cucuk wajah mereka semasa angin bertiup kencang. Chu Qiao akhirnya menjawab serius setelah berdiam diri buat masa yang agak lama, "Mungkin Chen Yuan dah memberontak."
He Xiao mengambil beberapa ketika untuk memproses apa yang sedang berlaku dan akhirnya berjaya mengaitkan kejadian-kejadian yang telah berlaku, namun pemuda itu berasakan ia sememangnya mustahil jadi dia berkerut, "Saya dah agak dah yang dia itu jahat!"
Chu Qiao langsung tidak membalas kata-kata pemuda itu dan masih mengekalkan renungannya di hadapan sebelum melibas kudanya dan menderu pergi. Wanita ini berharap dan terus berharap yang firasatnya benar kerana dia sememangnya tidak mahu menghadapi kemungkinan lain.
'Tak mungkinlah. Mustahillah. Yan Xun tak akan tipu aku macam ini.'
"Cepat lari!" Chu Qiao mendengus sambil menguburkan fikiran-fikiran buruknya jauh di sudut hati wanita ini. Para kuda yang menderap laju di dataran bersalji itu dilihat bagaikan sebuah puting beliung sementara matahari yang terang bersinar sebentar tadi kini telah diselindungi dek awanan kelabu, membuatkan bumi kelihatan penuh dengan kedukaan.
Kehadiran Zhuge Yue sememangnya tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Mengikut rancangan asal yang telah ditetapkan, mereka sepatutnya membawa Chu Qiao ke sini yang lantas mempamerkan sebuah ilusi bahawa wanita ini sedang dikejar dan pengerahan tentera Yuegong itu hanyalah sekadar untuk mengelirukan Zhuge Yue, dengan objektif terakhir mereka adalah untuk mengumpan pemuda itu keluar daripada lembah Mingxi dan seterusnya membunuhnya dengan 20,000 orang pemanah yang telah ditugaskan di hadapan jalan masuk ke lembah itu. Pertempuran itu dianggarkan untuk tamat sebelum tengahari dan tidak akan mengganggu-gugat wilayah dalam Yan Bei, dan semestinya bukan di Yuegong iaitu sebuah bandar yang sangat penting. Namun, Zhuge Yue tiba-tiba muncul di Bandar Yuegong dan reaksi pertama yang telah diberikan bandar itu adalah keporak-perandaan kerana Yan Xun telah mengerahkan setiap ahli tentera bandar itu untuk menyerang hendap lembah Mingxi.
Akhirnya, Yuegong telah habis dijilat api yang berpunca daripada Zhuge Yue dan pemuda itu sedang berdiri di atas Cenuram Xiema yang terletak di luar bandar sambil memakai jubah hijau dan memerhatikan Yan Xun apabila pemuda itu menerima berita tentang kejadian tersebut. Zhuge Yue telah melepaskan anak panah berapinya yang pertama ke tembok bandar tersebut betul-betul di hadapan mata kepala Yan Xun yang seterusnya diikuti dengan 300 lagi anak panah berapi yang melayang ke arah bandar yang keseluruhannya telah disaluti dengan minyak tanah itu. Para dewa juga bagaikan menyebelahi Zhuge Yue apabila angin yang bertiup dengan sungguh kencang itu telah memastikan seluruh bandar dilanda kebakaran selain dari tempat simpanan bekalan makanan.
Pasukan tentera yang seramai 20,000 ahli yang pada mulanya berasa sedih apabila melihat kejadian tersebut terus mengamuk apabila memikirkan rumah-rumah mereka yang telah hancur dibaham api dan ahli keluarga mereka yang kemungkinan besar telah terkorban. Jadi, tanpa menunggu perintah daripada Yan Xun, tanpa memikirkan tentang formasi mahupun strategi mereka, pasukan tentera yang separuh bilangannya berasal dari Bandar Yuegong telah meluru ke atas cenuram tersebut untuk menyerang pasukan tentera Zhuge Yue bagaikan orang gila yang telah dirasuk. Namun, sebelum sempat mereka mendekati pasukan tentera lawan, Pasukan Pengawal Yue telah memanah dada mereka dengan ratusan demi ratusan anak panah. Tiada seorang manusia di dalam dunia ini yang mampu menahan serangan sebegitu dan dalam lima belas minit sahaja, tiada seorang pun yang masih hidup.
Angin menghembus kencang melintasi medan pertumpahan darah itu sambil tangisan dan rintihan para tentera yang sedang nazak kuat bergema. Yan Xun berdiri di dataran bersalji itu sambil memerhatikan seluruh suasana di hadapannya, langsung tidak menghalang pasukan tentera Yuegong yang telah menyerang pasukan lawan mereka. Bukanlah pemuda ini tidak mahu menghalang mereka, tetapi tidak ada gunanya jika dia berbuat sedemikian kerana mereka pasti tidak akan mendengar kata-katanya, jadi pemuda itu hanya melihat semasa 10,000 orang tenteranya mati disebabkan panahan-panahan yang telah dilepaskan oleh pasukan tentera Zhuge Yue bagaikan lalang yang baru sahaja ditebang oleh sabit kematian sementara 10,000 lagi pengawal peribadinya berdiri di belakang pemuda itu bagaikan sehutanan yang sepi.
Ini merupakan kali pertama Yan Xun dan Zhuge Yue bertemu setelah kejadian yang berlaku di Empayar Tang lama dahulu walaupun negara mereka telah berperang selama lebih setahun dengan pertempuran demi pertempuran yang telah diketuai oleh mereka berdua ini dan juga walaupun Zhuge Yuelah yang telah memimpin serangan ke atas khemah utama Yan Xun. Kini, apabila tatapan mata mereka bertemu, ketegangan yang melanda kawasan itu terasa seperti ia boleh menghasilkan percikan api yang panas, terasa seperti terdapat sesuatu kuasa yang sedang mengalir deras di sebalik topeng ketenangan yang sedang didondonkan pada wajah kedua-dua pemuda ini. Malah, sesiapa yang tidak tahu akan cerita sebenar pasti tidak akan dapat merasakan ketegangan yang berbahang ini.
Mereka berdua telah menghadapi pelbagai konflik semenjak mereka masih kanak-kanak di Bandar Zhen Huang lagi sehinggalah kini apabila mereka telah meningkat dewasa. Kedua-dua mereka mempunyai keupayaan yang tinggi dan dari segi kuasanya pula, walaupun mereka berasal dari dua pihak yang berlawanan, namun mereka masih memiliki pengaruh kuasa yang sangat besar. Dari segi kuasa ketenteraan pula, mereka berdua merupakan pakar strategi yang bersaing antara satu sama lain dengan taktik ketenteraan mereka. Mereka juga musuh dalam segi politik yang tidak akan pernah bersependapat, namun takdir bagaikan mengetawakan mereka dengan membuatkan mereka berdua terjatuh cinta dengan wanita yang sama. Dengan takdir yang sebegitu, maka mereka tidak pernah mengagumi keupayaan dan juga bakat mereka masing-masing selagi mereka berjumpa dan konflik mereka hanya akan selesai jika salah seorang daripada mereka tewas ataupun dibunuh.
Hati Zhuge Yue mula menjadi tenteram setelah dia melihat kelibat Yan Xun kerana pemuda ini telah mengetahui dirinya telah ditipu semenjak dia melangkah keluar dari Lembah Mingxi itu lagi. Namun, apa yang bakal mengubah segalanya adalah jika kejadian ini telah dikomplot sendirian oleh Yan Xun ataupun Chu Qiao juga telah bersubahat dengannya. Memandangkan kekejaman medan pertempuran yang sedang mereka hadapi kini, perihal remeh itu mungkin akan dilepas pandang oleh orang-orang lain, namun Zhuge Yue langsung tidak boleh menghalau pemikiran tersebut daripada terus terlayar di mindanya kerana pemuda ini hampir percaya dengan seluruh jiwa raganya bahawa Chu Qiao bukanlah seseorang yang sebegitu, ditambah pula apabila Zhuge Yue pasti yang dirinya telah menempah tempat di lubuk hati wanita itu. Namun, pemuda itu masih tidak pasti sepenting manalah dirinya buat Chu Qiao, lantas membuatkan dirinya masih tertanya-tanya jika wanita itu akan berpihak kepada Yan Xun ataupun dirinya setelah kedua-dua pemuda ini berhadapan dengan konflik seperti ini. Zhuge Yue segera tersenyum menyindir kepada dirinya sendiri. Walaupun jika Chu Qiao tidak akan mengkhianati Yan Xun buat dirinya, tetapi wanita ini juga tidak akan membunuh Zhuge Yue buat Yan Xun dan fakta itu sendiri sudah memadai buat Zhuge Yue.
Sebaliknya, Yan Xun tidaklah berasa setenang Zhuge Yue apabila mereka bersabung renungan dek kebencian dan kekejian yang dirasai buat pemuda itu terlalu menebal bagi Yan Xun. Pemuda itulah yang telah menjadi lawan pertamanya sewaktu dia melarikan diri daripada Bandar Zhen Huang dahulu dan telah menyebabkan penderitaan buat dirinya selama lapan tahun. Zhuge Yue telah menikmati kehidupan mewahnya sebagai seorang bangsawan manakala Yan Xun hidup merempat, lebih teruk daripada nyawa haiwan ternakan. Zhuge Yue telah menjadi pujaan hati ramai sementara Yan Xun telah dikeji dan dihina. Keluarga Zhuge Yue telah menempah nama mereka untuk menjadi salah sebuah keluarga yang paling berkuasa di benua ini manakala keluarga Yan Xun pula telah habis dibunuh dan dipenggal. Apabila Yan Xun akhirnya dapat meraih pengaruh kuasanya sendiri, Zhuge Yuelah yang telah menghalang pasukannya daripada terus mara ke dalam Empayar Xia dan bukan itu sahaja konfik mereka kerana terdapat juga kisah mengenai seorang wanita bernama Ah Chu…
Setelah memikirkan segalanya yang telah berlaku di antara kedua-dua mereka selama hari ini, hati Yan Xun tiba-tiba berapi dengan penuh semaraknya, tidak dapat lagi menahan kebencian dan kemarahan yang telah dipendam jauh di sudut hatinya selama bertahun-tahun ini yang bagaikan sebuah gunung berapi yang tinggi. Sekali ia meletus, tiada siapa yang mampu mengawal atau meminta sebarang pertolongan.
Sewaktu senja menjelma dan matahari mulai terbenam, segarisan berwarna hitam tiba-tiba boleh dilihat dari kaki langit timur yang semakin mendekati dataran bersalji ini dan walaupun kuda-kuda pertempuran Yan Bei itu masih terletak jauh dari mereka, namun masih boleh dirasai peperangan yang bakal tercetus di kawasan ini tidak lama lagi. Pasukan yang sedang mendekati mereka itu yang seramai lebih kurang 30,000 ke 40,000 anggota tentera telah membuatkan kedua-dua pemuda itu, Zhuge Yue dan juga Yan Xun, berdiam diri tanpa sebarang pergerakan. Menyumpah seranah itu dianggap terlalu kebudak-budakan buat mereka apabila bakal berhadapan dengan kekejaman tidak berpenghujung yang dipanggil peperangan ini.
Seorang tentera lantas bergerak keluar dari formasi Yan Xun untuk berdiri di di hadapan Zhuge Yue, berteriak, "Jangan panah!"
Para pengawal Yan hanya memerhatikan pejuang yang berani ini tanpa sebarang emosi sebelum tentera yang melangkah ke hadapan tadi membasahkan bibirnya dan mula bermonolog. Monolognya mengandungi kenyataan-kenyataan yang ringkas dan basi, termasuklah mengenai kekejaman Empayar Xia dan bagaimana Yan Bei merupakan sebuah negara yang mendaulatkan keadilan, diteruskan dengan bagaimana serangan Zhuge Yue di dalam negara ini bakal mengganggu-gugat kuasanya dan ia tidak akan dapat ditoleransi. Jika Zhuge Yue ingin meneruskan kehidupannya, pemuda itu haruslah meletakkan segala senjatanya pada saat itu juga dan menyerah kalah.
Ahli tentera tersebut melaungkan sebutir demi sebutir kata itu dengan penuh semangat, namun Zhuge Yue mahupun seluruh pasukannya langsung tidak memberi sebarang tindak balas. Zhuge Yue yang mendapati pemuda tersebut telah menyelesaikan percakapannya terus melambai tangannya ringan sebelum memerintah kejam, "Hapuskan dia."
Dengan itu, panahan yang tidak terkira banyaknya telah dilepaskan pada pahlawan berani Yan Bei ini, membuatkan dirinya terasa seperti sebuah kusyen jarum yang telah dicucuk-cucuk dek jarum peniti sebelum tubuhnya terkulai layu di atas tanah namun kakinya masih tersekat pada pelana kudanya. Kuda pertempuran milik askar itu serta-merta menjadi terkejut apabila melihat seombakan anak panah telah dilepaskan ke arahnya, membuatkan ia menderap pergi dengan sepantas mungkin sementara mengheret mayat tuannya tanpa disedari, lantas meninggalkan jejak darah yang panjang.
Para tentera Yan Bei terus mengamuk setelah melihat kejadian ini dan lantas mereka melaungkan sorakan-sorakan peperangan mereka sambil menghunus pedang secara serentak, membuatkan ia kelihatan seperti sebuah lautan pedang yang megah. Pasukan tentera berkuda terus menderap laju meninggalkan empingan-empingan salji di belakang mereka semasa mereka bergerak dalam sebuah formasi yang kemas, lantas menandakan permulaan peperangan.
Langit mula menjadi lebih gelap semasa matahari semakin terbenam. Walaupun pasukan tentera Zhuge Yue lebih sedikit jumlahnya berbanding dengan tentera Yan Xun, namun setiap anggota tenteranya itu bagaikan sebilah pedang gergasi yang sentiasa digilap dengan kehandalan memanah mereka yang tidak tersaing sehingga tiada satu mata anak panah pun yang telah disia-siakan. Pasukan tentera Zhuge Yue ini boleh melepaskan panahan mereka walaupun mereka sedang berlari untuk menyerang pasukan lawan dan setelah mereka selesai memanah, pasukan tentera Zhuge Yue lantas menghunus pedang mereka dan bertempur dalam jarak dekat. Kesemua ahli tentera pasukan ini merupakan pakar dalam seni mempertahankan diri dan tiada seorang pun yang merupakan tentera biasa. 300 orang ahli tentera ini kelihatan sungguh berkuasa apabila mereka meluru ke medan pertempuran tanpa sekalipun diperlahankan oleh pihak musuh yang datang tanpa henti.
Namun, pasukan tentera Yan Xun bukanlah calang-calang juga, terdiri daripada tentera-tentera elit yang telah dipilih sendiri oleh Yan Xun dan juga telah diberikan senjata-senjata terhebat. Kesemua daripada mereka berpengalaman dalam peperangan dan dipenuhi dengan semangat juang mereka tersendiri.
Kekejaman telah pun berlaku sebaik sahaja pertempuran ini bermula, membuatkan pemandangan di dataran bersalji ini dihiasi dengan darah yang terpercik di sekeliling kawasan dan juga anggota-anggota badan terputus yang melayang dari segala arah. Seluruh medan pertempuran itu bergegar dengan dentuman maut apabila para kuda peperangan berlanggar dengan satu sama lain, cuba untuk menjatuhkan pihak lawan mereka, sememangnya mampu untuk membuatkan bulu roma para penonton merenang.
Awanan yang gelap menguasai seluruh langit di kawasan itu bersama awan yang mengandungi hujan yang sedang terapung-apung rendah sehingga terasa seperti ia mampu menyentuh kepala para tentera yang sedang berperang ini. Yan Xun sedang terduduk sepi di dalam khemah sementara sambil menunggu berita daripada orang-orang bawahannya manakala api yang sedang menyala menjilat bandar di belakang mereka bergemersik, membuatkan para tentera Yan Xun menjadi semakin bimbang. Suasana di kawasan itu sungguh tegang dengan perasaan cemas dan takut yang membuak-buak di dalam kalangan para tentera dari kedua-dua belah pihak.
Sudah lebih sejam berlalu. Pertempuran ini sememangnya tidak adil daripada mula lagi disebabkan angka jumlah tentera Zhuge Yue yang hanyalah seramai 300 orang itu untuk berhadapan dengan angka jumlah tentera Yan Xun yang seramai 10,000 orang tentera. Tidak kira betapa berbakatnya Zhuge Yue, pemuda itu pasti tidak akan dapat mempertahakakan kedudukannya itu, anak-anak panah milik para Pengawal Yue juga telah habis digunakan bersama pedang-pedang mereka yang telah menjadi sumbing. Ramai daripada mereka yang mengalami kecederaan parah dan banyak kuda mereka yang mati, tidak lagi mampu menunjukkan kelincahan mereka seperti di awal pertempuran tadi dan hanya mampu mempertahankan formasi mereka dalam menghapuskan mata-mata pedang yang sedang menghala ke arah mereka.