Air mata Chu Qiao terus mengalir deras, merembes ke pipinya dengan sebarisan yang kemas sebelum dia membuka jubahnya yang berat itu dan membiarkannya jatuh ke tanah. Pada masa ini, jeneral yang telah merampas Barat Meng dengan rakus dan juga mengancam kedaulatan Empayar Xia telahpun menghilangkan diri. Dia hanyalah seorang wanita yang lemah dengan wajahnya yang pucat dan lesu manakala matanya pula mencengkung. Tangannya yang dahulu lincah bergerak ketika memerintah, kini terkulai layu. Pandangan matanya kosong. Air matanya mengalir laju di pipinya yang kurus itu, meninggalkan rasa yang sakit kerana dikeringkan oleh angin.
Baru sekarang dia tersedar rasa cintanya terhadap Yan Xun terlalu mendalam setelah dikumpul dan diperap buat bertahun-tahun ini, seolah-olah ia semuany telah bercampur dengan urat darahnya, menjadi sebahagian daripada tubuhnya. Sebelum ini, dia tidak menyedari perasaannya itu sewaktu Yan Xun ditunangkan bersama Zhao Chun'er; juga tidak menyedari perasaannya ketika dia terpaksa berpisah dengan pemuda itu dan mengembara ke Tang seorang diri; dia tidak menyedarinya semasa dia sedang berhadapan dengan dewa kematian ketika mempertahankan Beishuo. Hal ini adalah kerana pada masa itu, tidak kira sejauh mana mereka berada, hati mereka telah menjadi satu dan Chu Qiao tahu Yan Xun juga sangat mencintainya, tidak kira jika pemuda terpaksa berada di pihak lain, tanpa mengira sejauh mana mereka terpisah, dan tidak kira sama ada mereka hidup atau mati. Walau bagaimanapun pada masa ini, Yan Xun berdiri di belakangnya sambil melihat bayangannya jatuh. Chu Qiao sedar semua ini tidak dapat dibandingkan dengan kecurigaannya!
Kesetiaan dan kasih sayangnya buat lelaki itu kukuh seperti gunung yang tidak akan berubah walaupun ada malapetaka yang berlaku dan wanita itu juga pasti yang dia tidak akan menutup kelopak matanya walaupun dia sudah mati sekiranya kepercayaan di antara pemuda itu kepadanya masih wujud. Oleh itu, Chu Qiao langsung tidak berasa marah apabila Yan Xun telah meninggalkan Garison Utusan Barat Daya di Bandar Zhen Huang dan wanita itu juga telah memaafkan pemuda itu dalam sekelip mata apabila dia berputus asa dengan Yan Bei. Apabila pemuda itu membunuh para tentera dari Garison Utusan Barat Daya dan melindungi Cheng Yuan, salah siapakah yang membuat dia terus-menerus mengambil jalan yang salah? Adakah ia disebabkan trauma yang pernah dialami pemuda itu? Atau persengketaan yang terpendam jauh dalam sudut hatinya? Penindasan dan kegilaan yang dirasai bertahun-tahun lamanya? Atau adakah salahnya terletak pada diri wanita ini yang tidak berjaya menghalang Yan Xun untuk berkelakuan sebegitu?
Chu Qiao berjalan menuju ke khemah yang gelap itu dengan sepantas kilat di mana luaran khemah yang berwarna putih itu berdiri tinggi seperti sebuah batu nisan sebelum kaki wanita itu tergelincir lalu dia terjatuh ke atas tanah yang bersalji. Dia cuba menyokong badannya untuk bangun, namun gagal berbuat demikian dan lantas tangisan yang dipendamnya buat seberapa lami ini akhirnya terlepas dari hujung matanya jua, sekaligus dia melutut di atas tanah sambil tangannya memegang salji yang terasa sangat menyakitkan seperti sedang memegang pisau yang sejuk. Bahunya menggigil kerana wanita ini sudah tidak dapat menahan kesedihan di dalam dirinya lagi, lantas air matanya mula mengalir jatuh ke wajahnya.
'Yan Xun, macam mana awak boleh mencurigai saya? Macam mana awak boleh meragui saya?'
Salji yang turun meliputi tanah semakin lebat dan Chu Qiao yang sedang berpakaian seba putih itu dilitupi salji semasa dia terkulai layu di atas tanah bersalji itu, menutup mulutnya sambil menangis teresak-esak dengan senyap ketika salji mulai menyelubungi bahunya.
Keesokan harinya, Chu Qiao telah membuat sebuah permintaan kepada Yan Xun secara peribadinya untuk meninggalkan medan pertempuran timur dan kembali ke Yan Bei bersama pasukan tentera Garison Utusan Barat Daya. Wanita itu akan kembali ke Pergunungan Huihui di daerah Shangshen untuk membina sistem pengairan dan juga kerja-kerja pertanian untuk membantu memperbaiki kehidupan rakyat mereka setelah peperangan tamat.
Yan Xun merenung surat permintaannya itu untuk beberapa ketika sebelum bersetuju dengan menulis "Ya", sebuah perkataan yang singkat namun pemuda itu telah mengambil masa yang lama untuk menulisnya. Langit telah pun menjadi cerah ketika pemuda itu menulis hurufnya yang terakhir dengan cahaya matahari yang menyinari tanah bersalji itu, membuatkan persekitaran mereka tampak lebih sunyi.
Langit kelihatan cerah pada hari keberangkatan Chu Qiao dengan kabus yang kelihatan beberapa hari lalu telah pun hilang. Tiada seorang pun tentera yang datang untuk menghantarnya pergi termasuklah Yan Xun, jadi Chu Qiao menunggang kudanya sambil memandang langit yang berwarna biru keunguan sambil ditemani sekumpulan helang putih yang sedang berterbangan di udara. Teriakan mereka bergema buat masa yang lama di sekitar kawasan itu.
'Yan Xun, saya pergi dulu. Jaga diri baik-baik.'
Pada hari wanita muda itu meninggalkan Shangshen, langit juga cerah, membiru dan jelas namun cuaca di kawasan sekeliling masih lagi sejuk walaupun tahun baru sudah semakin dekat. Cahaya matahari terasa hangat seperti helaian sutera emas bersama sebarisan kuda perang yang gagah yang sedang melompat-lompat di atas dataran bersalji, membentuk satu garisan panjang yang lebih kurang berjumlah seramai 2000 orang.
Sekarang sudah menghampiri hujung tahun 776 menurut kalendar Bai Cang dan dalam masa setengah bulan lagi, tahun baru akan menjelma. Ketika dalam perjalanan, Chu Qiao bertemu dengan ramai pedagang yang sedang berada dalam perjalanan dari tanah besar untuk berdagang. Ekonomi Yan Bei kini telah menjadi makmur. Walaupun peperangan di sempadan masih belum tamat, namun ramai pedagang dari tanah besar yang berjaya ke Yan Bei menerusi laluan air di sempadan selatan untuk berdagang.
Chu Qiao lantas membuka topi di atas kepalanya dan memandang langit membiru keunguan dengan pandangan mata yang bersinar terang. Dalam sekelip mata sahaja, setahun telahpun berlalu dan wanita muda ini semakin tinggi manakala wajah dan konturnya kelihatan lebih matang. Rambutnya telah diikat kemas sambil dirinya yang sedang berjubah hijau itu menunggang kuda perangnya yang berwarna merah.
Ge Qi mendekati gadis itu dari hadapan dengan kudanya dan berkata, "Jeneral, Komander He Xiao nak saya kirimkan pesanan kepada Cik Puan di mana dia akan membina kem di kaki Pergunungan Minxi malam ini. Dia dah membuat segala persiapan bersama pasukan barisan hadapan."
Chu Qiao mengangguk, tiba-tiba terdengar teriakan helang di atasnya, serta-merta wanita itu memandang ke atas dan termenung jauh. Selepas mereka melepasi Pergunungan Minxi, mereka akan tiba di Dataran Huolei yang bermakna kemudian mereka akan tiba di Wilayah Barat Laut yang baru saja ditawan oleh Yan Bei. Tanah itu dahulunya dimiliki oleh Xia, tetapi kini telah menjadi milik Yan Bei. Peperangan di Sempadan Yanming berlarutan sepanjang tahun.
Tahun itu, iaitu tahun 775, merupakan tahun yang amat bermakna sekali kerana ia dikenali sebagai tahun yang paling bergolak dan kacau-bilau dalam sejarah Meng Barat, sememangnya layak dicatit di dalam buku sejarah negara. Sebuah bencana telah berlaku di wilayah Xia semasa peperangan di antara Xia dan Yan Bei tercetus separuh jalan di mana ramai rakyat jelata bersama tujuh orang pembesar di wilayah utara telah memulakan kekacauan yang lantas menyebabkan pelbagai sumber bekalan buat para tentera di pertempuran barat laut berkurangan, begitu juga dengan ahli tentera kerahan. Zhao Che yang terdesak itu terpaksa menukar strateginya daripada serangan kepada pertahanan, mempertahankan Sempadan Yanming bermati-matian demi menyelesaikan konflik dalaman yang sedang mereka hadapi kini namun setelah serangan semakin berkurangan, Maharaja Tang pula tiba-tiba meninggal dunia. Dalam kekalutan itu, Putera Mahkota Tang, iaitu Li Ce sekaligus menaiki takhta sebagai Maharaja baru Tang namun sebuah pertempuran kecil telah tercetus di sempadan di antara kedua-dua empayar itu yang disebabkan oleh perselisihan faham yang berlaku di dalam Empayar Tang itu sendiri, sekaligus memisahkan Xia dan Tang. Jika bukan kerana Zhao Yang yang telah dihantar ke sempadan tersebut untuk menghentikan pertempuran itu, Xia pasti terpaksa menghadapi perang bercabang tiga. Peristiwa tersebut telah disaksikan oleh semua orang apabila Empayar Xia mengalami kemerosotan dalam masa yang sungguh singkat manakala di barat, empayar ini langsung tidak berkuasa untuk menawan Yan Bei dan di utara pula, mereka tidak dapat menenangkan rakyat mereka. Empayar tersebut juga tidak berjaya menakutkan Empayar Song supaya berundur di bahagian selatan dan di timur, mereka terikat dengan ekonomi Song. Kini, tiada suatu empayar yang benar-benar berkuasa di benua Meng Barat ini.
Setengah tahun yang lalu, Yan Xun secara rasminya telah menaiki takhtanya di Pergunungan Luori dan mengisytiharkan Yan Bei sebagai sebuah negeri yang merdeka yang dikenali sebagai negara Yan, dan menamakan kalendar mereka sebagai kalendar Chuyuan. Selain daripada Empayar Xia yang sememangnya memandang hina kepada negara tersebut, empayar Tang dan juga Song langsung tidak membantah pembentukan negara tersebut. Dengan ini, Yan Xun secara rasminya menjadi pemimpin rasmi buat negara Yan Bei, lantas menstabilkan kedudukannya di dalam negara.
Chu Qiao tidak hadir pada hari itu kerana telah mengarahkan orang-orang bawahannya untuk pulang sementara wanita muda ini mendaki Pergunungan Huihui seorang diri. Istana Nada terletak di puncak Gunung Huihui itu telah dibina oleh Yan Shicheng buat permaisurinya iaitu Bai Sheng, diperbuat daripada batu putih dan dipenuhi dengan pelbagai tanaman bunga berwarna merah dan kuning. Ia kelihatan seperti dalam potret berdakwat, sungguh damai dan menenangkan tanpa sebarang gangguan daripada manusia. Atap bumbungnya dibina secara terbalik, sekaligus membuatkan istana tersebut kelihatan seperti di alam kayangan bersama air yang mengalir menghasilkan bunyi seolah-olah menggambarkan cintanya terhadap isterinya.
Gadis itu terduduk di puncak Pergunungan Huihui itu sambil mendengar nyanyian para pengembala di ladang mereka yang terletak di bawah gunung tersebut, kedengaran mendamaikan dan mempunyai kuasa untuk menenangkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Dia memandang ke arah kaki langit dan tersenyum ketika melihat bayangan kelabu yang dipantulkan oleh Pergunungan Luori yang besar itu. Walaupun mereka sedang berjauhan di antara satu sama lain, namun Chu Qiao seolah-olah dapat melihat pemuda itu yang sedang memakai jubah dirajanya, bersantai dalam kemegahannya sendiri. Bibir wanita itu tersenyum gembira sambil dia memandang ke atas, lantas angin bertiup lembut ke wajahnya, membuatkan pakaiannya beralun sedikit yang kelihatan seperti pokok bunga teratai hijau yang sedang berkembang mekar.
Yan Bei yang sekarang ini bukan lagi yang seperti dahulu. Yan Xun telah mendapat kelebihan dalam peperangan dengan bantuan ekonomi dari Song dan usaha Chu Qiao dalam membina semula tanah besar ini bagaikan menandakan kebangkitan sebuah era diraja yang baharu. Di bawah pimpinanan Chu Qiao, negara itu telah dapat membina kilang peluru, membuka lebih daripada 30 kawasan perlombongan besar, menjalankan kerja-kerja perparitan supaya tanah Yan Bei sesuai untuk kerja pertanian dan juga menubuhkan kawasan pengeluaran makanan yang besar di sekitar Pergunungan Huihui di sepanjang daerah Shangshen. Pada musim luruh itu pula, Yan Bei telah menghasilkan dua kali ganda makanan jika dibandingkan dengan musim sebelumnya, menjadikan bekalan makanan mereka mencukupi buat setiap rakyat. Mereka telah banyak melabur dalam perkembangan perubatan, membina sekolah tentera, dan meningkatkan hubungan perdagangan dengan empayar Song dan juga empayar Tang. Walaupun rancangan Chu Qiao untuk menghapuskan sistem perhambaan tidak diterima, namun jarang benar untuk melihat kelibat para hamba di jalan-jalan yang berada di dalam bidang kuasa wanita ini. Dasar pemerintahan liberal dan undang-undang kemasyarakatan yang diamalkan di sini telah menarik segerombolan besar rakyat dan pedagang dan tidak sampai setahun pun, Pergunungan Huihui telah bertukar menjadi sebuah kawasan perumahan yang besar dengan aspek-aspek luar bandarnya yang telah digantikan dengan ciri-ciri kawasan perniagaan seperti di barat laut.
Penamaan unit Garison Utusan Barat Daya akhirnya dibatalkan kerana mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada pasukan pertempuran Yan Bei namun oleh kerana mereka telah mendirikan tapak perkhemahan mereka di sekitar Sungai Xiuli, maka pasukan tersebut yang seramai 9000 orang ahli tentera itu telah bertukar gelarannya menjadi Pasukan Tentera Xiuli sehingga Chu Qiao sendiri pun kini telah dikenali sebagai Jeneral Xiuli oleh rakyat jelata di sana. Tahun baru yang akan datang bakal menjadi tugas terakhir mereka untuk menghantar bekalan rangsum kepada tentera barisan hadapan sebelum mereka dapat berehat dengan tenangnya.
Terdapat banyak dataran luas di Yan Bei dan Chu Qiao bersama-sama pasukannya akhirnya sampai ke Pergunungan Minxi sebelum senja. Walaupun Gunung Minxi itu digelarkan sebagai sebuah gunung, namun hakikatnya ia hanyalah sebuah bukit kecil yang berketinggian kurang daripada 100 meter. Apabila Chu Qiao dan pasukannya sampai, He Xiao dan tenteranya telah menyediakan khemah dan menghidangkan jamuan. Chu Qiao menghirup pantas sup daging panas tersebut, sekaligus mengurangkan rasa penatnya pada hari itu.
Waktu malam di Yan Bei merupakan waktu yang paling indah. Pada hari ke 15 mengikut kalendar lunar, bulan purnama bersinar terang di langit menerangi dataran putih salji dengan anak-anak sungai yang sudah membeku di sepanjang pergunungan tersebut. Ketika wanita muda ini melepasi Bandar Mawei pada hari sebelumnya, datuk bandar di bandar itu telah bersungguh-sungguh berniat untuk memberikan sebuah hadiah kepada Chu Qiao dan oleh kerana wanita ini tidak menolak tawaran itu, dia terpaksa memilih sebiji kotak dari sebuah gerabak yang besar. Apabila dibukanya, Chu Qiao mendapati sehelai jubah hijau telah dilipat kemas di dalamnya, ditenun dengan bulu berwarna gelap yang membuatkan ia kelihatan bersinar dan kainnya juga tersangatlah licin, menunjukkan ia sebentuk hadiah yang tidak ternilai harganya.
Empat pendiang api yang dinyalakan sekaligus menyesakkan suasana di dalam khemah. Chu Qiao sedang memakai jubahnya dan berjalan keluar dari khemah untuk menuju ke kaki gunung. Bayang-bayangnya kelihatan sepi semasa ditemani cahaya bulan yang memudar semasa pembantu kediaman yang menunjuk jalan memberitahunya kawasan ini merupakan sebuah kuil milik Dewi Yan Bei yang telah dibina oleh nenek moyang Yan Bei semenjak beratus-ratus tahun dahulu. Ia telah menjaga tanah Yan Bei sehingga ke hari ini.
Chu Qiao mengangkat kakinya ketika dia berjalan di sepanjang gunung yang berbatu itu. Salji tebal yang menutupi sepanjang jalan telah menyukarkan pergerakan wanita ini yang mengambil masa selama dua jam untuk wanita itu akhirnya tiba di puncak. Istana ini telah dibina sepenuhnya daripada batu, saiznya tidaklah sebegitu besar namun ia berketinggian bersamaan dengan ketinggian empat orang manusia. Terdapat sebuah pintu gerbang di setiap bahagian timur dan barat bangunan dan Chu Qiao sedang berdiri di pintu sebelah barat sambil memandang sebuah patung yang hampir menyentuh bumbung, memenuhi sebahagian besar ruang di dalam kuil itu. Kuil itu usang, dengan banyak empingan salji yang menyusup masuk menembusi bumbung yang retak itu manakala sarang labah-labah dan habuk memenuhi ruang kuil. Bagaimanapun, patung tersebut sedikitpun tidak berhabuk, mungkin kerana ia terletak di ketinggian yang tinggi. Wajah dewi itu kelihatan tenang yang lantas mengingatkan Chu Qiao kepada bonda Yan Xun ketika di Platform Jiu You bertahun-tahun lalu dengan matanya yang kelihatan tenang dan sungguh lembut. Ciri-ciri ukiran dewi batu itu telah mempamerkan seorang wanita yang sedang memakai sehelai gaun yang telah dikepak-kepakkan apabila ditiup angin, bersama perut yang besar menandakan dia sedang mengandung.
Semasa Chu Qiao masih kecil, Yan Xun pernah memberitahunya dewi Yan Bei ialah seorang wanita yang mempunyai dua perwatakan di mana satu perwatakannya adalah seorang pahlawan yang gagah berani sambil memegang kapak di tangannya, yang mewakili penaklukan dan pembunuhan beramai-ramai. Manakala sisi yang lainnya adalah seorang ibu yang penyayang dan sedang mengandung, mewakili kebimbangan dan kemakmuran. Ketika dia sedang berdiri di hadapan patung itu, dia menyedari kata-kata Yan Xun itu sememangnya benar.