Sebaik sahaja Chu Qiao ingin memeriksa bahagian sebelah lagi, wanita muda ini telah terdengar bunyi sepasang tapak kaki dari arah yang berbeza. Istana itu mempunyai sistem pengalihan udara yang baik, jadi angin yang bertiup dari arah selatan dapat keluar ke arah timur. Namun, Chu Qiao membeku di situ. Dia lantas meraih Pedang Pemecah Bulan miliknya dengan wajah yang sedikit berkerut. Namun sebelum sempat dia menghunuskan pedangnya keluar, dia berasa seperti pedangnya itu mula bergetar disebabkan sesuatu. Dengan itu, sebuah dorongan segera bermain dalam fikirannya namun sebelum dia dapat menghentikan dirinya sendiri, wanita muda ini telah melangkah ke sebelah kiri patung dewi itu secara senyap-senyap dan menjulurkan kepalanya keluar sedikit.
Di kejauhan, salji melaputi permukaan bumi dengan perlahan manakala pokok plum musim dingin mekar berkembang yang ditemani oleh sebuah kelibat manusia yang kini juga kelihatan. Di bawah kapak pertempuran dewi tersebut yang terletak di bahagian badannya yang sebelah lagi, seorang lelaki yang memakai mantel berbulu musang berwarna kelabu perak bersama anak baju berwarna putih yang kelihatan anggun seperti kebiasaannya. Sepasang mata milik pemuda itu tampak seperti tasik yang membeku dan bibirnya pula kelihatan merah seperti darah yang membuatkan dia kelihatan seperti pemuda yang sama yang telah menonjol dalam khalayak ramai sebelum ini. Dengan sehembusan tiupan angin, plum merah itu diheret ke istana dari luar dan mendarat di bahunya yang sedang diterangi oleh cahaya bulan pudar yang menyinari di sebalik lapisan awan, berasa terperanjat dan langsung tidak menjangkakan yang dia akan bertemu dengan gadis itu di sini. Buat pertama kali, lidahnya terasa kelu.
Seekor anak burung kuning terbang ke istana untuk bersembunyi dari salji yang menebal dan setelah mengelilingi kawasan tersebut sebanyak sekali, ia akhirnya mendarat di atas bahu dewi itu dengan sepasang mata hitamnya yang sebesar kacang itu sedang memerhatikan mereka berdua sebelum mencicip riang.
Lelaki itu menatap gadis tersebut tatkala pandangannya menembusi istana berkabus itu, lantas dia berkerut seolah-olah pemuda ini ingin mengatakan sesuatu. Kemudian, pandangannya melirik ke arah bahu gadis itu yang lemah, leher tirusnya, wajahnya yang cengkung dan akhir sekali pada sepasang mata milik wanita itu yang kelihatan sangat terperanjat. Selepas beberapa ketika, pemuda tersebut mengalihkan pandangannya sebelum berpaling lantas membuatkan kelibatnya kelihatan sunyi sepi apabila dia berjalan ke arah jalan keluar dengan langkah yang teratur bersama mantelnya yang mengheret debu tatkala dia berjalan.
"Dalam masa beberapa hari lagi, ribut salji akan melanda. Awak perlu berhati-hati." Suara Chu Qiao tiba-tiba bergema apabila Zhuge Yue tiba di pintu tersebut, kedengaran seperti teh premium yang hanya dapat ditemui di Empayar Tang, menenangkan sesiapa sahaja yang mendengar, juga bercampur dengan sedikit kemanisannya.
Zhuge Yue menghentikan langkahnya dan berpaling sebelum dia mengangkat keningnya sedikit dan bertanya, "Awak tak risau ke?"
Chu Qiao menjawab dengan serius, "Mestilah, tapi saya tiada pilihan lain." Dia mengangkat bahunya dan berpura-pura seperti sangat risau. Namun, suaranya kedengaran begitu lembut sekali.
Sekilas kelembutan bermain di anak mata Zhuge Yue, lantas dengan suara yang tenang dia menjawab, "Bertenanglah. Penyusupan saya ke dalam Yan Bei ini langsung tak ada kaitan dengan peperangan yang sedang tercetus."
"Baguslah kalau begitu." Chu Qiao tersenyum. "Awak perlukan bantuan saya tak?"
"Ya," Zhuge Yue memberikan jawapan jujur yang langsung tidak disangka-sangka wanita itu.
Chu Qiao terperanjat kerana dia tidak menjangkakan Zhuge Yue akan membalas apa-apa. Dia kemudiannya segera bertanya, "Apa jenis pertolongan yang awak perlukan?"
"Jangan dedahkan saya kepada sesiapa."
Chu Qiao ternganga apabila mendengar permintaan itu. Dia benar-benar tidak menjangkakan Zhuge Yue sebenarnya seorang yang suka bergurau senda. Selepas mengambil masa dalam beberapa saat untuk memproses kata-katanya itu, Chu Qiao akhirnya menjawab, "Saya tak akan tergamak berbuat sebegitulah."
Burung tersebut yang masih bertenggek di bahu dewi pertempuran tiba-tiba mencicip riang lalu terbang ke pendiang api yang terletak di sudut dewan dan lantas wanita ini dapat terhidu bau daging yang baru dimasak yang telah memenuhi setiap ruang dewan. Chu Qiao berjalan melewati patung dewi itu dan ternampak sebuah meja yang terletak di sudut bersama sebuah besen tembaga yang terletak di atasnya. Di dalam besen tembaga itu terdapat api kecil yang sedang memasak seperiuk makanan. Sup daging yang mendidih di dalam periuk itu telah mengeluarkan aroma yang dapat menaikkan selera makan seseorang. Di samping periuk itu, terdapat beberapa pinggan daging segar dan sayur-sayuran yang diletakkan di sebelah bersama sebotol wain yang berbentuk segi lapan yang terletak betul-betul di sisi meja itu.
Chu Qiao tersenyum, lantas menuding jarinya ke arah Zhuge Yue dan bertanya, "Awak dah nak pergi ke? Kalau begitu, semua ini saya yang punya."
Zhuge Yue berfikir buat seketika sebelum berjalan ke arah meja kecil itu dan melabuhkan punggungnya sebelum berkata tegas, "Dalam mimpi awak sajalah." Bagi seseorang yang telah dilahirkan dalam sebuah keluarga berada dan membesar dengan sumber-sumber barangan yang terbaik, dia masih lagi mengekalkan gaya hidupnya itu walaupun Zhuge Yue sedang berada dalam kawasan musuh dengan ribut salji tebal sekalipun. Makanan yang dihidangkan kepadanya telah disediakan dengan teliti apabila daging kambing yang telah dihiris halus itu yang tersusun kemas di atas pinggan serta sayur-sayuran segar yang masih terdapat titisan air padanya yang diletakkan kemas di atas pinggan, malah penyepitnya juga telah diperbuat daripada perak tulen yang diukir dengan ukiran yang indah. Dia kemudiannya mengambil sehirisan daging kambing tadi lalu memasukkannya ke dalam sup yang mendidih dan sekaligus daging itu berubah warna tatkala ia dimasak di dalam air mendidih yang mengeluarkan wap itu. Makanan panas sewaktu cuaca sejuk sebegini sememangnya satu kenikmatan yang tidak terhingga.
Selain itu, terdapat juga satu set cawan yang membuatkan Chu Qiao terkenangkan tabiat pemuda itu dengan sungguh jelas sekali. Suatu ketika dahulu sewaktu di Istana Qing Shan, Zhuge Yue akan meletakkan seluruh set perkakasan dapur di atas meja walaupun pemuda itu hanya makan bersendirian, membuatkan ia terasa seperti ramai orang yang makan bersamanya.
Chu Qiao lantas mengambil botol wain itu lalu menuangkannya buat Zhuge Yue dan kemudiannya barulah dia menuangkan wain itu untuk dirinya pula. Setelah melihat hal itu, Zhuge Yue berkerut dan bertanya, "Sejak bila pula awak minum?" Tangan Chu Qiao yang memegang cawan wain itu menggeletar sedikit. Dia sememangnya tidak pernah minum minuman keras secara berlebihan. Sejak bila pula dia mula minum minuman yang hanya akan mengaburi fikirannya ini? Dia mendongakkan kepalanya perlahan-lahan dan memandang Zhuge Yue dengan tenang, mengangkat cawannya lalu berkata, "Saya bukan minum wain ini kerana saya mahu, tetapi saya nak minum ucap selamat untuk awak."
Zhuge Yue tiba-tiba berfikir sejenak, tidak mengangkat cawannya dan hanya sekadar memerhatikan gadis itu.
Chu Qiao meneguk wain itu dengan sekali tegukan sahaja lantas dia pun berkata dengan tenang, "Ini sebagai ucapan terima kasih saya kepada awak yang dah membantu saya selama ini."
Sepertinya Chu Qiao sudah semakin tinggi dalam masa beberapa tahun ini, wajahnya yang mulus dihiasi dengan sepasang kening yang terletak kemas di atas matanya yang besar namun tetapi kelihatan seolah-olah telah ditutup dengan sehelai kain nipis supaya dia dapat memendam segala perasaan yang terbuku di dalam dirinya. Walaupun dengan secawan wain di hadapannya, Zhuge Yue tidak meminumnya, sebaliknya dia terus menambah daging untuk dimasukkan ke dalam periuk yang mendidih itu, berkata tanpa mengalihkan pandangannya dari makanan itu, "Awak ingat kita nak menyanyi opera ke? Kita tengah makanlah, jadi jangan nak merepek lagi."
Chu Qiao berkerut. "Selalunya sewaktu makan pun ada ucapan pembukaanlah."
Zhuge Yue kemudiannya berkata, "Saya dah cukup penat dalam menguruskan orang-orang tua di ibu negara itu. Jangan nak tambah kerja saya pula."
Chu Qiao merungut senyap-senyap sebelum mengambil penyepitnya untuk makan. Setelah melihat Chu Qiao makan dengan begitu gelojoh, Zhuge Yue pun mengingatinya, "Hati-hati sikit, makanan itu panas." Sebelum sempat lelaki itu menghabiskan kata-katanya, Chu Qiao mendecit kerana lidahnya sudah melecur kerana makanan yang terlalu panas. Zhuge Yue yang melihat gadis itu terus memutarkan bebola matanya dan berkata, "Padan muka."
Makanan itu masih terasa sedap walaupun lidahnya sudah melecur. Pada mulanya, mereka berdua ingin duduk berbual di situ tanpa henti tetapi sebelum itu mereka makan dulu. Seluruh pinggan yang terisi dengan daging kambing itu habis dimakan oleh mereka. Namun, Chu Qiao seolah-olah masih tidak berasa kenyang kerana dia terus mengambil makanan di dalam periuk, malah sampai makan semua sayur yang ada di situ.
"Saya dengar awak dinaikkan pangkat? Tahniahlah."
Zhuge Yue dengan tenangnya menjawab, "Biasa saja. Selepas membunuh 10,000 orang tentera Yan Bei, mereka naikkan pangkat saya. Saya dengar awak pun naik pangkat juga?"
"Samalah kita. Saya hapuskan saki baki tentera Xia di Sempadan Meilin dan dinaikkan pangkat." Chu Qiao menjeling ke arahnya dan bertanya, "Saya dengar awak dinaikkan pangkat sebagai Ketua Komandan di Barat Hadapan dan dah tak menjadi orang suruhan Zhao Che lagi?"
"Semuanya disebabkan jasa baik Tuanku Maharaja. Saya tak berani nak berlagak. Sebaliknya, saya dengar yang Garison Utusan Barat Daya telah dibubarkan dan disingkirkan dari menjadi askar utama tentera Yan Bei. Malah senjata mereka pun terhad," Kata Zhuge Yue dengan santai.
"Tentera Xiuli telah dipertanggungjawabkan untuk mengawasi bahagian ini jadi normallah kalau senjata kami terhad. Walau bagaimanapun, saya dengar yang Keluarga Wei telah hantar Wei Shuye ke Sempadan Yanming. Bukan ke itu satu usaha untuk mengurangkan autoriti awak?" Chu Qiao tersenyum ketika dia mengatakannya.
"Harapan tak selalunya akan menghasilkan kejayaan. Saya dengar yang Wu Daoya dari Kesatuan Da Tong itu dah hadkan lawatannya ke Bandar Luori sehingga tak dapat menghadiri perarakan pada musim sejuk ini."
"Mana-mana organisasi pun akan ada perselisihan faham di antara ahli-ahlinya. Awak sendiri pun pernah merasainya, kan? Lagipun, apa-apa sahaja yang awak dengar itu tak semestinya semua benar. Misalnya, saya dengar yang Zhao Yang sedang mengumpul pasukan tenteranya di Selatan Hadapan dan akhirnya menghalang kemajuan di bahagian Barat. Saya tertanya-tanya sama ada hal itu benar atau tak."
"Pepatah ada menyatakan yang kalau sesebuah penipuan itu diulang berkali-kali, suatu hari nanti ia akan menjadi kenyataan. Saya bersetuju sepenuhnya dengan pepatah itu. Saya dengar yang awak dah membina Yan Bei semula, termasuklah dah memberikan tumpuan pada perdagangan sehingga para pedagang dari Xia sendiri pun sudah berdagang dengan negara awak secara senyap-senyap. Itu nampak seperti menakjubkan saja."
"Saya tak sehebat mana pun. Kalau dibandingkan dengan apa yang awak dah capai, apa yang saya dah lakukan itu langsung tidak membawa apa-apa makna. Saya dengar yang awak berjaya meraih kejayaan dalam perlawanan di Caoqiu dan Jinhui sekaligus menangkap lebih dari 10,000 orang tentera Batalion Kelapan Pasukan Tentera Kedua. Kalau bukan disebabkan hal itu, kami pasti boleh memanfaatkan kejadian di Utara Empayar Xia itu untuk memecah masuk ke Kawasan Xia."
"Empayar Xia itu dah wujud selama lebih dari 300 tahun, jadi ia tak akan boleh dilenyapkan dalam masa semalaman. Saya ada terdengar yang rakyat Quan Rong sedang mengalami masalah kebuluran yang teruk pada musim sejuk ini dan ribuan rakyat mereka yang telah terbunuh. Awak tak risau ke yang mereka akan gunakan peluang ini untuk mulakan perang demi merebut sumber-sumber Yan Bei?"
"Apa yang nak datang, akan datang juga, jadi tak ada gunanya kalau kita terus berasa risau. Kita hanya boleh bersiap-sedia untuk menghadapi apa-apa situasi yang bakal datang saja. Lagipun, saya ada terdengar yang di bahagian timur laut Empayar Xia, masyarakat Li Zhen cuba meniru Yan Bei dan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan. Apa pendapat awak tentang kebarangkalian peluang mereka untuk berjaya?"
"Saya dengar yang Cik Puan Yu dari Kesatuan Da Tong itu telah diberikan tugas yang langsung tak berguna."
"Saya dengar yang bulan lepas Majlis Ahli-ahli Kehormat Xia tak berikan apa-apa pangkat kepada keluarga Murong. Cepat sungguh kuasa telah beralih tangan."
"Saya dengar Yan Bei dah cipta bahan baru yang boleh menghasilkan senjata yang tahan lebih lama daripada besi dan keluli. Awak yang cipta ke?"
"Saya dengar Bandar Zhen Huang menyokong perintah ke-46 untuk menutup sempadan supaya dapat menyekat sumber ketenteraan dalam pasaran dan mungkin akan memulakan perang dengan Empayar Song. Semua ini disebabkan awak ke?"
"Saya dengar yang awak akan membawa rangsum ke khemah utama Yan Bei nanti. Kalau rangsum tak tiba, mereka akan kehabisan makanan."
"Saya dengar awak ke sini untuk memeriksa perdagangan Yan Bei dan ingin mengetahui suku keluarga mana yang sedang berdagang dengan Yan Bei. Jika benar, mereka akan dihapuskan oleh Empayar Xia."
Perbualan mereka lantas tergendala seketika apabila bunyi dengungan yang sungguh kuat tiba-tiba bergema yang datang daripada kedua-dua bilah pedang milik pasangan ini yang diletakkan di atas permaidani seolah-olah dapat merasakan ketegangan yang sedang berlaku di antara mereka berdua. Anak burung yang bertenggek di atas bahu patung dewi itu tadi sudah lama pergi dan hanya mereka berdua saja yang masih terduduk sambil menghadap satu sama lain sementara sup daging itu terus mendidih tatkala arang batu sudah merekah. Dalam sup yang sedang menggelegak itu, cili merah yang terdapat di dalamnya kelihatan seperti darah pahlawan yang masih baru.
Walau bagaimanapun, mereka berdua masih berada di pihak yang berlawanan. Mereka seolah-olah sengaja menghasilkan suasana yang tegang itu untuk mengingatkan satu sama lain mereka merupakan musuh dan bukannya kawan sementara masing-masing mempunyai tanggungjawab mereka sendiri.
"Saya dengar selepas tahun baru ini, awak dan Yan Xun akan berkahwin," Zhuge Yue akhirnya meraih cawan wainnya sambil berkata santai.
Chu Qiao turut mendongakkan kepalanya sebelum menenangkan nafasnya sambil membalas dengan lembut, "Saya juga ada terdengar yang tunang awak itu anak perempuan kepada Jeneral Le Xing."
Zhuge Yue mengangguk, "Ya, perkahwinan kami akan berlangsung tak lama lagi."
"Jeneral Meng itu dah tua. Dengan autoriti yang dipegang Jeneral Le Xing itu semakin bercambah, maka cerahlah masa depan awak nanti. "
Zhuge Yue tersenyum kecil. "Mungkin selepas ini apabila kita bertemu lagi, saya akan memanggil awak Permaisuri Yan."
Chu Qiao menggelengkan kepalanya, dan berkata dengan serius, "Oleh sebab Yan Bei telah diisytiharkan kemerdekaannya, saya patut dipanggil dengan gelaran Permaisuri Yan."