Wajah Yan Xun berubah serius setelah melihatnya, menundukkan kepalanya untuk meminta maaf, tetapi wanita itu hanya menolaknya dengan agresif sekali. Dengan geramnya dia berkata, "Ah Chu, saya terlalu manjakan awak ke sebelum ini? Sebelum ini awak tak macam ini pun."
Chu Qiao terasa seperti ingin ketawa sahaja. Memanjakannya? Sepanjang hidupnya mahupun kehidupannya yang lalu, dia tidak pernah terfikir dia akan dikaitkan dengan perkataan ini. Dia kemudiannya tersenyum sinis, tidak pasti sama ada dia mentertawakan Yan Xun ataupun dirinya sendiri. Saya bukan seperti ini kebiasaannya? Awak sentiasa macam ini ke? Siapa yang sudah berubah sebenarnya?
"Dengan perang yang bakal meletus, inilah masanya Yan Bei sangat memerlukan orang-orangnya. Kita patut memikirkan cara untuk menyerang balas Pasukan Tentera Xia dalam saat genting seperti ini, bukannya tentang dendam peribadi awak. Awak kena cerminkan diri awak itu!" Yan Xun melibas jubahnya lalu meninggalkan khemah tersebut. Chu Qiao terpaku di situ dan dia mula termenung, semua kemarahan yang terdetik di dalam hatinya selama beberapa hari ini telah berubah menjadi sebuah lautan berais.
Betulkah ini saatnya Yan Bei sangat memerlukan orang-orangnya? Kalau begitu, mengapa jeneral-jeneral asal Pasukan Tentera Pertama telah diubah? Pegawai-pegawai yang dilatih oleh Encik Wu selama ini telah ditugaskan semula ke pasukan barisan belakang malah ada juga yang telah diberhentikan. Kenapa Cik Puan Yu ditugaskan dengan kerja yang senang-lenang dan kenapa Ah Jing telah dipindahkan pula? Malah bukan itu sahaja. Bagi Chu Qiao sendiri pun, dia tertanya-tanya mengapa dia diberikan maklumat yang tidak begitu penting sehingga dia tidak tahu menahu yang Zhuge Yuelah merupakan pegawai utama yang ditugaskan di bahagian logistik?
Tentera Yan Bei akhirnya telah disatukan di bawah satu bendera. Tetapi Yan Xun, mengapa awak mula meragui saya?
Chu Qiao mula berasa sakit hati yang tidak pernah dialaminya sebelum ini. Hakikat dia telah dipulaukan oleh Yan Xun menyebabkan dirinya berasa begitu tertekan, lantas wanita ini terduduk di atas kerusinya sambil merasakan satu persatu gelombang kesejukan yang kerapkali menyerang dirinya. Adakah Zhuge Yue mengikuti tentera musuh? Kalau begitu, ini merupakan sebuah khabar buruk buat tentera Yan Bei. Ilmu ketenteraan milik pemuda itu bukanlah terlalu berbeza kuatnya daripada Zhao Che dan dia juga salah seorang murid rapat Encik Wolong, seguru dengan Encik Wu dan juga Cik Puan Yu. Dia telah disokong dari segi sumber kewangan oleh keluarga Zhuge dan seluruh suku keluarga Zhuge telah menyokong pemuda itu dalam setiap langkahnya. Kehadirannya juga telah memberikan isyarat tentang sikap keluarga di Xia mengenai peperangan ini. Adakah ketibaannya di dalam medan perang ini bagaikan sebuah ramalan mengenai campur tangan keluarga-keluarga besar dalam pertempuran ini?
Jika dipandang dari sudut yang lain, ini bermakna pemuda itu tidak lagi dipulaukan oleh keluarganya. Walaupun Yan Bei dan Empayar Xia sedang berperang, namun wanitamuda ini masih lagi mendapat berita-berita terbaru daripada Bandar Zhen Huang. Zhuge Yue telah kehilangan banyak pengaruh kuasa dalam Keluarga Zhuge disebabkan kejadian di Empayar Tang dan dia telah ditentang hebat oleh Majlis Ketua-Ketua Terhormat dan Keluarga Maharaja. Bukan sahaja pemuda itu telah dilucutkan segala jawatan dan kedudukannya, malah dia juga telah dikenakan perintah berkurung di kediamannya oleh Zhuge Muqing, tidak dapat meninggalkan Bandar Zhen Huang. Jadi, dia telah menjadi bahan tawa bagi keluarga bangsawan Xia buat seketika.
Chu Qiao telah berusaha sedaya upayanya untuk tidak memikirkan hal-hal ini kerana dia menyedari yang tiada apa yang akan berubah walau apa pun yang dilakukannya. Dia tidak akan pernah dapat berbaik dengan pemuda itu atau menzahirkan rasa syukurnya itu, sentiasa akan menjadi seorang yang meneruskan perjalanan yang telah ditetapkan olehnya sendiri dengan degil walaupun ia penuh dengan kesulitan dan bahaya. Namun, sesekali dia akan teringatkan sepasang mata yang bersungguh itu serta suaranya yang garau. "Awak tak sedar lagi ke? Saya pun perlukan awak!" Baguslah kalau satu-satunya tugas pemuda itu dalam peperangan ini adalah untuk menyelia logistik jadi mereka tidak akan bertemu. Harap-harap begitulah.
Chu Qiao sudah berasa terlalu letih dan tiada hati untuk membaca maklumat yang sia-sia itu, lalu dia mengheret badannya yang lesu kembali ke khemah dengan perasaan ingin tidur sahaja yang mengebu di dalam hati. Sewaktu dia berjalan ke Kem Barat, wanita muda ini telah terdengar suara dua orang pengawal.
"Saya yakin yang Tuanku nak mereka mati. Jeneral Liu yang pernah bercakap lantang dengan Tuanku sewaktu dalam mesyuarat itu pun tiba-tiba hilang macam itu sahaja dalam medan perang. Kawasan yang telah ditugaskan kepada Jeneral Liu di barisan belakang itu tiada musuh sama sekali. Saya rasa dia pasti telah dibunuh."
"Betul itu. Mereka telah menimbulkan kekacauan. Kalau bukan disebabkan Cik Puan Jeneral Chu dari Pejabat Kakitangan Ketenteraan itu yang melindungi mereka, mereka pasti dah lama mati."
Seorang tentera tua mengeluh. "Perwatakan Tuanku berbeza betul dengan Tuan lama kita. Sewaktu pimpinan Encik Wu dulu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Tuanku. Bukan itu saja, malah Cik Puan Jeneral Chu pun lebih bertimbang rasa daripada Tuanku."
"Betul," Seseorang bersetuju. "Dia bukan saja cantik malah suaranya pun merdu, bertimbang rasa dan adil. Tak hairanlah kalau mereka sangat setia kepadanya."
Chu Qiao berkerut dan berdehem sambil berjalan perlahan-lahan ke arah mereka. Mereka semua merupakan pengawal-pengawal yang ditugaskan pada waktu malam. Setelah mendengar bunyi tapak kakinya, mereka berasa terkejut dan terus meraba-raba senjata mereka sebelum memandang gadis itu dengan penuh terperanjat.
"Bergosip tentang Tuanku secara rahsia merupakan satu kesalahan besar."
"Cik Puan, Cik Puan, kami tahu kesalahan kami. Tolong maafkan kami dan kasihanilah kami." Mereka terus berlutut di atas tanah sambil merayu-rayu padanya.
Chu Qiao memandang mereka dan berkata dengan perlahan-lahan, "Dalam tentera hanya akan ada seorang komander saja dan Yan Bei hanya akan ada seorang ketua saja. Tuanku ialah anak kepada Tuan Lama Yan dan sekarang ini merupakan Tuan kepada Yan Bei. Kamu patut memahami orang yang kamu taat. Ini pasukan tentera, bukannya organisasi kebajikan. Setiap kesalahan mesti dihukum dan orang akan mati di medan perang. Inilah normanya. Kalau saya tangkap kamu berdua bergosip lagi tentang Tuanku di belakangnya, saya akan hukum kamu dengan menggunakan undang-undang ketenteraan!"
Mereka yang berlutut di tanah segera menjawab, "Ya, ya, kami faham."
"Selepas kamu selesai dengan tugas kamu pada malam ini, pergi ke jabatan hukuman ketenteraan dan minta 30 sebatan untuk setiap seorang daripada kamu. Cakap saya yang suruh."
"Baik!"
Tanpa mengubah raut wajahnya, Chu Qiao berpaling dan beredar. Namun, dia tidak bergegas kembali ke khemahnya sendiri, sebaliknya dia terus menuju ke khemah Garison Utusan Barat Daya.
Apakah yang terjadi? Apakah yang telah dibualkan para pengawal tadi? Misi apakah yang Cheng Yuan telah suruh mereka lakukan? Dia akan mengetahui segalanya kalau dia menuju ke kem mereka.
"CIk Puan?" Seorang tentera muda serta-merta berasa gembira setelah melihat Chu Qiao yang berasa di situ dan dia segera berjalan ke arahnya sambil bertanya, "Cik Puan masih ada masa untuk melawat kami?"
"Mana He Xiao? Panggil dia jumpa saya," Chu Qiao mengarah dengan tergesa-gesa.
Tentera itu terperanjat lalu dia pun menjawab, "Komander He bawa mereka yang lain keluar menjalankan misi."
"Keluar menjalankan misi? Misi apa pula?"
"Kem peninjau kekurangan orang jadi kami telah ditugaskan di bawah Pasukan Peninjau."
Chu Qiao berkerut dan bertanya dengan senyap, "Siapa yang berikan arahan itu?"
Raut wajah askar itu penuh kebencian tatkala dia menjawab, "Siapa lagi kalau bukan Jeneral Cheng yang terdesak sangat nak tengok keputusan yang baik?"
"Mereka pergi ke mana malam ini?"
"Saya dengar mereka menuju ke Cerun Xiongxi."
Dah agak dah! Renungan Chu Qiao terus berubah tajam. 'Cheng Yuan, kalau kamu berani bertindak melulu, saya akan pastikan yang kamu tak akan dapat saksikan matahari terbit lagi.'
Chu Qiao membawa keluar seekor kuda dari Garison Utusan Barat Daya lalu menunggangnya dan mengarah secara senyap-senyap, "Bawa mereka yang lain bersama dan ikut saya."
Pada malam yang penuh kedinginan ini, sekumpulan kuda menderap melalui laluan bersalji yang gelap gelita. Namun pada saat ini, di cerun Xiongxi yang terletak sejauh 40 kilometer dari mereka, suasana sudah mula menjadi kucar-kacir.
"Musuh menyerang!" Para pengawal menaikkan obor mereka secara tergesa-gesa lalu bergegas melalui kuda sambil menempik dengan kuat, "Awas! Awas!"
"Siapa yang menyerang?" He Xiao bertanya dengan mata yang memerah. Walaupun mereka telah menubuhkan tapak kem mereka di sini, namun mereka masih hanyalah sebuah kumpulan kecil yang terdiri daripada 1,000 orang tentera berkuda sahaja. Mereka baru sahaja menerima arahan untuk berehat di sini, jadi bagaimana mungkin musuh mereka telah mengetahui keberadaan mereka dengan secepat ini?
"Saya tak tahu, Jeneral," Para tentera menjawab dengan kuat, "Musuh datang dari arah barat laut, jadi susah nak tentukan sama ada mereka musuh atau lawan. Apa yang patut kita lakukan sekarang?"
Ayat itu kedengaran seperti terdapat maksud yang tersirat. Arah barat laut? Itu akan menjadikannya lebih sukar untuk dibezakan sama ada mereka merupakan tentera Xia yang datang menyerang ataupun tentera Yan Bei. Berdasarkan situasi tegang yang dialami oleh Garison Utusan Barat Daya sekarang, kedua-dua situasi pun tidak mustahil, malah situasi kedua lebih berkemungkinan besar untuk berlaku. Sungguh ironi sekali! He Xiao berkerut dan dengan suara yang dalam dia memberikan arahannya kepada mereka, "Berkumpul dan kuatkan formasi kita. Kita tak boleh bertarung sehingga kita betul-betul pasti tentang identiti mereka."
"Tuan, Pegawai Gu dah bergegas keluar dengan tentera barisan hadapan!"
He Xiao lantas bergegas menaiki cerun dan mendapati api dapat terlihat dari mana-mana bersama bunyi laungan pertempuran yang memenuhi seluruh kawasan. Para tentera ini bakal bertempur sendirian tanpa sebarang formasi. Jika Garison Utusan Barat Daya bukan sekumpulan pahlawan yang berpengalaman, musuh pasti sudah dapat menumpaskan mereka dan memecah masuk.
'Masih ada peluang, masih ada peluang.' He Xiao berkerut dan dengan teragak-agak dia bertanya, "Di mana Jeneral Cheng dan orang-orangnya?"
"Dia dah beredar dua jam yang lalu."
"Tak guna!" He Xiao menghamun. Dia kemudiannya menempik, "Sediakan kuda untuk saya! Cepat!" Namun pada saat ini, sebatang anak panah telah menembusi udara seperti binatang buas yang mendahagakan darah, melayang terus ke arah kepala He Xiao! Pemuda itu langsung tidak mempunyai masa untuk bertindak, tidak dapat menepis mahupun mengelak anak panah itu yang sedang bergerak begitu pantas sekali bersama aura membunuhnya dan terus menuju ke arah lelaki malang tersebut. Ia terasa seolah-olah seluruh kawasan tersebut telah menjadi malap dan hanya terdapat anak panah tersebut sahaja yang sedang bertebangan di udara sambil suasana yang dipenuhi dengan hiruk-pikuk bunyi laga pedang seperti berlangsungnya sebuah pertumpahan darah yang mengerikan.
Mata He Xiao mula membeliak dan renungannya berubah tajam sementara kulitnya pula berdenyut-denyut dan terasa seperti sudah dihiris-hiris. Dia sendiri merupakan seorang pakar dalam memanah jadi dia jarang menemui seorang lawan yang betul-betul hebat dalam bidang tersebut. Namun, setelah menghadapi anak panah ini, dia terasa seperti seorang anak kecil pula yang tidak tahu berlawan balik, seorang petani yang sedang bertempur dengan seorang ahli pedang yang handal. Walau sekuat mana petani itu menghayunkan penumbuknya, tetapi dia hanya dapat menumbuk angin sahaja. Sebaliknya, ahli pedang itu hanya perlu mengayunkan pedangnya dengan ringkas dan dapat menumpaskan petani itu.
Terlalu pantas. Sebelum sempat pemuda itu bertindak, anak panah tersebut sudah berada di hadapan mukanya, lantas dapat mendengar jeritan orang bawahannya serta jeritan orang-orang di sekelilingnya. He Xiao yang sedang membeliakkan matanya dengan luas itu langsung tidak mampu berkata apa-apa namun dia masih mampu berfikir sendirian, 'Siapa yang mampu tembak mata anak panah yang mampu menyaingi kemahiran memanah Cik Puan Chu ini?' Namun He Xiao tidak mempunyai sebarang sesalan jika pemuda ini mati di tangan seorang jaguh memanah.
Ping! Bunyi percanggahan yang kuat bergema di seluruh kawasan tersebut dan lantas suasana terus berubah menjadi sunyi sepi. Chu Qiao kini tiba dengan kudanya dan dengan sekilas, dia telah berdiri di hadapan He Xiao bersama sebuah busur di sisinya. Di atas tanah hadapan kudanya terdapat sepasang anak panah yang hujungnya telah bersilang dan kelihatan seperti dua kuntum bunga yang sedang menghadap antara satu sama lain.
"Cik Puan!" Para tentera dari Garison Utusan Barat Daya bersorak, "Cik Puan dah sampai!"
Tanpa diduga, pihak musuh telah menghentikan serangan mereka. Kedua-dua belah pihak mula memperkukuhkan formasi mereka sambil berdiri menghadap satu sama lain dalam kegelapan, hanya cahaya api sahaja yang menerangi seluruh kawasan medan perang itu.
Chu Qiao berkerut. Cara anak panah itu dilepaskan seperti biasa dilihat sahaja, segera jantungnya mula berdegup kencang dengan penuh harapan tetapi keningnya berkerut risau dan takut yang turut bercampur dengan sedikit perasaan seronok. Jika benar jangkaannya, maka malam ini mereka berpeluang untuk berundur tanpa melanjutkan pertempuran mereka...
Pihak musuh berpecah kepada dua pasukan dan sejurus selepas itu, seekor kuda putih muncul dari belakang askar-askar lain. Lelaki yang menuggang kuda putih itu sedang memakai jubah berwarna ungu, bersama-sama dengan pakaian sutera dan langsung tidak kelihatan seperti seorang askar. Pandangannya nampak tenang seperti sebuah tasik yang langsung tidak terusik apabila dia melirikkan pandangannya pada Chu Qiao dan yang lain-lain. Dengan keangkuhan yang terpancar pada wajahnya, dia menunggu buat seketika sebelum membuka mulutnya untuk berbicara. "Mereka hanyalah sekumpulan pelarian. Berundur."
"Tuan!" Seorang pegawai meluru keluar dan segera bertanya, "Bagaimana mungkin mereka ini pelarian? Mereka sangat mahir berlawan jadi dah tentulah mereka ini pasukan elit tentera Yan Bei."
Setelah mendengar kata-katanya, lelaki itu mengangkat keningnya. Lelaki yang sedang terduduk di atas kudanya itu memandang pegawai tersebut dari ekor matanya sebelum bertanya, "Kamu ada masalah dengan keputusan saya ke?"