Chapter 183 - Bab 183

Lelaki itu terkaku dan melutut di atas tanah. "Saya tak berani."

"Jadi kamu fikir saya bersepakat dengan pihak musuh untuk mengkhianati negara saya? Atau kamu fikir otak saya ada masalah?"

Peluh mula menitik dari dahi pegawai itu. Dia berkata dengan gugup, "Saya keliru. Saya tak berani."

Lelaki itu meraih pandangannya tanpa menatap pemuda itu. "Disebabkan kamu tak berani, jadi kamu tahu apa yang perlu dilakukan."

"Ya, ya, saya tahu," Lelaki itu lantas berdiri dan mengarahkan askar-askarnya, "Berundur, berundur! Tentera di belakang, berundur terlebih dulu. Yang lain, ikut belakang mereka."

Lelaki berpakaian ungu itu berpaling namun sebelum dia pergi, matanya masih ditetapkan pada mata Chu Qiao. Wanita muda itu berpakaian putih dan kelihatan lemah. Matanya besar. Dia memegang tali kudanya dan hanya mendiamkan diri. Angin bertiup membelai rambutnya, lantas membuat sebuah corak radian yang sempurna seperti setitik dakwat yang terjatuh ke dalam air.

Pasukan musuh yang terdiri daripada 3000 orang itu serta-merta berundur di hadapan mereka, meninggalkan 1000 orang "pelarian" itu begitu sahaja. Pertempuran itu bermula secara mengejut dan berakhir juga secara mengejut. Akhirnya seseorang melangkah ke hadapan dan bertanya lembut, "Mereka hanya pergi begitu saja ke?" Semua orang melihat dengan kagum. Selepas beberapa ketika, seseorang menjawab, "Kamu tak nampak yang Cik Puan Jeneral ada di sini ke? Mereka bukan ke takut dengannya."

"He Xiao, susun semula pasukan tentera ini. Saya akan kembali." Semasa Chu Qiao bersedia untuk mengejar musuhnya, He Xiao terkejut lalu menarik tali kuda Chu Qiao. He Xiao bersuara dengan lantang, "Jeneral, tolonglah jangan! Kalau Cik Puan terjatuh ke tangan musuh, kami tak akan dapat tebus dosa kami, walaupun kami sudah mati."

"Jangan risau," Chu Qiao tersenyum. "Tak ada apa yang akan terjadi. Orang itu…" Tiba-tiba percakapannya terhenti. Perkataan manakah yang patut gadis ini gunakan untuk menjelaskan hubungan mereka? Musuh? Lawan? Atau…"Kawan saya."

Walaupun Chu Qiao tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri, namun dia mungkin masih boleh meneka identiti lawannya kerana tiada siapa selain dari Yan Xun yang dapat melawan kekuatan panahan anak panah wanita ini. Kuda itu telah berlari selama kurang dari setengah jam sebelum dia ternampak dua orang lelaki yang sedang berdiri di bawah pokok gergasi dan lantas salah seorang dari mereka mendekatinya sambil ketawa dan berkata, "Cik Xing'er ada di sini. Tuan Muda beritahu yang Cik akan berada di sini. Saya hanya risau mengenai hal ini saja."

Cahaya bulan kelihatan suram, ditemani dengan sebatang pokok gergasi yang kelihatan seperti sekaki payung besar, tinggi berdiri di atas hamparan salji. Walaupun ranting dan daunnya telah layu, namun ia tetap berdiri tegak. Zhuge Yue berdiri di bawah pokok itu dan melihatnya tanpa bersuara. Kuda putih itu bergerak dengan bersahaja di sekeliling pemuda itu dan meringkik gembira apabila melihat Chu Qiao seolah-olah sedang bertemu dengan orang yang dikenalinya.

Yue Qi mendengus sambil mengawal tali kudanya. Chu Qiao melompat turun dari kudanya dan tersenyum pada Yue Qi lalu berkata, "Saya tak sangka akan berjumpa dengan kamu semua di sini. Kamu semua baik-baik saja ke?"

"Cik bertanya kepada siapa? Cik sedang bertanya pada saya ke? Ya, saya baik-baik saja. Saya boleh makan dan tidur. Saya telah berkahwin dengan isteri saya tak lama dulu," Yue Qi senyum dan menjawab.

Chu Qiao berasa sedikit kecewa tetapi masih berjaya untuk ketawa. "Tahniahlah kalau begitu."

"Yue Qi, pergi ke depan dan beritahu Yu Cao untuk perlahan, supaya dia tidak jatuh ke dalam jurang."

Yue Qi berpaling dan menjawab kata-kata pemuda yang sedang berdiri di bawah pokok itu, "Tuan Muda, Yu Cao itu seorang komander dari Barat Laut. Daripada berasa bimbang akan diri dia, lebih baik Tuan bimbang tentang saya, manalah tahu kalau-kalau saya terjatuh ke dalam jurang ketika saya dalam perjalanan untuk sampaikan pesanan ini kepadanya."

Zhuge Yue mengangkat keningnya selepas mendengar kata-kata itu, kemarahan jelas terpancar di matanya.

Yue Qi mengangkat tangannya dan menjawab dengan cepat, "Baiklah, saya akan pergi. Saya akan anggap ini sebagai cara Tuan mengambil berat terhadap orang bawahan Tuan." Selepas dia menghabiskan kata-katanya, dia terus melonjak naik ke atas kudanya dan menunggang pergi dengan mengawal tali kudanya.

Hampir dua bulan berlalu, tetapi bagi Chu Qiao ia terasa seperti telah berkurun lamanya kerana terlalu banyak perkara yang telah berlaku dalam masa itu. Selepas peperangan dengan Xia bermula, banyak masalah telah berlaku, terutamanya di antara dirinya dan Yan Xun. Kata-kata Zhuge Yue telah menjadi kenyataan, ayat demi ayat. Wanitamuda ini bergelut untuk melangkah ke arah pemuda itu sementara emosinya yang menyelubungi diri semakin tidak terkawal dan dia tidak dapat memahami semua perasaanya pada waktu itu. Hubungan mereka kini terasa sangat kekok, sehinggakan dia sukar mencari topik untuk berbual. Dia berdiri di sana sambil dihurung kebingungan, seperti sebatang pokok yang layu di atas dataran yang luas.

"Awak ada masalah peribadi ke?" Zhuge Ye membuka mulutnya dan bertanya, seolah-olah sedang bertanya mengenai maklumat rahsia yang besar.

Chu Qiao membeku dan memandangnya bingung. Apa yang dia cuba katakan? Adakah dia cuba untuk mengorek maklumat mengenai tentera Yan Bei?

"Orang-orang awak yang membawa saya ke sini," Zhuge Ye berkata perlahan. "Saya rasa ada orang yang ingin menggunakan saya untuk menghapuskan pasukan tentera ini. Saya tak sangka ia pasukan tentera awak."

Walaupun dia cuba meneka niat di sebalik episod ini, Chu Qiao tiba-tiba berasa marah apabila mendengar kata-katanya itu, lalu wanita muda ini mengetap bibir bawahnya dan mengepalkan penumbuknya dengan ketat, memandang ke bawah dan berdiam diri.

"Berhati-hati. Awak bertemu dengan saya kali ini, tapi mungkin awak akan bertemu Zhao Che pula lepas ini," Zhuge Yue berkata ketika dia bersedia untuk meninggalkan tempat itu bersama kudanya.

Chu Qiao berasa terkejut, lantas mengambil dua tapak ke hadapan dan memanggil, "Zhuge Yue!"

Zhuge Yue berpaling dan melihatnya sambil mengerutkan dahi. Chu Qiao berfikir lama sebelum bertanya, "Ini akan beri masalah kepada awak ke nanti?"

Zhuge Yue menjawab, "Selagi awak tak tulis surat kepada Majlis Ketua-Ketua Terhormat, tak ada apa yang akan berlaku."

Chu Qiao menarik nafas panjang lantas matanya berkilau, memandang Zhuge Yue sebelum berkata dalam suara yang perlahan, "Terima kasih."

Zhuge Yue bersedia untuk beredar bersama kudanya, lantas melambai tangannya dengan bersahaja dan berkata, "Kalau awak tak boleh nak bertempur sendiri, beritahulah Yan Xun bila awak balik nanti. Konflik dalaman akan menyebabkan pertempuran ini menjadi sukar bagi pihak awak."

Tanah bersalji itu memantulkan cahaya bulan, membuatkan halaman itu kelihatan terang. Zhuge Yue sedang memakai jubah ungu dan kelihatan kacak dengan bayang-bayangnya yang kelihatan panjang ketika dia berlalu pergi jauh darinya dengan kudanya.

Chu Qiao berdiri tegak di tempatnya ketika kelibat Zhuge Yue semakin memudar di sebalik kejauhan, sebelum hilang sepenuhnya di bawah cerunan salji. Kata-kata yang tidak terhitung banyaknya tersekat di tekaknya kerana dia tidak dapat meluahkannya. Lonjakan perasaan emosi yang rumit hampir menyebabkan dia hilang segala rasionalnya, berdiri lama di sana tanpa bergerak sehinggalah He Xiao yang merisaukannya datang bersama tenteranya. Baru kemudian dia tersedar dari khayalannya.

"Jeneral, marilah balik."

Chu Qiao mengangguk dan menjawab, "Balik dan beritahu rakan-rakan yang lain supaya tidak bercerita apa-apa mengenai malam ini kepada orang lain."

He Xiao mengangguk dan membalas, "Baiklah, Cik Puan. Percayalah." Semasa dia berfikir lebih lanjut, dia bertanya, "Kita perlu lupakan semuanya tentang hal ini?"

Wajah Chu Qiao berubah dingin. Dia mencemuh dan berkata dalam suara yang perlahan, "Sudah tentulah kita tak boleh." Dengan kemas dia naik ke atas kudanya. Kuda pertempuran itu mendengus kuat, sekaligus memecah ketenangan malam yang sunyi diiringi dengan angin yang bertiup kencang, menyelerakkan kepingan salji, menjadikan persekitaran menjadi lebih sepi. Chu Qiao berpaling dan melihat dataran luas di belakangnya yang kelihatan putih seperti lautan luas tidak berkesudahan. Pokok besar itu berdiri di sana dengan senyap, wanita muda itu tidak pasti berapa lama ia sudah bercambah dan hidup bersendiri, dia juga tidak tahu sudah berapa ramai orang yang telah melintasinya. Pandangan matanya seolah-olah melangkaui masa.

"Kembali ke kem!"

Angin bertiup kencang bersama kepingan salji yang bertaburan di dalam kegelapan yang menyerupai lapisan dakwat yang tebal. Tentera dari Garison Utusan Barat Daya berdiri di depan pintu gerbang kem, melaporkan kepada pengawalnya. Pintu gerbang lantas dibuka selepas beberapa ketika, jurangnya kelihatan ganas seperti mulut haiwan buas yang mendahagakan darah. He Xiao menunggang kudanya di sebelah Chu Qiao dengan pedangnya yang tergantung di pinggang, memancarkan pantulan hijau pucat yang muncul di bawah cahaya bulan.

"Cik Puan, perlu ke kita laporkan kepada Tuanku sekarang?" He Xiao bertanya dengan suara yang rendah.

Chu Qiao menggeleng kepalanya. Angin menyentuh helaian rambut di dahi wanita muda ini seperti telah disentuh oleh seekor pepatung, lalu dia berkerut sedikit dan melihat kem yang terang bercahaya itu. Dengan tegas dia berbisik, "Tak perlu. Merumitkan sesebuah perkara akan menyebabkan kesan yang lebih teruk saja. Kita boleh laksanakan rancangan itu terlebih dahulu."

He Xiao berasa teragak-agak, jadi dia berkerut dan bertanya, "Kalau kita lakukan rancangan itu, Tuanku tak marah ke?"

"Saya tak tahu," Jawab Chu Qiao bersahaja. "Mari lakukan ini dahulu." Selepas dia menghabiskan ayatnya, wanita muda ini menunggang kudanya untuk menuju ke depan. Para askar yang bertugas memberi tabik hormat kepada wanita muda itu dengan pergerakan yang seragam. Namun, Chu Qiao langsung tidak menyedari mereka dan terus menunggang kudanya ke tengah-tengah kem dengan lebih 1000 orang tentera dari Garison Utusan Barat Daya yang telah terselamat dari terbunuh.

Pasukan gadis itu bagaikan angin puting beliung yang melepasi tanah kem itu dengan bunyi tapak kaki kuda mere yang kedengaran seperti dentuman guruh ketika bersentuhan dengan salji yang berselerak itu.

Ramai tentera yang terjaga dari tidur mereka memikirkan musuh telah menyerang kem mereka, lalu mereka terus berpakaian dengan cepat dan berlari keluar dari khemah dengan senjata mereka. Ketika mereka melangkah keluar, kepingan salji yang bertebaran terkena pada mereka apabila melihat tentera Garison Utusan Barat Daya yang menghampiri bahagian timur kem dengan cara yang menakutkan, menerkejutkan mereka. Seorang tentera berusia 40 tahun yang tidak sempat berpakaian lengkap kerana tali pinggangnya diikat separuh pinggang, mengerutkan wajahnya yang sudah berkedut lalu berkata, "Kenapa mereka bersemangat sangat ini? Sesuatu pasti bakal berlaku. Kita patut memaklumkan kepada Tuanku dengan segera."

"Serang!" Chu Qiao menjerit. Lebih 20 biji cangkuk dilemparkan ke arah khemah-khemah. Para askar melibas kuda mereka yang menyebabkan kuda-kuda tersebut mendengus panjang sebelum berlari ke semua arah. Pada saat seterusnya, khemah itu terus menjadi koyak rabak dan Cheng Yuan yang tidak berpakaian lengkap itu berdiri tegak di tengah-tengah khemah sambil memegang pedangya. Ketika melihat Chu Qiao, dia menjerit marah, "Jeneral Chu? Apa maksud semua ini?"

"Jeneral Cheng, awak telah memalsukan arahan ketenteraan dan bersepakat dengan musuh untuk membunuh rakyat kita sendiri. Kejam betul!" He Xiao marah, tangannya menggenggam erat pedangnya.

Cheng Yuan berkerut dan berpura-pura tidak tahu apa-apa, menjawab, "Apa yang kamu cakapkan? Saya tak faham."

He Xiao ingin bercakap tetapi dihalang oleh Chu Qiao yang berkata, "Hentikan percakapan kosong dia itu."

"Jeneral Chu, saya rasa ini semua salah faham. Kita boleh bercakap…" Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, Chu Qiao telah menghunus pedangnya yang telah tergantung di pinggangnya dan berteriak, "Bunuh dia!"

Tentera dari Garison Utusan Barat Daya terus menyerbu ke hadapan namun para pengawal peribadi Cheng Yuan bergerak untuk melindungi pemuda itu, berdiri dalam keadaan sejuk, muka dan bibir mereka pucat kerana mereka memakai baju besi. Mereka mengangkat pedang mereka tetapi hanya mampu menikam kuda-kuda itu. Kepala mereka telah pun dipenggal sebelum darah dapat memercik keluar, lantas teriakan meminta bantuan memecah kesunyian kem. Cheng Yuan berteriak, "Saya perlukan bantuan! Bantuan! Garison Utusan Barat Daya dah memberontak sekali lagi!"

Bahagian terdekat sedang menghampiri dengan pantas, langkah mereka bagaikan air banjir yang memukul hati orang ramai.

Pemimpin skuad ketiga Pasukan Tentera Kedua, Jiang Chong, menghampiri dengan pasukan tenteranya. Semasa dia berlari menuju ke medan perang, dia melihat Chu Qiao yang sedang berdiri di tengah-tengah keadaan yang huru-hara itu. Chu Qiao menjerit, "Pahlawan Tentera Kedua, kalian berniat untuk menentang saya?"

Jiang Chong tergamam. Bagaimana mungkin dia tidak kenal Chu Qiao? Selepas pertempuran di Beishuo, nama Chu Qiao telah menjadi buah mulut orang ramai. Tambahan pula, pemuda itu telah mendapat penghormatan seumur hidup kerana telah dapat bertarung di sampingnya dalam pertempuran. Pada ketika ini, dia amat terkejut untuk melihat Chu Qiao yang sedang berdiri di hadapan Garison Utusan Barat Daya. Pemuda itu lantas menyusun semula skuadnya sebelum menjerit, "Jeneral Chu, apa yang sedang berlaku?"

"Saya sedang berurusan dengan pengkhianat. Jangan bertindak melulu. Apabila perkara ini berakhir, saya akan menjawab kepada semua orang."

Di sebelah pihak berdirinya Garison Utusan Barat Daya yang telah dilabel sebagai pengkhianat. Di sebelah pihak lagi berdirinya Cheng Yuan, yang telah melarikan diri sebelum peperangan di Beishuo tercetus. Kedua-duanya isu sensitif dalam ketenteraan ini jadi Jiang Chong berfikir sejenak sebelum membuat arahan, "Halang kawasan ini. Kalau ada sesiapa yang berani untuk melarikan diri atau sebarkan berita ini, dia akan dibunuh serta-merta!"